Friday, September 30, 2011

Rosiah Kamaruddin Kembali Ke Rahmatullah

Pada hari ini, 30 September 2011 (2 Zulqaidah 1432), Pn. Rosiah Kamaruddin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Menurut maklumat yang saya terima, Allahyarhamha menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 5 pagi tadi. Suami Allahyarhamha, Saudara Ahmad Shaha turut menelefon saya dan memaklumkan kepada saya mengenai berita sedih tersebut dengan suara yang terketar-ketar.

Kepada Saudara Ahmad Shaha, bersabar dan tabahlah dalam menghadapi ujian Allah ini. Kita semua juga akan menyusuli isteri anda pada masa yang telah ditentukan.

Kepada rakan dan taulan Allahyarhamha serta kepada para pengunjung blog ini, marilah kita bersama-sama mendoakan semoga roh Allahyarhamha akan berada dalam rahmat Allah dan akan ditempatkan bersama-sama golongan yang solihin, insha-Allah.

Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Dia juga kita akan kembali.

Alfatihah ....

Tuesday, September 27, 2011

Cerita Seorang Rakan Mengenai Pencurian Soft Copy Alquran Braille

Sekitar jam 4.00 petang semalam, saya telah selamat checked in di sebuah hotel yang terletak di Jitra, Kedah. Kehadiran saya di sini adalah untuk menghadiri satu mesyuarat anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekitar jam 5.45 petang semalam, oleh kerana ada sedikit ruang waktu, saya pun on skype. Lagi pun sudah agak lama saya tidak bersembang atau chatting dengan rakan-rakan menerusi skype.

Antara yang turut sama on skype ketika itu ialah seorang rakan yang juga sudah agak lama saya tidak mendengar khabar mengenai beliau. Setelah berfikir sejenak, lalu saya menyapa beliau menerusi ruangan chatting. Beliau menjawab, lalu kami pun chatting. Mulanya sembangan kami hanya sekadar bertanya khabar sahaja. Kemudian mengenai aktiviti masing-masing secara ringkas.

Tanpa saya duga, rakan saya itu melontarkan pula pertanyaan mengenai projek E-Braille quran. Lontaran soalan daripada beliau mengenai hal tersebut tidak saya sangka kerana selama ini pun rakan saya itu tidak menunjukkan sebarang tanda yang beliau berminat dengan perkembangan penyelidikan E-Braille Quran. Setelah mendapat jawapan daripada saya, beliau bertanya pula mengenai perkembangan soft copy Alquran Braille PERTIS yang telah dicuri. Saya kian berada di luar sangkaan.

Untuk pengetahuan bersama, nama rakan saya itu merupakan antara tiga nama yang telah disebut oleh hamba Allah si pencuri soft copy Alquran Braille dalam satu pertemuan di parlimen pada 22 Disember 2010 yang lalu. Dua lagi nama pernah saya ketengahkan dalam tulisan saya menerusi blog ini pada posting bertarikh 25 Disember 2010 yang lalu. Saya tidak mengenengahkan nama rakan yang ini kerana pada masa yang sama saya turut terdengar kononnya rakan saya yang ini turut terlibat dalam konspirasi pencurian soft copy Alquran Braille daripada komputer PERTIS. Bahkan ada seorang rakan yang lain ada menyampaikan kepada saya dengan katanya, “Mungkin si ******************* telah membantu hamba Allah si pencuri berkenaan menyedut soft copy Alquran Braille daripada komputer PERTIS”. Walaupun masih ada keraguan dalam hati saya mengenai penglibatan rakan saya yang ini dengan perkara tersebut, tetapi saya tidak begitu berminat untuk menyelidikinya dengan lebih jauh lagi. Bagi saya, apa yang benar itu akan terserlah jua. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya sama ada cepat atau pun lambat.

Rakan saya berkenaan bertanya mengenai perkembangan tindakan saya/PERTIS terhadap pencurian berkenaan. Saya mengatakan, saya amat dan sangat yakin dengan firman Allah sebagaimana pada ayat 9 surah Al-Hijri. Walaupun ia Cuma Alquran Braille, tetapi Allah tetap akan memeliharanya. Sang pencuri tidak akan dapat menikmati kesenangan hidup, apatah lagi keberkatan daripada hasil curiannya, sementelahan lagi kalau yang dicurinya itu ialah Alquran, walaupun ia Cuma Alquran Braille.

Beliau turut memberitahu saya, beberapa bulan lalu, agen kepada si hamba Allah pencuri berkenaan ada menghubunginya dan menawarkan supaya beliau menjadi penyemak kepada Alquran Braille curian tersebut. Walau bagaimanapun, rakan saya yang ini telah menolaknya.

Cerita yang sama turut dimaklumkan kepada saya oleh seorang lagi rakan yang kini menetap di Kelantan dalam satu perbualan telefon pada 16 September lalu (Jumaat). Beliau juga turut dihubungi oleh agen yang sama untuk tujuan yang serupa. Bahkan rakan berkenaan turut memaklumkan kepada saya jumlah yang akan dibayar kepada beliau jika bersetuju untuk menyemak alquran Braille curian tersebut. Alhamdulillah kerana rakan yang berkenaan juga turut menolak tawaran busuk berkenaan.

Saya tidak pasti sama ada masih adakah manusia yang tergamak untuk menjadi penyemak kepada Alquran Braille curian berkenaan. Namun begitu, apa yang saya pasti si hamba Allah pencuri itu belum merasa puas dan malu dengan apa yang telah mereka curi.

Berbalik kepada cerita rakan saya semalam, katanya lagi, sejak beliau mengetahui perbuatan si hamba Allah pencuri itu, beliau mula menjauhkan dirinya. Seterusnya kata beliau, sekarang pun dia sudah jarang datang ke pejabat si hamba Allah pencuri soft copy Alquran Braille tersebut. Selanjutnya, beliau berkata, si hamba Allah pencuri itu memang pandai mengambil kesempatan dengan sedikit kebolehan yang ada kepadanya. Berdasarkan apa yang telah diluahkan kepada saya petang semalam dan bila saya imbas kembali apa yang pernah diucapkan oleh si hamba Allah pencuri itu pada 22 Disember 2010 lalu, semakin terserlah pembohongan si pencuri tersebut. Demikianlah.

Kepada rakan berkenaan, setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan di atas kesudian untuk berkongsi maklumat dengan saya. Saya yakin anda ikhlas dengan apa yang telah anda kongsikan dengan saya.

Ada juga dalam kalangan rakan-rakan yang bertanya, mengapa saya tidak dedahkan sahaja nama si hamba Allah pencuri itu? Sebenarnya, saya penuh yakin dalam kalangan sebahagian daripada mereka yang cacat penglihatan sudah mengetahui siapa si hamba Allah pencuri soft copy Alquran Braille itu. Walau bagaimanapun, dalam kalangan masyarakat biasa (yang berpenglihatan), si hamba Allah pencuri berkenaan masih dianggap seorang yang baik, berjasa khususnya kepada golongan yang senasib dengannya, dan macam-macam lagi. Apatah lagi pada pangkal namanya sudah ada gelaran tertentu.

Seperti yang telah saya katakan, apa yang benar itu akan terserlah jua. Hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada lambat atau cepat. Biarlah beliau dan agennya buat apa sahaja terhadap soft copy curian berkenaan. Saya penuh yakin, jika mereka tidak bertaubat dan kembali ke awal jalan, balasan daripada pemilik kitab suci itu akan tiba jua menimpa mereka.

Salam dari Jitra, Kedah.

Monday, September 26, 2011

Berita Petang

Mari Kita Sama-sama Bantu Ahmad Shaha

Sekitar jam 7.04 malam semalam, Saudara Ahmad Shaha ada menelefon saya. Beliau memaklumkan mengenai keadaan mutakhir isterinya, Rosiah. Kata Shaha, keadaan isterinya masih tidak berubah, koma seperti sebelumnya. Sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan bebannya, saya menawarkan untuk membantu beliau menerusi blog ini. Saya telah meminta beliau supaya SMS nombor akaunnya. Alhamdulillah, sebentar tadi baru beliau menghantar nombor akaunnya menerusi SMS kepada saya.

Ahmad Shaha sendiri berada dalam keadaan yang tidak sihat iaitu selepas diserang angin ahmar ringan (kalau tak silap saya). Sebab itu, bila saya dengar beliau bercakap, ia tidak selancar seperti dahulu. Beliau juga kini tidak lagi bekerja. Sebelum ini beliau merupakan seorang kakitangan di salah sebuah bank di Kuala Lumpur. Pada hujung tahun lepas (kalau saya tidak silap) beliau telah bersara gara-gara kesihatannya yang kian tidak memuaskan.

Kini beliau umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Isterinya yang selama ini sudah pun uzur kini dalam keadaan koma pula. Sudah tentulah dalam keadaan seperti ini, beliau amat mengharapkan sokongan daripada kita selaku rakan dan taulannya. Kini Rosiah masih di rawat di Hospital Manjong, Perak.

Sebagai salah satu usaha yang boleh sama-sama kita lakukan, maka di sini saya sertakan nombor akaun beliau jika ada mana-mana pihak ingin membantu dalam bentuk kewangan. Saudara Ahmad Shaha mungkin tidak mengharapkan yang terbanyak, memadailah jika ada sedikit sumbangan ikhlas daripada kita semua. Akaun Saudara Ahmad Shaha adalah seperti berikut: Ahmad Shaha bin Mohd Hanafiah Maybank Alwadiah 164043-000057.

Sekiranya kita tidak berkesempatan untuk ke bank, satu lagi kaedah yang boleh diusahakan ialah dengan menghubungi Pn. Arilzoh binti Mokhtar, Pengerusi Biro Kebajikan Dan Khidmat Komuniti PERTIS di talian tangannya, 013-3929280 untuk menghulurkan sumbangan.

Sesungguhnya tangan yang memberi itu adalah lebih baik. Dalam harta kita, ada hak mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk zakat ataupun sedekah.

Saya bagi pihak Saudara Ahmad Shaha juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka yang telah dan akan membantu dalam apa jua bentuk. walaupun sumbangan yang kita hulurkan mungkinsedikit, tetapi ia mungkin mempunyai erti yang cukup besar dan bermakna kepada Saudara Ahmad Shaha.

Shaha turut terharu bila saya maklumkan kepadanya bahawa MSO turut sama mendoakan agar isterinya cepat sembuh.

Salam dari Jitra, Kedah.

Saturday, September 24, 2011

Aktiviti Sabtu

Siang tadi, jadual saya agak padat. Justeru, saya terpaksa menolak beberapa acara dan jemputan yang telah ditetapkan untuk saya. Antaranya, saya sepatutnya ke majlis sambutan hari raya anjuran PERTIS Pahang. Oleh kerana saya tidak dapat menghadirinya, saya telah meminta pertolongan AJK Pusat PERTIS yang lain untuk menggantikan saya. Walaupun saya telah dimaklumkan akan ada habuan bagi sesiapa yang hadir ke majlis tersebut, saya tetap dengan pendirian saya iaitu saya menghadiri satu-satu majlis bukan kerana habuan, wang atau seumpamanya. Berbeza dengan sesetengah orang, kononnya sudah menyatakan putus hubungan dengan PERTIS, tapi bila dengar ada habuan menanti dalam satu-satu aktiviti, tanpa malu dan silu berpergian untuk hadir. Di mana hilangnya sifat keikhlasan? Sikap dan sifat seperti ini tak ubah bagai lalat dan langau yang akan mengurung apa sahaja asalkan puas dan kenyang!



Sekitar jam 7.30 pagi, saya telah tiba di ibu pejabat PERTIS. Hari ini diadakan kursus dan latihan penggunaan panel E-Braille di sini. Ia dikendalikan oleh para pensyarah dan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.





Golongan sasar untuk aktiviti kali ini ialah para ahli PERTIS sendiri. Kursus ini dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu mengenai penggunaak panel E-Braille, software dan juga pengendalian secara mode kluster.







Sekitar 15 peserta telah hadir dalam kursus ini. Mereka yang hadir pula terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Antara yang hadir termasuklahlah Cikgu Mohd Jais, Rokiah Nawi, Muner, Abdul Aziz Yusuf, Bakar Asmuni dan lain-lain lagi.



Antara tujuan kursus ini ialah untuk memberikan pendedahan dan kemahiran kepada ahli-ahli PERTIS mengenai penggunaan dan pengendalian panel
E-Braille. Ia dirasakan perlu kerana apabila panel E-Braille tersebut diserahkan kepada PERTIS sepenuhnya nanti, ia boleh diguna dan diurus sendiri oleh ahli-ahli PERTIS. Penyerahan panel E-Braille itu pula akan dibuat dalam masa yang terdekat.



Menurut Prof. Madya Shafiek yang turut hadir, beliau merasa begitu seronok dengan respon dan minat tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta kursus yang hadir. Katanya lagi, semangat yang ditunjukkan oleh para peserta turut membakar semangatnya pula untuk melakukan yang terbaik. Sementara itu, Dr. Zarhamdy turut memaklumkan kepada saya, satu lagi kursus susulan khusus mengenai penggunaan software akan dirancang khusus untuk para peserta yang hadir hari ini. Ia memandangkan masa yang diperuntukkan pada hari ini tidak memadai. Saya akur sahaja.



Kepada para peserta, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Kehadiran anda semua amat memberi erti dan semangat bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada pasukan penyelidik yang hadir. Walaupun anda semua faham, dari segi material anda tidak dapat apa-apa pun. Bahkan tambang pergi dan balik untuk menghadiri kursus ini anda sendiri yang mengeluarkannya, tetapi oleh kerana anda semua sangat cintakan ilmu dan disertai pula dengan sifat keikhlasan tinggi yang ada pada anda, justeru anda semua tetap hadir dalam kursus seumpama ini dengan semangat yang tinggi. Terima kasih saya ucapkan.



Sekitar jam 1.10 tengah hari, saya terpaksa meninggalkan lokasi kursus. Hal ini telah pun saya maklumkan kepada Prof. Madya Dr. Shafiek, Dr. Zarhamdy dan juga En. Rahman selaku pensyarah daripada UTM yang hadir. Saya juga telah meminta pertolongan daripada En. Zamzuri untuk menggantikan saya selaku pemantau bagi pihak PERTIS untuk kursus ini dan beliau telah pun menjalankan tugasnya dengan baik sehingga kursus berakhir. Saya telah dimaklumkan oleh En. Zamzuri kemudiannya, kursus telah berakhir sekitar jam 3.00 petang. Ini bermakna saya telah meninggalkan lokasi kursus sekitar sejam sahaja mengikut waktu berkursus. Dengan erti kata lain, kursus berkenaan telah berjalan bukan tanpa pemantauan daripada mana-mana AJK Pusat PERTIS. Jadi, kepada individu gatal mulut yang telah melontarkan komen beremosi terhadap perkara berkenaan, harap hentikanlah. Jangan sangka mulut anda seorang sahaja yang pedas dan berbisa!!!







Setelah solat zohor, saya sekeluarga pun ke rumah MSO yang letaknya beberapa Km sahaja daripada rumah saya. Malam tadi, MSO telah mengundang saya ke rumahnya hari ini. Walaupun undangan berkenaan sekadar menerusi SMS, tetapi berdasarkan kandungan SMS berkenaan, undangan tersebut ditujukan khusus untuk saya sekeluarga. Untuk memastikan saya akan hadir, MSO turut “mengumpan” saya dengan nasi dagang. Sudah tentulah saya tidak akan melepaskan peluang tersebut. Kebetulan, kali pertama saya ke rumah beliau ialah pada 24 Julai lalu, dan hari ini (24 September) sekali lagi saya dijemput ke rumahnya.



Sewaktu saya sekeluarga tiba, sudah ada beberapa orang tetamu di rumah MSO. Antara tetamunya ketika itu termasuklah En. Lan, seorang penyair OKU. Maaf kerana foto beliau tidak sempat diambil. Kisah En. Lan pernah termuat dalam blog MSO.





Selain itu, terdapat juga tetamu lain yang rata-rata merupakan rakan-rakan facebook MSO dan juga kakitangan pejabatnya.



Seperti yang telah dinyatakan dalam SMS beliau, nasi dagang yang lazat itu sudah tersedia. MSO turut menghidangkan kepada saya kepala ikan sekali. Sebagaimana biasa juga, saya memang tidak lepaskan peluang depan mata untuk menikmati nasi dagang yang sememangnya lazat.



Selesai makan, saya, MSO serta beberapa orang tetamunya sempat bersembang mengenai isu semasa, khususnya mengenai isu sejarah yang kini sudah mula menghiasi kamar mahkamah. Kami bukan bersembang mengenai isu yang sedang dibawa ke mahkamah secara langsung dan terperinci, tetapi perbualan kami lebih kepada isu sejarah itu sendiri. Pada masa yang sama, MSO tidak putus-putus memperkenalkan saya kepada para tetamunya. Sedikit sebanyak saya dapat memahami tujuan MSO memperkenalkan saya kepada para tetamunya. Ia lebih bertujuan untuk memperkenalkan blogger OKU seperti saya ke tengah masyarakat. Bila pengunjung melayari blog ini, mereka juga berkesempatan untuk turut sama melayari blog-blog OKU penglihatan yang lain sebagaimana senarai pautannya di hujung blog ini. Demikianlah halusnya cara MSO berperanan untuk memartabatkan blogger dalam kalangan OKU cacat penglihatan. Terima kasih En. Sayuti!

Dari rumah MSO, saya sekeluarga bergegas pula ke rumah Shukor, seorang lagi sahabat karib saya. Saya telah mengenali Shukor (Datuk Haji Abdul Shukor Ahmad) sejak hampir 20 tahun yang lalu. Sewaktu itu beliau masih lagi di peringkat pengajian ijazah pertama dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM). Kini beliau merupakan antara peguam yang berjaya. Selama ini pun, beliau merupakan sahabat yang sering saya rujuk bila saya menghadapi masalah mengenai undang-undang. Ini termasuklah ura-ura pihak tertentu yang kononnya ingin menyaman saya pada tahun lepas.



Selain itu, seorang lagi sahabat karib saya, Kamal (Dr. Ahmad Kamal Arifin) juga sudah hampir 2 jam menanti saya di rumah Shukor. Pertemuan kami bertiga sememangnya amat saya nantikan.

Oleh kerana jalan yang agak sesak, sekitar jam 4.30 baru saya tiba di rumah Shukor di Bangi. Turut sama ialah Prof. Halim seorang pensyarah fizik dari UPM yang juga merupakan jiran terhampir Shukor. . Kami berbual memang rancak dan mesra. Setibanya saya di rumah Shukor, dengan tidak sabar lagi, saya terus mengajukan beberapa soalan kepada Kamal. Soalan-soalan saya adalah berkisar mengenai isu yang ada kaitannya dengan sejarah yang masih lagi hangat masa kini. Kata Kamal. Semalam baru sahaja dianjurkan satu wacana mengenai hal yang sama di Dewan Kuliah F (DK F), di UM. Banyak juga info dan input yang dapat saya perolehi daripada penerangan Kamal. Maklumlah sejarah pentadbiran negara merupakan antara kandungan dalam tesis phD beliau. Justeru tidak hairanlah penerangan, info dan input beliau lancar dan licin macam air saja.



Antara maklumat lanjut yang saya perolehi ialah apa yang dikatakan sebagai negeri-negeri naungan. Kamal memberikan fakta dan perincian mengapa negeri-negeri berkenaan dikatakan sebagai negeri naungan. Menurut Kamal lagi, seorang pegawai tadbir British sendiri ada mengakui bahawa apa yang dilakukan oleh British di Negeri-negeri Melayu Bersekutu adalah salah di sisi undang-undang. Apa nak buat, perkara sudah berlaku dan sudah berlalu. Selain itu, Kamal juga turut memberi sedikit sebanyak info mengenai Mat Indera. Apa yang bagusnya maklumat daripada Kamal ialah ia tidak dipengaruhi oleh aliran politik. Info beliau adalah berdasarkan kajian akademik semata-mata.



Sekitar jam 6.30 baru saya serta Kamal meninggalkan rumah Shukor. Kebetulan pula, ibu mertua serta abang ipar saya sudah pun tiba di rumah saya. Jadi, saya sekeluarga terpaksa bergegas pulang.

Kepada MSO, terima kasih sekali lagi saya ucapkan. Kepada Shukor, juga terima kasih banyak-banyak saya ucapkan. Walaupun anda seorang yang berpenglihatan dan kini seorang yang berjaya dalam profesion yang anda ceburi, namun keikhlasan anda untuk bersahabat dengan orang seperti saya amat saya kagumi. Kepada Kamal. Juga terima kasih saya ucapkan. Input dan info yang dikongsikan amat berguna untuk saya memahami secara lebih adil mengenai isu yang sedang berbangkit. Demikianlah pentingnya sejarah. Kepada rakan-rakan lain yang mana saya tidak sempat ke rumah kalian, saya mohon berbanyak-banyak maaf. Lain kali indanglah kami lagi.

Thursday, September 22, 2011

Berita Malam

Rosiah Tenat

Sekitar jam 7 malam sebentar tadi, saya menerima panggilan telefon daripada Saudara Ahmad Shaha bin Mohd Hanafiah. Oleh kerana saya sedang ada urusan lain ketika itu, panggilan beliau dijawab oleh isteri saya. Saya dimaklumkan kemudiannya, isteri beliau sedang berada dalam keadaan tenat pada masa ini. Khabar tersebut telah disahkan oleh beberapa orang rakan yang turut menghubungi saya kemudiannya. Saya cuba menghubungi semula Saudara Ahmad Shaha beberapa kali namun gagal.

Isteri Saudara Ahmad Shaha, Pn. Rosiah Kamaruddin. Sudah berbelas tahun sakit. Saya sendiri tak pasti penyakit yang dihidapi beliau. Untuk pengetahuan kita bersama, Pn. Rosiah juga merupakan Ahli Seumur Hidup Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Kalau tak silap saya, pada masa ini Rosiah sedang dirawat di Hospital Manjong, Perak.

Semoga Saudara Ahmad Shaha tabah dan sentiasa bersabar dalam menghadapi ujian daripada Allah. Saya memahami bahawa ujian yang sedang beliau hadapi memang getir dan memerlukan sokongan padu daripada kita selaku sahabat dan rakan lamanya. Untuk maklumat bersama, Saudara Ahmad Shaha juga berada dalam keadaan yang tidak sihat pada masa ini.

Marilah kita bersama-sama berdoa semoga Pn. Rosiah akan sembuh dengan cepat. Sesungguhnya daripada Allah kita datang, maka kepada Allah juga kita kembali.

Wednesday, September 21, 2011

Menghadiri Forum OKU Mapan Anjuran PERTIS Dengan Kerjasama BPPKI-JAWI



Pagi tadi, saya telah berkesempatan menghadiri forum OKU Mapan. Forum berkenaan telah dianjurkan oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan kerjasama erat daripada Bahagian Perkahwinan Dan Pembangunan Keluarga Islam (BPPKI), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Forum berkenaan telah dilaksanakan di dewan utama, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Forum ini hanya terbuka untuk ahli-ahli PERTIS sahaja. Seramai 150 peserta telah menghadiri forum berkenaan. Demikian saya dimaklumkan.









Forum berkenaan telah dimoderatorkan oleh Ustaz Abdullah Hasyim dari JAWI. Manakala ahli penalnya pula terdiri daripada Ustaz Mohd Kalam Mazad Abdul Rahman dan Ustaz Saadi Awang. Kedua-duanya merupakan penolong pengarah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Untuk pengetahuan bersama, UstazMohd Kalam Mazad merupakan seorang yang cacat penglihatan. Manakala Ustaz Saadi pula seorang yang cacat pada kakinya. Tajuk forum ialah “Kekurangan Satu Hikmah”.



Antara soalan daripada moderator yang mendapat perhatian ialah mengenai aktiviti sesetengah golongan cacat penglihatan yang meminta sedekah. Persoalan ini telah dijawab oleh Ustaz Mohd Kalam Mazad. Antara lain beliau mengatakan, hanya orang yang malas gemar melakukan aktiviti tersebut. Selain itu, menurut beliau, aktiviti berkenaan telah menyebabkan ada pihak lain telah mengambil kesempatan dengan memperalatkan golongan cacat penglihatan bagi kepentingan (kewangan) mereka. Bagi Ustaz Kalam, golongan cacat penglihatan harus merebut semua peluang yang disediakan terutamanya oleh badan-badan bukan kerajaan seperti MAB untuk menimba pelbagai kemahiran.



Sebenarnya, dalam kalangan golongan cacat penglihatan, aktiviti meminta sedekah merupakan isu hangat. Saya sendiri pernah ditanya oleh pihak media mengenai isu ini. Mungkin jawapan yang saya ketengahkan tidak secocok dengan apa yang diharapkan, maka sebab itulah jawapan yang telah saya berikan tidak disiarkan. Saya juga memang berhasrat untuk mengenengahkan isu ini menerusi blog ini tetapi bukan pada masa ini.



Selanjutnya, Ustaz Saadi pula antara lain mengupas maksud ayat 1 hingga 4 dari surah Abasa. Kata beliau, ayat-ayat berkenaan memang ada kaitan langsung dengan golongan cacat penglihatan. Ia ekoran daripada peristiwa Nabi Muhammad S.A.W. enggan melayan pertanyaan daripada Abdullah bin Umi Maktum (seorang yang cacat penglihatan) kerana ingin memberi lebih tumpuan kepada golongan pemuka Quraisy. Cara Nabi itu telah mendapat teguran daripada Allah apabila turunnya ayat sebagaimana di atas. Demikianlah antara yang telah disampaikan oleh Ustaz Saadi.



Selanjutnya, Ustaz Kalam Mazad turut berkongsi kisah mengenai seorang sahabat Nabi dalam kalangan Ansar yangbernama Amru bin Jamuh. Katanya, Amru seorang yang tempang dan jalan pun terlompat-lompat. Pada mulanya beliau sangat sayangkan berhala yang ada di rumahnya. Walau bagaimanapun, dengan perancangan daripada anaknya yang telah pun lebih dahulu memeluk Islam (Saad bin Amru) serta sindiran daripada beberapa pemuka Madinah ketika itu, Akhirnya Amru bin Jamuh telah memeluk Islam. Semasa Perang Badar, beliau ingin turut serta tetapi ditegah oleh Rasulullah lantaran kecacatannya. Walau bagaimanapun, beliau telah menyertai Perang Uhud dan akhirnya telah syahid dalam peperangan tersebut.



Bagi saya, secara keseluruhannya forum berkenaan telah banyak memberikan imput berguna kepada para peserta. Ia juga telah mengenengahkan keupayaan golongan yang cacat untuk berperanan selaku penalis dalam satu-satu forum.





Forum berkenaan telah dirasmikan oleh Tuan Haji Omar Said, Timbalan Pengarah Operasi JAWI. Antara pegawai JAWI yang turut hadir termasuklah Datin RaJa Darul Ehsan binti Raja Arifin, Ketua Penolong Pengarah Kanan BPPKI, Ustaz Zainal Abidin Sulaiman, Penolong Pengarah BPPKI, Ustaz Mohd Khori Jusuh, Penolong Pengarah BPPKI serta beberapa orang pegawai daripada JAWI.



Manakala antara AJK Pusat PERTIS yang turut sama hadir termasuklah Muhammad Nasir Yusof (NYDP PERTIS), Abu Hassan Ashari Razak (SU PERTIS) serta Sariyah Nordin (AJK Pusat Biasa PERTIS).



Kepada seluruh barisan AJK pelaksana dan urustia, saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas kegigihan dan kerjasama ke arah menjayakan majlis pagi tadi. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada pihak JAWI yang sentiasa memberikan kerjasama terhadap apa jua aktiviti anjuran PERTIS. Ustaz Omar dan juga Datin Raja Darul Ehsan turut memberi jaminan kepada saya untuk meneruskan kerjasama serta hubungan yang telah sedia terjalin antara JAWI dan PERTIS.







Majlis berkenaan telah diakhiri dengan jamuan tengah hari.

Tuesday, September 20, 2011

Tak Perlu Sabotaj Mad Sabu

Sejak disebarkan isi ucapan Mad Sabu di Pulau Pinang oleh salah sebuah akhbar arus perdana negara pada akhir Ogos lalu, beliau (Mad Sabu) telah menerima pelbagai ugutan dalam pelbagai bentuk. Yang terakhir ialah apabila rumahnya di Shah Alam dilontar dengan bom petrol. Sebelum itu, khabarnya Mad Sabu juga turut menerima ugutan oleh individu tidak dikenali yang kononnya ingin menyimbah asid pada anak perempuan dan isteri beliau.

Apa yang menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian orang ialah mengenai tafsiran sejarah yang cuba diketengahkan oleh Mad Sabu sebagaimana yang terkandung dalam ucapan kontroversinya mengenai tragedi Bukit Kepong. Bagi Mad Sabu, pasukan polis yang mempertahankan rumah pasung Bukit Kepong ketika itu dianggap sebagai “polis British”. Manakala Mat Indera dan pihak penyerang dalam tragedi tersebut dianggap pejuang dan hero sebenar. Demikian antara isi ucapan Mad Sabu.

Di sini, saya tidak berhasrat untuk mengulas lanjut mengenai apa yang telah diucapkan oleh Mad Sabu. Saya ada pandangan tersendiri mengenai isu sejarah yang telah dikemukakan oleh beliau. Pandangan saya adalah berlandaskan pengetahuan sejarah yang saya ada. Sesetengah daripada pandangan saya telah pun saya perturunkan menerusi blog ini.



Kita harus faham, apa yang diperkatakan oleh Mad Sabu adalah tafsiran sejarah berdasarkan pandangan dari kaca mata beliau semata-mata. Semua orang boleh memberikan apa jua pandangan dan tafsiran sejarah mengikut kaca mata masing-masing berdasarkan pengetahuan sejarah yang ada. Jadi, apa yang sedang berlaku ialah Mad Sabu telah mengemukakan pandangan dan tafsiran sejarah yang berbeza. Maknanya berlaku perselisihan pendapat dan perbezaan tafsiran sejarah khususnya mengenai tragedi Bukit Kepong.

Selepas pandangan Mad Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong dihebahkan, maka berduyun-duyunlah orang ramai mengutarakan pendapat dan pandangan masing-masing mengenai isu yang sama. Ada pendapat dan pandangan yang dikemukakan berlandaskan pengetahuan sejarah masing-masing. Banyak juga pendapat yang diutarakan berdasarkan aliran politik mereka yang memberikan pendapat. Bila ditanya lebih lanjut mengenai hujah dan bukti bagi menyokong pendapat yang diutarakan, ada yang menjawab, tanyalah kepada si fulan dan si anu (merujuk kepada idola politik masing-masing). Saya sendiri ada mengalami situasi sedemikian bila membincangkan isu ini dengan beberapa rakan.

Pada penelitian saya, perselisihan yang berlaku hanyalah hal yang berkaitan dengan fakta sejarah sahaja. Ia tidak langsung melibatkan pegangan akidah. Sekadar yang saya faham, Mad Sabu bukan mengatakan bahawa dia menyokong komunis. Beliau hanya mengatakan Mat Indera bukan komunis. Manakala bagi pihak yang tetap berpegang bahawa Mat Indera adalah komunis juga tidak salah selagi pendapat tersebut ada asasnya dan berfakta serta berbukti. Selain itu, Mad Sabu juga mengatakan pasukan polis yang mempertahankan Bukit Kepong adalah “polis British”. Sementara bagi pihak yang lain pula berpendapat pasukan polis berkenaan mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis. Dengan erti kata lain, ini merupakan sekadar perselisihan kecil sahaja dan sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara yang lebih berpertimbangan. Bagi saya, isu perselisihan tafsiran fakta sejarah tidak sebesar mana kalau hendak dibandingkan dengan isu mempermainkan akidah. Bagi saya, isu menolak atau menghalang atau yang seumpamanya terhadap hukum hudud umpamanya, adalah jauh lebih besar kerana ia melibatkan iman dan akidah.

Antara cara yang boleh digunakan untuk menyelesaikan isu ini ialah menerusi perbincangan ilmiah. Kedua-dua pihak yang sedang berselisihan boleh mengemukakan fakta, hujah serta bukti bagi menyokong pandangan dan pendapat masing-masing. Oleh kerana isu ini telah pun diperdanakan, maka perbincangan perdana (semacam forum perdana) boleh dianjurkan. Jadi, rakyat jelata boleh membuat penilaian sendiri selepas meneliti fakta, hujah serta bukti yang dikemukakaan oleh kedua-dua belah pihak. Malangnya, kedua-dua belah pihak semacam berdolak-dalih untuk bersemuka dalam suasana perbincangan ilmiah. Masing-masing lebih suka bercakap sendiri tanpa dihujah balas oleh pihak yang satu lagi secara berdepan. Agaknya inilah yang dikatakan syok sendiri!

Ada juga pihak yang mencadangkan supaya Mad Sabu dibuang di mana-mana. Pendapat sebegini juga saya rasakan kurang wajar. Daripada beliau dibuang di mana-mana, saya rasa lebih baik Mad Sabu disumbat di dewan kuliah mana-mana universiti supaya beliau boleh mengikuti kuliah mengenai sejarah negara. Kalau boleh, biarlah kuliah berkenaan dikendalikan sendiri oleh pensyarah dan profesor sejarah yang tersohor. Bukankah cara sebegini rasanya lebih wajar?

Bagi saya, adalah kurang tamadun bila kita mula menggunakan cara-cara kekerasan, keganasan atau sabotaj terhadap mereka yang tidak sehaluan, tidak sependapat dan tidak sealiran dengan pendapat atau pandangan kita. Dalam isu yang sedang melingkari Mad Sabu, jika sesuatu yang buruk terjadi ke atas batang tubuh beliau atau ahli keluarga beliau, isu yang timbul akan menjadi semakin kusut. Kita harus faham, Mad Sabu bukan keseorangan dalam mendokong pandangan dan tafsiran sejarah yang beliau kemukakan. Beliau turut mempunyai penyokong tegarnya yang tersendiri. Seorang rakan saya yang tinggal di Sentol merupakan salah seorang daripada mereka.

Pada saya, hanya golongan ekstremis sahaja yang suka melakukan cara-cara keganasan terhadap pihak yang tidak sealiran dengannya. Golongan sebegini suka memaksakan pandangan dan pendapatnya terhadap orang lain secara membuta-tuli. Pada masa yang sama, golongan ini akan mengambil sikap permusuhan terhadap mereka yang cuba mengenengahkan pandangan yang berbeza atau yang kontra. Golongan ekstremis ini juga tidak berkeupayaan untuk membuat pertimbangan wajar ketika menangani isu-isu yang melibatkan perselisihan pandangan atau pendapat. Sebab itulah golongan ekstremis ini akan memilih kaedah sabotaj bagi menterjemahkan rasa tidak puas hati terhadap lawan-lawan mereka.

Justeru, saya berpendapat, Mad Sabu tidak perlu disabotaj dengan apa cara sekali pun. Jika beliau disabotaj secara berterusan, maka semakin terserlah akan kewiraan Mad Sabu. Jika kewiraan Mad Sabu kian menjulang, saya bimbang, golongan ekstremis berkenaan akan semakin sakit mental dan sakit jiwa pula!

Sunday, September 18, 2011

Menghadiri Majlis Perkahwinan Anak YB ADUN Semantan

Semalam (17 September), saya sekeluarga telah berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak YB Adun Semantan. Pada awalnya saya teragak-agak untuk menghadiri majlis berkenaan. Maklumlah isteri saya baru beberapa hari keluar wad. Lagi pun, sehari sebelumnya (Jumaat) saya sekeluarga terpaksa menolak beberapa jemputan rumah terbuka lantaran kesihatan isteri saya yang belum benar-benar pulih. Ini termasuklah jemputan rakan lama saya di Shah Alam. Pertemuan dengan rakan lama yang ini memang amat saya nantikan kerana pada masa ini beliau merupakan salah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Tentunya pertemuan berkenaan akan membuka peluang kepada kami untuk berbicara lebih lanjut mengenai isu yang masih hangat yang ada kaitannya dengan fakta sejarah. Namun begitu, seorang lagi rakan kami akan mengaturkan satu pertemuan lain dalam masa terdekat. Mudah-mudahan ia akan dapat dilaksanakan, insha-Allah.

Berbalik kepada majlis perkahwinan anak YB ADUN Semantan, setelah saya berpuas hati dengan tahap kesihatan isteri saya (macam doktor pulak), akhirnya pada jam 12.00 tengah hari semalam saya sekeluarga telah bertolak ke majlis berkenaan di Gau, Temerloh. Alhamdulillah, perjalanan lancar sahaja. Isteri saya juga dapat memandu seperti biasa.



Sebenarnya, saya telah pun menerima undangan daripada YB ADUN Semantan untuk majlis semalam menerusi SMS beberapa minggu lalu. Ini dituruti dengan undangan menerusi kad pada minggu lepas iaitu semasa kami sekeluarga sedang berkampung di hospital. Lagi pun ada sebab lain yang lebih kuat mengapa kami harus menghadiri majlis berkenaan jika tiada keuzuran.



Sekitar jam 1.30 tengah hari, saya sekeluarga pun tiba di rumah YB ADUN Semantan. Berdasarkan pendengaran saya, tetamu masih ramai dan kemeriahannya memang terasa. Sebaik sahaja melihat kedatangan saya, YB berkenaan terus menyeru nama saya dengan agak kuat. Kami berpelukan. Demikianlah yang sering berlaku bila sahaja kami berdua bertemu.



Setelah bertanya khabar secara ringkas, beliau terus menarik saya untuk duduk di meja VIP. Saya pula yang kurang selesa berada di meja berkenaan. Kebetulan pula, kakak ipar saya yang turut sama hadir datang dan memberitahu saya bahawa umi (ibu mertua saya) belum menjamah makanan kerana ingin makan bersama saya dan isteri. Jadi, saya punya alasan yang kukuh untuk meminta diri daripada meja VIP.



Sambil makan, telinga saya tetap fokus kepada keadaan sekitar. Ada juga tetamu yang bercakap fasal politik tetapi topiknya tidaklah seberat mana. Lagi pun, mereka yang terlibat dalam percakapan berkenaan tidak saya kenali. Selain itu, telinga saya turut dapat menangkap percakapan beberapa orang bukan Melayu. Ini bermakna, majlis ini turut dihadiri oleh tetamu pelbagai kaum. Selain itu, ramai sanak saudara jauh dan dekat turut menghadiri majlis ini. Sebab itulah saya katakan, menurut penangkapan telinga saya, tetamunya ramai dan majlis ini sungguh meriah.



Sewaktu saya sedang berdiri iaitu setelah selesai makan, tiba-tiba saya ditegur oleh seseorang. “Kenal tak?” Setelah mengamati suaranya, akhirnya saya ingat dengan pasti, “Mehdhar kan?” Mehdhar memberitahu saya, adik lelaki beliau kini adalah menantu kepada YB ADUN Semantan.

Mehdhar (Syed Mehdhar) merupakan ketua pemuda UMNO Cheras dan juga naib ketua pemuda UMNO Wilayah Persekutuan. Kami telah pun mengenali antara satu sama lain sekitar 30 tahun. Kami mula mengenali antara satu sama lain ketika kami bersekolah di sekolah yang sama iaitu di St. John’s Institution, Kuala Lumpur. Bahkan saya dan Mehdhar pernah belajar dalam satu kelas yang sama ketika di tingkatan 4 dan 5. Walaupun beliau seorang yang berpenglihatan sedangkan saya tidak, namun ia sama sekali tidak pernah menjurangkan persahabatan antara kami.

Setelah tamat sekolah menengah, saya dan Mehdhar mula mencari haluan masing-masing. Pun demikian, hubungan kami tetap tidak putus. Walaupun kami agak jarang bertemu, namun kami tetap berhubung menerusi telefon atau SMS. Setidak-tidaknya bertanya khabar. Sebelum kami berpisah, saya sempat berbisik kepada Mehdhar: “Walaupun kau UMNO, akhirnya kau cari anak orang PAS juga sebagai adik ipar kau.” Kami sama-sama gelak kuat kemudiannya.



Biasalah, kalau bertemu rakan sepersekolahan memang tak cukup masa. Ada sahaja perkara dan topik yang ingin dibicarakan. Namun apakan daya, masing-masing ada majlis lain yang harus dihadiri selepas ini. Mehdhar melahirkan keinginannya untuk bertemu dan berbual lagi dengan saya.



Setelah sekitar 45 minit, akhirnya saya sekeluarga meminta diri. Sekali lagi, sebelum berpisah saya dan YB ADUN Semantan berpelukan. Seingat saya, kali pertama YB ADUN Semantan memeluk saya ialah pada hari pertama saya memperisterikan anak saudara sepupunya.

Pemansuhan ISA: Sekadar Coretan

Beberapa hari lepas, dalam ucapannya ke seluruh negara bersempena sambutan kemerdekaan negara ke-54 dan juga Hari Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah membuat pengumuman yang kemudiannya telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada segenap lapisan rakyat. Pengumuman yang dimaksudkan ialah mengenai pemansuhan atau pindaan beberapa akta yang sememangnya selama ini pun menjadi kontroversi dalam negara.

Antara intisari penting kandungan ucapan perdana menteri adalah seperti berikut:


  • Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA (1960);

  • Pemansuhan Akta Buang Negeri (1959);

  • dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah supaya ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara;

  • undang-undang baru ini juga akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah;

  • undang-undang berkaitan keganasan masih dikekalkan bawah kuasa Menteri;

  • mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik;

  • Kuasa untuk melanjutkan penahanan juga akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecuali undang-undang berkaitan keganasan;

  • Kajian semula secara komprehensif akan dilakukan ke atas Akta Kediaman Terhad (1933);

  • Kajian semula secara komprehensif juga akan dilakukan ke atas Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan (1984) di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan sebaliknya akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga ia dibatalkan;

  • mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan



Mungkin kerana menyampah sangat dengan ISA, maka saya telah mendengar banyak pengertian yang telah diberikan berhubung dengan akronim ISA oleh ramai orang. Antaranya ada yang mengatakan ISA sebagai Ikut Suka Aku, Ini Siksaan Awal, Insaf Sebelum Ajal, Ini Semua Auta, Ingin Selamat Akur, dan macam-macam lagi. Sepertimana yang saya katakan tadi, kreativiti tersebut timbul mungkin kerana golongan sedemikian sudah menyampah sangat dengan ISA. Namun begitu, bagi yang ada kuasa, anggap sahaja itu Cuma hiburan atau gurauan semata-mata.

Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA) telah diperkenalkan pada tahun 1960. Tujuan utamanya ketika itu ialah untuk menangani masalah yang berkaitan dengan gerakan komunisme serta kegiatan subversif. Ia juga dikatakan bertujuan untuk menangani masalah yang berpunca daripada golongan ekstrim dan pelampau. Justeru tidak hairanlah bilamana akta tersebut juga telah digunakan untuk menahan tokoh-tokoh tertentu yang dianggap pelampau dan boleh membawa ancaman kepada keselamatan negara. Demikianlah.

Antara reaksi spontan yang sempat saya jenguk termasuklah ramai yang gembira dengan pemansuhan ISA. Ada juga yang menganggap pemansuhan berkenaan adalah kerana terdesak. Ada juga yang berpendapat ia sebagai umpan kepada rakyat untuk pilihanraya umum yang akan datang. Ada juga yang menyatakan kegusaran masing-masing terhadap pemansuhan akta berkenaan. Ada juga yang berpendapat, yang sepatutnya dilakukan bukannya pemansuhan tetapi penambahbaikan. Ada juga yang masih enggan memberikan respon dengan alasan menanti undang-undang baru yang bakal menggantikan ISA. Ada juga yang minta maaf dengan perdana menteri kerana kononnya telah tersalah tanggap terhadap kemampuan Datuk Seri Najib. Betul ke Zaid?

Bila diimbas semula, sebenarnya tuntutan supaya ISA ini dimansuhkan bukanlah sesuatu yang baru. Sejak lama dahulu pelbagai pihak, khususnya parti-parti pembangkang telah mengusulkan bahkan mendesak agar kerajaan memansuhkan sahaja ISA. Namun demikian, sejak ia diperkenalkan sehinggalah tarikh 15 September lalu, tiada mana-mana perdana menteri yang bersetuju dan berani memansuhkan akta berkenaan. Bahkan sebuah badan khas yang bertujuan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan ISA turut ditubuhkan. Badan yang dimaksudkan ialah Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Nampaknya, bila termansuh sahaja ISA, GMI juga akan mansuh dengan sendirinya?

Jadi, bila Datuk Seri Najib bersetuju untuk memansuhkan ISA, maka langkah beliau bolehlah dianggap sebagai langkah yang berani. Tidak kiralah sama ada beliau didesak, terdesak atau sebagai umpan untuk pilihanraya, hakikatnya Datuk Seri Najib adalah perdana menteri yang telah memansuhkan undang-undang ISA. Dengan erti kata lain, belum sempat ISA dimansuhkan oleh tokoh atau parti siasah yang lain, Datuk Seri Najib telah memansuhkannya lebih dahulu. Ia akan menjadi fakta sejarah untuk tatapan anak cucu masa depan. Oleh itu, tolong jangan ubah fakta ini!

Saya juga bersetuju dengan pendapat agar kita tunggu dahulu bentuk undang-undang yang akan diperkenalkan bagi menggantikan ISA. Adakah undang-undang yang bakal diperkenalkan lebih baik atau lebih bersifat mengongkong daripada ISA. Kelak jangan dikatakan orang, keluar dari mulut harimau, masuk dalam mulut buaya!

Saya kurang bersetuju jika dikatakan pemansuhan ISA ini merupakan hadiah kepada rakyat Malaysia bersempena dengan sambutan kemerdekaan ke-54 dan juga Hari Malaysia. Ini adalah kerana undang-undang yang bakal menggantikan ISA belum lagi dikemukakan. Jadi apa yang baru diberikan kepada rakyat Malaysia ialah baunya sahaja. Baunya memang sedap semerba. Walau bagaimanapun, kita masih belum dibenarkan untuk menyentuhnya lagi, apatah lagi untuk merasainya. Walaupun baunya sedap dan semerbak, tetapi kita sebenarnya masih belum tahu sama ada ia benar-benar enak bila dijamah atau sebaliknya. Pun begitu, Datuk Zaid Ibrahim sudah awal-awal minta maaf kepada Datuk Seri Najib.

Seperkara yang terserlah di sini, bila pemimpin berstatus perdana menteri melakukan sesuatu seperti memansuhkan ISA, maka ramailah tokoh terutamanya dalam UMNO/BN yang memuji-muji langkah berkenaan. Kata mereka, ia adalah langkah yang berani, tepat, kena pada masanya, dan macam-macam lagi. Saya rasa, sekiranya Datuk Seri Najib ditakdirkan mengumumkan sebaliknya, umpamanya ISA akan dikekalkan, pujian dan dokongan yang mana nadanya serupa juga turut akan kedengaran. Tentunya golongan berkenaan akan mengatakan langkah tersebut baik, tepat, dan macam-macam lagi. Sifat seumpama ini masih sukar untuk dikikis daripada pemimpin kita. Sukar bagi mereka untuk memperkatakan sesuatu itu secara tulus, ikhlas dan berani. Bahkan, sifat dan sikap seumpama ini sudah lama berjangkit dalam sektor awam. Sebab itulah ada kumpulan boss yang menganggap mereka yang melontarkan kritikan sebagai menentang!

Salah seorang kerabat saya ada mengemukakan teorinya sendiri. Katanya, tujuan pemansuhan ISA ialah kerana Datuk Seri Mohd Najib dan UMNO/BN mungkin telah dapat menjangkakan bahawa dalam pilihanraya umum yangakandatang, mereka akan tewas. Ini bermakna kerajaan baru akan dibentuk. Jadi, pemansuhan ISA lebih bertujuan untuk mencegah bekas tokoh-tokoh politik kerajaan daripada disumbat dalam penjara mengikut ISA. Itu sekadar teori sahaja, tapi mungkin ada kebenarannya!

Apa-apa hal pun, kita masih menanti kesudahan episod pemansuhan ISA ini. Ia sebenarnya masih lagi belum berakhir. Akta yang bakal menggantikan ISA masih lagi di awang-awangan. Jadi, jangan keterlaluan bila memberikan respon atau reaksi. Kalau sudah mohon maaf jangan tarik balik pula!

Salam dari Temerloh.

Friday, September 16, 2011

September 16 Dalam Sejarah

Sama ada kita sedar atau sebaliknya, rupa-rupanya tarikh 16 September amat bersejarah khususnya kepada rakyat dan negara kita. Bila diselongkar buku dan catatan lama, banyak juga peristiwa yang bernilai sejarah berlaku pada tarikh 16 September.

Antaranya ialah peristiwa yang berlaku hari ini iaitu sambutan kemerdekaan negara kita yang ke-54 dan Hari Malaysia disambut serentak di seluruh negara. Peristiwa ini akan menjadi sejarah negara dan akan diperkatakan (mungkin akan diperdebatkan) pula pada masa yang akan datang. Perdebatan yang mungkin akan timbul ialah bukan pada peristiwanya tetapi pada signifikannya. Mungkin akan ada orang yang akan mempersoalkan, mana satu yang lebih penting, sambutan hari kemerdekaan (31 Ogos) atau hari penubuhan Malaysia (16 September). Bibit-bibit ke arah itu sudah mula kelihatan apabila ada pihak-pihak tertentu yang mula menafsirkan bahawa negara kita tidak pernah dijajah?

Tarikh 16 September juga mencatat sejarah besar apabila gagasan Malaysia berjaya direalisasikan. Pada asalnya, gagasan Malaysia turut merangkumi 5 wilayah, iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Walau bagaimanapun, Brunei awal-awal lagi telah menarik diri daripada menyertai Persekutuan Malaysia. Sewaktu perisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963, ia telah merangkumi 4 wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, singapura, Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, pada 9 Ogos 1965, geopolitik Persekutuan Malaysia telah dikecilkan bilamana Singapura telah dipecat daripada Persekutuan. Bagi Singapura sendiri, gunalah apa sahaja istilah, sama ada dipecat, dipisahkan atau apa sahaja istilah-istilah lain, yang penting baginya ia berjaya mencapai kemerdekaan dan muncul sebagai sebuah entiti politik yang tersendiri dan berdaulat.

Siri pengecilan Geopolitik Persekutuan Malaysia berlaku lagi beberapa tahun lalu apabila Pulau Batu Puteh berjaya dikuasai secara undang-undang oleh Singapura. Dengan beralihnya kekuasaan ke atas Pulau Batu Puteh, maka kedudukan Singapura semakin kukuh. Walhal suatu ketika dahulu Singapura merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Tanda-tanda kemalaysiaan dan kemelayuan di Singapura semakin terhakis apabila negara berkenaan berjaya memujuk Malaysia supaya mengundurkan kepentingannya di tanah milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari republik tersebut.



Tarikh 16 September juga pasti akan dikenang kerana ada hasrat yang masih belum kesampaian. Kira-kira tiga tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mewar-warkan untuk menguasai Putrajaya pada 16 September. Namun demikian, bila tarikh berkenaan tiba, Putrajaya tetap aman dalam penguasaan Barisan Nasional. Apa yang diwar-warkan sebelum ini ternyata hanya merupakan omongan yang masih belum kesampaian. Biar apa pun alasan dan sebab yang diutarakan, kegagalan menguasai Putrajaya pada 16 September tetap menjadi kenangan dan sebutan dalam sejarah.




Hari ini, tarikh 16 September semakin bermakna bilamana sejak tahun lepas ia turut diisytiharkan sebagai cuti umum tahunan. Setiap 16 September seluruh rakyat akan bercuti. Untuk apa mereka bercuti, itu tidak penting. Yang lebih penting ialah cuti.

Saya ada seorang dua rakan yang mana tarikh lahir mereka jatuh pada 16 September. Agaknya, lepas ini golongan seperti ini pula yang akan mendapat perhatian daripada kerajaan, khususnya daripada jawatankuasa penganjur sambutan Hari Malaysia. Maklumlah, mereka telah dilahirkan pada Hari Malaysia!

Thursday, September 15, 2011

Tolong Jangan Ganggu Emosi Dan Mental Murid

Untuk maklumat bersama khususnya mereka yang tidak sedar, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan berlangsung pada bulan (Oktober). Manakala peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan bermula pada pertengahan November nanti. Dengan erti kata lain, murid-murid yang akan menduduki PMR mempunyai kurang dari sebulan untuk membuat apa jua bentuk persediaan. Begitu juga dengan murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SPM, mereka mempunyai masa sekitar dua bulan sahaja lagi untuk memantapkan persediaan.

Bila disebut sahaja persediaan, ia merangkumi dua aspek penting, iaitu persediaan dari aspek ilmu pengetahuan dan kemahiran dan juga persediaan dari segi psykologi yang turut merangkumi emosi dan mental. Kedua-dua aspek ini harus dimantapkan secara serentak dan seiring. Jika salah satu aspek pincang, maka akan pincanglah persediaan murid-murid berkenaan dalam menghadapi masa yang paling penting dalam kehidupan seseorang murid.

Dalam hal ini, saya ingin merujuk kepada satu tulisan yang keluar dalam Harakah Daily semalam. Antara lain, tulisan berkenaan berbunyi:




Semak soalan Sejarah PMR, SPM 2011
| Print |

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 14 Sept: Isu sejarah Malaysia yang dipolemik oleh Umno dan BN akhir-akhir ini semakin mendapat tempat di hati rakyat.
Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa berkata, kesannya, semakin hari terserlah kepincangan dan putar belit sejarah oleh politikus dan pengampu Umno dan BN.
Katanya, kenyataan berbelit oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap sejarah negara, ditambah dengan dakwaan Majlis ProfesorNegara dan lain-lain pihak yang didakwa mempunyai autoriti, telah menimbulkan kekabutan dan kekeliruan bukan sahaja dikalangan rakyat, bahkan generasi pelajar sekolah menengah yang diwajibkan mengambil subjek sejarah.
Oleh yang demikian, ujarnya cadangan pembetulan dan pembaikan subjek Sejarah harus disegerakan tanpa kompromi dan campur tangan politik khususnya Umno dan BN.
“Sudahlah ia wajib, subjek sejarah juga menjadi subjek wajib lulus di dalam peperiksaan SPM bermula 2013,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, walaupun yakin soalan subjek serajah Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah disiapkan, pihaknya mendesak kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pelajaran supaya menyemak soalan yang berkait dengan isu-isu sejarah yang dibangkitkan akhir-akhir ini.
Katanya, antara mekanisme yang boleh dilakukan ialah:
a) Soalan kontroversi ditukar kepada soalan dengan jawapan yang tiada perbezaan pandangan, atau
b) Skema jawapan ditambah bagi soalan kontroversi dengan mengambil kira semua pandangan. Dalam erti kata lain, teori sejarah selain di dalam silibus juga diterima sebagai jawapan yang betul.
c) Jika tidak cukup masa, soalan yang kontroversi dan wujud perbezaan pandangan dibatalkan. Maka, markah yang terbabit tidak dimasukkan di dalam perkiraan markah pelajar
Katanya, kenyataan terbuka itu dibuat kerana ia memberi kesan kepada prestasi pelajar.
Beliau berkata, jika pelajar mendapat A kerana jawapan yang mengikut skema dan silibus, tetapi ia adalah fakta yang salah, ia menafikan ketulenan kefahaman pelajar itu sendiri.
“Jika pelajar berkenaan tidak percaya kepada jawpan di dalam silibus tetapi terpaksa juga demi mendapat A, ia mengajar pelajar bersifat hipokrit yang menafikan sifat amanah yang seharusnya dipupuk dikalangan pelajar,” ujarnya.
Katanya, bbukan sekadar itu, kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi juga dipengaruhi oleh keputusan itu.
“Alangkah malangnya pelajar yang cemerlang dinafikan hak hanya kerana menjawab dengan amanah dan betul. Ia memberi kesan negatif di dalam mencorak masa depan generasi muda negara,” katanya lagi.
Jika tiada tindakan dibuat, ujarnya ini jelas membuktikan sekali lagi Umno dan BN menipu rakyat Malaysia.
Kali ini, tambah beliau pelajar juga ingin diajar hipokrit dan menipu.
Katanya, alangkah bobroknya sifat pemimpin Umno yang hanya mementingkan survival politiknya.
Itu, katanya belum dikira keputusan-keputusan subjek sejarah tahun-tahun sebelum ini yang jelas Umno dan BN telah memperbodohkan rakyat.
“Bagi semua pelajar PMR dan SPM, selamat menghadapi peperiksaan. Jawablah dengan ilmu yang tulen berasaskan kefahaman, jangan tertipu dengan agenda politik Umno. Bebaskan kongkongan sistem pendidikan negara dari unsur politik,” ujarnya.





Kita semua perlu faham, badan yang berkuasa untuk mengeluarkan soalan dan juga skema jawapan serta menentukan markah dan grad lulus dan gagal bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah Lembaga Peperiksaan Malaysia. Manakala Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) pula bertanggungjawab untuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Lembaga Peperiksaan Malaysia pula terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran Malaysia. Manakala Kementerian Pelajaran Malaysia pula merupakan salahsatu kementerian yang berada di bawah kerajaan yang sedia ada pada masa ini.

Bagi saya, kenyataan sebagaimana yang terkandung dalam petikan di atas sedikit sebanyak boleh mengganggu persediaan emosi dan mental murid yang akan terlibat sama ada dalam peperiksaan PMR mahupun SPM. Mereka akan keliru di antara fakta sejarah yang diajar di sekolah dengan fakta sejarah yang sedang dipolimikkan oleh ahli politik masa kini. Jika murid-murid berkenaan menjawab mengikut fakta dan tafsiran para ahli politik masa kini, berkemungkinan mereka akan gagal atau memperoleh markah yang lebih rendah. Badan yang berkuasa untuk menilai jawapan murid ialah Lembaga Peperiksaan Malaysia dan bukannya ahli-ahli politik semasa.

Oleh itu, bagi saya, biarlah para ahli politik dan ahli akademik selesaikan dahulu perkara yang sedang dipolimikkan. Setelah selesai, barulah ia diajukan untuk diguna pakai di peringkat sekolah. Janganlah diheret golongan murid dalam polimik dan gimik yang sedang berlaku. Berikan ruang dan peluang yang sepenuhnya kepada semua murid untuk memanfaatkan saki-baki masa yang tersisa untuk memberi tumpuan semaksimumnya terhadap pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Biarlah murid-murid kita menggunakan masa yang ada untuk memantapkan persediaan masing-masing dalam menghadapi hari-hari penting dalam hidup mereka. Jangan kita kelirukan mereka yang sekaligus boleh mengganggu persediaan yang sedang diusahakan.

Saya penuh yakin, kalau pun PAS dapat membentuk kerajaan hari ini, ia tidak akan mampu menyelesaikan apa yang dibangkitkan sebagaimana dalam tulisan di atas pada keesokan harinya.

Justeru, saya mohon supaya golongan ahli politik tidak lagi mengganggu persediaan murid-murid khususnya yang bakal menduduki peperiksaan awam seperti PMR atau pun SPM menerusi pelbagai kenyataan yang boleh mengelirukan golongan berkenaan.

Wednesday, September 14, 2011

Terima Kasih Yang Tidak Terhingga

Sekitar jam 1.40 tengah hari tadi, saya sekeluarga melangkah keluar dari Wad Saadah, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Sebenarnya ini merupakan hari keenam bagi saya, Luqman serta isteri bermastautin di wad ini. Puncanya ialah kerana isteri saya diserang demam denggi. Alhamdulillah ia masih belum di tahap kritikal.



Setelah menjalani rawatan selama 6 hari dan 5 malam, serangan denggi yang dihadapi oleh isteri saya telah hampir pulih. Hari ini flet rate darahnya telah mencapai ke angka 200, iaitu melepasi 150 tahap minimum yang diperlukan.



Isteri saya mula diserang demam yang berpanjangan pada awal minggu lepas, iaitu sebaik sahaja kami tiba di Kl selepas bercuti panjang bersempena hari raya. Mulanya saya sangka ia sekadar demam biasa sahaja. Namun selepas pergi ke klinik biasa dua kali ia tidak menunjukkan tanda-tanda akan baik. Pada hari Khamis (hari keempat) demamnya semakin menjadi-jadi sehingga memaksa saya mengambil CRK.

Akhirnya, pada Jumaat (9 September) lalu, saya mengambil keputusan untuk membawa isteri saya ke hospital. Oleh kerana isteri saya tidak ada kudrat lagi untuk memandu, maka saya telah menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke hospital. Saya telah memutuskan untuk mendapatkan rawatan di Pusrawi sahaja.

Setelah diperiksa oleh doktor, saya dimaklumkan isteri saya diserang demam denggi. Doktor juga menasihatkan kami agar isteri saya dimasukkan ke wad segera untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin. Oleh kerana semua persediaan untuk situasi sebegini (khususnya dari segi kewangan) telah kami buat sejak lama, maka tanpa mengambil masa yang panjang saya terus saja memberikan persetujuan kepada doktor supaya isteri saya dimasukkan ke wad dengan segera.



Sebaik sahaja isteri saya dimasukkan ke wad, dia terus diberikan rawatan segera. Dengan ini, ia juga bermakna semua rancangan hujung mingggu saya terbatal. Hari-hari seterusnya saya dan Luqman di hospital sahaja untuk menemani isteri sepanjang masa.

Alhamdulillah, pada hari ini tahap kesihatan isteri saya hampir pulih seperti sediakala. Ini bermakna, kami sekeluarga boleh menjalani hidup seperti sediakala juga, insha-Allah.

Di sini, saya sekeluarga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah membantu dan memberikan sokongan moral kepada saya sekeluarga, khususnya kepada isteri saya.

Ucapan terima kasih juga ingin saya tujukan kepada Dr. Onn (semasa di bahagian kecemasan) dan juga Dr. Fazilah yang telah merawat isteri saya semasa di wad.



Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada semua kakitangan Pusrawi, khususnya yang bertugas di Wad Saadah di atas dedikasi mereka selaku kakitangan. Ucapan yang sama juga saya tujukan kepada beberapa penuntut peringkat diploma Pusrawi yang turut sama membantu isteri saya.

Selain itu, terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada Kak Ilah, jiran saya yang telah turut menghantar saya sekeluarga pada Jumaat (malam). Kami terpaksa pulang semula ke rumah untuk mengambil barang keperluan setelah dimaklumkan isteri saya harus dimasukkan ke wad. Kak Ilah juga turut memasakkan sup ketam untuk dimakan oleh isteri saya pada 10 September (Sabtu) lalu. Selain itu, beliau sentiasa menghubungi kami sekeluarga dan sering menawarkan bantuan bila diperlukan.







Di samping itu, terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada ibu saudara dan bapa saudara saya yang hampir setiap hari datang menziarahi kami di hospital. Kedua-dua mereka bukan datang dengan tangan kosong. Ada sahaja nasi dan lauk-pauk yang dibawanya untuk kami sekeluarga, ini termasuklah lauk sardin yang menjadi makanan kegemaran saya sepanjang zaman.



Selain itu, terima kasih juga saya tujukan kepada adik bungsu saya yang telah datang menziarah kami sebanyak 2 kali. Kehadiran beliau serta anak lelaki sulungnya juga banyak membantu saya dalam memenuhi pelbagai keperluan semasa di wad.



Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada dua orang abang ipar saya iaitu Abang Mad (Syed Ahmad) sekeluarga serta Abang Him (Syed Abdul Rahim) yang telah menziarahi kami sekeluarga. Kedua-dua mereka datang terus dari Temerloh dan Jengka, Pahang.









Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan setugas isteri saya dari Sekolah Vokasional Setapak yang sudi datang menziarahi kami. Pn. Hindun, Pengetua sekolah berkenaan juga turut datang bersama suaminya. Antara guru-guru lain yang turut datang termasuklah Ustazah Rosni, Ustaz Ghani dan isterinya serta Ustaz Sabri seisi keluarga.

Selain itu, saya juga turut menerima e-mail, SMS dan panggilan telefon daripada ramai saudara-mara, sahabat dan kenalan. Antaranya ialah daripada Prof. Madya Dr Mohamed Hussein , Dr. Mohd Zarhamdy dan Tn. Hj. Mohd Yunus (UTM), Ustazah (Datin) Nurhayati, Cikgu Azman Mustafa dan Cikgu Mohamad Rizal Tan (SMPK Setapak), Ustaz Muhammad Ghazali, Pn. Ummu Asiah, En. Saiful Azlan dan Qura (SRIP Malawati), Ustaz Mahyudin Hashim (USIM) dan tidak ketinggalan En. Abu Hassan dan Tn. Hj. Muhammad Lee Abdullah (PERTIS). Selain itu, kami sekeluarga juga turut menerima panggilan telefon dan SMS daripada adik-beradik serta kaum keluarga yang tidak berkesempatan menziarah. Kesemua mereka mendoakan semoga isteri saya segera sembuh dan juga tidak lupa memberikan sokongan moral kepada saya sekeluarga.

Kepada semua, jazakumullahu khairan kathiran saya ucapkan. Hanya Allah yang akan memberikan balasan sebaiknya di atas kebaikan anda semua.