Saturday, April 30, 2011

Menghadiri Mesyuarat Agung PERTIS Kedah

Pagi tadi telah berlangsung Mesyuarat Agung PERTIS Kedah Kali Kedua. Mesyuarat telah berlangsung di premis Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Kedah di Alor Star. Selaku Yang Di-Pertua PERTIS kebangsaan, saya telah diundang untuk menghadiri dan seterusnya merasmikan mesyuarat berkenaan. Saya sekeluarga telah pun tiba di Alor Setar sekitar jam 10.20 malam tadi.



Sekitar jam 10.45 pagi tadi, saya telah tiba di lokasi mesyuarat. Ini kali pertama saya ke Kedah atas urusan PERTIS. Secara peribadi, saya sendiri tak dapat mengingat berapa kali saya sudah tiba di Kedah.





Pada keseluruhannya, mesyuarat telah berjalan lancar. Cikgu Musa telah terpilih sekali lagi selaku pengerusi PERTIS Kedah. Hanya terdapat perubahan kecil dalam barisan kepimpinan PERTIS Kedah.



Manakala dari segi kehadiran pula, saya dimaklumkan hampir 30 orang ahli yang hadir. Jumlah ini tidaklah sebesar mana jika dibandingkan jumlah keseluruhan ahli PERTIS Kedah, namun demikian ia sudah mencukupi korum untuk meneruskan mesyuarat. Justeru, tidak banyak persoalan yang telah dikemukakan semasa sesi soal jawab.



Sedikit keistimewaan mesyuarat kali ini ialah di mana makanan untuk jamuan tengah hari dimasak sendiri oleh salah seorang ahli biasa (cacat penglihatan) PERTIS kedah. Demikian saya dimaklumkan. Rasanya sedap dan menyelerakan.



Kepada PERTIS Kedah, saya berdoa semoga terus maju dan berjaya pada masa yang akan datang. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada barisan baru kepimpinan PERTIS Kedah. Marilah kita sama-sama "memasyarakatkan PERTIS".

Salam dari Alor Star.

Wednesday, April 27, 2011

Coretan Malam

Di sepanjang minggu ini, saya menghadiri satu kursus mengenai ICT Anjuran Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala lumpur. Hari ini merupakan hari ketiga saya menghadiri kursus berkenaan. Mengenai kursus, ia berjalan sebagaimana yang dijadualkan.



Petang tadi, selepas tamat kursus, saya telah ke satu ruang dalam premis MAB. Ruang yang saya maksudkan ialah Kelab Rekreasi MAB (KRM). Ruang berkenaan berada tidak jauh dari Bahagian ICT, di mana kursus yangsaya sedang ikuti dijalankan. Sekadar untuk maklumat bersama, di ruang KRM ini, beberapa aktiviti rekreasi dalaman seperti permainan ping-pong selalu diadakan. Selain itu, di sini juga sering dijadikan tempat pertemuan tidak rasmi dalam kalangan rakan-rakan senasib. Kebetulan pula, minuman dan makanan ringan turut disediakan dengan kadar harga yang cukup murah.

Setibanya saya di ruang KRM, saya terus dibawa duduk pada satu meja. Di meja berkenaan pula, sudah ada 4 orang rakan lain. Saya memang kenal mereka seorang demi seorang. Mereka merupakan rakan-rakan lama yang sudah saya kenali sekitar 20 tahun lamanya. Bahkan salah seorang daripada mereka, saya telah pun mengenali beliau sekitar 30 tahun lamanya. Demikianlah hubungan kami.

Setelah memesan minuman dan makanan ringan, kami pun mula berbual. Mulanya topik perbualan lebih kepada bertanyakan khabar. Maklumlah saya memang jarang hinggap di ruang ini. Kalau pun saya ke MAB, saya lebih tertumpu ke bahagian lain.

Sedang asyik bertanya khabar, tiba-tiba, salah seorang rakan bertanya mengenai isu yang ada sangkut-paut dengan Alquran Braille. Bila seorang mula bertanya, yang lainnya pun turut juga mengajukan soalan. Antara lain, ada yang bertanya, bolehkah kalau Alquran Braille dijadikan barang business? Ada yang bertanya, macam mana ********* boleh dapat soft copy Alquran Braille? Ada lagi pertanyaan lain yang turut diajukan kepada saya. Semua persoalan yang diajukan, saya jawab pada kadar yang patut-patut. Sesetengah jawapannya pernah saya kemukakan menerusi blog ini. Salah seorang rakan yang ada turut meluahkan kekesalannya mengenai satu jamuan makan malam yang pernah diadakan pada bulan Disember lalu. Kata rakan berkenaan, maklumat yang disebarkan mengenai makan malam berkenaan jauh berbeza daripada apa yang sebenarnya. Saya akhiri topik berkenaan dengan meminta agar semua berdoa agar suatu hari nanti Allah akan tunjukkan juga kebenarannya. Buat masa ini, tidak perlu kita mengambil tindakan yang akan merugikan kita juga. Sebagaimana telah saya nyatakan sebelum ini, saya malu untuk berkelahi kerana Alquran. Demikianlah antara jawapan saya kepada rakan-rakan yang ada. Mereka diam. Saya sendiri tak begitu pasti sama ada mereka berpuas hati atau sebaliknya dengan jawapan saya.



Sebelumnya, sewaktu saya selesai solat zohor di surau MAB, seorang rakan lain juga turut mengajukan persoalan yang hampir sama. Bahkan rakan yang ini telah mencadangkan sesuatu tindakan mungkin boleh dilakukan ke atas ********* kerana beliau telah mengkhianati PERTIS. Cadangan rakan yang ini ada kemunasabahannya.

Nampaknya, perkara mengenai Alquran Braille semakin mendapat perhatian daripada rakan-rakan senasib. Sebagaimana yang pernah saya nyatakan, sebahagian rakan senasib memang sudah maklum dengan perkara yang membabitkan Alquran Braille. Sedikit sebanyak mereka sudah ketahui apa yang telah berlaku. Mereka juga sudah maklum siapakah si pencuri soft copy Alquran Braille itu.

Sekali lagi, saya memohon kepada semua rakan senasib yang cintakan Alquran Braille dan yang cintakan kebenaran, marilah sama-sama kita perhebatkan dan perbanyakkan doa dan munajad ke hadhrat Allah agar suatu hari nanti, Dia akan pertontonkan juga haq dan kebenaran mengenai hal ini.

Tuesday, April 26, 2011

Cahaya Mata Pertama Zamzuri

Sekitar jam 8.45 malam sebentar tadi, saya sekeluarga telah ke rumah Saudara Zamzuri Ghani di Wangsa Maju. Untuk maklumat bersama, Zamzuri ialah Bendahari Kehormat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Pada 15 April 2011 (Jumaat) yang lalu, Zamzuri telah dikurniakan cahaya mata pertamanya iaitu tepat pada jam 12.48 tengah hari.



Sebenarnya, tujuan saya datang ke rumahnya ialah untuk mengadakan sedikit perbincangan mengenai perkara yang ada sangkut-paut dengan PERTIS, selain daripada menziarahi isteri dan bayinya. Bayinya sihat dan sempurna fizikalnya, tak macam bapaknya.



Muhammad Amirul Ikram. Demikianlah nama bayinya. Sepanjang saya sekeluarga berada di rumahnya, bayi comelnya sedang nenyak tidur. Hanya sekali sahaja bayinya menangis kecil, iaitu ketika hendak menyusu. Lepas itu, dia tidur semula. Jadi, dapatlah saya dengar suara bayinya sedikit.

Kepada Zamzuri dan isterinya, selamat menimang cahaya mata pertama.

Monday, April 25, 2011

Promosi Untuk Murid-murid Saya

Promosi Untuk Murid-murid Saya

Untuk murid-murid semua, di sini cikgu ada pautkan satu blog yang dirasakan sangat berguna kepada kalian. Blog yang dimaksudkan ialah blog yang dikendalikan oleh Dr. Zurinah Hassan. Sajak hasil karya Dr. Zurinah ada termuat dalam Antologi Harga Remaja, buku komponen kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Melayu untuk tingkatan 4.

Selain itu, Dr. Zurinah juga sering mengulas sajak dalam blognya. Dengan membaca ulasan beliau, kita akan dapat didedahkan dengan kaedah mengulas sajak mengikut kaca mata beliau.

Oleh itu, sesiapa yang berminat untuk ke blog Dr. Zurinah Hassan, boleh klik (enter untuk pengguna pembaca skrin) pada zurinah hassan dalam senarai Laman Sesawang Pilihan dalam blog ini.

Selamat mencuba!

Sunday, April 24, 2011

Datuk Wan Muhammad Akan Sentiasa Dikenang

Pada 21 April 2011 (Khamis) yang lalu, satu majlis persaraan untuk bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Muhammad bin Datuk Sheikh Abdul Aziz terlah diadakan. Majlis telah berlangsung di Putrajaya. Dalam majlis tersebut, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah diwakili oleh Setiausaha Agung, En. Abu Hassan Ashari Razak.

Bagi saya dan sebilangan besar ahli PERTIS, khususnya yang tinggal di sekitar Lembah Kelang, sangat maklum bahawa Datuk Wan Muhammad memang akrab dengan persatuan ini dan juga dengan golongan cacat penglihatan secara umumnya. Pada dekad 90-an lalu, ketika sebilangan orang cacat penglihatan diberi peluang menuntut di Darul Quran, JAKIM, Datuk Wan merupakan mudirnya.



Pada 13 Jun 2009 (Sabtu), Datuk Wan telah merasmikan Mesyuarat Agung PERTIS kali ke-14 yang telah berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Saya masih ingat lagi, ketika itu Datuk Wan telah memasuki auditarium ILIM dari pintu belakang dan terus berjalan turun ke bawah. Sambil berjalan, beliau bersalaman dengan para hadirin di kiri kanan beliau.

Pada 25 Jun 2009 (Khamis), sewaktu saya dan isteri menziarahi seorang sepupu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), tiba-tiba Datuk Wan Muhammad menegur saya dengan begitu ramah sekali. Kami saling bertanya tentang kehadiran kami di HUKM. Beliau turut menziarahi jenazah sepupu kami kerana Allahyarham merupakan kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Beliau bukan setakat menegur begitu sahaja, bahkan turut sama membawa saya ke tempat jenazah sedang ditempatkan.

Pada 25 Oktober 2009 (Ahad) pula, Datuk Wan Muhammad telah menghadiri majlis sambutan hari raya aidil fitri anjuran PERTIS. Majlis telah berlangsung di perkarangan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields. Masih segar dalam ingatan saya, ketika kami semua sedang makan, tiba-tiba lalu beberapa orang yang bukan Islam. Beliau dengan serta-merta telah mengarahkan kakitangan JAKIM yang ada supaya menjemput rakan-rakan yang bukan Islam supaya turut makan sekali.



Pada 24 Julai 2010 (Sabtu), sekali lagi Datuk Wan telah hadir dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung PERTIS kali ke-15 yang juga telah berlangsung di ILIM. Maknanya, dua tahun berturut-turut Datuk Wan Muhammad telah hadir dan merasmikan mesyuarat agung tahunan PERTIS.



Di samping itu, Datuk Wan Muhammad juga sentiasa berusaha membantu PERTIS selagi boleh. Menerusi inisiatif beliaulah maka pihak JAKIM telah menaja penerbitan Alquran Braille menerusi PERTIS. Kebetulan pula, sehingga kini, PERTIS merupakan satu-satunya pemilik dan pencetak Alquran Braille yang sah di negara ini. Hal ini saya yakini kerana soft copy Alquran Braille yang ada dalam simpanan PERTIS merupakan usaha dan inisiatif daripada ahlinya dan bukan dicuri daripada orang lain. Sebaliknya, soft copy Alquran Braille PERTIS pula yang pernah dicuri oleh orang lain.



Saya dapat merasakan, jauh di lubuk hati Datuk Wan, beliau sentiasa ingat pada golongan cacat penglihatan dan PERTIS. Pada 14 Julai 2009 (Selasa), saya bersama-sama Tuan Haji Muhammad Lee dan Ustaz Othman Deraman (Al-Hafiz) telah berpeluang untuk mengalunkan bacaan Alquraan pada majlis pembukaan rasmi tilawah Alquran peringkat kebangsaan yang telah berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak. Sebenarnya, peluang yang kami bertiga perolehi adalah atas kehendak daripada Datuk Wan Muhammad sendiri. Demikianlah saya telah dimaklumkan oleh salah seorang urus setia penganjur ketika itu. Masih segar lagi dalam ingatan saya, pada malam itu juga, Datuk Wan sendiri telah menelefon saya dan bertanyakan mengenai tempat tinggal saya serta rakan-rakan sementara berada di UTP. Maknanya, beliau sendiri ingin memastikan agar saya dan rakan-rakan lain sentiasa dalam keadaan yang selesa.

Tentu kita masih ingat, dalam majlis sambutan Maulidul Rasul (1432 Hijrah) peringkat kebangsaan pada 15 Februari 2011 (Selasa) baru-baru ini, qari yang telah mengalunkan bacaan Alquran dalam majlis tersebut ialah Sdr Ahmad Qusairi bin Mad Zizi. Beliau adalah seorang cacat penglihatan. Sekali lagi, peluang yang diperolehi oleh Ahmad Qusairi adalah di atas permintaan daripada Datuk Wan sendiri. Hal ini saya maklum kerana kakitangan JAKIM sendiri yang telah menghubungi saya sebelumnya dan meminta supaya saya mengemukakan nama qari yang boleh membaca Alquran dalam majlis tersebut. Menurut kakitangan berkenaan, Datuk Wan yang meminta supaya bacaan Alquran dalam majlis tersebut dialunkan oleh ahli PERTIS.

Demikianlah tulis dan ingatnya Datuk Wan Muhammad kepada golongan cacat penglihatan dan PERTIS. Justeru, persaraan beliau sudah tentulah merupakan suatu kehilangan terutamanya kepada PERTIS. Walau bagaimanapun, saya penuh yakin, hubungan di antara PERTIS dengan Datuk Wan Muhammad tidak akan terhenti setakat persaraan beliau. Lagi pun, jalinan hubungan yang telah sedia ada dibuat bukan atas dasar Datuk Wan Muhammad adalah Ketua Pengarah JAKIM. Saya penuh yakin, hubungan berkenaan terjalin atas landasan ukhwah Islamiyah serta keikhlasan setiap pihak yang sentiasa ingin mencari redha Allah.

Kepada Datuk Wan Muhammad, saya dan seluruh warga PERTIS ucapkan selamat bersara. Kami sentiasa berdoa semoga Allah sentiasa merahmati, memberkati serta menganugerahkan yang terbaik untuk datuk dunia dan akhirat.

Demikianlah kalau seseorang insan itu sudah sedia dalam kalangan orang yang baik-baik, di mana pun dia berada, sinar kebaikannya akan tetap bersinar gemilang dan bergemerlapan.

Saturday, April 23, 2011

Terima Kasih Tuan Inspektor Mohd Faizal Dan Tuan MSO

Pagi tadi, telah berlangsung satu majlis yang dinamakan Majlis Bicara Siber. Majlis berkenaan adalah di bawah anjuran Biro Penerbitan Dan Pembangunan ICT, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS. Majlis berkenaan telah berlangsung bertempat di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur.



Dua orang penceramah yang telah diundang dan telah hadir dalam majlis berkenaan ialah Tuan Inspektor Mohd Faizal bin Zainal dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, Kuala Lumpur. Seorang lagi penceramah ialah En. Mohd Sayuti bin Omar (MSO), seorang penulis blog, pengendali akhbar Siasah dan juga penulis buku yang sememangnya cukup tersohor di negara kita. Seramai lebih kurang 30 orang hadirin telah menghadiri majlis berkenaan.



Tuan Inspektor Mohd Faizal Zainal berceramah mengenai jenayah siber. Beliau menerangkan takrif jenayah siber. Beliau turut menyenaraikan sebab-sebab jenayah siber boleh berlaku serta langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya diambil oleh pengguna internet. Beliau turut mengutarakan beberapa contoh bagaimana sesuatu jenayah siber boleh terjadi. Tuan Inspektor Faizal turut berkongsi statistik jenayah siber dari tahun 2007 hingga tahun 2010. Walaupun saya tidak dapat mengingati statistiknya secara terperinci, namun apa yang pasti, setiap tahun ia menunjukkan peningkatan yang agak besar dari setahun ke setahun. Menurut beliau lagi, antara golongan yang mudah terperangkap dengan penjenayah siber ialah murid-murid sekolah dan penuntut di institusi pengajian tinggi.

Bagi saya dan rakan-rakan yang lain, ceramah yang telah disampaikan oleh Tuan Inspektor Faizal sangat berguna dan cukup memberi maklumat. Bahkan berdasarkan peningkatan statistik jenayah siber, ia turut mengejutkan saya. Selaku pengguna internet setiap hari, saya merasa beruntung dapat mendengar ceramah oleh Tuan Inspektor Mohd Faizal.



Setelah selesai ceramah pertama, maka En. Sayuti pula mengambil giliran. Di awal ceramahnya, beliau bercakap mengenai etika sebagai penulis blog. Seterusnya, beliau berbicara pula bagaimana menjadikan sesebuah blog menarik dan sentiasa dikunjungi. Beliau juga turut mengenengahkan ciri-ciri penulis blog yang baik. Beliau turut berkongsi kaedah secara umum bagaimana untuk menapis sesuatu maklumat supaya hanya maklumat yang sahih sahaja yang dipaparkan dalam blog. Di samping itu, En. Sayuti turut berkongsi mengenai prinsip yang selama ini beliau pegang selaku penulis blog.



Setelah selesai sesi ceramah, majlis diteruskan dengan sesi soal jawab pula. Walaupun kehadiran tidaklah seramai mana, tetapi sesi soal jawab cukup meriah dengan pelbagai soalan telah diajukan oleh hadirin sama ada kepada Tuan Inspektor Faizal mahupun kepada En. Sayuti. Dalam sesi ini, sekali lagi beberapa perkara telah dikongsikan kepada para hadirin oleh kedua-dua penceramah.



Walaupun makanan untuk jamuan ringan selepas ceramah tiba agak lewat, namun kedua-dua penceramah tidak menunjukkan kegelesihan mereka. Sebaliknya, masa yang ada digunakan dengan bertukar-tukar pandangan dan buah fikiran di antara beberapa orang hadirin termasuk saya dengan kedua-dua penceramah. Lebih kurang jam 1 tengah hari, barulah majlis berakhir.



Di sini, saya bagi pihak penganjur ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kedua-dua penceramah di atas kesudian mereka untuk hadir dan berkongsi ilmu mereka kepada para hadirin. Saya juga tidak lupa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua hadirin yang telah hadir. Semoga kita akan bertemu lagi dalam majlis yang lain pula, insha-Allah.

Tatapan Untuk Pencinta Alquran Braille

Alquran ialah kitab suci yang telah diturunkan Allah kepada kita sebagai petunjuk dan pedoman hidup. Dengan berlandaskan Alquran, pastilah hidup kita akan bahagia di dunia dan juga akhirat. Alquran Braille pula ialah kaedah penulisan dan pembacaan kitab suci berkenaan khusus untuk mereka yang cacat penglihatan. Dari satu sudut, tiada beza antara Alquran bertulisan biasa dengan Alquran yang bertulisan Braille Kerana apabila dibaca kedua-dua persi Alquran ini akan menghasilkan kalimah dan ayat yang sama dari surah dan juzuk yang sama. Ini adalah kerana kedua-dua versi Alquran berkenaan ditulis dengan huruf yang sama (alif hingga ya). Hanya bentuk huruf, bentuk baris dan bentuk tanda bacaan sahaja yang berbeza. Namun demikian, ia sama sekali tidak menghalang kedua-dua versi berkenaan (Alquran biasa dengan Alquran Braille) untuk menghasilkan bentuk bunyi yang serupa sama ada pada huruf, kalimah mahupun pada ayatnya. Demikianlah kebesaran Allah Yang Maha Esa. Walaupun Dia menjadikan seseorang hamba yang disukai-Nya tanpa penglihatan, tetapi dengan qudrat dan iradat-Nya, golongan yang tidak berpenglihatan tiada halangan untuk akrab dengan kitab suci yang telah diturunkan-Nya.



Saya penuh yakin, bagi rakan-rakan senasib yang sudah lama akrab dengan Alquran Braille tentunya telah maklum sejarah awal mulanya penerbitan Alquran Braille secara berkomputer di negara ini. Tuan Haji Muhammad Lee adalah orang yang telah menyalin data Alquran Braille ke dalam bentuk data komputer dari awal hingga akhir. Soft copy berkenaan kemudiannya telah diserahkan (diamanahkan) kepada PERTIS untuk tindakan lanjut. Saya sendiri telah terlibat sacara langsung ketika proses membuat pemetulan pada soft copy Alquran Braille berkenaan iaitu semasa ia sedang disemak oleh panel penyemak dari Darul quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pada tahap itu, soft copy Alquran berkenaan hanya ada dalam simpanan saya dan Tuan Haji Muhammad Lee sahaja. Setelah proses penyemakan tersebut selesai dan tatkala Alquran Braille buat pertama kalinya hendak diterbitkan secara berkomputer, barulah saya membuat salinan (copy) pada komputer di PERTIS ketika itu dengan harapan semua pihak akan bersikap jujur dan amanah. Maklumlah, Alquran, takkan ada yang berani berbuat perkara yang tidak baik dengannya. Saya sangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari; saya sangka semua pihak akan jujur dengan Alquran, rupa-rupanya ada manusia yang sanggup menjadi pencuri.

Alquran Braille mula menjadi isu apabila ada individu tertentu telah mengambil soft copy asal Alquran berkenaan secara tidak bertanggungjawab daripada komputer Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Dengan bahasa yang lebih mudah, individu berkenaan telah mencuri soft copy Alquran Braille daripada PERTIS. Golongan yang melakukannya pula lebih daripada seorang. Keadaan kian dipanaskan lagi apabila ada di antara pencuri soft copy Alquran Braille berkenaan telah menerbitkan semula Alquran berkenaan menerusi organisasi lain. Kemudian berusaha pula menjadikan penerbitan Alquran Braille tersebut sebagai periuk nasi (sama ada untuk organisasi atau untuk dirinya sendiri). Bila golongan seperti ini mengimbas kembali sejarah Alquran Braille, dia cuba memadam nama PERTIS selaku pemilik asal soft copy Alquran Braille berkenaan. Cuba perhatikan petikan tulisan berikut yang pernah tersiar dalam Berita Harian Online pada 19 Disember 2010 yang lalu:



Pada 1990, muncul teknologi komputer bersuara untuk kegunaan golongan ini dan tanpa berfikir panjang, SBM memutuskan untuk membeli kemudahan itu sebelum bersama dua rakan lain cuba memasukkan data al-Quran ke dalam komputer berkenaan.

“Ketika itu, kami yakin al-Quran berbentuk Braille dapat dicetak dengan lebih cepat berbanding cara menaip,” katanya sambil menambah usaha yang dimulakan mereka pada 1999 berhasil dan lebih membanggakan cetakan melalui komputer berjaya menyiapkan dua naskhah kitab suci Braille hanya dalam tempoh 10 jam.

Bagaimanapun, SBM masih menghadapi kekangan terutama dari segi kewangan kerana kos mencetak senaskhah kitab suci jenis itu yang boleh mencecah RM300 adalah di luar kemampuan persatuan.


Bagi pembaca awam, tulisan berkenaan dianggap benar kerana hingga kini tiada mana-mana pihak sama ada daripada SBM atau individu berkenaan yang membuat ralat pada artikel tersebut. Keadaan semakin hangat bilamana individu berkenaan kian berani dan semakin agresif menerbitkan Alquran Braille menerusi organisasi tertentu, walhal hakikatnya soft copy Alquran Braille yang ada padanya adalah soft copy yang telah dicuri daripada komputer PERTIS.



Individu berkenaan juga sanggup berbohong, kononnya Alquran Braille yang ada pada beliau telah disemak oleh orang itu dan orang ini. Bila saya bertanya sendiri kepada orang-orang yang dimaksudkan, mereka menafikannya. Mereka tidak perneh menyemak Alquran Braille yang ada pada individu berkenaan. Pada tahap ini, timbul seribu kehairanan dalam hati saya, mengapa individu berkenaan sanggup berbohong dengan menggunakan Alquran? Terlupakah dia, dia akan dibacarakan di mahkamah Rabbul Jalil suatu masa kelak?

Fenomena inilah yang sedang berleluasa pada masa ini. Saya yakin matlamat tersirat individu berkenaan bukan untuk berdakwah. Sebab itulah beliau tidak peduli akan halal dan haram pada perbuatannya.

Dari awal lagi, pendirian saya dalam hal ini cukup jelas. Bagi saya, Alquran (termasuklah Alquran Braille) adalah hak Allah. Allah tetap memelihara Alquran (walaupun Alquran Braille) sampai bila-bila. Keyakinan ini saya sandarkan kepada ayat 9 dari surah Alhijr, yang antara lain mafhumnya: “Kami (Allah) yang telah menurunkan Alquran, dan Kamilah (Allah) yang memeliharanya”.

Apa yang menimbulkan rasa dukacita saya Pada masa ini ialah bilamana semakin ramai rakan senasib yang menghubungi saya dan menyatakan rasa kesal mereka terhadap aktiviti individu si pencuri tersebut. Antaranya ialah sepertimana luahan yang dihantar kepada saya menerusi SMS sebagaimana di bawah:


Date:30.12.2010 20:56:44
Assalammualaikum. Saya bersetuju dengan usaha awak untuk mendedahkan hakcipta alquran brale yang sebenar. Namun demikian, saya tidak tahu apakah sumbangan yang patut diberikan sebagai tanda sokongan. Pada malam sejuta kasih, saya ada menyindir dalam fb mengenai nama persatuan braile. Kalau tak silap, pada 2005, mereka ada ke jb untuk promosi quran braile. Cerita itu saya dapat dari ****, kebetulan staf. Saya masa tu blur dengan cerita ****. Anyway saya doakan tujuan murni awak berjaya.


Sejak kebelakangan ini, saya semakin kerap dihubungi terutamanya oleh rakan-rakan senasib yang meluahkan kekesalan mereka terhadap fenomena yang sedang melanda. Ini mungkin kerana individu yang berkenaan semakin agresif mempromosikan Alquran Braillenya menerusi rangkaian yang semakin meluas. Salah seorang rakan senasib telah meluahkan: “Kesian publik, mereka tak tahu semuanya ini. Bila dengar saja Quran Braille, ramai yang teruja untuk menderma. Walhal sesama kita memang tahu soft copy yang ada pada dia dicuri daripada komputer PERTIS.”

Ada juga rakan-rakan senasib yang menghubungi saya dan menndesak supaya saya berbuat sesuatu. Sebenarnya saya cukup malu untuk berkelahi semata-mata kerana Alquran. Buat masa ini, saya masih istiqamah dengan menyerahkan urusan ini kepada Allah. Walau bagaimanapun, saya masih bersikap terbuka untuk menerima pandangan rakan-rakan mengenai hal ini. Pada masa yang sama, marilah kita perhebatkan dan perbanyakkan doa semoga Allah memperlihatkan kebenaran-Nya dalam hal ini suatu hari nanti. Bukankah doa orang yang dianiayai tiada hijab dengan Allah? Kalau rasa dukacita semakin meluap-luap, lakukanlah solat hajat. Bersungguh-sungguhlah kita bermunajat kepada Allah dalam menghadapi fenomena ini. Sesungguhnya, kebenaran daripada Allah itu adalah kebenaran yang hakiki. Dalam menghadapi ujian seperti inii, marilah kita sama-sama bersabar kerana bila kita bersabar, kita akan melihat keadilan Allah. Sebaliknya kalau kita tidak bersabar, kita pula yang diadili oleh Allah. Balasan Allah pasti akan terkena juga kepada mereka yang berbuat jahat dan berdusta, hanya saat dan masanya sahaja yang kita tidak ketahui.

Saya amat takut kalau Allah menyaman saya di akhirat nanti.

Maklumat tambahan:
SBM ialah Society Of The Blind In Malaysia (Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia(.

Thursday, April 21, 2011

Majlis Bicara Siber

Pada 23 April 2011 (Sabtu) ini, satu majlis yang dinamakan sebagai Majlis Bicara Siber akan dilangsungkan. Majlis ini adalah di bawah anjuran Biro Penerbitan Dan Pembangunan ICT, Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Majlis berkenaan akan berlangsung di dewan utama, Kompleks Pertubuhan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur. Majlis berkenaan akan bermula pada jam 9.00 pagi dan dijangkakan berakhir pada jam 1 tengah hari.

Untuk pengetahuan bersama, majlis itu nanti akan dipenuhi dengan 2 slot ceramah. Ceramah pertama akan disampaikan oleh Tuan Inspektor Mohd Faizal bin Zainal, seorang pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman, Kuala Lumpur. Beliau akan menyampaikan ceramah yang bertajuk “Pengguna Siber, Bukannya Penjenayah Siber”. Antara isi kandungan ceramah beliau nanti ialah mengenai undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan penggunaan siber, kes-kes yang pernah melibatkan penyalahgunaan siber dan yang seumpamanya.

Sebenarnya, pada asalnya, slot ini sepatutnya diisi oleh penceramah daripada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM). Namun demikian, sehingga ke saat ini tiada jawapan hitam putih daripada pihak berkenaan, walaupun surat jemputan telah pun dihantar sejak 8 April yang lalu. Oleh itu, untuk tidak merosakkan majlis dan sebagai tindakan pelan B, maka pada 19 April lalu, saya telah menulis surat kepada pihak JSJK dan mengundang pihak berkenaan untuk memberi ceramah bagi mengisi slot yang pada asalnya diperuntukkan kepada pihak SKMM. Alhamdulillah, petang tadi saya telah dihubungi oleh Tuan Inspektor Mohd Faizal sendiri dan mengesahkan akan menghadiri dan memberi ceramah sebagaimana yang telah diminta. Respon daripada pihak polis seperti ini memang pantas dan sewajarnya diberikan pujian. Kepada SKMM, kalau iya pun sibuk sangat, seeloknya berilah respon secepat mungkin walaupun jawapannya “tidak boleh” supaya pelan B dapat dilaksanakan dengan segera. Sudahlah mungkin tidak dapat hadir, tak beritahu penganjur pula, bukankah cara sebegitu boleh merosakkan majlis orang? Inilah antara cabaran yang harus dihadapi oleh penganjur yang mungkin jarang diketahui oleh para hadirin sesuatu majlis.



Manakala slot ceramah kedua pula akan mengenengahkan tajuk “Antara Etika Dan memenuhi Kehendak Pembaca Dalam Penulisan Di Blog”. Ceramah ini akandisampaikan oleh En. Mohd Sayuti Omar (MSO). Saya kira, ramai yang mengenali nama MSO. Beliau merupakan antara penulis blog tersohor di tanah air. Sejak dari awal lagi, En. MSO telah memberikan kerjasama yang cukup baik kepada saya ke arah penganjuran majlis ini. Mungkin kerana ada kelapangan pada waktu dan tarikh penganjuran majlis ini, maka sejak penghujung bulan Mac lagi beliau telah pun memberikan persetujuannya untuk hadir dan menyampaikan ceramahnya. Terima kasih banyak-banyak kepada En. MSO.

Dengan ini, saya dan pihak penganjur mempersilakan kepada semua untuk hadir ke Majlis Bicara Siber untuk sama-sama mendapat manfaat dan ilmu daripadanya. Sesiapa sahaja boleh hadir termasuklah yang bukan ahli PERTIS dan juga yang bukan Islam pun boleh hadir.

Kita jumpa di sana nanti!

Friday, April 15, 2011

Tahniah Kepada Zamzuri Ghani

Tahniah Kepada Zamzuri Ghani

Tengah hari tadi, Saudara Zamzuri Ghani telah menghubungi saya dan memaklumkan beliau baru sahaja mendapat cahaya mata pertamanya pada jam 12.48 tengah hari. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada beliau. Tak sampai pun setahun berumah tangga, sudah ada zuriat. Bayinya seorang lelaki tapi masih belum diberi nama. Kata Zamzuri, dalam senarainya sudah ada beberapa cadangan nama, tapi beliau akan berbincang dengan isterinya lebih dahulu sebelum memuktamadkan nama untuk puteranya.

Satu sikap positif yang telah ditunjukkan oleh Zamzuri yang mungkin boleh sama-sama kita teladani ialah, bila beliau beroleh putera, beliau telah menghubungi rakan dan taulannya. Tujuannya bukan sekadar untuk memberitahu beliau sudah ada cahaya mata, bahkan beliau sebenarnya ingin supaya rakan dan taulannya mendoakan yang terbaik untuk anaknya, untuk beliau dan isterinya. Demikianlah.

Tahniah sekali lagi untuk Zamzuri. Kepada rakan yang masih belum berumah tangga lagi, bersegeralah laksanakan sunnah Nabi. Jangan asyik suka orang itu dan ini, tapi tidak meminangnya.

Kenangan Bersama Paksu

Semalam (14 April), saya telah menerima SMS daripada Saudara Zahari Hashim yang memaklumkan mengenai kembalinya En. Abu Bakar Sulaiman (lebih mesra dengan panggilan Paksu) ke rahmatullah. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Selain itu, Tuan Haji Yahya Ali turut menghubungi saya beberapa kali untuk memaklumkan kepada saya perkembangan pengurusan jenazah Paksu. Manakala saya sendiri, sedang menghadiri kursus mata pelajaran untuk hari terakhir. Oleh kerana saya tidak dapat meninggalkan kursus, maka segala perkembangan pengurusan jenazah Allahyarham Paksu saya ketahui dari jauh sahaja. Hiba juga kerana tak mampu untuk menziarahi jenazah beliau buat kali terakhir. Terima kasih banyak-banyak saya tujukan kepada Saudara Zahari dan Tuan Haji Yahya.

Paksu telah menghidap sakit buah pinggang sejak beberapa tahun lalu. Kalau tak silap saya, dalam seminggu 3 kali beliau menjalani rawatan buah pinggangnya. Isteri beliau telah pun menghadap Ilahi beberapa tahun lalu. Beliau tinggal bersama-sama anak-anaknya. Beberapa tahun lalu, Paksu telah menghubungi saya dan memohon senaskah Alquran Braille untuknya daripada PERTIS. Kata beliau, dia ada banyak masa lapang. Jadi, beliau teringin sangat membaca Alquran. Alhamdulillah, kami dapat memenuhi permintaan beliau. Saya sendiri yang telah menghantarkan Alquran Berkenaan ke rumahnya semasa menghadiri majlis perkahwinan anak kepada Saudara Muhammad Harun ketika itu.

Setakat yang saya maklum, Paksu berasal dari Kelantan. Beliau telah menerima pendidikan rendahnya di Sekolah Princess Elizabeth (PES) di Johor Baru iaitu pada awal tahun 50-an. Kalau tak silap saya, waktu itu Paksu masih berpenglihatan terhad (rabun). Sebab itulah ketika itu, beliau juga dipanggil “Bakar Celik”. Saya tidak pasti bila Paksu telah benar-benar hilang penglihatannya.

Setelah menamatkan pendidikan rendahnya, Paksu telah menyambung pendidikan menengahnya di Kota Bharu. Paksu juga seangkatan dengan Allahyarham Dato’ Dr. Ismail Salleh. Kata Paksu, Allahyarham Dr. Ismail memang seorang yang pintar sejak kecil lagi. Semasa menuntut di Kota Bharu, Allahyarham Dr. Ismail turut sekelas dengan salah seorang kerabat diraja Kelantan. Kerabat yang dimaksudkan masih hidup lagi hingga hari ini. Oleh kerana Allahyarham Dr. Ismail sering membantu kerabat berkenaan menyiapkan kerja rumahnya, maka Allahyarham sering dapat habuan berbentuk makanan yang dibawa dari istana. Paksu juga turut menyebut beberapa nama yang pernah sekelas dengan beliau atau dengan Allahyarham Dr. Ismail yang mana pada hari ini mereka merupakan antara tokoh akademik, perniagaan dan politik ternama di negara kita. Demikianlah cerita Paksu kepada saya.

Setelah menamatkan persekolahannya, Paksu telah datang ke Kuala Lumpur. Akhirnya beliau telah mendapat kerja di salah sebuah jabatan kerajaan di sini.

Saya mula mengenali Paksu pada akhir dekad 80-an lalu. Waktu itu, saya masih menuntut di Universiti Malaya. Pada hujung minggu dan jika ada masa lapang, saya akan ke Brickfields. Selain bertemu kawan-kawan, saya sering bermain ping-pong di pejabat SBM Cawangan KL/Selangor ataupun di Pusat Latihan Gurney di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Masa itulah saya mula mengenali Paksu.

Jarak usia antara saya dan Paksu agak jauh juga, iaitu sekitar 20 tahun. Namun begitu, ia tidak menjadi halangan persahabatan kami. Yang pentingnya, orang muda kena tahu hormat kepada orang yang lebih berusia.

Adakalanya bila saya kalah bermain ping-pong dengan Paksu, saya akan merungut (sekadar bergurau) dengan berkata: “Saya nak bagi can kat orang tua.” Paksu akan menjawab: “Tu lah, orang tua memang banyak pengalaman.”

Paksu seorang yang lemah-lembut. Boleh dikatakan, saya tidak pernah mendengar Paksu bersuara tinggi. Sebab itulah juga, boleh dikatakan Paksu tak ada musuh. Mungkin rakan-rakan lain bersetuju dengan saya.

Sesungguhnya kenangan bersama-sama Paksu tidak akan terpadam buat selama-lamanya. Walaupun sejak semalam beliau tidak lagi bersama kita, namun kebaikannya akan tetap terpahat kukuh dalam kenangan.

Bersama-samalah kita berdoa semoga roh Paksu akan mendapat keampunan daripada Allah dan sentiasa berada dalam kasihan belas Allah hendaknya sepanjang masa. Kepada keluarga Allahyarham, bersabarlah menghadapi saat yang duka ini. Hari untuk kita akan tiba juga suatu hari nanti.
Alfatihah ....

Tuesday, April 12, 2011

Luahan Seorang Pemandu Teksi

Hari ini saya mula menghadiri kursus berkenaan mata pelajaran Bahasa Melayu untuk menengah atas. Walaupun mata pelajaran tersebut bukanlah subjek kesukaan saya, namun tanggungjawab yang telah diamanahkan harus saya pikul sebaik mungkin. Kursus berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis ini di Hotel Putra, Kuala Lumpur. Sebagaimana biasa, bila mesyuarat atau kursus diadakan di sekitar Kuala Lumpur, saya akan pergi dengan menggunakan pengangkutan awam sahaja. Saya akan lebih berdikari dengan cara begini.

Pagi tadi, saya telah menggunakan teksi untuk ke tempat kursus. Mulanya pemandu teksi berkenaan diam sahaja. Saya pun demikian juga. Bila teksi berkenaan masuk ke Jalan Gombak, jalan mula sesak. Teksi mula bergerak macam semut patah kaki. Mungkin kerana untuk menghilangkan kebosanan, pemandu teksi berkenaan mula membuka mulut. Mulanya beliau bertanyakan tujuan saya ke Hotel Putra. Kemudian bertanya pula tempat tinggal saya.

Soalannya yang ketiga sedikit mengejutkan saya. Pemandu berkenaan bertanya: “Apa pendapat encik tentang VCD lucah yang tengah hangat sekarang?” Lalu saya jawab: “Saya tak pernah tengok VCD tu.” Kemudian pemandu berkenaan berkata: “Maafkan saya. Memang encik tak pernah tengok, tapi tentu encik ada dengar tentang VCD lucah tu.” Kemudian saya jawab kembali: “Memang benar saya ada mendengar tentang VCD lucah tu, tapi dengar dengan tengok tak sama. Macam encik mungkin pernah tengok di surat khabar ke, internet ke. Jadi, daripada apa yang pernah encik dengar dan tengok, apa pendapat encik tentang VCD lucah tu?”

Saya sengaja melontarkan kembali soalan berkenaan kepada pemandu teksi tadi untuk menyelami apa sebenarnya yang terpendam dalam lubuk mindanya mengenai VCD lucah tersebut. Mendengarkan soalan saya, pemandu teksi berkenaan mula menghamburkan luahannya. Jalan Gombak dan Jalan Pahang yang sesak memberi ruang kepada pemandu teksi berkenaan untuk bercerita panjang kepada saya.

Antara lain, beliau berkata, kerajaan sudah hilang fokus kepada pembangunan negara. Saya terus mencelah: “Mengapa encik libatkan kerajaan? Bukankah yang terlibat dengan pembikinan VCD tu bukan kalangan menteri?” Kata pemandu teksi berkenaan, mengapa VCD berkenaan dipertontonkan di Karkosa? Macam mana pula ia boleh diperkatakan dengan meluas di media arus perdana? Hal tersebut tidak akan berlaku kalau tidak mendapat lampu hijau daripada pihak kerajaan. Saya bertanya lagi: “Encik tahu ke orang kerajaan yang mana yang bagi lampu hijau tu?” Lalu pemandu teksi berkenaan berkata: “Encik, Karkosa tu di bawah kementerian mana? Siapa pula yang keluarkan permit surat khabar di negara kita?”

Apabila soalan-soalannya saya tidak jawab, pemandu teksi berkenaan meneruskan luahannya. Antara lain Katanya, beliau bukanlah hendak menyebelahi pembangkang, tetapi VCD lucah berkenaan benar-benar membuatkan beliau rasa muak dan meluat, seolah-olah kerajaan sekarang sudah tidak ada kerja lain lagi. Katanya lagi, banyak masa, tenaga dan wang ringgit juga dibazirkan kerana VCD lucah tersebut.

Lalu saya mencelah lagi: “Kalau VCD lucah tu betul-betul dilakukan oleh orang politik berkenaan, apa yang patut kerajaan buat?” Pemandu teksi berkenaan menjawab: “Ada cukup bukti, dakwa saja di mahkamah. Tak payah nak sebar VCD lucah. Malu kat anak cucu kita.” Tegas bunyinya.

Kemudian saya berkata lagi: “Tapi orang kata, gambar yang ada dalam VCD tu macam gambar orang politik tertentu.” Pemandu teksi menjawab pula: “Encik, kata orang, dalam dunia ni ada 7 orang yang serupa. Masalahnya sekarang, orang besar-besar tu selalu ingat orang macam saya (golongan pemandu teksi) golongan yang bodoh dan tak tahu apa-apa. Saya pun selalu tengok internet juga.”

Pemandu teksi seterusnya berkata lagi: “Kadang-kadang saya pun pelik, orang yang betul-betul lakukan kesalahan tidak ditangkap.” Saya mencelah dengan menanyakan orang mana yang beliau maksudkan. Pemandu berkenaan meneruskan luahannya dengan menyebut beberapa nama orang politik tertentu yang beliau maksudkan. Nyatalah pengetahuan politik beliau tak terduga dengan hanya kail sejengkal. Panjang lagi luahannya kepada saya. Walaupun teksi sudah tiba di destinasi, beliau seakan masih belum mahu berhenti bercerita. Walaupun luahan yang saya dengar hanya daripada seorang pemandu teksi, tetapi dia mungkin mewakili sebilangan pemandu lain.

Saya sekadar memanjangkan luahan daripada seorang pemandu teksi sahaja!