Friday, January 29, 2016

Alunan Bacaan Tarhim Waktu Subuh




Lazimnya alunan tarhim akan dikumandangkan sekitar 15 minit sebelum masuknya waktu solat subuh. Secara umumnya Tarhim ialah bacaan yang mengandungi rayuan dan permohonan keafiatan serta keampunan daripada Allah. Pada masa lalu, bacaan tarhim ini akan dikumandangkan di hampir setiap masjid dan surau di negara kita. Sama ada alunannya menggunakan pembesar suara atau sebaliknya, ia bergantung kepada kemudahan yang ada di masjid dan surau itu sendiri. Sudah menjadi kebiasaan di mana alunan bacaan tarhim berkenaan akan dialunkan sendiri oleh salah seorang jemaah yang sememangnya sudah ditugaskan untuk tujuan tersebut. Biasanya ia akan menjadi sebahagian daripada tugas tuan bilal.

Kebiasaannya juga orang yang ditugaskan untuk mengalunkan bacaan tarhim mempunyai suara yang agak merdu. Di samping itu, orang berkenaan juga pandai mengalunkan bacaan tarhim tersebut sehinggakan barang siapa yang mendengarnya akan begitu merasa sayu dan syahdu apatah lagi pada hening waktu subuh. Bahkan ada ketikanya jika alunan bacaannya begitu sayu dan syahdu, ia boleh menyebabkan sesetengah orang yang mendengarnya mengalirkan air mata tanpa disedarinya. Begitulah.

Mari tonton dan dengar bacaan tarhim di sini


Apabila alunan tarhim dikumandangkan, ia bermakna waktu subuh sudah hampir masuk. Bagi sesetengah orang, alunan tarhim yang kedengaran akan menandakan mereka perlu segera ke masjid untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah. Bagi sesetengah orang yang lain pula, alunan tarhim menandakan masa untuk mereka bangun tidurbagi memulakan aktiviti pada hari tersebut. Oleh kerana bacaan tarhim merupakan rayuan hamba kepada Tuhannya bagi keampunan dan sebagainya, maka alunan yang dikumandangkan merupakan terapi jiwa yang cukup berkesan yang mendalam terhadap ketenangan jiwa dan mental. Sebab itulah bagi golongan orang yang sedemikian, alunan bacaan tarhim yang sayu dan mendayu boleh memberikan mereka ketenangan jiwa yang tidak tergambar oleh kata-kata.

Seingat saya, pada dekad 70-an, masih tidak kedengaran isu alunan tarhim atau bacaan Alquran sebelum subuh boleh mengganggu masyarakat sekeliling. Ia mungkin kerana alunan bacaannya dilakukan dengan penuh tertib dan mengikut standard operasi (SOP) sebagaimana sepatutnya dan diiktiraf oleh masyarakat sekeliling ketika itu. Walaupun ketika itu (hingga ke hari ini pun) alunan bacaan tarhim tidak punya pengaruh yang kuat untuk mengajak sekalian muslimin di sekelilingnya untuk ke masjid pada waktu subuh secara beramai-ramai, namun alunan bacaannya tetap diteruskan pada setiap pagi tanpa jemu. Tidak ada mana-mana pihak yang ada mengutarakan saranan agar alunan tarhim berkenaan diperlahankan atau dihentikan dengan alasan gagal menarik masyarakat sekeliling untuk memenuhi masjid atau surau untuk solat berjemaah pada waktu subuh. Biar pun yang datang ke masjid atau surau tidak sampai pun satu saf, alunan bacaan tarhim tetap diperdengarkan pada keesokan paginya. Begitulah seterusnya.

Hari ini, keadaan mula berubah. Sesetengah masjid atau surau tidak lagi berupaya memperdengarkan alunan bacaan tarhim lagi. Ia sudah mula digantikan dengan bacaan Alquran daripada MP3 sahaja. Bahkan ada sesetengah surau atau masjid hanya mampu memperdengarkan siaran dari radio tertentu sebagai menggantikan alunan bacaan tarhim yang pernah berkumandang suatu ketika dahulu. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka yang boleh dan sudi untuk mengalunkan bacaan tarhim semakin berkurangan. Bila timbul saranan hanya azan dan iqamah sahaja yang boleh diperdengarkan menerusi pembesar suara, maka amalan memperdengarkan alunan bacaan tarhim akan semakin pupus.

Saya tidak menafikan iaitu ada sesetengah masjid atau surau yang kurang peka untuk mengikut kaedah yang betul apabila memperdengarkan alunan bacaan tarhim atau ayat-ayat suci Alquran menerusi pembesar suara. Antara perkara yang seharusnya diberi perhatian ialah pembesar suara tersebut tidak perlu dipasang terlalu kuat. Tempoh memperdengarkan bacaan Alquran atau alunan tarhim juga jangan terlalu panjang. Rasanya 10 hingga 15 minit sebelum masuknya waktu subuh atau waktu solat yang lain sudah memadai. Bagi aktiviti tertentu, mungkin tidak sesuai untuk menggunakan alat pembesar suara luar masjid. Cukup jika pembesar suara dalam masjid sahaja yang digunakan. Lagi pun ada nas-nas tertentu agar bacaan Alquran tidak dibaca terlalu kuat hingga boleh mengganggu orang lain. Namun demikian, ia tidaklah bermakna kita hanya boleh membaca dalam hati sahaja. Bacaan Alquran atau alunan tarhim masih boleh diteruskan dengan suara yang sederhana iaitu tidak terlalu kuat atau tidaklah terlalu perlahan.

Sesungguhnya bacaan Alquran itu terlalu besar manfaatnya. Jika kita mendengar akan bacaannya pun ia sudah merupakan ubat yang mujarab khususnya untuk merawat jiwa dan mental. Ia juga berupaya memberikan ketenangan yang tidak tergambar oleh kata-kata.

Untuk menonton pandangan mengenai larangan menguatkan suara bacaan tarhim, Quran atau zikir di speaker masjid selain azan, sila klik
di sini


Mana yang baik marilah kita teruskan. Mana yang kurang baik, marilah sama-sama kita buat penambahbaikan.



Wednesday, January 27, 2016

Perjanjian TPPA




Senja tadi (27 Januari), Dewan Rakyat telah meluluskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dengan undi belah bahagi antara pihak kerajaan dengan pembangkang. Seramai 127 ahli dewan daripada kerajaan telah mengundi menyokong supaya kerajaan menandatangani perjanjian TPPA. Manakala seramai 84 ahli dewan daripada pembangkang pula telah mengundi menentang perjanjian tersebut. Fenomena undi belah bahagi ini agak kerap berlaku khususnya bilamana ia melibatkan keputusan penting negara. Kali pertama ia berlaku dalam penggal parlimen sekarang ialah ketika mengundi untuk memilih yang di-pertua Dewan Rakyat.

Dengan keputusan tersebut, maka sudah hampir pasti bahawa negara kita akan menandatangani perjanjian TPPA yang dijangka akan berlangsung pada awal bulan hadapan. Proses seterusnya ialah untuk mendapatkan kelulusan daripada Dewan Negara pada 28 Januari. Setelah Dewan Rakyat meluluskan usul berkenaan, maka usul yang sama juga dijangka akan mendapat kelulusan daripada Dewan Negara tanpa sebarang masalah besar.

Sebagai rakyat biasa, kita akan menanti dengan penuh tandatanya hasil daripada penandatanganan perjanjian berkenaan sama ada untuk jangka masa pendek mahupun bagi jangka masa panjang. Kalau ditanya kepada mereka yang menyokong perjanjian berkenaan, semuanya baik belaka. Tiadalah yang tidak bagus. Kata mereka, yang akan beroleh untung nanti rakyat juga. Entahlah!

Kalau ditanya kepada mereka yang menentang perjanjian tersebut, banyak buruk daripada baik. Begitulah kata mereka. Apa yang pasti, negara dan rakyat pasti akan merasai akan kesan daripada pelaksanaan perjanjian TPPA berkenaan. Persoalannya ialah sama ada kesannya bersifat manfaat atau mudarat.

Saya rasa, setiap rakyat yang peduli akan bangsa dan negaranya, pasti akan menanti dengan penuh debar akan implikasi daripada pelaksanaan TPPA itu nanti. Buat masa ini, kita sekadar boleh tunggu dan lihat sahaja apa yang akan berlaku. Semuanya sudah terjadi bila kita menurunkan tandatangan kelak.

Sunday, January 24, 2016

Kemelut Politik Kedah




Sejak Rabu lalu, politik negeri Kedah mula goncang. Ia ekoran daripada tindakan segelintir ahli UMNO yang mengemukakan rasa hilang kepercayaan terhadap menteri besar yang ada, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Rasa hilang kepercayaan tersebut telah dikemukakan sendiri oleh timbalan pengerusi badan perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Basha Md Hanifa. Kononnya rasa hilang kepercayaan tersebut mendapat sokongan daripada sebahagian besar kepimpinan UMNO Kedah.

Walau bagaimanapun, sehari kemudian, beberapa pihak dalam kepimpinan UMNO Kedah sendiri telah menafikan bahawa tindakan meluahkan rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz disokong oleh keseluruhan kepimpinan UMNO Kedah. Satu demi satu pihak telah menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz sebagai menteri besar Kedah. Ada juga yang mendakwa kononnya kehadiran mereka dalam pertemuan tersebut kerana tidak diberitahu lebih awal tujuan pertemuan berkenaan diadakan. Maknanya dakwaan kononnya tindakan untuk meluahkan rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan menteri besar sebenarnya tidak mendapat sokongan dari keseluruhan barisan kepimpinan UMNO Kedah mungkin ada benarnya. Hingga kini, agaknya Datuk Seri Ahmad Basha sendiri tidak pasti berapa ramaikah individu dalam kepimpinan UMNO Kedah yang benar-benar dan ikhlas menyokong tindakan beliau. Bukankah pendirian ahli politik itu boleh berbolak-balik dalam masa sekelip mata sahaja?

Bagi saya, pada masa ini, Datuk Seri Mukhriz tidak akan mudah mengalah dengan apa yang sedang melanda politik Kedah. Bagi saya, beliau ada kekuatan tersendiri untuk mempertahankan kedudukannya selaku pemimpin nombor wahid Kedah sama ada selaku menteri besar mahupun selaku pengerusi badan perhubungan UMNO negeri tersebut. Saya merasakan Datuk Seri Mukhriz masih mendapat sokongan daripada sebahagian besar rakyat Kedah. Selain itu, jawatan menteri besar yang sedang disandang beliau juga telah mendapat perkenan daripada DYMM Tuanku Sultan Kedah. Dalam menghadapi situasi getir seperti ini, Datuk Seri Mukhriz tidak keseorangan. Beliau tentunya akan sentiasa mendapat sokongan, semangat serta kekuatan daripada pihak-pihak tertentu yang sememangnya sudah berpengalaman luas dalam bidang siasah. Pelbagai strategi mungkin sedang diatur bagi mempertahankan kedudukan dan jawatan Datuk Seri Mukhriz. Kita harus sentiasa ingat, jika kita ada strategi tertentu, orang lain pun ada strateginya yang tersendiri juga.

Jika Datuk Seri Ahmad Basha benar-benar yakin bahawa tindakan beliau mendapat sokongan besar daripada pihak-pihak tertentu, cara terbaik untuk menurunkan Datuk Seri Mukhriz selaku menteri besar ialah menerusi undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mukhriz di DUN Kedah bukan bermakna tidak percaya terhadap kerajaan negeri yang sedia ada. Ia sekadar tidak percaya terhadap kedudukan Datuk Seri Mukhriz selaku menteri besar semata-mata. Sekiranya apa yang diusulkan itu mendapat sokongan daripada sebahagian besar ADUN dari BN saya yakin sesiapa pun tidak boleh menghalang perubahan kepimpinan negeri yang diingini atau mempertahankan lagi kedudukan Datuk Seri Mukhriz selaku menteri besar.

Bagi saya, walaupun mungkin tindakan Datuk Seri Ahmad Basha ada mendapat restu daripada mana-mana pihak dari luar Kedah, tetapi jika ia gagal mendapat sokongan bulat dan padu daripada dalam Kedah sendiri maka tidak mungkin usahanya untuk mengenepikan Datuk Seri Mukhriz daripada barisan kepimpinan politik Kedah akan berjaya. Sepatutnya pihak-pihak yang ingin mengenepikan Datuk Seri Mukhriz harus belajar dan mengkaji terlebih dahulu apa yang pernah berlaku di Perlis (2008), di Terengganu (2008 dan 2014) serta di Selangor (2014) yang lalu. Bukannya mudah untuk mengenepikan seseorang menteri besar yang sudah selesa di kerusinya. Tindakan yang patut dilakukan ialah bagai menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus dan tepung tidak berselerak.

Mengapa usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Mukhriz tidak dilakukan menerusi DUN? Mungkin antara sebabnya ialah Datuk Seri Ahmad Basha sendiri tidak yakin bahawa tindakan beliau akan disokong oleh majoriti ADUN Kedah. Demi kestabilan pentadbiran yang ada, ada kemungkinan besar ADUN dari pembangkang juga tidak menyokong usul sedemikian. Lagi pun, kalau ahli pembangkang memberi sokongan, mereka tidak dapat apa-apa laba pun. Jawatan menteri besar tetap bukan mereka yang punya. Mungkin oleh kerana itu jugalah maka rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz terpaksa diusulkan di sebuah hotel sahaja.

Sekarang sudah terang lagi bersuluh, Datuk Seri Mukhriz sudah pun mengetahui dengan nyata siapakah sebenarnya musuh-musuh politiknya yang terdiri dalam kalangan ahli-ahli yang separti dengannya. Ini akan memudahkan beliau untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengukuhkan lagi kedudukan politik beliau selaku menteri besar kedah demi kestabilan pentadbiran negeri dan UMNO/BN. Jika tindakan Datuk Seri Ahmad Basha ini gagal, ia hanya menunjukkan kegelojohannya dan kedangkalan beliau dalam berpolitik. Tindakan Datuk Seri Ahmad Basha ini juga kurang sesuai kerana masa semakin hampir untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-14. Sepatutnya langkah-langkah ke arah mengukuhkan perpaduan dalam UMNO/BN harus diambil dan bukannya usaha ke arah mengeruhkan lagi keadaan yang ada.

Tindakan gelojoh Datuk Seri Ahmad Basha juga boleh menyumbang kepada keretakan dalam UMNO Kedah. Ia boleh menyebabkan UMNO Kedah akan terbahagi kepada dua kumpulan. Keadaan seperti ini amat tidak sihat jika UMNO benar-benar berhasrat ingin mempertahankan Kedah dalam pilihanraya umum yang akan datang. Kita harus ingat, antara sebab kegagalan PAS mempertahankan Kedah dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu adalah kerana parti tersebut khususnya di Kedah telah terpecah kepada kumpulan tertentu. Jika sejarah yang sama dituruti oleh UMNO Kedah, maka tidak hairan jika akibat yang serupa juga akan dialami oleh UMNO/BN di Kedah khususnya dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Kalau pun Datuk Seri Ahmad Basha teringin sangat menjadi menteri besar Kedah, beliau sepatutnya perbanyakkan doa, solat hajat, tawakal dan bersabar. Sekiranya jawatan tersebut akan menjadi rezeki beliau suatu hari nanti, maka apabila tiba masanya jawatan tersebut akan beliau beroleh juga kerana takkan lari gunung dikejar. Jika jawatan tersebut bukan rezeki untuknya, walaupun sudah ada di mulut, ia akan terjatuh jua. Siapa yang bakal melopong nanti? Mungkin masa yang paling sesuai untuk melakukan peralihan kepimpinan di Kedah ialah selepas pilihanraya umum ke-14 nanti dan bukannya sekarang. Itu pun strategi yang jitu harus dirancang supaya individu yang beroleh jawatan menteri besar tidak hanya berkuasa untuk sepenggal sahaja.

Apa yang sepatutnya dilaksanakan oleh UMNO/BN di Kedah ialah usaha yang berterusan ke arah mengukuhkan lagi perpaduan dalam parti. Lagipun pada masa ini parti pembangkang khasnya PAS belum cukup kuat untuk merampas kembali Kedah dalam pilihanraya umum yang akan datang. Penubuhan Parti Amanah Negara (PAN) sedikit sebanyak telah membantutkan usaha PAS untuk mengambil semula tampuk kepimpinan negeri daripada UMNO/BN. Berkuburnya Pakatan Rakyat semakin menyukarkan usaha kumpulan pembangkang di Kedah untuk berkuasa semula dalam masa terdekat. Manakala kewujudan Pakatan Harapan belum pasti berupaya untuk menguasai tampuk pemerintahan negeri dalam masa terdekat. Lagi pun populariti Pakatan Harapan belum diuji lagi dalam mana-mana pilihanraya. Sepatutnya UMNO/BN mengambil kesempatan yang ada untuk mengukuhkan kekuasaan mereka di Kedah. Sebaliknya jika UMNO/BN sendiri dilanda keadaan haru-biru, maka perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang tidak akan memberi sebarang makna kepada UMNO/BN itu sendiri. Dua-dua pihak sama dua kali lima sahaja.

Di sini, saya suka menarik perhatian iaitu ketidakstabilan yang berlaku sama ada dalam UMNO/BN mahupun PAS di Kedah, bukan sahaja akan memberi kesan kepada kedua-dua parti berkenaan. Sebaliknya ia turut memberi tempias kepada keutuhan orang Melayu dan rakyat keseluruhannya di negeri berkenaan. Dalam pilihanraya umum ke-12 lalu, orang Melayu telah memberi sedikit kepercayaan kepada PAS untuk mentadbir negeri. Namun demikian, akhirnya kepercayaan tersebut telah dipersiakan bilamana berlaku perpecahan dalam PAS Kedah. Ini menyebabkan rakyat Kedah telah membuat pusingan U menerusi pilihanraya umum ke-13 dengan mengembalikan sokongan mereka kepada UMNO/BN. Walau bagaimanapun, kali ini hal yang hampir serupa juga berlaku dengan tindakan gopoh dan gelojoh daripada pemimpin tertentu. Nanti kalau orang Melayu dan rakyat yang lain memberi sokongan padu kepada parti yang lain baru tahu! Sejarah sering membuktikan iaitu perpecahan dalam jamaah akan mengakibatkan jamaah tersebut kehilangan kuasa dan mungkin juga negara. Ingat sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna lagi.

Saya bukannya ahli politik. Saya juga bukan penyokong tegar mana-mana kumpulan politik. Saya sekadar mengemukakan pandangan saya yang tidak sepertinya tentang politik. Saya ingin jadi warganegara yang peduli pada agama, bangsa dan negara saya menerusi tulisan seperti ini.


Friday, January 22, 2016

Langkah Ke Arah Pengharaman Vape Dan Shisha Di Sabah




Pada 21 Januari (semalam), Jawatankuasa Fatwa Sabah telah memutuskan bahawa vape dan Shisha diharamkan penggunaannya di Sabah. Menurut mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar, keputusan untuk mengharamkan kedua-duanya adalah berdasarkan kepada 4 dalil.

Untuk rujukan lanjut, sila baca
di sini


Bagi saya, tindakan jawatankuasa fatwa Sabah perlu disokong. Lagipun sebelum ini kita hanya memberi tumpuan kepada vape sahaja. Sedangkan penggunaan shisha sudahpun berlaku mungkin lebih lama daripada vape. Sepertimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, pandangan beberapa orang alim turut berpendapat iaitu menghisap shisha haram hukumnya.

Tahniah kepada mufti dan jawatankuasa fatwa Sabah kerana telah mengambil langkah bijak dan tepat. Tahniah juga kepada negeri-negeri yang sudah mengorak langkah mengharamkan vape di negeri-negeri masing-masing. Mudah-mudahan langkah ini akan dituruti oleh negeri-negeri lain yang masih ragu-ragu untuk mengambil tindakan yang serupa.

Perlu dijelaskan di sini iaitu keputusan semalam bukan bermakna vape dan shisha kini sudah tidak dibenarkan di Sabah. Keputusan tersebut lebih merupakan langkah awal ke arah mengharamkan vape dan shisha di Sabah. Seperti yang dinyatakan oleh mufti Sabah, keputusan yang telah dibuat perlu disalurkan terlebih dahulu kepada beberapa pihak sebelum ia boleh diwartakan untuk Sabah.

Mana yang baik itu elok disegerakan, mana yang buruk itu eloklah ditangguhkan.




Tuesday, January 19, 2016

Dato’ Onn Jaafar



Pada 19 Januari 1962, Dato’ Onn Jaafar telah kembali ke rahmatullah dalam usianya 67 tahun. Ini bermakna, pada hari ini sudah 54 tahun Allahyarham Dato’ Onn Jaafar meninggalkan bangsa dan negaranya dan menghadap Ilahi buat selama-lamanya. Walaupun Allahyarham Dato’ Onn tidak mati sebagai ahli UMNO, tetapi jasa yang ditinggalkannya sentiasa dikenang dan akan terus mekar mewangi sepanjang zaman.

(Pusara Dato' Onn yang pernah saya ziarahi pada tahun 2008)


Dato’ Onn Jaafar telah dilahirkan pada tahun 1895. Bapanya ialah Datuk Jaafar Muhammad yang juga merupakan menteri besar Johor yang pertama. Ibunya pula ialah Ruqaiyah Haneem, seorang wanita yang berasal dari Turki. Mengikut kajian seorang ahli akademik, Dato’ Onn berketurunan daripada salah seorang bendahara di zaman kesultanan Melayu Melaka.

Semasa remajanya, Dato’ Onn pernah bertugas sebagai wartawan. Beliau juga pernah memegang jawatan menteri besar Johor ketujuh antara tahun 1947 hingga tahun 1950. Selain beliau, dua orang abangnya iaitu Dato’ Mustafa dan Dato’ Abdullah juga pernah menjadi menteri besar Johor yang ketiga dan keempat. Selain itu, seorang lagi abang beliau yang seibu, iaitu Ungku Aziz bin Ungku Abdul Majid juga pernah menjadi menteri besar Johor keenam antara tahun 1936 hingga 1947.

Selain berketurunan bangsawan Melayu, Dato’ Onn juga turut meninggalkan waris yang terdiri daripada mereka yang berperanan besar dalam pentadbiran negara kemudiannya. Tun Hussein Onn, perdana menteri ketiga merupakan salah seorang anak Dato’ Onn. Selain beliau, Leftenan Jeneral (b) Datuk Jaafar Onn yang pernah menjawat jawatan tinggi dalam angkatan tentera Malaysia merupakan seorang lagi anak Allahyarham Dato’ Onn. Hari ini, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang juga merupakan menteri pertahanan merupakan salah seorang cucu Allahyarham Dato’ Onn.

Pada tahun 1946, Dato’ Onn telah dilantik selaku Yang Di-Pertua UMNO yang pertama. Ia ekoran daripada peranan besarnya yang mengetuai orang Melayu dalam penentangan mereka terhadap gagasan Malayan Union. Kemuncak kepada penentangan tersebut ialah apabila pihak penjajah British bersetuju untuk membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Satu perkara yang sering bermain dalam fikiran Allahyarham Dato’ Onn ialah bagaimana untuk meneruskan kelangsungan dan kesinambungan kuasa politik bangsa Melayu pada masa hadapan. Hal ini kerana selepas perang dunia kedua, Tanah Melayu bukan lagi hak mutlak orng Melayu sepenuhnya. Sebaliknya, orang Melayu harus bersedia untuk berkongsi tanah air mereka dengan bangsa-bangsa lain. Walaupun gagasan Malayan Union dibubarkan, tetapi kedudukan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang akan terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa merupakan sesuatu yang cukup pasti ketika itu. Justeru, Allahyarham Dato’ Onn sering mencari jalan agar kuasa politik orang Melayu tidak akan tenggelam dan lenyap dalam keadaan apa sekali pun.

Salah satu daripada usaha beliau ke arah itu ialah dengan mencadangkan agar pintu keahlian UMNO dibuka kepada orang bukan Melayu. Dato’ Onn mempunyai pandangan tersendiri dan wawasan tersembunyi di sebalik cadangan beliau itu. Namun demikian, wawasan dan pandangan tersirat Dato’ Onn tidak dapat dibaca oleh kebanyakan ahli UMNO ketika itu. Justeru, sebahagian besar ahli UMNO waktu itu telah menentang habis-habisan cadangan Dato’ Onn tersebut. Kemuncak daripada penentangan tersebut ialah apabila Dato’ Onn mengambil keputusan untuk keluar UMNO. Keputusan sedemikian tidak pernah terfikir oleh ahli-ahli UMNO yang lain ketika itu sebagaimana mereka tidak pernah terfikir apa yang tersembunyi dan yang tersirat di sebalik cadangan membuka pintu keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu oleh Dato’ Onn. Manakala Dato’ Onn pula sama sekali tidak akan menggadaikan prinsip perjuangannya dan pada masa yang sama tidak mahu memaksa para ahli UMNO supaya menerima cadangan beliau. Maka itulah beliau telah mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO. Keputusan tersebut juga merupakan tolak ansur dan pengorbanan yang cukup besar daripada Dato’ Onn bagi kelangsungan UMNO sebagai sebuah badan siasah terpenting bagi orang Melayu.

Keputusan untuk meninggalkan UMNO merupakan satu keputusan yang amat berat. Bahkan beberapa pemimpin UMNO ketika itu turut sama berdukacita dengan keputusan yang diambil oleh Dato’ Onn. Setelah keluar UMNO, perjuangan Dato’ Onn tidak lagi berada pada arus perdana perjuangan orang Melayu dan UMNO. Namun demikian, walaupun Dato’ Onn meninggalkan UMNO, dalam sejarah perjuangannya beliau tidak pernah mengkhianati orang Melayu. Sebaliknya beliau sentiasa berjuang untuk orang Melayu dari luar UMNO.

Langkah Dato’ Onn seterusnya bagi merealisasikan hasratnya ialah dengan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu atau Independence Malaya Party (IMP). IMP merupakan sebuah parti politik yang terbuka kepada semua kaum. Walau bagaimanapun, hasratnya untuk melihat sebuah parti politik yang terdiri daripada pelbagai kaum gagal. Ia mungkin disebabkan jurang perbezaan kaum yang masih ketara ketika itu. Ia juga mungkin disebabkan kebimbangan orang Melayu sendiri yang belum mempunyai kekuatan yang tinggi untuk bersaing dengan kaum-kaum lain secara terbuka terutamanya dalam bidang ekonomi. Walaupun orang Melayu ketika itu masih belum bersedia untuk berada dalam satu parti politik dengan kaum-kaum lain, ia tidak bermakna mereka tidak boleh menerima kaum lain untuk tinggal bersama di tanah Melayu. Bahkan sejarah telah membuktikan keikhlasan orang Melayu untuk berkongsi tanah air mereka dengan kaum-kaum lain dengan permintaan yang cukup munasabah dan longgar.

Seperti yang saya nyatakan tadi, setelah Dato’ Onn keluar UMNO, beliau tidak lagi berada pada arus perdana perjuangan orang Melayu. Sebab itulah juga Dato’ Onn tidak terlibat secara langsung dalam rundingan kemerdekaan, bukan merupakan salah seorang menteri dalam kabinet pertama selepas negara mencapai kemerdekaan, apatah lagi sebagai perdana menteri pertama Tanah Melayu. Saya penuh yakin, Dato’ Onn tidak pernah kesal dengan jalan perjuangan yang telah beliau pilih sendiri.

Dalam pilihanraya umum tahun 1959, Dato’ Onn telah berjaya dipilih sebagai ahli parlimen bagi kawasan Kuala Terengganu Selatan. Beliau telah bertanding atas tiket Parti Negara yang telah ditubuhkannya selepas kegagalan IMP. Di parlimen, beliau terus menyuarakan idea bernas ke arah perpaduan dan pembangunan orang Melayu.

Akhirnya pada 19 Januari 1962, Dato’ Onn telah menghembuskan nafas terakhirnya. Walaupun beliau meninggal dunia bukan sebagai pimpinan tertinggi negara, tetapi sanjungan dan penghormatan masyarakat terhadap beliau kekal segar hingga kini. Jika harimau mati meninggalkan belang, Dato’ Onn pula mati meninggalkan jasa.

Untuk menonton/mendengar salah satu dokumentari mengenai Dato' Onn, sila klik
di sini

Monday, January 18, 2016

Anugerah Bergelar



Salah satu daripada kebanggaan orang Melayu ialah apabila mendapat anugerah yang membawa pelbagai gelaran. Gelaran yang paling popular ialah bila bergelar Datuk. Selain itu, antara gelaran-gelaran lain termasuklah datuk seri, datuk wira, datuk seri panglima, datuk paduka dan sebagainya. Secara umumnya, orang Melayu akan memandang tinggi, mulia dan sangat menghormati individu yang bergelar Datuk. Pada masa yang sama, mereka pula tidak pernah mempertikaikan atau mempersoalkan daripada mana anugerah gelaran Datuk diperolehi. Kebiasaannya orang Melayu akan berpesepsi kepada individu yang ada gelaran Datuk sebagai seorang yang kaya-raya, berpengaruh, tinggi darjat, berkedudukan serta dimuliakan masyarakat. Adakalanya kaum kerabat, sanak saudara, rakan taulan dan kenalan yang tak begitu mesra pun boleh dapat tempias daripada individu yang bergelar Datuk. Demikianlah.

Bagi individu yang dianugerahi gelaran Datuk pula, ia merupakan satu anugerah yang amat tinggi nilainya. Dengan berbekalkan gelaran sedemikian, pelbagai benda boleh diperolehi dan pelbagai perkara boleh dilakukan. Maka itulah gelaran Datuk sebegini menjadi idaman dan impian sebilangan orang.

Di negara kita, ada dua pihak yang boleh menganugerahkan gelaran Datuk atau lain-lain gelaran yang diiktiraf, iaitu kerajaan persekutuan dan juga kerajaan-kerajaan negeri termasuklah negeri-negeri yang tidak menggunakan sistem beraja. Lazimnya anugerah berkenaan akan disampaikan sekali dalam setahun iaitu pada hari keputeraan raja atau hari jadi TYT Yang Di-Pertua negeri. Hanya Wilayah Persekutuan sahaja yang akan memberi anugerah pada hari penubuhan Wilayah Persekutuan yang juga dikenali sebagai Hari Wilayah. Oleh kerana setiap negeri dan juga kerajaan persekutuan boleh menganugerahkan gelaran Datuk, maka setakat hari ini saya masih belum berjumpa lagi statistik sebenar berapa ramaikah individu di negara kita hari ini yang sudah dianugerahkan dengan gelaran Datuk atau lain-lain gelaran. Walau bagaimanapun, saya rasa jumlahnya bukan seratus atau seribu, mungkin jumlahnya lebih ramai daripada itu.

Mereka yang telah dianugerahkan dengan pelbagai gelaran termasuklah gelaran Datuk pula datangnya daripada pelbagai latar belakang. Kalau dahulu lazimnya ia dianugerahkan kepada golongan ahli korporat atau ahli politik, tetapi hari ini semua golongan berpeluang untuk dianugerahkan dengan anugerah berkenaan. Ia termasuklah ahli politik, golongan korporat, artis, kartunis, pegawai tinggi kerajaan, penceramah agama dan motivator, orang kelaian upaya, ahli sukan dan sebagainya. Walaupun semakin ramai individu sudah bergelar Datuk, tetapi setakat ini nilai dan status gelaran berkenaan di kaca mata masyarakat masih dipandang tinggi.

Hari ini, timbul isu anugerah gelaran Datuk yang tidak diiktiraf atau palsu. Di samping itu, kononnya ada juga individu tertentu yang sanggup membayar harga yang tinggi untuk memperolehi gelaran Datuk tersebut. Walhal apa yang dikejar hanyalah sekadar gelaran Datuk sahaja. Namun demikian, oleh kerana ia ada nilai tertentu dalam masyarakat Melayu, maka golongan tertentu sanggup membuat apa sahaja demi untuk mengejar gelaran berkenaan.

Isu gelaran Datuk yang tidak diiktiraf ini semakin menjadi-jadi apabila ia seolah-olahnya dibiarkan berleluasa tanpa sebarang tindakan pencegahan yang berkkesan. Individu yang terkena penyakit “perasan berkedudukan tinggi dan mulia” dalam masyarakat semakin berani menganugerahkan itu dan ini kepada ahli masyarakat tanpa segan silu lagi. Mungkin oleh kerana masih belum ada lagi undang-undang khusus yang mencegah mana-mana pihak yang tidak diiktiraf memberi anugerah terutamanya yang membawa gelaran itu dan ini kepada ahli masyarakat, maka pihak-pihak yang sering perasan dan ditimpa perasaan ini semakin berani memberi anugerah bergelar kepada orang ramai.

Zaman semakin berubah. Persepsi masyarakat khususnya orang Melayu terhadap anugerah bergelar juga boleh berubah. Sekiranya status anugerah bergelar itu tidak dijaga rapi, maka tidak menghairankan jika suatu hari kelak orang Melayu sendiri tidak lagi menghormati dan akan memandang rendah sahaja kepada anugerah bergelar berkenaan. Oleh itu, rasanya sudah sampai masanya nilai dan status anugerah bergelar berkenaan dijaga dan dipelihara agar status dan darjatnya tidak tercemar. Anugerah bergelar termasuklah gelaran Datuk seharusnya dianugerahkan kepada bilangan yang kecil sahaja kerana jika ramai yang sudah ada gelaran yang serupa, maka nilainya akan turun. Selain itu, anugerah bergelar juga seharusnya dikurniakan hanya kepada mereka yang berakhlak mulia dan berkelakuan baik. Di samping itu, sesiapa yang sudah mendapat anugerah bergelar, tetapi kemudiannya melakukan perkara yang buruk dan menyalahi undang-undang, seharusnyalah anugerah bergelar itu ditarik kembali. Selain itu, undang-undang khusus juga boleh diperkenalkan bagi mencegah mana-mana pihak lain daripada memberikan anugerah bergelar kepada ahli masyarakat. Untuk itu, mungkin boleh diperkenalkan iaitu hanya kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan sahaja yang boleh memberi anugerah bergelar.

Di salah sebuah negara jiran, ada undang-undang yang melarang rakyatnya daripada menggunakan geralan daripada negara luar. Ini bermakna, gelaran yang diperolehi daripada luar tidak diiktiraf dan tidak boleh digunakan pada pangkal nama rakyatnya. Setakat yang saya maklum, negara berkenaan ada menganugerahkan pingat tertentu tetapi ia tidak menganugerakha sebarang gelaran. Oleh itu, jika seseorang rakyatnya mendapat anugerah bergelar sebakul sekalipun, ia tidak membawa sebarang makna kerana tidak diiktiraf dan tidak boleh digunakan. Oleh kerana pemakaian gelaran tidak dibenarkan, maka tidak timbul sama sekali isu anugerah bergelar yang tidak diiktiraf terutama daripada mereka yang tidak diiktiraf kedudukannya dalam masyarakat. Ia juga dapat menghindari rakyatnya daripada ditimpa penyakit terperasan berkedudukan tinggi dan mulia di sisi masyarakat.


Saturday, January 16, 2016

Aktiviti Sabtu




Bagi orang yang bekerjapada hari-hari biasa, hari Sabtu dan hujung minggu merupakan masa yang sering digunakan untuk melaksanakan pelbagai urusan lain seperti urusan keluarga, hal peribadi, menenangkan fikiran, bertemu rakan, terlibat dengan aktiviti badan-badan sukarela dan sebagainya. Seboleh-bolehnya pada Sabtu dan hujung minggu, tidak mahu terlibat langsung dengan apa-apa sahaja perkara yang berkaitan dengan kerja. Walau bagaimanapun, bagi golongan pendidik tanpa mengira di tahap mana sekali pun, ada kalanya hari Sabtu dan hujung minggu terpaksa dikorbankan untuk melaksanakan tanggungjawab hakiki masing-masing.

Bagi saya sendiri, Sabtu kali ini agak penuh dengan aktiviti tertentu. Sekitar jam 8.30 pagi, saya menemani isteri ke KV tempat beliau bertugas untuk menyelesaikan sedikit urusan. Setelah itu, baru kami bersarapan. Kali ini bersarapan di luar. Maklumlah berdua sahaja. Walau bagaimanapun, kami berdua kurang puas hati dengan menu sarapan di gerai berkenaan kerana banyak yang tidak ada sebagaimana biasa. Setelah itu, kami ke TM di Titiwangsa untuk menjelaskan bil bulanan.

Sekitar jam 11.30 pagi, kami ke Taman Melawati pula untuk urusan pengeluaran wang runcit yang diperlukan. Selepas itu, kami berdua singgah pula di sebuah restoran untuk sambung semula sarapan pagi yang tergendala tadi. Restoran yang ini pula makanannya agak sedap juga tetapi perkhidmatannya agak lambat.

Sekitar jam 1.20 tengah hari, kami berdua singgah di MAB, Brickfields untuk solat zohor. Tatkala naik ke tingkat 3 dengan lif, saya rasa kurang selesa kerana keadaan lif yang agak berbau. Bau berkenaan mungkin disebabkan ada sedikit air yang masih belum kering di lantai lif berkenaan. Hapak juga baunya hingga hampir terbersin dibuatnya. Semasa menggunakan tandas berhampiran dengan suraunya, sekali lagi saya diganggu oleh bau yang amat tidak menyenangkan. Ini menyebabkan saya kurang selesa untuk melaksanakan urusan peribadi nan asasi. Hampir terbantut dibuatnya.

Setelah itu, saya dan isteri bergerak pula ke kedai komputer di Imbi. Kami menggunakan perkhidmatan monorel sahaja. Sebelum tiba ke stesen Hang Tuah, Monorel pula menghadapi masalah teknikal. Jadi para penumpang diarah supaya turun di stesen berkenaan. Maka berbondong-bondonglah para penumpang turun termasuklah saya. Oleh kerana hari Sabtu, maka jumlah penumpang monorel lebih ramai daripada hari-hari biasa. Distesen ini, saya bertemu dengan salah seorang anak murid saya tahun lepas, iaitu Hong Wen Chai. Beliau seorang sahaja. Katanya, pada masa ini beliau sedang mengikuti kursus di MAB. Saya perhatikan mobiliti Wen Chai agak baik. Beliau boleh bergerak seorang diri tanpa ada rasa bimbang. Dalam hati saya timbul rasa gembira kerana anak murid saya yang ini ada sifat berani dan ada tanda-tanda beliau mampu untuk berdikari. Bila monorel lain tiba, maka berhimpit-himpitlah kami untuk masuk. Wen Chai turun di stesen Hang Tuah. Saya dan isteri sepatutnya turun di stesen Imbi. Namun demikian oleh kerana kurang fokus dan ditambah pula dengan sistem siaraya yang kurang berfungsi pada monorel berkenaan, maka kami terlepas stesen. Kami terpaksa turun di stesen Bukit Bintang untuk berpindah ke monorel yang menghala ke stesen Imbi.

Urusan di kedai komputer berkenaan berjalan lancar. Peter dan Ming, iaitu pengusaha kedai komputer tersebut sudah lama kami kenali dan sememangnya dengan merekalah kami berdua sering berurusan berkaitan dengan komputer. Seperti kelazimannya, kedatangan kami kali ini juga dijamu dengan minuman dan makanan. Kali ini agak banyak kuih yang dijamu. Saya “belasah” sahaja.

Setelah sekitar satu jam berurusan, sekitar jam 3.30 baru kami meninggalkan kedai komputer berkenaan. Haluan kami berdua seterusnya ialah di Jalan Masjid India. Kami gunakan perkhidmatan monorel dan LRT sahaja. Dari stesen LRT Masjid Jamik, kami berjalan kaki sahaja. Pada dekad 80-an dahulu iaitu tatkala saya di sekolah menengah, saya memang mahir dengan kawasan di sekitar Jalan Masjid India. Saya mampu dan berani berjalan seorang diri dari sekolah (St. John’s Institution) hingga ke Wisma Yakin. Namun demikian, hari ini saya tidak lagi yakin untuk berjalan seorang diri di kawasan ini seperti dahulu. Ia mungkin disebabkan kerana keadaan persekitaran yang sudah berubah dan juga saya sudah lama tidak berjalan seorang diri di kawasan ini. Malu juga dibuatnya kalau Hong Wen Chai tahu hal ini.

Sambil berjalan , kami mencari barangan keperluan saya. Akhirnya kami tiba di Semua House, tetapi barangan yang saya perlukan masih belum ditemui. Semua House juga mempunyai memori tersendiri untuk saya dan isteri terutamanya sewaktu kami berdua sama-sama di zaman remaja. Kami berdua masuk ke Semua House dan terus ke bahagian bawahnya. Di sini ada tempat makan yang baik. Selain berhawa dingin, makanan yang dijual di sini pelbagai dan beraneka jenis. Keadaanya tidak banyak berubah.

Setelah selesai menjamu selera, kami berdua pun muola mencari jalan pulang. Tatkala itu hujan turun renyai-renyai. Jadi kami berdua redah sahajalah. Di pertengahan jalan, saya bertemu dengan seorang lagi bekas anak murid saya yang pernah menuntut di SMPK Setapak antara tahun 2006 – 2010. Namanya Najihah. Beliau berjalan bersama seorang rakannya, mungkin seorang yang berpenglihatan terhad (rabun). Saya sekadar menegur sahaja.

Akhirnya kami berdua tiba semula di stesen LRT Masjid Jamik. Saya sedikit hampa kerana gagal mendapatkan barangan keperluan yang saya hajati. Dari stesen LRT Masjid Jamik, saya dan isteri terus mencari jalan pulang. Sekitar jam 7.00 malam kami sudah tiba semula di rumah.

Walaupun sedikit keletihan, tetapi saya seronok kerana dapat menyelesaikan beberapa urusan sendiri. Maklumlah pada hari-hari biasa tenaga dan fikiran banyak difokuskan kepada tugas dan tanggungjawab hakiki.


Friday, January 15, 2016

Kota Bukit Supai



Kota Bukit Supai merupakan satu lagi tempat bersejarah yang mungkin kurang diketahui umum. Ia terletak di muara Sungai Linggi iaitu bersempadan dengan Negeri Sembilan. Jika kita datang dari arah Port Dickson, ambil jalan pantai menghala ke Melaka. Selepas melintasi kuala Sungai Linggi, kita pasti akan bertemu dengan kota ini.



Menurut sejarah, kota ini telah dibangunkan oleh penjajah Belanda. Lokasi kota ini memang strategik. Ia terletak di atas bukit, menghadap Selat Melaka dan di tepi muara sungai. Kota ini mempunyai dua fungsi penting, iaitu untuk mengawal perdagangan bijih timah yang melalui sungai Linggi. Kota ini juga bertujuan sebagai kota pertahanan untuk melindungi pihak berkuasa Belanda di Melaka. Menurut catatan sejarah lagi, sepasukan kecil tentera Belanda sentiasa berkawal di kota ini.

(Kata orang, pemandangannya cantik)

(Sebahagian tapak kota)


Kewujudan kota ini menjelaskan betapa pentingnya perdagangan bijih timah ketika itu. Kewujudan kota ini juga merupakan antara langkah yang diambil oleh penjajah Belanda untuk meneruskan dasar monopolinya dalam perdagangan bijih timah. Gara-gara dasar monopoli ini jugalah perselisihan sering timbul antara penjajah Belanda dengan pemerintah-pemerintah negeri Melayu ketika itu.





Hari ini, Kota Bukit Supai masih utuh di lokasinya. Mungkin banyak kisah sejarah yang dipendamnya sebagai peringatan buat generasi sekarang dan yang akan datang. Jika kita berada di atas bukit kota ini, kita akan dapat menghirup udara petang yang menyegarkan. Ramai juga orang yang bersantai di sini sewaktu kunjungan saya ke kota ini.

(Boleh menjamu selera di sini).



Thursday, January 14, 2016

Tun Abdul Razak



Hari ini (14 Januari), genap 40 tahun Allahyarham Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein kembali ke rahmatullah. Tiada siapa pun yang dapat menafikan bahawa Tun Abdul Razak telah pergi menghadap Ilahi dengan meninggalkan jasa yang cukup besar dan agung kepada rakyat dan negara kita. Jasa yang beliau tinggalkan pula merangkumi pelbagai aspek kehidupan.



Tun Abdul Razak merupakan antara tokoh yang telah menyediakan asas yang kukuh untuk sistem pendidikan negara kita. Ini terbukti pada tahun 1956 Penyata Razak telah dikeluarkan. Penyata berkenaan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 16 Mei 1956. Maka itulah kemudiannya, 16 Mei telah dipilih sebagai tarikh untuk sambutan hari guru bermula awal dekad 70-an.

Selain itu, Tun Abdul Razak juga merupakan antara tokoh yang telah berusaha kuat ke arah merealisasikan penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Beliau juga merupakan antara pengasas Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 1967.

Setelah tercetusnya tragedi 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dengan tujuan utamanya ialah untuk memulihkan keamanan. Beliau juga antara tokoh yang telah memperkenalkan RukunNegara sebagai ideologi negara dengan tujuan untuk mengembalikan perpaduan dan taat setia rakyat terhadap negara.

Di samping itu, Tun Abdul Razak juga telah berjaya mengukuhkan kestabilan politik negara. Ini terbukti apabila beliau berjaya membawa masuk parti Gerakan dan PAS untuk menyertai Perikatan yang kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional. Kemasukan kedua-dua parti politik berkenaan ke dalam BN cukup penting. Dengan kemasukan kedua-duanya, maka Pulau Pinang dan Kelantan berjaya ditadbir oleh BN.

Selain itu, Allahyarham Tun Razak juga dikatakan orang yang telah membawa semula Tun Dr. Mahathir untuk menyertai semula UMNO pada awal dekad 70-an selepas pemecatan beliau pada tahun 1969. Kemasukan semula Tun Dr. Mahathir ke dalam UMNO sangat penting kerana ia telah membuka laluan kepada Tun Mahathir untuk menjadi perdana menteri keempat pada 16 Julai 1981. Oleh kerana mengenang budi Tun Razak terhadapnya, Tun Dr. Mahathir kemudiannya telah membuka peluang pula kepada Datuk Seri Mohd Najib untuk menjawat jawatan perdana menteri sekarang. Demikianlah jasa dibalas jasa dan budi dibalas budi.

Tun Razak juga merupakan antara arkitek penting ke arah merealisasikan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuan utama DEB ialah untuk menyusun semula masyarakat supaya ia lebih adil dan saksama dari sudut ekonomi. Ia juga bertujuan agar pengenalan kaum tidak lagi berdasarkan latar belakang ekonomi semata-mata.

Di samping itu, Tun Razak juga merupakan tokoh yang telah menjalin hubungan diplomatik dengan negara China. Hubungan ini sangat penting bagi tujuan kestabilan politik dan ekonomi. Ia juga bertujuan untuk memudahkan lagi usaha membanteras pengaruh komunis di negara kita.

Satu lagi jasa besar Allahyarham Tun Razak ialah pengasasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Agensi tanah ini telah berperanan besar ke arah peningkatan ekonomi khasnya orang Melayu menerusi skim pembangunan tanah pertanian yang dianggap antara yang terbaik di dunia.

Jika hendak dikisahkan jasa dan pengorbanan Tun Razak kepada rakyat dan negara, memang sukar untuk dinilai. Maka itulah gelaran Bapa Pembangunan kepada beliau amat bersesuaian sekali.

Selepas kematiannya pada 14 Januari 1976, negara seolah-olah kehilangan seorang pemimpin yang masih belum ada penggantinya lagi. Walaupun selepas 40 tahun beliau kembali menghadap Ilahi, masih belum ada lagi tokoh lain yang mampu mewarisi bakat, kebolehan, kemampuan, kepimpinan, ketokohan, kewibawaan serta pengorbanan Allahyarham Tun Razak sehingga kini.

Semoga roh Tun Razak sentiasa dicucuri rahmat sepanjang masa dan ditempatkan bersama-sama mereka yang diredhai Allah.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak bagai patah tak tumbuh lagi dan hilang tak berganti.

Dokumentari mengenai Tun Razak


Friday, January 8, 2016

PAS Tidak Akan Menyertai BN



Menurut sumber berita, Majlis Syura Ulamak PAS telah bersidang beberapa hari yang lalu. Keputusan penting daripada mesyuarat berkenaan ialah PAS tidak akan menyertai BN. Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk di
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/39316-syura-benar-kerjasama-demi-islam

Keputusan mesyuarat berkenaan agak penting. Ia sekurang-kurangnya dapat meredakan rasa gundah gulana khususnya dalam kalangan ahli akar umbi PAS itu sendiri. Sebelum ini, pelbagai maklumat tersebar mengenai ura-ura kononnya PAS akan menyertai BN. Selama ini, teka-teki sama ada PAS akan menyertai BN atau tidak sedikit sebanyak turut memberi kesan ke atas ketenangan PAS sebagai sebuah organisasi.

Namun demikian, mesyuarat berkenaan juga turut memberi lampu hijau kepada PAS untuk menjalinkan kerjasama secara tidak formal dengan mana-mana pihak termasuklah UMNO untuk kebaikan bersama. Dalam konteks yang lebih luas lagi, PAS boleh menjalinkan kerjasama dengan sesiapa pun tanpa terikat dengan mana-mana pihak ketiga. Keputusan sedemikian juga penting bagi meneruskan kerjasama PAS dengan PKR khasnya untuk kestabilan kerajaan negeri Selangor.

Keputusan tersebut juga mungkin tidak digemari oleh sesetengah pihak lain pula. Ia menjelaskan bahawa buat masa ini persoalan mengenai kemasukan PAS ke dalam BN terpaksa diperam dahulu. Buat masa ini PAS masih tidak bersedia untuk bergabung semula dengan BN. Luka lama masih berdarah lagi. Huluran tangan perdamaian daripada UMNO masih belum sedia untuk disambut oleh PAS secara rasmi.

Pada sudut yang lain, BN khususnya UMNO tidak boleh bergantung semata-mata kepada PAS untuk kestabilan parti berkenaan. UMNO harus mencari formula dan kaedah lain bagi menstabilkan pelbagai masalah dalaman yang sedang melanda parti tersebut. Mungkin masih ada ruang untuk memperolehi bantuan daripada PAS tetapi bukan dengan cara penyertaan PAS ke dalam BN. Sekiranya sebarang langkah yang akan dilaksanakan oleh UMNO/BN mempunyai kepentingan tertentu untuk PAS, ada kemungkinan besar PAS akan menghulurkan bantuan berasaskan konsep “ta’awun”.

Buat masa ini, keputusan Majlis Syura Ulamak PAS turut menghakis cakap pihak-pihak tertentu yang bermati-matian mengatakan kononnya akan berlaku kerjasama rasmi antara UMNO dengan PAS. Bahkan, mengikut pihak yang berkenaan, antara sebab sesetengah ahli PAS keluar parti tersebut dan menyertai parti lain kerana ada ura-ura akan berlaku kerjasama politik secara rasmi antara PAS dan UMNO dalam masa terdekat. Dalam masa jangka pendek, keputusan Majlis Syura Ulamak telah menafikan apa yang dinujumkan oleh pihak yang berkenaan.

Ada satu teori lain yang mengatakan bahawa sebelum ini memang ada ura-ura bahawa PAS setidak-tidaknya akan menyertai BN kalau pun tidak masuk UMNO. Namun demikian, oleh kerana menyedari UMNO kini merupakan sebuah bahtera yang sedang senget, maka PAS telah menangguhkan dahulu penggabungan berkenaan. Jika teori ini benar, maka UMNO harus menyelesaikan dahulu pelbagai masalah dalaman yang sedang dihadapinya. Bila UMNO sudah semakin stabil, barulah boleh hulurkan semula tangan persahabatan dengan PAS.

Namun demikian, PAS harus ingat, dari sudut sejarahnya, bila UMNO kuat dan stabil, lazimnya ia tidak ingat lagi untuk bersahabat dengan PAS. Bila UMNO ingin berbaik semula dengan PAS, itu menandakan parti siasah terbesar orang Melayu berkenaan sedang dilanda masalah yang serius. Kalau tak ada apa-apa, takkan tempua bersarang rendah.

Seperti yang dinyatakan tadi, walaupun PAS tidak menyertai BN, tetapi ia tidak bermakna pintu kerjasama antara kedua-dua pihak sudah tertutup. Kerjasama berasaskan konsep “ta’awun” masih boleh dilaksanakan. Walaupun pelbagai tafsiran boleh dibuat mengenai konsep berkenaan, sebaik-baiknya ikutlah kaedah “ta’awun” sebagaimana yang disarankan oleh Alquran, iaitu untuk tujuan kebaikan dan takwa dan jangan sekali-kali berta’awun untuk tujuan melakukan dosa dan permusuhan.

Jika ahli politik merupakan pelakon, pemerhati politik pula adalah penontonnya.


Monday, January 4, 2016

Bahlul




Mengikut Kamus Dewan, perkataan bahlul diertikan sebagai “Bangang, bodoh, tongong”. (rujuk Kamus Dewan, Edisi 4, 2010, halaman 108).

Bagi orang Melayu, kalimah bahlul sangat sensitif. Sesiapa yang disabitkan dengan perkataan bahlul, individu berkenaan dianggap bersifat sebagaimana makna bahlul itu sendiri. Ada kalanya, perkataan bahlul digunakan untuk mehamburkan rasa marah atau merupakan salah satu cara untuk mencaci maki seseorang. Justeru, gara-gara kalimah bahlul, ia boleh membangkitkan permusuhan dan pergaduhan.

Dalam filem-filem arahan P. Ramlee, ada ketikanya perkataan bahlul agak kerap digunakan. Jika seseorang itu merupakan peminat atau penonton tegar filem-filem berkenaan, ada kemungkinan orang berkenaan boleh terpengaruh untuk menggunakan perkataan bahlul tanpa kawalan. Ia juga berkemungkinan boleh membangkitkan kemarahan orang lain yang terkena hamburan perkataan berkenaan.

Walau bagaimanapun, ada pandangan lain yang kononnya bahlul ini merupakan nama seorang tokoh ilmuwan Islam zaman Khalifah Harun Al-Rashid. Konon kisahnya, nama tokoh berkenaan ialah Muhammad Al-Bahlul. Kalau kita ke laman Youtube dan taip perkataan “bahlul”, maka kisah mengenai tokoh berkenaan boleh ditonton.

Biar apa pun, hari ini perkataan “bahlul” merupakan perkataan yang bersifat negatif dalam kalangan orang Melayu. Untuk mengubah persepsi negatif perkataan berkenaan kepada sabitan tokoh tersebut adalah sesuatu yang hampir mustahil buat masa ini.

Oleh yang demikian, jika kita tidak mahu dikategorikan sebagai golongan bahlul (menurut persepsi orang Melayu), elakkanlah daripada menonjolkan sifat-sifat bahlul tersebut.

boleh tonton di sini

Sunday, January 3, 2016

Selamat Kembali Semula Ke Sekolah



Hari ini (3 Januari) merupakan hari pertama persekolahan bagi 4 buah negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor. Manakala bagi negeri-negeri lain pula, hari ini merupakan hari terakhir cuti persekolahan.

Kepada semua murid di seluruh negara, saya ucapkan selamat kembali semula ke sekolah. Kepada semua murid tahun 1 pula, saya ucapkan selamat menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Kepada murid-murid yang bakal menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah, selamat bertukar suasana persekolahan.

Manakala kepada semua rakan pendidik yang bertugas di sekolah, saya yakin kita sama-sama sudah pun memulakan tugas kita sejak awal minggu ini lagi dengan menghadiri beberapa mesyuarat di sekolah. Bahkan khabarnya ada juga sekolah yang sudah pun mengadakan mesyuaratnya lebih awal dari itu.

Di sesetengah sekolah pula, hari ini merupakan hari pendaftaran untuk murid-murid tahun 1 atau tingkatan 1. Ada juga sekolah yang mengadakan taklimat untuk ibu bapa dan murid pada hari ini. Saya sendiri telah bertolak dari rumah seawal jam 8.15 pagi untuk menghadiri satu taklimat di sekolah anak tunggal kami.

Kepada semua pendidik dan anak didik, selamat kembali semula ke sekolah untuk tahun 2016. Semoga harapan untuk melahirkan generasi yang cemerlang dunia akhirat akan terkabul, insha-Allah.


Saturday, January 2, 2016

Tahniah Kepada Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman



Menurut satu laporan beberapa portal berita semalam, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman telah dilantik sebagai naib canselor Universiti Selangor (Unisel) yang baru. Pelantikan beliau berkuat kuasa mulai 1 Januari 2016. Beliau menggantikan tempat Prof. Dr. Anuar Ahmad yang tamat perkhidmatannya pada pertengahan Disember lalu.


Saya mengenali Prof. Datuk Dr. Redzuan Othman sejak tahun 1988 lagi iaitu ketika saya menuntut di Universiti Malaya (UM). Ketika itu Dr. Redzuan merupakan salah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Beliau mengajar kursus berkaitan dengan Timur Tengah. Waktu itu saya merupakan salah seorang penuntut beliau. Saya mengikuti kursus kendalian beliau sejak tahun 1 hinggalah ke tahun akhir. Alhamdulillah saya telah beroleh keputusan baik bagi setiap tahun.

Bagi saya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman seorang yang berpandangan terbuka. Baginya, seseorang yang berstatus penuntut institusi pengajian tinggi tidak seharusnya terikat dengan satu aliran pemikiran semata-mata. Oleh itu, pendedahan yang secukupnya harus diberikan kepada golongan penuntut institusi pengajian tinggi bagi menjana kecemerlangan mereka serta mengembangkan lagi potensi yang ada.

Saya berkeyakinan dengan kemampuan, kepakaran, pengalaman dan kebolehan yang ada, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan mampu memacu Unisel ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Tahniah Prof.


Friday, January 1, 2016

Tahun Baru 2016



Hari ini (1 Januari), kita mula melangkah ke tahun baru Masihi 2016. Secara peribadi, berbeza dengan hari pertama tahun-tahun baru Masihi sebelumnya di mana saya akan berada di luar KL, tahun ini saya di KL sahaja. Kebetulan pula, di rumah ada ahli keluarga dari jauh yang berkunjung. Maka itulah hari pertama tahun ini kami sekeluarga di sekitar ibu kota sahaja.

Tahun baru ini juga tidak membawa sebarang perubahan kepada blog ini. Segala-galanya akan berkeadaan seperti biasa sahaja. Isi kandungannya, penampilan layout, persembahan dan lain-lainya juga akan berkeadaan seperti biasa sahaja. Kekerapan posting pula bergantung kepada beberapa faktor. Maklumlah walaupun di luar sana ada orang sering bercakap kononnya bersikap terbuka dan sedia mendengar pandangan semua pihak, ia tidak semestinya berlaku pada semua keadaan.

Saya juga sempat mendengar ucapan tahun baru daripada beberapa orang pemimpin negara lain. Saya tertarik dengan ucapan salah seorang daripada mereka. Pemimpin berkenaan melahirkan keyakinan yang tinggi dengan masa depan negaranya tatkala melangkah ke tahun baru. Antara lain katanya, walaupun negaranya sebuah negara yang berbilang agama, kaum dan budaya, tetapi mereka berupaya mencipta masa depan yang lebih cemerlang kerana perpaduan yang kukuh dalam kalangan mereka. Selain itu, kestabilan politik dan kekukuhan ekonomi merupakan antara aset penting dalam membina masa depan yang cemerlang.

Selepas mendengar ucapan-ucapan berkenaan, saya mula menoleh kepada tanah air sendiri. Kita melangkah ke tahun baru 2016 dalam keadaan yang cukup tidak pasti. Ekonomi negara kita berada dalam keadaan tidak seperti dahulu. Kos hidup semakin meningkat, tidak seiring dengan peningkatan pendapatan rakyat biasa. Nilai ringgit pula tidak menentu. Kemerosotan nilainya yang gagal dikawal mengakibatkan rakyat setempat semakin merintih di bumi sendiri. Manakala orang asing pula semakin kaya-raya di tanah air sendiri. Kesannya, bumi tercinta ini lebih merupakan syurga kepada orang asing daripada pribumi sendiri.

Ada orang politik yang begitu yakin bahawa dengan penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan, harga barang akan turun. Namun demikian, realitinya kita semua melangkah ke tahun 2016 dengan keadaan harga pelbagai barangan semakin naik melambung. Jadi tidak salah jika sebelum ini saya sering mengutarakan bahawa orang politik hanya pandai berkokok sahaja. Mereka sering gagal melihat permasalahan rakyat marhaen dari sudut yang betul. Sebab itulah mereka sering kali gagal untuk membetulkan masalah rakyat.

Kebanyakan orang politik sekadar mementingkan perut dan poket masing-masing sahaja. Sebab itulah untuk tahun ini, gaji sesetengah daripada kmereka naik dahulu berbanding gaji kakitangan awam yang hanya akan naik selepas Julai nanti. Kebanyakan kakitangan awam akan hanya menikmati kenaikan gaji sekitar ratusan ringgit sahaja. Manakala sebilangan orang politik akan menikmati kenaikan gaji sekitar ribuan ringgit banyaknya.

Bila bercakap tentang kesusahan rakyat biasa, ada pula orang politik yang mengeluarkan pandangan bertaraf hodob, lolot dan ngangab. rakyat biasa disuruhnya buat lebih dari satu kerja. Tak perlulah ulas panjang-panjang kenyataan seperti ini. Ia menunjukkan pemimpin seperti ini hanya pandai bercakap semata-mata. Moralnya, lain kali jangan terlalu berbangga dengan CGPA yang tinggi.

Selain itu, orang-orang politik lebih memikirkan bagaimana untuk mengekalkan kuasa mereka semata-mata. Sebab itulah rata-rata mereka hanya bercakap tentang pilihanraya umum yang akan datang. Mereka kurang peduli pada kesempitan dan kesusahan rakyat marhaen. Walhal mereka merupakan golongan yang ada kuasa untuk mengubah keadaan daripada kurang kondusif kepada situasi yang lebih kondusif.

Sesungguhnya kita melangkah ke tahun 2016 dalam suasana yang sangat tidak pasti dalam pelbagai aspek. Banyak isu dan persoalan tahun lepas terpaksa dibawa ke tahun ini dalam keadaan belum selesai dengan sempurna. Kita hanya mampu berdoa, berharap dan berusaha semoga tahun ini akan lebih baik daripada tahun lepas. Namun demikian, ia akan juga bergantung kepada pihak yang masih diberi kuasa untuk melaksanakan kuasa mereka bagi memastikan agar tahun ini akan lebih baik daripada tahun lepas.

Jika 2015 sarat dengan kenangan, 2016 pula akan lebih sarat dengan cabaran.