Thursday, February 14, 2013

“Are You Ready For BN?”



Waktu ini, laman Youtube meriah lagi. Kemeriahannya adalah gara-gara tindakan kurang bijak Datuk Seri Mohd Najib Razak, perdana menteri yang dikasihi, yang bertanyakan soalan yang sudah pun ada skema jawapannya bagi majoriti orang Pulau Pinang.






Najib: Are you ready for BN? (3 kali).

Hadirin: No ... (juga 3 kali).


Bahkan jawapan kali ketiga oleh para hadirin kedengaran lebih kuat, lebih yakin dan lebih bersemangat.Apa yang lebih mendukacitakan lagi ialah apabila “insiden” di atas dengan secepat kilat dimuat naik pula ke laman sosial. Ia kemudian dipetik pula oleh beberapa media lain sebagai bahan berita masing-masing. Kesan akhirnya, Perdana Menteri Malaysia yang sangat kita kasihi dipersendakan di ruang maya!


Bagi saya, soalan yang sepatut ditanyakan oleh Najib ialah “Are you ready for election?” Bila soalan sedemikian ditanyakan, maka saya juga yakin majoriti hadirin ketika itu akan menjawab “Yes!” Selepas itu bolehlah dibuat dengan apa jua tafsiran mengikut selera politik masing-masing.


Sebagai soalan alternatif, Datuk Seri Mohd ajib boleh bertanya: “Are you ready for BN and for PSY?” Saya rasa orang ramai mungkin akan menjawab “Yes”, setidak-tidaknya untuk PSY kalau pun tidak untuk BN! Maka akan terhindarlah interaksi spontan antara perdana menteri yang dikasihi dengan para hadirin daripada disensasikan.


Dalam “insiden” di atas, ternyata bahawa orang ramai dapat membezakan antara hiburan dengan politik. Sebab itulah bila ditanya, “Are you ready for PSY?” Hadirin menjawab “Yes!”Mereka gemar berhibur.Mereka juga tidak menolak kehadiran PSY. Pada masa yang sama, mereka tetap punya pegangan politik masing-masing. Apa yang nyata dalam “insiden” tersebut ialah kegagalan Najib sendiri untuk membezakan antara hiburan dengan politik.




Satu lagi situasi yang agak memalukan perdana menteri yang dikasihi ini ialah apabila siartis Korea ini enggan naik ke pentas untuk sama-sama menggaul yee-sang bersama-sama VVIP yang lain. Saya sendiri tertanya-tanya mengapa situasi sedemikian boleh terjadi? Adakah RM2 juta masih tidak cukup untuk beliau naik ke pentas dan bersama-sama para VVIP yang lain?


Situasi semakin memalukan kerana majlis di atas adalah anjuran Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang. Dari sudut hiburan, jelas ia telah mendapat sambutan yang cukup hebat. Manakala dari sudut politik pula, jelas bahawa BN telah mendapat tamparan yang hebat juga.






Ada pihak tertentu yang mengatakan kononnya hadirin yang menjawab “No” bila ditanya “Are you ready for BN” hanyalah beberapa peratus sahaja. Kalau dengar betul-betul video berkenaan, hadirin yang menjawab “Yes” bila ditanya “Are you ready or PSY” sama kuatnya bila mereka menjawab “No” bila ditanya “Are you ready for BN”.


Kalau yang menjawab “No” hanya beberapa peratus sahaja, mana pergi yang selebihnya? Mengapa mereka tidak menjawab dengan pasti bila perdana menteri yang dikasihi ini bertanya “Are you ready for BN?” Mengapa mereka hanya membiarkan sahaja jawapan “No” bermaharajalela menguasai suasana?


Fenomena yang sedang berleluasa kini ialah sebilangan media masih mengatakan rakyat Pulau Pinang menyambut meriah kehadiran Datuk Seri Najib. Selaku golongan yang tidak berpihak, saya pun keliru, adakah kemeriahan orang ramai untuk mengalu-alukan kedatangan Najib atau sebenarna kemeriahan tersebut kerana kehadiran PSY )Park Jae-Sang) yang gah dengan gangnam style itu?


Dalam apa jua perkara, kita seharusnya berpijak di bumi nyata. Apa yang sering berlaku ialah perdana menteri yang amat kita sama-sama kasihi ini sering dibawa jauh dari hakikat yang sebenar. Walaupun orang ramai dengan jelas sudah menjawab “No”, ada pihak yang masih mengatakan bahawa perdana menteri yang amat kita sama-sama kasihi ini mendapat sambutan hangat dan meriah di Pulau Pinang. Kalau kita sudah berpijak di bumi yang nyata, sudah tentulah segala rancangan dan strategi yang dibuat akan berpihak di bumi nyata juga. Sebaliknya jika kita enggan berpijak di bumi nyata dan enggan pula menerima hakikat yang sebenar, maka segala strategi dan rancangan yang dibuat tidak akan berpijak di bumi yang nyata. Siapa pula yang akan melopong nanti?


Suka atau tidak, hakikatnya ialah tarikh pilihanraya semakin hampir. Kesilapan membuat percaturan politik oleh mana-mana kumpulan siasah boleh mengakibatkan kerugian yang cukup besar yang bakal ditanggung oleh kumpulan siasah berkenaan. Dalam hal ini, strategi akhir yang berkesan amat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah kumpulan siasah. Kalau sekadar mengambu dan membodek semata-mata ia bukan jauh daripada memadai bahkan ia amat bahaya sekali.


Sebenarnya, Datuk Seri Mohd Najib telah meninggalkan jasa yang besar khususnya kepada golongan cacat penglihatan sendiri. Sewaktu menjadi menteri pendidikan pada era 90-an lalu, Datuk Seri Najib telah “membuka semula pintu” kepada golongan cacat penglihatan yang berkelayakan untuk menceburi bidang perguruan. Maka itulah pada ketika itu, puluhan orang cacat penglihatan yang berkelayakan telah berjaya menjadi guru sama ada guru siswazah mahupun guru bukan siswazah. Sebab itulah bila saya katakan “perdana menteri yang amat dikasihi” ia merupakan keikhlasan yang datang dari lubuk hati yang tulus.


Are you ready for election ....?








Monday, February 11, 2013

Menziarahi Yusiran Lagi




Petang tadi, sekitar jam 5.15 saya telah ke rumah Saudara Yusiran lagi. Sebagaimana yang pernah saya catat sebelum ini, rumah Yusiran terletak di Jalan Tebat, Kampung Air Baruk, Jasin, iaitu beberapa belas km dari rumah saya di kampung. Sepertimana sebelum ini, ziarah saya kali ini juga turut ditemani oleh isteri saya, Luqman, seorang anak saudara lelaki sebaya Luqman serta ibu saya.


(Saya menyerahkan wang kepada Yusiran)

Tujuan utama ziarah saya kali ini adalah untuk menyampaikan bantuan berbentuk wang kepada Yusiran daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Dalam mesyuarat baru-baru ini, pihak PERTIS telah pun meluluskan bantuan segera berupa wang sebanyak RM500.00 seorang kepada 4 penerima. Yusiran merupakan salah seorang daripada ahli yang telah dipilih untuk menerima wang bantuan tersebut.


(Anak saudara perempuan Yusiran menyambut kedatangan kami)


Kali ini ibu Yusiran tidak kedengaran suaranya. Katanya beliau sedang berehat (tidur). Saya pun tidak berhasrat mengganggunya. Yusiran pula ditemani oleh anak saudara perempuannya.


Saya sempat juga bertanya kepada Yusiran, bila dia hendak kembali semula ke KL? Yusiran menjawab, bila dia dapat kaki palsu nanti dia akan balik ke KL semula. Walau bagaimanapun, saya turut mendengar suara anak saudara perempuannya menjawab dengan perlahan, mungkin dia (Yusiran) tak ke KL lagi!


Saya amat faham apa yang tersirat di sebalik jawapan oleh anak saudaranya itu. Memang benar, keluarga mana yang sanggup melihat mana-mana anggotanya susah di tempat orang. Biarlah susah dan senang di depan mata ahli keluarga sendiri. Maka itulah anak saudara perempuan Yusiran menjawab sedemikian.


Mudah-mudahan bantuan yang tidak seberapa daripada PERTIS inisedikit sebanyak akan meringankan beban yang sedang ditanggung oleh Yusiran dan keluarganya. Ia juga sebagai tanda bahawa seluruh warga PERTIS tetap mengingati Yusiran. Insha-Allah jika ada rezeki kita semua akan hulurkan bantuan lagi.


(Keadaan Yusiran tanpa kaki)

Setelah kira-kira 5 minit, kami pun minta diri. Lagipun, kami harus bergegas ke tempat lain pula.


Salam Dari Jasin, Melaka.








Puan Jamilah Abu Bakar Kembali Ke Rahmatullah



Sebentar tadi, saya mendapat berita bahawa Pn. Jamilah/Maziah binti Abu Bakar telah kembali ke rahmatullah. Menurut sumber berita, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pagi ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ketika ini, urusan berkaitan jenazah masih berlangsung. Buat masa ini, berita yang dimaklumkan ialah jenazah beliau akan dikebumikan di sekitar Kuala Lumpur.


Pn. Jamilah merupakan seorang pesara kerajaan. Selain itu, beliau juga seorang yang cukup aktif dengan badan bukan kerajaan. Beliau merupakan bekas Naib Presiden Pertubuhan Orang cacat penglihatan Malaysia (SBM) sehingga tahun lalu. Beliau juga pernah menganggotai Jawatankuasa Kod Braille Bahasa Melayu (Pindaan) beberapa tahun lalu.


Beliau seorang yang periang dan cukup disenangi oleh rakandan taulan. Antara perkara yang mungkin tidak akan dilupakan oleh sekalian rakan ialah di mana beliau sering mengadakan majlis rumah terbuka. Dalam majlis berkenaan, semua rakannya akan diundang tanpa mengira bangsa. Sesungguhnya kehilangan beliau akan dirasai oleh setiap orang yang mengenali beliau.


Kepada keluarga Allahyarham, saya meminta berbanyak maaf kerana tidak dapat menziarahi jenazah beliau buat kali terakhir kerana saya masih berada di luar Kuala Lumpur.


Bersama-samalah kita berdoa semoga Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat Allah setiap ketika dan beliau akan ditempatkan bersama-sama dengan golongan solihin. Kita semua pasti akan menyusuli beliau tidak lama lagi, hanya saatnya sahaja yang sengaja dirahsiakan.


Alfatihah ....


Salam dari Jasin, Melaka.







Saturday, February 9, 2013

Salmah Ismail Kembali Ke Rahmatullah



Sebentar tadi, saya mendapat berita bahawa Pn. Salmah Ismail telah kembali ke rahmatullah. Menurut maklumat tersebut, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) iaitu sekitar jam 7 pagi tadi. Menurut maklumat itu lagi, beliau sudah pun dimasukkan ke wad sejak beberapa ketika akibat beberapa penyakit yang beliau tanggung.


Pn. Salmah Ismail merupakan isteri kepada En. Razali. Beliau juga merupakan salah seorang ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang aktif terutamanya semasa beliau sihat. Saya agak kerap juga menemui beliau dalam beberapa program anjuran PERTIS.


Sewaktu info ini saya tulis, jenazah dalam perjalanan ke Puchong. Menurut maklumat di sanalah juga jenazah akan disemadikan.


Kepada En. Razali serta seluruh keluarga Allahyarham, saya ucapkan takziah. Bersabarlah dalam menempuh ujian dari Allah ini. Hari kita untuk mengikuti jejak Allahyarham juga kian hampir.


Kita sama-sama berdoa ke hadhrat Allah semoga roh Allahyarham akan ditempatkan bersama-sama dengan mereka yang mendapat keredhaan Allah hendaknya.


Alfatihah ....






Wednesday, February 6, 2013

Azli Paat Kembali Ke Rahmatullah








Sebentar tadi, saya mendapat maklumat bahawa Azli Paat telah kembali ke rahmatullah. Azli merupakan seorang personaliti yang cukup terkenal dengan kemahiran dalam bidang ICT. Beliau akan muncul menerusi Bernama Radio 24 dengan mengendalikan rancangan ICT Dan Anda pada setiap pagi, Isnin hingga Jumaat bermula jam 7.40 pagi hingga jam 8.00 pagi.




Menurut sumber berita, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 8 lebih malam sebentar tadi. Menurut sumber itu lagi, beliau hanya mengalami demam biasa sahaja sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Pagi tadi pula, beliau tidak dapat mengendalikan rancangan ICT Dan Anda sebagaimana biasa kerana kurang sihat. Beliau (Azli) telah pun mengendalikan rancangan ICT Dan Anda menerusi Bernama Radio 24 sekitar 5 tahun lamanya. Menurut maklumat yang saya perolehi, jenazah beliau akan dikebumikan esok di Batu Pahat.


Semoga Allahyarham akan tergolong dalam kalangan para solihin dan mendapat rahmat di sisi Allah. Kepada seluruh ahli keluarganya, saya mengucapkan takziah.

Alfatihah ....


Tuesday, February 5, 2013

Pandangan Mahathir Tidak Semuanya Boleh Diterima







Menerusi entry terbaru dalam blognya, Tun Mahathir cuba bercakap tentang soal agama. Ini bukanlah pertama kali beliau cuba bercakap fasal agama dan politik. Saya pun tidak berapa ingat sudah berapa kali beliau cuba bercakap fasal agama dan politik. Apa yang saya sedar dan pasti, setiap kali beliau cuba bercakap dan mengolah fasal agama dan politik, ia seringkali lebih politik daripada agama. Kelazimannya beliau akan melihat agama itu dari sudut politik dan bukan sebaliknya. Sepatutnya beliau dan semua orang patut melihat politik dari sudut agama. Walaupun beliau cuba bercakap tengang agama sepertimana para ustaz yang lain, namun kejengkelan dan kesumbangan idea yang cuba diketengahkannya tetap terserlah.


Bukankah Mahathir juga yang mendakwa bahawa hukum hudud tidak ada dalam Alquran? Dakwanya lagi, hukum hudud hanyalah ciptaan para ahli feqah sahaja. Di mana Mahathir belajar semuanya ini?





Selain itu, Mahathir juga sering mendakwa bahawa hukum hudud yang cuba dilaksanakan oleh sesetengah pihak merupakan hukum hudud ciptaan PAS semata-mata. Pada masa yang sama dan hingga ke saat ini, Mahathir gagal memberi perbezaan antara hukum hudud ciptaan PAS sebagaimana dakwaan beliau dengan hukum hudud sebenar sebagaimana yang telah termaktub dalam Alquran. Rupa-rupanya kegagalan beliau untuk menghuraikan perbezaan di atas adalah kerana selama ini beliau berpendapat hukum hudud tiada dalam Alquran dan ia adalah ciptaan para ahli feqah semata-mata. Barang dijauhkan allah daripada kita yang lain punya pegangan seperti beliau!


Kalau hendak diketengahkan lagi kejengkelan dan kesumbangan pendapat beliau bila bercakap fasal agama memang tak terkata. Segala-galanya berpunca daripada sifat asal Mahathir yang akan melihat agama itu hanya dari sudut politik semata-mata. Beliau juga sedar bahawa politik itu kotor. Beliau juga maklum bahawa bila bercampur antara bersih dan kotor maka yang bersih itu turut akan menjadi kotor. Namun demikian, oleh kerana fahaman sekularisme yang begitu tebal dalam hati sanubari beliau, maka apa jua pandangan yang beliau lontarkan pasti akan berteraskan kepada politik duniawi.


Apa yang menghairankan saya, ada ketikanya Mahathir akan menyeru orang lain supaya ikut Quran. Jadi, timbul pertanyaan dalam hati saya, Quran mana yang dimaksudkan oleh Mahathir ini? Adakah Quran yang dimaksudkan oleh Mahathir ialah quran terjemahan dalam bahasa Melayu? Sedarkah Mahathir bahawa orang Melayu sama sekali tidak akan bersatu padu selagi mereka memahami Quran hanya berdasarkan Quran terjemahan dalam bahasa Melayu sahaja!


Dahulu semasa Mahathir kukuh dalam UMNO, nada ucapannya memang lain. Bila beliau keluar dari UMNO pada pertengahan dekad 2 ribu dan sepentas dengan pemimpin pembangkang, nada ucapan beliau juga lain. Kini setelah menyertai semula UMNO nada ucapan beliau turut berbeza. Tidakkah politik telah mencetuskan semua perbezaan tersebut?


Mahathir memang jenis orang yang tidak memahami dirinya sendiri. Walaupun Mahathir mungkin sedar bahawa beliau bukannya tahu semua hal, tetapi yang mungkin beliau sendiri tidak faham ialah mengapa beliau ingin bercakap tentang semua hal. Mahathir tahu bahawa dia bukannya arif pun tentang hudud, tetapi pada masa yang sama beliau masih juga gatal mulut untuk bercakap dan mengulas mengenai hukum tersebut. Mengapa?


Kita semua selaku umat Islam telah pun fahambahawa jika ada dalam ati kita yang menafikan apa yang sudah tertera dalam Alquran walaupun satu huruf, maka ia boleh menjerumus kepada kekufuran. Barang dijauhkan Allah kita semua daripadanya.


Ada ketikanya, terngiang-ngiang di telinga saya apa yang pernah didoakan oleh almarhum Ustaz Fadhil Noor suatu ketika dahulu untuk Mahathir. Adakah saat di mana doa itu akan dimakbulkan Allah kian hampir?


Sunday, February 3, 2013

Benarkah Pengarah Eksekutif MAB Telah Undur?



Sejak dua tiga hari lepas, saya ada terdengar maklumat kononnya Pengarah Eksekutif Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia (MAB) telah undur? Saya sendiri tidak pasti, sama ada beliau benar-benar telah undur atau maklumat ini merupakan sekadar khabar angin sahaja. Salah seorang kakitangan MAB memberitahu saya, beliau turut mendengar khabar bahawa 31 Januari lalu merupakan hari terakhir buat pengarah eksekutif berkenaan. Benarkah begitu?





Menurut seorang lagi kakitangan MAB, beliau juga turut mendengar khabar kononnya 31 Januari lalu merupakan hari terakhir buat pengarah eksekutif berkenaan. Katanya lagi, walau bagaimanapun, sehingga waktu bekerja berakhir pada 31 Januari lalu, tiada sebarang pemberitahuan secara rasmi bagi mengesahkan khabar angin berkenaan. Manakala seorang lagi kakitangan MAB memberitahu saya, Sama ada beliau masih ada atau tidak itu bukan lagi persoalan utama, katanya lagi, sejauh manakah kesan calar yang telah beliau tinggalkan yang bakal ditanggung oleh golongan cacat penglihatan secara keseluruhannya. Beginilah kalau sudah jadi watak kontrovesi, soal pengunduran pun boleh jadi tanda tanya besar!


Sebenarnya, sama ada beliau berundur atau diundurkan (jika benar), ia hanyalah merupakan kaedah pengunduran beliau sahaja. Persoalannya, jika sahih pengarah eksekutif yang seorang ini benar-benar undur, adakah pengunduran berkenaan dapat menyelesaikan beberapa kontrovesi yang sedang melanda MAB? Adakah pengganti beliau (jika benar beliau undur) berupaya memulihkan reputasi MAB yang telah tercalar khususnya dalam kalangan golongan cacat penglihatan di negara ini?


Setakat yang saya maklum, MAB merupakan badan bukan kerajaan untuk golongan cacat penglihatan yang paling banyak menerima bantuan khususnya daripada kerajaan. Bantuan tersebut termasuklah geran kewangan, pembayaran gaji kepada sebilangan kakitangan, serta lain-lain bentuk bantuan, sama ada daripada kerajaan Persekutuan mahupun daripada beberapa kerajaan negeri. Justeru, tidak hairan dengan hanya memerhatikan bangunan Kompleks MAB yang ada sekarang, ia sudah cukup menerangkan bahawa NGO ini merupakan antara badan bukan kerajaan yang kukuh dari aspek kewangannya.


Soal Jawab
Dari mana MAB dapat wang? Dari beberapa sumber
Banyak ke wang yang diperolehinya? Berjuta agaknya
Bagaimana MAB mendapat wang? Dengan mengatakan mereka memberi perkhidmatan kepada orang buta
Adakah wang yang mereka perolehi itu benar-benar telah disalurkan kepada golongan sasar? .... entahlah!
Benarkah pengarah eksekutif sekarang akan undur? .... Harap-harapnya begitulah


Jika benar pengarah eksekutif sekarang telah undur, namun beberapa perkara yang telah beliau laksanakan yang tidak mendapat “restu” daripada golongan cacat penglihatan tetap di situ dan tidak akan undur sebagaimana pengunduran “pengasasnya”. Antaranya termasuklah binaan fountain di bekas tempat meletak kenderaan di hadapan kompleks MAB itu sendiri. Sehingga kini pun, ramai golongan cacat penglihatan merasakan bahawa binaan air pancut tersebut sekadar untuk mencuci mata mereka yang masih ada penglihatan.





Jika benar pengarah sekarang sudah undur, tentulah tempat beliau ada yang mengganti. Siapa yang akan mengambil alih tempat mantan pengarah eksekutif berkenaan? Ini satu lagi perkara sensasi yang masih belum ada jawapan pasti. Benarkah salahseorang ahli Council yang akan menjadi care takernya?


Antara objektif penubuhan MAB sejak awal lagi ialah untuk memberikan perkhidmatan kepada golongan yang cacat penglihatan. Secara dasarnya, MAB merupakan sebuah badan sukarela yang ditadbir oleh kebanyakan mereka yang berpenglihatan di peringkat Council. MAB telah ditubuhkan sejak tahun 1951 lagi. Justeru ia merupakan badan bukan kerajaan untuk golongan cacat penglihatan tertua sekali di negara kita. Selain itu, MAB juga dilihat badan bukan kerajaan yang paling kukuh ekonominya jika dibandingkan dengan lain-lain badan bukan kerajaan yang sama status dengannya.


Dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki oleh MAB, maka sudah seharusnya MAB sentiasa dapat memberikan perkhidmatan terunggul kepada golongan sasar. Apalah gunanya jika wang banyak, ekonomi kukuh, sokongan kerajaan juga kuat, tetapi perkhidmatan yang diberikan tidak sepadan dengan pelbagai faedah dan kelebihan yang sedang dinikmati oleh MAB itu sendiri. Apa yang lebih membimbangkan, acap kali juga MAB tidak peka dengan kehendak serta keperluan golongan sasar. Pembinaan fountain merupakan mercu tanda kepada kegagalan MAB untuk mendengar keluhan golongan sasarnya.


Sejak akhir-akhir ini, MAB telah melaksanakan beberapa perkara yang dirasakan tidak menguntungkan khususnya kepada golongan sasar. Sebagai contoh, dalam kawasan premis MAB itu sendiri masih banyak ruang kosong yang tidak digunakan. Mengapa perlu ada rancangan untuk menghantar sekumpulan pelatih untuk menjalani latihan tertentu sehingga ke Rawang? Apa sebenarnya agenda tersembunyi di sebalik program sia-sia seperti ini? Siapa pula yang meraih laba daripada projek ini?


Usaha untuk menaik taraf tahap latihan di bawah anjuran MAB amat baik. Ia sekaligus akan mampu untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme dalam kalangan para pelatih yang bakal dikeluarkan. Namun demikian, program yang murni seperti itu akan tercalar jika ada agenda tersembunyi di sebalik pelaksanaannya. Dengan erti kata lain, semua pihak harus benar-benar ikhlas apabila mengendali dan menguruskan MAB. Adalah amat malang sekali jika ada pihak yang bersikap sambil menyelam minum air dalam menguruskan MAB. Saya dan seluruh warga cacat penglihatan di negara ini benar-benar berharap perkara seperti itu tidak menjadi kenyataan di MAB. Adakah hasrat murni ini merupakan satu realiti hari ini?


Kalau dahulu MAB merupakan badan yang cukup berauthoriti dalam hal ehwal sistem tulisan Braille. Bahan-bahan bacaan Braille yang dihasilkan oleh MAB bermutu tinggi dan sering menjadi rujukan pelbagai pihak. Nama-nama seperti Puan Elinah Karim dan juga Puan Leow merupakan antara mereka yang amat cekap dengan tulisan Braille walaupun kedua-duanya merupakan golongan yang berpenglihatan. Namun demikian, MAB gagal mengekalkan apa yang pernah dimilikinya suatu ketika dahulu. Mantan pengarah eksekutif MAB )kalau beliau telah undur) tahu ke hal seperti ini?


Sekiranya MAB sibuk untuk menghadapi pelbagai kontrovesi, bila pula masa ia dapat memberi tumpuan dan perhatian kepada isu-isu yang sedang dihadapi oleh golongan cacat penglihatan di negara ini? Apakah peranan berkesan yang telah dimainkan oleh MAB dalam membantu pihak kerajaan untuk merealisasikan dasar 1% penempatan golongan OKU (khususnya OKU penglihatan) di sektor awam? Sejauh mana pula MAB telah berperanan untuk membantu golongan penjaja tisu dan pemuzik buta jalanan dalam mengharungi kehidupan yang kian mencabar? Adakah sekadar mengutip dan menyimpan statistik semata-mata? Isu penjaja tisu dan pemain muzik jalanan dalam kalangan orang buta merupakan isu yang seakan masih belum ada penghujungnya. Di mana-mana sahaja masyarakat umum akan memperkatakannya. Saya yakin majoriti Ahli Council pasti menyedari hakikat ini kerana mereka pasti dapat menyaksikannya hampir setiap hari. Apa tindakan berkesan yang telah mereka laksanakan untuk memperbaiki keadaan? Apa pula peranan yang telah dimainkan oleh MAB dalam membantu golongan cacat penglihatan yang berbakat dalam bidang muzik terutamanya di peringkat sekolah? Sejauh mana pula pihak MAB telah menyalurkan maklumat, info, statistik serta saranan membina dalam melonjakkan usaha bagi mengangkat bidang muzik untuk menjadi suatu profesion yang benar-benar dapat menjamin masa depan golongan cacat penglihatan?


Sebenarnya banyak lagi isu-isu yang sedang melanda golongan cacat penglihatan yang memerlukan bantuan dan pertolongan daripada badan-badan seperti MAB untuk menyelesaikannya. Saya amat yakin, sekiranya semua pihak khususnya di MAB memberikan tumpuan dan perhatian yang betul, berfokus serta ikhlas untuk membantu, pasti isu-isu sebegini akan dapat ditangani dengan lebih berkesan. Bahkan banyak lagi isu lain yang boleh ditangani dengan baik dan secara menyeluruh pula. Hasilnya golongan cacat penglihatan juga yang akan dapat menikmatinya.


Sesungguhnya MAB tidak boleh dijadikan sebagai batu loncatan oleh mana-mana pihak bagi mencapai agenda tersembunyi masing-masing. Saya tidaklah mengatakanbahawa ia sudahpun terjadi, tetapi saya dan seluruh golongan cacat penglihatan amat berharap agar ia tidak akan terjadi. Semoga harapan tidak tinggal harapan semata-mata.


Walaupun ahli-ahli Council bukan dipilih oleh majoriti golongan cacat penglihatan, tetapi mereka menjawat jawatan selaku ahli Council atas nama orang buta dan mengendalikan sebuah organisasi yang berfungsi untuk memberikan perkhidmatan kepada orang buta. Organisasi ini pula mendapat pelbagai geran dan bantuan daripada pelbagai pihak serta akan mengutip derma juga atas nama orang buta. Majoriti ahli Council faham ke perkara-perkara seperti ini?


MAB harus kembali ke landasan asal penubuhannya. Seandainya D.R. Bridges masih hidup masa ini, saya rasa beliau juga akan turut merasai dukacita dengan apa yang menimpa MAB hari ini. Walaupun salah seorang Ahli Council pernah mendakwa bahawa beliau mengenali D.R. Bridges secara peribadi, tetapi pada pemerhatian saya ahli Council yang seorang ini sebenarnya telah gagal meneruskan aspirasi dan apa yang pernah dihasratkan oleh mendiang Bridges itu sendiri. Ahli Council yang seorang ini bukan sahaja bersuara bagai tidak bermaya, tetapi saya rasa beliau juga telah gagal untuk menguruskan bidang tugasnya secara lebih tegas dan berkesan.


Salam dari Jengka.





Friday, February 1, 2013

Menziarahi Ustaz Omar Said



Tengah hari semalam (31 Januari), saya bersama-sama 8 orang ahli dan kakitangan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah menziarahi Ustaz Omar Said di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ustaz Omar kini sedang menjalani rawatan penyakit kanser yang sedang beliau tanggung. Untuk maklumat bersama, Ustaz Omar ialah Timbalan Pengarah Operasi,Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).


Berdasarkan nada suaranya, saya pasti Ustaz Omar begitu gembira sekali menerima kunjung ziarah daripadda saya serta ahli-ahli PERTIS. Beliau tidak henti-henti bercerita khususnya mengenai penyakitnya. Beliau turut bercerita mengenai jadual keluar masuk hospital yang harus beliau lalui setakat ini. Senaskah kitab suci Alquran turut berada di sisi beliau.


(Ustaz Omar di majlis anjuran PERTIS pada 20 ogos 2011).


Ustaz Omar bukanlah asing dengan PERTIS. Beliau pernah hadir beberapa kali dalam majlis anjuran PERTIS. Bila berucap, banyak nasihat dan panduan yang beliau berikan untuk PERTIS dan para ahlinya. Selain itu, beliau juga banyak membantu PERTIS terutamanya dalam aspek tunjuk ajar ke arah menjadi sebuah badan bukan kerajaan yang cemerlang. Justeru, seolahnya menjadi tanggungjawab saya serta seluruh ahli PERTIS untuk mengingati beliau tatkala beliau sedang diuji oleh Allah dengan penyakit yang sedang hadapi. Mudah-mudahan dengan kunjung ziarah serta sokongan moral yang kami berikan, setidak-tidaknya beliau punya sedikit sebanyak kekuatan untuk menghadapi penyakit yang sedang beliau tanggung.



(Ustaz Omar di Majlis anjuran PERTIS pada 28 Januari 2012).

Setelah kira-kira 15 minit, saya serta seluruh ahli dan kakitangan yang hadir meninggalkan wad. Kepada Ustaz Omar dan keluarga, kami juga memohon ribuan kemaafan kerana tiada buah tangan yang sempat kami bawa. Maklumlah rancangan kunjungan ziarah ini dibuat secara tiba-tiba iaitu selepas berakhirnya program Maulidul Rasul anjuran JAWI sebelumnya.


Kepada Ustaz Omar, saya serta seluruh warga PERTIS sentiasa berdoa semoga Ustaz sentiasa tabah dalam menghadapi ujian Allah ini. Kami juga tidak lupa berdoa semoga ustaz segera sembuh dan dapat menjalani kehidupan seharian seperti sediakala.


Salam dari Kuantan.