Monday, October 19, 2015

Persidangan Dewan Rakyat




Hari ini (19 Oktober) merupakan hari pertama persidangan Dewan Rakyat kali ke-13, untuk penggal ke-3 dan mesyuarat ke-3. Persidangan kali ini mendapat perhatian banyak pihak lantaran senario politik negara yang banyak berubah dan tidak menentu sejak separuh kedua tahun ini. Oleh kerana saya tidak bertugas hari ini lantaran jerebu yang melanda negara, maka adalah sedikit kesempatan untuk saya mengikuti persidangan Dewan Rakyat menerusi internet.

Antara perubahan ketara yang berlaku dalam persidangan kali ini ialah kedudukan kerusi ahli-ahli dewan sama ada di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang. Di pihak kerajaan, oleh kerana perubahan yang berlaku pada senarai kabinet hujung Julai lalu, maka Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak lagi duduk di sebelah Datuk Seri Najib Tun Razak. Tempatnya sudah digantikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Begitu juga kedudukan beberapa orang menteri dan bekas menteri juga turut berubah ekoran daripada perubahan kedudukan mereka dalam kabinet hari ini.

Manakala di pihak pembangkang pula, parti yang paling besar dirundung malang ialah PAS kerana ia kehilangan 7 kerusi yang dimiliki atas tiket parti berkenaan sebelum ini. Jika sebelum ini PAS mempunyai 21 kerusi, dalam persidangan kali ini ia hanya mempunyai 14 kerusi sahaja. 6 daripada kerusi yang hilang kini sudah bertukar cap/jenama. Kini keenam-enam kerusi berkenaan sudah bernaung di bawah tiket Parti Amanah Negara. Manakala satu lagi kerusi, iaitu Tumpat yang sebelum ini juga merupakan milik PAS kini sudah bernaung di bawah PKR pula.

Manakala parti siasah yang paling beruntung ialah Parti Amanah Negara. Baru sahaja lahir (didaftarkan) sudah pun beroleh 6 kerusi di Dewan Rakyat. Undang-undang negara yang berkaitan masih menghalalkan perbuatan lompat parti. Oleh itu, kewujudan wakil Parti Amanah Negara di Dewan Rakyat secara tiba-tiba adalah sesuatu yang halal di sisi undang-undang. Manakala undang-undang yang digunapakai buat masa ini melangkaui perjanjian bai’ah atau apa-apa jua perjanjian yang dibuat di peringkat dalaman sesebuah parti siasah. Justeru kehadiran mereka tidak perlu dipertikaikan oleh sesiapa pun.

Sebilangan penganilisis politik pula menjangkakan bahawa persidangan kali ini akan diwarnai oleh pelbagai isu hangat. Antara perkara yang bakal mendapat perhatian semua pihak ialah ura-ura pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya ke atas perdana menteri. Kita harus faham, ia bukan undi tidak percaya kepada kerajaan yang sedia ada, tetapi ia lebih kepada undi tidak percaya kepada Datuk Seri Najib selaku perdana menteri. Walau bagaimanapun, saya menjangkakan jika usul sedemikian dikemukakan, usul berkenaan kemungkinan akan turut disokong oleh sebilangan kecil ahli dewan sebelah kerajaan, manakala ada kemungkinan tidak semua ahli dewan sebelah pembangkang akan menyokongnya.

Selain itu, isu-isu lain yang bakal mendapat perhatian daripada ahli-ahli dewan termasuklah isu 1MDB, isu derma politik 2,6 bilion ringgit, ketidakstabilan ekonomi dan beberapa isu lain. Secara peribadi, saya menjangkakan kaedah penyelesaian kepada semua isu berkenaan ialah secara blok belah bahagi, iaitu berdasarkan daripada parti mana seseorang ahli dewan berkenaan. Jika seseorang ahli itu daripada parti pemerintah, mereka akan akur sahaja dengan kehendak pemerintah, manakala jika seseorang ahli dewan itu daripada pembangkang, mereka akan bangkang sahaja apa yang dibuat oleh parti pemerintah. Kebiasaannya begitulah. Hasilnya, pendirian dan keputusan yang bakal dicapai nanti mungkin tidak mencerminkan keperluan penyelesaian sebenar sesuatu isu yang dibangkitkan. Inilah trend ahli politik di negara kita buat masa ini. Selagi trend separuh matang ini tidak diubah, maka selagi itulah penyelesaian setiap isu juga berada di tahap separuh matang juga.

Kepada semua ahli parlimen, selamat bersidang. Bawalah suara rakyat yang sebenar, jangan sekadar bawa suara dari kerongkong sendiri sahaja.


Wednesday, October 14, 2015

Selamat Tahun Baru 1437 Hijrah





Hari ini, 14 Oktober 2015 (Rabu), bersamaan 1 Muharram 1437 Hijrah. Ini bermakna ia merupakan hari pertama bagi tahun 1437 mengikut kalendar hijrah. Tahun Hijrah adalah bersempena dengan peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dari Makkah ke Madinah atas wahyu dan perintah daripada Allah. Walau bagaimanapun, Khalifah Umar bin Al-Khattab merupakan orang pertama yang menetapkan peristiwa hijrah tersebut dijadikan tarikh permulaan bagi kalendar yang digunakan oleh seluruh umat Islam hingga kini.

Peristiwa hijrah bukan sahaja sebagai tanda permulaan bagi satu kalendar semata-mata. Ia mempunyai banyak tujuan tersirat dan teladan tersurat yang perlu direnungkan oleh kita semua. Maka itulah peristiwa tersebut berlaku atas wahyu dan perintah daripada Allah. Kegagalan yang sering kita hadapi daripada peristiwa tersebut ialah ketidakmampuan kita untuk mencari dan menggali apa yang tersirat daripada peristiwa berkenaan.

Secara umumnya, kegagalan kita hari ini adalah berpunca daripada gagal untuk berhijrah daripada aras tidak baik kepada aras baik, atau daripada aras baik kepada aras yang lebih baik. Apa yang lebih mendukacitakan bila ada pihak yang berhijrah secara songsang iaitu daripada aras baik ke aras yang tidak baik pula. Sudahlah berhijrah secara songsang, pihak yang berkenaan suruh orang lain supaya berhijrah secara songsang sebagaimana dia berhijrah. Ada pihak pula yang sekadar terpekik-pekik suruh orang lain supaya berhijrah, tapi dia sendiri tidak ada tanda pun akan berhijrah kepada yang lebih baik.

Oleh itu, bersempena dengan tahun baru hijrah 1437 ini, marilah sama-sama kita hijrahkan mental, minda dan kerohanian kita daripada aras baik kepada aras yang lebih baik. Mudah-mudahan ia akan membawa kebaikan kepada kita dunia dan akhirat.

Kepada semua, selamat menyambut tahun hijrah 1437.


Monday, October 5, 2015

Mohsen Haji Hassani Kargar




Mohsen Haji Hassani Kargar merupakan johan tilawah Alquran peringkat antarabangsa kategori qari 2015 yang telah berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Jun lalu. Saya sempat mendengar bacaan beliau ketika tilawah berlangsung menerusi kaca TV. Selepas itu, saya sering berulang kali mendengar bacaan Alquran oleh beliau menerusi Youtube pula. Apa yang pasti, bacaan yang beliau perdengarkan cukup merdu, sayu dan syahdu. Saya tidak pernah jemu mendengarnya.

Mohsen Haji Hassani Kargar membaca Quran

Baru-baru ini saya amat terperanjat bilamana membaca maklumat menerusi internet bahawa beliau (Mohsen Haji Hassani Kargar) merupakan salah seorang mangsa yang telah kembali ke rahmatullah akibat rempuhan di Mina, Makkah iaitu ketika musim haji yang baru sahaja berlalu. Dalam peristiwa rempuhan berkenaan, warga Iran merupakan jumlah mangsa tertinggi yang telah maut dan Mohsen Haji Hassani (johan qari tilawah Alquran peringkat antarabangsa Kuala Lumpur 2015) merupakan salah seorang daripadanya.

Mohsen Haji Hassani lahir pada tahun 1988 di Iran. Beliau kembali ke rahmatullah tatkala masih berusia sekitar 27 tahun. Semoga rohnya sentiasa berada dalam rahmat Allah setiap ketika.

Alfatihah ....


Sunday, October 4, 2015

Berkunjung Ke Rumah En Jamil Dan En Anuar


Pada 3 Oktober (Sabtu), saya dan isteri telah berkesempatan untuk memenuhi undangan En. Jamil Untuk menghadiri majlis akikah 2 orang cucunya. Majlis berkenaan telah diadakan di rumah En. Jamil di Seremban, Negeri Sembilan. Sekitar 3.15 petang, kami berdua tiba di lokasi majlis. Kebetulan saya dan isteri sudah agak lama tidak berjumpa dengan En. Jamil dan Kak Yati (isterinya). Maka itulah apabila mereka terlihat sahaja kehadiran kami, mereka terus mendapatkan kami sambil berpelukan. Demikianlah akrabnya antara keluarga kami.

(saya dan en Jamil)


En. Jamil merupakan bekas kakitangan Universiti Malaya (UM). Beliau pernah bertugas di perpustakaan utama universiti berkenaan. Saya mula mengenali En. Jamil sejak tahun 1988 lagi, iaitu tahun pertama saya menjejakkan kaki ke menara gading. Sejak seawal perkenalan kami lagi, hubungan kami sudah mesra. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, oleh kerana sifat mudah mesra dan sikap mudah menolong En. Jamil, maka beliau turut mesra dengan hampir semua pelajar cacat penglihatan ketika itu.

Ada ketikanya kami akan makan bersama-sama dan jika ada kesempatan kami akan ke masjid untuk solat jumaat juga bersama-sama. En. Jamil merupakan antara kakitangan yang banyak membantu saya untuk mendapatkan buku itu dan buku ini. Maklumlah semua bahan bacaan ketika di menara gading tidak tersedia dalam bentuk Braille.

(En Jamil dan Kak Yati sibuk melayan tetamu)


Hubungan antara keluarga kami semakin dipereratkan bilamana salah seorang anak En. Jamil dan juga salah seorang anak saudaranya pernah menjadi anak murid kepada isteri saya sewaktu kedua-duanya di bangku sekolah menengah. Justeru, bila ada undangan daripada En. Jamil dan keluarganya, saya sebolehnya akan memenuhi undangan berkenaan. Seingat saya, ada sekali saya gagal memenuhi undangan beliau sekitar 2 atau 3 tahun lalu. Ia terhalang atas urusan lain yang sememangnya tidak dapat dielakkan.

(Antara tetamu yang hadir)


Kini En. Jamil dan Kak Yati sudah pun bersara daripada kerjaya masing-masing. Selain sudah memiliki rumah yang agak besar dan selesa di Seremban, mereka berdua sudah pun dikurniakan dengan 4 orang cucu. Sudah tentulah kehidupan mereka berdua bertambah ceria.

Kepada En. Jamil dan Kak Yati, berbanyak-banyak terima kasih atas kesudian mengundang saya dan isteri ke majlis kali ini. Kami berdoa semoga seluruh keluarga En. Jamil akan bertambah berkat di dunia dan akhirat. Semoga hubungan kita akan terus akrab sampai bila-bila, insha-Allah.



Setelah sekitar satu jam, saya dan isteri pun meminta diri. Kalau hendak diikutkan, masa sehari pun tidak puas untuk bertemu dan bertukar-tukar cerita. Jika ada masa dan kesempatan lain, kita akan berjumpa lagi, insha-Allah.

Selepas meninggalkan rumah En. Jamil, saya dan isteri pun memutuskan untuk mengunjungi rumah En. Anuar, bekas pensyarah saya ketika saya menuntut di Maktab Perguruan Raja Melewar (MPRM). Kebetulan pula, lokasi rumah En. Anuar memang sepelaung dua sahaja jaraknya dengan rumah En. Jamil. Bila saya menelefon En. Anuar, kebetulan beliau berada di luar tetapi tidak jauh dari rumahnya. Beliau terus “mengarahkan” saya supaya tunggu dan jangan sekali-kali balik dahulu. Saya akur sahaja.

(En Anuar dan isterinya)


Seperti biasa, bila kami bertemu, maka topik perbualan akan berkisar kepada dua tajuk utama, iaitu bidang pendidikan dan juga bidang sejarah. En. Anuar merupakan pensyarah saya balam ilmu sejarah ketika di MPRM. Memang banyak ilmunya yang saya warisi dan saya amalkan dalam kerjaya saya hingga kini. Sambil bercerita kami dijamu dengan hidangan petang yang menyelerakan. Mungkin ini satu lagi sebab mengapa sukar untuk berhenti bercerita.

Setelah sekitar sejam setengah, lebih kurang jam 6.45 petang, saya dan isteri terpaksa meminta diri. Mudah-mudahan ini bukan pertemuan terakhir kami. Banyak lagi ilmu En. Anuar yang perlu saya gali yang tidak sempat saya ambil ketika menuntut di MPRM dahulu.



Kepada En. Anuar dan isterinya, berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan kerana setiap kali saya dan isteri berkunjung ke rumahnya, saya pasti akan dilayan dengan cukup istimewa sekali. Sampaikan kereta saya pun beliau suruh letak di dalam perkarangan rumahnya. Semoga budi baiknya sentiasa akan mendapat balasan yang terbaik daripada Allah. Sesungguhnya saya bukan sahaja terhutang budi dengan beliau, saya juga turut terhutang ilmu dengannya.