Monday, May 31, 2010

Rejim Tel Aviv Sememangnya Tidak Berperikemanusiaan

Hari ini, dunia dikejutkan dengan serangan oleh gerombolan komando Yahudi ke atas beberapa buah kapal yang sedang dalam misi antarabangsa untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. Setakat ini, sekitar 19 orang sukarelawan dikatakan telah terbunuh akibat serangan tidak berperikemanusiaan itu. Kebanyakan mangsa pula merupakan rakyat Turki. Manakala Turki pula merupakan antara sebilangan kecil negara Islam yang masih mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Tel Aviv. Setakat ini, seramai 26 sukarelawan dikatakan cedera. Sementara itu, nasib beberapa orang rakyat Malaysia yang turut terlibat dengan misi bantuan itu masih belum diketahui dengan pasti.



Sebenarnya, objektif utama kumpulan 6 buah kapal berkenaan belayar ke Gaza ialah sekadar untuk menghantar pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Gaza yang sudah sekian lama menderita akibat sekatan yang sedang dikenakan ke atas mereka oleh rejim Yahudi. Sekatan yang telah dilakukan telah mengakibatkan kesengsaraan yang tiada tergambar oleh mana-mana bahasa terutamanya dalam kalangan orang awam di Gaza. Alasan dangkal yang diberi oleh rejim Yahudi untuk menghalang apa jua bentuk bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Gaza ialah untuk mengelakkan sebarang bentuk senjata jatuh kepada golongan Hamas yang sedang menguasai Gaza ketika ini. Percubaan Rejim Tel Aviv untuk menjatuhkan Hamas secara ketenteraan tahun lalu menemui kegagalan. Oleh itu, Rejim Yahudi telah melaksanakan rancangan sekatan berpanjangan bertujuan untuk melemahkan Hamas secara terancang. Apa yang mendukacitakan, sekatan ini adakalanya mendapat kerjasama pula daripada sebilangan negara Islam yang berjiran dengan rejim haram tersebut. Demikianlah tidak cerdiknya sebilangan saudara kita di sana!



Sebagai reaksi spontan, seluruh dunia telah mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan oleh gerombolan komando Yahudi tersebut. Di negara kita, Tun Dr. Mahathir turut mengecam perbuatan ganas gerombolan komando Yahudi ke atas kumpulan kapal bantuan antarabangsa tersebut. Selain itu, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Musa juga turut mengecam serangan berkenaan sambil menggesa satu mesyuarat tergempar Liga Arab harus diadakan sesegera mungkin. Kesatuan Eropah (EU) turut mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan gerombolan komando Yahudi berkenaan. Setiausaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula melahirkan rasa terkejut yang amat sangat dengan tindakan rejim Yahudi berkenaan. Turki yang secara diplomatiknya masih bersahabat dengan Rejim Tel Aviv telah memanggil duta Israel untuk menerima bantahan rasmi Ankara. Selain itu, bantahan orang awam, khususnya umat Islam juga mula meledak. Di Turki, ribuan rakyatnya cuba merempuh bangunan konsul Israel di Istanbol, tetapi tindakan mereka telah dihalang oleh pasukan keselamatan Turki. Hanya Amerika Syarikat sahaja yang masih membisu sehingga kini. Tindakan Amerika Syarikat ini memang telah diduga dari awal lagi.

Bagi Rejim Tel Aviv, kutukan, kecaman dan bantahan seperti di atas bukanlah sesuatu yang luar biasa. Mereka sudah cukup lali dengan apa juga bentuk kecaman atau bantahan khasnya daripada masyarakat antarabangsa terhadap kebiadaban yang mereka sering lakukan. Orang Yahudi sangat arif dengan krisis perpaduan yang kronik yang sedang dihadapi oleh masyarakat Arab dan umat Islam masa kini. Rejim Tel Aviv juga sangat maklum, selama ini pelbagai mesyuarat yang diadakan khususnya dalam kalangan anggota Liga Arab tidak lebih sekadar bualan di pasar-pasar kurma sahaja. Bagi rejim Tel Aviv, jika ada kecaman daripada Eropah, ia sekadar lakonan masyarakat EU dan juga sekadar untuk mengambil hati sekutu mereka daripada negara-negara Islam semata-mata, seolah-olahnya masyarakat EU juga bersimpati dan menolak sikap biadab rejim Yahudi. Bayangkanlah jika kecaman ke atas rejim Yahudi datangnya daripada tokoh dan negara yang dipandang kecil dan kerdil, agaknya apalah persepsi rejim Yahudi terhadap pengecam dan kecaman sedemikian?



Kekejaman, kebiadaban, keangkuhan, keganasan serta kesombongan bangsa Yahudi bukan cerita dan perkara baru. Ia merupakan kisah klasik yang terus-menerus bersiri di zaman moden ini. Bangsa Yahudilah yang telah mempersendakan para rasul dan para nabi yang diutuskan khas untuk mereka. Mereka jugalah yang telah cuba mempersendakan perintah Allah supaya mereka menyembelih lembu (sebagaimana yang dikisahkan dalam surah Albaqarah). Bangsa Yahudi jugalah yang telah mengajukan permintaan yang bukan-bukan seperti untuk melihat perintah Allah dalam bentuk kitab, untuk melihat wajah Allah, dan macam-macam lagi. Bahkan ada di antara mereka yang sanggup membunuh para ambia.

Mengikut catatan Alquran, bangsa Yahudi (Bani Israel) juga antara hamba Allah yang telah mendapat pelbagai nikmat yang jarang dinikmati oleh orang lain. Mereka pernah dikurniakan dengan Manna dan Salwa. Mereka juga pernah diselamatkan daripada kekejaman Firaun di Mesir dengan melintasi Laut Merah yang dikeringkan untuk laluan mereka. Ramai para rasul dan nabi adalah daripada kalangan orang Yahudi. Rupa-rupanya kesemua nikmat ini telah menyebabkan bangsa Yahudi kufur, sombong, angkuh, besar kepala dan tak sedar diri.

Di zaman moden ini, kekejaman dan keganasan bangsa Yahudi sudah tidak terperi lagi hebatnya. Merekalah yang terlibat secara langsung dengan tragedi pembunuhan di perkhemahan Sabra dan Chatila. Mereka jugalah yang sering menghuru-harakan bahagian selatan Lubnan. Walaupun perbuatan kejam mereka dikutuk oleh masyarakat antarabangsa, namun demikian, bagi bangsa Yahudi, kecaman dan kutukan tersebut tak ubah bagai anjing menyalak bukit sahaja.

Salah satu tonggak keangkuhan rejim Tel Aviv ialah kerana rejim tersebut mendapat sokongan padu daripada sekutu rapatnya, iaitu Amerika Syarikat. Biar apa pun yang dilakukan oleh Rejim Tel Aviv, Amerika Syarikat tetap setia di belakangnya. Ini bukan rahsia lagi. Sewaktu meledaknya Perang Arab – Israel tahun 1967, Amerika Syarikat merupakan negara yang paling kuat menyokong dan pemberi sumbangan yang bukan kecil kepada Israel dalam pelbagai bentuk. Hal yang serupa berlaku ketika meletusnya perang Arab – Israel tahun 1973. Kalaulah tanpa sokongan Amerika Syarikat ketika itu, ada kemungkinan Israel berupaya disungkurkan dalam perang tahun 1973.

Di Majlis Keselamatan PBB pula, Amerika Syarikat sering menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang apa jua bentuk resolusi yang akan merugikan rejim Tel Aviv. Selain itu, apa juga rundingan damai yang diadakan antara Arab dan Israel, jika Amerika Syarikat yang menjadi orang tengahnya, ia sering berat sebelah dan tidak pernah yang menjadi. Tidak keterlaluan jika saya katakan, selagi Amerika Syarikat terlibat dengan rundingan damai antara Arab dan Israel, maka matlamat perdamaian hanya sekadar mengejar bayang semata-mata. Bila negara Islam lain cuba mengusahakan rundingan perdamaian tanpa penglibatan Amerika Syarikat sepertimana yang pernah dilakukan oleh Raja Abdullah (Arab Saudi) menerusi Rundingan Makkah, Amerika Syarikat akan mengganggunya dan akan menggerakkan pula suta rundingan pusingan baru dengan janji manis yang baru. Yang peliknya, sebilangan negara Arab lebih mempercayai Amerika Syarikat daripada saudara sebangsa dan seagama mereka dalam melaksanakan misi perdamaian di Timur Tengah.

Rentetan peranan Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara lain yang berat sebelah dalam mengusahakan perdamaian di rantau Arab mengingatkan saya kepada firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: “Dan golongan Yahudi dan Nasara tidak akan sekali-kali redha (menyetujui) kamu (umat Islam) sehinggalah kamu mengikuti mereka ....” (ayat 120, Albaqarah, juzuk 1). Sesungguhnya, selagi dunia Arab dan umat Islam masih bersekutu dengan Amerika Syarikat dengan apa cara dan bentuk sekalipun, maka selama itulah tiada perdamaian abadi antara Arab/Islam dengan Yahudi.

Semenjak kejatuhan kekhalifahan Uthmaniyah pada tahun 1924, dunia Arab berpecah-belah dan seakan tiada harapan untuk bersatu semula sebagaimana sebelumnya. Nampaknya semangat nasionalisme Arab yang telah disemai oleh kuasa-kuasa Barat dan Yahudi di dunia Arab benar-benar merupakan virus dan penghalang besar kepada penyatuan dan perpaduan dalam kalangan bangsa Arab itu sendiri. Kemunculan pelbagai ideologi dalam dunia Arab masa kini semakin merumitkan usaha ke arah perpaduan dalam kalangan negara-negara Arab itu sendiri. Yang untung dan yang tersenyum lebar ialah bangsa Yahudi, Amerika Syarikat dan Eropah. Umat Islam dan bangsa Arab tahu dan sedar semuanya itu tetapi tanpa upaya untuk berbuat apa-apa. Teringat saya kepada satu hadith Nabi S.A.W. yang antara lain mafhumnya: “Umat Islam di akhir zaman nanti umpama buih di laut”. Maksudnya walaupun nampak jumlah umat Islam ramai, tetapi kita sebenarnya sangat lemah untuk berhadapan dengan musuh kita yang sebenar.

Sebelum ini pun, apabila orang Palastin dianiayai dengan kejam oleh bangsa Yahudi, umat Islam gagal membela mereka dengan berkesan. Umat Islam sentiasa mengulangi drama lama dengan mengharapkan Amerika Syarikat dan puak-puaknya untuk menggerakkan usaha damai. Seolah-olahnya, kita meminta bantuan sang pencuri untuk menangkap sang penyamun.



Sesungguhnya apa yang berlaku hari ini merupakan tragedi kemanusiaan yang dihalalkan oleh keangkuhan bangsa yang sombong. Alasan Rejim Tel Aviv bahawa kapal-kapal bantuan antarabangsa menceroboh wilayah maritimnya tidak boleh diterima langsung kerana Israel sudah terlalu lama menceroboh hak asasi kemanusiaan tanpa batasan. Saya penuh yakin, tragedi yang berlaku hari ini bukan yang terakhir. Sebaliknya ia merupakan antara siri kekejaman bangsa Yahudi terhadap sesama manusia. Kita pasti akan dihidangkan dengan tragedi yang sama dahsyat atau yang lebih dahsyat lagi di masa-masa yang akandatang.

Sunday, May 30, 2010

Selamat Pengantin Baru Untuk Cikgu Zamri Ishak



Semalam (29 Mei), saya berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan Cikgu Zamri di Taman Sentosa, Johor Baru. Seperti biasa, saya ditemani isteri dan Luqman. Turut sama kali ini ialah anak saudara saya, Wahiduddin yang setahun tua daripada Luqman. Kami tiba di rumah pengantin perempuan di Taman Sentosa sekitar jam 1 tengahari dari rumah emak saya di Melaka. Perjalanan mengambil masa hampir 2 jam. Saya dimaklumkan, upacara akad nikah telah selamat disempurnakan pada 28 Mei sebelah malam. Terlupa pula saya bertanya kepada pemberi maklumat, berapa kali lafaz masa akad nikah semalam.



Cikgu Zamri berasal dari Kelantan. Ini merupakan majlis walimatul urus pengantin sebelah perempuan. Majlis di sebelah Cikgu Zamri akan berlangsung pada Ahad depan. Oleh kerana saya tidak berkesempatan untuk menghadiri majlisnya di Kelantan, maka itulah saya hadiri majlis perkahwinan beliau di sebelah pengantin perempuan.



Untuk mencari rumah pengantin, tidaklah susah sangat. Setibanya kami di rumah pengantin, kami terus masuk ke perkarangan rumahnya dan terus menjamu selera dengan hidangan yang ada. Sebenarnya, saya tidak kenal sesiapa pun, kecuali Cikgu Zamri sahaja. Kebetulan pada waktu itu, Cikgu Zamri sedang bersiap-siap di rumah yang disediakan khas untuknya yang tidaklah jauh dari rumah pengantin perempuan. Saya hubungi Norhar Majid, tetapi saya diberitahu bahawa beliau akan sampai di rumah pengantin sekitar jam 3 petang nanti.



Tidak lama kemudian, Mamat, adik Farizuan hubungi saya dan setelah mengetahui saya sudah pun ada di rumah pengantin, beliau pun terus datang dan duduk semeja dengan saya sekeluarga. Barulah saya ada teman untuk berbual.



Pada penelitian saya (menerusi pendengaran), tetamu yang hadir memang ramai. Kebetulan pula kena dengan waktu puncak (sekitar jam 1.30 tengah hari). Sambil menjamu selera, Mamat yang setia menjadi rakan bualan saya. Walau bagaimanapun, setelah saya selesai makan, Mamat minta diri untuk pulang, ada kerja katanya.



Nasib saya agak baik, kerana selepas makan, seorang wanita menegur saya dengan bertanya: “Kawan Zamri ke?” Saya terus mengiyakan. Dia memperkenalkan bahawa dia ahli keluarga kepada pengantin perempuan. Wanita tersebut memberitahu bahawa Zamri sedang bersiap-siap di sebuah rumah yang tidak jauh dari rumah pengantin perempuan. Lalu saya sekeluarga pun terus menuju ke rumah yang dimaksudkan. Memang tak jauh pun, hanya beberapa meter sahaja jaraknya.



Di rumah ini baru saya bertemu dengan Cikgu Zamri. Beliau telah pun siap sedia dengan berpakaian lengkap selaku raja sehari. Hanya menanti masa dann ketika yang sesuai sahaja untuk bergerak dan berarak ke rumah pengantin perempuan. Saya turut menemui Cikgu Yusairi, rakan sekerja Cikgu Zamri.



Cikgu Zamri telah melalui sejarah dan liku hidupnya yang tersendiri sebelum beliau berada di tempatnya hari ini. Cikgu Zamri telah hilang penglihatannya sewaktu di awal pendidikan menengahnya. Sebelumnya, beliau merupakan seorang yang berpenglihatan dan menerima pendidikan rendahnya di sekolah biasa di Kelantan. Setelah penglihatannya hilang, maka beliau telah dipindahkan dan bersekolah pula di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak sehinggalah tingkatan 5. Sebenarnya bukan mudah insan seperti Cikgu Zamri yang pada asalnya berpenghilatan, untuk menerima hakikat bahawa tatkala berusia belasan tahun penglihatannya telah hilang.



Dengan berkat kesabarannya, akhirnya Cikgu Zamri berjaya lulus dengan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini telah membolehkan Cikgu Zamri menyambung pelajarannya di tingkatan 6. Setelah berjaya dengan baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), beliau telah berjaya menyambung pelajarannya di Universiti Malaya dan berjaya pula memperoleh Ijazah Sarjama Muda Sastera dari universiti tersebut. Pada 15 Jun 1999, Cikgu Zamri berjaya memasuki Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan telah berjaya memperoleh Diploma Pendidikan setahun kemudian. Pada pertengahan tahun 2000, Cikgu Zamri telah mula bertugas di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Baru selaku seorang pendidik hinggalah ke hari ini.



Hari ini, Cikgu Zamri dikurniakan Allah satu lagi nikmat dalam kehidupannya, iaitu apabila beliau bertemu jodohnya. Kebetulan pula, isteri Cikgu Zamri, Pn. Azila Alias, merupakan seorang wanita yang berpenglihatan (maaf kerana foto isterinya tiada dalam posting ini). Pada pengamatan saya, Cikgu Zamri berhak untuk menikmati apa yang sedang beliau nikmati hari ini kerana kesabaran dan ketabahan beliau dalam mengharungi liku-liku hidupnya.



Antara yang turut hadir dalam majlis perkahwinan Cikgu Zamri ialah bekas pensyarah beliau yang juga bekas pensyarah saya ketika kami menuntut di MPRM, iaitu En. Anuar Mohamed. En. Anuar telah pun tiba di Johor Baru sejak 28 Mei lagi. En. Anuar merupakan seorang pensyarah yang cukup prihatin, khususnya terhadap murid-muridnya yang tidak berpenglihatan. Sekitar sedekad lalu, beliau juga turut menghadiri majlis perkahwinan saya di Melaka. Hanya majlis perkahwinan Cikgu Yong Chwan Fwu sahaja yang belum beliau hadiri, kerana Cikgu Yong belum kahwin lagi!



Kepada Cikgu Zamri Ishak dan isterinya, Pn. Azila Alias, saya ucapkan selamat pengantin baru. Saya mendoakan semoga anda berdua akan sentiasa dalam limpahan berkat dan rahmat daripada Allah sepanjang masa dunia akhirat.

Wednesday, May 26, 2010

Selamat Datang Ke Dunia Maya

Terlebih dahulu, saya ingin memohon ribuan kemaafan kepada para pengunjung Besiwaja kerana sudah 10 hari saya tidak mengemas kini blog ini. Bukannya tak ada perkara yang hendak ditulis, tetapi oleh kerana kesibukan yang begitu memuncak, maka saya tidak dapat memperuntukkan waktu yang secukupnya untuk mengemas kini blog ini.

Sebentar tadi, tatkala saya singgah di blog salah seorang anak murid saya (Lok Weng Hang), saya terbaca mengenai kewujudan satu lagi blog baru kendalian seorang lagi anak murid saya, iaitu Ahmad Shahide bin Roslan. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Lok Weng Hang kerana berkongsi maklumat ini untuk manfaat bersama.



Ahmad Shihide merupakan rakan sekelas dengan Lok Weng Hang. Beliau merupakan seorang pelajar yang sangat komited dengan pelajarannya dan tidak keterlaluan jika saya katakan beliau juga merupakan antara ayam tambatan dalam kalangan murid-murid tingkatan 5 tahun ini. Murid yang berpenglihatan terhad (rabun) ini juga disenangi oleh rakan-rakannya.

Kepada Ahmad Shahide, diucapkan selamat datang ke dunia maya. Adalah diharapkan semoga Ahmad Shihide akan mampu menjadi warga dunia maya yang bertanggungjawab, berpendirian, menjunjung prinsip kebenaran dan jangan sekali-kali takut untuk menyampaikan kebenaran.

Kepada yang berminat, silakanlah kunjungi blog Ahmad Shihidi di http://www.shidimt.blogspot.com, atau klik (enter bagi pengguna cacat penglihatan) pada ahmad shihide di bawah Laman Sesawang Kendalian Blogger Cacat Penglihatan pada pautan di bawah blog ini.

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru Tahun 2010

Setiap tahun, 16 Mei telah dipilih sebagai sambutan hari guru peringkat kebangsaan. Menurut satu sumber, tarikh 16 Mei dipilih untuk mengadakan sambutan hari guru ialah kerana pada tarikh berkenaan (16 Mei) dalam tahun 1956, Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) telah menerima Laporan Razak. Laporan Razak merupakan dokumen penting yang telah meletakkan landasan kepada hala tuju sistem pendidikan negara seterusnya. Manakala sambutan hari guru pertama telah diadakan pada 16 Mei 1972.

Salah satu daripada acara dalam sambutan hari guru ialah penganugerahan tokoh guru kepada guru-guru atau bekas guru yang telah banyak menabur jasa kepada dunia pendidikan. Penganugerahan tokoh guru untuk kali pertama telah dilakukan dalam sambutan hari guru pada tahun 1975. Antara mereka yang telah dianugerahkan tokoh guru pertama ialah, Puan Hajah Zainun bte Munshi Sulaiman (Allahyarham), Encik Mohd. Nor bin Ahmad, Encik Ting Pin Sung, Encik A.V. Perumal dan Encik Tan Chong Bee.

Hari ini, selaras dengan perkembangan semasa, tugas dan tanggungjawab seseorang pendidik semakin besar dan mencabar. Tugas guru tidak hanya setakat dalam bilik darjah atau di sekolah semata-mata. Sebab itulah cuti bagi seseorang guru tidak bermakna berehat. Adakalanya, guru lebih dipertanggungjawabkan ke atas kegagalan anak-anak didiknya.

Sejak malam tadi lagi, saya mula menerima ucapan/balasan ucapan daripada rakan-rakan guru, rakan-rakan biasa serta ucapan daripada bekas-bekas anak murid saya menerusi SMS. Kepada rakan-rakan guru, bekas guru saya serta kepada para pendidik di seluruh negara, saya ucapkan selamat hari guru.

Berikut ialah antara beberapa ucapan/balasan ucapan yang saya terima bersempena sambutan hari guru tahun ini setakat ini:


Tqvm semoga Zakaria sekeluarga diberkati n dilindungi Allah.
(Cikgu Khairiah)



Assalamualaikum. Guruku, selamat menyambut hari guru. Untuk guruku yang dihormati, semoga cikgu dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan semoga pengorbanan cikgu diberkati dan dirahmati Allah. Amin. Insha Allah.
(Wan Mohd Fadhil)



Salam. Selamat menyambut hari guru buat guru-guru/pensyarah-pensyarah yang telah banyak mengajar saya. Terima kasih atas jasa kalian, semoga dirahmati dan bahagia dunia akhirat.
(Norihan dan suami)



Assalamualaikum. Pena biru pena merah, mari simpan dalam kotak, tugas guru berat dan payah, bagai getir menolak ombak. Selamat menyambut Hari Guru 2010. Jasa mulia dan pengorbanan laksana dia membakar diri demi menyuluh hidup dunia ukhrawi yang telah dicurahkan tidak sebanding segunung emas. Semoga tabah, sabar dan cekal menghadapi cabaran serta mehnah perjuangan mendidik bunga bangsa. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Moga terus sukses dan cemerlang selalu!
(Abu Hassan Ashari Razak)



Selamat Hari Guru buat Cikgu Zakaria juga. Terima kasih byk kerana byk mengajar sye. Nant nak minta ajar lg ni.
(Cikgu Norsuhaila Salim)



Ya Tuhan ... guru yang membaca SMS ini adalah seorg yg cantik hatinya, kuat, sabar & perlu disayangi. Kau tingkatkanlah kehidupannya dengan rezeki, berkat dan rahmatilah setiap langkahnya dalam mencari rezeki keluarganya. Bersihkanlah hati dan kuatkanlah imannya ... peliharakanlah dia dari sebarang fitnah. Selamat Hari Guru.
(Cikgu Rubiah Abu Amin)



T kasih Pak Ya. Selamat Hari Guru, semoga Tuhan merahmati Pak Ya & juga keluarga! Mengajar tanpa rasa jemu & no stress ya, all the best, happy teachers’ day.
(Cikgu Ngian Leh Nah)



Dari Cameron ke Kota Bharu, singgah sebentar di pekan rabu, selamat menyambut hari guru, walaupun dunia dah haru-biru.
(Cikgu Zinaida Ariffin)



Dulu, murid hormat dan takut guru, kini ... guru takut murid. Dulu, guru chalk n talk. Kini ... guru kena slow talk. Dulu guru boleh claim. Kini ... tak boleh complain. Duku hari guru dapat wang saku. Kini ... hari guru dapat “penyapu” ... kena gotong-royong. Selamat hari guru.
(Cikgu Heder)



Tq very much for our teachers day greetings. Its the 1st greetings this season happy teachers to u too. This is my last celebration in school.
(Cikgu Sabaruddin Isa)


Salam dari Kuantan.

Friday, May 14, 2010

Giliran Wee Choo Keong Pula Meninggalkan PKR

Sebentar tadi, sewaktu dalam perjalanan pulang dari Putrajaya, saya terdengar berita melalui siaran radio bahawa ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong telah mengisytiharkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini (14 Mei). Setelah tiba di rumah, saya segera mencari maklumat lanjut berita tersebut. Berikut adalah petikan berita yang saya perolehi daripada segmen Terkini dalam Utusan:


Skandal pasir: Ahli Parlimen Wee Choo Keong keluar PKR
14/05/2010 8:09pm

KUALA LUMPUR 14 Mei – Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong hari ini mengisytiharkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kesal dengan kepemimpinan PKR dan pakatan pembangkang yang gagal mengambil tindakan terhadap skandal pasir di Dengkil, Selangor.
Katanya beliau setakat ini, tidak bercadang menyertai mana-mana parti dan akan menjadi Ahli Parlimen Bebas.
"Saya mengumumkan keluar parti dan meletakkan jawatan dalam PKR setelah kecewa dengan kepemimpinan tertinggi PKR dan pakatan rakyat yang gagal mengambil tindakan sewajarnya berkenaan isu pasir di Dengkil.
"Saya merasakan saya tidak boleh lagi menyumbangkan khidmat dalam keadaan sebegini terutama isu-isu yang saya sendiri tidak boleh percayai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Choo Keong, seorang peguam berkata, beliau telah memaklumkan peletakan jawatannya kepada majlis tertinggi PKR. – Bernama


Walaupun saya sekadar peminat dan pemerhati politik berstatus ikan bilis, saya merasakan alasan yang diberi oleh Wee Choo Keong untuk meninggalkan PKR kerana skandal pasir di Dengkil amat dangkal. Skandal berkenaan berlaku di Dengkil dan bukannya di Wangsa Maju. Kalau alasan meninggalkan PKR kerana kegagalan membela para peniaga pasar dinihari di Danau Kota mungkin boleh diterima, dan tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh Wee jika bersandarkan alasan tersebut bukannya meninggalkan parti siasah, tetapi tindakan yang lebih tepat ialah dengan mengosongkan kerusi parlimennya di Wangsa Maju.

Saya pernah terbaca tulisan seorang blogger tersohor di tanah air beberapa minggu lalu, di mana beliau meramalkan suatu hari nanti Wee Choo Keong akan meninggalkan PKR juga. Nampaknya apa yang berlaku hari ini membuktikan bahawa ramalan blogger berkenaan bukannya sekadar telekan nujum Pak Belalang.

Dengan pengisytiharan Wee Choo Keong keluar dari PKR, maka setakat ini PKR sudah kehilangan 6 kerusi parlimen. Jika pada 8 Mac 2008, PKR mempunyai sebanyak 31 kerusi di Dewan Rakyat, hari ini jumlah kerusi PKR di Dewan Rakyat hanya berjumlah 25 sahaja. Pada 25 April lalu, PKR telah kehilangan kerusi kelimanya apabila parlimen Hulu Selangor berjaya dirampas oleh Barisan Nasional (BN) dalam satu pilihanraya kecil. Agak-agaknyalah, selepas ini entah siapa pula yang akan meninggalkan PKR!

Ramalan yang mengatakan suatu hari kelak Wee Choo Keong akan meninggalkan PKR juga kini sudah tampak kenyataannya. Persoalannya, mengapa Wee Choo Keong memilih hari ini untuk mengisytiharkan keluar dari PKR? Mengapa beliau tidak mengisytiharkan keluar parti beberapa minggu lepas, ataupun beberapa hari lagi? Adakah hari ini sengaja dipilih sebagai sebahagian daripada strategi dalam pilihanraya kecil parlimen Sibu?

Biar apa pun alasannya, langkah Wee Choo Keong ini sudah tentu akan memberi kesan kepada pakatan pembangkang, khususnya kepada PKR sendiri, setidak-tidaknya untuk jangka masa terdekat. Kuasa politik PKR dalam pakatan pembangkang semakin lemah. Sebaliknya, DAP pula sedang mengukuhkan keunggulannya dalam pakatan pembangkang. Sekiranya calon DAP menang dalam pilihanraya parlimen Sibu, maka keunggulan DAP semakin menyerlah. Maka tidak menghairankan bila tiba masanya nanti, DAP pula yang akan berperanan lebih besar selaku peneraju pakatan pembangkang. Sekiranya ini yang berlaku, sudah tentulah ia akan menggugat sokongan dan dokongan orang Melayu terhadap pakatan pembangkang itu sendiri.

Di samping itu, langkah Wee Choo Keong ini juga semakin mempercepatkan usaha Barisan Nasional (BN) untuk kembali memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat tanpa menanti pilihanraya umum berikutnya. Pertambahan wakil bebas di Dewan Rakyat akan memudahkan usaha BN untuk kembali memperoleh majoriti dua pertiga kerana setidak-tidaknya wakil-wakil bebas ini lebih cenderung untuk menyokong BN daripada pakatan pembangkang dalam kebanyakan isu.

Di samping itu, langkah Wee Choo Keong inii juga telah memberi imej yang kurang baik terutamanya terhadap kepimpinan PKR itu sendiri. Jika diteliti alasan yang digunakan oleh bekas-bekas ahli PKR yang telah keluar parti ini, skrip mereka hampir sama, iaitu kecewa dengan kepimpinan PKR. Kalau seorang yang menggunakan alasan sedemikian mungkin ia tidak memberi bekas kepada kepimpinan PKR. Tetapi jika skrip yang sama digunakan oleh beberapa orang untuk meninggalkan PKR, maka orang ramai akan turut sama mempersoalkan kewibawaan barisan kepimpinan PKR. Sama ada ia benar atau tidak, pada tahap ini ia bukan menjadi persoalan penting. Setidak-tidaknya ia telah mencalarkan kredibiliti kepimpinan PKR yang ada sekarang.

Apa yang nyata di sini, PKR mempunyai sebilangan ahli parlimen dan DUN yang kurang setia kepada parti. Sebab itulah mereka tidak segan silu meninggalkan PKR tanpa bangun daripada kerusi masing-masing.

Saya meminati politik sejak sebelum aqil baligh lagi.

Sunday, May 9, 2010

Suara Abang Amin Memang Merdu

Suara Abang Amin Memang Merdu

Terlebih dahulu, saya mohon berbanyak kemaafan kepada pengunjung blog ini kerana tiada foto yang disertakan bersama-sama posting ini. Sebenarnya beberapa keping foto di dewan utama Kompleks MAB telah saya ambil dengan bantuan seorang petugas yang belum saya kenali. Entah di mana silapnya, foto yang telah diambil itu tidak menjadi. Walau bagaimanapun, bantuan daripada petugas berkenaan tetap saya harga dan saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Semalam (8 Mei), saya bersama-sama beberapa orang guru serta 43 murid daripada sekolah saya telah ke kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB). Tujuan kami ialah untuk melaksanakan aktiviti perkampungan bahasa yang mendapat tajaan sepenuhnya daripada MAB. Seharian kami di sana.

Selepas kudapan, sekitar jam 1045 pagi, saya sempat masuk ke dewan utama MAB selama 15 minit. Di sini ada aktiviti anjuran Elderly Blind Club (EBC). Sewaktu saya masuk ke dewan, Abang Amin (Mohd Amin bin Md Nor) sedang mendendangkan sebuah lagu Inggeris yang berjudul You Mean Everything To Me. Saya terpegun dengan kemerduan suara Abang Amin. Walaupun saya sudah mengenali dan akrab dengan beliau sejak hampir 2 dekad, tetapi ini kali pertama saya mendengar beliau menyanyi. Memang saya tak pernah menyangka Abang Amin boleh menyanyi dan suara beliau semerdu ini. Antara rakan-rakan lain yang kedengaran suara mereka ialah Abang Taslim, En. Godfrey Ooi, Cik Ng Lai dan beberapa orang lagi. Saya tidak pun memanggil/menegur mereka kerana keadaan yang tidak kondusif untuk saya berbuat demikian.

Tatkala saya sedang asyik menikmati kemerduan suara Abang Amin, sekonyong-konyong, saya terus teringatkan sebilangan rakan saya yang juga punya bakat besar dalam seni suara dan juga seni muzik. Saya kira, Abang Amin masih bernasib baik kerana beliau seorang yang berkerjaya. Beliau merupakan seorang kakitangan awam yang sedang berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan. Abang Amin tidak bergantung hidup dan rezekinya kepada bakat seni suara yang ada padanya.

Realitinya, tidak semua orang cacat penglihatan yang punya bakat besar dalam seni suara dan seni muzik bernasib baik sebagaimana Abang Amin. Ramai juga di antara mereka yang memang bergantung hidup sepenuhnya dengan bakat seni suara atau seni muzik yang ada pada mereka. Setakat dalam pengetahuan saya, sehingga kini, bilangan mereka yang cacat penglihatan yang mampu menjadikan bakat seni suara dan seni muzik sebagai mata pencarian hidup yang benar-benar dapat menjamin masa depan mereka masih boleh dihitung dengan jari sebelah tangan. Selebihnya harus menjadi pemuzik dan penyanyi jalanan. Walaupun ada di antara mereka yang punya suara yang sangat merdu dan berbakat besar dalam bidang muzik, tetapi amat jarang sekali mereka berpeluang untuk terlibat dalam konsert yang besar di hotel yang berbintang-bintang.

Oleh itu, golongan cacat penglihatan yang dikategorikan sebagai pemuzik dan penyanyi jalanan tadi tiada pilihan lain. Demi sesuap nasi dan seteguk air, mereka harus berkonsert di hadapan pusat-pusat membeli-belah, di pasar-pasar malam, di pasar-pasar tani atau di tempat-tempat tumpuan umum yang lain. Manakala persepsi sebahagian besar masyarakat kita pula, golongan seperti ini lebih dipandang sebagai pengemis daripada penghibur.

Setakat ini, saya tidak nampak situasi sebegini akan berubah dalam masa singkat. Kalau ditanya pada bakal majikan, mengapa golongan cacat penglihatan yang berbakat besar dalam bidang seni muzik tidak diambil bekerja dengan mereka? Jawapan yang diberi mudah sahaja, kerana mereka tidak ada sijil dalam bidang muzik. Jadi, di manakah golongan pemuzik tadi boleh mendapatkan sijil mereka?

Hakikatnya, sijil yang mereka perlukan tidak ada di pusat-pusat membeli-belah, tidak ada di pasar-pasar malam, tidak ada di pasar tani atau di pejabat buruh. Jadi, pihak manakah yang seharusnya memberikan tempat, ruang dan peluang kepada mereka yang punya bakat besar dalam seni muzik ini untuk memperoleh sijil? Jawapannya tentulah institusi pendidikan yang berkenaan. Persoalannya, sudah adakah mana-mana institusi pendidikan di negara ini yang benar-benar telah menyediakan landasan yang betul untuk mengasah dan menggilap anak-anak yang berbakat dalam bidang seni muzik ini supaya ia boleh dijadikan kerjaya yang dapat menjamin masa depan mereka? Tepuk dada, tanyalah selera. Hendak seribu daya, tak mahu seribu alasan. Sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya masih menyediakan golongan pelapis untuk mewarisi kerjaya sebagai pemuzik jalanan pada masa hadapan.

Adakalanya, kita lebih dituntut untuk menjaga hati orang lain daripada memperkatakan nasib golongan yang senasib.

Selamat Hari Ibu

Hari Ahad kedua dalam bulan Mei telah disefakati sebagai Hari Ibu. Oleh itu, bersempena dengan hari tersebut, bermacam aktiviti telah dianjurkan, khususnya di peringkat keluarga sebagai meraikan Hari Ibu. Ia juga bertujuan sebagai tanda penghormatan setiap anak kepada ibu masing-masing.

Di samping itu, Hari Ibu juga turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai rancangan yang telah diatur oleh media elektronik bersempena hari tersebut. Ada rancangan khas untuk mengucapkan selamat Hari Ibu kepada ibu masing-masing oleh para pendengar. Ada juga rancangan berasaskan kenangan kepada ibu. Selain itu, lagu-lagu yang bertemakan ibu juga banyak disiarkan menerusi corong-corong radio, sama ada radio kerajaan mahupun radio swasta. Ini menunjukkan, semua pihak ingin melahirkan rasa sayang dan kasih mereka terhadap insan yang berstatus ibu dengan pelbagai cara pada hari ini.



Saya sendiri dapat merasakan kasih seorang ibu sejak dari kecil lagi. Bagi saya, yang paling terbesar kasih ibu kepada saya ialah bilamana beliau dengan penuh keikhlasan sudi menerima saya yang tidak berpenglihatan ini sebagai anaknya. Sejak lahir dan setelah mengetahui saya tidak berpenglihatan, ibu saya tidak sekali-kali membuang saya di tong-tong sampah, atau meninggalkan saya di masjid atau di halaman surau. Ibu saya juga tidak memberikan saya kepada orang lain untuk dipelihara, sedangkan kehidupan keluarga kami waktu itu bukanlah senang mana. Arwah nenek saya pernah memberitahu saya, ibu saya tidak sekali-kali memberikan saya untuk dipelihara oleh nenek saya walaupun diminta beberapa kali.

Setelah usia tiba untuk masuk sekolah (sekolah rendah), ibu sayalah yang banyak bergerak ke sana dan ke mari untuk menguruskan persekolahan saya. Pada masa yang sama, ramai juga saudara-mara saya di kampung waktu itu yang tidak bersetuju agar saya dihantar ke sekolah. Kononnya akan menyusahkan orang lain. Maklumlah saya akan disekolahkan di Johor Baru dan akan tinggal di asrama pula. Namun begitu, sikap tegas ibu saya yang ingin saya bersekolah tidak terbantah lagi oleh kaum keluarga yang lain. Demikianlah besarnya kasih seorang ibu.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menyayangi para ibu kita sepanjang masa dan bukan pada hari tertentu sahaja. Kasih ibu tak mungkin terbalas oleh kita walaupun dengan kita memperhambakan diri untuknya sepanjang hayat. Kasih sayang seorang ibu juga tiada ternilai harganya walaupun dengan harta kepunyaan si Qarun.

Marilah kita sama-sama berbakti kepada ibu kita selagi hayatnya masih ada. Kepada mereka yang ibunya telah menghadap Ilahi, marilah sama-sama kita ingati ibu kita dalam doa dan surah Alfatihah.

Kalaulah semua anak mengasihi ibu masing-masing sebagaimana kasih sayang yang pernah dicurahkan kepada mereka oleh si ibu, saya rasa, negara kita mungkin memerlukan hanya sebuah dua sahaja rumah untuk menempatkan orang-orang tua.

Saya mengucapkan selamat Hari Ibu kepada semua yang berstatus ibu.

Wednesday, May 5, 2010

Wakil OKU Di Parlimen

Sekitar dua hari lepas, saya menerima SMS daripada seorang rakan. Antara lain, kandungan SMS beliau berbunyi:


Kita lantik Karpal Singh sajalah jadi wakil OKU di dewan. Senator Ismail Salleh meninggal diganti dengan Idris Jala, Palanivel, Ezam. Nanti mesti ada ahli parlimen yang mati lagi. Harap2 kawasan akulah, dapatlah jalan tar baru.




Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ismail Md Salleh telah dilantik sebagai senator (Ahli Dewan Negara) pada 18 disember 2007 (Selasa). Pelantikan beliau selaku Ahli Dewan Negara telah melakar sejarah di negara kita kerana beliau merupakan golongan OKU pertama yang telah mendapat pengiktirafan setinggi itu khususnya daripada kerajaan. Pelantikan beliau sebagai senator bukan setakat mewakili golongan cacat penglihatan sahaja, bahkan beliau merupakan wakil untuk semua golongan OKU. Lagipun, setakat yang saya maklum, tiada siapa pun yang mempertikaikan pelantikan beliau sebagai Ahli Dewan Negara, sama ada dalam kalangan OKU sendiri, mahupun orang bukan OKU. Boleh dikatakan, semua pihak bersetuju dengan pelantikan beliau. Beliau memang berkelayakan untuk diberi pengiktirafan sebesar itu memandangkan kelulusan serta sumbangan yang telah beliau berikan bukan sahaja kepada golongan OKU, bahkan kepada masyarakat dan negara amnya. Namun begitu, dengan kehendak daripada Yang Maha Esa, pada awal pagi 27 Ogos 2009 (Khamis), seluruh negara dan kita semua telah menerima berita yang mendukacitakan iaitu Allahyarham telah meninggal dunia dalam penerbangan pulang ke tanah air dari China.



Kalau kita mengatakan Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ismail Md Salleh adalah Ahli Dewan Negara pertama dalam kalangan OKU, mungkin ia ada benarnya. Lagi pun, setakat dalam pengetahuan saya, sebelum beliau, tiada seorang pun dari mana-mana kategori OKU yang pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Namun begitu, bagi saya, adalah kurang tepat jika kita berpendapat Allahyarham Dato’ Dr. Ismail merupakan ahli parlimen pertama dalam kalangan golongan OKU. Kita perlu faham, institusi parlimen terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu, Yang Dipertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Setakat yang saya maklum, Karpal Singh telah pun menjadi “warga OKU” sebelum pelantikan Allahyarham Dato’ Dr. Ismail sebagai Ahli Dewan Negara. Setakat yang saya maklum, semasa Karpal Singh berjaya masuk semula sebagai Ahli Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum 2004, beliau sudah pun merupakan pengguna kerusi roda. Oleh itu, jika sebagai ahli parlimen pertama dalam kalangan OKU, mungkin Karpal Singh adalah tokohnya. Dalam hal ini, ada beberapa perkara menarik yang boleh kita fikirkan bersama. Adakah Karpal Singh merupakan wakil OKU di parlimen, atau beliau lebih merupakan ahli parlimen dalam kalangan OKU sahaja?



Allahyarham Dato’ Dr. Ismail Salleh merupakan seorang OKU sejak dari asal (ini tidak menjadi pertikaian). Beliau juga merupakan presiden Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) ketika dilantik sebagai senator. Selain itu, beliau juga mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas mengenai hal ehwal OKU. Kebetulan pula, beliau sendiri merupakan seorang OKU (cacat penglihatan). Dengan itu, pelantikan beliau sebagai Ahli Dewan Negara untuk mewakili kepentingan golongan OKU amat tepat sekali dan memang kena pada masanya.

Selepas Allahyarham Datuk Dr. Ismail meninggal dunia, maka ada pihak yang berpendapat kekosongan yang telah ditinggalkan oleh beliau selaku wakil OKU di parlimen harus diganti. Bahkan beberapa orang rakan punya pendapat yang lebih radikal, iaitu bahawa satu tempat dalam Dewan Negara sudah menjadi hak mutlak untuk OKU. Kita harus faham, tiada sebarang peruntukan yang memperuntukkan bahawa seorang wakil dalam kalangan OKU hendaklah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Pelantikan Allahyarham Datuk Dr. Ismail merupakan satu pengiktirafan kepada beliau dan golongan OKU sebenarnya sekadar mendapat tempiasnya semata-mata. Ini bermakna, jika kerajaan tidak melantik golongan OKU sebagai Ahli Dewan Negara untuk menggantikan tempat Allahyarham Datuk Dr. Ismail, maka ia bukanlah suatu kesalahan. Pelantikan sedemikian adalah hak mutlak kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan bagi tiap-tiap negeri.

Walau bagaimanapun, saya dan kita semua amat mengalu-alukan jika kerajaan Persekutuan terutamanya dapat melantik seseorang sebagai Ahli Dewan Negara untuk mewakili golongan OKU dan kepentingan mereka. Seseorang yang boleh dilantik untuk mewakili golongan OKU di Dewan Negara hendaklah terdiri daripada mereka yang benar-benar berpengetahuan dan berpengalaman luas mengenai golongan OKU. Orang yang berkenaan juga hendaklah mempunyai hubungan yang akrab dengan semua kategori OKKU. Orang yang berkenaan juga hendaklah bersikap berani dan tegas dalam mengenengahkan kepentingan golongan OKU khususnya di peringkat parlimen. Orang yang berkenaan juga hendaklah benar-benar menjiwai golongan OKU dan bukan mempergunakan golongan OKU untuk menaikkan nama sendiri semata-mata. Di sini, saya tidaklah bermaksud hanya OKU sahaja yang layak mewakili golongan OKU di Dewan Negara. Adalah tidak salah jika orang bukan OKU juga dilantik untuk mewakili kepentingan OKU jika orang berkenaan benar-benar menepati syarat kelayakan untuk dilantik bagi mewakili kepentingan golongan OKU di parlimen.

Saya lebih cenderung wakil OKU dilantik di parlimen sebagai Ahli Dewan Negara kerana keanggotaannya adalah menerusi lantikan dan tidak perlu melalui pilihanraya. Jika mana-mana OKU hendak masuk ke parlimen melalui Dewan Rakyat, maka ia tidak salah, bahkan amat dialu-alukan jika berkemampuan dalam segenap aspek. Percubaan pernah dibuat oleh seorang OKU penglihatan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum tahun 1999 tetapi beliau gagal. Kalau tak silap, wang pertarungannya pun lesap. Mungkin beliau menyertai pilihanraya umum ketika itu hanya berbekalkan semangat semata-mata tanpa disertai sokongan para pengundi.

Bagi saya, elok juga kalau kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan pelantikan seorang untuk mewakili golongan OKU di Dewan Negara bagi menggantikan tempat Allahyarham Datuk Dr. Ismail Md Salleh. Mana tahu, kalau ada di antara kerajaan negeri yang empat terlebih dahulu melantik golongan OKU sebagai ahli Dewan negara, nanti kerajaan Persekutuan juga yang terlepas peluang untuk mendapat nama yang baik.

Tuesday, May 4, 2010

Merekakah Generasi Yang Dilahirkan Untuk Golongan Seperti Kami?

Saya pernah menulis melalui blog ini bahawa Fakulti Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) yang pertama di negara ini yang ada menawarkan kursus berkaitan penulisan Alquran melalui kaedah Braille. Sehingga kini pun, USIM masih merupakan IPT tunggal yang menawarkan kursus berkenaan di negara kita.

Baru-baru ini, sebilangan pelajar tahun akhir daripada Fakulti Quran Sunnah, USIM, telah meminta bantuan saya untuk menyemak dan menilai hasil projek tahun akhir mereka. Perlu saya jelaskan di sini, saya bukan menyemak dan menilai hasil projek ilmiah mereka bagi pihak universiti, tetapi sekadar membantu para penuntut berkenaan untuk menyempurnakan hasil projek ilmiah mereka secara sukarela semata-mata. Lagi pun, tenaga pengajar yang sedia ada sememangnya berkebolehan. Selain itu, para penuntut berkenaan telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap Braille. Jadi, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk terus menyemarakkan lagi minat mereka yang sedang marak membara itu.



Sebagai projek ilmiah tahun akhir mereka, para penuntut berkenaan telah membuat tulis pindah daripada tulisan biasa kepada tulisan Braille. Apa yang menariknya, buku-buku yang digunakan sebagai bahan untuk ditulis pindah merupakan buku-buku yang sepenuhnya bertulisan Jawi dan juga terdapat banyak ayat-ayat Alquran. Dengan erti kata lain, para penuntut yang terlibat telah menyalin semula buku-buku tertentu yang pada asalnya bertulisan biasa ke dalam bentuk tulisan Braille. Sayugia dinyatakan di sini, semua penuntut yang terlibat merupakan mereka yang berpenglihatan. Seperkara lagi, jumlah halaman yang terlibat untuk satu-satu buku pula bukannya sehelai dua, tetapi berpuluh halaman untuk satu-satu buku. Bahkan ada sebuah buku bila dicetak ke dalam bentuk Braille, ia mengandungi sehingga 200 halaman dalam cetakan Braille. Kalau tak silap saya, terdapat sekitar 5 judul buku yang terlibat dengan projek berkenaan. Bila dicetak ke dalam Braille, ia melibatkan sekitar 15 jilid kesemuanya.



Setelah meneliti dan menyemak hasil projek para penuntut berkenaan, saya dapati, secara umumnya para penuntut berkenaan sememangnya berkebolehan dalam sistem tulisan Braille, khususnya yang berkaitan dengan kaedah penulisan Jawi dan Alquran Braille. Bahkan ada beberapa penuntut telah menunjukkan kemampuan serta kemahiran dalam tulisan Jawi dan Alquran Braille yang agak mengkagumkan. Para penuntut berkenaan bukan sahaja berjaya menulis pindah bahan-bahan berbentuk teks daripada tulisan biasa ke dalam bentuk Braille, bahkan ada di antara mereka yang mampu untuk menulis pindah kotak dan jadual daripada bentuk cetakan biasa ke dalam bentuk Braille Dengan baik.



Pada dasarnya, para penuntut ini memang tiada pengalaman langsung khususnya dengan dunia golongan cacat penglihatan. Mereka juga tidak pernah kenal secara dekat apa itu Braille serta peralatan untuk menulis Braille. Bahkan kebanyakan antara mereka bergaul dengan orang buta pun tidak pernah sebelum ini. Namun demikian, bagi saya, minat, kesungguhan serta semangat yang telah mereka tunjukkan untuk mempelajari dan mendalami sistem tulisan Braille, khususnya yang berkaitan dengan Jawi dan Alquran Braille merupakan sesuatu yang mengkagumkan.

Bilamana para penuntut berkenaan bersungguh-sungguh untuk mempelajari sistem tulisan Braille, terutamanya Jawi dan Alquran Braille, maka sudah tentulah saya mesti bersungguh-sungguh pula untuk membantu mereka. Sikap kesungguhan mereka tidak setakat di bibir semata-mata. Hasil projek yang mereka berjaya hasilkan merupakan bukti tentang kesungguhan mereka. Kalau ungkapan bersungguh-sungguh itu setakat di bibir sahaja dan setelah bertahun-tahun masih tidak khatam dalam Braille lagi, maka itu tidak bersungguh namanya.



Sebagai kesinambungannya, para penuntut daripada fakulti yang sama yang akan melangkah ke tahun akhir semester hadapan juga telah mula mengorak langkah ke arah penghasilan projek yang sama bagi judul yang lain pula. Mereka sanggup menemui saya di ibu pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk mendapatkan pendedahan lanjut khususnya berkaitan penggunaan perisian yang sesuai untuk mereka gunakan ke arah penghasilan projek itu nanti.



Kepada penuntut yang berkenaan, besarlah harapan saya serta kami semua agar ilmu berkaitan Braille yang telah diperolehi tidak disia-siakan begitu sahaja. Terokailah ruang dan peluang di mana ada agar ilmu yang telah dipelajari itu dapat dimanfaatkan. Jika tidak menjadi keberatan, bila tiba masa yang sesuai nanti, marilah menyertai kami dalam usaha menegakkan kalimah Allah di muka bumi yang fana ini.



Mungkin, mereka ini adalah generasi yang dilahirkan untuk bersama-sama kami suatu hari nanti. Hanya Allah yang terlebih mengetahuinya.

Monday, May 3, 2010

Naluri Seorang Ibu






Pada hujung minggu lepas, setelah menghadiri mesyuarat agung PERTIS Negeri Sembilan di Seremban, saya sekeluarga terus pulang ke kampung di Melaka. Lagipun sudah 3 bulan saya tidak berkesempatan pulang ke kampung sendiri. Ini tidaklah bermakna saya tidak bertemu dengan ibu serta keluarga saya yang di kampung selama itu. Kami ada juga bertemu tetapi lokasi pertemuan itu bukannya di kampung sendiri. Sebenarnya kali akhir saya bertemu ibu saya ialah sekitar 2 minggu lepas semasa kami sama-sama menghadiri majlis cukur jambul cucu saudara ibu saya di Kuala Lumpur.



Pada sebelah malamnya, sewaktu sedang menanti untuk makan malam, secara tiba-tiba ibu saya bertanya kepada saya: “Ada ke apa-apa yang terjadi pada kau seminggu dua lepas? Sebenarnya mak ada juga nak tanya masa kita di rumah Mak Itam 2 minggu lepas, tapi tak terkeluar.” Saya agak kehairanan dengan pertanyaan ibu saya. Lalu saya bertanya kembali: “Kenapa mak tanya macam tu, setakat yang saya ingat, tidak ada apa-apa yang besar yangterjadi pada diri saya.”

Agaknya ibu saya kurang puas hati dengan jawapan saya, lalu dia berkata pula: “Kalau tak ada apa-apa yang buruk, baguslah. Tapi, seminggu dua lepas, hati mak tak tenteram bila teringatkan kau. Kadang-kadang bila terkenangkan kau ada rasa sedih, kadang-kadang timbul rasa berdebar. Mak pun tak tahu apa sebabnya.”

Lalu saya berkata: “Agaknya sebab kesihatan saya masa tu yang kurang memuaskan, lagipun dalam bulan lepas 2 hari saya cuti sakit.” Ibu saya berkata pula: “Agaknyalah.” Lalu saya cepat-cepat bertukar ke topik yang lain pula.

Saya penuh yakin, ibu saya tidak mengetahui kisah yang telah berlaku. Namun begitu, sebagai seorang ibu, saya tidak menolak kemungkinan dia dapat merasai apa yang sedang saya lalui. Demikianlah kasih seorang ibu, punya ruang lingkup yang seringkali tidak terjangkau oleh kita sebagai anak.



Sementara itu, kalau kami pulang ke kampung, Luqman adalah hamba Allah yang paling gembira sekali. Banyak aktiviti yang dia suka lakukan kalau di kampung. Lagi pun, dia boleh bermain dan berkelahi dengan ramai sepupunya. Manakala atuknya (ayah saya) suka melayan.



Kadang-kadang Luqman bermain pasir di halaman rumah. Kadang-kadang dia masuk reban ayam bersama-sama seorang sepupunya yang setahun tua daripadanya. Adakalanya dia akan mengikut neneknya ke kebun. Oleh kerana aktiviti sedemikian tak jumpa di Kuala Lumpur, maka saya biarkan saja apa dia suka nak buat. Namun begitu, kalau sudah terlebih saya akan kawal juga.

Bila kena marah, Luqman akan mengadu pada neneknya. Di sini yang saya sering mengalah.

Sunday, May 2, 2010

Mesyuarat Agung Ketiga PERTIS Negeri Sembilan



Pada 1 Mei 2010 (Sabtu), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Negeri Sembilan Darul Khusus telah mengadakan Mesyuarat Agungnya yang Ketiga. Mesyuarat telah berlangsung di pejabat PERTIS Wilayah Negeri Sembilan, di No. 16, Taman Shukor, Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan. Selaku Naib Yang Dipertua (NYDP) PERTIS Pusat, saya telah dijemput untuk merasmikan mesyuarat berkenaan.



Mesyuarat tersebut telah dihadiri seramai 12 orang Ahli biasa dan 6 orang Ahli Bersekutu. Selain itu, beberapa orang pemerhati daripada PERTIS Pusat juga turut hadir dalam mesyuarat tersebut. Untuk maklumat kita bersama, setakat ini PERTIS Wilayah Negeri Sembilan mempunyai seramai 75 ahli kesemuanya yang merangkumi sama ada kategori Ahli Biasa dan juga Ahli Bersekutu.



Dalam ucapan perasmian, saya antara lain mengatakan, dalam usaha kita menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, rintangan dan cabaran adalah asam garam dan merupakan perkara biasa. Oleh itu, saya berharap supaya sikap putus asa, merajuk atau yang seumpamanya tidak sepatutnya ada dalam kamus barisan pemimpinnya. Seterusnya, saya memaklumkan bahawa, PERTIS Wilayah Negeri Sembilan merupakan PERTIS peringkat negeri yang pertama mempunyai laman web sendiri. Oleh itu, saya menggesa supaya PERTIS di negeri-negeri lain agar mengikut jejak langkah PERTIS Negeri Sembilan. Akhirnya, saya juga tidak lupa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang telah hadir dalam mesyuarat agung kali ini.



Sebelumnya, dalam ucapannya, Saudara Mohd Hairie Aris selaku Pengerusi PERTIS Wilayah Negeri Sembilan sesi 2009-2010 antara lain meminta berbanyak maaf jika sekiranya dalam tempoh setahun beliau sebagai pengerusi terdapat sebarang kekurangan bagi PERTIS Negeri Sembilan. Seterusnya, beliau memaklumkan tidak akan mempertahankan jawatannya selaku Pengerusi PERTIS Negeri Sembilan untuk sesi 2010-2011.

Setelah selesai upacara perasmian, sekitar jam 11.30 pagi, mesyuarat pun bermula. Mesyuarat kali ini telah dipengerusikan oleh En. Abu Hassan Ashari bin Razak, Setiausaha Agung PERTIS Pusat merangkap Penyelaras PERTIS Negeri Sembilan. Mesyuarat kali ini telah berjalan dengan baik dan lancar.

Sekitar jam 1.15 tengah hari, mesyuarat berakhir. Berikut adalah barisan kepimpinan PERTIS Wilayah Negeri Sembilan untuk sesi 2010-2011:

1. Pengerusi: Ustaz Kamal bin Majid (Ahli Biasa);
2. Naib Pengerusi: Saudara Mohd Hairie bin Aris (Ahli Biasa);
3. Setiausaha: Pn. Sabariah binti Zakaria (Ahli Bersekutu);
4. Bendahari: En. Abdullah bin Abu Bakar (Ahli Bersekutu);
5. AJK Biasa: Cikgu Haji Hasnan bin Madon (Ahli Biasa);
6. AJK Biasa: Cik Sfmiah RS binti Jaini (Ahli Bersekutu).



Untuk pengetahuan bersama, Ahli Biasa ialah ahli-ahli PERTIS yang terdiri daripada mereka yang tidak berpenglihatan. Manakala Ahli Bersekutu pula ialah ahli-ahli PERTIS yang terdiri daripada mereka yang berpenglihatan.



Apa yang menarik di sini ialah penyertaan daripada Ahli Bersekutu (mereka yang berpenglihatan) agak ketara dalam barisan pimpinan PERTIS Wilayah Negeri Sembilan bagi sesi 2010-2011. Ini menunjukkan bahawa setidak-tidaknya usaha khususnya PERTIS Wilayah Negeri Sembilan ke arah memasyarakatkan PERTIS itu sendiri semakin membuahkan hasil.

Tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan baru PERTIS Negeri Sembilan. Saya juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada golongan berpenglihatan yang juga merupakan ahli bersekutu PERTIS yang banyak mendokong usaha kami untuk berdakwah mengikut kemampuan dan cara kami.