Friday, March 20, 2009

Bicara Jumaat

Sejarah Kedatangan Api Ke Muka Bumi

 

            Api merupakan salah satu daripada kegunaan yang sangat besar kepada manusia.  Cuba bayangkan apa yang bakal terjadi kepada sekalian makhluk tanpa api.  Jika kita menggunakan api dengan betul maka kita akan beroleh manfaat daripadanya, sebaliknya jika kita menyalahgunakan api, maka kita akan ditimpa mudarat yang besar.  Justeru, peribahasa Melayu ada mengatakan: "Api, bila kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan".

 

            Tatkala membelek-belek sebuah kitab lama, saya terjumpa satu riwayat ringkas dalam kitab tersebut yang mengisahkan bagaimana api dihantar ke bumi.

 

            Telah diriwayatkan bahawa Allah Taala pernah mengutuskan Malaikat Jibril kepada Malaikat Malik supaya mengambil sebahagian daripada api neraka untuk diberikan kepada Nabi Adam a.s. Tujuannya ialah untuk membolehkan Nabi Adam dapat menggunakannya untuk pelbagai tujuan seperti memasak makanan.  (Malaikat Malik adalah malaikat yang ditugaskan untuk menjaga neraka).

 

            Kata Malaikat Malik: " Ya Jibril, berapa banyak api yang engkau perlukan?" Kata Jibril: "Aku inginkan sebesar buah kurma dari api neraka."

Kata Malaikat Malik: "Kalau saya berikan sebesar buah kurma kepadamu, maka akan menjadi  cairlah langit yang tujuh lapis dan seluruh bumi oleh sebab panasnya api yang sebesar itu."

Kata Jibril lagi: " Berikanlah kepadaku separuh (setengah daripada buah kurma) sahaja."

Kata Malaikat Malik:"Kalau aku berikan seperti yang engkau kehendaki itu, maka tidak akan terdapat setitis air pun di bumi dan tidak akan tumbuh segala tumbuhan di muka bumi. "

 

            Kemudian Malaikat Jibril a.s. pun berseru: "Tuhanku! Bberapa besarkah harus aku ambil api itu (untuk kegunaan Nabi Adam dan keturunannya)?"

 

            Allah berfirman: "Ambillah daripadanya sebesar zarrah (sebesar atom), serta cuci di 70 buah sungai, lalu serahkan kepada Nabi Adam a.s letakkan di atas gunung yang tinggi."  Maka gunung itu mencair dan kembalilah api itu ke tempatnya semula (neraka) dan yang tinggal hanyalah asapnya sahaja yang melekat di batu-batu  dan besi sehingga hari ini.

 

            Maka api yang sekarang ini adalah asalnya dari asap api yang sebesar zarrah tersebut.  Oleh kerana itu ambillah pengajaran daripadanya wahai orang-orang yang berakal!

 

            Daripada petikan ringkas di atas, maka dapatlah kita faham bahawa api yang ada di dunia ini berasal daripada asap yang ditinggalkan oleh api yang sebesar zarrah (atom) yang berasal daripada api neraka.  Jika api yang sebegini pun sudah tidak tertahan panasnya, mampukah kita menahan api sebenar yang di neraka itu?

 

(Setengah daripada kandungan rencana di atas dipetik daripada kitab Durratun Nasihin).

 

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat-sahabat sekalian.

Syabas! Teruskan menyumbang lagi! Lagi banyak artikel bermanfaat sebegini, lagi bagus!! Jangan kita macam orang yang suka bermain dengan api ... Konon, seronok, lepas tu bila dah terbakar, melecur, baru menyesal!

Ya, syukur kepada-Nya lantaran kurniaan-Nya itu, kita boleh memasak, berdiang ketika kesejukan, menerangi rumah dengan pelita lilin ketika tiada letrik zaman dahulu, dan sebagainya. Malah, daripada aliran letrik itu sendiri boleh menghasilkan api. Tetapi, memang resmi manusia, sering menyalahgunakan kurnia-Nya ini, dan salahguna itu pula menurut tahap, hingga hendak menjahannamkan dunia pun sanggup. Bayangkan, tamak kuasa, sanggup berlumba senjata, membakar serta meletupkan yang tidak sepatutnya, dan macam-macam lagi-lah ... Justeru, bersamalah kita gunakan ke arah bermanfaat, bukan menjadi penjenayah yang merosak lagi memusnah demi nafsu yang tiada perikemanusiaan, jika kita sendiri tidak mahu dirosak atau dimusnah insan lain mahupun pemilik kurnia itu sendiri. Benar sekali, api bila kecil jadi kawan ...

Terima kasih.