Thursday, August 31, 2017

Lagu Tanggal 31 Ogos




Tatkala musim sambutan bulan kebangsaan negara kita, antara lagu patriotik yang popular berkumandang di mana-mana ialah lagu Tanggal 31 Ogos nyanyian asal Ahmad CB.

Klik di sini untuk mendengar lagu asal 31 Ogos oleh Ahmad CB

Sebagai pengetahuan bersama, Ahmad CB atau nama panjangnya Ahmad Chass Barra lahir di Medan, Indonesia. Beliau kemudiannya telah berhijrah ke Malaya untuk mencari untung nasib di rantau orang.

Klik di sini untuk rujukan lanjut tentang Ahmad CB

Klik juga di sini untuk rujukan lanjut tentang Ahmad CB

Walaupun beliau bukan asal orang Tanah Melayu, tetapi antara lagu popular beliau ialah tentang kemerdekaan Tanah Melayu iaitu Tanggal 31 Ogos. Lagu berkenaan kemudiannya telah dipopularkan semula oleh penyanyi Sudirman Hj Arshad.

Klik di sini untuk mendengar lagu 31 Ogos versi Sudirman Hj Arshad

Walaupun Ahmad CB kelahiran Medan, Indonesia, tetapi semangat patriotisme yang ditiupnya menerusi lagu ciptaan beliau tetap bersemarak mewarnai negara Malaysia. Mungkin ada benarnya kata-kata, Selat Melaka bukan pemisah, tetapi penyambung antara dua pantai.

Selamat ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-60.


Wednesday, August 30, 2017

Majlis Pernikahan Anak Saudara Sebelah Isteri di Jengka (Catatan Lewat)






Pada 27 Ogos (Ahad), lalu, saya sekeluarga telah menghadiri majlis pernikahan anak saudara lelaki sebelah isteri saya. Majlis akad nikah telah berlangsung di Masjid As-Solihin, Jengka 4, Pahang, manakala kendurinya pula telah diadakan di rumah keluarga pengantin perempuan yang tidak jauh dari masjid berkenaan. Nampaknya hujung minggu lalu, dua hari berturut-turut saya menghadiri majlis akad nikah.

(Pasangan mempelai)


Pengantin lelaki iaitu Syed Muhammad Shafie bin Syed Ahmad kini sedang bertugas dengan Jabatan Agama Islam Pahang. Beliau berkelulusan Syariah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Majlis telah berlangsung secara sederhana tetapi meriah dan lancar. Khutbah nikah telah dibacakan sendiri oleh abang ipar saya yang juga bapa kepada pengantin lelaki. Dengan sekali lafaz, anak saudara lelaki kami sudah berstatus suami. Maka bermulalah tugas dan tanggungjawab barunya sebagai seorang hamba Allah.

Klik di sini untuk menonton lagu Maher Zain yang ditujukan khas untuk mempelai

Sebagaimana doa dalam lagu berkenaan, demikianlah juga doa kami seisi keluarga untuk kedua-dua mempelai. Semoga kekal bahagia hingga ke jannah.

Di bawah ini dikongsikan sebahagian kecil foto majlis berkenaan.


Tuesday, August 29, 2017

Pertimbangan Politik Tidak Akan Menyelesaikan Masalah




Hari ini, rakyat Malaysia sedang ditimbunkan sekurang-kurangnya dengan 3 isu besar iaitu isu 1MDB, isu kerugian forex dan yang terkini isu tragedi Memali. Isu 1MDB merupakan isu terkini yang sedang hangat diperkatakan di mana-mana. Manakala isu kerugian forex dan tragedi Memali merupakan isu lama yang dibongkar semula.

Mengenai isu 1MDB, mana-mana pihak tidak boleh menafikan bahawa isu ini sedang hangat diperkatakan bukan sahaja dalam negara, bahkan ia turut mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa. Selain itu, isu 1MDB turut mendapat liputan meriah di pelbagai jenis media sosial. Mungkin penghuni asli di Sepilok atau makhluk ganas yang menghuni di setiap ceruk sungai-sungai di Sarawak turut sama sudah mendengarnya?

Dengan itu, usaha untuk menutup mulut mana-mana orang daripada bercakap tentang isu 1MDB adalah sia-sia sahaja. Kalau tidak boleh bercakap mengenainya di premis kerajaan, mereka akan berborak tentang isu berkenaan di gerai makan atau di kedai kopi pula. Kalau pun mereka masih tidak berani untuk bercakap mengenainya secara terbuka, sudah tentu mereka sudah membacanya menerusi pelbagai media atau turut sama mendengar pelbagai ulasan dan pandangan daripada rakan-rakan di gerai makan atau di kedai kopi. Justeru, mereka turut sama membuat analisis sendiri secara senyap bila isu yang sama diperkatakan pula oleh pihak yang bercakap bagi pihak yang berkuasa. Akhirnya apa yang terlontar ialah keluhan yang maha berat!

Isu Memali dan forex telah berlaku lebih daripada 20 tahun yang lalu. Mereka yang waras tentu akan tertanya sendirian, mengapa sekarang kedua-dua isu berkenaan baru dibongkar semula? Mengapa kedua-dua isu berkenaan tidak diselesaikan sejurus ia berlaku? Apakah sebenarnya justifikasi pembongkaran dan penyelesaian kedua-dua isu berkenaan sekarang?

Apa yang mungkin terserlah di sini ialah penyelesaian kedua-dua isu berkenaan lebih bermotifkan politik dan bukannya bermatlamat untuk kepentingan negara. Jika penyelesaian kedua-dua isu berkenaan lebih bermatlamat untuk kepentingan negara, saya rasa sudah lama ia diselesaikan. Orang ramai tidak perlu menunggu sehingga lebih daripada 2 atau 3 dekad baru cadangan untuk menyiasat isu-isu berkenaan dibongkar dan diketengahkan semula.

Bagi saya, sekiranya apa jua isu yang berbangkit diselesaikan atas kepentingan politik, maka sampai bila pun ia tidak akan selesai. Hari ini kita rasa ia boleh ditutup kerana kekuasaan politik, maka amat tidak mustahil isu yang sama akan dibongkar semula pada masa akan datang bila berlaku perubahan politik di negara kita. Begitulah selanjutnya yang akan berlaku.

Hari ini, apabila pihak-pihak tertentu cuba untuk menutup isu berkaitan 1MDB, amat tidak mustahil isu berkenaan akan dibongkar semula pada masa akan datang sama seperti isu tragedi Memali dan kerugian forex yang dibongkar semula pada masa kini setelah ia ditutup untuk beberapa dekad.

Jika kita ingin melihat apa sahaja isu yang berbangkit dapat diselesaikan secara total, maka sebarang kepentingan politik harus diketepikan sama sekali. Sebaliknya penyelesaian yang dibuat haruslah berpaksikan kepada neraca keadilan yang sebenar yang berlandaskan undang-undang negara.

Orang politik harus ingat iaitu mereka tidak akan selamanya berada di tampuk kekuasaan. Bila tiba masanya mereka akan turun daripada tampuk kekuasaan sama ada secara paksa atau secara rela.

Lihat sahaja apa yang sedang dialami oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau di tampuk kekuasaan dengan situasi sekarang bilamana beliau tidak lagi di tampuk kekuasaan. Sewaktu beliau di puncak kerjaya politiknya, pelbagai bentuk pujian diberikan kepada beliau oleh pelbagai pihak melalui pelbagai media. Dalam banyak majlis, acap kali kita akan mendengar jeritan dan pekikan orang ramai dengan slogan “Hidup Mahathir! Hidup Mahathir! Hidup Mahathir!”. Sekarang pula, bila suasana politik sudah berubah, apa sudah terjadi kepada beliau? Mana perginya jeritan dan pekikan semalam?

Gara-gara tindakan kita yang tidak bijak dan tidak waras hari ini, maka amat tidak mustahil anak cucu kita di kemudian hari kelak akan merasa malu bernenek-moyangkan kita. Kita tidak ada dua atau tiga tanah air, melainkan inilah satu-satunya.


Sunday, August 27, 2017

Majlis Pernikahan Faiz Dan Anis




Siang tadi (26 Ogos), saya dan keluarga berkesempatan menghadiri majlis pertunangan dan pernikahan salah seorang anak jiran terdekat kami. Sepatutnya saya sekeluarga ke Temerloh kerana esok anak buah sebelah isteri saya akan melangsungkan pernikahannya. Namun demikian, setelah mengcongak masa yang ada, saya telah memutuskan untuk pergi ke Temerloh pada awal pagi 27 Ogos nanti.

(Pasangan mempelai)


Faiz adalah anak kepada jiran terdekat kami, Kak Ila dan Abang Adnin. Jiran ini cukup baik dengan kami. Sejak saya berjiran dengan keluarga mereka, boleh dikatakan tiada masalah langsung antara kami, alhamdulillah. Kalau ada perkara kecil yang berbangkit, cepat-cepat kami selesaikan menerusi perbincangan santai. Segalanya mudah diatasi. Lagi pun, Faiz pernah bersekolah di sekolah tempat isteri saya bertugas.

Jadi bila jiran yang cukup baik ini mengadakan majlis pernikahan anak mereka, rasanya kurang manis untuk saya meninggalkan majlis mereka begitu saja. Maka itulah juga saya telah menangguhkan pemergian kami ke Temerloh.

Majlis pertunangan dan akad nikah telah diadakan pada hari yang sama (26 Ogos). Saya telah hadir di kedua-dua majlis berkenaan. Kedua-dua majlis telah berlangsung di Setia Wangsa, iaitu hampir dengan kediaman keluarga pengantin perempuan.

Di sebelah paginya, kira-kira jam 11.00 pagi, majlis pertunangan telah dilangsungkan. Sebagaimana yang diharapkan, majlis pertunangan telah berjalan lancar.

Di bawah ini dikongsikan sebahagian foto semasa majlis pertunangan berlangsung.

(Majlis pertunangan di sebelah pagi)


Manakala majlis akad nikah pula telah diadakan di tempat yang sama iaitu sekitar jam 2.30 petang. Majlis juga telah berjalan dengan lancar. Dengan sekali lafaz sahaja, Faiz sudah pun bergelar suami.

(Majlis pernikahan di sebelah petang)


Majlis kenduri pula akan berlangsung pada 27 Ogos. Saya sekeluarga tidak dapat hadir untuk majlis kenduri ini kerana selepas subuh nanti saya dan keluarga akan bergegas ke Temerloh pula.

Kepada Kak Ila dan Abang Adnin, selamat menerima menantu sulung. Kepada pasangan mempelai, selamat pengantin baru diucapkan. Doa kami semoga kekal bahagia hingga ke syurga.