Saturday, April 23, 2016

Antara Memberi Bantuan Dengan Mengambil Kesempatan




Baru-baru ini, saya telah dihubungi oleh seorang pegawai dari sebuah bank terkemuka di negara kita. Menurut pegawai tersebut, institusi tempat beliau bertugas ada menerima surat permohonan sumbangan dari sebuah badan bukan kerajaan. Menurutnya lagi, sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membeli dan mengedarkan Alquran Braille kepada pengguna sasar iaitu golongan cacat penglihatan.

Pada masa yang sama, pegawai berkenaan turut sedar dan maklum iaitu Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) merupakan satu-satunya badan yang diiktiraf untuk mengeluar dan mengedarkan Alquran Braille di negara kita. Perkara yang menjadi kemusykilan pegawai berkenaan ialah jumlah sumbangan yang ditetapkan oleh badan bukan kerajaan yang memohon sumbangan berkenaan ialah sebanyak RM550.00 bagi senaskah Alquran Braille. Sedangkan PERTIS hanya mengedarkan Alquran berkenaan dengan harga RM200.00 sahaja untuk setiap naskah (double sided). Di samping menetapkan harga yang sedemikian untuk senaskah Alquran Braille, badan bukan kerajaan berkenaan juga turut menamakan nama orang politik tertentu yang akan menyampaikan Alquran Braille berkenaan dalam satu majlis yang telah dirancang akan diadakan pada bulan Ramadhan yang akan datang.

Dalam perbualan tersebut, saya sekadar memberi maklumat berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan kepada saya. Saya sendiri kurang pasti apakah reaksi dan persepsi sebenar institusi berkenaan terhadap permohonan sumbangan daripada badan bukan kerajaan berkenaan. Apa yang saya pasti, institusi kewangan berkenaan sebenarnya sedang bekerjasama erat dengan PERTIS dalam menaja Alquran Braille yang sedang diedarkan kepada golongan cacat penglihatan di negara kita.

Jika PERTIS sudah menetapkan harga senaskah Alquran Braille ialah sebanyak RM200.00, mengapa ada pihak lain yang harus tampil dengan mengajukan permohonan kepada pelbagai pihak dengan menetapkan harga senaskah Alquran Braille sebanyak RM550.00? Jika senaskah Alquran Braille pihak berkenaan sudah mendapat “untung atas angin” sebanyak RM350.00, kalau pihak berkenaan berjaya mendapat tajaan untuk 100 naskah, maka jumlah untung atas angin yang akan diperolehi oleh pihak berkenaan ialah kira-kira RM35,000.00. Apa yang pihak berkenaan hendak buat dengan wang sebanyak itu? Sekiranya wang sebanyak RM35,000.00 dapat kepada PERTIS, maka sejumlah 175 naskah Alquran Braille lagi akan dapat diedarkan kepada pengguna sasar.

Kasihan kepada para penyumbang. Keikhlasan mereka sudah diambil kesempatan oleh pihak lain. Kemurahan hati mereka sudah digunakan untuk mengisi poket mereka yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, saya suka menyarankan kepada semua pihak agar hanya berurusan terus dengan PERTIS untuk sebarang tujuan yang berkaitan dengan Alquran Braille. Seingat saya, harga RM200.00 senaskah Alquran Braille telah pun ditetapkan oleh PERTIS sejak tahun 2005 lagi. Ia tidak pernah dinaikkan hingga kini kerana setakat ini tiada keperluan untuk melakukannya. Setakat yang saya maklum, percetakan dan pengedaran Alquran Braille oleh PERTIS bukanlah berpaksikan kepada keuntungan semata-mata, tetapi ia lebih kepada tanggungjawab untuk memenuhi keperluan ummah khasnya dalam kalangan mereka yang tidak berpenglihatan. Walaupun ada pihak-pihak tertentu yang telah dan sedang mengambil kesempatan dengan pelbagai cara dan kaedah daripada apa yang diusahakan dan dilaksanakan oleh PERTIS, bagi persatuan berkenaan ia sedikit pun tidak menjadi kuman kudis. Carilah wang sebanyak-banyaknya dan carilah nama setinggi-tingginya atas usaha orang lain, perkara yang dimurkai oleh Allah itu akhirnya akan terserlah jua dalam keadaan yang cukup menghinakan. Hari ini atau esok anda boleh putar dan belit fakta yang ada, saya yakin lusa dan hari-hari selepasnya apa yang benar itu akan terserlah juga dengan kehendak Allah yang Maha Kuasa.

Wednesday, April 20, 2016

Majlis Ihtifal SMA Hira' Shah Alam 2016 (Catatan Lewat)



Pada 16 April (Sabtu) yang lalu, saya berkesempatan menghadiri majlis Ihtifal (Anugerah Cemerlang) untuk Sekolah Menengah Agama (SMA) Hira’, Shah Alam. Majlis telah dilangsungkan di Taman Kesenian Islam, Shah Alam. Bagi saya, majlis telah berjalan dengan baik, sederhana tetapi meriah juga. Uniknya, majlis berkenaan telah dijalankan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Arab dan Melayu.

(Maaflah fotonya kurang menarik sedikit).


Dalam majlis ini, murid-murid yang cemerlang pada tahun 2015 telah menerima hadiah masing-masing. Ia meliputi kecemerlangan untuk PT3, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mereka yang mendapat keputusan untuk keseluruhan bagi tingkatan 1, 2 dan 4. Selain itu, murid yang cemerlang dalam setiap mata pelajaran juga turut mendapat hadiah.

Selain penyampaian pelbagai hadiah, majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan. Antara yang menarik perhatian saya ialah persembahan Kalam Jama’i. Persembahannya mantap dan meyakinkan. Tahniah!

Walaupun murid dan warga sekolah SMA Hira’ Shah Alam tidaklah seramai mana, tetapi majlis ihtifal yang telah dilangsungkan telah berjaya mencapai objektifnya. Tahniah kepada pihak penganjur yang telah berjaya menganjurkannya dengan baik.

Di bawah ini disertakan 2 video terpilih yang berkaitan dengan majlis ihtifal berkenaan untuk tontonan bersama.

Penyampaian hadiah tingkatan 1 dan 2

Persembahan Kalam Jama'i