Thursday, June 30, 2011

Sembang Petang

”Janji Melayu”

Istilah “janji Melayu” merupakan istilah yang agak biasa kita dengar penggunaannya dalam kalangan masyarakat kita. Setakat yang saya maklum, istilah “janji Melayu” tidak terdapat penggunaan secara rasmi dalam peribahasa Melayu. Ia mungkin digunakan secara umum sahaja. Mengikut pemahaman umum, “janji Melayu” membawa maksud janji yang tidak ditepati dengan betul. Sebagai contoh, jika seseorang berjanji akan datang pada jam 10.00 pagi, tetapi dia datang pada jam 11.00 pagi, maka itu dikatakan “janji Melayu”. Ia sama sekali berbeza dengan mungkir janji.

Mengapa ada sebilangan orang agak biasa menggunakan istilah “janji Melayu”? benarkah sebilangan besar orang Melayu gemar mengamalkan “janji Melayu” sehingga ia dijadikan satu istilah umum? Apa yang pasti, penggunaan Istilah “janji Melayu” tidak terbatas kepada masyarakat Melayu semata-mata, bahkan orang bukan Melayu juga ada yang kerap menggunakan istilah “janji Melayu” bila fenomena yang menyerupainya terjadi di sekelilingnya.

Pagi tadi, saya telah masuk ke dalam satu kelas seperti biasa untuk mengajar mata pelajaran Sejarah. Setelah beberapa minit saya mengajar, tiba-tiba salah seorang murid dalam kelas berkenaan meminta izin daripada saya untuk keluar. Katanya, tujuan beliau keluar kerana telah diminta untuk memberi penerangan kepada sekumpulan pelawat mengenai penggunaan ICT khususnya dalam kalangan murid. Dalam hati, saya amat bersetuju dengan peranan yang telah diberikan kepada murid berkenaan. Lagipun murid berkenaan mempunyai pengetahuan ICT yang agak baik. Kepetahan beliau bercakap merupakan satu bonus kepada peranan yang bakal beliau laksanakan nanti. Demikianlah.

Setelah beliau meninggalkan kelas, saya pun terus mengajar seperti biasa. Lebih kurang 10 minit kemudian, murid berkenaan kembali semula ke kelas. Setelah memberi ucapan untuk masuk semula ke kelas, beliau terus berjalan semula ke tempat duduknya sambil merungut: “Mereka ni “janji Melayu”, kata nak datang, tapi tak sampai lagi.”

Saya sekadar tersenyum lebar bila murid berkenaan menggunakan istilah “janji Melayu”. Saya amat memahami, murid berkenaan langsung tidak bermaksud untuk menyinggung mana-mana pihak, khususnya orang Melayu. Bahkan, sebagai orang Melayu, saya tidak terasa apa-apa pun bila murid berkenaan menggunakan istilah tersebut. Barangkali, murid berkenaan menggunakan istilah tersebut berdasarkan kekerapan penggunaannya dalam masyarakat yang melingkari beliau.

Keveinthran tentu tahu murid mana yang saya maksudkan!

Monday, June 27, 2011

Sepintas Lalu Mengenai Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS Kali Ke-16



Sebagaimana yang semua mungkin sudah maklum, Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan islam Malaysia (PERTIS) kali ke-16 telah pun berlangsung pada 25 Jun 2011 (Sabtu) yang lalu. Mesyuarat berkenaan telah berlangsung di dewan utama, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Mesyuarat berkenaan telah berlangsung seawal jam 8.30 pagi dan telah berakhir pada kira-kira jam 6.00 petang. Berdasarkan rekod pendaftaran, seramai 201 orang telah menghadiri mesyuarat agung tahunan kali ini.



Pada umumnya, mesyuarat berkenaan telah dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian pertama dan bahagian kedua. Bahagian pertama merupakan majlis perasmian. Ia telah berlangsung bermula jam 8.30 pagi dengan para ahli mesyuarat mula berkumpul di dalam dewan. Manakala bahagian kedua pula merupakan sesi mesyuarat agung. Pada jam 1.20 tengah hari, mesyuarat telah berhenti rehat untuk makan dan solat zohor. Pada jam 2.29 petang, sidang mesyuarat telah disambung semula dan berterusan hinggalah ke hampir jam 6.00 petang.



Sepatutnya, majlis perasmian kali ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tuan Haji Othman bin Mustapha. Namun demikian, saya dimaklumkan di saat-saat akhir beliau terpaksa membatalkan jadualnya ke majlis berkenaan kerana menguruskan satu urusan yang lebih aula. Beliau sebaliknya telah mewakilkan Ustaz Mohd Ali Sarbini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, JAKIM.

Sekitar jam 9.15 pagi, majlis perasmian pun bermula. Selepas ucapan aluan daripada pengerusi Majlis, Saudara Zaki Yusoff pula mengambil giliran untuk memimpin bacaan doa.



Setelah itu, Ahmad qusairi pula mengambil giliran untuk memperdengarkan bacaan ayat suci Alquran Al-karim. Memang suara Qusairi sungguh merdu apabila mengalunkan bacaan Alquran. Lebih istimewa lagi, kali ini, qusairi membaca Alquran dengan menggunakan panel E-Braille Quran yang telah dibangunkan oleh para penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama daripada PERTIS. Alhamdulillah alat tersebut telah berjaya digunakan dengan baik. Seingat saya, ini kali pertama panel E-Braille quran telah digunakan dalam khalayak ramai dan dalam majlis rasmi pula.



Selesai Ahmad Qusairi memperdengarkan bacaan Alquran, tiba pula giliran saya untuk menyampaikan ucapan. Teks penuh ucapan saya telah pun saya postingkan menerusi blog ini. Jadi tidak perlulah saya memperkatakannya lagi.



Selepas selesai saya berucap, tiba pula giliran Datuk Zamani (Setiausaha Dewan Negara) selaku penasihat PERTIS menyampaikan ucapannya. Dalam ucapannya, Datuk Zamani menaruh harapan yang besar agar jabatan Orang Kurang Upaya yang pada masa ini berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat akan berkembang dan berupaya menjadi sebuah entiti sendiri dengan diketuai oleh seorang yang berstatus ketua pengarah. Selain itu, beliau juga berharap agar kepimpinan JAKIM yang baru akan dapat membantu PERTIS untuk beroperasi di bangunan yang lebih sesuai.

Nampaknya, isi ucapan Datuk Zamani kali ini ada sedikit kelainan. Tidak seperti dalam siri ucapan beliau sebelumnya yang mana beliau sering menyentuh mengenai penjual tisu. Oleh kerana isi ucapannya hampir serupa dalam siri ucapannya sebelum ini, dalam kalangan sesetengah orang buta, beliau mula dikenali sebagai “Datuk Tisu”.



Setelah itu, tampil pula Ustaz Mohd Ali Sarbini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, JAKIM yang mewakili Ketua Pengarah JAKIM berucap. Beliau mengucapkan tahniah kepada PERTIS kerana baginya berjaya menganjurkan satu majlis yang besar dan baik. Menurut beliau, majlis ini dianggapnya besar kerana kehadiran yang ramai dan memuaskan. Setelah berucap, beliau pun merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ini. Cara beliau merasmikan majlis ada sedikit kelainan. Beliau telah meminta hadirin supaya membaca surah Alfatihah. Setelah selesai, barulah beliau mengatakan, dengan bacaan tersebut dan dengan kalimah bismillah, beliau merasmikan mesyuarat agung kali ini.

Upacara perasmian diteruskan lagi dengan penyampaian anugerah khas. Ini merupakan kali kedua PERTIS memberikan Anugerah Khas kepada pihak yang terpilih. Pada tahun ini, Anugerah Khas telah dianugerahkan kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan juga kepada pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sebenarnya Anugerah Khas diberikan kepada individu atau pihak yang telah memberikan perkhidmatan atau jasa yang besar kepada PERTIS dan juga kepada golongan cacat penglihatan khasnya yang beragama Islam.

MAIDAM dipilih kali ini kerana sumbangannya yang besar khasnya terhadap PERTIS Terengganu. MAIDAM telah menaja program Celik Alquran untuk ahli PERTIS Terengganu. Selain itu, sumbangan kewangan yang dihulurkan MAIDAM kepada PERTIS Terengganu juga semakin besar.



Manakala pasukan penyelidik dari FKM UTM pula dipilih di atas sumbangan besar mereka dalam penyelidikan sehingga terhasilnya panel E-Braille Quran. Alat canggih ini memang besar guna dan manfaatnya khususnya kepada teknologi perkakasan khas untuk golongan yang cacat penglihatan.



Selesai acara Anugerah Khas, tiba pula acara sumbangan Alquran Braille tajaan. Kali ini, pihak Malaysia Building Society Bhd (MBSB) telah diberi penghormatan untuk mengiringi KPP JAKIM untuk menyampaikan Alquran Braille tajaan mereka kepada dua penerima. Sebenarnya, pihak MBSB sedang menaja penerbitan 62 naskah Alquran Braille untuk diedarkan secara percuma kepada pengguna yang layak.

Majlis perasmian ini telah diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan juga sidang akhbar. Selepas itu, para tetamu jemputan telah menikmati jamuan ringan di bilik yang telah disediakan.



Bahagian kedua mesyuarat agung kali ini telah dimulakan pada jam 11.40 pagi, iaitu terlewat kira-kira 35 minit. Bagi saya, pada keseluruhannya, mesyuarat telah berjalan lancar. Untuk sesi soal jawab pula, saya rasa ia tidaklah semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya. Mungkin antara kelemahan yang timbul di sini ialah ketidakcukupan dokumen mesyuarat yang diedarkan. Insha-Allah kelemahan sebegini akan diatasi pada masa yang akan datang.



Selain itu, saya juga ada terdengar beberapa soalan yang kononnya akan ditanya ketika bermesyuarat, tetapi setelah mesyuarat selesai, soalan yang berkenaan tidak ditimbulkan langsung. Bagi saya, kalau kita mempunyai fakta, data dan bukti, tidak menjadi kesalahan bahkan amat saya alu-alukan untuk sebarang persoalan dikemukakan. Saya yakin, kita semua mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk memantapkan lagi organisasi kita. Inilah antara tujuan utama kita bermesyuarat. Bagi saya, menyoal, menjawab dan berbincang adalah elemen yang akan memeriah dan menyemarakkan mesyuarat. Selaku pengerusi mesyuarat dan juga Yang Di-Pertua organisasi, saya tetap berkeyakinan penuh iaitu mengkritik bukan bermakna menentang dan memuji bukan bermakna menyokong.



Dalam mesyuarat kali ini, 4 orang AJK muka baru telah dipilih untuk menganggotai barisan kepimpinan tertinggi PERTIS sehingga tahun 2012. Mereka ialah:



En. Mohd Nasir bin Mohamed Yusoff selaku Naib Yang Di-Pertua;
Pn. Sariyah binti Nordin selaku AJK Pusat Biasa;
Pn. Arilzoh binti Mokhtar selaku AJK Pusat Biasa;
En. Azizan Salleh juga selaku AJK Pusat Biasa.



Manakala Cikgu Mohd Fekkeri dan Cikgu Saifuddin merupakan juruaudit dalaman untuk tempoh setahun. Lain-lain jawatan iaitu Yang Di-Pertua, Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat masih kekal disandang oleh muka lama.



Sepertimana yang telah saya nyatakan tadi, sekitar jam 6.00 petang barulah mesyuarat berakhir. Di sini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan supaya mesyuarat kali ini berjalan dengan baik dan lancar. Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada seluruh saf kepimpinan PERTIS sama ada yang lama mahupun yang baru. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh kakitangan PERTIS yang telah bekerja keras ke arah menjayakan mesyuarat kali ini. Ucapan yang serupa juga saya tujukan kepada seluruh sukarelawan yang tidak bosan dan jemu dalam melayan karenah ahli PERTIS yang agak pelbagai.

Kepada semua, terima kasih daun keladi saya ucapkan.

Sunday, June 26, 2011

Teks Ucapan

Semalam (25 Jun), telah berlangsung majlis perasmian dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) kali yang ke-16. Selaku Yang Di-Pertua PERTIS, saya telah menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian berkenaan. Selama ini, saya agak biasa juga menulis teks ucapan orang lain sama ada di tempat bertugas, atau di luar tempat bertugas. Jadi, bila diri sendiri yang kena berucap, malu pula untuk meminta orang lain menyediakan teks ucapan saya. Oleh itu, untuk ucapan saya semalam, saya yang menulis sendiri teksnya yang kemudiannnya telah saya sampaikan menerusi ucapan saya. Untuk maklumat bersama, bahagian teks yang berhuruf condong (italics) merupakan bahagian yang saya tambah secara spontan semasa saya menyampaikan ucapan. Di bawah ini, saya perturunkan teks ucapan saya yang lengkap yang telah saya gunakan untuk menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS kali ke-16.


Teks Ucapan Yang Di-Pertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)
Dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Ke-16


Tarikh : 25 Jun 2011M/23 Rejab 1432H (Sabtu);
Tempat : Dewan Utama, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.
Tema : PERTIS Meniti Cabaran.

1. Alu-aluan Dan Pendahuluan.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali bin Sarbini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mewakili Ketua Pengarah JAKIM, Yang Berbahagia Datuk Zamani bin Sulaiman, Setiausaha Dewan Negara merangkap penasihat PERTIS, yang dihormati para pegawai dari JAKIM dan JAWI, Wakil-wakil daripada jabatan dan agensi kerajaan, wakil-wakil daripada badan-badan korporat, seluruh saf kepimpinan PERTIS di semua peringkat, seluruh ahli PERTIS dari seluruh negara, wakil-wakil dari pelbagai media massa, serta seluruh muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian.

Terlebih dahulu, saya dengan segala kerendahan dan kekurangan yang sentiasa ada, ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T., kerana dengan limpah kurnia-Nya, serta dengan taufik, hidayah dan inayah dari-Nya, kita semua telah diberi peluang dan kesempatan untuk hadir dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) kali yang ke-16. Saya berdoa agar majlis kita ini akan sentiasa diberkati dan dirahmati Allah sepanjang masa dan ketika serta perjalanan mesyuarat kemudiannya akan dapat dilaksanakan dengan penuh ketertiban, lancar tanpa tergugat oleh apa jua perkara yang sama-sama tidak kita ingini hingga ke akhirnya, insha-Allah.

Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih khasnya kepada Ustaz Mohd Ali yang mewakili Tuan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah sudi hadir dan seterusnya akan merasmikan mesyuarat agung tahunan PERTIS kali ini. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih juga tidak lupa saya tujukan kepada wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan, badan-badan korporat, wakil-wakil badan bukan kerajaan, wakil media massa, seluruh ahli PERTIS serta para hadirin semua di atas kesudian menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung tahunan PERTIS kali ke-16 pada hari ini. Sesungguhnya kesudian tuan-tuan dan puan-puan hadir ke majlis kami amat dihargai, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.

2. Latar Belakang Ringkas PERTIS.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Untuk pengetahuan kita bersama, PERTIS merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan (NGO) untuk mereka yang cacat penglihatan yang berteraskan agama Islam di negara kita. Pada hari ini, keahlian PERTIS sudah mencecah sekitar 1,500 orang. Walaupun PERTIS adalah sebuah badan bukan kerajaan yang berteraskan Islam, tetapi berdasarkan kepada objektif penubuhannya sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan PERTIS, kegiatan-kegiatan persatuan ini boleh merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, sosial dan apa sahaja yang boleh memberi manfaat kepada golongan cacat penglihatan yang beragama Islam. Sesungguhnya ia juga selaras dengan dasar Islam itu sendiri yang merangkumi segala aspek dalam kehidupan.

Dari sudut keahlian pula, PERTIS mempunyai dua jenis keahlian yang utama, iaitu Ahli Biasa dan juga Ahli Sekutu. Ahli Biasa merupakan mereka yang cacat penglihatan dan beragama Islam. Manakala Ahli Sekutu pula merangkumi mereka yang berpenglihatan dan ingin turut sama bersama-sama kami untuk mencapai segala matlamat persatuan.

3. Kegiatan perTIS Secara Ringkas.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Dari sejak penubuhannya pada tahun 1996 hinggalah ke hari ini, pelbagai kegiatan telah dan sedang dianjurkan oleh PERTIS demi manfaat ahli-ahlinya dan juga golongan cacat penglihatan secara umum. Antara aktiviti yang dimaksudkan termasuklah penganjuran pelbagai majlis ceramah bersempena hari-hari kebesaran Islam, forum dan seminar, karnival tilawah, kelas-kelas pengajian, program Celik Alquran dan lain-lain lagi.

Di sini, saya ingin merafakkan kesyukuran yang sebanyak-banyaknya ke hadrat Allah Yang Maha Esa kerana dalam menganjurkan pelbagai aktiviti, kami sentiasa mendapat sokongan dan dokongan padu daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan-badan korporat serta daripada orang perseorangan. JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan merupakan antara jabatan dan agensi yang sentiasa bersama PERTIS dalam memberikan bantuan khususnya dalam penganjuran pelbagai kelas pengajian, tajaan pelbagai majlis dan sebagainya. Di peringkat negeri pula, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh jabatan agama Islam juga tidak kurang hangatnya. Umpamanya, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu sudah beberapa tahun menaja kelas pengajian Alquran Braile di Terengganu menerusi program Celik Alquran. Pusat Dakwah Islamiyah Paroi serta Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan telah memulakan langkah untuk menganjurkan kelas pengajian Alquran Braille bersama-sama PERTIS.

4. Kerjasama PERTIS Dengan Pihak Luar.

Pada tahun lalu, Bahagian Buku teks (BBT), Kementerian Pelajaran Malaysia, telah memberi kepercayaan kepada PERTIS untuk mentranskripsi, mencetak dan seterusnya mengedarkan buku teks Braille Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk mata pelajaran pendidikan Islam tahun satu bagi kegunaan tahun 2011. Alhamdulillah, sebesar-besar puji dipanjatkan ke hadrat Allah, walaupun ia merupakan pengalaman pertama PERTIS dalam memikul tanggungjawab sedemikian, dengan sokongan daripada semua pihak, PERTIS telah berjaya menyelesaikan tanggungjawab berkenaan sebelum tarikh akhir yang ditentukan. Selain itu, pada masa ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang bekerjasama erat dengan PERTIS untuk menerbitkan sekitar 5 ribu risalah kepenggunaan dalam bentuk Braille untuk diedarkan kepada golongan sasar tidak lama lagi. Sesungguhnya pengalaman sebegini amat berharga kepada PERTIS. Mudah-mudahan PERTIS akan diberi lagi kepercayaan sedemikian untuk memikul tanggungjawab yang sama pada masa-masa yang akan datang, insha-Allah.

5. “Seorang OKU Penglihatan, Senaskah Alquran Braille”.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Sejak tahun 2007 lagi, PERTIS telah pun melancarkan satu program yang bermatlamatkan “Seorang OKU Penglihatan, Senaskah Alquran Braille”. Matlamat utama program ini ialah untuk memastikan supaya setiap OKU penglihatan di negara ini akan memiliki satu naskah Alquran Braille. Untuk itu, PERTIS telah dan sedang mendapat kerjasama erat dari pihak kerajaan dan swasta bagi mencapai matlamat berkenaan. Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi Bahagian Buku Teks (BBT), telah dan sedang menaja penerbitan sekitar seribu naskah Alquran Braille untuk diedarkan kepada seluruh murid sekolah pendidikan Khas di seluruh negara. Menerusi program ini, setiap murid Islam akan dipastikan memiliki senaskah seorang sebelum mereka meninggalkan bangku sekolah. Pihak JAKIM sendiri telah pun menaja penerbitan 300 naskah Alquran Braille untuk diedarkan kepada golongan cacat penglihatan yang dewasa. Selain itu, Malaysia Building Society Bhd telah menaja penerbitan 62 naskah, manakala World Wide Holding Bhd pula sedang menaja penerbitan 300 naskah Alquran Braille. Pihak World Wide Holding juga turut menaja pembelian sebuah pencetak Braille (Braille embosser) yang harganya hampir mencecah 21 ribu ringgit. Sesungguhnya keinginan dan keterlibatan pihak-pihak yang berkenaan untuk seiring dan seganding dengan PERTIS dalam melaksanakan usaha dakwah amat memberangsangkan. Setinggi-tinggi syukur kita rafakkan ke hadrat Allah S.W.T.

Kepada seluruh ahli PERTIS pula, dengan segala yang telah kita ada, marilah kita sama-sama melipatgandakan usaha untuk memastikan diri kita supaya celik Alquran walaupun melalui Alquran Braille. Jika difikir-fikirkan, sebenarnya Allah sedang mempermudahkan golongan seperti kita untuk lebih akrab kepada-Nya menerusi pelbagai kemudahan, pertolongan dan bantuan daripada pelbagai pihak supaya kita tidak terpinggir untuk tergolongan dalam kalangan mereka yang akan mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Rasanya kita tidaklah serugi mana jika kita tidak celik penglihatann, tetami kita akan menjadi makhluk yang paling rugi jika kita gagal menjadi insan yang celik Alquran sedangkan kesempatan dan peluang untuk kita melakukannya sedang terbentang luas.

6. Pencurian Softcopy Alquran Braille PERTIS.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Saya serta sebilangan besar ahli PERTIS merasa begitu dukacita apabila tanpa disangka-sangka ada pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah telah mencuri soft copy Alquran Braille yang telah dihasilkan oleh ahli PERTIS dan telah diamanahkan hanya kepada PERTIS sahaja. Lebih jauh lagi, pihak yang tidak bermoral itu telah menggunakan soft copy yang telah dicuri itu dengan menerbitkan Alquran Braille keluaran mereka pula dan mempromosikannya pula dalam majlis yang besar serta mendapat liputan yang agak meluas daripada pihak media. Dalam liputan tersebut, nama PERTIS telah dipadam terus, bahkan nama NGO lain yang langsung tidak ada kena-mengena dengan Alquran Braille pula telah diwar-warkan. Untuk lebih lanjut, tuan-tuan dan puan-puan boleh merujuk rencana yang bertajuk “Satu Rumah, Satu Naskah” yang diterbitkan menerusi Berita Minggu pada 19 Disember 2010 yang lalu. Sehingga kini, pihakk yang tidak bertanggungjawab itu terus mempromosikan Alquran Braille yang telah mereka curi soft copynya itu daripada PERTIS untuk kepentingan sendiri. Sepatutnya, dengan Alquran kita akan menjadi lebih takut kepada Allah. Sayang seribu kali sayang, masih ada pihak yang tergamak menjadikan Alquran (walaupun Cuma Alquran Braille) hanya untuk kepentingan perut dan poketnya semata-mata.

7. Projek E-Braille Quran Teaching Aid.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Satu lagi program yang sedang berjalan pada masa ini ialah membangunkan Panel Electric Braille Quran Teaching Aid. Sebenarnya program ini sedang dilaksanakan oleh sepasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama daripada PERTIS sendiri. Jika selama ini Alquran bercetak Braille termuat dalam 6 jilid dan beratnya sekitar 10 kilogram, tetapi dengan terhasilnya panel ini nanti, Alquran Braille akan termuat dalam satu panel sahaja dengan beratnya di sekitar 1 kilogram sahaja. Penyelidikan dan penghasilan alat canggih ini sudah pun melebihi 90% siap. Saya dimaklumkan alat seumpama ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Insha-Allah, PERTIS tidak akan leka dengan pencapaiannya selama ini. Lagi pun, apa yang telah dicapai masih lagi kecil dan sedikit. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh PERTIS untuk memenuhi keperluan golongan sasar. Oleh itu, PERTIS akan melipatgandakan usaha dengan membuat rancangan rapi supaya objektif penubuhan persatuan ini akan tercapai. Selaras dengan objektif persatuan ini, rasanya sudah tiba masanya PERTIS untuk meneroka bidang-bidang lain seperti ekonomi, pendidikan dan sebagainya untuk membantu dan memenuhi keperluan para ahlinya. Justeru, sokongan, dokongan sertan bantu dari kerajaan dan bukan kerajaan amat kami perlukan agar kami tidak keseorangan dalam membangunkan golongan cacat penglihatan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya suka mengambil kesempatan yang ada untuk mewakili seluruh ahli PERTIS menyampaikan ucapan takziah kepada Saudara Ramli bin Md Som serta keluarga beliau. Saudara Ramli ialah salah seorang Ahli Biasa PERTIS negeri Terengganu. Semasa beliau dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kl semalam bersama-sama dengan ahli PERTIS Terengganu yang lain, iaitu sewaktu bas yang dinaiki tiba di Sungai Ular, Kuantan, Saudara Ramli mendapat berita rumahnya di Marang terbakar. Keluarganya selamat. Dengan pertolongan daripada ahli PERTIS lain yang turut bersama beliau, Saudara Ramli dapat menaiki bas yang lain untuk kembali semula ke Marang. Sama-samalah kita berdoa semoga Saudar Ramli akan bersabar dan tabah dalam menghadapi musibah yang menimpa beliau dan keluarganya.

8. Penutup.

Akhirul kalam, sekali lagi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali Sarbini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM yang mewakili Tuan Ketua Pengarah JAKIM, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian di atas kesudian menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS kali ke-16. Jika kedapatan sebarang kekurangan dan kelemahan dalam majlis kami, jutaan ampun dan maaf kami pohonkan. Maklumlah kami umpama budak yang masih belajar, jika ada salah dan silap tolonglah perbetulkan.

Sekian, terima kasih.

Tuesday, June 21, 2011

Alquran Braille: Sejarah Yang Terpendam (Bahagian Pertama)

Sejarah Awal

Saya pernah menulis beberapa kali menerusi blog ini mengenai Alquran Braille. Walau bagaimanapun, pada hemat saya, tulisan saya mengenainya sebelum ini agak ringkas dan lebih kepada berbentuk coretan semata-mata. Namun begitu, untuk kali ini, izinkan saya untuk membentangkan secara lebih terperinci mengenainya untuk tatapan kita bersama. Mudah-mudahan ia akan memberi manfaat khususnya kepada mereka yang dahagakan maklumat mengenainya, insha-Allah.

Dalam membentangkan fakta dan data mengenai sejarah Alquran Braille khususnya di negara kita, saya telah membahagikan tulisan mengenainya kepada beberapa bahagian. Pembahagian tersebut saya lakukan berasaskan kepada kronologi peristiwa. Selain itu, ia juga bertujuan agar tulisannya tidak terlalu panjang dan ini mungkin akan membosankan sesetengah orang. Maklumlah tulisan yang bercorak fakta sebegini bukan semua orang yang suka membacanya.

Seperkara lagi, jika ada pada mana-mana bahagian dalam tulisan saya mengenai sejarah Alquran Braille ini yang terkhilaf, tersilap atau tersalah, saya mohon kepada mereka yang lebih mengetahuihya agar membuat pembetulan. Pembetulan berkenaan boleh dilakukan menerusi ruangan komentar di hujung tulisan ini, ataupun boleh juga berkongsi melalui dengan mengemailkannya terus kepada saya. Insha-Allah mana-mana yang baik dan sesuai akan saya kongsikan pula dengan para pembaca yang lain.

Sejarah tulisan Jawi Braille dan Alquran Braille di negara kita sebenarnya telah bermula dari semenjak tertubuhnya Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di Johor Baru pada tahun 1948 lagi. Sebagaimana yang kita semua maklum, negeri Johor merupakan negeri yang mempunyai sistem pendidikan agama yang tersusun. Seiringan dengan itu, apabila tertubuhnya SKPK Princess Elizabeth, maka pihak pentadbir sekolah berkenaan telah mencuba sedaya upaya untuk menerapkan pendidikan agama Islam kepada murid-muridnya. Salah satu usaha yang telah dilaksanakan ialah dengan memanggil beberapa orang guru agama di sekitar Johor Baru ketika itu untuk datang dan memberi kuliah atau ceramah kepada murid-murid di sekolah berkenaan. Di antara guru agama yang pernah datang ke sekolah berkenaan untuk tujuan tersebut termasuklah Cikgu Rahmat Mizan (Allahyarham) iaitu bapa kepada bekas menteri penerangan Malaysia, Tan Sri Muhammad Rahmat (Allahyarham). Selain itu, bekas pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Jalil Hassan (Alllahyarham) yang mana pada ketika itu merupakan salah seorang pegawai agama di Johor, juga pernah datang ke SKPK Princess Elizabeth untuk melihat sendiri perkembangan pendidikan agama Islam di sekolah berkenaan. Kesemua peristiwa yang saya bentangkan ini berlaku pada hujung dekad 40-an. Peristiwa berkenaan juga telah berlaku bukan di sekolah yang ada di tapaknya sekarang, sebaliknya ia telah berlaku di Batu 3, Jalan Skudai, kerana antara tahun 1948 hingga tahun 1954, SKPK Princess Elizabeth telah ditempatkan secara sementara di Batu 3, Jalan Skudai, Johor. Lokasi sekolah tersebut ketika itu amat dekat dengan laut. Demikian saya dimaklumkan.

Satu masalah besar yang menjadi cabaran utama dalam pelaksanaan pendidikan agama Islam waktu itu ialah tiada tulisan Jawi dan Alquran berbentuk Braille. Selain itu, tiada sebarang bahan yang boleh digunakan sebagai asas dan panduan untuk mengajar murid-murid cacat penglihatan untuk membolehkan mereka menulis Jawi Braille dan Alquran Braille.

Bagi mengatasi masalah yang timbul, Cikgu Ann Majeed (kini Dato’ Ann Majeed) bersama-sama Major D.R. Bridges telah berusaha untuk mencipta tulisan Jawi Braille dan Alquran Braille. D.R. Bridges dilibatkan kerana beliau adalah antara orang yang mahir dengan sistem tulisan Braille di Malaya ketika itu. Walaupun usaha-usaha berkenaan tidak berjaya membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan, setidak-tidaknya ia menunjukkan betapa pendidikan agama Islam untuk mereka yang cacat penglihatan telah dititikberatkan sejak dari awal lagi. Hal ini (usaha untuk mencipta tulisan Jawi Braille) dimaklumkan sendiri kepada saya oleh Yang Berbahagia Datuk Ann Majeed dalam satu wawancara saya dengan beliau pada tahun 1990 lalu. Datuk Annn Majeed merupakan guru besar pertama SKPK Princess Elizabeth (1948-1956).

Keadaan mula berubah pada pertengahan dekad 50-an apabila senaskah Alquran Braille dari Jordan telah diterima oleh SKPK Princess Elizabeth. Pada hujung tahun 1954 pula, Cikgu Sulaiman bin Shafie (Allahyarham), seorang guru agama, telah ditempatkan di SKPK Princess Elizabeth secara sepenuh masa untuk mengajar agama Islam kepada murid-murid sekolah berkenaan. Kurikulum yang digunakan adalah berdasarkan kurikulum Jabatan Agama Islam Johor. Dari sinilah maka bermulanya perkembangan tulisan dan pengajaran Alquran Braille yang lebih teratur di negara kita.

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, Alquran Braille terawal di Malaysia yang dapat dikesan setakat ini ialah naskah Alquran Braille yang dikeluarkan oleh kerajaan Jordan cetakan tahun 1952. Naskah Alquran Braille berkenaan lengkap 30 juzuk dan terbahagi kepada 6 jilid. Ia ditulis secara double sided dengan tulisan Arab Braille. Antara institusi pendidikan khas cacat penglihatan yang mula-mula menerima naskah Alquran Braille berkenaan ialah SKPK Princess Elizabeth di Johor Baru. Saya tidak pasti sama ada sekolah berkenaan masih menyimpan lagi naskah Alquran Berkenaan atau tidak. Setakat yang saya ketahui, pada hari ini, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) masih menyimpan jilid 1 daripada naskah Alquran berkenaan. Sebenarnya jilid berkenaan telah saya temui berada dalam simpanan pihak lain. Pada tahun 1997, pihak yang menyimpan jilid Alquran berkenaan bercadang untuk membuangnya daripada simpanan mereka. Pihak berkenaan sememangnya tidak mengetahui bahawa bahan yang hendak dibuangnya itu ialah Alquran Braille yang dikeluarkan oleh kerajaan Jordan cetakan 1952. Kebetulan pula pada ketika itu saya adalah Naib Yang Dipertua merangkap Pengerusi Biro Penerbitan PERTIS. Dengan kedudukan saya di PERTIS ketika itu, saya telah menulis surat kepada pihak berkenaan dengan menerangkan apakah sebenarnya bahan yang hendak mereka hapuskan itu. Selanjutnya, saya memohon agar penjagaan bahan berkenaan dipindahkan terus kepada PERTIS. Alhamdulillah, walaupun pihak yang berkaitan tidak tahu mengenai Alquran Braille, tetapi mereka bersetuju untuk memindahkan bahan berkenaan kepada PERTIS. Sejak dari itulah, Alquran Braille berkenaan berada dalam simpanan PERTIS hingga kini.

Sehingga kini, saya masih tidak dapat memastikan bagaimana naskah Alquran Braille berkenaan boleh sampai ke Malaysia dari Jordan. Antara teori kedatangan Alquran Braille ke Tanah Melayu yang dapat saya kemukakan di sini ialah, kerajaan Jordan ketika itu mempunyai hubungan yang akrab dengan kerajaan Great Britain. Pada masa yang sama, Tanah Melayu pula merupakan sebahagian daripada tanah jajahan Britain. Mungkin dengan memperolehi maklumat mengenai kewujudan institusi khas cacat penglihatan di Tanah Melayu melalui Britain, maka pihak berkuasa Jordan telah mengirimkan senaskah Alquran Braille yang lengkap kepada institusi berkenaan. Pada masa itu juga, pihak-pihak yang berkenaan di Tanah Melayu memang tiada maklumat langsung mengenai Alquran Braille, negara yang menghasilkannya dan sebagainya.

Pada masa yang sama juga (dekad 50-an), Indonesia juga turut menerima naskah Alquran Braille dari negara Arab (mungkin Jordan). Maklumat ini saya perolehi ketika saya membaca kisah hidup Abdullah Yatim, seorang yang berpenglihatan tetapi amat berjasa besar dalam mengembangkan Alquran Braille di Indonesia. Seperti juga Cikgu Sulaiman Shafie (Allahyarham), Abdullah Yatim telah mengambil inisiatif sendiri untuk belajar tulisan Alquran Braille berdasarkan naskah Alquran Braille yang telah diterima dari negara Arab berkenaan. Demikianlah agung dan besarnya jasa kedua-dua hamba Allah berkenaan kepada kita yang bernasib begini. Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati kedua-dua mereka dunia dan akhirat.

(Bersambung di bahagian kedua)

Wednesday, June 15, 2011

Penerbangan MAS Mesra Penumpang Cacat Penglihatan

Sehingga petang tadi, saya telah terbang bersama pesawat kendalian Malaysia Airline System (MAS) sebanyak 22 kali. Bukan hendak menunjuk, tetapi ada sesuatu yang ingin saya kongsikan. Seingat saya, sebanyak 12 kali saya menaiki penerbangan MAS secara sendirian tanpa diiringi oleh keluarga atau rakan. Manakala 10 kali saya menaiki penerbangan MAS adalah secara kumpulan, sama ada bersama rakan-rakan setugas atau rakan-rakan biasa.

Walaupun kadar tambang penerbangan MAS agak tinggi sedikit, tetapi bagi golongan seperti saya, ada sesuatu yang istimewa bila menggunakan perkhidmatan penerbangan MAS. Kemesraan layanan daripada kakitangan dan petugas MAS akan mula dirasai sebaik sahaja saya mendaftar masuk di kaunter syarikat berkenaan. Setelah urusan pendaftaran selesai dan jika masih ada masa lagi, petugas yang berkaitan akan membawa saya duduk lebih dahulu. Bila sampai waktunya pula, petugas berkenaan akan membawa saya terus ke kapal terbang. Acapkali juga saya akan naik dahulu daripada penumpang lain. Walau bagaimanapun, semasa ketibaan, saya adalah antara penumpang terakhir yang akan meninggalkan pesawat.

Sewaktu ketibaan pula, Petugas di pesawat akan mengiringi saya hingga ke pintu pesawat. Manakala kakitangan MAS di lapangan terbang yang berkaitan pula sudah sedia menanti saya di pintu kapal terbang dan terus membawa saya ke bangunan terminal. Setelah itu, petugas berkenaan akan bertanya saya ke mana destinasi saya seterusnya. Maksudnya, jika saya ingin mendapat perkhidmatan teksi, petugas berkenaan akan membawa saya hinggalah saya naik teksi. Begitu juga jika saya ingin menggunakan perkhidmatan bas atau ERL. Jika saya memberitahu ada orang yang akan menanti saya di lapangan terbang, petugas berkenaan akan membawa saya ke tempat menunggu. Maknanya, Bila saya menggunakan perkhidmatan penerbangan MAS, keselesaan dan keselamatan saya akan dijaga bermula saya mendaftar masuk sehinggalah saya meninggalkan lapangan terbang sewaktu ketibaan. Di sepanjang 22 kali saya menggunakan perkhidmatan MAS, tidak pernah sekali pun para petugas MAS mengabaikan saya.

Dari aspek yang lain pula, kebiasaannya para petugas MAS amat mesra, mudah membantu dan juga tidak kekok bila berkomunikasi dengan penumpang seperti saya.

“Encik Zakaria, saya hendak beri kacang, sila hulurkan tangan kanan.”
“Encik Zakaria, sila hulurkan tangan kanan kerana saya hendak beri minuman.”
“Encik Zakaria, ini butang yang perlu encik tekan (sambil mengambil tangan saya dan menyentuh pada butang yang dimaksudkan) sekiranya encik perlukan bantuan.”
“Encik Zakaria, sekiranya berlaku sebarang kecemasan, saya yang akan bertanggungjawab ke atas encik.”

Demikianlah antara pengalaman yang telah saya lalui dalam penerbangan MAS dari JB ke KL petang tadi. Pengalaman manis sebegini acapkali saya lalui ketika terbang bersama pesawat MAS.

Pernah juga pada masa yang lain saya disuruh oleh paramugari yang bertugas untuk mengira langkah dari pintu kecemasan hingga ke kerusi tempat saya duduk. Saya faham, segalanya bertujuan untuk memastikan saya sentiasa selesa dan selamat di sepanjang penerbangan.

Pengalaman yang telah saya lalui bersama penerbangan MAS mungkin berbeza dengan orang lain. Namun demikian, itulah yang pernah saya lalui setiap kali saya menggunakan perkhidmatan penerbangan MAS. Oleh itu, setinggi pujian layak saya berikan kepada MAS di atas keprihatinan mereka terhadap penumpang seperti saya. Sebab itulah juga, apabila saya menggunakan perkhidmatan penerbangan MAS, saya akan lebih yakin, gembira dan langsung tidak risau dan ragu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada MAS di atas keprihatinan mereka terhadap penumpang seperti saya. Saya yakin, apa yang telah dilakukan oleh petugas MAS bukan kerana terpaksa atau dipaksa, sebaliknya ia terbit daripada keikhlasan serta tanggungjawab antara sesama insan.

Setelah saya terbang sebanyak 22 kali bersama pesawat MAS, setakat ini belum sekali pun saya mendapat layanan sebagaimana layanan yang saya terima daripada si bodoh di lapangan terbang Kota Bharu sekitar tiga bulan yang lalu.

Friday, June 10, 2011

Tazkirah Jumaat

Sebab-sebab Mayat Disiksa Di Dalam Kubur

Dalam hadith ada disebutkan bahawa Nabi pernah melihat dua mayat sedang disiksa dalam kubur. Mereka disiksa bukan kerana kesalahan berat; yang seorang gara-gara tidak mahu beristinjak selepaas kencing, sedangkan yang satu lagi gara-gara suka menyebarkan fitnah.

Penyebab pertama kerana meninggalkan taharah yang diwajibkan. Perkara ini nampaknya enteng tetapi hukumnya wajib. Apabila seseorang itu tidak membersihkan kemaluannya setelah kencing, bererti badannya dalam keadaanbernajis, begitu juga pakaian atau seluar dalamnya. Perkara ini nampak kecil tetapi pengaruhnya cukup besar. Ramai orang khususnya kaum lelaki terpaksa meninggalkan sembahyang gara-gara seluar dalamnya tidak bersih.

Begitu juga yang menyebabkan seseorang disiksa di dalam kubur kerena menyebarkan fitnah. Memang gara-gara fitnah dapat membuat masyarakat menjadi kacau-bilau. Bahkan terkadang membuat orang sampai berbunuh-bunuhan.

Sebenarnya banyak lagi yang menyebabkan berlaku siksaan terhadap mayat di dalam kubur. Antaranya ialah:

Saksi palsu, menuduh orang, buruk sangka, mengajak kepada bidaah, makan riba, makan harta anak yatim, makan harta dengan jalan yang tiada halal, zina, mencuru, khianat, menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, berfatwa bukan dari nas kitab (Quran) atau sunnah Rasul, membantu dalam kejahatan dan permusuhan, mempolitikkan sunnah dan agama kerana kepentingan diri, mendengar lagu yang boleh membawa kepada kekufuran, curang dalam timbangan, merendahkan kedudukan sahabat Nabi, menjual ayat Allah dengan dunia, lebih mementingkan dunia daripada akhirat, mematikan syiar agama, musyrik, meremehkan kewajipan agama, bersumpah palsu, sengaja melambatkan solat dan yang paling berat ialah kekafiran.

(Sumber: Menuju Alam Kubur, Drs. Syahrin Nasution, Halaman 69-70).

Salam dari Kuantan.

Wednesday, June 8, 2011

Sembang Malam

Ragam Politik Melayu

Muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kali ke-57 telah berakhir pada hujung minggu lalu. Antara faktor muktamar kali ini mendapat perhatian ialah kerana telah berlangsungnya pemilihan pucuk pimpinan tertinggi yang akan mengendalikan parti tersebut sehingga tahun 2013. Ia juga bermakna, barisan pimpinan yang telah dilantik juga akan mengemudikan parti berkenaan untuk menempuh pilihanraya umum ke-13 kelak. Ia sekaligus memberi tanggungjawab yang cukup besar untuk digalas oleh barisan pimpinan yang baru dilantik untuk menentukan jaya atau gagalnya parti tersebut dalam pilihanraya berkenaan.



Walaupun muktamar berkenaan sudah hampir seminggu berakhir, tetapi apa yang menimbulkan sedikit kehairanan dalam hati saya ialah ulasan dan kritikan terhadap PAS khususnya dari musuh politik tegar PAS dan sekutu-sekutunya seakan belum hendak berhenti. Setiap hari, khasnya menerusi media perdana, pelbagai ulasan dan kritikan terhadap muktamar serta keputusan pemilihannya boleh kita sama-sama tatap. Walhal yang telah menganjurkan muktamar berkenaan bukannya orang lain, orang Melayu dan umat Islam juga, dan yang begitu ghairah mengulas dan mengkritik juga bukannya orang lain, orang Melayu dan umat Islam juga. Demikianlah hebatnya orang Melayu dalam berpolitik.

Kehebatan dan keghairahan orang Melayu dalam berpolitik tidak lagi mengira siapa, suasana, tempat, kedudukan dan juga usia. Ada yang sudah pencen dan sepatutnya sudah lama tutup mulut juga tidak mahu ketinggalan. Air liurnya akan kering dan lidahnya akan menggelupas kalau tak dapat mengulas dan mengkritik mengenai muktamar PAS yang sudah berlalu. Nikmat kesihatan yang berbaki telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melontarkan kritikan dangkal terhadap barisan pimpinan baru dalam PAS.

Bagi sesetengah orang Melayu, musuh politik adalah musuh segala-galanya. Bahkan ada puak tertentu dalam kalangan orang Melayu yang berpersepsi musuh politik lebih bahaya daripada musuh negara atau musuh bangsanya sendiri. Sebab itulah, apabila tercetusnya permusuhan politik antara dua puak Melayu, kedua-dua pihak akan saling hentam- menghentam, bedil-membedil, tikam-menikam dan cerca-mencerca sampai ke akar umbi atau ke tulang sumsum. Kumpulan berkenaan tidak pernah memikirkan kesan dan musibah yang bakal menimpa bangsanya sendiri akibat daripada persengketaan yang berpanjangan di antara mereka. Baginya, kumpulan siasah dokongannya lebih diutamakan daripada bangsanya sendiri. Bilakah permusuhan antara keduanya akan berhenti?

Berbalik kepada muktamar PAS yang hampir seminggu sudah berakhir, hakikatnya, siapa pun yang menang dan menjadi peneraju baru kepada parti tersebut akan dikritik oleh musuh politiknya. Dalam pemilihan lalu, oleh kerana ramai tokoh bukan ulamak (mengikut kaca mata sesetengah orang) yang menang, maka timbullah kritikan kononnya golongan ulamak sudah diketepikan, tidak lagi mendapat tempat, dan macam-macam lagi. Seandainya golongan ulamak pula yang menyapu bersih semua kerusi kepimpinan, puak berkenaan akan melontarkan pula kritikan kononnya golongan bukan ulamak dalam PAS tidak mendapat tempat. Nasib baiklah tidak ada dalam kalangan mereka yang menang baru-baru ini calon orang kelainan upaya (OKU). Kalau ada, tentulah akan ada yang mengkritik, sudah tak ada calon lain lagi ke sampai terpaksa memilih calon OKU?



Seperkara lagi yang menarik perhatian saya ialah mengapa musuh-musuh politik PAS begitu beriya melontarkan ulasan dan kritikan terhadap barisan pimpinan terbaru parti berkenaan? Bila sesuatu itu diperkatakan berkali-kali dan berhari-hari serta oleh mereka yang bersatus tokoh-tokoh negara pula, tentu ia mempunyai keistimewaan yang sangat istimewa sehingga ia diulas dan dikritik sebegitu rupa. Adakah barisan kepimpinan terkini PAS cukup menggerunkan lawan-lawannya? Adakah barisan yang ada kini dilihat berpotensi besar untuk mengharu-birukan lawan-lawan politik mereka? Adakah para pemimpin PAS yang telah terpilih baru-baru ini sememangnya penggempur ampuh dalam pilihanraya umum akan datang? Kalau tak tumbuh takkan melata. Tun Mahathir mungkin ada jawapannya. Sebab itulah beliau bukan main lagi mengulas mengenai barisan pemimpin baru PAS.

Beginilah antara ragam orang Melayu bila berpolitik. Mereka lebih berpolimik daripada berpolitik. Menerusi pelbagai jenis media, anak Melayu yang masih kecil sudah diajar bermain api yang akhirnya akan membakar hati dan naluri mereka sendiri. Sama-samalah kita beringat, kerana sengketa sesama kita, bumi yang dipijak tidak mustahil akan menjadi milik orang lain semula. Walaupun nenek moyang kita kaya-raya suatu ketika dahulu, namun kerana tiada sepakat antara kita, orang Melayu mungkin akan merintih sekali lagi di bumi sendiri. Kita yang tidak mahu belajar dari sejarah silam bangsa sendiri, mungkin akan dihukum dengan mengalami semula keperitan dan kehinaan sebagaimana yang pernah kita alami suatu masa dahulu.

Salam dari Kuantan.

Selamat Datang Ke Dunia Maya

Sewaktu menyemak email tadi, saya terjumpa satu email daripada SMPKSetapak Groups yang memaklumkan ada satu lagi blog baru. Apa yang lebih membanggakan saya ialah blog baru yang dimaksudkan ialah blog kendalian anak murid saya sendiri.

Tahniah diucapkan kepada Ahmad Danial bin Mohd Sani yang akhirnya telah berjaya mewujudkan blognya sendiri. Beliau merupakan murid tingkatan 4A. Dengan terhasilnya blog beliau, maka bertambah lagi bilangan blogger dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Apa yang lebih membanggakan, blogger baru ini merupakan salah seorang murid dari SMPK Setapak. Murid-murid cacat penglihatan dari sekolah lain tidak mahu ikut sama ke?

Kemunculan blog kendalian Ahmad Danial ini juga menunjukkan kesedaran dan penggunaan ICT khususnya dalam kalangan murid-murid SMPK Setapak semakin meningkat. Selain itu, pada pemerhatian saya, penyaluran maklumat menerusi ICT khususnya dalam kalangan murid-murid SMPK Setapak juga kian bersemarak. Hal ini akan lebih jelas lagi bilamana kita sendiri yang melanggan (subscribe) SMPKsetapak groups. Setakat pemerhatian saya juga, sehingga kini, maklumat yang dikongsikan menerusi kumpulan SMPKsetapak Groups amat berguna, bermanfaat dan berkualiti. Alhamdulillah setakat ini, laman sesawang forum berkenaan telah digunakan denganbaik. Tiada maklumat berstatus sampah telah dimasukkan dalam laman sesawang berkenaan. Saya berani mengulas demikian kerana saya membaca setiap maklumat yang dikongsikan. Ia juga menunjukkan moderatornya telah berperanan dengan baik. Jadi, kepada mereka yang berminat untuk berkongsi sama maklumat yang dimaksudkan, silalah melanggan laman sesawang forum berkenaan. Untuk maklumat lebih lanjut, bolehlah tanyakan sendiri kepada Ahmad Danial menerusi ruang komentar dalam blognya.



Foto di atas ialah kumpulan moderator yang mengendalikan SMPKsetapak Groups. Ahmad Danial ialah orang yang duduk paling kiri sekali.

Untuk pengetahuan bersama dan berdasarkan pengalaman sendiri, untuk mewujudkan blog bukanlah susah sangat. Dalam masa kurang dari 5 minit kita sudah boleh ada blog sendiri. Tetapi yang lebih mencabar ialah bagaimana untuk mengekalkan blog yang kita wujudkan itu supaya sentiasa segar, berkualiti, bermaklumat, menarik dan canggih. Perkara seperti inilah yang sukar untuk dikekalkan oleh sebilangan kecil blogger cacat penglihatan sendiri. Sebab itulah juga ada blog yang sudah lebih setahun tidak dikemas kini.

Kepada pengunjung sekalian yang sudi, sila layari http://www.ahmaddanial01.blogspot.com atau boleh klik (enter kepada pengguna pembaca skrin) sahaja pada nama ahmad danial yang tersenarai dalam laman sesawang kendalian blogger cacat penglihatan di hujung blog ini.

Sekali lagi, selamat datang ke dunia maya dan tahniah diucapkan kepada Ahmad Danial. Hiasilah blog anda dengan info dan tulisan yang berkualiti, barulah orang akan suka. Walaupun tak kenal pada tuannya, memadailah kalau sudah suka pada blog kendaliannya.

Walaupun Ahmad Danial yang punya blog, tetapi senyum Kaveinthran yang paling lebar. Harapkan senyum sajalah, tapi blog masih tak ada lagi!

Salam dari Kuantan.

Saturday, June 4, 2011

Tahniah Kepada Barisan Pemimpin Baru PAS

Hari ini, keputusan pemilihan barisan pemimpin baru Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah diumumkan. Dari kejauhan, saya telah mengikuti pengumuman berkenaan menerusi internet. Itu pun pada sebelah malamnya. Maklumlah, sebelah siangnya sibuk dengan atur cara melancong yang telah dirancang.

Berdasarkan keputusan pemilihan yang telah diumumkan, Tuan Haji Muhammad Sabu telah terpilih sebagai Timbalan Presiden yang sekaligus menewaskan penyandang sebelumnya, Ustaz Nasharuddin Md Isa. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man turut kecundang sama untuk merebut jawatan ini.

Untuk tiga tempat naib presiden pula, ia telah dimenangi oleh Datuk Usham Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. 18 pemenang untuk AJK Pusat PAS juga turut diumumkan. Salah seorang daripada mereka adalah bekas pensyarah saya suatu ketika dahulu. Mereka inilah yang akan meneraju PAS sehingga tahun 2013. Kepada mereka yang telah terpilih, setinggi-tinggi tahniah diucapkan.

Sebenarnya, barisan pemimpin baru inilah yang akan mengemudi PAS untuk menempuh pilihanraya umum kali ke-13 nanti. Oleh itu, mereka sepatutnya sudah mula melaksanakan apa jua persediaan dan rancangan bagi mengharungi pilihanraya berkenaan. Khabarnya masih lagi bercita-cita untuk menawan Putrajaya!

Saya penuh yakin, mereka yang kalah tidak akan menjadi virus kepada kemenangan orang lain. Bahkan saya juga penuh yakin, tokoh-tokoh yang tewas sentiasa akan memberikan kerjasama kepada pemimpin yang menang bagi memastikan agar PAS terus relevan dan diterima rakyat. Hal inilah yang membezakan PAS dengan beberapa kumpulan siasah lain yang ada di negara kita.

Saya sekadar mengulas dari jauh sahaja.

Salam dari Kuching.

Bertandang Ke Bumi Kenyalang

Sekitar jam 11.20 pagi semalam (3 Jun), penerbangan Air Asia AK5204 yang saya sekeluarga naiki telah selamat mendarat di lapangan terbang antarabangsa Kuching. Seingat saya, ini kali kelima saya bertandang ke bumi kenyalang. Kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini ialah pada bulan September 1998. Ia juga bermakna, saya telah pun menggunakan perkhidmatan Air asia buat kali ketujuhnya. Alhamdulillah segalanya telah berjalan dengan lancar dan baik. Selain daripada saya sekeluarga, kami juga turut disertai oleh abang ipar saya bersama isterinya serta dua orang anak mereka. Setibanya kami di Kuching, anak buah kami yang sudah 6 tahun bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di sini telah sedia menanti dengan kenderaannya. Jadi, saya dan ahli keluarga yang lain tiada masalah untuk bergerak di sepanjang kami berada di Kuching nanti.



Setelah semua urusann di lapangan terbang selesai, kami pun terus bergerak menuju ke sebuah restoran iaitu Islamic Cafe. Kalau tak silap saya, restoran ini kepunyaan mamak. Mamak pun mamaklah. Apa-apa hal pun, kami harus mengalas perut dengan makanan ringan. Setelah itu, barulah kami yang lelaki ke masjid Batu 8 untuk menunaikan solat fardhu Jumaat.



Sekitar jam 2.00 petang, kami sekeluarga pun checked in di sebuah hotel yang terletak berhampiran dengan kawasan Water Front. Sebenarnya, pada tiga tahun lalu, semasa saya sekeluarga berkunjung ke sini, kami turut menginap di hotel ini.



Pada asalnya, tujuan kami ke Kuching adalah untuk menghantar salah seorang anak buah kami. Anak buah yang dimaksudkan telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Walau bagaimanapun, setelah semua persediaan ke Kuching selesai dibuat, termasuklah penempahan tiket penerbangan dan hotel, tiba-tiba beliau mendapat tawaran pula untuk melanjutkan pengajiannya ke Mesir dalam bidang yang sama iaitu bidang perubatan. Anak buah kami telah memilih untuk ke Mesir. Kami sekeluarga akur dengan pilihan yang telah dibuatnya sendiri. Beliau sendiri tidak menyertai kami ke Kuching kali ini kerana telah pun melaporkan diri di Shah Alam minggu lepas bagi mengikuti kursus persediaan untuk ke Mesir. Demikianlah. Kita hamya mampu merancang, tetapi perancangan Allah adalah yang paling mutlak.



Jadi, bolehlah dikatakan, kedatangan kami ke Kuching kali ini adalah melancong tanpa dirancang. Kebetulan pula, buat abang ipar saya serta keluarganya, ini merupakan pertama kali mereka tiba ke Kuching. Jadi, nampaknya saya sekeluargalah seolah-olah yang jadi pemandu pelancongnya. Saya sendiri diserahkan untuk merancang tempat-tempat untuk kami semua kunjungi.

Salam dari Kuching.

Thursday, June 2, 2011

Sembang Malam

Buang Bayi Semakin Ganas

Dua tiga hari lepas, kita semua dikejutkan dengan berita seorang bayi telah dibuang dengan cara dicampakkan dari tingkat yang tinggi dari sebuah pangsapuri. Kejadian tersebut diberitakan berlaku di Kuala Lumpur. Keadaan bayi berkenaan setelah dicampak amat menyedihkan. Apalah dosa bayi tersebut? Kalau ikutkan patut, orang yang telah mencampakkan bayi berkenaan sepatutnya dicampakkan semasa dia masih bayi lagi!

Kejadian buang bayi di negara kita bukanlah perkara baru. Ia telah berlarutan sejak sekian lama. Pihak yang berkuasa telah mengambil beberapa langkah ke arah mencegah perbuatan buang bayi berkenaan, tetapi setakat ini langkah-langkah yang telah diambil seolahnya masih belum menjadi. Mengapa agaknya?

Sebelum ini, kita sering mendengar, bayi yang dibuang ditinggalkan di masjid atau surau. Ada juga bayi yang diletakkan dalam tong sampah. Tidak kurang juga bayi yang ditinggalkan di tepi-tepi jalan, di kawasan rekreasi atau di tempat-tempat tertentu. Kebiasaannya bayi-bayi yang hendak dibuang, akan diletakkan di tempat awam. Mungkin tujuannya agar ada orang lain yang akan menyelamatkanbayi berkenaan. Walaupun membuang bayi adalah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan, tetapi cara meninggalkan bayi di kawasan awam menunjukkan sipembuangnya masih ada pertimbangan kemanusiaan yang berbaki satu dua peratus lagi. Bagi saya, bahkan saya rasa orang lain yang masih berperikemanusiaan juga mungkin bersetuju, cara membuang bayi dengan cara mencampakkannya dari tingkat yang tinggi sangat zalim, kejam dan naluri kemanusiaannya sudah turun ke tahap negatif.

Pada zaman jahiliyah dahulu, mereka hanya membuang bayi perempuan sahaja dengan menanamnya hidup-hidup. Manakala pada masa sekarang pula, bayi dibuang tanpa mengira jantina lagi. Bayi berkenaan tidak lagi ditanam hidup-hidup, bahkan sudah ada yang berani mencampakknya dari tempat yang tinggi.

Segarang-garang harimau dan buaya, mereka tetap menjaga anak yang baru dilahirkan dengan penuh kasih sayang mengikut naluri kehaiwanan. Cubalah ganggu anak kucing yang baru dilahirkan, pasti kita akan dicakar oleh ibunya dengan penuh kegarangan. Ini menunjukkan kasih sayang ibu seekor haiwan kepada anak yang baru dilahirkannya.

Apabila seorang makhluk bernama insan sudah tergamak membuang bayinya sendiri, ia menunjukkan naluri kasih sayang yang ada pada insan berkenaan lebih rendah daripada haiwan. Fenomena inilah yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita.

Di sini, saya tidak berhasrat untuk membincangkan sebab-musabab mengapa fenomena di atas semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita. Lagipun segala sebab-musabab kepada fenomena di atas sudah acapkali diperkatakan oleh para ilmuwan yang lebih berkepakaran dalam bidang berkenaan. Saya rasa, sehingga kini, kita boleh mengumpulkan seratus atau seribu sebab yang menjadi punca kepada fenomena di atas. Tetapi kalau itu sahaja, ia sama sekali tidak dapat mencegah perbuatan durjana itu daripada terus berleluasa.

Bagi saya, yang lebih penting, kita harus menilai semula adakah langkah-langkah pencegahan yang telah dilaksanakan selama ini benar-benar memberi kesan atau sebaliknya. Apabila kes buang bayi masih berlaku, ia menunjukkan ada yang tidak kena pada langkah-langkah pencegahan yang sedang dilaksanakan. Maknanya, kita sebagai sebahagian daripada masyarakat, harus memikirkan langkah-langkah alternatif yang lain bagi mencegah kejadian buang bayi yang semakin mendukacitakan. Hendak diharap kepada peraturan dan undang-undang, nampaknya ia tidak menggerunkan sipembuang bayi. Akhirnya yang termampu kita sama-sama lakukan ialah sekadar membilang dan mengumpul statistik kes buang bayi. Itu sahaja.

Kalau ditelek dan direnung, rasanya kes buang bayi yang berlaku hari ini lebih dahsyat daripada semasa zaman jahiliyah dahulu.

Wednesday, June 1, 2011

Menghadiri Bengkel Pembelajaran Alquran Braille Di Paroi

Pagi tadi, saya telah menghadiri satu bengkel yang dinamakan sebagai Bengkel Amalan Pembalajaran Alquran Braille. Bengkel berkenaan telah berlangsung di Pusat Dakwah Islamiyah di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. Penganjur utama bengkel berkenaan ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.



Antara tujuan utama bengkel berkenaan ialah untuk mengenengahkan Alquran Braille dalam khalayak masyarakat umum khususnya di Negeri Sembilan. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan sebagai asas kepada kelas pembelajaran Alquran Braille yang telah dirancang untuk diadakan dalam masa yang terhampir. Bengkel ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengalaman individu tertentu dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Alquran Braille selama ini.



Antara peserta bengkel ini ialah kakitangan Pusat Dakwah Islamiyah Paroi sendiri serta kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Selain itu, beberapa orang ahli PERTIS Negeri Sembilan turut hadir dalam bengkel berkenaan.

Bengkel ini akan berjalan selama dua hari, iaitu hari ini (Rabu) dan juga esok)Khamis). Beberapa orang telah dan akan berkongsi pengetahuan, kemahiran serta pengalaman masing-masing mengikut topik yang telah diberi. Saya sendiri telah diamanahkan selaku pembentang kertas kerja yang pertama untuk hari ini.



Topik yang telah diberikan kepada saya untuk dikongsikan dengan para peserta lain ialah “Alquran Braille Cetakan Malaysia: Satu Pengenalan”. Dalam membicarakan tajuk ini, saya telah cuba berkongsi mengenai sejarah Alquran Braille khususnya di Malaysia. Saya juga turut berkongsi mengenai sejarah ringkas penyalinan dan penerbitan Alquran Braille dari sejak ianya bermula sehinggalah kepada yang terkini.



Selain saya, antara pembentang lain termasuklah daripada Darul Quran Kuala Kubu Baru, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta pasukan penyelidik daripada UTM Skudai yang akan membuat pembentangan pada petang esok. Selain itu, Ustaz Fauzi daripada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma, Pulau Pinang, turut akan berkongsi mengenai software Iqra’ untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan yang telah beliau bangunkan.



Bagi saya, bengkel seumpama ini amat bermanfaat. Ia telah dapat mengenengahkan kepentingan dan kegunaan Alquran Braille khasnya kepada mereka yang cacat penglihatan. Selain itu, menerusi bengkel ini juga, ia dapat membetulkan persepsi sebahagian masyarakat kita yang mengatakan Braille hanya untuk mereka yang cacat penglihatan semata-mata. Sebenarnya Braille adalah untuk mereka yang meminati dan mencintainya. Guru-guru saya pada masa lalu sebahagian besarnya adalah merupakan mereka yang berpenglihatan.



Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ustaz Norakyairee Mohd Raus daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah bekerja keras untuk menjayakan bengkel kali ini. Katanya, bengkel kali ini merupakan siri 1. Siri-siri yang berikutnya akan menyusul pada masa yang akan datang.

Oleh kerana ada beberapa urusan lain lagi yang perlu saya uruskan, maka selepas makan tengah hari saya sekeluarga terpaksa meninggalkan Pusat Dakwah Islamiyah Paroi dan kembali semula ke Kuala Lumpur.