Thursday, March 24, 2011

Main Dam

Di sebuah tempat bernama Padang Antah Berantah, tinggal sebuah keluarga yang sederhana besarnya. Di antara ahli keluarga tersebut ialah seorang mertua dan seorang menantu. Kedua-duanya laki-laki.

Di antara menantu dan mertua, ada dua sifat yang jauh berbeza. Menantu seorang yang kuat makan tetapi amat malas bekerja. Manakala mertuanya pula seorang yang rajin bekerja tetapi sangat malas untuk bersolat. Lama-kelamaan si mertua mula naik bosan dengan sikap menantunya yang sangat malas bekerja tetapi amat kuat makan. Si menantu pun begitu juga, mula naik menyampah dengan sikap bapa mertuanya yang sukar untuk melakukan solat walaupun amat rajin bekerja.

Suatu ketika, setelah selesai makan tengah hari, tiba-tiba bapa mertua berkata kepada menantunya: “Kalau waktu macam ni elok kita main dam. Nak sambung kerja pun, baru sangat lepas makan.” Maka disahut pula oleh si menantu dengan berkata: “Betul tu, lagipun perut saya masih penuh lagi, kenyang yang amat sangat ni.”

Lalu kedua-duanya pun mulalah bermain dam. Si menantu memang pandai main dam. Pantang dapat peluang. Akhirnya habis buah dam bapa mertuanya dimakan.

Melihat buahnya sudah habis, lalu mertua pun berkata: “Wah, habis licin buah dam bapak kau makan!” Lalu si menantu pun berkata: “Kalau main dam saya memang macam ni, pantang ada peluang, mesti saya makan buah lawan.” Lalu si mertua pun berkata pula: “Tapi apalah maknanya, makan saja kuat tapi bila kerja malas!” Tersenyum sahaja si menantu. Dalam hatinya berkata-kata: “Rupa-rupanya orang tua ni nak mengenakan aku.”

Setelah selesai pusingan pertama, si menantu mengajak mertuanya main dam sekali lagi. Si mertua setuju. Niatnya kali ini untuk mengalahkan menantunya. Kali ini si menantu membiarkan sahaja mertuanya memakan buah-buah damnya. Oleh kerana kurang tentangan, si mertua berjaya dapat sampai 3 haji. Lalu berkatalah si mertua: “Wah, kali ni mudah sangat bapak dapat haji, sampai tiga haji bapak boleh dapat!” Lalu berkatalah si menantu: “Apalah maknanya kalau mudah untuk dapat haji, tapi susah nak solat lima waktu!” Si mertua tersenyum pahid sambil berkata dalam hatinya: “Kali ini aku pula yang terkena!”

Renungkan dan fikirkanlah!

Tahniah Kepada Yang Berjaya

Semalam (23 Mac), keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk tahun 2010 telah diumumkan. Pelbagai gelagat dapat disaksikan apabila masing-masing mendapat tahu keputusan masing-masing.

Di sekolah pula, seramai 32 murid telah mengambil peperiksaan berkenaan tahun lepas. Jason Tang Ka Hung telah muncul murid terbaik dengan mendapat 10 A.



Ini diikuti pula oleh Ahmad Shahide Ruslan, juga mendapat 10 A.



Manakala Lok Weng Hang pula mendapat 8 A dan 1 B.

Murid-murid lain juga mendapat keputusan yang baik. Kepada murid-murid yang telah berjaya, sekalung tahniah diucapkan. Kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa. Boleh cuba lagi kalau mahu.

Ramai juga yang tersenyum lebar sejak semalam. Agaknya, senyuman siapakah yang terlebar sekali!

Tuesday, March 22, 2011

Mari Kita Sama-sama Bantu Beseri Ahmad

Tengah malam tadi, saya telah menerima SMS daripada Kak Jamilah (isteri Beseri). Antara lain, kandungan SMS beliau berbunyi:


Slm,basri msuk Wad13U PPUM Katil21,hrp de yg sudi..tlg bgtwu ahli2 PERTIS..basri xdpt cri nfkh skg ni..hrp pertis dpt buat sesuatu..JAMILAH BINTI MAT No. Tel:0392225288.


Penyakit yang dihidapi oleh Saudara Beseri sudah agak lama. Beliau pun sudah keluar masuk wat beberapa kali. Kisah mengenai dirinya juga sudah beberapa kali dipaparkan menerusi blog ini.



Saya tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut kandungan SMS yang dihantar kepada saya oleh isterinya sebagaimana yang saya paparkan di atas. Kita boleh sama-sama membacanya, menghayatinya dan kalau boleh berempati dengannya.

Demikianlah nasib yang menimpa Beseri Ahmad. Beberapa hari lalu, saya baru sahaja postingkan tulisan (cadangan) mengenai keperluan menubuhkan satu persatuan pemuzik cacat penglihatan. Suatu ketika dahulu, sewaktu zaman persekolahannya, Beseri antara pemain muzik yang disegani. En. Mohd Fadhil Ahmad (Allahyarham), seorang pemain gambus ternama turut mengkagumi kebolehan dan bakat Beseri dalam bidang muzik, khususnya gambus. Itu apa yang pernah dilalui oleh Beseri sewaktu zaman persekolahannya.

Kini setelah zaman berubah, nasib Beseri juga turut berubah. Setelah zaman persekolahannya berakhir, keagungan bakat muziknya juga seolah-olah turut sama berakhir. Oleh kerana yang ada kepada beliau hanya bakat tanpa kelulusan yang berkenaan, maka nasib beliau kian tersisih selaku pemuzik jalanan. Hari ini, apabila beliau ditimpa dengan penyakit, beliau semakin bersendirian. Demikianlah liku-liiku yang dilalui oleh seorang yang berbakat besar dalam bidang muzik tetapi tidak disertai oleh sijil kelulusan yang mengiktiraf bakat yang ada padanya.

Kepada rakan, sahabat dan taulan yang masih mengenali atau mengingati saudara Beseri, atau sesiapa sahaja yang bersimpati dengan nasib yang sedang ditanggung oleh beliau, marilah sama-sama kita menghulurkan apa sahaja bantuan yang termampu untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh Beseri. Kepada yang prihatin, bolehlah hubungi nombor telefon sebagaimana yang tertera dalam SMS isterinya di atas, atau boleh menghubungi telefon tangan di nombor 013-3228624. Kepada yang ada kelapangan, boleh juga menziarahi beliau di hospital. Kepada yang prihatin, saya bagi pihak Beseri mengucapkan jutaan terima kasih.

Sunday, March 20, 2011

Selamat Ulang Tahun Kepada Dato’ Ann Majeed

Hari ini (20 Mac) merupakan hari ulang tahun kelahiran Yang Berbahagia Dato‘ Ann Majeed. Setiap tahun, saya akan mengutuskan ucapan yang hampir serupa kepada beliau sama ada menerusi telefon mahupun menerusi blog ini. pada tahun ini, beliau menyambut hari ulang tahunnya yang ke-83 tahun.



Terdapat beberapa keistimewaan yang ada kepada beliau yang menyebabkan beliau akan terus diingati sampai bila-bila. Dato’ Ann Majeed merupakan anak Melayu pertama yang boleh membaca dan menulis Braille di negara ini. Beliau juga merupakan guru besar pertama bagi Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di Johor Baru. Beliau juga wanita pertama di negara ini yang berjaya sampai ke jawatan ketua pengarah (Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat).

Sebagai seorang guru besar yang mahir dengan sistem tulisan Braille, beliau dapat pula mengajar kemahiran berkenaan kepada guru-guru lain yang ada ketika itu. Beliau juga mempunyai pendirian yang tegas mengenai kemahiran Braille dalam kalangan guru pada masa itu. Demikianlah apa yang pernah beliau ceritakan kepada saya.

Bersempena dengan hari ulang tahun kelahiran Yang Berbahagia Dato’ Ann Majee, ada sesuatu yang ingin saya kongsikan yang mungkin jarang muncul dalam minda kita. SKPK Princess Elizabeth telah ditubuhkan pada tahun 1948. Pada masa itu terdapat 4 orang guru yang juga merupakan guru generasi pertama bagi sekolah tersebut. Selain 4 orang guru berkenaan, terdapat juga 4 orang murid yang juga merupakan generasi murid pertama bagi sekolah berkenaan.

Pada hari ini, dengan kehendak Yang Maha Esa juga, keempat-empat orang guru berkenaan masih lagi ada bersama kita. Mereka ialah Yang Berbahagia Dato’ Ann Majeed, Cikgu Fatimah binti Dato’ Ismail (Cikgu Ara), Cikgu Sharifah Kamaliah binti Datuk Syed Abdul Kathir dan Cikgu Rahmah binti Abdullah. Semoga Allah akan terus melanjutkan usia mereka dengan penuh keberkatan.

Pada hari ini dan dengan takdir daripada Yang Maha Esa juga, keempat-empat generasi murid pertama bagi SKPK Princess Elizabeth telah melalui takdir yang tidak sama. Ismail bin Abdullah (Cikgu Ismail) dan Ashari bin Abdullah (Lim Keong Wah) telah pun menghadap Ilahi. Manakala Saodah binti Syarif pula tiada langsung khabar berita mengenai beliau. Yang masih bersama kita ialah En. Samani bin Taib. Selain daripada keempat-empat murid di atas, Dato’ Dr. Ismail bin Md Salleh juga merupakan bekas murid kepada Dato’ Ann Majeed. Beliau (Dr. Ismail) telah pun menghadap Ilahi pada tahun 2009 yang lalu.

Demikianlah makhluk yang bernama manusia, tetap kukuh menyelusuri landasan qadha dan qadar yang telah ditentukan untuk kita.



Sekali lagi, saya mengucapkan selamat ulang tahun yang ke-83 kepada yang Berbahagia Dato’ Ann Majeed. Semoga Allah terus melanjutkan usia beliau dengan penuh keberkatan, keimanan serta akan terus dilimpahi dengan kesihatan yang baik.

Salam dari Kuantan.

Saturday, March 19, 2011

Selamat Datang Ke Dunia Maya

Pada kesempatan yang agak terbatas di petang Sabtu ini, saya ingin mengucapkan selamat datang ke dunia maya kepada Mohd Razlan bin Ibrahim Mukhtar. Sebentar tadi, tatkala saya meredah-redah laman sesawang anak-anak murid saya, maka termaklumlah oleh saya mengenai kehadiran warga baru dunia maya yang bernama Mohd Razlan.



Sepertimana yang dinyatakan oleh sahabatnya, Tan Ee Beng, Razlan adalah seorang yang cerdik, aktif di dalam dan juga di luar bilik darjah, berupaya menghidupkan suasana dan adakalanya terlebih suara. Murid tingkatan 5A dan berasal daripada Pulau Pinang juga berpotensi untuk menjadi seorang yang ada nama di masa depan.

Kepada pengunjung blog ini, sila klik (enter bagi pengguna pembaca skrin) pada nama beliau (mohd razlan ibrahim mukhtar) dalam senarai Laman Sesawang Kendalian Blogger Cacat Penglihatan.

Salam dari Kuantan.

Friday, March 18, 2011

Tubuhkan Persatuan Pemuzik Buta

Saya pernah menulis beberapa kali mengenai golongan cacat penglihatan dan dunia muzik mereka menerusi blog ini. Kali akhir saya bercakap secara terbuka mengenainya ialah dalam satu forum di auditorium Majlis Peguam pada 12 Disember 2010 yang lalu. Hasil daripada tulisan tersebut, pelbagai pengajaran, pengalaman dan kenangan pula yang saya perolehi. Biar apa pun cerita dan kisah mengenainya yang telah berlalu, namun permasalahan mengenai dunia muzik dan golongan cacat penglihatan masih jauh daripada dikatakan selesai. Walaupun saya sendiri tidak boleh bermain sebarang alat muzik, sekadar tahu mendengar sahaja, saya merasakan adalah sesuatu yang amat merugikan apabila bakat muzik yang telah dianugerahkan itu dibiarkan sia-sia begitu sahaja tanpa sebarang langkah dan usaha yang berkesan diambil bagi mengatasi permasalahan yang masih melanda.

Dalam hal ini, saya merasakan masih ramai lagi yang gagal memahami dann menyelami permasalahan sebenar yang sedang dihadapi oleh golongan berbakat dalam bidang muzik dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Peranan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan yang seakan meminggirkan isu ini hanya mengakibatkan permasalahan ini kian rumit dan seakan tiada penghujungnya. Masalah paling serius ialah sukar mendapatkan pengiktirafan secara bersijil di pelbagai peringkat. Kesukaran ini pula disebabkan bidang muzik masih lagi gagal mendapat tempat dalam sistem pendidikan negara kita.

Setakat yang saya ketahui, untuk membolehkan seseorang itu menjadi pemuzik secara profesional, sekurang-kurangnya mereka mesti tahu membaca not muzik. Manakala not muzik dalam Braille pula sudah lama wujud, hanya di negara kita sahaja ia masih tidak diperkenalkan secara meluas. Mengapa ia masih tidak diperkenalkan? Jawapannya ada pada si fulan dan si anu. Adakah golongan cacat penglihatan tidak berbakat dalam bidang muzik? Saya rasa hampir semua orang tahu akan jawapan sebenarnya. Jadi, selama ini ke manakah bakat muzik dalam kalangan golongan cacat penglihatan dihalakan? Jawapannya ada kepada mereka yang pernah mendapat manfaat daripada bakat sedemikian.

Justeru, selagi jalan penyelesaian bagi permasalahan ini tidak diusahakan secara serius, maka selama itulah juga bakat muzik yang telah dianugerahkan itu akan terus-terusan dipersiakan. Oleh kerana tiada pilihan lain, maka bilangan pemuzik jalanan cacat penglihatan mungkin akan bertambah. Adakah itu yang dihasratkan selama ini?

Pada pandangan sesetengah pihak, sudah tiba masanya bagi golongan pemuzik cacat penglihatan untuk bergerak secara kolektif, tersusun dan lebih objektif. Dengan erti kata lain, masanya sudah tiba bagi golongan berkenaan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang khusus untuk menjaga dan membela kepentingan para pemuzik cacat penglihatan di seluruh negara. Hal sebegini dirasakan semakin perlu bilamana badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan golongan cacat penglihatan yang sedia ada kurang berkesan dalam mengangkat martabat golongan berkaitan ke tahap yang sepatutnya. Selain itu, usaha-usaha untuk memartabatkan bidang muzik menerusi sistem pendidikan yang ada masih menemui jalan buntu. Walaupun usaha sebegini masih lagi diteruskan, tetapi ia tak ubah umpama mudik tatkala surut, menghilir tatkala pasang.

Oleh itu, sudah tiba masanya para pemuzik cacat penglihatan bergerak dalam sebuah persatuan sendiri. Untuk jangka panjang, kewujudan persatuan yang dimaksudkan akan memberi kesan yang lebih positif khususnya mengenai masa depan golongan pemuzik cacat penglihatan. Bahkan saya yakin, menerusi persatuan yang dicadangkan, bidang muzik akan dapat dikembangkan sehingga mampu menjadi satu profesion yang lebih menjamin masa depan golongan berkenaan. Saya juga yakin, jika ada mana-mana pihak atau individu yang berhasrat untuk merealisasikan hasrat ini, maka akan ada pihak lain yang akan tampil membantu.

Oleh itu, kepada rakan-rakan senasib yang mempunyai kepentingan secara langsung dalam bidang muzik, saya rasa eloklah difikirkan secara serius pandangan dan cadangan yang diutarakan. Sudah tiba masanya untuk kita sendiri yang tampil dan mengangkat martabat sendiri. Jangan lagi diharap padi di seberang, kerana entahkan jadi entahkan tidak.

Walau bagaimanapun, saya juga berharap agar persatuan itu nanti biarlah bergerak sendiri dan jangan menumpang organisasi orang lain. Ingat, rambut mungkin sama hitam, tetapi hati tetap lain.

Saya sekadar memanjangkan pandangan dan cadangan daripada salah seorang rakan yang berpenglihatan sahaja.

Salam dari Kuantan.

Wednesday, March 16, 2011

Sesi Demo Penggunaan Panel E-Braille Quran Di Kuala Terengganu





Sebagaimana yang telah saya maklumkan sebelum ini, bermula 13 Mac lalu, saya sekeluarga, sebilangan ahli pasukan penyelidik serta Setiausaha Agong PERTIS Pusat telah berkumpul di Hotel Premula Beach Resort, Kuala Terengganu. Secara peribadi, ini merupakan kali kedua saya menginap di hotel ini. Kali pertama saya menginap di hotel yang sama ialah di antara 14 – 18 Januari 2002 yang lalu. Tatkala itu, saya menghadiri satu mesyuarat dan bengkel di bawah anjuran sebuah jabatan kerajaan. Saya masih ingat nama jabatan dan nama pegawai yang mengendalikannya dan apakah kesan daripada mesyuarat dan bengkel berkenaan khususnya kepada pendidikan untuk murid yang cacat penglihatan. Saya selitkan juga ulasan sebegini kerana pada hari ini kita lakukan juga hal yang sama. Jadi jangan hairanlah jika pada masa depan kita juga akan memperoleh impak yang serupa.



Bagi saya, pemilihan hotel ini sebagai lokasi sesi demo bagi zon pantai timur adalah keputusan yang betul. Selain daripada lokasi hotel yang terletak di kawasan bandar, kemudahan yang disediakan juga memuaskan. Di samping itu, kakitangannya juga baik dan mesra OKU (orang kelainan upaya). Walaupun pada waktusibuk, kakitangan yang bertugas di tempat makan tetap memberikan layanan yang patut kepada saya dan rakan-rakan senasib.



Berbalik kepada sesi demo di Kuala Terengganu, pada 14 Mac sebelah pagi, saya sekeluarga, En. Abu Hassan (Setiausaha Agung PERTIS Pusat) serta sebilangan ahli kumpulan penyelidik telah melawat ke pejabat PERTIS Terengganu. Hal ini telah pun saya kongsikan menerusi blog ini.







Sesi demo penggunaan panel E-Braille Quran Teaching Aid telah bermula pada 14 Mac di sebelah petang. Sesi ini telah dihadiri oleh para jemputan khas yang terdiri daripada wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan, insitusi pengajian tinggi di sekitar Kuala Terengganu, badan-badan bukan kerajaan, pihak media, AJK PERTIS Terengganu dan lain-lain lagi. Sambutan yang diterima tidak mengecewakan.











Selain daripada siri ucapan alu-aluan, majlis sesi ini dipenuhi dengan sesi taklimat dan sesi amali mengenai penggunaan panel E-Braiille Quran. Semua tetamu diberikan peluang yang seluas-luasnya untuk mencuba panel yang telah disediakan. Pihak media juga tidak ketinggalan dalam memperoleh info mengenai panel E-Braille Quran berkenaan.









Sesi kedua dan ketiga demo telah diteruskan pada 15 Mac di sebelah pagi dan sebelah petang. Kedua-dua sesi ini dibuka kepada ahli PERTIS, bukan ahli serta kepada mereka yang berpenglihatan. Sambutan yang diterima memang menggalakkan.






Antara yang turut hadir pada sesi di sebelah petang (15 Mac) termasuklah Cikgu Mohamed Ismail (mantan YDP), Cikgu Zaki dan Cikgu Azhar yang datang daripada Triang. Kata Cikgu Azhar, beliau memperoleh maklumat mengenai sesi demo ini menerusi blog ini.



Di samping itu, secara kebetulan, salah seorang bekas pelajar universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga turut berkesempatan hadir dan menyaksikan sendiri panel E-Braille berkenaan. Kehadiran beliau amat bermakna kerana sewaktu menuntut di USIM dahulu, pelajar berkenaan pernah mengambil kursus yang berkaitan dengan kaedah penulisan Alquran Braille.

Sebagaimana biasa juga, setiap sesi akan diselitkan segmen soal jawab. Nampaknya kali ini soalan yang dikemukakan tidaklah sebanyak sewaktu di KL. Ini petanda baik. Mungkin penggunaan panel ini hampir menuju tahap matang mengikut kaca mata pengguna .... mungkin!





Dalam sesi kali ini juga, terdapat 3 ciri baru yang telah diketengahkan. Ciri pertama ialah bagaimana panel ini juga boleh digunakan untuk mempelajari huruf “a b c” Braille. Ciri kedua pula ialah memperkenalkan sistem bookmark. Ini bermakna, pengguna boleh menyambung bacaan Alquran pada tempat terakhir bacaan diberhentikan walaupun panel telah di-switch off. Ciri ketiga pula ialah di mana sistem pergerakan titik-titik Braille secara automatik. Ini sangat membantu bagi sistem panel yang menggunakan satu baris titik-titik Braille.





Bagi pihak pasukan penyelidik, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik di sepanjang sesi demo berlangsung di Kuala Terengganu. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada para tetamu dan pengunjung ke sesi demo berkenaan. Terima kasih juga diucapkan kepada En. Mohd Fauzi Mansor dan seluruh barisan AJK PERTIS Terengganu yang telah mengaturkan perjalanan kunjungan dengan begitu teratur sekali.





Saya juga, secara peribadi, ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh barisan ahli penyelidik yang telah sudi memilih Kuala Terengganu sebagai lokasi untuk sesi demo kali ini. Di samping itu, keikhlasan para penyelidik juga terserlah bilamana mereka tanpa segan silu sudi bergaul mesra dengan setiap pengunjung, khususnya yang cacat penglihatan, di sepanjang sesi demo berlangsung.

Siang tadi, dalam hujan lebat, saya sekeluarga meninggalkan Kuala Terengganu dan telah selamat tiba di Kuantan.

Salam dari Kuantan.

Tuesday, March 15, 2011

Mengunjungi Cikgu Mohamed Ismail

Semalam (14 Mac), saya sekeluarga dengan disertai 4 pensyarah daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengunjungi Cikgu Mohamed Ismail di rumahnya. Keempat-empat pensyarah yang dimaksudkan ialah Prof. Madya Dr. Mohamed bin Hussein, Dr. Mohd Zarhamdy Md Zain, Tn. Hj. Mohd Yunus Abdullah dan En. Abdul Rahman Musa. Kami bertolak dari hotel penginapan pada sekitar jam 8.15 malam dengan 2 buah kereta. Rumah Cikgu Mohamed terletak di Wakaf Mempelam. Untuk mencari rumahnya, ia bukanlah susah sangat. Kalau saya pergi seorang pun, saya yakin boleh mengarah orang yang menjadi pemandu untuk tiba ke rumahnya, insha-Allah.

Kunjungan kami sebenarnya atas pelawaan Cikgu Mohamed sendiri. Semasa rombongan UTM dan PERTIS Pusat melawat ke PERTIS Terengganu pagi semalam, Cikgu Mohamed telah “membisikkan” kepada saya supaya mengajak para pensyarah berkenaan ke rumahnya pada sebelah malam. Mulanya saya Cuma menganggap ajakan tersebut sekadar ajak-ajak ayam sahaja. Namun demikian, setelah Cikgu Mohamed mengulanginya beberapa kali, maka fahamlah saya, ajakan tersebut merupakan pelawaan ikhlas daripada Cikgu Mohamed.

Bagi saya sekeluarga, saya sendiri tidak dapat mengingati ini kali yang ke berapa saya ke rumah Cikgu Mohamed. Boleh dikatakan, setiap kali saya ke Kulala Terengganu, jika ada kesempatan, saya sekeluarga pasti akan mengunjungi Cikgu Mohamed di rumahnya. Pernah juga pada bulan Jun 2007, sewaktu saya bermesyuarat di Kuala Terengganu (kedatangan saya tanpa disertai keluarga), Cikgu Mohamed pula yang membawa saya keluar untuk makan-makan. Demikianlah akrabnnya kami hingga ke hari ini.



Di rumahnya, kami telah dilayan mesra oleh Cikgu Mohamed dan isterinya. Topik perbualan tidak berat, sekadar cerita mengenai pengalaman Cikgu Mohamed terutama dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru yang cacat penglihatan dan mengajar di sekolah murid-murid yang berpenglihatan sekitar 30 tahun.

Dalam diam, saya sedaya upaya cuba memerhati (dengan cara saya sendiri) gelagat para keempat-empat pensyarah berkenaan ketika di rumah Cikgu Mohamed. Dapatlah saya rumuskan, mereka langsung tidak kekok berada di rumah seorang yang tidak berpenglihatan. Apa yang dihidangkan, mereka makan dan minum. Maklumlah sesetengah orang tidak mahu makan dan minum di rumah orang buta. Alasannya macam-macam. Kotorlah, bahan makanan mungkinn tercemarlah, tak selesalah, dan macam-macam lagi. Kalau benar-benar kotor dan tercemar tak mengapalah, tetapi kelazimannya ia lebih daripada prasangka daripada hakikat. Hal ini saya ketengahkan berasaskan pengalaman sebilangan rakan senasib yang lain sebelum ini.



Setelah sekitar sejam kami berada di rumah Cikgu Mohamed, kami pun minta diri untuk pulang semula ke hotel penginapan. Bagi saya, kunjungan ini mempunyai maknanya sendiri. Setidak-tidaknya saya dapat menghubungkan silatul rahim di antara Cikgu Mohamed dengan para pensyarah berkenaan. Kata orang tua-tua, berkawan biar seribu! Lagi pun, projek penyelidikan E-Braille Quran ini dimulakan semasa Cikgu Mohamed merupakan Yang Di-Pertua PERTIS lagi.

Oleh kerana masing-masing sudah keletihan, maka hasrat kami untuk menikmati ICT kami batalkan. Kata orang, kalau ke Kuala Terengganu dan tidak menikmati ICT seolah-olah kunjungan tersebut macam tak sah. Lagipun, masih ada masa lagi untuk menikmati ICT sebelum pulang nanti.

(Maklumat tambahan: ICT ialah ikan celup tepung).

Salam dari Kuala Terengganu.

Melawat PERTIS Terengganu

Bermula 13 Mac lagi, saya serta sebahagian besar ahli kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah tiba di Kuala Terengganu. Tujuan kami ialah untuk mengadakan sesi demo penggunaan panel E-Braille Quran sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini. Salah satu daripada aktiviti yang telah diatur ialah melawat ke pejabat PERTIS Terengganu. Saya sengaja memasukkan aktiviti ini sebagai salah satu daripada agenda sesi demo ini atas beberapa sebab. Antaranya, kelas pengajian Alquran Braille anjuran PERTIS Terengganu amat aktif dan berjalan dengan baik. Ia juga mendapat sokongan padu daripada kerajaan Terengganu. Selain itu, dengan kehadiran pasukan penyelidik, ia dapat memberi pendedahan secara lebih dekat kepada pasukan penyelidik mengenai perjalanan kelas Alquran Braille. Di samping itu, adalah diharapkan juga dengan melihat sendiri perjalanan kelas berkenaan, mungkin akan timbul ilham, idea atau yang seumpamanya ke arah penambahbaikan ke atas panel E-Braille Quran nanti.

Maka dengan itu, semalam (14 Mac), seramai 12 orang yang terdiri daripada ahli kumpulan penyelidik, Setiausaha Agung PERTIS Pusat serta saya dan keluarga telah mengadakan lawatan ke pejabat PERTIS Terengganu. Bagi saya, ini bukanlah kunjungan pertama saya ke sini. Saya pernah mengenengahkan kunjungan saya ke sini menerusi blog ini pada bulan Jun tahun lalu.



Sekitar jam 9.40 saya dan rombongan tiba di perkarangan pejabat PERTIS Terengganu. En. Mohd Fauzi Mansor selaku Pengerusi PERTIS Terengganu dengan disertai beberapa orang AJK-nya telah sedia menanti ketibaan kami.





Sejurus kami tiba, saya dan rombongan telah diberi taklimat mengenai perjalanan kelas pengajian Alquran Braille. Taklimat telah disampaikan sendiri oleh En. Mohd Fauzi. Beliau juga turut mengenengahkan aktiviti dan lain-lain program yang sedang dan pernah dikendalikan oleh PERTIS Terengganu.



Setelah itu, kumpulan pelawat mula dibawa menyaksikan sendiri perjalanan kelas pengajian Alquran Braille yang diadakan di dalam premis pejabat PERTIS Terengganu. Setiap minggu, kelas akan berjalan selama 3 hari dan 2 jam bagi setiap sesi. Terdapat 5 buah kelas kesemuanya dan ia terbahagi kepada 5 tahap. Terdapat 5 orang tenaga pengajar yang bertanggungjawab mengajar Alquran Braille di sini.





Tahap pertama meliputi mereka yang baru hendak mengenal huruf Braille. Manakala tahap 5 pula merupakan kelas untuk yang sudah mahir. Pada masa ini, terdapat seramai 37 orang yang sedang mengikuti kelas pengajian Alquran Braille ini yang meliputi pelbagai peringkat umur. Walaupun sudah berumur dan jari-jemari pun sudah kian kematu untuk merasa titik-titik Braille, tetapi semangat golongan tersebut untuk belajar Alquran Braille amat mengkagumkan.



Antara yang menjadi daya penarik di sini ialah alat (seakan panel) yang digunakan untuk mengajar asas titik-titik Braille. Alat ini diperbuat daripada kayu dan paku digunakan sebagai ganti titik Braille. Kebiasaannya alat ini digunakan untuk mengajar golongan yang telah berumur dan jari-jari mereka mungkin tidak begitu sensitif dengan titik-titik Braille.

Sekitar jam 11.15 pagi, lawatan berakhir. Sebelum pulang semula ke hotel, kami dihidangkan dengan jamuan ringan.



Sebagaimana yang diharapkan, lawatan pasukan penyelidik ke pejabat PERTIS Terengganu telah berjaya mencapai matlamatnya. Demikianlah saya dimaklumkan.



Salam dari Kuala Terengganu.

Monday, March 14, 2011

Panggilan Daripada Air Asia

Sekitar jam 1.57 tengah hari tadi, tatkala saya sedang bersiap-siap untuk menghadiri sesi demo penggunaan E-Braille Quran, saya telah dihubungi menerusi telefon oleh pihak Air Asia. Pemanggil berkenaan memperkenalkan dirinya sebagai Kenneth Chan daripada Jabatan Khidmat Pelanggan (Guest Services Departmen), air asia. En. Kenneth memberitahu saya, beliau mendapat maklumat saya telah dilayan dengan buruk oleh salah seorang kakitangan Air Asia semasa di lapangan terbang Kota Bharu Khamis lalu. Saya agak terkejut kerana saya tidak pernah membuat laporan rasmi kepada Air Asia mengenai kelakuan salah seorang kakitangannya kepada saya tempoh hari. Menurut En. Kenneth, maklumat berkenaan beliau perolehi menerusi laman web.

Lalu saya menceritakan secara ringkas apa yang telah saya alami ketika di lapangan terbang Kota Bharu pada 10 Mac lalu. Setelah itu, En. Kenneth bagi pihak penerbangan Air Asia memohon berbanyak-banyak maaf kepada saya di atas apa yang telah berlaku. Katanya lagi, Air Asia merasa kesal kerana hal seumpama itu tidak sepatutnya berlaku terutamanya kepada golongan seperti saya. Katanya lagi, Air Asia adalah sebuah syarikat penerbangan yang memahami keperluan penumpang seperti saya dan sentiasa sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Saya menerangkan kepada En. Kenneth, saya sama sekali tidak menyalahkan Air Asia kerana ia berlaku tatkala saya menggunakan perkhidmatan Air Asia buat kali keenam. Lagipun, setakat pengalaman saya, hanya seorang sahaja yang berkelakuan tidak mesra kepada golongan seperti saya. Jadi, bagi saya ia lebih kepada sikap individu berkenaan dan bukan mencerminkan dasar umum penerbangan Air Asia.

Selanjutnya, En. Kenneth ingin mengetahui nama kakitangan berkenaan agar sesuatu boleh dilakukan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang lagi. Saya memaklumkan kepada En. Kenneth, saya telah berjanji kepada diri saya untuk merahsiakan sahaja nama kakitangan berkenaan. Lagipun, setelah saya meluahkannya dalam blog ini, saya telah pun memaafkannya dan berdoa semoga beliau tidak lagi mengulangi kelakuan buruknya itu khasnya kepada golongan seperti saya. Tujuan saya mengisahkan peristiwa berkenaan adalah untuk berkongsi pengalaman sendiri agar ia dapat menjadi iktibar khasnya kepada rakan-rakan senasib yang lain. Bak kata orang tua-tua, yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan.

Selanjutnya, En. Kenneth memberitahu saya, sebenarnya apabila penumpang cacat mendapat bantuan daripada Air Asia semasa berlepas atau tiba, ia tidak dikenakan sebarang caj. Saya agak terkejut. Lalu saya bertanya, bayaran RM 12.00 yang sering dikenakan untuk apa? Kata En. Kenneth, ia adalah sebagai caj jika kerusi roda kepunyaan Air Asia digunakan. Itu sahaja. Maknanya, jika penumpang cacat penglihatan seperti saya yang mendapat bantuan tanpa melibatkan kerusi roda, maka tiada sebarang caj akan dikenakan. Maklumat ini merupakan sesuatu yang baru bagi saya. Selama ini, pemahaman saya ialah jika kita mendapatkan bantuan daripada kakitangan Air Asia sama ada ketika hendak berlepas atau sewaktu tiba, maka bayaran RM12.00 akan dikenakan.

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai hal ini daripada En. Kenneth, saya bersedia bekerjasama dengan memaklumkan nombor talian pejabat En. Kenneth tetapi tidak menerusi ruangan komenter.

Kepada penerbangan Air Asia, saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas keprihatinan pihak anda di atas apa yang telah menimpa saya pada 10 Mac lalu. Kini saya lebih yakin untuk terbang bersama Air asia buat kali ketujuhnya pada masa dan tarikh yang masih belum ditetapkan lagi. Terima kasih banyak-banyak kepada En. Kenneth, terima kasih banyak-banyak kepada Air Asia. Pada jam 2.08 minit barulah perbualan kami berakhir.

Kepada rakan-rakan yang telah menyebarluaskan pengalaman saya buat tatapan umum sebagai perkongsian pengalaman juga saya ucapkan jutaan terima kasih.

Sesungguhnya, pengalaman buruk itu amat pahit ketika dilalui dan amat menginsafkan setelah ia berjaya dilalui.


Salam dari Kuala Terengganu.

Sunday, March 13, 2011

Maklumat Lanjut Sesi Demo Panel E-Braille Quran Di Terengganu

Sebagaimana yang telah saya maklumkan menerusi blog ini pada 1 Mac lalu, satu lagi sesi demo penggunaan Panel E-Braille quran Teaching Aid akan diadakan di Terengganu. Sebagaimana biasa juga, sesi kali ini akan dianjurkan oleh pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Persatuan Orang-orang
Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Sesi kali ini akan berlangsung di bilik Gamelan 4, Hotel Premula, Kuala Terengganu. Ia akan berlangsung pada 14 dan 15 Mac (Isnin dan Selasa) 2011.



Pada 14 Mac 2011 (Isnin), di sebelah paginya, pasukan penyelidik akan dibawa melawat ke pejabat PERTIS Terengganu. Dalam lawatan itu nanti, pasukan penyelidik akan didedahkan dengan perjalanan kelas pengajian Alquran Braille khususnya di Terengganu. Bagi saya, pendedahan ini penting terutamanya kepada pasukan penyelidik. Manakala di sebelah petangnya pula, sesi demo akan diadakan khusus buat para jemputan khas.

Pada 15 Mac (Selasa) 2011 pula, sesi demo akan diteruskan lagi di Hotel Premula. Terdapat dua sesi yang akan dijalankan pada tarikh berkenaan. Sesi pertama akan bermula pada jam 9.00 pagi hingga jam 11.00 pagi. Manakala sesi kedua pula akan bermula pada jam 2.30 petang dan akan berakhir pada jam 4.30 petang. Kedua-dua sesi ini dibuka untuk tontonan awam.

Dengan ini, kepada seluruh ahli PERTIS Terengganu, bukan ahli PERTIS, mereka yang berpenglihatan dan mereka yang berminat dipersilakan untuk melihat sendiri panel E-Braille Quran Teaching Aid yang telah dihasilkan oleh pasukan penyelidik tempatan. Saya turut dimaklumkan, lebih banyak panel akan diketengahkan dan beberapa ciri terkini (penambahbaikan) juga akan dapat dilihat.

Kita jumpa di sana nanti!

Salam dari Kuantan.

Mengunjungi Bekas Anak Murid Di UM



Pada 11 Mac (Jumaat) lalu, saya sekeluarga telah ke Universiti Malaya (UM). Sudah lama juga saya tidak masuk ke UM. Tujuan saya ke UM kali ini ialah untuk bertemu dengan Noraishah Aziz, salah seorang bekas anak murid saya. Beliau baru di tahun pertama. Lebih kurang sebulan lalu, Noraishah ada menghubungi saya menerusi telefon untuk mendapatkan bahan bagi tujuan menyiapkan tugasannya. Kebetulan bahan yang beliau perlukan memang ada dalam simpanan saya. Apakan daya, oleh kerana masa yang seringkali padat, maka setelah sebulan baru saya dapat menemuinya di UM.



Setelah saya sekeluarga tiba di UM, kami terus membawa Noraishah dan rakannya (Siti Atikah) ke kafetaria kepunyaan Abang Sahor di Asrama Ketiga. Kepada rakan-rakan dan pengunjung blog ini yang pernah menuntut di UM tentu masih ingat dengan kafetaria berkenaan. Saya rasa, Abang Sahor telah pun bertapak dan mengendalikan kafetaria ini semenjak sebelum saya menjejakkan kaki ke UM lagi. Sehingga hari ini beliau masih mampu bertahan.



Kepada pengunjung kafetaria yang cacat penglihatan pula, sudah tentu kafetaria Abang Sahor tak mungkin luput daripada ingatan. Ini kerana layanan yang diberikan oleh Abang Sahor sangat memuaskan dan sungguh mesra, dulu kini dan insha-Allah akan selama-lamanya. Sewaktu saya tiba di kafetarianya, kebetulan Abang Sahor juga ada. Wah! Bukan main lagi mesra Abang Sahor menyambut kami. Noraishah juga turut mengakui bahawa layanan yang diberikan setiap kali beliau dan rakan-rakannya mengunjungi kafetaria Abang Sahor memang amat memuaskan. Ini bermakna tahap kemesraan Abang Sahor dengan golongan seperti kami tidak pernah berubah dari dulu lagi. Terima kasih banyak-banyak kepada Abang Sahor. Insha-Allah bertambah-tambah barakah kehidupan Abang Sahor.



Setiap kali saya berkunjung ke kafetarianya, Abang Sahor akan bertanyakan khabar beberapa orang bekas penuntut UM yang cacat penglihatan yang masih beliau ingati. Antaranya termasuklah Pett (Cikgu Shafiee), Mohd Nor Don, Kalam (Ustaz Kalam), Jais (Cikgu Jais), Zamzuri serta beberapa nama lain lagi. Nama-nama yang beliau ingati merupakan mereka yang cacat penglihatan dan pernah menuntut di UM sejak lebih 20 tahun lalu.



Setelah selesai menjamu selera, kami bergerak pula ke Asrama Ketujuh (Asrama Za’ba). Di sini barulah saya dapat menyerahkan bahan yang diperlukan kepada Noraishah. Oleh kerana bahan berkenaan dalam bentuk soft copy, maka kami terpaksa mencari tempat yang sesuai untuk dipindahkan ke komputer (netbook) Noraishah.



Sebagai salah seorang guru yang pernah mendidik Noraishah, sudah tentulah saya merasa amat bersyukur apabila melihat beliau dapat mendaki hingga ke menara gading. Memang pun Noraishah merupakan seorang murid yang pandai, rajin dan kadangkala banyak cakap. Riuhnya masih tak berubah lagi. Kepada Noraishah diucapkan selamat berjaya.

Sesungguhnya kampus UM banyak meninggalkan kenangan buat saya. Saya bukan sahaja sekadar mendapat ijazah di sini, bahkan banyak pengalaman lain yang dapat saya timba ketika menuntut di universiti ini. Kehidupan berumah tangga saya juga mula berputik ketika saya di tahun akhir di UM.

Salam dari Kuantan.