Sunday, April 25, 2010

Debaran Hulu Selangor Berakhir

Sekitar jam 9 malam lebih sedikit tadi, pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengumumkan secara rasmi keputusan pilihanraya kecil parlimen P94 Hulu Selangor. Mengikut keputusan rasmi, P. Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN) mendapat 24997 undi. Manakala Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mendapat 23272 undi. Ini bermakna, calon BN, P. Kamalanathan berjaya memenangi kerusi parlimen Hulu Selangor dengan majoriti undi sebanyak 1725.



Bagi BN, kemenangan ini mungkin yang termanis dalam kesemua pilihanraya kecil setakat ini selepas pilihanraya umum tahun 2008 lalu. Ini kerana, calonnya bukan sahaja berjaya meraih jumlah majoriti undi yang lebih besar, kemenangan ini juga merupakan kejayaan pertama BN dalam merampas kembali kerusi daripada parti lawan yang sekaligus telah menambah bilangan kerusi BN di Dewan Rakyat. Bolehlah dikatakan kemenangan ini telah berjaya menebus kekalahan dan kekecewaan BN dalam pilihanraya kecil bagi parlimen Kuala Terengganu pada Januari tahun lalu.



Bagi PKR pula, kekalahan ini menyebabkan jumlah kerusinya di Dewan Rakyat semakin berkurangan. Jika dalam pilihanraya umum 2008 PKR berjaya memperoleh 31 kerusi di Dewan Rakyat, kali ini parti tersebut sudah kehilangan 5 kerusi, iaitu 3 gara-gara keluar parti dan menjadi wakil bebas, seorang wakilnya pula diambil tindakan disiplin dan kali ini satu lagi kerusinya bagi Hulu Selangor hilang apabila dirampas oleh BN.

Dengan pengumuman oleh SPR, maka debaran semua pihak di Hulu Selangor telah berakhir. Ada debaran yang bertukar dengan kegembiraan. Ada pula debaran yang bertukar dengan kekecewaan. Itulah dia asam garam dalam politik. Apa yang pasti, para penyokong Pakatan Rakyat kenalah menahan telinga dan mata daripada asakan media pro-BN menjelang beberapa hari mendatang dalam meraikan kejayaan mereka di Hulu Selangor.

Kepada yang menang, tahniah diucapkan. Kepada yang tidak menang, cuba lagi pada masa-masa yang akan datang selagi ada peluang.

Saturday, April 24, 2010

Mengunjungi Pameran Special One Di Mid Valley

Petang tadi, sekitar jam 6.00 saya sekeluarga telah ke Mid Valley. Tujuan saya ialah untuk mengunjungi pameran Special One yang sedang berlangsung selama tiga hari bertempat di Convention Hall, tingkat 3, Mid Valley. Pameran tersebut telah bermula sejak semalam dan akan berakhir malam esok (Ahad).



Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) turut mendapat tapak untuk gerai pameran di sini. Oleh itu, selaku Naib Yang Dipertua PERTIS, kehadiran saya khususnya di gerai kendalian PERTIS dirasakan perlu, sekurang-kurangnya untuk memberi semangat dan sokongan moral kepada setiap petugas PERTIS di pameran ini.



Antara yang dipamerkan oleh PERTIS ialah Alquran Braille, demonstrasi mencetak Alquran Braille, mesin taip Braille, barang-barang kraf rotan, di samping beberapa jenis makanan ringan. Selain itu, gerai kendalian PERTIS juga turut menyediakan perkhidmatan urut refleksologi. Menurut para petugas PERTIS, sambutan daripada para pengunjung agak memberangsangkan. Daripada perbualan saya dengan para petugas PERTIS, rata-rata mereka berpuas hati dengan tanggungjawab penganjur khususnya terhadap pengendali gerai pameran.



Selain daripada gerai PERTIS, terdapat ratusan lagi gerai pameran kendalian pelbagai pihak termasuklah badan-badan bukan kerajaan. Pelbagai barangan yang dijual dan banyak juga perkhidmatan yang ditawarkan.

Sewaktu sedang asyik mengunjungi beberapa gerai lain, saya disapa oleh seseorang. Beliau terus bertanyakan mengenai blog saya. Katanya, dia memang sering membuka dan membaca tulisan saya. Saya mungkin dapat menyelami maksud tersirat di sebalik pertanyaannya. Namun begitu, oleh kerana di tengah khalayak ramai, maka pertanyaan beliau saya jawab sekadar yang patut-patut sahaja.



Saya turut mengunjungi gerai kendalian Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). En. Taslim Kusni adalah antara petugas di gerai kendalian MAB ini. Beliau terus menunjukkan kepada saya satu alat yang dikenali sebagai Swing Cell. Katanya, alat ini amat sesuai untuk digunakan mengajar sistem tulisan Braille pada peringkat asas. Kata En. Taslim lagi, sebelum seseorang itu diperkenalkan dengan mesin taip Braille, mereka harus diperkenalkan dengan sistem tulisan Braille menerusi alat ini.



Selain itu, satu lagi alat yang turut diperkenalkan kepada saya ialah Braillett Board. Alat ini juga bertujuan untuk pengajaran dan pembelajaran sistem tulisan Braille sebelum seseorang itu belajar dengan menggunakan mesin taip Braille. En. Taslim turut menunjukkan kepada saya secara ringkas cara menggunakan kedua-dua alat ini. Memang mudah, memang bagus dan mungkin lebih berkesan khususnya kepada mereka yang masih sukar untuk khatam pelajaran asas Braille. Kata En. Taslim lagi, hanya orang yang benar-benar bengap sahaja yang tidak akan pandai belajar Braille dengan menggunakan kedua-dua alat ini.



Akhirnya, saya bertanya kepada En. Taslim, “Mengapa Abang Taslim menunjukkan kepada saya kedua-dua alat ini?” Jawab En. Taslim, “Saya pun ada baca juga blog Cikgu”.

Sekitar jam 6.45 petang, saya sekeluarga pun beredar dari kawasan pameran dan terus meninggalkan Mid Valley. Kepada sesiapa yang tiada sebarang aktiviti esok (Ahad), mungkin boleh mengunjungi pameran ini.

Thursday, April 22, 2010

Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor: Sekadar Tinjau-tinjau Dari Jauh

Sebagaimana umum ketahui, pada 25 April ini (Ahad), pengundi di Hulu Selangor akan keluar untuk memilih wakil mereka bagi memenuhkan kekosongan kerusi parlimen P94 (Hulu Selangor) di Dewan Rakyat. Kekosongan ini terjadi berikutan wakilnya yang terdahulu, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah meninggal dunia. Pilihanraya ini menandakan bahawa demokrasi masih subur di negara ini.

Dari satu sudut, pilihanraya ini amat penting bagi kedua-dua pihak, sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun pakatan pembangkang yang lebih mesra dengan jolokan Pakatan Rakyat (PR). Justeru, tidaklah menghairankan bilamana kedua-dua pihak sedang berusaha bermati-matian untuk memastikan mereka akan beroleh kejayaan dalam mengharungi pilihanraya kecil ini.

Bagi BN, pilihanraya kecil di Hulu Selangor ini mempunyai signifikan yang tersendiri. BN perlu membuktikan melalui pilihanraya kecil ini bahawa sokongan rakyat kepadanya sudah pulih dan tidak terhenti setakat di Bagan Pinang sahaja. BN juga perlu memastikan kejayaan untuknya melalui pilihanraya kecil ini untuk membuktikan bahawa kepimpinan serta beberapa konsep yang telah ditampilkan oleh Datuk Seri Najib semakin diterima rakyat. BN juga perlu menang pilihanraya kecil ini untuk menambah jumlah kerusinya di Dewan Rakyat yang sekaligus akan menghampirkannya ke arah jumlah 2 pertiga kerusi di Dewan Rakyat. Jika menang, ia merupakan sesuatu yang teramat manis bagi BN kerana bakal merampas kerusi yang sebelumnya telah dimenangi oleh PKR.

Bagi PR pula, mereka juga perlu menang pilihanraya kecil ini, sekurang-kurangnya untuk mempertahankan kerusi yang telah sedia dimenangi olehnya dalam pilihanraya umum lalu. PR juga perlu menang untuk membuktikan bahawa segala dakwaan dan pertuduhan yang sedang dikenakan oleh pihak-pihak yang berkaitan ke atas pemimpin agungnya sekali-kali tidak mempengaruhi rakyat biasa. Kemenangan PR, terutamanya PKR juga teramat penting untuk mengelakkannya daripada terus kehilangan kerusi di Dewan Rakyat. Perlu diingat, dalam pilihanraya umum tahun 2008, PKR berjaya memperolehi 31 kerusi di Dewan Rakyat. Namun demikian, pada hari ini, parti tersebut hanya mempunyai 27 kerusi sahaja dan sudah kehilangan 4 kerusi. 3 kerusi hilang apabila penyandangnya mengisytiharkan keluar parti dan menjadi wakil bebas. Satu kerusi lagi hilang gara-gara tindakan disiplin yang telah diambil ke atas penyandangnya yang kemudiannya turut menjadi wakil bebas.

Justeru, tidaklah menghairankan apabila kedua-dua pihak sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menang dalam pilihanraya kecil kali ini. Masing-masing sedang rancak mengatur dan melaksanakan pelbagai strategi untuk memastikan agar akhirnya nanti kemenangan akan berpihak kepada mereka. Pilihanraya kecil ini juga seolah-olahnya merupakan pertembungan antara dua kerajaan, iaitu kerajaan Persekutuan untuk BN dan juga kerajaan negeri Selangor untuk PR. Berasaskan kepada ini, seolah-olahnya kedua-dua pihak seakan mempunyai asas kekuatan yang agak seimbang.

Dari sudut calon pula, BN telah menonjolkan P. Kamalanathan sebagai calon mereka. Beliau yang juga Ketua Penerangan MIC merupakan calon ketiga MIC yang diketengahkan setelah BN tidak bersedia untuk mencalonkan semula Datuk G. Palanivel yang telah tewas dalam pilihanraya umum 2008 lalu. Bolehlah dikatakan bahawa calon BN yang berusia pertengahan 40-an ini adalah calon kompromi. Ini adalah kerana apabila UMNO menolak Datuk G. Palanivel sebagai calon, nampaknya MIC juga telah menolak calon yang diketengahkan oleh UMNO. Akhirnya, kedua-dua pihak berkompromi melalui pencalonan P. Kamalanathan. Dari sudut populariti, calon BN ini masih belum mempunyai asas populariti yang kuat terutamanya di Hulu Selangor. P. Kamalanathan amat bergantung kepada populariti BN, UMNO dan mungkin juga kepada saki-baki populariti MIC yang masih tersisa.

Manakala PR/PKR pula telah menonjolkan Datuk Mohd Zaid Ibrahim sebagai calon mereka. Pengalaman serta kewibawaan Datuk Zaid memang tidak asing lagi. Beliau seorang yang berpengalaman luas dalam bidang perundangan. Beliau pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu. Beliau juga pernah menjadi ahli parlimen Kota Bharu antara tahun 2004-2008. Beliau juga pernah dilantik menganggotai kabinet selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri semasa era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi tidak bertahan lama. Selepas 6 bulan, Datuk Zaid telah melepaskan jawatannya selaku menteri. Dari aspek populariti pula, walaupun Datuk Zaid bukan anak tempatan, namun beliau sudah mempunyai asas populariti yang kukuh. Oleh kerana beliau merupakan bekas ahli UMNO dan pernah pula menjadi menteri, ia seakan merupakan suatu kelebihan buat Datuk Zaid dalam mengharungi pilihanraya kecil kali ini.

Pada pengamatan saya, sejak pilihanraya umum tahun 1999, asas untuk memilih calon sebagai wakil rakyat khususnya dalam kalangan pengundi Melayu mula menampakkan perubahan. Jika sebelumnya mereka amat terikat dengan parti yang diwakili, tetapi secara perlahan-lahan khususnya pengundi Melayu mula melihat kriteria serta kredibiliti yang ada pada seseorang calon yang akan menjadi calon pilihan. Pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu pada Januari tahun lalu merupakan antara bukti jelas dalam hal ini. Antara faktor penting yang membawa kejayaan kepada calon PAS ketika itu ialah kerana beliau dikatakan lebih mesra rakyat jika dibandingkan dengan calon yang ditonjolkan BN. Di samping itu, antara faktor utama kemenangan calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang pada hujung tahun lalu juga adalah kerana calonnya dikatakan amat disenangi oleh para pengundi di kawasan tersebut. Oleh itu, dalam pilihanraya di Hulu Selangor kali ini, kriteria tertentu yang ada pada seseorang calon juga bakal menjadi penentu kepada kemenangan calon berkenaan. Generasi hari ini bukan lagi tunggul yang memangkah berdasarkan kepada lambang politik semata-mata. Mereka kini semakin panddai mengukur seseorang calon itu dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.



Pandangan saya seperti di atas diperkukuhkan lagi apabila saya sendiri mendengar beberapa orang dalam kalangan rakyat biasa di sebuah kampung dalam parlimen Hulu Selangor dalam cakap-cakap mereka antara lain mengatakan, “Orang BN silap sebab tak turunkan calon Melayu”. Bahkan ada juga antara mereka yang mengatakan jikalau BN menurunkan calon Melayu, pasti persaingan akan lebih sengit. Sebenarnya saya telah ke Sungai Besar pada hujung minggu lepas untuk makan tengah hari. Kata orang, sambil menyelam minum air. Sempat juga saya dann kami singgah di satu kampung dalam parlimen Hulu Selangor. Saya sekadar mengambil kesempatan memasang telinga mendengar dengan penuh teliti setiap butir bual penduduk kampung berkenaan. Mungkin apa yang saya telah dengar tidak boleh dijadikan sandaran kuat kerana saya hanya mendengar daripada sekumpulan kecil orang dan di sebuah kampung sahaja, tapi itulah cakap-cakap yang telah saya sendiri dengar dalam kalangan segelintir rakyat biasa di parlimen Hulu Selangor.



Selain itu, isu-isu yang diketengahkan sebagai bahan kempen pilihanraya juga mampu untuk mempengaruhi para pengundi. Parti dan calon yang bertanding harus bijak dalam mempertimbangkan isu yang boleh diketengahkan sebagai bahan kempen. Dalam hal ini, status sosial serta taraf pendidikan penduduk dan pengundi harus dipertimbangkan sebelum sesuatu isu diketengahkan. Bagi orang kampung yang menetap di hulu, mereka tidak begitu berminat dengan isu-isu nasional dan antarabangsa. Bagi mereka, isu dan masalah setempat lebih membawa erti dan lebih berkesan sebagai bahan kempen. Bagi mereka, yang lebih mustahak ialah mengapa kerajaan Selangor pimpinan PR menolak permohonan sekumpulan penduduk di sebuah kampung untuk mendapatkan geran tanah pada hujung tahun lepas, daripada isu penglibatan Apco dan kerajaan Persekutuan.



Biar apa pun, pada 25 April ini pengundi di Hulu Selangor akan membuat pilihan mereka. Pada hari itu nanti, bukan sahaja P. Kamalanathan dan Datuk Zaid yang akan berdebar, tetapi saya rasa debaran kelompok bukan pengundi mungkin lebih kencang lagi.

Saya bukannya berpolitik, saya sekadar berkongsi sedikit pengetahuan mengenai politik.

Sunday, April 18, 2010

Sukan Tahunan Sekolah Luqman

Hari ini merupakan hari di mana berlangsungnya sukan tahunan sekolah anak tunggal kami, Luqman. Seperti tahun-tahun lepas, pada tahun ini juga sekolahnya menganjurkan sukan tahunan di SK Taman Melati. Oleh itu, tak jadi masalah untuk kami sekeluarga ke lokasi temasya sukan sekolahnya.





Sekitar jam 8.00, kami sekeluarga sudah pun tiba di SK Taman Melati. Luqman tidak terkira lagi gembiranya. Setibanya, dia terus meluru ke padang untuk bertemu rakan-rakan serumah sukannya dan juga guru-gurunya.











Upacara pembukaan rasmi sukan sekolahnya seperti tahun lalu juga, sederhana sekali. Kemeriahannya juga sederhana sahaja. Maklumlah jumlah keseluruhan muridnya lebih sedikit daripada jumlah murid di sekolah tempat saya bertugas.





Kali ini, Luqman mengambil satu acara sahaja, iaitu lari berhalangan.

Akhirnya Luqman dan rakan-rakan sepasukannya mengunguli acara yang mereka sertai.



Sekitar jam 11 pagi, iaitu setelah acara yang disertai Luqman tamat, kami terpaksa meninggalkan temasya lebih awal kerana ada satu lagi program tengah hari ini. Kami bercadang untuk makan tengah hari di sekitar Sungai Besar, Selangor pula.

Friday, April 16, 2010

Sesi Forgive And Forget

Sesi Forgive And Forget

Pagi semalam, sekitar jam 10.30, saya menerima SMS daripada Datin Nurhayati. Antara lain kandungannya memaklumkan bahawa pada jam 12 tengah hari nanti akan ada pertemuan antara pengetua sekolah, beberapa orang guru serta saya. Katanya lagi, Datuk Zamani (suaminya) akan menjadi orang tengah dalam pertemuan tersebut . Beliau seterusnya memohon saya agar hadir dalam pertemuan tersebut. Saya sudah menjangkakan apakah isu yang akan berbangkit dalam pertemuan itu nanti.

Sebenarnya, jauh dalam hati, saya tidaklah begitu berminat untuk menghadiri pertemuan tersebut jika isu yang sama bakal dibincangkan. Lagi pun, bagi saya, bila surat tunjuk sebab sudah dikeluarkan, maka saya mentafsirkannya sebagai “isytihar perang”. Kalau nak selesai mesti sebelum gendang perang dipalu. Bila gendang perang sudah dipalu, tugas kita ialah menari ikut irama paluan gendang tersebut. Lagipun, surat jawapan kepada tunjuk sebab berkenaan telah pun saya ajukan kepada sekolah pagi Rabu (14 April) yang lalu. Saya juga ada pendirian, keyakinan serta strategi tersendiri dalam menghadapi “perang” yang seolahnya akan berlarutan entah berapa lama.

Kemudian, sebelum saya memutuskan dengan muktamad sama ada akan menghadiri sesi pertemuan nanti atau sebaliknya, saya baca sekali lagi kandungan SMS daripada Datin Nurhayati. Tatkala saya asyik meneliti semula kandungan SMS beliau, terlintas pula dalam ingatan saya potongan ayat Alquran yang antara lain mafhumnya: “... Dan jika kamu berbantah terhadap sesuatu, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya ...”. Termenung panjang juga saya dibuatnya. Akhirnya, saya memuktamadkan bahawa saya akan hadir dalam sesi pertemuan itu nanti.

Tepat jam 12.15 tengah hari, saya masuk ke bilik gerakan. Saya adalah orang terakhir yang masuk. Pada penelitian pendengaran saya, terdapat sekitar 9 atau 10 orang dalam sesi pertemuan ini (kemudiannya saya dimaklumkan ada 10 orang) termasuklah Datuk Zamani. Sebelah kiri saya ialah Datuk Zamani, manakala sebelah kanan saya dengan jarak mungkin 2 kerusi ialah pengetua sekolah.

Seperti yang telah dirancang oleh mereka yang berkaitan, sesi pertemuan ini telah dikendalikan oleh Datuk Zamani. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa sesi ini adalah untuk mencari penyelesaian dan perdamaian yang berpanjangan antara pihak-pihak yang berselisih. Beberapa orang yang hadir juga turut berpeluang meluahkan rasa hati masing-masing. Saya juga berpeluang meluahkan apa yang terbuku. Sesi pertemuan yang mulanya agak hangat akhirnya menjadi sejuk dan kendur bila saya bersetuju dengan permintaan beberapa orang guru yang hadir. Antara keputusan dan persetujuan yang dicapai ialah:

1. Saya bersetuju untuk menarik kembali 3 tulisan saya daripada blog ini iaitu, Luahan Rasa (28 Mac), Menungan Malam (26 Mac) dan Bicara Isu (13 Mac).

2. Pengetua dan sekolah bersetuju untuk menarik kembali surat tunjuk sebab bertarikh 7 April 2010 yang telah diajukan kepada saya.

3. Saya pula bersetuju untuk menarik balik surat jawapan kepada surat tunjuk sebab berkenaan yang bertarikh 13 April 2010.

4. Beberapa orang guru yang hadir berjanji akan belajar Braille bersungguh-sungguh hingga pandai.

Sesi pertemuan berkenaan telah berakhir pada jam 1.40 tengah hari. Kami yang hadir saling bersalaman dan berpelukan antara satu sama lain. Eratnya genggaman salam dan eratnya pelukan mungkin membawa makna bulatnya tekad masig-masing untuk Forgive And Forget. Bercucuran air mata masing-masing. Agaknya bersyukur dan gembira kerana keadaan telah dapat diredakan. Kemudian kami sama-sama ke Koperasi sekolah untuk sama-sama menikmati makan tengah hari.

Sebagai tanda keikhlasan saya untuk memenuhi apa yang telah diputuskan dalam sesi pertemuan semalam, maka saya telah pun mengeluarkan daripada blog ini 3 tulisan saya sebagaimana yang tersebut di atas. Teramat besarlah harapan saya semoga luka yang sudah mula akan sembuh ini tidak akan berdarah kembali, kerana jika ia berdarah kembali di tempat yang sama, maka luka berkenaan sukar untuk sembuh semula hingga ke akhir hayat.

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada yang Berbahagia Datuk Zamani Sulaiman serta Datin Nurhayati di atas peranan kalian dalam menjernihkan apa yang keruh. Apa yang anda berdua lakukan selaras dengan firman Allah yang antara lain mafhumnya: “Dan bertolong-tolonganlah kamu ke arah kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan kepada perkara yang membawa kepada dosa dan permusuhan”.

Terima kasih Datuk, terima kasih Datin, terima kasih semua.

Monday, April 5, 2010

Enid Fernandez Dan Sejarah Awal PES

Nama Enid Fernandez adalah satu nama yang amat jarang sekali disebut dalam kalangan generasi hari ini. Sebagai mengenang bakti dan jasanya, khususnya dalam mengasaskan institusi pendidikan khas cacat penglihatan iaitu Sekolah Princess Elizabeth (PES) serta usahanya dalam mengangkat darjat dan martabat golongan berkenaan, di sini saya suka berkongsi sedikit maklumat yang saya ada mengenai beliau untuk tatapan kita bersama.

Selepas perang dunia kedua, dengan arahan daripada Lord Mountbatten, seorang ahli palang merah dari Britain telah dihantar ke Tanah Melayu. Beliau yang dimaksudkan ialah Cik Enid M. L. Fernandez. Beliau telah tiba di Singapura pada bulan September tahun 1945 dengan tugas utamanya untuk menyelia mangsa-mangsa perang dan juga mangsa-mangsa yang dibawa pulang dari projek Landasan Kereta Api Maut. Oleh kerana keadaan selepas perang, tugas beliau telah diperluaskan lagi di mana beliau juga turut ditugaskan untuk membantu golongan melarat, orang-orang tua dan daif. Untuk itu, pada 30 Disember 1946, Enid Fernandez telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan selaku State Rural Walfare Officer. Dalam menjalankan tugasnya, beliau tidak sahaja duduk di pejabat, malahan beliau sering berpergian ke kawasan-kawasan pedalaman bagi mencari dan mengenal pasti golongan yang daif dan melarat untuk diberi bantuan sewajarnya. Mereka yang layak dan harus menerima rawatan atau bantuan lanjut, akan ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat (walfare home) di Batu 3, Jalan Skudai, Johor Bharu.

Sebagai maklumat tambahan, Pada mulanya rumah kebajikan berkenaan merupakan sebuah hospital untuk orang-orang gila yang terletak di bawah seliaan Jabatan Perubatan Negeri Johor. Ia telah dibina sejak awal kurun ke-20 lagi. Kemudian operasinya telah diperluaskan lagi dengan menempatkan mereka yang berpenyakit serius seperti batuk kering. Sewaktu pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, pusat ini telah dijadikan sebagai sebuah kem tentera. Selepas perang dunia kedua, sebahagian daripada bangunan pusat ini telah diambil alih oleh Pentadbiran Tentera British (BMA) dan ia dijadikan sebagai pusat untuk menempatkan mangsa-mangsa perang. Pada bulan Januari 1946, pentadbirannya telah diambil alih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor dan fungsinya telah diperluaskan meliputi golongan yang daif dan melarat.

Seterusnya, di sekitar tahun 1948, sewaktu menjalankan tugasnya di satu kawasan pedalaman dalam daerah Kota Tinggi, Enid Fernandez dengan secara tidak sengaja telah terjumpa seorang budak laki-laki yang cacat penglihatannya. Budak lelaki tersebut ialah Ismail bin Abdullah, yang kemudiannya merupakan murid pertama Sekolah Princess Elizabeth. Setelah Enid Fernandez berbual sebentar dengan Ismail, beliau mendapati budak lelaki tersebut merupakan seorang yang petah dan bijak. Baginya, sesuatu mungkin boleh dilakukan supaya masa hadapan budak lelaki tersebut tidak sia-sia.

Dengan didorong oleh minat yang mendalam serta pandangan jauh beliau, Enid Fernandez terus menemui keluarga Ismail. Dalam pertemuan itu, keluarga Ismail ingin supaya Enid Fernandez melakukan sesuatu agar penglihatan Ismail dapat dipulihkan. Setelah melalui pemeriksaan doktor kemudiannya, ternyata bahawa penglihatan Ismail tidak dapat dipulihkan. Pada masa itu juga, Enid Fernandez sering bekerjasama rapat dengan seorang doktor di jabatan perubatan negeri yang dikenali sebagai Dr. Sharma.

Walaupun usahanya untuk memulihkan penglihatan Ismail gagal, namun ikhtiar Enid Fernandez tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebagai seorang yang berpandangan jauh dan banyak pengalaman dalam kerja-kerja kebajikan, beliau merasakan masa hadapan Ismail serta golongan yang senasibnya akan lebih terjamin jika sesuatu dapat dilakukan. Oleh kerana tiada sebuah pun institusi khas untuk golongan cacat penglihatan di Johor ketika itu, Enid Fernandez merasakan tempat yang paling sesuai untuk menempatkan Ismail ialah rumah kebajikan masyarakat yang terletak di Batu 3, Jalan Skudai. Walaupun St. Nicholas Home telah pun ada di Pulau Pinang ketika itu, tetapi pusat itu hanya menerima golongan cacat penglihatan yang beragama Kristian sahaja (rujuk kenyataan Enid Fernandez dalam Berita Harian pada 5 September 1980).

Mulanya Ismail tidak dibenarkan untuk ditempatkan di rumah kebajikan tersebut oleh keluarganya, tetapi atas inisiatif Enid Fernandez sendiri dengan meyakinkan keluarga Ismail bahawa masa hadapannya akan terjamin, akhirnya keluarganya membenarkan juga Ismail ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat tersebut.

Kanak-kanak cacat penglihatan kedua yang dimasukkan di rumah kebajikan masyarakat tersebut selepas kemasukan Ismail ialah Samani bin Taib. Samani ditemui secara tidak sengaja oleh Cik Fernandez sewaktu beliau datang ke kampungnya di daerah Mersing untuk menyiasat satu tragedi yang menimpa sebuah keluarga di kampung berkenaan. Enid Fernandez dengan dibantu oleh Penghulu Air Merah telah memohon daripada keluarganya untuk menempatkan Samani di rumah kebajikan masyarakat. Tanpa banyak soal, keluarganya terus memberi keizinan. Walau bagaimanapun, atas beberapa sebab, pemergian Samani ke rumah kebajikan masyarakat berkenaan terpaksa ditangguhkan buat sementara. Selang sebulan kemudian, barulah Cik Ann Majeed bersama-sama seorang kerani dari Jabatan Kebajikan Masyarakat datang dan mengambil Samani untuk ditempatkan di rumah kebajikan tersebut. Sewaktu ditempatkan di rumah berkenaan, Samani sendiri tidak berapa pasti usianya ketika itu. Namun begitu, usia beliau ketika itu dianggarkan sekitar 12 tahun.

Kanak-kanak cacat penglihatan ketiga yang ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat tersebut ialah Saodah binti Sharif. Beliau juga merupakan murid perempuan pertama bagi Sekolah Princess Elizabeth. Menurut satu sumber lisan, Saodah dimasukkan ke rumah kebajikan masyarakat apabila keluarganya tidak mengambil beliau di hospital setelah menghantarnya untuk satu rawatan. Orang yang bertanggungjawab menempatkan Saodah di rumah kebajikan masyarakat ialah Enid Fernandez.

Ashari Abdullah adalah kanak-kanak cacat penglihatan keempat yang telah ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat di Batu 3, Jalan Skudai, Johor. Nama asalnya ialah Lim Keong Wah, tetapi dalam kalangan guru dan rakan-rakannya, beliau lebih dikenali dengan nama Islamnya. Beliau telah dimasukkan ke rumah kebajikan masyarakat pada awal Oktober 1948.

Keluarga Ashari juga merupakan mangsa perang dunia kedua. Ibu bapanya mati semasa zaman perang. Adik-beradiknya pula terpisah. Abangnya juga telah mati kerana ditimbus hidup-hidup oleh tentera Jepun. Selepas tamat perang dunia kedua, Ashari telah dijaga oleh kakak iparnya. Oleh kerana kedaifan hidup yang begitu mencengkam ketika itu, kakak iparnya telah menyuruh sebuah teksi menghantar dan meninggalkan Ashari di perkarangan Hospital Besar Johor Baru. Di sini, Ashari telah dijaga oleh sekumpulan kakitangan hospital yang perihatin. Kemudiannya, melalui pemeriksaan seorang doktor, Ashari telah disahkan tidak berpenglihatan. Melalui doktor tersebutlah, Enid Fernandez kemudiannya telah menempatkan Ashari di rumah kebajikan masyarakat. Mereka berempat inilah, Ismail Abdullah, Samani Taib, Saodah Sharif dan Ashari Abdullah merupakan generasi pertama bagi Sekolah Princess Elizabeth (PES).

Dari semenjak Ismail Abdullah ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat lagi, Enid Fernandez merasakan adalah tidak begitu praktikal untuk terus menempatkan kanak-kanak cacat penglihatan berkenaan di rumah kebajikan berkenaan tanpa sesuatu yang lebih bermanfaat untuk masa hadapan mereka. Lagipun fungsi rumah tersebut hanya untuk menempatkan mereka yang tua, melarat atau daif, sedangkan bagi Enid Fernandez, kanak-kanak yang cacat penglihatan ini tidak sepenuhnya menepati kategori tersebut. Oleh kerana tiada pilihan lain dan tidak mahu melihat masa hadapan kanak-kanak ini sia-sia, Enid Fernandez telah mengambil daya usaha yang berani dan tegas iaitu dengan memulakan pendidikan untuk kanak-kanak cacat penglihatan tersebut. Bagi tujuan merealisasikan usahanya, Enid Fernandez dengan bantuan daripada D.R. Bridges telah berjaya mendapatkan khidmat seorang wanita yang kebetulan ketika itu telah pun mempunyai kemahiran asas dalam sistem tulisan Braille selaku guru kepada keempat-empat kanak-kanak tersebut. Wanita yang dimaksudkan ialah Ann Majeed. Maka pada ketika itulah bermulanya pendidikan formal pertama untuk kanak-kanak cacat penglihatan di negara kita. Walaupun keadaan serba daif ketika itu, ia sama sekali tidak menghalang Enid Fernandez untuk memastikan agar guru yang mengajar kanak-kanak cacat penglihatan berpengetahuan dalam sistem tulisan Braille. Jadi, amatlah menghairankan jika ada di antara kita hari ini yang enggan menerima hakikat bahawa kemahiran Braille merupakan sesuatu yang mesti ada kepada tenaga pengajar di institusi-institusi pendidikan khas cacat penglihatan.

Hari ini, pada pemerhatian saya, nama Enid Fernandez hampir pupus dari pengetahuan dan bibir kita, terutamanya warga pendidikan khas cacat penglihatan sendiri. Beliau seakan tidak pernah wujud dalam sejarah pendidikan khas negara kita. Hakikatnya, dengan berbekalkan wawasan yang sukar dijangkau serta KETI iltizam yang sukar dicapai oleh kebanyakan orang, Enid Fernandez bukan sahaja berjaya menukar kehidupaan mereka yang cacat penglihatan daripada golongan melarat kepada insan yang mampu berdikari, bahkan lebih jauh lagi, beliau sebenarnya telah meletakkan asas yang kukuh kepada sistem dan institusi pendidikan khas yang ada hari ini. Kita mungkin boleh melupakan Enid Fernandez, tetapi sejarah tidak sekali-kali akan melupakan beliau.

Masih segar dalam ingatan saya, sekitar tahun 1980, Enid Fernandez telah mengadakan lawatan ke PES untuk kali terakhirnya. Dalam lawatan tersebut, beliau turut menangis kegembiraan kerana salah seorang yang telah beliau tempatkan di rumah kebajikan masyarakat di Batu 3, Jalan Skudai sebelumnya, ketika itu merupakan salah seorang guru di sekolah tersebut. Orang yang dimaksudkan ialah Cikgu Ismail Abdullah.

Kini, dalam kalangan generasi murid-murid pertama PES, hanya Samani Taib sahaja yang masih bersama kita. Cikgu Ismail Abdullah telah menghadap Ilahi pada sekitar tahun 1987. Manakala Ashari Abdullah pula telah pergi untuk selama-lamanya pada tahun lalu. Saodah Sharif pula memang sudah lama tidak dapat dikesan entah di mana.



Akhirnya, sebagai mengenang jasa Enid Fernandez, saya suka mencadangkan agar nama beliau diabadikan di PES sendiri. Mungkin dewan yang ada di sekolah tersebut boleh dinamakan bersempena dengan nama Enid Fernandez. Enid Fernandez tidak pernah memintanya, tetapi kita yang ada hari ini wajar mengenangnya. Itu sekadar cadangan sahaja.

Thursday, April 1, 2010

Khabar Dari Putrajaya

Petang tadi, sekitar jam 4.30, saya menerima panggilan telefon daripada En. Moses Choo. Katanya, beliau masih lagi berada di Putrajaya ketika itu. Katanya lagi, beliau baru selesai menghadiri satu mesyuarat di sana. Mesyuarat berkenaan adalah mengenai isu-isu berkaitan golongan OKU di peringkat Kementerian Pelajaran. Antara yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut termasuklah Yang Berbahagia, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mad Dom.



Seterusnya En. Moses memberitahu bahawa Tan Sri KPPM telah memutuskan agar frasa Calon Istimewa yang selama ini tertera pada sijil-sijil calon yang dikategorikan sebagai “istimewa” ditarik balik. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dalam sijil untuk calon cacat di peringkat UPSR, PMR dan SPM ada tertera frasa Calon Istimewa. Walau bagaimanapun, perincian lanjut mengenai perkhabaran ini masih belum diumumkan sepenuhnya lagi.

Saya telah mula membangkitkan permasalahan mengenai Calon Istimewa ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Masalah Penglihatan sejak tahun 2007 lagi. Selain itu, saya juga pernah menulis mengenai isu ini menerusi blog ini pada pertengahan Oktober tahun lalu. Memadailah jika saya nyatakan bahawa frasa berkenaan lebih banyak mendatangkan implikasi negatif terutamanya kepada pemegang sijil itu sendiri. Pengalaman mereka yang berkaitan telah membuktikannya.

Di sini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada Yang Berbahagia Tan Sri KPPM di atas keprihatinan beliau terhadap golongan seperti saya. Bila orang di atas sudah menunjukkan keprihatinannya, ia kebiasaannya akan dituruti oleh orang-orang yang di bawah pula. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan kerana sama-sama memperjuangkan agar frasa tersebut dihapuskan daripada sijil-sijil calon cacat dalam peperiksan awam.

Kepada rakan-rakan senasib, marilah kita sambut berita gembira ini dengan penuh kesyukuran. Ia dengan jelas membuktikan bahawa kitalah yang harus bangkit untuk membela nasib kita dan mereka yang senasib dengan kita dengan penuh yakin dan tanpa gentar.