Tuesday, November 18, 2014

Saranan Abang Amin Harus Diberi Pertimbangan



Pada Sabtu lalu, ketika saya menghadiri majlis sambutan Maal Hijrah anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) peringkat pusat, saya turut mengedarkan 7 unit kompas penunjuk kiblat kepada 7 penerima yang saya pilih secara rambang. Secara kebetulan, saya telah diamanahkan untuk mengagih-agihkan sejumlah kompas kiblat kepada golongan sasar oleh pihak yang berkaitan. Pihak penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ada mengamanahkan kepada saya sejumlah kompas kiblat untuk saya edarkan kepada golongan sasar. Jumlah yang diamanahkan kepada saya tidaklah banyak. Lagipun ia diberikan kepada saya dari masa ke masa dengan jumlah yang kecil.

Untuk maklumat bersama, kompas kiblat berkenaan diedarkan secara percuma sahaja. Kos bagi membiayai pengedaran secara percuma diusahakan sendiri oleh kumpulan penyelidik berkenaan. Perlu saya tegaskan iaitu saya dan juga kumpulan penyelidik berkenaan tidak mengambil untung peribadi walau sesen pun. Penegasan ini perlu saya nyatakan kerana sedikit masa lalu saya pernah ditohmah kononnya saya telah mendapat laba peribadi daripada kerjasama yang terjalin dengan kumpulan penyelidik berkenaan.



Di samping itu, pihak yang berkenaan juga turut berpesan kepada saya supaya kompas berkenaan diedarkan terus kepada penerima tanpa melalui apa-apa slot rasmi. Saya sekadar akur sahaja dengan amanah dan pesan yang telah dimaklumkan kepada saya. Apa yang perlu saya buat hanyalah mencatatkan nombor siri kompas dan nama penerimanya sahaja. Itulah yang saya lakukan setiap kali saya edarkan kompas berkenaan kepada mereka yang sesuai untuk menerimanya.



Salah seorang rakan yang turut menerima kompas kiblat berkenaan pada Sabtu lepas ialah Saudara Mohd Amin bin Mohd Nor atau lebih mesra dipanggil dengan Abang Amin. Sejurus setelah menerima dan mendengar penerangan ringkas daripada saya tentang cara menggunakan kompas berkenaan, Abang Amin terus bertanya mengapa pelancaran secara rasmi tidak dibuat mengenai kompas berkenaan. Katanya lagi, pihak-pihak tertentu harus mengambil inisiatif untuk mengenengahkan ke tengah umum inovasi yang telah diusahakan khasnya untuk manfaat golongan seperti beliau. Apatah lagi inovasi berkenaan merupakan daya usaha orang tempatan dan diusahakan oleh IPTA tempatan. Abang Amin yang cukup gembira dengan kegunaan kompas berkenaan, mengatakan usaha seumpama ini tidak seharusnya dibiarkan sepi tanpa dihargai. Daripada nada suaranya, saya dapat rasakan beliau agak terkilan kerana usaha murni ini tidak diketengahkan ke khalayak masyarakat sebagaimana sepatutnya. Akhirnya Abang Amin menyatakan, jika tiada mana-mana pihak yang bersedia untuk mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis pelancaran bagi kompas berkenaan, beliau sanggup mengambil daya usaha untuk melakukannya walaupun secara kecil-kecilan. Seingat saya, Abang Amin bukanlah orang pertama yang telah mengenengahkan saranan sedemikian, tetapi setakat ini Abang Amin merupakan orang yang paling lantang mengajukan saranan sedemikian.

Untuk maklumat Abang Amin dan kita bersama, saya pernah mengusulkan kepada pihak yang berkaitan agar mengadakan majlis pelancaran bagi mengenengahkan inovasi berkenaan. Setakat ini, cadangan saya masih lagi belum mendapat pertimbangan daripada pihak yang berkaitan. Mereka sering beralasan, ia merupakan usaha kecil dan tiada apa-apa yang harus diketengahkan.

Kepada pihak yang berkaitan di FKM UTM, eloklah juga diberi sedikit ruang bagi merealisasikan apa yang disarankan oleh Abang Amin. Kalau tidak mahu buat pelancaran di gedung 5 bintang, buat pelancaran dalam majlis minum teh warga emas dalam kalangan masyarakat orang buta pada setiap Rabu pun sudah memadai.

Kepada rakan-rakan yang telah menerima kompas kiblat terus daripada saya, harap ia benar-benar bermanfaat kepada kita semua. Jika timbul sebarang masalah terhadap kompas tersebut, sila berhubung terus dengan saya. Setakat ini, hanya seorang yang telah memaklumkan kepada saya kompas kiblat yang diterimanya Sabtu lalu ada masalah.



Untuk maklumat bersama, kumpulan penyelidik berkenaan juga sedang mengusahakan Iqra’ Braille elektronik yang lengkap dengan audionya sekali. Mengikut rancangan, projek penyelidikan ini dijangka akan mula boleh dimanfaatkan oleh golongan sasar selewat-lewatnya pada hujung tahun hadapan, insha-Allah. Selain itu, mereka juga sedang merancang untuk melaksanakan satu lagi projek penyelidikan yang pada pengamatan saya sangat besar manfaatnya kepada golongan cacat penglihatan. Sama-samalah kita berdoa semoga usaha mereka akan beroleh kejayaan.

Semoga usaha murni mereka akan berterusan dan akan beroleh ganjaran yang terbaik daripada Allah dunia dan akhirat.




Sunday, November 16, 2014

Sambutan Maal Hijrah 1436 PERTIS Pusat



Pada 15 November (Sabtu), saya berkesempatan untuk menghadiri majlis sambutan maal hijrah 1436 anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) peringkat pusat. Majlis sambutan telah diadakan di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur.




Mengikut anggaran saksi mata, sekitar 80 orang telah menghadiri majlis berkenaan. Bagi saya, kehadiran yang seramai ini merupakan perkara biasa bagi aktiviti anjuran PERTIS. Selain daripada untuk mendapat ilmu menerusi slot ceramahnya, kehadiran saya adalah sebagai sokongan peribadi saya terhadap aktiviti PERTIS. Walau bagaimanapun, saya terpaksa meninggalkan lokasi majlis lebih awal kerana ada urusan lain pula.




Majlis telah dimulakan dengan aluan daripada pengacara majlis. Ia telah diteruskan dengan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Alquran Alkarim. Selanjutnya majlis diteruskan dengan deklamasi sajak.



Kemuncak majlis ialah ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Miril atau Imam Muda Miril. Pada keseluruhannya, ceramah yang telah disampaikan menarik dan ada sesuatu yang telah saya pelajari. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang saya nyatakan tadi, saya terpaksa meninggalkan majlis sebelum sempat ceramah berakhir.




Pada pengamatan saya, secara keseluruhannya majlis telah berjalan dengan baik. Pujian harus diberikan kepada Biro Pendidikan Dan Dakwah PERTIS dan juga kepada Cikgu Wan Mohd Suhaimi yang telah berjaya melaksanakan tugasnya selaku pengerusi biro berkenaan dengan baik. Namun demikian, ada satu dua perkara yang boleh dibuat penambahbaikan untuk pelaksanaan majlis yang serupa pada masa akan datang.

Sesungguhnya kelangsungan survival PERTIS amat bergantung kepada sokongan dan dokongan daripada para ahlinya.





Sunday, November 2, 2014

Selamat Menduduki SPM 2014



Bermula 3 November ini, seluruh murid tingkatan 5 seluruh negara akan mula menduduki peperiksaan Sijil Peperiksan Malaysia (SPM) bagi tahun 2014. Untuk tahun ini, tarikh mula peperiksaan SPM awal sedikit jika dibandingkan dengan tahun lepas.

Saya berdoa dan berharap semoga semua murid yang terlibat dalam SPM kali ini telah cukup bersedia untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Berilah tumpuan dan fokus sepenuhnya kepada peperiksaan yang sedang dihadapi. Sebagai maklumat bersama, di bawah ini saya perturunkan beberapa perkara yang harus diambil perhatian sama ada oleh calon atau pun para ibu bapa. Antaranya termasuklah:

1. Calon jangan tidur lewat terutamanya jika keesokan harinya ada kertas peperiksaan yang akan diduduki.
2. Jangan lupa bawa kad pengenalan dan slip peperiksaan ke pusat peperiksaan.
3. Di saat-saat akhir seperti ini, calon hendaklah melaksanakan ulang kaji secara berfokus.
4. Mohonlah restu ilmu daripada guru-guru.
5. Mohon ibu bapa supaya doakan kejayaan calon.
6. Pastikan makan dan minum dengan secukupnya tetapi tidak secara berlebihan.
7. Di samping kuat berusaha, jangan lupa banyakkan berdoa untuk kejayaan diri sendiri.
8. Jagalah kesihatan diri sebaik mungkin.
9. Elakkan mencari gaduh dengan rakan-rakan yang lain.
10. Ibu bapa pula hendaklah memastikan rumah berkeadaan selesa dan sesuai untuk anak yang sedang menduduki peperiksaan melakukan ulang kaji.

Akhirnya, Saya ucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM kepada semua calon yang terlibat.