Sunday, July 31, 2011

Marhaban Ya Ramadhan

Setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa kerana dengan limpah kurnia serta izin dari-Nya kita dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadhan tahun 1432 Hijrah. Pada saat ini, tiadalah peertemuan yang paling bermakna, paling syahdu dan paling besar manfaatnya selain pertemuan dengan Ramadhan almubarak (yang diberkati). Cuba renungkan sebentar, ada di antara kerabat kita, rakan dan taulan kita atau pun orang-orang yang kita kenali kini tidak lagi diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini lantaran mereka sudah lebih dahulu dijemput Ilahi.

Dengan ketibaan Ramadhan, pelbagai nikmat dan rahmat mencurah turun untuk kita. Pada bulan ini, dibukakan semua pintu syurga; ditutup semua pintu neraka; dibelenggu segala syaitan; diampunkan dosa bagi mereka yang memohon keampunan; dimakbulkan doa bagi mereka yang berdoa; dam berbagai lagi nikmat yang tidak tersurat oleh kita. Nikmat yang terbesar dalam bulan Ramadhan ialah jika kita berpeluang menemui malam Alqadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini disabdakan oleh Rasulullan akan muncul pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Sejauh manakah kita berusaha untuk memperolehinya?

Kebiasaannya, bulan Ramadhan juga merupakan bulan pesta kerana dalam bulan inilah kita dapat menyaksikan pelbagai pesta diadakan secara serentak. Ada pesta jualan; ada pesta makan; ada pesta beli-belah; ada pesta iklan; dan ada pesta ibadah. Terpulanglah kepada kita untuk memilih pesta yang mana satu yang kita ingin sertai. Teringat saya kepada salah satu SMS yang saya terima sebentar tadi, antara lain penghantar SMS berkenaan mengatakan: “Bulan Ramadhan adalah bulan untuk memberi orang makan, bukan bulan untuk kita makan semata-mata.

Agak menjadi satu kelaziman juga di mana pada beberapa malam pertama, masjid dan surau akan dipenuhi oleh jemaah. Selepas dua minggu Ramadhan, keadaan mula berubah. Surau dan masjid mula lengang sedikit demi sedikit. Sepatutnya, apabila Ramadhan kian di penghujungnya, kita seharusnya semakin kuat beribadat dan surau dan masjid semakin penuh. Ini kerana malam Alqadar akan berlaku pada malam-malam di sepertiga akhir bulan Ramadhan. Demikian antara yang pernah dikhabarkan oleh Rasulullah untuk panduan umat kesayangan baginda.

Selain itu, dalam bulan ini, ada satu aktiviti yang menjadi kelaziman hampir di mana-mana sahaja. Aktiviti yang saya maksudkan ialah apa yang dipanggil sebagai Ihya’ Ramadhan. Aktiviti ini dilaksanakan di masjid, surau, madarasah, sekolah, pejabat, jabatan dan juga di tempat-tempat lain. Secara umumnya, Ihya’ Ramadhan bermaksud menghidupkan bulan Ramadhan dengan ibadah/aktiviti dengan tujuan untuk mencari redha Allah. Ini merupakan satu aktiviti yang bagus dan patut kita sama-sama sertai. Aktiviti yang sudah menjadi tradisi di sesetengah tempat harus disokong dan diberi penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Oleh itu, saya suka mengingatkan kepada diri sendiri dan juga kepada sesiapa sahaja yang gemar akan peringatan, marilah sama-sama kita manfaatkan bulan Ramadhan kali ini semaksimumnya. Manalah tahu, ini merupakan Ramadhan akhir buat kita?

Di sini, bersempena dengan ketibaan Ramadhan Al-mubarak, saya serta keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan 1432 Hijrah kepada seluruh ahli keluarga, saudara-mara dan juga kepada seluruh pengunjung blog BW. Ucapan salam Ramadhan juga saya tujukan kepada seluruh barisan kepimpinan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di semua peringkat, seluruh kakitangan PERTIS serta seluruh ahli PERTIS di mana jua anda berada. Akhirnya, salam Ramadhan juga saya tujukan kepada sekalian muslimin dan muslimat, semoga ibadah kita dalam bulan Ramadhan kali ini akan benar-benar memperolehi redha Allah dari awal hingga ke akhirnya.

Wassalam.

Selamat Hari Pahlawan

Setiap tahun, 31 Julai telah diisytiharkan sebagai Hari Pahlawan. Matlamatnya sudah tentulah untuk mengenang jasa para pahlawan kita yang telah banyak berjasa dalam memastikan agar keselamatan negara sentiasa berada di tahap terbaik. Jasa dan pengorbanan para pahlawan kita memang tiada ternilai walau dengan apa sekali pun. Tanpa mereka sudah tentulah keamanan yang sedang kita sama-sama kecapi kini tidak mungkin dapat kita nikmati.



Selepas perang dunia kedua, era darurat merupakan antara masa yang paling mencabar bagi para anggota keselamatan kita. Parti Komunis Malaya (PKM) waktu itu sedang berusaha keras untuk menubuhkan sebuah republik komunis di Tanah Melayu. PKM telah menggunakan cara kekerasan bagi memenuhi hasrat dan cita-cita jahat mereka. Membunuh, menyiksa, menzalimi, menyusahkan orang dan macam-macam lagi kejahatan merupakan asam garam dalam perjuangan komunis.

Manakala rakyat pula hidup dalam ketakutan. Pelbagai kesusahan terpaksa ditanggung oleh rakyat semata-mata angkara PKM. Generasi hari ini mungkin tidak merasainya, sebab itulah kebanyakan mereka kurang memahaminya. Walaupun saya tidak pernah melaluinya, tetapi setidak-tidaknya saya pernah berbual dan mendengar sendiri pengalaman daripada anggota keselamatan yang pernah berhadapan dengan kekejaman serta situasi genting gara-gara kebuasan komunisme.



Maka itulah, saya amat tidak bersetuju bilamana sedikit masa dahulu ada pihak yang mencadangkan agar pengampunan diberikan kepada saki-baki anggota PKM yang masih bernyawa. Biarlah mereka menghabiskan sisa-sisa nyawa mereka di sana. Pada hemat saya, kalaulah gerombolan ini diberikan pengampunan dan dibenarkan pulang, banyak hati para pahlawan kita yang akan terguris. Jadi, lebih aula dan lebih baiklah bagi kerajaan menjaga hati para pahlawan kita. Saya bukannya beremosi, tetapi saya amat memahami perjuangan dan pengorbanan para perajurit kita. Kebetulan pula bapa saudara (Allahyarham) saya juga bekas anggota keselamatan.

Dalam menghadapi pelbagai provokasi dan kekejaman angkara komunis, pihak keselamatan terutamanya polis dan tentera telah berusaha keras memberi perlindungan kepada rakyat dan negara tercinta. Dalam mempertahankan negara, ada pahlawan yang telah gugur meninggalkan keluarga dan sanak saudara. Ada juga yang telah menjadi cacat akibat terkena senjata musuh. Pendek kata, bila berhadapan dengan musuh, mereka tidak lagi memikirkan keluarga masing-masing, tetapi yang terbentang di hadapan mereka dan perlu dipertahankan ialah tanah air tercinta. Demikianlah pengorbanan pasukan keselamatan kita dalam menjaga rakyat dan negara.

Justeru, amat berpatutanlah jika kerajaan telah menetapkan 31 Julai setiap tahun sebagai hari pahlawan. Pagi tadi, sambutan hari pahlawan telah berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Ini merupakan kali kedua sambutan hari pahlawan tidak diadakan di tugu Kebangsaan sebagaimana kelazimannya sebelum ini. Ke bawah duli Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan mencemar duli berangkat ke upacara sambutan hari pahlawan pagi tadi. Baginda turut disertai oleh para pembesar negara yang lain.

Kepada semua perajurit negara serta mereka yang pernah berkecimpung sebagai anggota keselamatan, selamat hari pahlawan diucapkan.

Promosi Blog

Jika para pengunjung blog ini meneliti senarai pautan di hujung, terdapat sedikit perubahan pada blog yang saya senaraikan. Ada blog tertentu yang tidak lagi saya senaraikan. Manakala terdapat beberapa blog baru yang saya telah masukkan dalam senarai pautan berkenaan. Dengan erti kata lain, saya mempunyai kriteria tertentu dan tersendiri untuk menyenaraikan blog terpilih ke dalam senarai pautan pada blog ini. Matlamatnya ialah supaya para pengunjung dapat dihidangkan dengan bahan-bahan berkualiti, sahih dan terkini. Mana-mana blog yang sudah setahun tidak dikemas kini, layaklah ia tidak lagi disenaraikan dalam pautan BW. Mana-mana blog yang hampir setahun tidak dikemas kini, ia ada harapan untuk tidak lagi disenaraikan dalam masa terhampir.

Antara blog terbaru yang saya senaraikan pada pautan BW ialah SMK St. John Kuala Lumpur. Kebetulan pula, saya adalah bekas murid ST. John dan pernah belajar di sekolah berkenaan bermula dari tingkatan 1 hinggalah ke tingkatan 6 atas. Hari ini, oleh kerana masa yang begitu padat buat masa ini, saya masih belum berkesempatan untuk datang dan menjejakkan kaki di sekolah yang telah banyak berjasa dalam mencorakkan jalan hidup saya pada hari ini. Jadi, kalau tak sempat ke SMK St. John, dapat mengunjungi blognya pun memadailah. Saya juga sempat mengunjungi blog berkenaan. Wah! Banyaknya gambar .... cantiknya! .... ye ke cantik???

Satu lagi blog yang baru saya senaraikan ialah blog pengetua SMK St. John Kuala Lumpur. Di sini, saya ingin melontarkan kekaguman saya kepada pengetua sekolah berkenaan kerana turut tidak ketinggalan dalam mengejar arus perkembangan ICT. Kata sesetengah orang, pengetua selalu sibuk, jangankan hendak menulis pada blog, hendak baca blog pun sampai tidak ada masa. Nampaknya pengetua SMK St. John telah membuktikan bahawa kalau hendak seribu daya, kalau dah tak mahu beribu dalih. Bila kita beralasan, ia menunjukkan kelemahan. Sekalung tahniah ingin saya kalungkan pada pengetua SMK St. John. Melalui blognya, saya juga bertemu dengan blog seorang lagi pengetua sekolah di Kuala Lumpur, tetapi ia belum lagi saya pautkan menerusi blog ini.

Saya juga sempat membaca tulisan pengetua SMK St. John menerusi blognya. Bagi saya, tulisannya sangat baik, dua bahasa lagi. Menerusi tulisan beliau, para pembaca dapat mengetahui pandangan beliau terhadap isu-isu tertentu, aspirasi dan inspirasinya serta harapan beliau terhadap sekolah serta warganya.

Kepada para pengunjung semua, jika ingin ke blog yang telah saya nyatakan, silalah klik (enter bagi pengguna pembaca skrin) pada nama pautan yang berkaitan dalam senarai Laman Sesawang Pilihan di hujung blog ini.

Terima kasih kepada Cikgu Ruby kerana sudi berkongsi info.

Salam dari Kuantan.

Saturday, July 30, 2011

Alquran Braille: Sejarah Yang Terpendam (Bahagian Kedua)

Sejarah Penyalinan Alquran Braille Di Malaysia

Sebagaimana yang telah saya tulis sebelum ini menerusi blog ini, SKPK Princess Elizabeth di Johor Baru merupakan institusi pendidikan khas (cacat penglihatan) pertama yang telah melaksanakan pembelajaran dan pengajaran Alquran Braille di negara kita. Bahkan SKPK Princess Elizabeth merupakan antara institusi terawal yang telah menerima naskah Alquran Braille dari negara Jordan. Perlu saya nyatakan, setakat maklumat yang saya ada, jumlah naskah Alquran Braille yang diterima oleh SKPK Princess Elizabeth ketika itu dari Jordan hanya senaskah sahaja. Sekitar dekad 70-an lalu, naskahh Alquran Berkenaan masih ada lagi dan masih digunakan sebagai panduan oleh Cikgu Sulaiman (Allahyarham) untuk mengajar membaca dan menulis Alquran Braille kepada murid-muridnya.



Di peringkat awal, oleh kerana terdapat pelbagai kekangan, maka usaha-usaha penyalinan Alquran bagi tujuan menghasilkan Alquran Braille yang lengkap masih tidak dapat dimulakan. Oleh itu, pada dekad 50-an dan 60-an, usaha lebih ditumpukan kepada pengenalan kepada huruf-huruf asas hijaiyah Braille, tanda-tanda baris dan sebagainya.

Untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran Alquran Braille dilaksanakan dengan lebih berkesan, maka surahsurah tertentu daripada Alquran, atau sejumlah ayat tertentu telah disalin ke dalam bentuk Braille. Ia dilakukan sendiri sama ada oleh Cikgu Sulaiman Shafie (Allahyarham) mahupun oleh Cikgu Salmah Othman. Setelah ayat atau surah yang diperlukan siap disalin ke dalam bentuk Braille, maka cetakan ayat atau surah berkenaan akan diperbanyakkan dengan menggunakan mesin thermoform. Ianya dilakukan oleh kedua-dua orang guru berkenaan.



Secara ringkasnya, Cikgu Sulaiman dan Cikgu Salmah merupakan dua orang tenaga pengajar agama di SKPK Princess Elizabeth ketika itu. Bezanya, Cikgu Sulaiman merupakan guru agama yang bernaung di bawah Jabatan Agama Islam Johor dan berkhidmat di SKPK Princess Elizabeth dari tahun 1954-1991. Manakala Cikgu Salmah pula merupakan seorang guru agama yang berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran. Beliau telah berkhidmat di SKPK Princess Elizabeth dari awal dekad 70-an hingga ke awal dekad 80-an (maaf tahun sebenarnya saya tidak berapa ingat). Kedua-dua guru berkenaan merupakan guru yang berpenglihatan dan tidak mempunyai latar belakang pendidikan khas. Namun begitu, atas rasa tanggungjawab serta keikhlasan untuk mendidik murid-muridnya yang tidak berpenglihatan, kedua-dua guru berkenaan telah berusaha sendiri untuk mendapatkan kemahiran Alquran Braille dan akhirnya mereka berjaya. Mereka berjaya memahirkan diri mereka dengan ilmu mengenai Alquran Braille, dan mereka juga berjaya mengajar murid-muridnya yang tidak berpenglihatan mengenai kemahiran membaca dan menulis Alquran Braille. Walau bagaimanapun, kedua-dua guru berkenaan sama sekali tidak pernah mengajar mana-mana muridnya supaya mencuri dan mengeksploitasi soft copy Alquran Braille orang lain!

Saya masih ingat lagi, Cikgu Sulaiman pernah membraillekan surah Adh-Dhuha (surah ke-93) hingga surah An-Nas (surah ke-114). Manakala Cikgu Salmah pula pernah membraillekan ayat 1 hingga ayat 108 dari surah Albaqarah. Sebagaimana yang telah saya nyatakan di atas, apabila mereka siap Braillekan ayat/surah berkenaan, ia akan diperbanyakkan dengan mencetaknya menggunakan mesin thermoform. Manakala mencetak dengan mesin thermoform bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memakan masa yang lama kerana harus dicetak secara sehelai demi sehelai. Fikirkanlah berapa lama masa untuk mencetak akan diambil bila himpunan ayat/surah yang ingin dicetak mengandungi 30 halaman Braille untuk kegunaan 30 orang murid? Namun, itulah yang telah dilakukan oleh kedua-dua orang guru agama berkenaan. Kegigihan mereka berdua tiada berbagai pada zaman ini. Mereka berdua sahaja yang tahu dan pernah alami betapa penatnya untuk menyediakan ayat/surah ke dalam bentuk Braille untuk murid-muridnya ketika itu.

Pada tahun 1980, Alquran Braille lengkap pertama telah berjaya disalin di negara kita. Ia telah disalin oleh Saudara Mohd Nor bin Awang Ngah. Ia telah disalin dengan menggunakan mesin taip Braille dan kemudiannya dicetak juga dengan menggunakan mesin thermoform. Manakala pihak yang telah mencetaknya ialah Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Ia telah dijual dengan harga RM 150.00 ketika itu. Alquran Braille berkenaan telah dicetak ke dalam 30 jilid iaitu satu juzuk satu jilid. Saya merupakan antara yang pernah membelinya daripada MAB dan masih menyimpan satu atau dua juzuk (jilid) Alquran Berkenaan. Saudara Mohd Nor Awang Ngah ialah seorang yang tidak berpenglihatan.

Walau bagaimanapun, Alquran Braille berkenaan tidak dapat digunakan sepenuhnya kerana terdapat banyak kesalahan di sana sini. Di sini, saya tidaklah bermaksud untuk menyalahkan Saudara Mohd Nor Awang Ngah. Bagi saya, beliau telah melakukan yang terbaik mengikut kemampuannya. Pada masa yang sama, kesalahan-kesalahan yang ada sukar untuk dibaiki semula kerana kaedah penyalinan dan cetakan yang digunakan pada masa itu. Kalaupun ia dapat dibaiki, ia tetap akan memakan masa dan kos yang tinggi. Lagipun, setakat yang saya maklum, usaha penyalinan yang telah dilakukan oleh Saudara Mohd Nor Awang Ngah tidak mendapat sokongan padu daripada pihak-pihak yang berkaitan. Selain itu, bilangan mereka yang mahir dengan Alquran Braille juga amat terhad. Maka itulah juga, pelbagai kesalahan yang terdapat dalam Alquran Braille salinan tahun 1980 tidak dapat diperbetulkan dengan lebih sempurna, bahkan ia akhirnya terbiar begitu sahaja.

Pada tahun 1986, Saudara Zahari Ghani (Allahyarham) telah berjaya menyalin Alquran Braille secara lengkap. Sekali lagi, kaedah penyalinan ialah dengan menggunakan mesin taip Braille. Ia kemudiannya telah dicetak dengan menggunakan mesin thermoform. Kalau tak silap saya, beliau telah mengambil masa lebih dari setahun untuk menyalin keseluruhan Alquran Braille. Manakala naskah Alquran Braille yang telah digunakan sebagai rujukan untuk disalin ialah Alquran Braille daripada Indonesia terbitan yayasan Kesejahteraan Islam Indonesia (YAKETUNIS), Djog Djakarta, cetakan tahun 1976.

Setelah Alquran Braille lengkap disalin, Saudara Zahari sendiri telah menyemaknya semula secara perlahan-lahan. Tatkala menyalin Alquran berkenaan, Saudara Zahari sangat berhati-hati. Pengetahuan asas bahasa Arabnya yang agak baik turut memudahkan beliau melaksanakan usahanya. Jika terdapat sebarang keraguan dengan apa yang disalinnya, Saudara Zahari akan membandingkannya pula dengan Alquran bertulisan biasa iaitu dengan bantuan rakan berpenglihatan yang mahir dengan Alquran bertulisan biasa. Selain itu, beliau juga sering menyemaknya dengan mengikut bacaan qari tertentu menerusi pita kaset. Saya boleh menceritakan semuanya ini kerana ia berlaku di hadapan mata saya.

Di sini, saya tidaklah sampai mengatakan naskah Alquran Braille yang telah disalin oleh Saudara Zahari Ghani tiada kesalahan langsung. Namun begitu, salinan yang telah dilakukan oleh beliau jauh lebih baik daripada Alquran Braille salinan Saudara Mohd Awang Ngah. Beliau terus menggunakan naskah Alquran Braille yang disalinnya sehinggalah ke akhir hayatnya. Saudara Zahari Ghani telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1991. Mudah-mudahan Allah merahmati beliau sepanjang masa.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan, Saudara Zahari Ghani telah menyalin Alquran Braille dengan menggunakan mesin taip Braille serta kertas Braille. Setelah lengkap disalin, beliau telah mencetaknya dengan menggunakan mesin thermoform di atas kertas khas yang dikenali sebagai braillon. Cetakan di atas kertas braillon akan membolehkan titik-titik Braille tahan lebih lama, lebih mudah disimpan serta tidak rosak kalau terkena air. Saya sendiri sempat mencetak beberapa juzuk dengan menggunakan salinan asal (master copy) yang telah diusahakan oleh Saudara Zahari Ghani. Pada hari ini, saya dimaklumkan, kebanyakan juzuk (jilid) salinan naskah asal Alquran Braille beliau telah hilang entah ke mana. Namun demikian, cetakan braillon daripada salinan asal berkenaan masih lengkap dan kini masih tersimpan rapi di rumah Allahyarham di Pasir Mas, Kelantan. Oleh kerana salinan yang ada merupakan cetakan di atas braillon, maka ia sama sekali tidak boleh diulang cetak dengan menggunakan mesin thermoform.

Pada dekad 90-an, usaha penyalinan Alquran Braille masih lagi diteruskan. Pada masa itu, Pn. Aminah Ishak yang juga merupakan pengetua Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur, telah meminta jasa baik Saudara Mohd Musa Ali untuk menyalinnya di SMPK Setapak. Sebelum itu, Saudara Mohd Musa Ali pernah menuntut di SMPK Setapak pada dekad 80-an. Beliau kemudiannya telah melanjutkan pengajian Alqurannya di Madrasah Alquran Kubang Bujuk, Serada, Terengganu dan berjaya menjadi seorang hafiz. Maknanya, tatkala beliau dipertanggungjawabkan untuk menyalin Alquran Braille di SMPK Setapak, beliau telah pun tamat pengajian Alqurannya dan telah menjadi seorang yang hafaz Alquran. Walau bagaimanapun, atas tuntutan kerjayanya, Saudara Mohd Musa tidak dapat meneruskan usaha penyalinannya. Walau pun demikian, beliau masih sempat menyalin beberapa juzuk Alquran Braille. Ada pihak yang memaklumkan kepada saya, beliau sempat menyalin sehingga juzuk 15. Kaedah penyalinan yang digunakan masih lagi dengan menggunakan mesin taip Braille. Salah satu juzuk yang telah beliau salin masih ada dalam simpanan saya. Pada penelitian saya, penyalinan yang telah diusahakan oleh Saudara Mohd Musa Ali lebih baik dan lebih sempurna. Ini mungkin disebabkan faktor bahawa beliau telah pun menghafaz Alquran. Jadi ia merupakan satu advantage kepada beliau dalam usaha penyalinannya.

(Bersambung di bahagian ketiga).


Catatan tambahan:

1. Saya pernah menulis secara ringkas kisah hidup Cikgu Sulaiman bin Shafie (Allahyarham) menerusi blog ini iaitu posting pada bulan Ogos tahun 2009.

2. Untuk pengetahuan bersama, Cikgu Salmah masih lagi bersama kita. Beliau telah pun bersara sejak tahun 1996 lagi. Pada masa ini, beliau menetap di Johor Baru. Kali akhir saya bertemu beliau ialah pada hujung Februari 2010.

3. Mohd Musa bin Ali kini merupakan seorang guru Alquran dan sedang mengajar di salah sebuah madrasah di Yala, selatan Thailand.

4. Saya juga pernah menulis menerusi blog ini mengenai naskah-naskah Alquran Braille yang ada di Malaysia. Salah satunya ialah Alquran Braille terbitan kerajaan Tunesia. Ia telah diterbitkan pada tahun 1976. Alquran Braille yang dikeluarkan oleh Tunesia juga boleh dibaca oleh sesiapa sahaja yang tahu membaca Alquran Braille, tetapi ia ditulis berdasarkan qiraat Qalun.

Salam dari Kuantan.

Sunday, July 24, 2011

Makan Nasi Dagang Di Rumah MSO

Semalam, sekitar jam 9 lebih malam, saya telah mendapat panggilan telefon daripada En. Mohd Sayuti Omar (MSO). Setelah bertanya khabar ringkas, MSO menjemput saya sekeluarga ke rumahnya keesokan harinya, katanya untuk makan nasi dagang. Sudah tentu undangan sedemikian tidak akan saya lepaskan. Apa yang terbayang dalam hati ialah mungkin MSO akan mengadakan jamuan tertentu. Saya turut membayangkan, sudah tentulah ramai rakan dan sahabatnya yang akan datang ke rumah beliau esok. Demikianlah.

Petang tadi, sekitar jam 5.50 petang, saya sekeluarga pun tiba ke rumah MSO. Bila saya keluar sahaja dari kereta, saya tidak mendengar sesuatu yang meriah. Ini bermakna, rumah MSO mungkin tiada tetamu. Sementara isteri saya membetulkan kedudukan kenderaan kami, saya menyuruh Luqman melihat nombor rumahnya, memang betul itu rumahnya, tapi kata Luqman, tiada tetamu lain. Kenderaan di luar rumah juga tidak banyak. Saya terus membuat kesimpulan, mungkin para tetamunya sudah pulang. Mungkin saya sekeluarga adalah tetamunya yang terakhir.

Setelah menyedari kehadiran saya sekeluarga di luar pagar rumahnya, MSO dan isterinya terus menyilakan kami masuk. Begitu mesra sekali mereka. Bahkan MSO sendiri yang mengalu-alukan saya masuk di muka pintu rumahnya. Saya terus dibawa masuk hingga ke kerusi di ruang tamu. Memang benar, tiada tetamu lain di rumahnya. Hanya saya sekeluarga sahaja.

Setelah bertanya khabar, saya terus bertanya kepada MSO: “Tetamu lain sudah balik ke, En. Sayuti?” MSO menjawab: “Tidak ada tetamu lain, cikgu sekeluarga sahaja.” Saya sedikit terkejut mendengar jawapan daripada MSO. Bayangan saya sebelum ini sama sekali meleset.



Setelah duduk di ruang tamu seketika, saya sekeluarga pun terus dipersilakan ke ruang makan. Di sini sudah tersedia hidangan nasi dagang. Baunya sahaja sudah cukup menyelerakan. Ada ikan tongkol, udang dan ayam. MSO turut sama makan bersama saya sekeluarga. Bila MSO turut sama makan, separuh daripada rasa malu saya untuk makan sudah hilang.



Sambil makan, kami berbual mengenai isu-isu semasa. Isu Bersih 2 masih hangat diperbualkan. Banyak juga kejadian dalam perhimpunan Bersih 2 yang tidak disiarkan menerusi media arus perdana yang sempat diperkatakan. Saya dan MSO turut bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa isu lain. Antaranya termasuklah mengenai Ibrahim Ali, kemungkinan pilihanraya ke-13, sedikit mengenai perihal UMNO, serta lain-lain lagi.

Nasi dagang yang dimasak sendiri oleh Kak Naimah (isteri MSO) memang begitu menyelerakan. Maklumlah rempahnya memang didatangkan terus dari Kelantan. Sedar tak sedar, rupa-rupanya saya bertambah 2 kali. Campur dengan pinggan pertama, maknanya saya makan nasi dagang di rumah MSO sebanyak 3 pinggan. Wau!!! Sesiapa yang dapat undangan untuk makan nasi dagang di rumah MSO, rugi kalau dilepaskan peluang keemasan yang datang.



Sebagaimana yang mungkin kita semua telah maklum, pergaulan MSO dengan golongan cacat penglihatan bukanlah asing. Sejak dari kecil lagi, MSO memang bersahabat akrab dengan Md Darus, yang pernah popular suatu ketika dahulu selaku penulis skrip drama radio dan TV dengan nama penanya M Hayat. MSO juga cukup arif dengan penghidupan golongan cacat penglihatan, daripada orang yang bekerja sebagai penjual tisu sehinggalah kepada petugas kakitangan awam seperti saya. Antara nama golongan cacat penglihatan lain yang segar dalam ingatan MSO termasuklah Norazman Sukerman, Shafiri dan juga sahabat saya yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan tesis PHD-nya di UKM.

Sekitar jam 7.00 malam, saya sekeluarga pun minta diri untuk pulang. Sebelum pulang, MSO telah menghadiahkan kepada saya sebuah buku yang bagi saya cukup menarik untuk dibaca.



Kepada MSO sekeluarga, setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan di atas kesudian mengundang saya sekeluarga menikmati keenakan nasi dagang di rumahnya. Bagi saya sekeluarga, undangan ini bukansetakat istimewa, bahkan eksklusif. Saya sentiasa berdoa semoga beliau sekeluarga akan sentiasa berada di dalam peliharaan Allah sepanjang masa dengan dilimpahi dengan segala keberkatan, kenikmatan serta kebahagiaan dunia dan akhirat. Insha-Allah hubungan silaturahim sebegini akan terus berpanjangan.

Encik Amran tidak perlu sakit mata bila membaca coretan saya seperti ini!

Booth PERTIS - FKM UTM Di Pameran Oasis Tilawah Peringkat Antarabangsa

Baru-baru ini, sebagaimana biasa saban tahun, tilawah Alquran peringkat antarabangsa telah diadakan. Bersempena dengan tilawah tersebut, satu pameran turut juga diadakan. Pameran berkenaan di bawah anjuran Oasis Tilawah. Ia telah diadakan di Legar Putra, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Pameran tersebut telah berlangsung selama 4 hari, iaitu bermula pada 20 Julai (Rabu) dan telah berakhir pada 23 Julai (Sabtu) 2011.



Pameran berkenaan telah dirasmikan oleh YB Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Upacara perasmian pameran telah berlangsung pada 21 Julai 2011 (Khamis). Saya sendiri tidak dapat menghadiri upacara perasmian berkenaan kerana pada masa yang sama saya ke Putrajaya bagi menghadiri satu mesyuarat di Parcel C. Berdasarkan khabar yang saya terima, upacara perasmian telah berjalan lancar, bahkan YB Timbalan Menteri turut mengunjungi booth kendalian PERTIS – FKM UTM.



Dalam pameran kali ini, Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan bantuan serta kerjasama erat daripada pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah turut sama menyertainya. Boleh dikatakan kebanyakan badan atau organisasi yang menyertai pameran ini bertujuan untuk memperkenal serta sekaligus menjual produk masing-masing. Ia merupakan kesempatan yang baik bagi badan-badan dan organisasi berkenaan untuk menjual produk yang telah dihasilkan. Hal ini ditambah lagi apabila bilangan pengunjung yang telah datang sememangnya ramai. Namun begitu, bagi PERTIS dan juga pasukan penyelidik daripada FKM UTM, tujuan kami menyertai pameran ini adalah sekadar untuk memperkenalkan panel E-Braille Quran serta aplikasi terkini yang sedang dibangunkan. Oleh itu, kepada para pengunjung yang mengunjungi booth kendalian PERTIS – FKM UTM, mereka akan diberi informasi mengenai Alquran Braille serta teknologi terkini yang berkaitan dengan Alquran Braille. Selain itu, beberapa maklumat mengenai PERTIS serta aktiviti yang sedang dilaksanakannya juga turut dipamerkan di booth PERTIS – FKM UTM.



Oleh kerana pada waktu biasa saya akan ke sekolah untuk bertugas seperti biasa, maka saya akan berada di booth pada sebelah petang atau malam. Sudah tentulah selaku YDP PERTIS sokongan serta kehadiran saya di booth kendalian PERTIS dan FKM UTM merupakan suatu kemestian.

Saya dimaklumkan sambutan daripada para pengunjung memang memberansangkan. Rata-rata mereka masih lagi tidak terdedah dengan Alquran Braille, apatah lagi untuk memahami teknologi E-Braille Quran.





Beberapa orang daripada kumpulan Rabani turut mengunjungi booth PERTIS – FKM UTM. Saya sendiri yang turut sama memberi penerangan kepada mereka mengenai Alquran Braille serta teknologi terkini yang berkaitan dengan Alquran Braille.





Pada 23 Julai (Sabtu) juga, PERTIS – FKM UTM telah diberikan satu slot oleh pihak penganjur pameran untuk memberi penerangan mengenai Alquran Braille kepada pengunjung yang hadir ketika itu. Untuk itu, saya sendiri telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan slot berkenaan. Untuk itu, saya telah membahagikan slot kepada dua segmen, iaitu segmen penerangan mengenai Alquran Braille serta projek E-Braille Quran dan juga segmen mengalunkan bacaan ayat-ayat Alquran secara tarannum. Bagi memantapkan slot berkenaan, saya telah menyediakan lebih kurang 39 slide yang kemudiannya telah ditayangkan kepada hadirin di sekitar Legar Putra. Setelah segmen penerangan mengenai Alquran Braille selesai, ia terus disusuli dengan alunan bacaan ayat-ayat Alquran oleh Saudara Ahmad Qusairi bin Md Zizi yang telah menggunakan panel E-Braille Quran yang telah dibangunkan. Serentak dengan bacaan ayat Alquran yang dialunkan oleh Saudara Ahmad Qusairi yang dibaca menerusi panel E-Braille Quran, saya pula berperanan memancarkan menerusi LCD ayat-ayat yang sedang dibaca. Apa yang saya pancarkan ialah ayat-ayat Alquran bertulisan biasa. Tujuannya ialah supaya para hadirin dapat menyemak sama bacaan Alquran yang sedang dialunkan oleh Saudara Ahmad qusairi. Alhamdulillah, segalanya telah berjalan dengan lancar. Saya turut bersyukur kerana jari-jemari saya tidak tersalah tekan pada papan kekunci komputer, maklumlah keadaan yang agak bising sedikit sebanyak telah mengganggu penumpuan saya pada aplikasi JAWS. Di sini, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pasukan penyelidik daripada FKM UTM, terutamanya kepada Prof. Madya Dr. Mohamed Hussein dan Tuan Haji Mohd Yunus yang telah memberi sokongan moral sebelum saya ke pentas utama untuk mengisi slot yang telah diberikan.



Ini merupakan kali kedua panel E-Braille ini digunakan dikhalayak ramai. Kali pertama ialah sewaktu mesyuarat agung tahunan PERTIS kali ke-16 pada bulan Jun yang lalu. Alhamdulillah, pada kedua-dua kemunculannnya di khalayak awam, panel E-Braille Quran tidak mendatangkan sebarang masalah. Bahkan ia dapat digunakan dengan lancar. Menurut Saudara Ahmad Qusairi pula, panel ini amat mudah untuk dipelajari cara penggunaannya.

Saya amat yakin, sekiranya pihak-pihak yang berkaitan terus memberikan sokongan, terutamanya dari segi penyediaan dana, pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mampu untuk pergi lebih jauh lagi khususnya dalam penyelidikan yang berkaitan E-Braille. Apatah lagi, pada masa ini, pasukan ini telah pun memiliki kepakaran tersendiri dalam menghasilkan alat canggih berteknologi tinggi untuk manfaat golongan cacat penglihatan. Semoga usaha mereka akan sentiasa diberkati dan dirahmati Allah setiap masa.

Sunday, July 17, 2011

Takziah Kepada Keluarga Almarhumah Dr. Lo'lo'

Sebentar tadi, kita sama-sama telah menerima satu lagi berita duka iaitu Dr. Lo’lo’ binti Datuk Mohd Ghazali telah kembali ke rahmatullah. Almarhumah Dr. Lo’lo’ merupakan ahli parlimen bagi Titiwangsa. Saya baru tahu sehari dua yang lalu mengenai kesihatan almarhumah yang dikatakan kritikal. Saya hanya mampu iringi berita tersebut dengan memohon doa kepada Allah semoga kesihatan beliau akan pulih seperti sediakala. Namun janji Allah tiada siapa yang boleh menegahnya. Di bawah ini, saya peturunkan petikan berita kematian almarhumah Dr. Lo’lo’ yang saya petik daripada Harakah Daily.


Dr. Lo' Lo' meninggal dunia sebentar tadi

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Julai: Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (gambar) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam ini.

Jenazah beliau kini sedang diusahakan untuk dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof ketika dihubungi Harakahdaily.

Maklumat berkenaan kematian itu juga turut dimuatkan pada laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Beliau sebelum ini menerima rawatan akibat kanser.

Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat.

"Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi.

"Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah.

"PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter.
Menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz, jenazah akan diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.
"Insya allah, akan dikebumikan pada waktu pagi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat," tulisnya melalui sistem mesej singkat (SMS) kepada Harakahdaily.



(Sumber: http://harakahdaily.net)

Sesungguhnya saat yang dijanjikan Allah kepada almarhumah sudah tiba. Manakala saat yang dijanjikan Allah kepada kita masih rahsia, tetapi ia pasti akan tiba juga. Kepada seluruh keluarga almarhumah, takziah daripada saya sekeluarga. Bersabarlah menghadapi saat yang amat mendukacitakan ini.

Dengan kematian almarhumah Dr. Lo’lo’, maka kerusi parlimen bagi Titiwangsa telah kosong. Walau bagaimanapun, setakat yang saya faham, pilihanraya kecil bagi kerusi berkenaan tidak akan diadakan kerana menurut peraturan yang sedia ada, jika berlaku kekosongan di kerusi parlimen dalam tempoh kurang daripada dua tahun daripada tarikh matang penggal parlimen yang ada, maka pilihanraya untuknya tidak perlu diadakan. Demikianlah menurut apa yang saya faham. Bagus juga begini. Di saat-sat seperti ini tidak perlulah mana-mana pihak untuk menguji kekuatan dan pengaruh politik masing-masing.

Sembang Petang

Dua Murid Sekolah Yang Penuh Sopan-Santun

Baru-baru ini, saya telah ke Pulau Langkawi. Tujuan ke sana adalah menghadiri mesyuarat di bawah anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh kerana saya bersendirian pergi dan balik, maka saya telah menggunakan perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines.

Sewaktu dalam penerbangan pulang ke KL, saya telah duduk di kerusi yang agak belakang sedikit. Sebagaimana biasa, saya merupakan antara penumpang yang naik awal ke pesawat. Setelah saya diberi tempat duduk oleh kakitangan dalam pesawat, En. Ganish dan En. Firdaus (kedua-duanya merupakan antara kakitangan dalam pesawat) pun terus menunjukkan kepada saya butang yang perlu saya tekan jika ingin mendapatkan pertolongan. Kali ini, En. Ganish turut memaklumkan kepada saya dengan agak terperinci kedudukan pintu kecemasan yang terhampir dengan saya. Demikianlah bagus dan mesranya layanan kakitangan pesawat Malaysia airlines kepada orang seperti saya. Maklumat seperti butang yang perlu ditekan serta pintu kecemasan yang terhampir sangat berguna. Dengan berbekalkan maklumat yang diberi, saya boleh merancang apa yang perlu dilakukan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Setelah saya duduk dengan selesa, para penumpang lain mula menaiki pesawat. Satu demi satu tempat duduk mula berpenghuni. Begitu juga dengan dua kerusi di sebelah kanan saya. Berdasarkan suara yang saya dengar, saya maklum dua tempat duduk di sebelah saya diduduki oleh remaja. Kebetulan pula saya duduk di tepi tingkap. Bila tiba masanya, pesawat mula berlepas. Saya pula, sebagaimana biasa kalau naik kapal terbang akan melelapkan mata yang sememangnya sudah sedia lelap.

Tatkala enjin kapal terbang semakin sayup kedengaran, tiba-tiba saya disapa oleh orang yang duduk di kerusi bersebelahan tempat duduk saya. Dia memberi salam, lalu salamnya saya jawab. Berdasarkan pengalaman saya naik kapal terbang, agak jarang orang yang duduk di sebelah akan menegur saya. Bila ada yang sudi menyapa, tentunya orang ini ada kekuatan tersendiri hingga berani bertegur sapa dengan orang yang dia tidak kenal dan cacat pula.

Mulanya dia bertanya destinasi saya. Kemudian, dia bertanya pula tujuan saya di Langkawi. Setelah itu, dia bertanya pula nama tempat tinggal saya. Kesemua soalannya saya jawab pada kadar yang patut-patut. Setelah itu, dia bertanya pula kerjaya saya. Setelah mengetahui saya seorang guru, beliau mula memanggil saya “cikgu”. Panggillah apa sahaja pun, asalkan sopan dan ikhlas.

Setelah itu, saya pula mengambil giliran untuk bertanya. Kesemua pertanyaan saya juga telah dijawab dengan penuh kesopanan. Katanya, namanya Muhammad Nazrin Syafiq bin Mohd Nasaruddin. Manakala adiknya pula bernama Muhammad Nazim **** (saya tak ingat) bin Mohd Nasaruddin. Nazrin Syafiq baru berusia 17 tahun. Kini beliau menuntut di Sekolah Menengah Teknik Langkawi dan mengambil jurusan Kejuruteraan Awam. Adiknya pula berusia 12 tahun dan belajar di tahun 6 di salah sebuah sekolah rendah di Langkawi. Menurut Nazrin Syafiq, beliau hanya dua beradik sahaja dalam penerbangan berkenaan. Kedua ibu bapanya tidak dapat ikut sama. Kata Nazrin Syafiq lagi, destinasi mereka ialah ke Putrajaya untuk menziarahi saudara dan nenek mereka di sana. Saya bertanya pula, tidak takutkah mereka berdua kerana dalam penerbangan ini, mereka hanya dua beradik sahaja. Kata Nazrin Syafiq, mereka tidak terasa takut pun, lagipun, di KLIA nanti sudah ada saudaranya yang menanti.

Nazrin Syafiq bertanya saya, siapa yang akan mengambil saya di KLIAnanti. Saya memberitahunya, tiada sesiapa yang menunggu saya. Saya akan bergerak sendirian. Dia agak kehairanan. Mungkin dia anggap saya bergurau. Dia mengulangi sekali lagi soalan yang sama, lalu saya katakan, sejak dari datang ke Pulau Langkawi lagi saya sendirian, tetapi di sepanjang perjalanan saya, ada saja orang yang sudi menghulurkan bantuan kepada saya. Sebab itulah saya yakin untuk bergerak sendirian. Yang pentingnya, jangan malu untuk bertanya dan minta pertolongan. Lagi pun, ini entah kali yang berapa saya bergerak sendirian seperti ini. Demikian saya melayani rasa ingin tahu daripada Nazrin Syafiq.

Dari getar suaranya, saya dapat merasakan Nazrin Syafiq mungkin merasa sedikit kagum dengan penerangan saya. Lalu saya meneruskan, dalam hidup ini, kalaupun seseorang itu dikurniakan penglihatan, tetapi kalau dia tidak yakin dengan dirinya sendiri, dia tidak akan ke mana. Dia akan sesat, setidak-tidaknya dia sesat dalam dirinya sendiri. Demikian saya beritahu kepada Nazrin Syafiq. Adiknya diam sahaja.

Nazrin Syafiq turut membantu saya dengan menghulurkan bungkusan kacang daripada kakitangan pesawat kepada saya. Bahkan beliau menawarkan untuk membukakan bungkusan kacang untuk saya, tetapi saya menolaknya dengan baik dan berterima kasih kepadanya.

Oleh kerana ada orang untuk berbual dan topik perbualan pula tidak membosankan, penerbangan yang sudah sedia singkat, terasa semakin singkat. Akhirnya pesawat yang kami naiki selamat mendarat di KLIA. Di sini kami berpisah. Sebelum turun dari pesawat, Nazrin Syafiq bersalaman dan mencium tangan saya. Adiknya sekadar bersalam sahaja. Demikianlah sopannya kedua-dua murid sekolah ini. Sebelum berpisah, Nazrin Syafiq sempat mengambil nobor telefon saya dan juga alamat blog ini. Sebagaimana biasa, saya adalah penumpang terakhir yang meninggalkan pesawat semasa ketibaan.

Walaupun peristiwa pertemuan dan perbualan dengan kedua-dua murid sekolah berkenaan semakin jauh ditinggalkan masa, namun kesegaran pertemuan berkenaan masih kuat saya rasai. Walaupun pertemuan tersebut berlangsung sangat singkat, tetapi saya dapat rasakan kedua-dua beradik berkenaan merupakan remaja yang penuh dengan sopan dan santun. Dari getar suara mereka, saya turut dapat rasakan, mereka tidak keberatan untuk menghulurkan bantuan khususnya kepada orang seperti saya pada bila-bila masa. Kepada En. Mohd Nasaruddin dan isteri, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kerana anda berdua dikurnia putera-putera yang sangat baik dan ikhlas. Berbanyaklah syukur dan puji ke hadhrat Allah di atas kurniaan-Nya yang sangat besar itu. Kepada guru yang pernah mengajar kedua-dua murid sekolah berkenaan, syabas saya ucapkan kerana anak didik anda bakal menjadi insan mulia sebagaimana diharapkan oleh golongan pendidik seperti kita.

Semoga akan ada lagi pertemuan dengan mereka, insha-Allah.

Wednesday, July 13, 2011

Kita Semua Sama Sahaja

Baru-baru ini, terpampang berita bertajuk Si Buta Kuat Nafsu dalam akhbar Metro. Selain itu, berita berkenaan juga turut dikeluarkan menerusi laman sesawang akhbar berkenaan.
Apa lagi, menjalar dan merebaklah berita berkenaan khususnya menerusi internet. Ada juga yang menyimpannya sebagai koleksi dalam thumb drive dan hard-disk. Pelbagai ulasan terpacul dari pelbagai mulut. Bentuk ulasan pula berbeza-beza mengikut status pengulasnya. Bagi yang mengenali latar belakang si pelaku, sudah tentulah ulasannya berbeza daripada yang tidak mengenali latar belakangnya.

Sepertimana yang pernah saya nukilkan, tragedi haruan makan anak sebagaimana yang terpampang dalam berita berkenaan dalam kalangan golongan cacat penglihatan bukanlah pertama kali berlaku. Walaupun jumlahnya masih kecil, namun peristiwa berkenaan merupakan tragedi kekeluargaan yang amat menyayat hati. Semoga kita semua dijauhkan Allah daripada ditimpa tragedi berkenaan untuk selama-lamanya.

Apabila meletup sahaja berita seperti di atas, maka pelbagai reaksi boleh kita sama-sama dengar daripada ahli masyarakat yang lain. Maklumlah, si pelakunya dikatan “si buta”. Bagi kebanyakan orang, bila sebut sahaja “si buta”, maka terbayanglah di mata mereka orang yang tertutup matanya dan berjalan dengan menggunakan tongkat dengan meraba-raba. Lebih jauh lagi, kebanyakan orang cuba mencari titik pertemuan di antara orang yang daif (buta) dengan perlakuan terkutuk (haruan makan anak). Ada yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa golongan cacat penglihatan sanggup melakukan perkara terkutuk sedemikian. Maklumlah, bagi mereka taraf orang buta rendah sedikit daripada taraf malaikat. Ada juga yang terperanjat, nasib baik belum ada yang pengsan bila membaca berita berkenaan.

Di sini, saya ingin jelaskan, si pelaku dalam berita di atas bukanlah buta dalam erti kata yang sebenar. Si pelaku berkenaan merupakan seorang yang berpenglihatan terhad (rabun). Seorang rakan memberitahu saya, kadar penglihatannya agak baik. Demikianlah.

Bila direnungkan tragedi sebagaimana dalam berita di atas, banyak perkara yang boleh sama-sama kita jadikan sebagai iktibar. Selain itu, tragedi berkenaan juga mungkin sedikit sebanyak boleh mengubah persepsi sesetengah ahli masyarakat terhadap mereka yang cacat penglihatan.

Selama ini, sebahagian masyarakat menganggap golongan cacat penglihatan macam malaikat. Oleh kerana golongan berkenaan tidak berpenglihatan, maka mereka terlepas daripada dosa yang melibatkan mata. Dari satu sudut, pendapat sedemikian ada benarnya. Pada masa yang sama, kita juga harus ingat, Syaitan laanatullah akan menggunakan cara lain supaya si buta akan terjebak dalam kancah dosa dan maksiat tanpa melalui deria penglihatan. Bukankah itu janji syaitan laanatullah kepada Allah sewaktu ia dihalau dari syurga dahulu? Ia akan menyesatkan keturunan Adam dengan apa cara sekalipun tanpa mengira siapa mereka. Ini bermakna orang buta juga tidak terkecuali daripada godaan dan hasutan syaitan laanatullah. Bagi saya, golongan yang sudah lama akrab dengan mereka yang cacat penglihatan mungkin lebih memahami dengan hakikat yang saya perkatakan.

Hakikatnya, manusia di sisi Allah diukur sama rata dan sama rasa. Hanya yang membezakan di antara seseorang manusia dengan manusia lain ialah keimanan dan ketakwaan. Sebab itu, Allah ada berfirman di dalam kitab suci-Nya, yang antara lain mafhumnya “Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa”.

Secara rasionalnya, kalau seseorang itu sekadar buta sahaja, ia sama sekali bukan pendinding untuknya terjebak ke lembah kemurkaan Allah. Tidak ada satu nas pun yang memberi jaminan bahawa jika seseorang itu sudah cacat, maka ia bakal dijamin sebagai ahli syurga. Sekali lagi saya tegaskan, keimanan dan ketakwaan yang kukuh merupakan kunci asas untuk seseorang mendapat keredhaan Allah.

Di satu sudut, kita juga harus sama-sama mengakui sifat adil yang dimiliki oleh Allah. Justeru, saya tidak menafikan, bila Allah telah membutakan penglihatan seseorang, ia mungkin mempunyai kesempatan yang lebuih baik untuk menjadikan dirinya sebagai hamba yang lebih bersyukur ke hadhrat Allah. Sebab itu, ramai juga dalam kalangan mereka yang tidak berpenglihatan yang berupaya untuk menghafaz 30 juzuk Alquran.

Bagi saya, kita akan lebih rasional bila kita memandang golongan cacat (khususnya yang cacat penglihatan) sebagai manusia biasa. Sebagai manusia biasa, golongan ini berpotensi untuk menjadi hamba Allah yang solihin dan mereka juga berkemungkinan untuk jauh daripada redha Allah. Kalau selama ini kita mempunyai persepsi yang betul terhadap golongan cacat penglihatan, nescaya kita tidak akan terlalu terkejut dengan tragedi kekeluargaan yang menimpa salah seorang daripada golongan berkenaan baru-baru ini.

Kepada rakan-rakan senasib, kita juga harus sama-sama beringat. Kita merupakan sebuah kumpulan yang kecil di tengah-tengah masyarakat. Oleh itu, apa jua tragedi yang kita lakukan, sedikit sebanyak ia akan terpalit juga kepada rakan-rakan senasib yang lain. Jika kita ingin pihak lain memahami kita, pada masa yang sama kita juga harus berupaya untuk memahami golongan seperti kita dan juga masyarakat umum yang melingkari kita.

Oleh kerana yang biasa itu dianggap betul, marilah kita sama-sama perbetulkan yang biasa itu.

Salam dari Pulau Langkawi.

Monday, July 11, 2011

Secebis Pengalaman Daripada Seorang Rakan Mengenai Perhimpunan Bersih

Sebagaimana biasa, program mingguan saya pada setiap petang Isnin ialah mengikuti kuliah maghrib. Kuliah berkenaan diadakan pada setiap Isnin. Yang bagusnya, bagi mereka yang rajin berpuasa sunat Isnin, akan diadakan majlis berbuka puasa bersama-sama sebelum solat maghrib. Kuliah berkenaan diadakan tidak berapa jauh dari tempat tinggal saya.

Dalam program kuliah maghrib kali ini, ada sedikit keistimewaan. Ini adalah kerana salah seorang daripada hadirin telah terlibat secara langsung dengan perhimpunan Bersih. Beliau yang terlibat itu pula secara sukarela bersedia untuk berkongsi pengalamanya ketika menyertai perhimpunan berkenaan. Bahkan beliau merupakan antara orang yang telah dicekup polis ketika menyertai perhimpunan berkenaan.

Di sini, saya tidak mahu terjebak dengan istilah “perhimpunan haram”. Status halal dan haram pada perhimpunan berkenaan masih subjektif. Kalau ditanya kepada orang seperti Datuk S. Ambiga serta mereka yang sehaluan dengan beliau, baginya perhimpunan Bersih adalah tidak haram. Golongan ini mempunyai sebab yang tersendiri untuk menyatakan bahawa perhimpunan Bersih tidak haram. Lagi pun pengetahuan perundangan yang ada pada orang seperti Datuk S. Ambiga bukan calang-calang dan sememangnya dihormati dan disegani.

Kalau ditanya pula kepada YB Datuk Seri Hisyammuddin Tun Hussein selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, beliau tetap berpegang bahawa perhimpunan Bersih Dan Adil pada 9 Julai lalu adalah haram di sisi undang-undang. Alasannya mudah, kerana perhimpunan berkenaan tiada permit daripada pihak berkuasa (polis). Beliau juga merupakan seorang yang berlatarbelakangkan undang-undang dan pernah menjadi peguam suatu ketika dahulu.

Sebenarnya, Datuk S. Ambiga dan Datuk Seri Hisyammuddin pernah bekerja di bawah satu bumbung yang sama beberapa belas tahun yang lalu.

Berbalik kepada pengalaman seorang rakan mengenai perhimpunan Bersih yang dikongsikan dalam kuliah maghrib tadi, katanya, sewaktu beliau mula bergerak ke pusat bandar pada awal pagi Sabtu lalu, keadaan masih lengang. Melihatkan keadaan sedemikian, ia membuatkan hatinya sedikit cemas, takut-takut tak ada orang. Walau bagaimanapun, apabila beliau tiba di lokasi yang sepatutnya, beliau mula melihat orang ramai dan semakin ramai. Keaedaan ini telah menaikkan semangat beliau.



Akhirnya beliau dan kumpulan yang disertainya telah berjaya sampai ke sebuah masjid dan bersolat zohor di situ. Doa turut dibacakan oleh seorang penceramah bebas yang terkenal. Isi doa yang dibaca, katanya, amat terkesan dalam hati hingga membuatkan beliau menitiskan air mata. Bahkan semangatnya turut berkobar-kobar seerta perasaan takutnya terus hilang.

Menurut rakan saya itu lagi, sewaktu di masjid berkenaan, pihak polis telah melepaskan gas pemedih mata. Walau bagaimanapun, dengan langkah-langkah yang telah diambil sebelum ini, kesan daripada gas pemedih berkenaan telah dapat diminimumkan sedikit. Kata rakan saya lagi, peserta perhimpunan berada di segenap ceruk pusat bandar. Ia tidak terhad di dua lokasi sahaja sebagaimana dakwa pihak-pihak yang tidak tahu memerhati. Katanya lagi, pada penglihatan beliau, jumlah yang menyertai perhimpunan berkenaan bukannya sekadar 5 atau 6 ribu orang. Jumlahnya jauh lebih besar daripada itu.

Dalam hal ini, saya setuju dengan beliau. Kalau peserta perhimpunan tidak ramai, buat apa pihak berkuasa menggerakkan ribuan anggota keselamatan? Menurut saksi mata yang dipercayai, jumlah yang menyertai perhimpunan kali ini mencecah puluhan ribu orang. Kini baru saya tahu, ada orang tertentu harap pangkat saja besar tapi tak pandai matematik.

Sewaktu beliau sedang bergerak hendak menuju ke Stadium Merdeka, beliau telah dicekup. Selepas dicekup, beliau dan orang-orang yang senasib dengannya telah disumbat ke dalam kenderaan polis dengan berasak-asak. Salah seorang yang dicekup yang turut bersama beliau ditimpa serangan semput. Pihak yang menangkap hanya buat tak tahu sahaja. Nasib baik ada seorang kakitangan kesihatan, katanya, yang telah membantu orang yang kena asma berkenaan. Di sini saya tertanya sendirian, adakah pihak yang berkenaan sememangnya telah dididik agar tidak bersifat kasihan belas kepada golongan yang telah ditangkap?

Menurut rakan saya berkenaan, sewaktu dicekup, ada anggota polis yang mengherdik mereka, antara lain berkata, “Kau orang semua tak ada otak, bodoh, kau orang punya pasal, aku tak tidur seminggu!” Kami yang hadir tertawa mendengarnya.

Sewaktu dicekup, rakan saya cuba menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi rakan-rakan yang lain, tetapi perbuatannya telah mendapat herdikan daripada polis yang dengan kuat menjerit: “Aku buang nanti telefon kau!”. Walau bagaimanapun, rakan saya itu sempat menghantar mesej kepada seorang dua rakannya yang lain dengan memaklumkan bahawa dia sudah ditangkap.

Kata rakan saya lagi, cara pihak polis menembak gas pemedih mata kali ini bukannya dari atas seperti kebiasaannya. Kali ini, gas pemedih mata ditembak terus kepada peserta perhimpunan. Terfikir pula dalam minda saya, kalaulah yang ditembak itu mengeluarkan buih emas dan perak, sudah tentu hala tembakannya akan diubah 360 darjah!

Setelah dicekup, akhirnya beliau serta golongan yang senasib dengannya telah dibawa ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL). Di sini, soal siasat telah dijalankan oleh pihak polis. Antara soalan yang ditanya, mengapa kena tangkap? Buat apa di pusat bandar? Dan beberapa soalan lain lagi.

Menurut rakan saya itu, di Pulapol, mereka yang telah dicekup telah mendapat layanan yang sedikit baik. Anggota polis yang bertugas dan berkawal di sini lebih profesional. Mereka yang beragama Islam turut dibenarkan untuk melaksanakan solat waktu secara jemaah. Makanan juga turut disediakan, tetapi rakan saya yang ini tidak terliur pun untuk menjamahnya. Akhirnya, sekitar jam 9 lebih malam, barulah nama rakan saya ini telah dipanggil dan kemudiannya telah dibebaskan.

Kepada rakan yang saya maksudkan, sebesar puji dan syukur ke hadrat Allah kerana beliau selamat. Kini beliau kembali menjalankan tugasnya seperti biasa. Namun begitu, pada perkiraan saya, semangatnya kian menjadi luar biasa berddasarkan pengalaman yang telah ditimbanya.

Bila orang lain sudi berkongsi pengalamannnya dengan kita, ia juga merupakan pengetahuan yang amat berguna.

Sunday, July 10, 2011

Menghadiri Forum Akta OKU 2008

Petang tadi, saya telah berkesempatan untuk menghadiri forum mengenai Akta Orang Kurang Upaya (OKU). Forum berkenaan telah diadakan di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur. Forum berkenaan telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Belia, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM). Forum berkenaan telah bermula sekitar jam 2.50 petang dan telah berakhir sekitar jam 5.00 petang. Menurut saksi mata, sekitar 70 orang telah menghadiri forum berkenaan. Kehadiran turut merangkumi pelbagai bangsa dan agama yang berkongsi satu kecacatan, iaitu cacat penglihatan.



Forum berkenaan telah dibarisi oleh 2 orang ahli penal, iaitu En. Mohammad Faizal Che Yusuf dan En. Hashim Ishak. En. Mohamad Faizal merupakan seorang peguam bela dan peguam cara. Beliau juga merupakan Setiausaha SBM Terengganu dan juga Pengerusi PERTIS Kelantan. Beliau juga merupakan salah seorang AJK Jawatankuasa Hak Asasi Manusia dalam Majlis Peguam.

En. Hashim Ishak pula merupakan Pengerusi SBM Kawasan Melaka. Sesuai dengan statusnya selaku Pengerusi SBM kawasan, beliau juga turut menganggotai Majlis Presiden SBM. Tugas hakiki beliau ialah kakitangan di Jabatan Penerangan Melaka.



Saya sendiri telah diundang selaku komentator dalam forum berkenaan. Manakala moderator forum pula ialah Saudara Ahmad Syamsuri.



Dalam pembentangannya, En. Mohamad Faizal telah menerangkan asas serta sejarah ringkas kewujudan Akta OKU 2008. Menurut beliau, akta berkenaan telah pun didraf oleh beberapa orang OKU sejak hampir 10 tahun lalu. Namun demikian, apabila draf berkenaan dihantar ke pihak atasan untuk pertimbangan, draf akta berkenaan telah ditolak. Walau bagaimanapun, katanya, kerajaan seterusnya telah bersetuju untuk menggubal satu akta yang kemudiannya dikenali sebagai Akta OKU 2008. Persetujuan berkenaan diberikan supaya ia selaras dengan kehendak masyarakat antarabangsa supaya satu akta (Akta OKU 2008) diwujudkan untuk memberikan hak dan perlindungan kepada golongan berkenaan.

Seterusnya, En. Faizal menambah, selaku seorang yang cacat penglihatan, beliau turut terasa terluka dengan Akta OKU 2008. Pernyataan berliau berasaskan kepada akta berkenaan yang mana ia tidak memperuntukkan sebarang panalti kepada pihak berkuasa, sama ada kerajaan atau pihak berkuasa tempatan jika gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberikan hak yang sama kepada golongan OKU. Sebagai contoh, jika pihak berkuasa tempatan gagal untuk menyediakan kemudahan yang sesuai kepada golongan cacat anggota agar mereka bolek akses kepada kemudahan awam yang disediakan, maka pihak berkuasa tempatan berkenaan dilindungi daripada tindakan undang-undang. Demikianlah apa yang saya faham daripada penerangan oleh En. Faizal. Ini bermakna, kemudahan yang disediakan selama ini untuk golongan OKU lebih kepada simpati semata-mata. Justeru, pihak berwajib akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika sesuatu kemudahan untuk golongan OKU tidak disediakan sebagaimana sepatutnya.



En. Hashim pula, dalam pembentangannya, menyatakan Akta OKU 2008 telah memberikan impak yang baik kepada golongan OKU. Pada masa yang sama, beliau mengakui terdapat kelemahan di sana sini dalam Akta OKU 2008. Namun begitu, kata beliau, kalau tak ada rotan, akar pun berguna juga. Selanjutnya, beliau turut mengesyorkan supaya jika golongan OKU berhadapan dengan masalah atau karenah daripada pihak berkuasa, jangan duduk diam sahaja. Sebaliknya tindakan seperti menulis surat kepada pihak yang berkaitan hendaklah dilakukan supaya penjelasan yang sesuai dapat diperolehi daripada pihak yang berkenaan. Di hujung pembentangan sebanyak dua pusingan itu, En. Hashim berharap semoga golongan OKU juga harus memperbaiki jati diri masing-masing supaya dapat hidup sama tinggi dan sama rendah dengan masyarakat. Dalam hal ini, beliau mengatakan, golongan OKU harus berani untuk berhijrah ke tempat lain jika hal sedemikian diperlukan.



Selaku komentator, saya mengucapkan syabas kepada pihak penganjur. Bagi saya, ini merupakan antara peluang yang ada bagi kebanyakan golongan cacat penglihatan untuk mendapatkan input secara terus mengenai Akta OKU 2008. Saya menambah, perjuangan untuk membela nasib golongan seperti kita akan memakan masa yang lama. Saya turut mengambil contoh, untuk menyelesaikan rasa tidak puas hati golongan cacat penglihatan terhadap 2 perkataan yang terdapat dalam sijil peperiksaan awam anjuran Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), ia telah mengambil masa sekitar 3 tahun untuk diselesaikan. Dua perkataan yang saya maksudkan ialah “Calon Istimewa”. Rasa tidak puas hati berkenaan mula saya bangkitkan pada tahun 2007 dan hanya pada tahun 2010 barulah pihak berkenaan bersetuju untuk menggugurkan dua perkataan tersebut daripada sijil peperiksaan yang berkaitan. Itu baru masalah yang melibatkan dua perkataan sahaja!



Secara peribadi, saya merasakan forum petang tadi lebih bertujuan sekadar untuk memberikan input kepada golongan cacat penglihatan sahaja. Manakala dari segi kesannya serta tindakan susulan yang boleh diajukan kepada pihak berkuasa, buat masa ini, ia tidak akan mendatangkan impak yang besar. Lagi pun, dari aspek kuasa mengundi, golongan OKU bukanlah berkedudukan kumpulan penentu undi yang strategik. Di sini, saya tidaklah bermaksud hak mengundi dalam kalangan OKU di negara ini berada pada tahap kelas kedua. Hak mengundi kita sama sahaja dengan warganegara yang lain. Atas faktor populasi, ia menyebabkan kuasa undi golongan OKU setakat ini tidak berstatus selaku undi strategik.

Akhir sekali, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur. Majlis pada petang tadi sedikit sebanyak telah memberikan info dan input yang berguna khususnya kepada mereka yang telah menghadirinya.

Memang benar, kalau tidak ada rotan, akar pun berguna juga, tapi apalah gunanya kalau akar yang ada merupakan akar reput? Jika akta yang ada sekadar untuk melindungi pihak yang cuai dengan niat untuk kebaikan, ia lebih merupakan akta gula-gula semata-mata.

Friday, July 8, 2011

Jangan Tersalah Tanggap

Awal minggu ini, sebahagian daripada kita mungkin terkejut bercampur terperanjat apabila berita mengenai “haruan makan anak” terpampang di dada beberapa akhbar. Apatah lagi bilamana perihal keji tersebut berkait langsung dengan golongan cacat penglihatan. Untuk membaca lebih lanjut mengenai berita yang dimaksudkan, sila baca berita seperti di bawah ini.


Si buta kuat nafsu
Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my KUALA LUMPUR: “Saya minta maaf,” demikian penjelasan ringkas seorang lelaki buta yang meraung kuat dan menghentak kepalanya berkali-kali di kandang tertuduh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Lelaki berusia 47 tahun itu berkelakuan sedemikian selepas dia mengaku bersalah melakukan sumbang mahram dengan anak kandung perempuannya berusia 18 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengandung tujuh bulan, empat tahun lalu.


Kelakuan lelaki yang beristeri dua dan mempunyai lapan anak berusia antara 22 tahun dan enam bulan itu yang menangis teresak-esak dan kuat menyebabkan prosiding ditangguhkan pada sebelah petang bagi memberi ruang kepada tertuduh bertenang.


Selepas prosiding disambung semula, tertuduh masih menangis teresak-esak dan memaksa Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid memintanya bertenang.


Emelia kemudian menjatuhkan hukuman 10 sebatan dan penjara 18 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Jun lalu.


Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai tukang urut itu melakukan perbuatan keji terbabit di rumah mereka di flat di Jalan Dang Wangi, di sini, antara 2007 hingga kejadian terbaru pada 24 Jun lalu. Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa pernah merogol anak perempuan sulungnya itu sejak 2007 di rumah sama, namun mangsa tidak ingat kejadian. Namun, anaknya mendakwa bapanya melakukan perbuatan sama tiga kali pada tahun ini, termasuk terbaru pada 24 Jun lalu. Mangsa yang juga pelajar sebuah kolej swasta itu tidak sampai hati memberitahu ibunya tentang hal berkenaan, namun rahsia hitam itu bocor selepas mangsa mahu menangguhkan pengajian. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar hukuman ringan dikenakan atas alasan faktor umur dan mempunyai penyakit darah tinggi serta buasir selain perlu menanggung dua isteri dan lapan anaknya. “Saya mengaku itu adalah kesalahan besar dan saya memohon maaf kepada isteri, keluarga dan anak atas perbuatan saya ini kerana saya tidak tahu ia menyalahi undang-undang,” katanya.




Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana perbuatan dilakukannya sangat serius.


“Selain itu perbuatan berkenaan juga hina dan keji di sisi agama dan undang-undang kerana tergamak melakukan hubungan seksual dengan anak sendiri.



“Masa depan anaknya yang sedang belajar di sebuah kolej swasta juga gelap kerana perbuatan terkutuk tertuduh, malah kelihatan masih trauma dengan tindakan bapanya sendiri sepatutnya menjadi pelindung keluarga,” katanya.


Selepas memberikan penghakiman Emelia berkata, hukuman dijatuhkan itu tidak dapat memulangkan semula maruah anak tertuduh.



Terdapat beberapa perkara yang saya rasa terpanggil untuk menyentuhnya kali ini. Dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan, ia sebenarnya terbahagi kepada dua subgolongan yang utama, iaitu buta dan rabun. Secara umumnya, buta ialah mereka yang tiada penglihatan langsung. Saya termasuk dalam golongan sedemikian. Manakala rabun pula ialah mereka yang masih mempunyai penglihatan tetapi kadar penglihatannya terhad. Ada dalam kalangan mereka yang rabun ini masih boleh membaca dan menulis tulisan biasa tetapi jaraknya lebih dekat jika dibandingkan dengan mereka yang berpenglihatan normal. Saya harus menerangkan hal ini kerana kebanyakan mereka yang berpenglihatan berpersepsi apabila dikatakan “orang buta”, penglihatan mereka sama sahaja, iaitu tiada penglihatan langsung.

Selain itu, orang yang terlibat dalam kes yang dipaparkan dalam berita di atas merupakan seorang yang berpenglihatan terhad (rabun). Di sini, saya tidak sesekali bermaksud bahawa mereka yang tidak berpenglihatan langsung(buta) merupakan golongan maksum. Hal ini perlu saya jelaskan kerana berdasarkan tajuk berita “Si Buta Kuat Nafsu”, masyarakat akan berpersepsi golongan yang dimaksudkan ialah mereka yang tiada penglihatan langsung dan bila berjalan akan menggunakan tongkat. Sedangkan seperti yang saya nyatakan di atas, orang yang terlibat sebagaimana dalam berita di atas merupakan orang yang berpenglihatan terhad dan bila dia berjalan kebiasaannya dia tidak menggunakan tongkat.

Setakat yang saya maklum, berita “haruan makan anak” sebagaimana yang terpapar di dada-dada akhbar tertentu pada awal minggu ini bukanlah kes pertama dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Kalau kita masih ingat, beberapa tahun lalu kes yang hampir serupa pernah terpampang di dada akhbar. Walau bagaimanapun, kes kali ini lebih berat kerana ia sempat menghasilkan bukti nyata hingga tiada keraguan lagi di pihak mahkamah.

Satu lagi ialah menurut berita yang terpapar, pekerjaan lelaki si pelaku perbuatan keji berkenaan ialah seorang tukang urut. Saya tidak pasti adakah beliau merupakan seorang tukang urut sepenuh masa atau separuh masa. Setakat yang saya maklum, lelaki si pelaku berkenaan pernah bekerja dengan sebuah bank suatu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, apabila dalam berita berkenaan menyebut bahawa lelaki berkenaan adalah seorang tukang urut, sedikit sebanyak ia telah membuatkan sesetengah golongan senasib yang lain yang juga sedang berkecimpung sebagai tukang urut turut sama terpercik aibnya. Bak kata pepatah, kerana setitik nila, habis susu sebelanga.

Kepada rakan-rakan senasib, kita harus faham bahawa kita adalah ahli masyarakat yang kecil dan sangat mudah dikenali dengan hanya orang melihat mata kita. Oleh itu, jika salah seorang dari kita melakukan perbuatan tidak senonoh dan keji, kebiasaannya masyarakat akan lebih mudah untuk membuat generalisasi bahawa orang seperti kita mungkin sama sahaja seperti orang yang telah melakukan perbuatan keji tersebut. Gara-gara seekor kerbau yang membawa lumpur, habis semua terpalit.

Kepada mereka yang berpenglihatan pula, anda semua harus faham bahawa kita semua adalah manusia biasa. Allah dan Rasul tidak pernah memberikan jaminan bahawa setiap orang buta itu adalah ahli syurga hanya semata-mata kerana dia buta. Sesungguhnya amalan baik seseorang yang akan menentukan bahagia atau celaka di akhir hidupnya, dan bukan bentukfizikalnya.

Tuesday, July 5, 2011

Antara Stadium Baru Dengan Tuan Guru

Dua tiga hari lepas, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu ucapannya di Kelantan, antara lain ada menyatakan bahawa, jika BN menang dalam pilihanraya yang akan datang, kerajaan (kerajaan BN) akan membina stadium baru. Pelbagai andaian dan tafsiran boleh tercetus daripada janji sedemikian yang terpacul dalam ucapan orang politik seperti Datuk Seri Najib. Kebetulan pula, Kelantan baru sahaja meraikan kejayaan pasukan bola sepak mereka menjuarai piala ........ saya pun tak ingat, pada 12 Jun yang lalu. Ada juga penganalisis yang mengaitkan kejayaan pilihanraya kecil DUN Galas dengan kehebatan pasukan bola sepak negeri Cik Siti Wan Kembang pada masa ini.



Hala tuju politik negara kita khususnya politik Melayu, sejak akhir-akhir ini memang penuh dengan keunikan alias kepelikan. Sebagai contoh, jika dalam sukan ternampak keuntungan politik yang boleh dijana, maka di sanalah akan berbondong segala jenis langau politik. Maka itu, tidak menghairankan kalau, sebagai contoh, matlamat untuk menjadikan sukan sebagai landasan untuk mencapai perpaduan tidak boleh tercapai. Pendek kata, orang politik yang semakin kelaparan, akan membaham apa sahaja demi memuaskan nafsu politik mereka.



Berbalik kepada janji untuk memberi stadium baru kepada Kelantan, rasanya tidak salah walaupun dalam perkiraan politik jika kerajaan Persekutuan membina stadium baru untuk Kelantan walaupun negeri tersebut masih diperintah oleh PAS. Sebagai pemakluman kepada sekalian rakyat jelata, setelah stadium baru itu siap nanti, pampangkan sahaja tulisan bersaiz gergasi yang berbunyi “PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL”. Bukankah pampangan tulisan besar sedemikian sudah biasa terlihat di mana-mana sebelum ini! Adakah pampangan sedemikian sudah tidak laku lagi di mata rakyat?



Bagi sebilangan besar rakyat Kelantan buat masa ini, apalah nilainya sebuah stadium baru jika hendak dibandingkan dengan kepimpinan seorang hamba Allah yang berstatus tuan guru seperti Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nikmat. Memilih kerajaan baru (BN) bermakna menolak PAS. Menolak PAS jika di Kelantan bermakna menolak Tuan Guru Haji Nik Aziz. Lawan politik yang waras minda dan masih ada iman pun tak mungkin tergamak untuk mengenepikan kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Aziz.



Setelah menjadi menteri besar Kelantan hampir 21 tahun, Tuan Guru Haji Nik Aziz telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran. Keunikannya ialah sebahagian besar cabaran yang dihadapi oleh beliau datangnya daripada orang yang sebangsa dan seagama dengan beliau. Pembaharuan yang beliau dan kerajaannya lakukan sering diperlekeh oleh mereka yang tidak sehaluan dengan beliau. Kecemerlangan den kejayaan pemerintahan beliau pula sering disorok dan disembunyikan oleh peneraju media massa. Sebagai contoh, kerajaan PAS Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Aziz merupakan kerajaan yang pertama yang telah memperkenalkan cuti umum pada hari sabtu khasnya untuk kakitangan kerajaan. Kerajaan PAS Kelantan juga antara kerajaan yang awal yang telah memberi cuti selama 60 hari kepada wanita bersalin. Demikianlah.

Sebelum ini pun, BN pernah menabur pelbagai janji kepada rakyat Kelantan supaya mereka menukar kerajaan yang sedia ada. Cabaran politik yang paling getir yang pernah dihadapi oleh kerajaan PAS Kelantan ialah apabila hanya memenangi 24 daripada 45 kerusi di DUN Kelantan dalam pilihanraya tahun 2004. Kegetiran kian menjadi umpama telur di hujung tanduk apabila dalam pilihanraya kecil pada Disember 2005 BN berjaya memperolehi satu lagi kerusi. Ini menjadikan kedudukan kerusi di DUN Kelantan ketika itu ialah 23 kerusi berpihak kepada PAS dan 22 kerusi lagi berpihak kepada BN/UMNO. BN/UMNO malah hanya menanti 1 kerusi sahaja lagi untuk menumbangkan kerajaan Kelantan yang diterajui PAS. Namun demikian, sesiapa pun tidak boleh menolak takdir Allah Yang Maha Kuasa. Kerajaan yang sedia ada ketika itu berjaya bertahan hingga ke pilihanraya umum ke-12 yang telah berlangsung pada 8 Mac 2008. Dalam pilihanraya berkenaan, kerajaan PAS dan PKR berjaya meraih 39 kerusi daripada 45 kerusi. Manakala BN/UMNO pula berjaya mempertahankan 6 kerusi sahaja. Pada hujung tahun lepas, apabila Galas terlepas, kedudukan kerusi di DUN memperlihatkan sedikit perubahan. Demikianlah serba ringkas senario politik di Kelantan.

Oleh itu, pada perkiraan saya, sebahagian besar rakyat Kelantan tidak akan memperjudikan kepimpinan seorang tuan guru seperti Tuan Guru Haji Nik Aziz semata-mata hanya untuk mendapatkan sebuah stadium yang baru. Sepatutnya, apa yang sewajibnya dilakukan oleh BN/UMNO jika benar-benar ingin merampas Kelantan daripada PAS khususnya pada masa ini ialah, mereka harus berkemampuan untuk mengenengahkan seorang pemimpin yang lebih hebat, lebih warak, lebih tawadhuk, lebih sederhana, lebih alim dan kalau boleh biarlah lebih serba-serbi daripada ketokohan Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz. Boleh ke???

Sebenarnya, hakikat ini amat disedari oleh ahli politik veteran seperti Datuk Seri Mohd Najib. Maklumlah beliau telah pun tercebur dalam dunia politik sekitar 35 tahun lamanya. Beliau juga amat sedar, jangankan sebuah stadium baru, kalau seluruh Bukit Marak menjadi emas pun, belum tahu lagi sebahagian besar orang Kelantan akan beralih kepada BN/UMNO, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Anggaplah saya sekadar penganalisis politik berstatus ikan bilis sahaja.

Pembetulan (6 Julai 2011; 11.30 PM):
Pada 12 Jun lalu, pasukan bola sepak Kelantan telah menjadi naib juara dalam merebut piala FA apabila ditewaskan oleh pasukan Terengganu 2-1.

Friday, July 1, 2011

Intipati Khutbah Jumaat Hari Ini

Seperti biasa, tengah hari Jumaat tadi, saya telah bersolat Jumaat di sebuah masjid yang letaknya tengah-tengah di antara sekolah tempat saya bertugas dengan rumah tempat tinggal saya. Sebenarnya, saya telah pun mula solat Jumaat di masjid ini sejak dekad 80-an lagi, iaitu sewaktu saya masih di peringkat sekolah menengah lagi.

Apa yang mendapat perhatian saya tatkala menunaikan solat Jumaat hari ini ialah isi khutbah yang telah disampaikan oleh khatib. Antara lain, khatib telah berkhutbah mengenai perhimpunan Bersih dan Adil yang bakal dianjurkan pada 9 Julai nanti. Selain itu, khatib telah memberitahu sidang Jumaat bahawa berhimpun sehingga boleh merosakkan harta benda awam hukumnya haram. Khatib juga turut menyisipkan beberapa hadith sebagai menyokong hukum tersebut. Selain itu, khatib juga turut mengenengahkan kesan-kesan daripada perhimpunan dan demonstrasi haram yang bakal dianjurkan. Nampaknya isu perhimpunan bersih dan adil sudah masuk dan hinggap ke mimbar masjid. Perhimpunan bersih dan adil yang bakal dianjurkan sudah mula dilihat dari kaca mata agama (Islam). Hukum haram mengenainya sudah mula kedengaran.

Pada pemerhatian saya, sidang Jumaat yang hadir tenang sahaja, sama ada semasa khutbah ataupun selepas selesai solat Jumaat. Pihak-pihak tertentu memang mengharapkan ketenangan seperti ini. Ia boleh ditafsirkan sebagai sidang yang hadir akur dengan apa yang disampaikan oleh khatib dalam khutbahnya. Bukankah keakuran sebegini yang amat diharapkan?

Sewaktu bertemu dengan seorang rakan di satu lokasi iaitu setelah selesai solat Jumaat, rakan berkenaan memberitahu mengenai isi khutbah yang telah disampaikan di masjid tempat beliau mengerjakan solat Jumaat tadi. Isinya sama sahaja dengan isi khutbah yang telah saya dengar. Agaknya, isi khutbah hari ini di seluruh Kuala Lumpur serupa sahaja. Kata rakansaya itu lagi, di masjid tempat beliau mengerjakan solat Jumaat tadi ada jemaah yang bertakbir selepas solat Jumaat. Ia mungkin respon daripada isi khutbah yang telahdisampaikan.

Di sini, saya ingin mencadangkan agar apabila hampir pilihanraya umum nanti, para khatib di seluruh negara patutlah menyampaikan khutbah mengenai kewajipan melaksanakan pilihanraya yang bersih, adil dan telus serta hukum jika menipu dalam pilihanraya. Khatib juga disarankan menerangkan mengenai kesan-kesan jangka panjang yang bakal ditanggung oleh rakyat dan negara jika sesuatu pilihanraya itu dicemari dengan pelbagai anasir yang tidak sihat.

Ramai orang tidak menyedari, apa yang berlaku hari ini adalah kesan daripada apa yang telah dilakukan pada masa lalu.