Friday, October 31, 2014

Bahan Penerbitan Braille JAKIM




Saya pernah menulis menerusi blog ini tentang usaha yang sedang dilakukan oleh Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menerbitkan bahan bacaan tertentu ke dalam tuisan Braille. Untuk maklumat bersama, bahan-bahan berkenaan telah pun mula diterbitkan oleh bahagian berkenaan sejak tahun 2013 lagi. Saya akui untuk menerbitkan bahan-bahan bacaan ke dalam tulisan Braille bukanlah satu usaha yang mudah. Amat banyak cabaran dan rintangan harus ditempuh dan terpaksa dirempuh bagi merealisasikan usaha sebegini.

Cadangan untuk menerbitkan bahan-bahan keagamaan ke dalam bentuk Braille sudah lama dikemukakan oleh beberapa individu. Namun demikian, atas kekangan tertentu ia masih terawang di tahap cita-cita dan azam semata-mata. Manakala badan-badan bukan kerajaan untuk golongan cacat penglihatan yang sedia ada pula masih jauh daripada berupaya untuk melaksanakannya atas pelbagai sebab. Kononnya ada badan tertentu yang khabarnya telah menjalinkan persefahaman dengan jabatan dan agensi tertentu untuk menerbitkan pelbagai bahan bacaan ke dalam bentuk Braille. Hasratnya itu turut diwar-warkan dalam media tertentu suatu ketika dahulu. Namun demikian, hingga kini hasilnya masih belum ketara lagi. Agaknya peralatan percetakan Braille yang ada dalam simpanan badan berkenaan mungkin untuk pamiran semata-mata, wallahu aalam.

Berbalik kepada JAKIM tadi, usaha ke arah menerbitkan bahan bacaan berkenaan mula dilaksanakan apabila Ustaz Mohd Kalam Mazad yang juga merupakan salah seorang penolong pengarah yang bertugas di Bahagian Dakwah telah ditukarkan ke Bahagian Penerbitan. Untuk maklumat bersama, Ustaz Mohd Kalam Mazad merupakan seorang yang cacat penglihatan. Beliau berkelulusan Sarjana dari Universiti Malaya.



Setelah ditempatkan di Bahagian Penerbitan, Ustaz Kalam telah mula mengorak langkah untuk merealisasikan hasrat menerbitkan bahan-bahan bacaan keagamaan keluaran JAKIM ke dalam bentuk Braille. Pada peringkat awal, beliau telah berusaha dan berjaya memperolehi dua unit embosser (Braille printer) yang ditempatkan di bahagian berkenaan. Komputer yang beliau gunakan juga turut dilengkapi dengan perisian pembaca skrin. Selanjutnya beliau telah berjaya mendapatkan kelulusan untuk membeli bahan-bahan untuk percetakan Braille seperti kertas. Selanjutnya, Ustaz Kalam sendiri telah berusaha untuk mempelajari selok-belok untuk mengendalikan embosser berkenaan. Beliau cukup gigih berlatih untuk mengendalikan perlatan berkenaan. Beliau juga tidak pernah bosan untuk bertanya kepada sesiapa sahaja jika menghadapi masalah sama ada dalam aspek pengendalian embosser ataupun aspek kemahiran tulisan Braille itu sendiri.

Sehingga kini, sebanyak 24 tajuk telah diterbitkan ke dalam tulisan Braille. Walaupun hanya mempunyai dua unit embosser, tetapi tajuk yang telah berjaya diterbitkan ke dalam Braille pelbagai dan sudah berpuluh banyaknya. Manakala jumlah golongan cacat penglihatan yang sudah merasai manfaat hasil usaha beliau semakin ramai bilangannya. Beliau tidak perlu menunggu jumlah embossernya sampai berdozen baru hendak memulakan usaha sedemikian.

Setakat yang saya maklum, bahan-bahan penerbitan Braille JAKIM telah diedarkan kepada pengguna sasar menerusi beberapa badan bukan kerajaan yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan. Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) merupakan antara badan yang turut berfungsi sedemikian.

Pada hemat saya, usaha yang sedang dilaksanakan oleh Ustaz Kalam patut dipuji. Kita juga seharusnya memberikan sokongan mengikut apa yang kita mampu. Jangan biarkan beliau berusaha seorang diri. Kelak dikhuatiri luntur pula semangatnya yang sedang membara. Di samping itu, dengan sokongan daripada kita, diharap ia akan menambah lagi kekuatan semangat untuk Ustaz Kalam meneruskan usaha murni beliau.

Sekiranya fungsi unit penerbitan Braille JAKIM berterusan, sudah tentulah ia akan mempunyai masa depan yang lebih cerah. Fungsinya boleh dipelbagaikan lagi. Di samping itu, jika wajar dan sesuai, tambahan kakitangan mungkin boleh diusahakan bagi memantapkan lagi fungsi dan mempelbagaikan tajuk serta kandungan bahan keluaran unit berkenaan.

Saya suka mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Ustaz Kalam di atas usaha yang sedang beliau laksanakan. Mudah-mudahan ia akan berterusan dan sentiasa beroleh keberkatan daripada Allah hendaknya, insha-Allah.

Di bawah ini saya senaraikan tajuk bahan yang telah diterbitkan dalam bentuk tulisan Braille oleh Bahagian Penerbitan JAKIM sehingga kini:

1. Elak Sambut Valentine’s Day

2. Hujah Menolak Penggunaan Kalimah Allah Oleh Kristian

3. garis panduan sambut raya kafir

4. Soal jawab isu shi'ah di Malaysia

5. GARIS PANDUAN BERSUKAN MENURUT PERSPEKTIF Islam

6. larangan merokok dan shisha

7. FATWA MUNAKAHAT

8. Garis Panduan Ibadat Di I S S

9. MURTAD BUKAN HAK ASASI

10. Sistem Pembahagian Pusaka Dalam Islam

11. PANDUAN SOLAT SUNAT TARAWIH

12. Panduan Berpuasa Bagi Pesakit

13. Garis Panduan Bedah Siasat Mayat Menurut Perspektif Islam

14. GARIS PANDUAN Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan
Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci
Al-Quran

15. DILEMA WANITA BERKERJAYA

16. garis panduan program motivasi berunsur Islam

17. KONSEP PERCUKAIAN ISLAM GST

18. GARIS PANDUAN NIKAH CERAI DAN RUJU'

19. Allah Kalimah Tauhid

20. POLIGAMI DI Malaysia

21. GARIS PANDUAN PEMBINAAN DAN PENGURUSAN DATARAN PERINGATAN DAN
SEUMPAMANYA MENURUT PERSPEKTIF Islam

22. PANDUAN TAYAMMUM, WUDUK DAN SOLAT BAGI PESAKIT

23. risalah khas maulidur rasul

24. HUKUM PERADUAN SMS DAN MENYERTAINYA


Monday, October 27, 2014

Tuan Haji Anuar Mohamed




Petang semalam, ketika dalam perjalanan pulang ke KL dari menghadiri satu bengkel di Bandaraya Bersejarah Melaka, saya sekeluarga telah singgah di rumah Tuan Haji Anuar Mohamed di Seremban. Sehari sebelumnya, Tuan Haji Anuar telah menelefon saya dan memaklumkan beliau telah selamat pulang daripada menunaikan haji. Selanjutnya beliau telah menjemput saya untuk datang ke rumahnya. Memandangkan petang keesokannya saya akan pulang ke KL, maka saya terus memberi persetujuan untuk berkunjung ke rumah beliau iaitu semasa pulang ke KL.



Sebenarnya, sewaktu beliau akan berangkat ke tanah suci pada awal September lalu, saya juga ada dimaklumkan mengenainya. Namun demikian, gara-gara tersalah rancang, hasrat saya untuk menemui Tuan Haji Anuar sebelum pemergian beliau ke tanah suci tidak kesampaian. Saya sekeluarga sudah pun tiba di perkarangan Tabung Haji di Kelana Jaya, tetapi terlewat beberapa minit. Sewaktu saya tiba, beliau telah pun masuk untuk proses keberangkatan. Oleh itu, kesempatan untuk bertemu beliau kali ini tidak akan saya lepaskan.



Tuan Haji Anuar merupakan antara pensyarah yang pernah mengajar saya ketika saya menuntut di peringkat Diploma Pendidikan Malaysia di Maktab Perguruan Raja melewar (MPRM), Seremban, Negeri Sembilan. Kini maktab berkenaan sudah dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar. Tuan Haji Anuar telah pun bersara hampir 10 tahun lalu.

Semasa di MPRM dahulu, saya telah memilih sejarah sebagai opsyen pengajian. Manakala Tuan Haji Anuar pula merupakan pensyarah untuk opsyen berkenaan. Sewaktu di dalam kelas, hubungan kami adalah sebagai guru dengan murid. Manakala di luar kelas pula, hubungan kami tak ubah seperti kawan lama yang sudah kenal mesra. Sebenarnya hubungan mesra antara saya dengan beliau telah mula terjalin sejak saya mula mendaftar masuk ke MPRM lagi. Saya dan Yong Chwan Fwu merupakan kumpulan pertama guru pelatih cacat penglihatan yang berpeluang menuntut di MPRM untuk kursus Diploma Pendidikan Malaysia dalam program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

Selama setahun saya berada di bawah didikan beliau, maka banyak sekali ilmu yang telah beliau curahkan. Saya juga banyak terikut-ikut stail dan kaedah yang beliau praktikkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Bagi saya juga, beliau merupakan seorang guru yang cukup understanding.

Salah satu sifat beliau yang cukup berkenan pada hati saya ialah sikapnya yang suka berterus-terang. Kalau beliau tidak gemar dan tidak suka pada sesuatu, beliau akan memberitahunya secara terus-terang tetapi dengan cara berhemah. Kalau beliau gemar dan suka pada sesuatu pula, beliau juga akan memberitahunya tanpa berlebih-lebihan. Sikap inilah yang sukar untuk saya temui pada orang lain.

Satu perkara yang membuatkan saya akan mengingati beliau untuk selama-lamanya ialah sikap beliau yang cukup positif terhadap golongan cacat penglihatan. Saya masih ingat lagi sewaktu saya mula-mula mendaftar di MPRM, beliau ada bertanya kepada saya, “Tahu kenapa saudara dihantar ke sini (MPRM)?” (Masa itu baru bertemu jadi belum betul-betul mesra lagi). Saya jawab, “Sebab saya nak ambil opsyen sejarah.” Kata beliau, ”Bukan, saudara dihantar ke sini sebab saudara memang layak untuk belajar di sini.” Saya cukup lega dengan jawapan beliau.

Saya ketengahkan perbualan di atas kerana pada masa yang sama, ada juga pensyarah lain yang bertanya kepada saya, mengapa saya dan Yong tidak dihantar ke Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK)? Alasannya di MPIK ada kemudahan sedangkan di MPRM tiada kemudahan langsung untuk guru pelatih seperti saya.

Sepanjang saya menjadi muridnya, tidak pernah sekali pun saya menemui sikap negatif Tuan Haji Anuar terhadap orang seperti saya. Beliau sentiasa memandang dengan pandangan yang betul dan tulus. Sikap positih tidaklah bermakna semua betul belaka. Jika saya membuat silap, beliau akan menegur dengan cara yang berhemah. Selain itu, beliau juga tidak membezakan antara muridnya yang berpenglihatan dengan muridnya yang tidak berpenglihatan seperti saya dan Yong. Kami semua dilayan sama rata.

Dalam kunjungan petang semalam, saya berhasrat untuk singgah sekitar setengah jam sahaja. Namun begitu, oleh kerana seronok bertemu dan berbual, saya bertamu di rumah beliau hampir dua jam lamanya. Berbagai perkara yang kami bualkan. Tuan Haji Anuar cukup seronok bercerita tentang pengalamannya ketika menunaikan haji. Beliau turut berkongsi beberapa perkara untuk saya jika menunaikan haji kelak. Kami juga bercakap tentang dunia pendidikan dahulu dan sekarang.



Selain itu, saya turut terharu bila beliau menghadiahkan saya jubah yang dibelinya ketika di tanah suci khas untuk saya. Pandai beliau memilih jubah yang cukup cocok dan sesuai dengan badan saya. Secara berseloroh, Tuan Haji Anuar berkata, masa hendak beli jubah untuk saya, dia tengok sosok tubuh orang Arab yang hampir sama dengan sosok tubuh saya. Bukan setakat hadiahkan jubah, bahkan Tuan Haji Anuar turut memakaikan jubah tersebut ke badan saya. Terasa kemesraan yang tak mungkin padam buat selama-lamanya, insha-Allah.



Selain jubah, ada lagi beberapa hadiah lain yang diberikan kepada saya sekeluarga. Malu alah saya dibuatnya kerana sebelum beliau berangkat ke tanah suci, tiada apa yang saya berikan kepada beliau.

Satu perkara yang saya dapat belajar daripada Tuan Haji Anuar ialah, jika seseorang guru itu bersikap positif, maka muridnya pasti akan positif dan yakin ketika dalam alam pekerjaan kelak.



Sesungguhnya kunjungan petang semalam telah mengeratkan lagi hubungan dan kemesraan bukan sahaja antara saya dengan Tuan Haji Anuar, tetapi ia turut mengeratkan hubungan antara keluarga saya dengan keluarga beliau. Saya sentiasa berdoa semoga Tuan Haji Anuar dan keluarganya sentiasa dalam rahmat dan rahim Ilahi hendaknya sepanjang masa, dunia dan akhirat. Jauh dalam hati, saya juga berharap semoga hubungan mesra sebegini akan diteruskan oleh generasi selepas kami kelak.



Saturday, October 25, 2014

Salam Maal Hijrah 1436




Sebesar-besar syukur kita terhadap Allah kerana telah memanjangkan usia kita lagi. Dengan kurniaan itu, kita semua dapat melangkah ke tahun hijrah yang baru iaitu 1436 hijrah. Mudah-mudahan juga kita telah selamat dan berjaya membaca doa akhir tahun hijrah sebelum masuk maghrib petang semalam dan seterusnya telah membaca doa awal tahun hijrah sejurus masuknya waktu maghrib.

Lazimnya di negara kita, setiap permulaan tahun hijrah, ia akan diselitkan dengan tema tertentu. Bukan sahaja awal tahun hijrah, banyak lagi peristiwa yang kita sama-sama lalui akan juga diselitkan dengan tema-tema tertentu. Nampaknya negara kita mungkin antara yang paling kaya dengan tema yang pelbagai.

Peristiwa hijrah pula ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Peristiwa tersebut tidak sahaja dilihat menerusi fizikalnya tetapi ia turut cuba diselami dengan pelbagai tafsiran tersirat. Tujuannya sudah tentulah untuk cuba melihat peristiwa hijrah itu dari pelbagai sudut dan persepsi.

Perpaduan merupakan aspek yang cuba dirungkai sebagai teras kepada kejayaan transformasi yang sedang diusahakan oleh pihak yang berkuasa. Dengan bersandarkan semangat hijrah, adalah diharapkan semoga pelbagai rancangan transformasi negara akan dapat dicapai menerusi perpaduan. Ia juga mungkin selaras dengan pesan orang tua-tua dahulu kala, bersatu teguh, bercerai roboh, atau bulat air kerana pembentung dan bulat manusia kerana muafakat.

Islam juga sudah lama meletakkan perpaduan sebagai asas kepada sesuatu kejayaan. Maka itulah juga, Islam menganggap seluruh umat Islam itu bersaudara. Kita sebenarnya dituntut supaya sentiasa bersatu dan berpadu umpama saudara bersaudara. Berlainan bangsa tidak sama sekali menjadi masalah kerana kita sepatutnya bersatu dan disatukan dalam satu akidah yang sama.

Selagi asas kepada perpaduan itu ialah Islam, maka saya amat yakin perpaduan amat mudah dicapai. Sebaliknya jika Islam tidak dijadikan asas utama kepada perpaduan, maka yakinlah sampai bila pun perpaduan itu tidak akan dapat dicapai. Kita selalu mendengar orang-orang politik menyeru orang ramai supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar atau supaya kita mengikut ajaran seperti yang terkandung dalam Alquran dan hadith. Sehingga kini, saya merasakan seruan sedemikian tidak lebih bagai ketam mengajar anak-anaknya supaya berjalan lurus. Apa yang saya dapat perhatikan, lazimnya dalam banyak hal orang politik tanpa mengira kumpulan mana sekali pun akan lebih mengutamakan golongan yang sealiran dengan mereka lebih dahulu. Jadi, seruan agar kita semua harus bersatu padu tak ubah bagai memukul tin kosong sahaja.

Justeru, bersempena dengan tahun baru hijrah kali ini, marilah sama-sama kita menjadikan Islam sebagai asas untuk segala-galanya. Yakinlah dengan Islam tanpa sedikit pun rasa syak, zan dan waham. Kepada orang-orang politik, anda semualah yang seharusnya terlebih dahulu menunjukkan contoh teladan bagaimana cara terbaik untuk bersatu padu atas nama Islam tanpa dibatasi oleh ideologi politik. Apa yang sering terpampang dan dipamirkan ialah walaupun sebangsa dan seagama tetapi sukar untuk golongan ahli siasah ini dilihat bersatu atas nama Islam. Jadi jika golongan ahli siasah gagal mempamirkan contoh yang betul, apa diharap pula kepada rakyat jelata!

Salam maal hijrah 1436.


Thursday, October 16, 2014

Kompas Kiblat Untuk Masyarakat Cacat Penglihatan




Sekitar dua tahun lalu, saya ada menulis menerusi blog inimengenai inovasi menghasilkan kompas kiblat untuk mereka yang cacat penglihatan. Kompas berkenaan telah diusahakan oleh beberapa pelajar dari sebuah politeknik di Shah Alam. Namun demikian, usaha berkenaan hanya sekadar untuk percubaan sahaja. Sehingga kini, tiada usaha lanjut untuk menambah baik kompas berkenaan. Satu sesi ujian telah diadakan di ibu pejabat PERTIS pada hujung tahun 2012. Ia terhenti setakat itu sahaja. Justeru, hingga kini tiada perkembangan yang saya dengar mengeninya. Walhal jika inovasi berkenaan benar-benar dibangunkan, saya amat pasti ia akan mendapat sambutan hangat daripada pengguna sasarnya. Maklumlah keupayaan untuk menentukan arah kiblat yang tepat secara bersendirian merupakan suatu nikmat yang tiada taranya.

Saya berpendapat, inovasi sedemikian tidak boleh terhenti setakat untuk sesi percubaan semata-mata. Sesuatu perlu diusahakan supaya inovasi sedemikian dapat dibangunkan ke tahap maksimum supaya ia kemudiannya akan benar-benar dapat dimanfaatkan oleh golongan sasar. Hendak diharap kepada para pelajar daripada politeknik berkenaan, saya hampir sudah putus hubungan dengan mereka. Setelah menoleh ke kanan dan ke kiri, memandang ke atas dan ke bawah, alhamdulillah akhirnya Tuhan telah membuka jalan lain supaya inovasi sedemikian dapat diteruskan.

Kalau saya tidak silap, hampir setahun yang lalu, saya ada bercerita tentang keperluan dan kegunaan kompas kiblat untuk mereka yang cacat penglihatan kepada Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy, salah seorang pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Setelah mendengar apa yang saya luahkan, beliau memberitahu saya bahawa penyelidikan untuk menghasilkan kompas kiblat untuk golongan cacat penglihatan baru sahaja dimulakan ketika itu. Penyelidikan tersebut memang dilaksanakan sepenuhnya di bawah FKM UTM.

Saya turut memaklumkan kepada beliau, bahawa kompas bersuara untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan sudah pun ada di pasaran. Kompas berkenaan dihasilkan dari luar negara. Kompas berkenaan akan memberitahu arah ia dihalakan dalam bentuk suara. Sebagai contoh, jika kita halakan kompas berkenaan ke arah timur, suara daripada kompas berkenaan akan menyebut “timur”. Kompas berkenaan didatangkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu/indonesia. Walau bagaimanapun, kompas untuk menunjuk arah kiblat untuk mereka yang cacat penglihatan belum ada lagi. Berdasarkan info yang saya salurkan, Dr. Zarhamdy dan kumpulan penyelidiknya telah membeli dua unit kompas bersuara dari kedai Rani di Brickfields.

Sewaktu saya menghadiri satu bengkel di Port Dickson pada pertengahan Jun lalu, Dr. Zarhamdy ada menunjukkan kepada saya rangka asas kompas berkenaan. Beliau juga turut memberi penerangan agak terperinci bagaimana kompas berkenaan akan berfungsi. Beliau juga memberitahu saya, sekitar sebulan lagi, kompas berkenaan boleh diuji. Saya sangat gembira dan bersyukur dengan perkembangan berkenaan.

(beberapa foto ketika sesi ujian pertama dilangsungkan)









Pada 17 Julai 2014 (Khamis), sesi ujian kali pertama telah diadakan. Ujian berkenaan telah berlangsung di Bilik Gerakan, di sekolah tempat saya bertugas (dengan pengetahuan dan kebenaran daripada pihak sekolah). Manakala respondennya pula terdiri daripada 4 orang guru cacat penglihatan yang bertugas di sekolah berkenaan termasuklah saya. Sesi ujian berkenaan dikendalikan sendiri oleh kumpulan penyelidik terlibat dengan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zarhamdy sendiri.

Dalam sesi berkenaan, saya serta rakan-rakan senasib yang lain telah ditunjukkan bagaimana kompas berkenaan berfungsi. Kami turut berpeluang untuk menguji keberkesanan kompas berkenaan. Selain itu, kami berempat juga turut memberi beberapa saranan untuk menambah baik lagi kompas berkenaan.

(beberapa foto ketika sesi ujian kedua dilangsungkan)






Pada 22 Ogos 2014 (Jumaat) pula, sesi ujian kali kedua telah berlangsung. Kali ini sesi ujian telah dilaksanakan di ibu pejabat PERTIS di Kuala Lumpur. Manakala respondennya pula terdiri daripada 3 orang kakitangan ibu pejabat PERTIS, seorang pelatih dan saya sendiri. Oleh kerana saya terlibat dalam sesi pertama dan kedua, maka saya dapat merasai beberapa kemajuan yang telah dibuat. Di samping itu, kami juga tidak serik untuk mengajukan lagi beberapa saranan bagi menambah baik lagi kompas berkenaan.

Selain daripada kedua-dua sesi ujian berkenaan, pada 18 Julai 2014 (Jumaat) satu unit kompas berkenaan juga telah diberikan kepada Ustaz Mohd Kalam Mazad yang bertugas sebagai Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan, JAKIM. Selain itu, beberapa unit kompas berkenaan juga telah diberikan kepada PERTIS Terengganu. Tujuan ia diberikan kepada pihak-pihak berkenaan ialah untuk menguji kebolehgunaan serta memberi respon kepada kumpulan penyelidik yang seterusnya akan melakukan penambahbaikan jika perlu.

(hasil ujian ketika di kawasan Seremban)


Bagi memantapkan lagi kebolehgunaan kompas berkenaan, ia turut diuji di Singapura. Selain itu, satu unit kompas turut diberikan kepada saya untuk diuji di lokasi tertentu. Justeru, saya telah mengujinya ketika pulang ke Melaka dan Kuantan. Saya turut berkesempatan untuk mengujinya ketika berada di Seremban dan di Port Dickson. Saya juga turut membawa dan menggunakannya ketika solat Jumaat. Kompas ini amat bermanfaat terutamanya di tempat yang tiada penunjuk arah kiblat yang jelas seperti kedudukan sejadah. Saya dimaklumkan, kegunaan kompas ini setakat ini hanya untuk dalam negara sahaja.

Setakat yang saya maklum, kompas berkenaan masih lagi di peringkat percubaan. Namun demikian, walaupun ia masih di peringkat percubaan, kebolehgunaan dan ketepatan arah kiblatnya hampir 100%. Ini berdasarkan hasil ujian yang dapat saya buat setakat ini di beberapa lokasi. Ia juga berdasarkan beberapa hasil ujian lain yang turut dilaksanakan oleh kumpulan penyelidik berkenaan.



Untuk maklumat bersama, pengguna kompas ini akan dapat mengetahui arah kiblat yang betul kerana kompas ini akan menghasilkan bunyi tertentu bila ia dihalakan betul-betul ke arah kiblat. Setakat ini, fungsi kompas ini semata-mata hanya untuk menunjukkan arah kiblat.

Keprihatinan Dr. Zarhamdy dan kumpulan penyelidiknya tidak setakat menghasilkan inovasi kompas berkenaan semata-mata. Setakat yang saya maklum, beliau dan kumpulannya sudah mula mencari penyumbang/penaja secara kecil-kecilan bagi membolehkan kompas berkenaan diberikan secara percuma kepada golongan sasar. Walau bagaimanapun, untuk maklumat bersama, kompas berkenaan masih belum berupaya untuk dihasilkan secara besar-besaran atas beberapa kekangan. Jika saya tidak silap, kumpulan penyelidik berkenaan masih tiada hasrat untuk menjual kompas berkenaan. Setakat yang saya maklum juga, pihak-pihak yang berkenaan juga belum melantik mana-mana pihak lain untuk menjual kompas berkenaan. Apa yang mereka sedang usahakan ialah untuk mencari penyumbang/penaja bagi membolehkan kompas berkenaan diedarkan secara percuma kepada golongan pengguna sasar. Kalau saya tidak silap juga, pada kompas itu nanti akan ada tertera ungkapan “bukan untuk dijual”.

(bentuk kompas kiblat terkini)


Saya pernah mencadangkan agar satu majlis pelancaran untuk inovasi ini dibuat agar ia diketahui oleh orang ramai. Namun demikian, cadangan saya masih belum diberi pertimbangan lagi oleh pihak-pihak yang berkenaan. Menurut mereka, yang lebih penting ialah golongan sasar dapat manfaatnya. Marilah kita sama-sama berdoa semoga usaha murni ini akan dipermudahkan dan mereka yang terlibat dengan penyelidikan ini akan diberkati selama-lamanya oleh Yang Maha Kuasa.



Sunday, October 12, 2014

Aktiviti Sekolah: Kem BM, KM Dan Sejarah



Dari 10 hingga 12 Oktober 2014 (Jumaat hingga Ahad), murid-murid tingkatan 5 di sekolah tempat saya bertugas telah menghadiri satu perkhemahan akademik, iaitu Kem BM, KM dan Sejarah. Program berkenaan telah berlangsung di Alang Sendayu, Gombak, Selangor.

Penganjuran perkhemahan akademik di luar sekolah merupakan satu lagi strategi untuk meningkatkan pencapaian murid dalam pelajaran. Setidak-tidaknya mereka dapat menimba ilmu di lokasi yang berbeza dan dalam suasana yang berbeza. Mereka tidak hanya terkongkong dalam bilik darjah semata-mata. Inilah yang dikatakan sebagai Pendidikan Luar Bilik Darjah (PLBD).



Seramai 17 daripada 29 murid tingkatan 5 telah menghadiri program berkenaan. Mereka turut disertai 3 orang murid tingkatan 4. Selain itu, Guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Sejarah yang mengajar tingkatan tersebut turut terlibat selaku pengendali seminar. Di samping itu, guru ketua panitia Bahasa Melayu dan Sejarah turut bersama-sama mengikuti program berkenaan. Program ini turut dibantu oleh 3 orang kakitangan pembantu pengurusan murid (PPM). Cikgu Zinaida Ariffin selaku Ketua Bidang Bahasa merupakan tonggak utama kepada program ini.


Setakat yang saya ingat, ini bukan kali pertama lokasi Alang Sendayu dijadikan tapak program perkhemahan akademik seperti ini. Kalau tidak silap ingatan saya, program yang sama pada tahun lepas juga turut diadakan di sini.







Saya telah tiba ke lokasi aktiviti pada pagi Sabtu. Sebelum memulakan aktiviti sebenar, saya turut menyertai murid-murid yang lain untuk bersarapan. Suasana segar di persekitaran lokasi aktiviti membuatkan sarapan kami lebih berselera.



Selaku guru mata pelajaran sejarah untuk seluruh tingkatan 5 tahun ini, maka saya telah diamanahkan untuk mengendalikan 2 slot. Kedua-dua slot kendalian saya dijadualkan pada sebelah pagi Sabtu (11 Oktober).



Bermula tahun lepas (2013), mata pelajaran Sejarah sudah jadi mata pelajaran yang wajib lulus peringkat SPM. Selain itu, bermula tahun lepas juga, mata pelajaran Sejarah sudah mempunyai 3 kertas yang peru diduduki oleh semua calon. Selain kertas 1 dan 2, setiap calon juga harus menduduki kertas 3.



Untuk slot pertama, saya memberi tumpuan kepada kertas 1. Murid-murid bukan sahaja didedahkan dengan bentuk soalan dalam kertas ini, saya turut menunjukkan kaedah bagaimana untuk memilih pilihan jawapan yang paling tepat.



Slot kedua pula saya isi dengan perbincangan untuk kertas 3. Keunikan kertas 3 ialah di mana calon dibenarkan untuk membawa masuk ke dalam dewan/bilik peperiksaan segala bahan rujukan yang sesuai dalam bentuk cetak. Walau bagaimanapun, calon sama sekali tidak dibenarkan membawa masuk alat/bahan elektronik. Bagi calon biasa pula, mereka diberi tempoh 3 jam untuk menjawab soalan kertas 3. Manakala tema umum bagi kertas berkenaan pula telah pun dikeluarkan sekitar 7 minggu sebelum tarikh peperiksaan. Demikianlah.


Untuk mata pelajaran sejarah, kunci utama untuk berjaya ialah mesti rajin membaca. Perbezaan penting antara sejarah dengan cerita biasa ialah sejarah mesti ada fakta, data dan juga bukti. Oleh kerana mata pelajaran sejarah juga sudah mula dimasukkan dengan unsur-unsur kemahiran berfikir aras tinggi (k-bat), maka murid-murid juga harus berupaya menggunakan fakda dan data yang ada untuk menjangkau masa hadapan. Untuk memastikan apa yang dibaca berkesan dan dapat diingat lebih lama, saya juga sering mengingatkan murid-murid saya agar mempraktikkan formula BFICK.

Mengenai Alang Sendayu sebagai lokasi aktiviti, Saya dapat rasakan ia merupakan tapak dan lokasi yang cukup baik. Saya sendiri dapat merasai kesegaran udaranya dengan angin yang bertiup segar dan sepoi-sepoi bahasa. Dari tempat kami makan, saya dapat mendengar deruan aliran sungai yang tidak jauh dari situ. Jika saya seorang penyair, entah berapa sajak yang mungkin telah dapat saya hasilkan. Menurut saksi mata, tempat berkenaan sememangnya cantik, segar dan hijau.

Di bawah ini, saya kongsikan beberapa foto yang saya kira menarik tentang lokasi perkhemahan berkenaan.














Sesungguhnya golongan yang tidak berpenglihatan juga dapat merasai dan menikmati keindahan, kecantikan dan kesegaran fenomena alam ciptaan Tuhan dengan cara sendiri.

Friday, October 10, 2014

Saari Sungib



Hampir seminggu yang lalu, saya terbaca sebuah laporan dalam sebuah portal berita tentang dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib, dicerca oleh rakan-rakan separti dengannya (PAS) hampir setiap hari sejak muktamar PAS bulan lepas. Dakwanya lagi, pelbagai cercaan dilemparkan terhadap beliau terutama selepas berlangsungnya muktamar tersebut.

Antara lain, laporan portal berita tersebut saya petik seperti berikut:

”ADUN PAS Hulu Klang Saari Sungib hari ini mendakwa beliau dicerca oleh rakannya dalam parti Islam itu setiap hari sejak Muktamar PAS di Batu Pahat.



Beliau digelar dengan pelbagai nama termasuk 'munafik' sejak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka memanggil beliau dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin sebagai 'barua' dalam persidangan tahunan parti itu.”


Sepertimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, fitnah, cerca, caci dan maki merupakan perbuatan yang tidak seharusnya dilakukan terutamanya terhadap sesama kita saudara-bersaudara. Ia merupakan perlakuan keji yang selama-lamanya dikutuk Allah dan Rasul-Nya. Selaku umat Islam, kita amat dilarang untuk menyerupakan saudara-saudara yang seagama dengan kita dengan rupa dan gelaran yang keji dan jahat. Kalimah “munafik” merupakan antara gelaran buruk dan keji yang terdapat dalam Alquran yang ditujukan kepada golongan yang mempunyai kriteria tertentu. Apabila Alquran sudah mengkategorikan munafik kepada satu-satu golongan, maka ia adalah kutukan untuk selama-lamanya.

Justeru, adalah malang jika para jemaah yang berada dalam sebuah organisasi yang berorientasikan Islam gagal mendokong aspirasi dan ciri sebagaimana yang telah ditetapkan oleh agama kita. Bukankah menunjukkan dan mempamirkan akhlak yang baik walaupun dalam sebuah organisasi siasah juga merupakan sebahagian daripada kaedah dakwah? Alangkah baiknya jika ungkapan caci maki itu diganti dengan kalimah-kalimah yang baik dan barunsur nasihat? Walaupun Saari sudah dewasa orangnya, tetapi masih tidak salah jika kita sama-sama memberikan pandangan berbentuk nasihat kepada beliau.

Saya penuh yakin, caci maki dalam sebuah organisasi bukan kaedah penyelesaian yang baik. Bahkan jika ia menjadi amalan yang dihalalkan, perlakuan tersebut lambat-laun bakal menyumbang kepada kehancuran organisasi berkenaan. Perbuatan caci maki dan cerca hanya akan meretakkan hubungan dalam kalangan sesama jemaah. Apatah lagi dalam keadaan di mana Saari Sungib mungkin bukan berseorangan. Beliau mungkin ada pengikut dan penyokongnya yang tersendiri. Jadi, bila Saari Sungib dicaci dan dimaki, cacian dan makian itu sedikit sebanyak akan terpalit juga kepada para penyokong setia beliau. Jika situasi sebegini dibiarkan berterusan, pastilah lambat-laun krisis perpecahan akan melanda organisasi yang berkenaan.

Jika benar Saari Sungib ada melakukan kesalahan, maka ambil sahaja tindakan yang wajar ke atas beliau. Setakat yang saya tahu, setakat ini masih belum ada sebarang tindakan rasmi yang telah diambil ke atas beliau ekoran perbuatannya yang dikatakan salah itu. Apa yang sedang dilakukan ialah siasatan ke atas Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin sedang dilakukan. Bila tindakan lambat diambil ke atasnya, maka ia hanya memburukkan keadaan sahaja. Sekiranya perbuatannya tempoh hari tidak dianggap salah, maka kenyataan rasmi hendaklah dikeluarkan supaya kecelaruan dan kekeliruan yang timbul dapat dihapuskan.

Pada hemat saya, sekiranya mana-mana pihak berminat untuk bercakap dan berbincang mengenai apa yang telah dilakukan oleh Saari dan Hasnul, ia bukanlah suatu kesalahan, asalkan ia dilakukan tanpa selitan caci maki atau ungkapan yang seumpamanya. Perbincangan juga hendaklah terarah kepada mencari kebenaran dan untuk melakukan penambahbaikan pada masa hadapan. Ia juga boleh dilakukan dengan tujuan untuk melihat kesan dari tindakan tersebut khasnya kepada organisasi yang sedang dianggotainya.

Pada masa yang sama juga, Saari dan Hasnul tidak sepatutnya membelakangkan parti yang diwakilinya terutama bila berhadapan dengan situasi genting. Sepatutnya, sebelum kedua-dua ADUN berkenaan menandatangani apa sahaja akuan seperti itu, mereka harus merujuk kepada kepimpinan parti terlebih dahulu. Walaupun niatnya mungkin baik, tetapi jika kaedah pelaksanaannya kurang sesuai (kerana membelakangkan keputusan pimpinan) ia akan berakhir dengan tidak baik juga seperti yang berlaku sekarang.

Saari Dan Hasnul juga harus memikirkan kesan tindakan mereka kepada kumpulan yang lebih besar iaitu kepada organisasi yang mereka sedang wakili. Hasil daripada menandatangani akuan berkenaan tanpa merujuk kepada kepimpinan terlebih dahulu, PAS dipermainkan oleh rakan-rakan sendiri. Kononnya ada yang beranalogi PAS masih belum pandai main bola. Di samping itu, tahap penghormatan rakan dan lawan terhadap PAS juga berada di tahap terendah sejak selepas pilihanraya umum tahun lalu. Gara-gara tergopoh-gapah menandatangani akuan berkenaan juga, menyebabkan mesyuarat jawatankuasa pusat PAS pada 17 Ogos lalu tidak lagi dipandang penting dan berkepentingan. Mesyuarat tersebut dianggap sekadar untuk memenuhi jemputan dan agenda mesyuarat sahaja. Penganalisis tertentu sudah dapat mengagak keputusan yang bakal dikeluarkan oleh mesyuarat tersebut gara-gara tindakan kedua-dua ADUN berkenaan. Selain itu, dengan membelakangkan kepimpinan parti, kekuatan PAS di DUN Selangor juga turut diragui. Walaupun PAS berkekuatan 15 kerusi, tetapi adakah benar kekuatan PAS ddi DUN Selangor benar-benar 15 orang?

Pada masa yang sama, walaupun jumlah ADUN PKR di DUN Selangor semakin mengecil, tetapi parti berkenaan boleh muncul sebagai sebuah kumpulan yang kuat dan besar yang melampaui saiz ahlinya. Semuanya ini berpunca daripada sikap membelakangkan pimpinan jemaah sendiri oleh kedua-dua ADUN PAS berkenaan. Justeru tidak pelik bilamana jawatan tertinggi eksekutif negeri masih didalam genggaman PKR sedangkan parti tersebut baru sahaja hilang satu kerusi lagi gara-gara pemecatan ke atas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bekas MB Selangor.

Ahli-ahli politik PAS tidak seharusnya mencontohi budaya “belot dan lompat” yang sering berleluasa dalam parti lain. Sesungguhnya budaya berkenaan telah merosakkan kepercayaan orang ramai terhadap organisasi yang telah membudayakannya. Kesan daripada budaya berkenaan jugalah sejarah telah memaparkan beberapa krajaan negeri dalam Persekutuan Malaysia pernah jatuh tertiarap sebelum tempoh usianya matang.

Sekiranya Saari dan Hasnul benar-benar sudah berpatah arang dengan corak dan cara kepimpinan PAS yang ada, kedua-duanya hendaklah keluar parti dahulu kemudian barulah nyatakan sokongan terhadap mana-mana kumpulan siasah yang ada. Sebaliknya selagi kedua-duanya masih ahli kepada jemaah berkenaan, adalah tidak wajar membelakangkan jemaah atas apa-apa tujuan sekali pun. Kedua-duanya sepatutnya sentiasa mendahulukan kepentingan ramai daripada kemahuan sendiri. Sebagai ahli kepada satu jemaah yang besar, kedua-dua ADUN berkenaan tidak seharusnya membelakangkan kepimpinan jemaah yang dianggotainya. Selain itu kedua-dua ADUN berkenaan juga harus mematuhi keputusan majoriti dalam jemaahnya walaupun keputusan tersebut tidak secocok dengan pendirian mereka berdua. Itulah hidup berjemaah namanya.

Sesungguhnya orang ramai khususnya di Selangor sedang tercari-cari motif sebenar di sebalik tiga peristiwa yang telah berlaku, Langkah Kajang, pemecatan Tan Sri Abdul Khalid daripada PKR dan keperluan menggantikan jawatan MB Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid dengan orang lain. Orang ramai juga sedang ternanti-nanti apakah bentuk kesalahan yang telah dilakukan oleh Tan Sri Abdul Khalid sehingga beliau dipecat daripada PKR dan harus berundur daripada jawatan MB yang disandangnya sejak tahun 2008 lalu.


Monday, October 6, 2014

Hari Raya Qurban



Pada hari raya Aidil Adha kali ini, saya sekeluarga menyambutnya di Kuantan. Sebagaimana biasa, kami sekeluarga mengadakan takbir dan tahlil selepas solat isya berjemaah. Manakala persiapan adalah sederhana sahaja. Demikianlah yang sering kami lakukan saban tahun.


Hari raya Aidil Adha ini juga dikenali sebagai hari raya Qurban kerana Islam menggalakkan mereka yang berkemampuan untuk melakukan ibadah qurban. Tempoh pelaksanaan ibadah ini pula bermula dari selepas solat sunat hari raya qurban dan berakhir sebelum terbenamnya matahari pada hari tashrik ketiga (13 Zulhijjah). Kepada yang melaksanakan ibadah qurban, semoga ibadah yang dilakukan akan diterima Allah.


(majlis qurban di perkarangan masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Kuantan)


Hari raya ini juga turut dikenali sebagai hari raya haji kerana pada masa yang sama umat Islam yang berkemampuan sedang mengerjakan ibadah haji di tanah suci Makkah. Kepada umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah haji, kita berdoa semoga akan beroleh haji yang mabrurah, insha-Allah.

Satu fenomena biasa ketika musim perayaan ialah kesesakan di jalan raya. Begitulah yang turut berlaku pada sambutan hari raya haji kali ini. Saya sendiri teperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika kembali ke Kuantan dan juga ketika kembali semula ke KL. Nampaknya, walaupun harga petrol sudah naik .... eh silap .... nampaknya, walaupun subsidi petrol sudah turun sebanyak 20 sen, kesesakan jalan raya masih tidak dapat diatasi lagi.


(kesesakan di Lebuh Raya Karak)


Khabarnya, ada juga antara murid-murid saya yang tidak pulang untuk berhari raya di kampung masing-masing terutamanya mereka yang bakal menduduki peperiksaan penting hujung tahun ini. Mereka menyambut hari raya kali ini di asrama sahaja. Mudah-mudahan persediaan dan persiapan yang sedang usahakan akan berbaloi dengtan menghasilkan kejayaan yang memuaskan nanti, insha-Allah.



Bersempena sambutan Aidilhadhha 1435H kali ini, rasanya masih tidak terlewat untuk saya sekeluarga mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilhadha kepada sekalian muslimin dan muslimat di mana djua anda berada.




Saturday, October 4, 2014

Harga Petrol Naik Lagi



Berkuat kuasa pada 2 Oktober lalu, harga petrol di negara kita telah dinaikkan lagi. Pengumuman mengenai kenaikan tersebut mula saya dengar pada jam 7.00 malam menerusi berita daripada sebuah siaran radio berita utama negara pada 1 Oktober. Menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), harga ron95 naik sebanyak 20 sen kepada RM2.30. Manakala harga diesel pula naik kepada RM2.20.

Sebagaimana biasa, di peringkat awal seperti ini, pelbagai reaksi dihamburkan oleh orang ramai terutamanya menerusi media sosial. Bolehlah disifatkan reaksi mereka rata-ratanya tidak bersetuju dengan kenaikan yang diumumkan. Pelbagai sebab diutarakan bagi membantah kenaikan tersebut. Berdasarkan fenomena yang sama pada masa-masa lepas, hamburkanlah apa sahaja, kenaikan yang telah diumum tidak akan ditarik balik. Rasa tidak salah kalau saya katakan, luahan dan hamburan perasaan yang dilakukan adalah sia-sia sahaja. Harga petrol tetap akan naik juga dan hampir mustahil untuk turun semula.

Walaupun pihak pembangkang pernah mengutarakan beberapa tawaran termasuklah pengurangan harga petrol kalau mereka menang dalam pilihanraya, tetapi tawaran sedemikian langsung tidak menarik minat majoriti rakyat di negara kita. Justeru bila berlangsung sahaja pilihanraya, pihak pembangkang masih jauh untuk menang. Ini bermakna, tawaran untuk mengurangkan harga petrol tidak mendapat perhatian mereka. Mungkin majoriti rakyat di negara ini tidak membantah sekiranya harga petrol tidak disubsidi langsung. Keputusan pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubur baru-baru ini mungkin satu lagi buktinya.

Bagi pihak kerajaan pula, beberapa orang menteri telah memberitahu rasional di sebalik kenaikan tersebut. Menurut kenyataan daripada sumber perdana menteri pula, walaupun harga petrol dinaikkan, kerajaan sedang mencari jalan untuk menbantu rakyat dengan cara lain bagi menangani kesan kenaikan harga petrol berkenaan. Kerajaan akan memberi subsidi secara bersasar kepada kumpulan rakyat yang benar-benar memerlukan sahaja. Maksudnya bukan semua rakyat di negara ini yang layak sebagai penerima subsidi. Bagi saya, ini pun fenomena biasa. Setiap kali harga petrol dinaikkan, ada sahaja kenyataan yang memberi jaminan bahawa kenaikan tersebut tidak akan membebankan rakyat. Benarkah begitu?

Pihak berkuasa juga mendakwa, jumlah subsidi yang dikurangkan itu akan digunakan untuk menbantu rakyat dari aspek yang lain pula. Mereka juga mendakwa pengurangan subsidi juga merupakan suatu penjimatan wang negara. Kos yang dapat dijimatkan merupakan penambahan hasil kepada pendapatan kerajaan.

Ada juga pihak yang mendakwa, apa yang berlaku ialah bukannya harga petrol yang naik, tetapi kadar subsidi untuk petrol yang dikurangkan. Ada juga yang buat lawak bodoh, katanya, walaupun harga petrol naik, tapi bila kenderaan mula bergerak, minyak pasti akan turun. Kalau tak percaya, selepas beberapa waktu kenderaan bergerak, cubalah perhatikan meter minyak. Pasti jarumnya menunjukkan ada penurunan pada minyak berkenaan.

Pihak kerajaan turut memberi amaran kepada para peniaga yang cuba menaikkan harga barangan sesuka hati. Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang terlibat. Selanjutnya pihak kerajaan meminta kerjasama pengguna untuk melaporkan kepada KPDNKK jika ada peniaga yang menaikkan harga barangan. Ini pun amaran biasa. Berdasarkan apa yang pernah berlaku, harga barangan tetap akan naik juga. Lazimnya ia sukar dikawal oleh sesiapa pun. Maklumlah secara umumnya harga barangan di negara kita ditentukan oleh pasaran semasa dan bukan oleh amaran mana-mana pihak.

Jika sebiji karipap, harganya tidak naik, tapi saiznya lebih kecil dari biasa, yang ini hendak lapor kepada siapa pula?


Thursday, October 2, 2014

Aktiviti Sekolah: Lawatan Ke Muzium Lombong Sungai Lembing



Pada 25 September (Khamis), sebilangan murid dari sekolah tempat saya bertugas telah mengadakan lawatan ke Muzium Lombong Sungai Lembing, Kuantan, Pahang. Lawatan ini adalah di bawah anjuran Kelab Rukun Negara sekolah . Manakala saya adalah guru penasihat bagi kelab berkenaan.

(suasana di hadapan sekolah sebelum bertolak)


Lawatan ini telah disertai oleh 32 orang murid yang terdiri daripada murid-murid tingkatan 5 dan juga ahli kelab. Selain itu, lawatan ini turut disertai oleh 4 orang guru (termasuk saya) dan 2 orang pembantu pengurusan murid (PPM) selain daripada pemandu bas sekolah tempat saya bertugas.

Secara peribadi, ini merupakan lawatan ketiga saya ke muzium ini. Kali pertama saya mengunjungi muzium ini sekitar 10 tahun yang lalu. Pada 26 Mac lalu, saya telah berkunjung ke muzium berkenaan untuk kali keduanya. Dalam kunjungan tersebut, saya telah berkesempatan mengadakan perbincangan dengan ketua muzium mengenai cadangan untuk mengadakan lawatan ke muzium berkenaan. Saya turut menerangkan kepada pihak muzium kondisi murid-murid saya. Selain itu, saya juga turut mengajukan pertimbangan khas iaitu untuk memberi keizinan kepada murid-murid saya untuk membolehkan mereka menyentuh mana-mana barang pamiran yang difikirkan sesuai dan selamat.

Antara objektif program ini ialah murid diharap akan lebih memahami apa yang telah dipelajari menerusi mata pelajaran Sejarah khususnya dalam bab 10 sukatan pelajaran Sejarah tingkatan 4. Selain itu, murid akan lebih memahami peranan institusi muzium sebagai badan yang menyimpan dan menyelenggara bahan-bahan sejarah berbentuk artifak. Di samping itu, murid juga berpeluang untuk menyentuh sendiri beberapa artifak yang difikirkan sesuai dan selamat yang terdapat di muzium berkenaan. Selanjutnya, murid juga diharap akan dapat memahami kepentingan serta nilai bahan-bahan sejarah sebagai asas kepada jati diri bangsa dan negara. Seterusnya, murid juga diharap akan dapat memahami mata pelajaran sejarah dengan lebih baik menerusi kepelbagaian kaedah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid juga akan mendapat pendedahan secara teori mengenai operasi lombong bijih timah yang terdapat di sekitar Sungai Lembing.

(suasana dalam perjalanan ke lokasi lawatan)


Kami telah bertolak dari perkarangan sekolah sekitar jam 8.00 pagi. Dalam perjalanan, rombongan kami hanya berhenti sekali sahaja iaitu di R&R Temerloh. Sekitar jam 11.15 kami tiba di tol Kuantan.



Dari situ, kami harus meneruskan perjalanan sejauh 26km lagi untuk tiba ke lokasi lawatan. Sekitar jam 11.50 pagi, barulah rombongan tiba di Muzium Lombong Sungai Lembing. Alhamdulillah kerana perjalanan lancar dan selesa. Cuaca pula baik.



Kedatangan rombongan kami telah disambut sendiri oleh Pn. Robiah selaku Ketua Muzium Lombong Sungai Lembing. Beliau sendiri telah menyampaikan taklimat kepada para peserta rombongan. Berbekalkan kemahiran dan kepakaran yang dimilikinya, penerangan yang disampaikan oleh beliau cukup jelas.



Selesai taklimat, para peserta rombongan mula bergerak dari satu venu ke satu venu sambil diberikan penerangan oleh Pn. Robiah. Murid-murid saya juga mendapat kesempatan untuk menyentuh barangan yang difikirkan sesuai dan tidak membahayakan.

Bagi melancarkan lagi lawatan, guru-guru dan PPM turut membacakan setiap catatan yang terdapat di situ. Tujuannya supaya murid-murid saya akan dapat akses kepada setiap info berbentuk tulisan yang diketengahkan dengan lebih berkesan lagi. Para peserta rombongan juga berpeluang menonton/mendengar dokumentari yang dipaparkan. Sudah tentulah dokumentari berkenaan ialah mengenai sejarah perlombongan di sekitar Sungai Lembing.

Sesungguhnya pengalaman merasai sendiri suasana di muzium, berpeluang menyentuh barangan yang dipamirkan, kemampuan mengakses kepada info berbentuk tulisan dan catatan, berkesempatan mendengar sendiri penerangan yang disampaikan oleh kakitangan yang mahir serta mehirup udara segar di sekitar Sungai Lembing merupakan satu pengalaman yang cukup berharga bagi murid-murid saya. Berdasarkan maklum balas yang saya perolehi daripada murid-murid saya selepas tamat program berkenaan, mereka memang berpuas hati dengan program yang telah dilaksanakan. Mereka juga turut mengutarakan beberapa saranan untuk penambahbaikan bagi penganjuran program yang sama pada masa akan datang.

Sebelum kami bertolak pulang semula ke KL, kami telah menjamu selera dengan hidangan makan tengah hari di sebuah tempat makan yang serba sederhana berhampiran stesen bas Sungai Lembing. Kami juga turut melaksanakan solat zohor dan asar secara jamak dan kasar di masjid Sungai Lembing. Sekitar jam 3.20 petang, kami pun bertolak pulang semula ke KL. Perjalanan pulang disertai dengan hujan di sepanjang perjalanan. Namun demikian, perjalanan selesa dan lancar. Sewaktu azan maghrib berkumandang, kami tiba semula di perkarangan sekolah.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru-guru, PPM serta pemandu sekolah yang telah menjayakan program lawatan pada 25 September lalu. Saya juga tidak lupa mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan sekolah kerana telah memberi kepercayaan kepada saya untuk merancang dan seterusnya mengetuai program lawatan tempoh hari. Saya juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada pihak muzium, khususnya kepada Pn. Robiah sendiri yang telah sudi melayan kehadiran dan lawatan rombongan kami dari awal hingga akhir. Tanpa kerjasama erat sebegini sudah tentulah objektif program tidak akan dapat dicapai.

Saya juga turut berterima kasih kepada para penyumbang dan penaja kerana telah menghulurkan sejumlah wang bagi membiayai program lawatan berkenaan. Sesungguhnya budi dan jasa kalian tidak akan dilupakan buat selama-lamanya, bak kata pantun lama:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibalas Ilahi.

Sebagai perkongsian bersama, di bawah ini saya sertakan beberapa foto mengenai program lawatan ke Muzium Lombong Sungai Lembing tempoh hari.