Thursday, December 7, 2017

Cikgu Mokhtar Kembali Ke Rahmatullah (Catatan Lewat)





Sesiapa dalam kalangan cacat penglihatan yang pernah menuntut di Sekolah Princess Elizabeth di Johor Baru antara awal dekad 60-an hingga tahun 1991 tentu kenal dan ingat dengan Cikgu Mokhtar bin Abdul Latif. Beliau merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi, komited serta sangat memahami keperluan muridnya sama ada dari aspek jasmani mahupun dari aspek rohani. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan sifat dan keterampilan beliau sebagai seorang guru tiada tolok bandingnya dan sukar untuk ditemui pada masa ini. Demikianlah.

Dengan kehendak Allah jua maka pada 4 Disember lalu (Isnin) dalam waktu maghrib, Cikgu Mokhtar yang amat kita sayangi dan ingati telah kembali ke rahmatullah, pergi buat selama-lamanya menghadap Ilahi ketika berusia 79 tahun. Berita duka ini pada mulanya saya ketahui melalui Cikgu Fekkeri. Berdasarkan maklumat yang ada, saya telah hubungi sendiri salah seorang ahli keluarga Allahyarham (Pn. Faizah) dan beliau telah mengesahkan pemergian Cikgu Mokhtar. Beliau turut memaklumkan waktu solat jenazah dan pengembumian.

(Pusara Allahyarham Cikgu Mokhtar)


Pada pagi 5 Disember (Selasa) saya dengan ditemani oleh isteri dan anak tunggal kami, telah bergegas dari kampung di Melaka ke Shah Alam bagi menghadiri majlis pengebumian Allahyarham. Alhamdulillah ketika saya tiba di tanah perkuburan di Seksyen 21, bacaan talkin sedang dialunkan. Beberapa orang anggota keluarga Allahyarham turut sempat saya temui.

(Saya dan Cikgu Fauzi)


Antara pengunjung yang saya temui ialah Cikgu Fauzi yang pernah berkhidmat di Sekolah Princess Elizabeth sewaktu Allahyarham sebagai guru besarnya sebelum beliau berkhidmat di UPSI sebagai pensyarah.

(Saya bersalaman dengan Cikgu Raja Zaleha)


Saya turut berkesempatan bertemu dan bercakap dengan isteri Allahyarham, Cikgu Raja Zaleha. Allahyarham Cikgu Mokhtar dan isterinya Cikgu Raja Zaleha merupakan guru yang pernah berkhidmat di Sekolah Princess Elizabeth pada masa yang hampir sama. Kedua-duanya pernah mengajar saya dan ramai lagi rakan senasib.

Setakat yang saya maklum, Allahyarham Cikgu Mokhtar mula mengajar di Sekolah Princess Elizabeth pada awal dekad 60-an. Beliau terus berkhidmat di sekolah berkenaan sehinggalah beliau bersara pada sekitar tahun 1991. Sebelum bersara, Allahyarham Cikgu Mokhtar merupakan guru besar yang kelima di sekolah berkenaan.

Walaupun kini Cikgu Mokhtar sudah tiada lagi, namun setiap ilmu yang pernah dicurahkannya tetap subur dan mekar kepada semua anak muridnya. Saya dan seluruh bekas anak murid Allahyarham akan sentiasa berdoa semoga Allah mengampuni beliau, merahmati serta menghimpunkannya dalam kalangan para solihin.

Alfatihah ....


Wednesday, November 22, 2017

Persembahan Bicara Berirama Murid-murid SMPK Setapak




Majlis penutup Bulan Bahasa peringkat sekolah (SMPK Setapak) telah diadakan pada 10 November yang lalu. Antara persembahan dalam majlis tersebut yang menarik perhatian saya ialah bicara berirama. Ia telah dipersembahkan oleh sekumpulan murid.

Bagi saya, bukan sesuatu yang mudah untuk membuat persembahan sedemikian. Ia memerlukan latihan yang cukup teliti agar segala aspek yang diperlukan dalam persembahan berkenaan dapat disepadukan.

Klik di sini untuk menonton persembahan bicara berirama

Pada pemerhatian saya, persembahan berkenaan cukup baik dan mantap. Kekurangan yang ada kepada murid-murid berkenaan bukan halangan untuk mereka membuat persembahan yang baik khasnya di khalayak ramai. Saya memang cukup teruja dengan persembahan mereka.

Dalam hal ini, saya juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada Cikgu Nurul Shahidah yang telah melatih murid-murid berkenaan saban petang tanpa jemu. Ia membuktikan latihan yang anda berikan memang berkesan.

Terima kasih juga kepada Cikgu Shuhada Yusuf yang sudi berkongsi video berkenaan dengan saya.


Sunday, November 12, 2017

Pertandingan Membaca Peringkat Kebangsaan Anjuran SBM





Pada 11 November (Sabtu), saya telah diundang sebagai hakim dalam pertandingan membaca Braille peringkat kebangsaan untuk Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM). Ia telah berlangsung di ibu pejabat SBM di Brickfields. Selain saya, turut sama diundang sebagai hakim ialah Cikgu Mohd Jais. Kami berdua telah dipertanggungjawabkan untuk menghakimi kategori Bahasa Melayu.

(Saya dan Cikgu Jais)


Aktiviti pertandingan ini telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Mohd Nazari Osman, selaku presiden SBM. Manakala pengacara majlis pula ialah En. Zahari Hashim.


Klik di sini untuk menonton ucapan perasmian oleh presiden SBM


Aktiviti pertandingan membaca Braille dalam kalangan badan-badan bukan kerajaan bagi masyarakat cacat penglihatan bukanlah satu perkara baru. Seingat saya ia telah pun dilaksanakan sejak sekitar 2 dekad yang lalu.

(2 orang hakim untuk kategori bahasa Inggeris)


Dalam situasi masa kini di mana landaan teknologi komunikasi dan maklumat semakin menggelombang, keperluan dan keinginan untuk membaca Braille dirasakan semakin berkurangan. Boleh dikatakan hampir semua peralatan dan gajet yang mesra dengan golongan cacat penglihatan tidak menggunakan perisian huruf Braille, sebaliknya menggunakan teknologi yang berasaskan suara. Manakala golongan sasar selaku penggunanya pula semakin selesa dengan hanya “mendengar” daripada “membaca” bila berdepan dengan peralatan berkenaan.

Maka itulah, aktiviti seperti ini amat berkepentingan. Setidak-tidaknya ia memberi sedikit ruang kepada golongan sasar agar tidak tersasar terlalu jauh dibawa arus perkembangan teknologi canggih yang tidak terkejar itu.

Di akhir pertandingan, Cik Alfa Nuraini telah muncul sebagai johan untuk kategori Bahasa Melayu. Manakala Pn. Lilian Chan pula telah muncul johan untuk kategori bahasa Inggeris. Kedua-duanya akan mewakili SBM dalam pertandingan peringkat seterusnya.



Sekalung tahniah kepada kedua-dua pemenang. Tahniah juga kepada pihak penganjur yang telah berjaya menganjurkan majlis dengan baik dan profesional.


Sunday, November 5, 2017

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2017




Bermula 6 November ini, murid-murid tingkatan 5 seluruh negara akan mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2017. Murid-murid tingkatan 5 di sekolah saya juga tidak ketinggalan untuk menduduki peperiksaan yang sama juga bermula esok.



Walaupun bahagian utara semenanjung sedang dilanda banjir yang agak teruk, namun begitu setakat ini tiada sebarang penangguhan untuk peperiksaan berkenaan. Kita sama-sama berdoa dan berharap agar pelaksanaan peperiksaan berkenaan akan berjalan lancar sebagaimana yang telah dirancang.



Kepada semua calon yang bakal menduduki SPM yang akan bermula esok, khususnya kepada semua murid saya, saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan. Buatlah yang terbaik untuk masa depan anda. Semua guru telah pun melaksanakan semua strategi yang sesuai bagi memastikan agar anda akan beroleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan itu nanti.



Selamat berjaya dengan cemerlang!


Monday, October 23, 2017

Lagu Diari YB



Lagu Diari Yb merupakan lagu dendangan N D Lala. Seni katanya mengisahkan tugas yang melingkari seorang ahli yang berhormat (YB) dalam tempoh sehari iaitu bermula dari awal pagi hingga ke lewat dinihari.

Sekali-sekala lagu ini akan kedengaran berkumandang di corong radio. Lagu ini lebih kerap dmainkan ketika musim pilihanraya. Ini mungkin kerana liriknya berkait rapat dengan mereka yang sedang merebut kerusi YB sama ada di DUN mahupun di Dewan Rakyat.

Klik di sini untuk mendengar lagu Diari YB

Seingat saya, suatu ketika dahulu semasa saya masih mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, saya pernah jadikan lagu ini sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Apa yang saya lakukan ialah, saya perdengarkan lagu berkenaan kepada murid-murid saya beberapa kali, sambil itu saya suruh mereka mencatat tugas yang dilaksanakan oleh YB berdasarkan lagu berkenaan.

Setelah catatan murid-murid saya lengkap, saya meminta mereka untuk menulis sebuah karangan berdasarkan isi-isi penting yang telah mereka catat. Kalau saya tidak silap, tajuk karangannya ialah “Tugas Seorang Ahli Yang Berhormat”.

Lagu bukan sekadar untuk didengar sahaja, ada kalanya ia boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan lain.


Sunday, October 22, 2017

Kemerosotan Penumpang Teksi




Ketika saya membelek-belek akhbar di ruang maya, perhatian saya tertarik pada satu tulisan dalam Harian Metro yang bertajuk “Penumpang Merosot 80%”.

Klik di sini untuk membaca lebih lanjut

Seorang pemandu teksi mengakui kemerosotan penumpang sehingga 80% terutamanya selepas kehadiran perkhidmatan grab dan uber. Akhirnya pemandu berkenaan telah bertukar daripada pemandu teksi biasa kepada perkhidmatan grab. Selain itu, beliau turut mengakui pendapatannya telah melonjak setelah beralih sebagai pemandu grabcar.

Sebenarnya saya juga mempunyai beberapa orang kenalan yang sebelum ini merupakan pemandu teksi tetapi sudah pun beralih kepada pemandu perkhidmatan grab atau uber. Semua mereka mengakui memperolehi lonjakan pendapatan yang lebih lumayan setelah beralih arah di samping situasi kerja yang lebih memuaskan. Mereka tidak menghadapi tekanan terutamanya bagi melunaskan bayaran sewa harian.

Sudah tiba masanya para pemandu teksi menerima realiti iaitu corak perkhidmatan kereta untuk penumpang masa kini sedang mengalami perubahan. Perubahan yang berlaku pula sudah direstui oleh pihak yang berkuasa.

Justeru, jika para pemandu teksi enggan mengikuti perubahan semasa, yang akan rugi dan terbeban nanti sudah tentulah golongan para pemandu teksi sendiri. Oleh itu, para pemandu teksi konvensional tiada pilihan lain selain daripada turut sama melungsuri perubahan yang sedang berlaku agar tidak menjadi mangsa perubahan.

Sebagai pengguna, sudah tentulah saya turut sama menyokong kehadiran perkhidmatan grab dan uber. Ia bukan sahaja murah, malahan cepat, mesra pelanggan dan mudah. Apa yang lebih menarik lagi, walaupun perkhidmatannya murah, tetapi hampir semua pemandu grab dan uber dapat memperolehi pendapatan jauh lebih lumayan jika dibandingkan dengan sebagai pemandu teksi konvensional.

Setelah kehadiran perkhidmatan grab dan uber, saya tidak pernah dengar lagi golongan pemandu teksi mengajukan cadangan untuk menaikkan kadar tambang teksi. Ini merupakan sesuatu yang cukup baik kepada pelanggan dan pengguna perkhidmatan kereta penumpang. Dengan erti kata lain, dengan tiadanya monopoli dalam perkhidmatan kereta penumpang, maka para pengguna dan pelanggan dapat menikmati harga tambang yang lebih munasabah tanpa menjejaskan pendapatan pemandunya. Bahkan rata-rata para pemandu grab dan uber memaklumkan pendapatan bulanan yang lebih lumayan.

Selain itu, para pengguna dan penumpang juga boleh mendapatkan perkhidmatan untuk ke satu-satu destinasi tanpa banyak soal. Sebelum ini dan berdasarkan pengalaman sendiri, sebilangan pemandu teksi konvensional boleh menolak untuk pergi ke destinasi tertentu dengan pelbagai alasan. Acap kali juga berlaku di mana para pemandu teksi akan meminta jumlah tambang yang lebih untuk ke destinasi tertentu juga dengan pelbagai alasan.

Oleh itu, para pemandu teksi konvensional berhentilah daripada bersungut dan mengeluh kerana kehilangan punca pendapatan. Para pengguna seperti saya sudah lama mengeluh gara-gara karenah pemandu teksi konvensional sebelum ini. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah kesediaan untuk menyerap perubahan agar tidak terus ketinggalan.

Saya sekadar mengutarakan pandangan sahaja selaku salah seorang pengguna.


Saturday, October 21, 2017

Muzium Orang Asli Gombak






Beberapa hari yang lalu, saya berkesempatan untuk mengunjungi Muzium Orang Asli yang terletak di Gombak. Lokasi muzium ini agak jauh sedikit daripada Bandaraya Kuala Lumpur. Suasananya agak sunyi kerana letaknya agak jauh daripada kebisingan ibu kota.

Klik di sini untuk bacaan ringkas mengenai Muzium Orang Asli Gombak

Muzium ini tidaklah besar sangat. Bangunan dua tingkat ini menempatkan sebilangan koleksi, gambar serta beberapa catatan mengenai masyarakat orang asli di negara kita.



Bagi golongan cacat penglihatan pula, tidak ada artifak atau bahan pamiran yang boleh disentuh atau dipegang. Hampir semua barangan yang dipamirkan berada dalam kaca yang berkunci rapi.

(Jasmi kakitangan muzium)


Namun demikian, masih terdapat maklumat yang dimuatkan dalam sebilangan catatan yang dipamirkan. Oleh itu, jika ada “mata yang boleh dipinjam”, kita masih boleh dapat info menerusi pelbagai catatan yang ada. Jika rakan berpenglihatan yang ada bersama kita lebih kreatif sedikit, maka kita boleh mendapat gambaran umum mengenai gambar-gambar yang dipamirkan menerusi ulas pandang yang betul dan berkesan. Demikianlah.

Bersama-sama ini di kongsikan sebilangan foto tentang muzium orang asli berkenaan untuk tatapan, pengetahuan serta maklumat kita bersama.