Sunday, May 10, 2015

Keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh




Pada 7 Mei (Khamis), telah berlangsung pilihanraya kecil P044 bagi kerusi parlimen Permatang Pauh. Pilihanraya kecil ini diadakan berikutan penyandang sebelumnya, Datuk Seri anwar Ibrahim telah diisytiharkan hilang kelayakan selaku ahli parlimen. Sepertimana yang semua telah maklum, Datuk Seri Anwar hilang kelayakan beliau selaku ahli perlimen apabila mahkamah memutuskan beliau bersalah kerana telah me***** (maaf malu nak tulis) bekas pembantu peribadinya.

Sekitar jam 10.20 malam berkenaan , pegawai pengurus pilihanraya kecil bagi kerusi Permatang Pauh telah mengumumkan keputusan rasmi pilihanraya kecil berkenaan. Berdasarkan pengumuman yang telah dibuat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah berjaya meraih 30,316 undi. Manakala calon Barisan Nasional (BN) pula berjaya meraih sebanyak 21,475 undi. Dua calon lagi sekadar beroleh undi sagu hati sahaja. Sebab itulah kedua-duanya turut hilang wang pertaruhan masing-masing. Majoriti yang diraih oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah ialah sebanyak 8,841 undi.

(Foto lama)


Pada hemat saya, sebahagian besar penganalisis politik telah pun membuat ramalan awal iaitu kerusi parlimen Permatang Pauh akan kekal di bawah penguasaan PKR. Apatah lagi bilamana calon yang bertanding bagi mempertahankan kerusi berkenaan merupakan tokoh yang sangat dikenali oleh rakan dan lawan. Perlu dinyatakan iaitu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki era pasca-BN, kerusi parlimen Permatang pauh sudah pun berada dalam genggaman keluarganya sejak tahun 1999 lagi. Turun naik jumlah undi merupakan perkara biasa dalam setiap pilihanraya. Apa yang penting ialah, setiap kali berlangsungnya pilihanraya tanpa mengira umum atau pilihanraya kecil, kerusi Permatang Pauh tetap utuh dikuasai keluarga Datuk Seri anwar dan PKR.

Bagi Dr. Wan Azizah pula, Permatang Pauh bukanlah kawasan asing baginya. Beliau pernah mewakili kawasan tersebut sebagai ahli parlimen sejak pilihanraya umum tahun 1999 lagi. Pada tahun 2008, beliau telah melepaskan kerusi berkenaan untuk diwakili oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini Dr. Wan Azizah kembali semula ke Permatang Pauh untuk menggalas tanggungjawab selaku ahli parlimen setelah suaminya “direhatkan”sekali lagi.

Berdasarkan kemenangan yang sentiasa menyebelahi keluarga Datuk Seri Anwar dan PKR dalam setiap pilihanraya di Permatang Pauh, maka tidak keterlaluan jika dinyatakan bahawa kerusi Permatang Pauh merupakan kubu kuat kepada PKR. Sesiapa yang datang untuk menentang calon PKR dalam mana-mana pilihanraya setakat ini, pasti akan kecundang. Kekalahan calon BN dan calon-calon lain dalam pilihanraya kecil hari ini hanya sekadar meneruskan siri kekecundangan kepada penentang legasi Datuk Seri anwar Ibrahim khususnya di Permatang Pauh.

Ada pihak yang cuba mengangkat isu kononnya Datuk Seri Dr. Wan Azizah merupakan calon import. Istilah calon import mungkin ditimbulkan kerana Dr. Wan Azizah bukan asal anak Permatang Pauh. Walau bagaimanapun, jika dilihat daripada beberapa siri kemenangan beliau di Permatang Pauh sebanyak 3 kali berturut-turut sebelum ini, iaitu dalam pilihanraya umum 1999, 2004 dan 2008, amat jelas bahawa wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini cukup diterima oleh para pengundi di Permatang Pauh. Justeru, setakat ini, Dr. Wan Azizah tidak pernah tewas tatkala dicalonkan untuk bertanding di kawasan tersebut. Dalam pilihanraya kecil kali ini, calon BN yang dikatakan anak tempatan itu pula yang tewas di tempatnya sendiri.

Kemenangan Dr. Wan Azizah di Permatang Pauh juga turut dibantu oleh beberapa isu nasional yang sedang melingkari parti pemerintah. Antaranya termasuklah pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (CBP), isu 1MDB, kelemahan sesetengah pemimpin parti pemerintah dan sebagainya. Sesungguhnya kemenangan Dr. Wan Azizah merupakan menifestasi kepada kemarahan rakyat bawahan terhadap isu-isu yang saya sebutkan tadi.

Kemenangan Dr. Wan Azizah juga merupakan petunjuk bahawa perpaduan dalam kalangan parti-parti politik yang membentuk Pakatan Rakyat (PR) secara dasarnya masih kukuh. Walaupun sebelum ini kita ada mendengar agar pilihanraya kecil berkenaan harus dipulaukan atas sebab tertentu, ternyata gesaan tersebut tidak mendapat tempat dalam kalangan para pengundi di Permatang Pauh. Beberapa isu yang cuba dieksploitasi oleh pihak tertentu dengan hasrat untuk memecah-belahkan perpaduan dalam PR nampaknya tidak berhasil di Permatang Pauh.

Ada juga pihak yang cuba mempertikaikan keupayaan Dr. Wan Azizah untuk melaksanakan tanggungjawabnya selaku ahli parlimen Permatang Pauh kerana pada masa yang sama beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang. Sebelum ini ada seorang wakil rakyat yang menjadi ahli parlimen Rompin tetapi pada masa yang sama menjadi duta negara ke Amerika Syarikat. Tidak ada pihak pun yang bersuara mempertikaikan kemampuan beliau untuk melaksanakan kedua-dua tanggungjawabnya. Walhal antara Rompin dan Washington bukanlah dekat jaraknya. Air laut pun tak bertemu. Jadi apa masalahnya antara Permatang pauh dengan Kajang? Saya bukanlah pro kepada pihak tertentu, tetapi kalau hendak berhujah biarlah ber-KBAT sedikit.

Saya amat yakin, BN sendiri amat mengetahui iaitu harapan untuk beroleh kejayaan dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh amat tipis sekali. Namun begitu, BN letakkan juga calonnya di kawasan berkenaan mungkin dengan hasrat tidak mahu memberi laluan percuma kepada PKR dan Dr. Wan Azizah untuk ke parlimen. Apa yang telah dilakukan olehBN dalam pilihanraya kecil DUN Chempaka Mac lalu merupakan sesuatu yang diluar kebiasaan prinsip BN sendiri.

Sebelum ini ada rancangan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki kerusi parlimen Permatang Pauh dan juga kerusi DUN Kajang. Apa yang berlaku kini, kedua-dua kerusi berkenaan diduduki oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah, isteri beliau. Sesungguhnya tiada siapa pun yang mampu untuk melawan takdir. Adakah selepas ini, Dr. Wan Azizah akan turut ditakdirkan sebagai ketua pembangkang di parlimen?

Saya tidak mengulas keputusan pilihanraya kecil parlimen Rompin kerana kesempatan yang tidak terluang.