Sunday, March 22, 2015

Keputusan PRK DUN Cempaka




Sekitar jam 9.00 malam tadi, keputusan pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Cempaka telah diumumkan. Sepertimana yang telah diduga, PAS berjaya mengekalkan penguasaannya di kerusi berkenaan.



Calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan Mahmud telah memperoleh 10899 undi. Beliau beroleh kemenangan dengan majoriti 10092 undi. Calon terhampir beroleh 807 undi iaitu di bawah paras seribu undi. Kalau saya tidak silap, 3 calon lagi beroleh kurang daripada 100 undi.

Secara umumnya, kemenangan calon PAS dalam pilihanraya kecil ini sememangnya sudah dijangka sejak awal lagi. Mungkin sebab itulah juga UMNO/BN dari awal-awal lagi tidak mahu bertanding dalam PRK kali ini. Bagi parti siasah berkenaan, alasan untuk tidak bertanding ialah ingin memberi tumpuan kepada program pemulihan pasca banjir di kelantan.

Keputusan pilihanraya kecil ini menunjukkan calon bebas masih kurang wibawa untuk mempengaruhi para pengundi. Maka itulah tidak menghairankan bilamana tiada seorang pun antara calon bebas berkenaan yang berupaya meraih lebih daripada seribu undi.

Keputusan pilihanraya kecil kali ini juga hanya sekadar mengekalkan status quo yang ada di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Pilihanraya kecil yang diadakan siang tadi juga sekadar untuk memenuhi lunas demokrasi sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.


Monday, March 16, 2015

Solidariti Orang Buta





Menurut berita daripada satu sumber yang sahin, satu himpunan secara aman akan dianjurkan oleh golongan yang cacat penglihatan. Manakala sasaran kehadiran pula juga mereka yang cacat penglihatan. Himpunan tersebut bakal diadakan di sekitar Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB), Jalan Tebing Off Jalan Tun Sambanthan 4, Brickfields, Kuala Lumpur. Himpunan berkenaan akan bermula sekitar jam 10.00 pagi. Himpunan berkenaan akan diadakan pada 18 Mac 2015 (Rabu). Kalau saya tidak silap, himpunan berkenaan dianjurkan oleh satu badan bertindak yang terdiri dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Solidariti Orang Buta.

Antara tujuan himpunan berkenaan ialah, untuk menyuarakan rasa tidak puas hati golongan cacat penglihatan terhadap individu tertentu dalam barisan pimpinan MAB. Ia juga bertujuan untuk memastikan agar segala kepincangan yang ada dalam MAB dibaiki segera. Ia juga bertujuan agar tindakan yang adil diambil ke atas mana-mana kakitangan MAB yang melakukan salah laku tanpa mengira kekananan kedudukan mereka dalam MAB. Selain itu, himpunan berkenaan bertujuan agar MAB kembali kepada fungsi asal penubuhannya iaitu untuk membela golongan cacat penglihatan di negara ini. Selain itu, himpunan itu juga bertujuan agar mana-mana individu dalam barisan pimpinan MAB sekarang yang tidak lagi mampu berfungsi dengan betul agar melepaskan jawatan mereka.



Seperkara yang perlu jelas di sini ialah, golongan berkenaan bukannya bertujuan untuk melahirkan rasa tidak suka mereka terhadap MAB sebagai sebuah institusi. Menurut Saudara Syahmar Saat, salah seorang anggota penganjur, mereka masih sayangkan MAB. Mereka tidak sekali-kali ingin menafikan peranan dan sumbangan yang telah dilaksanakan oleh MAB terhadap golongan cacat penglihatan selama ini. Sebaliknya rasa tidak puas hati dan bantahan yang ingin dilakukan pada Rabu ini lebih ditujukan kepada sesetengah individu dalam barisan pimpinan dalam MAB itu sendiri. Bagi mereka apa yang sedang dilakukan oleh pimpinan MAB hari ini sudah jauh menyimpang daripada tujuan dan peranan asal MAB itu sendiri. Selanjutnya mereka mendakwa apa yang sedang dilaksanakan oleh MAB hari ini lebih bertujuan untuk menjaga kepentingan dan periuk nasi individu tertentu dan tiada kena-mengena dengan golongan cacat penglihatan.

Seingat saya, bantahan golongan cacat penglihatan terhadap Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) bukanlah satu perkara baru. Kalau kita masih ingat, beberapa tahun lalu, bantahan yang hampir serupa juga pernah diadakan. Jika kita masih ingat, antara kumpulan yang pernah menganjurkan bantahan yang hampir serupa ialah apa yang mereka namakan sebagai Voice Of The Blind. Pelbagai dokumen pernah diketengahkan yang mengandungi fakta dan data yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati golongan tersebut terhadap MAB.

Namun demikian, apa yang terjadi kemudiannya ialah segala bantahnk dokumen dan sebagainya yang pernah dikeluarkan bagi menzahirkan bantahan tersebut setakat ini tidak langsung memberi kesan kepada pihak atau individu yang menjadi sasaran bantahan golongan berkenaan. Sebaliknya, tidak keterlaluan jika saya nyatakan kedudukan pihak atau individu yang berkaitan semakin utuh dan kukuh. Posisi beberapa individu berkenaan dalam MAB seakan tidak mungkin dicabar lagi. Ini juga bermakna, usaha selama ini oleh golongan cacat penglihatan untuk menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pihak dan individu yang berkaitan dalam MAB tak ubah bagai mencurah air di daun keladi atau lebih kurang sama dengan anjing menyalak bukit semata-mata. Salaklah sekuat mana sekali pun, bukit yang disalak kelihatannya semakin kukuh dan seakan tidak mahu runtuh buat selama-lamanya.

Justeru, sekiranya himpunan pada Rabu ini ingin dilaksanakan dengan lebih berkesan dan beroleh kejayaan untuk mencapai maksud dan objektifnya, sesuatu harus dilaksanakan. Kelainan yang tersendiri mesti diserlahkan dalam himpunan pada Rabu ini. Sekiranya kaedahnya serupa sahaja dengan apa yang pernah dilaksanakan sebelum ini, maka bagi saya apa yang akan berlaku pada Rabu ini sekadar mengulang cerita lama sahaja. Bersoraklah sekuat mana pun, akhirnya maruah orang buta juga yang akan tergadai. Kelak orang awam akan mengata juga, sudahlah buta ada hati hendak berdemonstrasi pula.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah, pihak yang menganjurkan himpunan berkenaan hendaklah benar-benar ikhlas untuk membela nasib golongan senasib. Apa yang dilakukan bukan kerana ada udang di sebalik batu. Jangan kerana sudah tidak lagi berada dalam barisan pimpinan MAB baru teringat untuk membela golongan senasib. Itu memang tidak kena!

Sedangkan semasa individu yang berkenaan berada dalam barisan pimpinan MAB, apa yang telah anda lakukan untuk membantu keseluruhan orang buta? Pernahkah anda membuka saluran supaya anda mudah ditemui oleh rakan-rakan senasib daripada pelbagai peringkat, pelbagai latar belakang dan daripada pelbagai kelas ekonomi? Pernahkah anda mengambil inisiatif sendiri untuk memperkenalkan diri anda di mana-mana majlis keramaian anjuran mana-mana NGO lain selaku orang yang berada dalam barisan pimpinan MAB? Setakat yang saya maklum, ramai orang buta di negara ini yang tidak tahu siapa wakil mereka yang senasib dengan mereka yang selama ini berada dalam barisan pimpinan MAB.

Di samping itu, pihak yang berkaitan juga hendaklah kuat semangat dan kuat pendirian. Maklumlah sebilangan orang buta memang sensitif dengan duit. Pada awalnya semangat mereka kuat macam batu granit, tetapi kemudiannya boleh cair madcam darah biawak bila beroleh ganjaran sekotak dua, atau sepeti dua atau setangki dua. Hal seperti ini juga bakal mengundang kegagalan yang tidak semena-mena.

Di samping itu, pihak penganjur juga harus memastikan supaya himpunan yang bakal diadakan mengikut peraturan yang telah sedia ada. Permit daripada pihak berkuasa harus diperolehi beberapa hari sebelum hari himpunan hendak dilaksanakan, Maklumlah himpunan bakal dilangsungkan di kawasan awam. Di samping itu, lokasi himpunan hendaklah sesuai dan strategik. Barulah ia akan mendatangkan impak yang lebih maksimum.

Seterusnya, isu-isu yang hendak diketengahkan mestilah jelas, terang dan tidak meragukan serta tidak berkepentingan hanya kepada sesetengah golongan dalam kalangan masyarakat cacat penglihatan semata-mata. Pihak yang menganjurkan himpunan mesti berkeyakinan tinggi bahawa isu yang diketengahkan punya kepentingan secara langsung serta bersifat menyeluruh kepada semua golongan cacat penglihatan.

Selain itu, segala isu yang bakal diketengahkan wajib ada sokongan data, fakta dan bukti yang tidak diragui. Seeloknya biarlah fakta, data dan bukti yang boleh diketengahkan berbentuk bertulis yang sahih dan bukannya rekaan semata-mata. Jika tiada sokongan fakta, data dan bukti kukuh seperti ini kelak buruk padahnya.

Selain itu, himpunan yang akan dianjurkan juga hendaklah dilaksanakan secara aman (jika sudah mendapat permit) dan tidak bersifat menghasut. Maklumlah bilamana berita mengenai himpunan ini sudah menjadi viral dalam media sosial, sudah tentulah ia turut menarik minat golongan yang berpenglihatan untuk menyaksikannya. Mereka mungkin kurang berminat untuk mengetahui isu yang sedang hangat, tetapi mereka mungkin lebih berminat untuk melihat macam mana orang buta mengadakan demonstrasi.

Oleh yang demikian, pihak yang menganjurkan himpunan berkenaan seharusnya memastikan agar jumlah orang buta yang bakal menyertai himpunan berkenaan besar bilangannya. Kalau jumlah yang menyertai sekadar 10 ke 20 orang, ia bakal menjadi bahan gelak tawa orang luar sahaja, terutamanya pihak tertentu dalam barisan pimpinan MAB itu sendiri. Sebaiknya janganlah himpunan itu nanti hanya dihadiri oleh mereka dari satu kelas ekonomi sahaja. Maksudnya, jika himpunan berkenaan hanya dihadiri oleh pengamal urut dalam kalangan orang buta, ia akan dianggap gagal mendapat sokongan daripada lapisan lain dalam kalangan masyarakat cacat penglihatan. Semoleknya biarlah himpunan itu nanti akan juga dihadiri oleh mereka daripada pelbagai latar belakang ekonomi seperti penjaja kecil, pemuzik, kakitangan swasta, wakil-wakil badan bukan kerajaan yang berkepentingan masyarakat cacat penglihatan, kakitangan awam dan kalau kakitangan awam yang bergred 52 boleh hadir lagi bagus. Tahukah kita bahawa ada seorang kakitangan awam dalam kalangan rakan senasib sudah pun berkedudukan gred 52? Sekiranya himpunan itu kelak turut mendapat sokongan dari pelbagai bangsa, ia amat baik sekali kerana ia selaras dengan konsep 1Malaysia.

Pihak yang menganjurkan himpunan pada Rabu ini dan sekalian orang buta secara umunnya harus ingat tokoh yang ingin disanggah menerusi himpunan berkenaan merupakan anak raja dan mereka yang bergelar datuk. Jadi jika salah strategi, ada kemungkinan apa yang bakal disuarakan melalui himpunan itu kelak akan dianggap sekadar untuk membuat onar semata-mata.

Bagi saya, pihak penganjur juga seharusnya membuat sedikit kajian sebab-musabab bantahan yang pernah diadakan sebelum ini tidak berjaya. Bilamana sebab-musabab kegagalan sebelum ini sudah dikenal pasti, maka ambil langkah-langkah yang sesuai dan wajar untuk mengelakkan kegagalan serupa daripada berulang. Selain itu, strategi tertentu juga harus dilaksanakan supaya bantahan dan himpunan kali ini mendapat perhatian daripada pihak yang berwajib. Maklumlah ada sesetengah pihak berpendapat, masalah orang buta biarlah orang buta yang selesaikan sendiri.

Seperkara yang harus diingat, pihak yang menjadi sasaran dalam himpunan ini nanti (MAB) mungkin juga ada strategi tertentu mereka bagi menghadapi himpunan berkenaan. Strategi yang tidak diduga ini harus diberikan perhatian oleh pihak penganjur iaitu Solidariti Orang Buta. Jika dipandang sepi, strategi yang tidak diduga ini barangkali boleh meranapkan hasrat dan objektif himpunan pada Rabu ini.

Sekali-sekala orang buta juga ingin meluahkan perasaan mereka di khalayak umum.


Tuesday, March 3, 2015

Tahniah Kepada Yang Berjaya Dalam SPM 2014




Hari ini, 3 Mac, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 telah diumumkan. Seperti biasa, ada yang berjaya dan ada juga sebaliknya.

Bagi sekolah tempat saya bertugas, Teh Yong Shing muncul murid terbaik dengan memperolehi 9A dan 1B. Kepada yang berjaya, tahniah diucapkan. Kepada yang kurang berjaya pula, sebagaimana biasa, jangan putus asa. Peluang masih ada.


Monday, March 2, 2015

Tahniah Kepada Murid Yang Berjaya Dalam STPM




Hari ini, keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan. Dalam kalangan calon cacat penglihatan, khabarnya ada yang mendapat keputusan yang baik. Antaranya ialah Kevinthran A/L Pulanthran. Secara keseluruhannya beliau berjaya memperolehi 3.92 mata untuk CGPA.




Beliau memperoleh A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sastera dan Sejarah dan A- untuk mata pelajaran Pengajian Am.

Kepada yang berjaya tahniah diucapkan. Semoga kejayaan hari ini akan menjadi pemangkin untuk kejayaan yang lebiyh gemilang pada masa akan datang.

Kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa. Sekali gagal bukan bererti gagal buat selama-lamanya. Tingkatkan usaha untuk menempa kejayaan lebih baik pada masa akan datang.


Sunday, March 1, 2015

Harga Minyak Bulan Mac 2015




Berkuat kuasa tengah malam tadi (1 Mac), harga minyak di negara ini sudah berubah lagi. Menurut pengumuman daripada pihak yang berkuasa, harga disel dan rhon95 dinaikkan daripada RM1.70 kepada RM1.95, iaitu kenaikan sebanyak 25 sen. Begitu juga dengan harga minyak rhon97 turut naik daripada RM2.00 kepada RM2.25 sen, juga kenaikan sebanyak 25 sen.

Berdasarkan angka yang ada, harga minyak bulan Februari merupakan yang terendah untuk tempoh tiga bulan terakhir ini. Walau bagaimanapun, harga barangan lain tidak mampu untuk diturunkan pada bulan lepas. Maka itu, apabila harga minyak mula naik semula pada bulan Mac, usaha untuk menurunkan harga barangan lain dirasakan sia-sia sahaja.

Hari ini, kita mula mendengar ada pihak yang mula mengatakan iaitu ada banyak lagi faktor lain yang menjadi penentu kepada harga barangan keperluan lain dan tidak hanya bergantung kepada harga minyak semata-mata. Sewaktu harga minyak naik mendadak dahulu, apa yang dikatakan sebagai “faktor lain” itu tidak pernah kedengaran. Sebaliknya kenaikan harga minyak dijadikan penyebab utama untuk menaikkan harga barangan keperluan lain.

Justeru, pada hemat saya, usaha untuk menurunkan harga barangan dalam keadaan harga minyak sudah mula naik merupakan sesuatu yang amat sukar untuk berlaku. Ia hanya sekadar retorik segolongan orang politik sebagai gula-gula kepada sebahagian orang biasa. Dalam keadaan ekonomi kita hari ini yang lebih bersifat terbuka, kuasa pemerintah untuk mengawal harga barangan kian lemah. Hal ini ditambah lagi dengan kelemahan kuasa pengguna di negara kita.

Kita tunggu pula bagaimana harga minyak pada bulan hadapan.