Tuesday, March 29, 2016

Ismail Mamat




Khabarnya pada 27 Mac (Ahad), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Pahang telah mengadakan mesyuarat agungnya. Antara perubahan yang berlaku dalam mesyuarat berkenaan ialah jawatan pengerusi PERTIS Pahang tidak lagi disandang oleh En. Ismail Mamat. Kini PERTIS Pahang sudah pun mempunyai pengerusi baru iaitu En. Bakri Said. Kepada En. Bakri, selamat menyandang jawatan berkenaan. Mudah-mudahan kepimpinan beliau akan lebih baik lagi, insha-Allah.

(En. Ismail menyerahkan cenderamata kepada penceramah dalam satu majlis pada tahun 2014)



Walau bagaimanapun, perubahan dalam kepimpinan PERTIS Pahang sedikit mengejutkan saya. Saya agak baru mengenali En. Ismail Mamat iaitu sejak beliau menjadi pengerusi PERTIS Pahang. Apa yang menjadi fokus saya ialah stail dan gaya En. Ismail selaku seorang pemimpin. Dari segi akademik, En. Ismail bukanlah berlatarbelakangkan seorang yang berpendidikan tinggi. Latar belakang pendidikan beliau biasa sahaja.

Sejak En. Ismail memimpin PERTIS Pahang, banyak juga perubahan yang telah beliau laksanakan. Antara yang penting termasuklah memulakan kelas Alquran (Alquran Braille). Kelas Alquran yang dimulakannya telah mendapat sokongan yang cukup baik daripada pihak berkuasa agama negeri Pahang. Model pelaksanaannya pula secara umumnya berdasarkan apa yang sedang dilaksanakan oleh PERTIS Terengganu. Dengan usaha ini, maka ia telah membuka peluang yang luas khususnya kepada ahli-ahli PERTIS Pahang dan juga golongan cacat penglihatan Islam umumnya untuk mengikuti kelas Alquran dengan lebih teratur lagi.

Di samping itu, En. Ismail juga banyak melaksanakan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan pejabat PERTIS Pahang. Usaha sentiasa dilakukan supaya sekeliling pejabat sentiasa bersih, terjaga dan selamat kepada pengunjung. Selain itu, aktiviti dengan pihak luar juga agak kerap dilaksanakan. Ini termasuklah aktiviti dengan pihak UITM dan sebagainya. Ini membolehkan PERTIS Pahang semakin dikenali. Dengan ini, usaha ke arah “memasyarakatkan PERTIS” khasnya di Pahang dapat dicapai.

Sewaktu saya menjawat jawatan selaku Yang Di-Pertua PERTIS kebangsaan, beliau antara orang yang banyak menghubungi saya bagi mendapatkan nasihat, sokongan serta bantuan (bila perlu) ke arah mengaktifkan pelbagai kegiatan di Pahang. Selain itu, En. Ismail Mamat juga banyak berkongsi pelbagai masalah ketika memimpin PERTIS Pahang. Ia termasuklah karenah ahli, masalah pentadbiran, hubungan dengan pihak berkuasa dan sebagainya. Justeru, saya amat memahami pelbagai cabaran yang perlu beliau hadapi tatkala memimpin PERTIS Pahang. Pernah juga beliau menyuarakan hasratnya untuk melepaskan jawatan, namun saya nasihatkan beliau supaya pendamkan dahulu hasratnya itu kerana PERTIS Pahang masih memerlukan orang seperti beliau.

Bagi memastikan kelas Quran Braille berjalan lancar, beliau dan isterinya sanggup tinggal dan berumah tangga di pejabat PERTIS untuk tempoh yang lama. Tujuannya ialah bagi membolehkan tenaga pengajar kelas Quran ketika itu juga tinggal di pejabat PERTIS.

Sebagai maklumat, pada ketika itu, ada dua orang tenaga pengajar untuk kelas Quran di PERTIS Pahang. Kedua-duanya berasal dari daerah yang jauh. Kedua-duanya juga tiada tempat tinggal. Untuk menyewa, ia akan meningkatkan kos hidup sedangkan elaun yang diterima hanya sekadar cukup makan sahaja. Jadi bagi membolehkan kedua-dua tenaga pengajar berkenaan tinggal di pejabat PERTIS dengan selamat dan selesa, maka En. Ismail telah berkorban iaitu dengan tinggal sekali di pejabat PERTIS Pahang. Faktor inilah antara sebab bagaimana kelas Quran Braille PERTIS Pahang dapat bertahan lama.

Untuk menjimatkan sara hidup ketika “berumah tangga” di pejabat PERTIS, En. Ismail akan memasak sendiri makanan harian. Untuk itu, acap kali beliau akan menggunakan wang sakunya sendiri bagi menampung keperluan tersebut. Apatah lagi bila “berumah tangga” di pejabat PERTIS, semestinya beliau tidak dapat mencari rezeki untuk keperluannya sendiri. Namun begitu, semuanya beliau hadapi dengan tabah, sabar dan jarang bercerita masalah berkenaan dengan orang lain.

En. Ismail juga ada memberitahu saya bahawa ada segelintir orang yang tidak suka dengan cara beliau memimpin. Dalam hal ini, saya sering beritahu beliau, iaitu selaku pemimpin jangan harapkan semua orang akan suka kepada kita. Adalah menjadi lumrah bagi pemimpin untuk disukai dan untuk tidak disukai.

Sewaktu saya melepaskan jawatan saya selaku Yang Di-Pertua PERTIS kebangsaan hampir 2 tahun lalu, saya ada berpesan kepada salah seorang AJK PERTIS peringkat pusat ketika itu iaitu jagalah dengan baik mana-mana pemimpin PERTIS peringkat wilayah yang boleh bekerja. Jika mereka berundur atau hilang jawatan, susah untuk dicari ganti.

Kini PERTIS Pahang sudah pun ada barisan pemimpin yang baru. Apa yang lebih penting ialah, perpaduan dalam kalangan ahli mesti ada. Pemimpin lama jangan sekali-kali dilupakan. Pengalaman yang ada kepada orang lama amat berharga dan boleh jadi panduan kepada orang baru untuk memperoleh kejayaan yang lebih gemilang lagi.

Bukanlah tujuan tulisan ini untuk tidak menyokong Mana-mana barisan pemimpin PERTIS peringkat wilayah yang telah dan yang akan terpilih. Tulisan ini sekadar mengimbas kembali apa yang pernah berlaku semasa PERTIS Pahang di bawah pimpinan En. Ismail Mamat. Kepada En. Ismail Mamat, walaupun anda tewas, tetapi pengorbanan senyap yang sering anda lakukan pasti akan mendapat perhatian dan balasan yang setimpal daripada Allah Yang Maha Esa.


Sunday, March 20, 2016

Selamat Ulang Tahun Kepada Datuk Ann Majeed




Antara perkara yang sering saya laksanakan bila tiba tarikh 20 Mac setiap tahun ialah menelefon Yang Berbahagia Datuk Ann Majeed dan mengucapkan selamat ulang tahun kepada beliau. Hal ini telah pun saya lakukan sejak lebih daripada suku abad yang lalu. Pagi tadi, walaupun saya berada sekitar 240 km di luar KL, namun ia sama sekali bukan penghalang untuk saya melaksanakan rutin yang sama bagi tahun ini.

(Foto Datuk Ann Majeed pada tahun 2013)


Yang Berbahagia Datuk Ann Majeed dilahirkan pada 20 Mac 1928 di Kuala Lumpur. Berdasarkan kepada dapatan saya, beliau merupakan anak Melayu pertama yang berupaya membaca dan menulis tulisan Braille di negara ini. Setelah berupaya membaca dan menulis tulisan berkenaan, beliau telah mengajarkannya pula kepada 3 lagi guru yang juga merupakan generasi guru pertama untuk Princess Elizabeth School )PES) yang mana pada hari ini ia lebih dikenali sebagai SKPK Princess Elizabeth di Johor Baru. Datuk Ann Majeed juga merupakan guru besar PES yang pertama.

Tiga lagi guru yang turut bersama-sama beliau dalam memulakan pendidikan di sekolah pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan yang pertama di negara kita ialah Cikgu Sharifah Kamaliah binti Datuk Syed Abdul Kadir, Cikgu Fatimah binti Datuk Ismail (Cikgu Ara) dan Cikgu Rahmah binti Abdullah. Manakala jumlah murid generasi pertamanya juga adalah seramai 4 orang.

Setakat yang saya maklum, keempat-empat guru generasi pertama PES masih ada bersama kita hari ini. Manakala 2 daripada murid generasi pertama PES telah pun meninggal dunia. Mereka ialah En. Shaari Abdullah (Lim Keyong Wah) dan Cikgu Ismail bin Abdullah. Seorang lagi bekas murid generasi pertama PES iaitu Saodah Syarif tidak diketahui sama ada masih bersama kita atau sebaliknya. Setakat yang saya maklum juga, satu-satunya bekas murid generasi pertama PES yang masih bersama kita ialah En. Samani Taib. Sekiranya maklumat ini silap, harap ada pihak yang tampil dan membuat pembetulan.

Di samping itu, YB Datuk Ann Majeed juga merupakan individu yang banyak membantu saya ketika saya menyiapkan latihan ilmiah saya bagi keperluan Ijazah Sarjana Muda saya sekitar 25 tahun yang lalu. Latihan ilmiah berkenaan ialah mengenai penubuhan PES itu sendiri.

Sebenarnya bila berbicara dengan Datuk Ann, banyak perkara, peristiwa dan ceritasuka duka tatkala PES di peringkat penubuhannya. Orang yang terlibat dalam pendidikan khas hari ini mungkin ramai yang tidak menyedari dan mengetahuinya.

Kepada YB Datuk Ann, selamat ulang tahun. Semoga YB Datuk serta keluarga sentiasa dalam rahmat dan peliharaan Allah dunia dan akhirat. Saya juga sentiasa berdoa semoga Datuk dan keluarga dikurniakan kesihatan yang baik.


Saturday, March 19, 2016

Sekitar Pantai Sepat





Saya memang gemar menikmati keindahan alam semula jadi. Kadang-kadang ia sungguh mengasyikkan. Adakalanya ia amat mempesonakan. Ada ketikanya ia menginsafkan. Ada masanya ia menyebabkan saya rasa tersangat kecil, kerdil dan daif sekali. Demikianlah.

Dengan menikmati fenomena sedemikian, ia dapat memberi kerehatan kepada minda. Selain itu, ia juga membolehkan orang seperti saya yang mempunyai hobi menulis secara kecil-kecilan untuk menghasilkan dan menjana idea baru bagi memenuhi hobi sendiri.

Dalam hal ini, ramai yang sering bertanya kepada saya, bagaimana orang seperti saya menikmati sesuatu keindahan? Jawapannya mudah sahaja. Kaedah kita menikmati dan menilai sesuatu bukan hanya dengan satu cara sahaja. Terdapat berbagai cara yang telah disediakan oleh Yang Maha Esa untuk digunakan oleh sekalian makluk-Nya. Hembusan angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup tidak boleh dinilai dengan penglihatan. Namun semua orang sama ada berpenglihatan atau tidak akandapat merasi akan nikmatnya. Bagi mereka yang berpenglihatan, mereka sering menilai deruan ombak laut hanya dengan mata sahaja. Namun demikian mata/penglihatan bukan satu-satunya kaedah untuk menikmati sesuatu keindahan ciptaan Tuhan. Bagi mereka yang tidak berpenglihatan, kaedah pendengaran juga sudah cukup mengasyikkan dan boleh membuatkan mereka terpukau dibuatnya. Demikianlah adil dan besarnya kekuasaan Pencipta kita.

Oleh yang demikian, adalah salah sama sekali bagi sesiapa yang berpendapat golongan yang tidak berpenglihatan tidak akan mampu untuk menikmati sesuatu keindahan secara maksimum. Adalah lebih malang lagi jika pendapat sesat sedemikian dijadikan asas untuk menggubal apa-apa dasar yang berkaitan dengan golongan yang cacat penglihatan. Dalam hal sebegini, kalau tak tahu eloklah bertanya, bila tak mahu bertanya, anda akan menyesat dan meminggirkan sekelompok ahli masyarakat.

Bila saya bercuti ke Kuantan, saya akan mencari kawasan pantai untuk merehatkan badan dan minda. Antara kawasan sedemikian yang menarik perhatian saya ialah sekitar Pantai Sepat. Ia terletak antara Kuantan dengan Pekan. Bagi saya, kawasan ini sungguh mempesonakan. Bunyi ombak, desiran angin, bunyi burung serta suasana di sekitarnya cukup mengasyikkan.









Pantai Sepat di Kuantan,
Tanjung Sepat di Kuala Langat,
ikan sepat di dalam laut.

Friday, March 18, 2016

Menyusuri Sungai Sarawak





Lazimnya setiap kali saya mengunjungi Kuching, orang yang pasti akan saya cari ialah Abang Pian (En. Safian). Kerja sampingan beliau ialah mengendalikan sampan di Sungai Sarawak iaitu di sekitar Water Front. Saya mengenali beliau sejak sekitar 5 atau 6 tahun yang lalu. Jika dahulu beliau akan mengendalikan sampan bersama dengan rakannya, tetapi kali ini beliau telah pun memiliki sampannya sendiri. Tujuan utama saya mencari beliau ialah bagi memenuhi salah satu kegemaran saya iaitu menyusuri Sungai Sarawak dengan sampan atau bot. Biasanya saya akan meluangkanmasa untuk aktiviti ini sekitar satu jam lamanya.

(Saya dan Abang Pian)



Baru-baru ini, sewaktu saya berkunjung ke Kuching, hal yang serupa juga saya lakukan. Saya memang memastikan supaya aktiviti menyusuri Sungai Sarawak tidak akan terlepas. Orang yang saya cari untuk memenuhi kegemaran berkenaan tentunya Abang Pian. Beliau cukup mesra, mudah untuk dihubungi, peramah dan sentiasa bersedia untuk memenuhi permintaan saya yang lain seperti mencari ikan terubuk masin, membawa ke tempat jualan kek Sarawak yang baik dan sebagainya.

Tujuan utama saya dan keluarga ke Kuching baru-baru ini ialah untuk menghadiri majlis pernikahan salah seorang anak saudara kami yang bertemu jodohnya dengan wanita Sarawak. Jadi, untuk aktiviti menyusuri Sungai Sarawak, saya turut disertai oleh sekitar 15 ahli keluarga yang lain. Bila sudah ramai, tentunya macam-macam gelagat yang dapat disaksikan. Ada juga ahli keluarga saya yang penakut untuk naik sampan tapi ikut juga aktiviti ini.

Bagi golongan yang tidak berpenglihatan, kami ada cara tersendiri untuk menikmati keindahan alam semula jadi ciptaan Yang Maha Esa.

Kepada Abang Pian, setinggi-tinggi terima kasih saya dan keluarga ucapkan atas kesudian dan keikhlasan melayan kunjungan saya dan keluarga. Sudahlah kami diberi potongan harga yang tinggi untuk aktiviti menyusuri Sungai Sarawak, saya juga turut dibekalkan dengan buah tangan pula. Bila saya nilai kembali, apa yang kami dapat daripada Abang Pian lebih besar harganya daripada apa yang kami bayar untuk aktiviti berkenaan.

Di bawah ini saya kongsikan beberapa foto menarik sewaktu saya dan keluarga menyusuri Sungai Sarawak.







Memang benarlah kata orang tua-tua kita, kalau berkawan biarlah seribu.