Sunday, July 26, 2015

Macam-macam Hal Sekarang





Sejak kebelakangan ini, negara kita sudah mula dilanda satu situasi yang semakin sukar untuk diistilahkan. Saya pun tak pasti istilah mana yang paling tepat untuk digunakan bagi menggambarkan situasi yang sedang melanda tanah air tercinta ini. Hendak guna istilah itu pun tak kena, hendak guna istilah yang ini pun rasanya tak tepat. Apa yang lebih merumitkan ialah situasi yang sedang melanda pula mencakupi pelbagai aspek, daripada ekonomi, sosial hinggalah ke politik. Mereka yang terkena landaan situasi ini setidak-tidaknya akan jadi pening-pening lalat dibuatnya.

Sejak sebelum kedatangan bulan puasa lagi, harga pelbagai jenis barang sudah pun naik. Pada masa yang sama, pihak berkuasa sering berkata apa yang berlaku tidak membebankan rakyat. Hakikatnya rakyat bawahan seperti saya semakin merasai bebanan akibat kos hidup yang semakin meningkat setiap hari. Jadinya, apa yang sedang dialami dengan apa yang sedang dilaungkan oleh pihak berkuasa sama sekali tidak sehaluan. Ini mengakibatkan orang bawahan semakin pening. Kalau komplen banyak nanti ada yang kena gam pula.

Baru-baru ini sewaktu bulan puasa, amat sukar untuk mencari kuih dengan harga 5 biji RM2. Hampir kebanyakan peniaga di bazar-bazar Ramadhan menjual dengan harga RM2 untuk 4 biji. Di sebuah bazar Ramadhan di ibu kota, saya hanya bertemu dengan sebuah gerai sahaja yang masih menjual kuih dengan harga RM2 5 biji, itu pun kerana saiznya kecil luar biasa. Itu baru harga kuih, belum lagi harga makanan yang lain. Kalau komplen banyak, nanti ada pula orang besar negara akan cakap, kalau rasa mahal tak payah beli, masak sendiri. Harap CGPA saja tinggi, tapi sifat tak cerdiknya melampau sangat. Pengalaman lalu mengajar kita, iaitu kalau harga sesuatu barangan sudah naik, hampir mustahil untuk ia turun kembali.

Setiap hari saya akan meneliti secara rambang nilai tukaran ringgit dengan wang asing terutamanya baidingan dengan Sing Dollar. Apa yang nyata ialah secara umumnya kedudukan ringgit semakin lemah jika dibandingkan dengan mata wang negara seberang tambak tersebut. Walhal negara berkenaan tiada apa pun hasil buninya. Hanya mengharapkan pelabuhan dan kekuatan industrinya sahaja. Namun demikian, oleh kerana ia diperintah oleh mereka yang bijak mengambil kesempatan, maka itulah ekonominya jauh lebih kukuh dan mantap daripada Tanah Melayu, bekas ibu kandungnya. Justeru, golongan pemimpin dan rakyatnya benar-benar mempunyai dan mengamalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Berbeza dengan apa yang sedang berlaku di tanah air sendiri, hanya rakyat kulian sahaja yang diarahkan supaya mempunyai dan mengamalkan KBAT.

Tidak berapa lama dahulu, pihak yang berkuasa telah menaikkan kadar tambang teksi dengan kadar yang tinggi. Beberapa rakan saya yang senasib merupakan antara pengguna teksi secara harian. Mereka menggunakan perkhidmatan teksi setiap hari bukan kerana mereka ada wang yang banyak, tetapi kerana terpaksa. Sejak kadar tambang teksi naik, boleh dikatakan saya akan mendengar rakan-rakan saya yang berkenaan akan menghamburkan rungutan setiap kali selepas menggunakan perkhidmatan teksi. Mereka tidak menyalahkan pemandu teksi, sebaliknya mereka menyalahkan pihak yang berkuasa yang telah menaikkan kadar tambang dengan kadar yang kurang munasabah. Bagi saya, rungutan pengguna teksi yang kurang bernasib baik ini ada benarnya. Mereka ini saya katakan kurang bernasib baik bukan kerana mereka cacat, tetapi mereka tidak ada pilihan pengangkutan lain untuk digunakan selain teksi. Amat tidak wajar jika pihak berkuasa berkata, kalau rasa tambang teksi mahal, guna sahaja perkhidmatan lain. Seperti saya katakan tadi, mereka menggunakan perkhidmatan teksi kerana terpaksa dan bukan kerana mereka daripada golongan yang ada wang. Hal sebeginilah yang tidak pernah difahami oleh pihak yang berkuasa. Apa yang pihak berkuasa tahu, sekadar naikkan kadar tambang, jika ada masalah berbangkit daripada pengguna, tanggunglah sendiri. Kononnya tidak membebankan rakyat. Kalau rakyat tidak terbeban, mereka tidak akan merungut. Kalau merungut banyak-banyak nanti kena tempelak pula. Bila orang besar-besar tempelak orang lain, tempelakan mereka akan masuk media perdana, tapi bila orang bawahan merungut, rungutan mereka jarang diberi perhatian oleh media yang berkenaan.

Sejak kebelakangan ini, saya sering mendengar rakan-rakan senasib terutamanya yang sering berkelana di sekitar Brickfields kena rompak. Bukan sahaja wang yang dirompak, tetapi barangan lain terutamanya telefon bimbit juga sering kena curi. Ada beberapa rakan senasib yang sedang menggunakan telefon bimbit, tiba-tiba bedesup telefon berkenaan pergi tanpa kembali lagi. Di samping itu, beberapa rakan senasib yang lain pula kena rompak wang mereka. Jumlah yang dirompak pula bukannya seringgit dua, tetapi mencecah beratus ringgit banyaknya. Sudahlah nak cari wang semakin sukar, bila sekali kena rompak jumlahnya boleh guna untuk sebulan. Saya pernah bertanya kepada salah seorang mangsa rompakan, mengapa tidak buat aduan kepada pihak polis. Beliau mengatakan, kalau buat laporan pun tak ada gunanya. Ia sekadar untuk mengumpul koleksi statistik polis semata-mata.

Kepada rakan-rakan senasib terutamanya yang sering berkelana di sekitar Brickfields, kalau sudah maklum kawasan berkenaan kawasan tidak selamat, beberapa langkah untuk keselamatan sendiri harus diambil. Kalau pihak lain sudah tidak boleh diharap lagi untuk menjaga keselamatan kita, maka kitalah yang harus mengambil langkah tertentu untuk menjaga keselamatan diri sendiri. Antara langkah yang boleh saya sarankan di sini ialah, jika sedang berjalan di sekitar Brickfields dan tiba-tiba ada panggilan telefon, sebaiknya jangan jawab. Bila sudah berada di tempat yang selamat baru keluarkan telefon tadi dan buat panggilan semula. Selain itu, jangan terlalu lama mempamirkan telefon terutamanya yang terkini dan canggih di khalayak ramai kerana ia mungkin akan menjadi intaian individu tertentu yang berniat tidak baik. Di samping itu, elakkan sama sekali mengira wang pendapatan di khalayak ramai. Walau apa pun alasannya, wang pendapatan hendaklah dikira di tempat tertutup dan tersembunyi.

Politik negara juga tidak kurang cerca merbanya. Sebelum ini pihak-pihak tertentu hanya pandai menuding jari terhadap masalah “rumah tangga” yang sering melanda parti-parti dalam koalisi kerajaan. Memang sampai sekrang pun, UMNO masih terpalit dengan masalah 1MDB, situasi ekonomi yang tidak stabil, serangan bertubi oleh Tun Mahathir, dan sebagainya. Manakala MIC pula masih tercari-cari teori dan formula untuk memulihkan masalah dalaman parti berkenaan.

Bak kata orang tua-tua, kalau selalu sangat meludah ke langit, sekali-sekala terkena juga ke muka sendiri. Ketidakstabilan politik yang sedang dihadapi oleh parti pemerintah gagal dimanfaatkan oleh Pakatan Rakyat (PR) untuk mengambil alih kuasa secara demokratik dengan lebih cepat lagi. Sebaliknya kini PR pula yang dilanda masalah “rumah tangga”. Masalah yang dihadapi bukan kecil budak, tapi sampai memutuskan hubungan antara satu sama lain. Tidak cukup dengan itu, masalah dalaman yang memalukan turut melanda PAS sehingga menghasilkan kumpulan serpihan yang mereka namakan sebagai GHB (Gerakan Hancur Bersama). Maaflah kalau saya tersilap mentafsirkan makna akronimnya, tapi itulah apa yang saya faham.

Ia bermula dengan situasi label-melabel antara kumpulan ulamak dengan kumpulan profesional. Kemudian ia terbawa-bawa pula kepada pengasingan dan penyesihan sewaktu pemilihan dalam muktamar yang berlangsung sebulan dua yang lalu. Walaupun muktamar sudah berlalu, rupa-rupanya ia tidak seumpama biduk berlalu kiambang bertaut. Walaupun biduk sudah berlalu, nampaknya kiambang seakan tidak akan bertaut kembali.

Antara hasil daripada muktamar yang lalu ialah munculnya golongan yang kecewa dalam PAS. Golongan ini pula walaupun tewas tetapi pengaruh mereka khususnya dalam kalangan ahli bawahan agak besar dan adakalanya menggerunkan. Kini golongan serpihan yang kecewa berkenaan sudah mula mengorak langkah untuk bermufaraqah dengan PAS pula. Maka itulah mereka telah menubuhkan GHB (Gerakan Hancur Bersama). Kalau silap percaturan, bukan sahaja GHB akan hancur, bahkan masa depan politik PAS juga boleh turut hancur sama. Bila situasi ini terjadi, siapakah yang akan bertepuk tangan? Puak yang paling awal yang akan bertepuk riang ialah mereka yang membenci dan menolak hukum hudud.

Oleh yang demikian, buat masa ini, PR boleh melupakan sahaja niat dan hasrat untuk menawan Putrajaya. Dalam ketidakstabilan yang sedang melanda PR masa kini, Putrajaya akan terus kukuh dalam genggaman Barisan Nasional (BN). Hasrat untuk menguasai Putrajaya tak ubah bagai mimpi sewaktu jaga sahaja. Silap percaturan, kerajaan negeri yang masih dikuasai PR masa ini pun boleh terlepas semula ke tangan BN. Padan muka!

Jadi, dalam soal politik, bila dicampur, ditolak, didarab dan dibahagi, orang politik tanpa mengira dari firqah mana, semuanya sama sahaja. Kalau mengata lawan bukan main lagi lantangnya, tapi bila urus rumah tangga sendiri, sama sahaja tahap kejahilannya. Sama ada yang berkopiah dan berserban hinggalah yang bersongkok tinggi, dua kali lima sahaja. Apa yang ada dalam benak mereka bukannya soal negara dan rakyat, tetapi bagaimana untuk mengekalkan kuasa yang ada atau bagaimana untuk meemperolehi kuasa daripada lawan-lawan politiknya dengan apa cara sekali pun.

Oleh kerana orang-orang politik semakin jarang memikirkan masalah rakyat dan negara, maka masalah yang ada semakin terbengkalai macam projek mega yang terbengkalai kelihatannya. Masalah kesesakan lalu lintas di kota-kota besar, masalah kenaikan harga barangan keperluan, masalah ekonomi, masalah mencari kerja dalam kalangan generasi muda, dan macam-macam hal lagi, semuanya seakan ditanggung oleh sekalian hamba rakyat secara sendirian. Orang-orang politik semakin tiada kepedulian pada masalah dan hal sebegini.

Kalau hendak berpolitik biarlah bertempat, bermusim dan bersebab. Kalau berpolitik sepanjang masa, inilah antara kesan dan akibatnya.


Tuesday, July 7, 2015

Ahmad Qusairi Md Zizi: Qari Cacat Penglihatan




Saudara Ahmad Qusairi bin Md Zizi merupakan seorang yang cacat penglihatan. Beliau adalah lulusan diploma dari Darul Quran, JAKIM di Kuala Kubu Baru. Selain merupakan seorang yang hafaz Quran, beliau merupakan seorang yang boleh membaca Alquran secara bertaranum dengan baik. Ia amat sesuai dengan kelebihan yang dikurniakan kepadanya iaitu memiliki suara yang lunak terutamanya ketika mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Alquran Al-Karim. Kini beliau sedang bertugas di Darul Quran, Kuala Kubu Baru.

(Ahmad Qusairi sedang memimpin bacaan zikir munajad dalam satu majlis di Terengganu pada tahun 2013)


Oleh kerana kebolehan dan bakat semula jadi yang ada kepada beliau, maka Saudara Ahmad Qusairi sering diundang untuk memperdengarkan bacaan Alquran secara bertaranum di pelbagai majlis. Kalau di peringkat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Saudara Ahmad Qusairi seolah-olahnya “sudah diikat kontrak” untuk memperdengarkan bacaan Alquran secara bertaranum di hampir setiap majlis anjuran persatuan berkenaan. Selain PERTIS, Saudara Ahmad Qusairi juga turut diundang oleh pelbagai badan bukan kerajaan lain untuk memperdengarkan bacaan Alquran secara bertaranum.

Selain daripada membaca Alquran, beliau juga sering diminta untuk mengetuai bacaan selawat, zikir munajad dan sebagainya dalam pelbagai majlis. Apa yang bagusnya, jika tiada sebarang keuzuran, beliau akan cuba memenuhi setiap undangan yang diajukan kepadanya.

Sebagai maklumat bersama, selain daripada hafiz Alquran, Saudara Ahmad Qusairi juga mahir dengan tulisan Alquran (Alquran Braille). Pengetahuan asas bahasa Arab yang dimilikinya merupakan nilai tambah yang memantapkan lagi kemahiran beliau dalam bidang Alquran. Justeru, apabila PERTIS melibatkan beliau sebagai salah seorang ahli dalam Jawatankuasa Alquran Braille yang baru ditubuhkan, bagi saya ia merupakan satu langkah yang tepat. Kemahiran yang beliau miliki harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh PERTIS bagi tujuan untuk memartabatkan lagi Alquran Braille.

Semoga beliau istiqamah dalam apa yang sedang dilakukannya.

Ahmad Qusairi mengaji

Sunday, July 5, 2015

Tahniah Kepada Mohd Razlan




Sebentar tadi, saya telah dihubungi oleh Mohd Razlan bin Ibrahim Mokhtar, salah seorang bekas anak murid saya. Lama juga beliau tidak menghubungi saya. Berdasarkan perbualan kami, saya rasa tujuan beliau menelefon saya ialah untuk memaklumkan perkembangan mutakhir mengenai dirinya. Sebab itulah suaranya ceria dan riang kedengarannya.

(Razlan sewaktu di sekolah menengah)


Kalau saya tidak silap, Razlan pernah menuntut di sekolah tempat saya bertugas antara tahun 2007 hingga tahun 2011 iaitu untuk peringkat menengah. Kalau saya tidak silap juga, Razlan pernah menjadi murid saya ketika beliau di tingkatan 4 dan 5. Bagi saya, Razlan seorang murid yang banyak cakap tetapi berotak bijak.

Setelah tamat sekolah menengah, dengan keputusan baik yang telah diperolehinya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau telah berjaya melanjutkan pelajarannya di UITM Arau, Perlis di peringkat diploma. Akhirnya, setelah mengharungi pelbagai cabaran sebagai penuntut cacat penglihatan, kini beliau telah berjaya memperolehi diploma dengan beroleh mata CGPA 3.86, iaitu 0.01 mata tinggi sedikit daripada apa yang pernah dicapai oleh anak Maslan.

Razlan memberitahu saya, beliau sudah pun mendapat tempat untuk menyambung pengajiannya di peringkat ijazah pertama di salah sebuah universiti di Adlaide, Australia. Manakala bidang pengajian yang akan beliau ceburi ialah Business Inovation. Pada Jumaat lalu (3 Julai), Razlan telah mendapat satu lagi berita baik iaitu pihak Maxis telah bersetuju untuk memberikan biasiswa bagi pengajian beliau di Australia nanti. Walaupun permohonan beliau untuk mendapatkan biasiswa pada awalnya ditolak, tetapi berkat usaha yang tidak kenal jemu dan putus asa serta sokongan padu daripada pihak-pihak tertentu, akhirnya pihak Maxis bersetuju untuk memberikan biasiswa untuk membolehkan beliau menyambung pengajiannya. Menurut Razlan lagi, jika tiada aral melintang, beliau akan bertolak ke Australia sehari dua selepas hari raya aidil fitri nanti.

Seperti negara-negara Barat lain, Australia juga merupakan tempat yang sesuai untuk golongan cacat penglihatan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah. Ini disebabkan persepsi dan penerimaan masyarakat di sana terhadap golongan OKU sangat baik. Saya pernah dimaklumkan, masyarakat di sana bukan sekadar simpati semata-mata, bahkan mereka sentiasa bersedia untuk membantu. Selain itu, mereka juga sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada golongan OKU dalam pelbagai lapangan. Selain itu, negara-negara berkenaan juga sentiasa memberikan peluang yang tinggi kepada golongan OKU dalam lapangan pekerjaan tanpa apa-apa prasangka. Hal ini pernah diceritakan sendiri oleh seorang lagi bekas murid saya yang juga pernah melanjutkan pelajarannya di Australia sebelum ini.

Kepada Razlan, tahniah diucapkan. Saya serta seluruh warga pendidik di SMPK Setapak merasa bersyukur serta gembira dengan pencapaian anda sekarang. Mudah-mudahan pencapaian anda sekarang akan menjadi contoh dan ikutan pula kepada murid-murid yang sedang belajar di sekolah yang sama yang pernah menjadi tempat anda belajar suatu ketika dahulu.


Saturday, July 4, 2015

Ramiy Masary Kembali Ke Rahmatullah



Malam tadi, saya menerima satu SMS dari seorang rakan yang memaklumkan Ramiy Masary telah kembali ke rahmatullah. Saya cuba mencari pengesahan berita berkenaan menerusi SMS tapi tiada jawapan. Oleh kerana sudah larut malam, saya sekadar bertanya menerusi SMS sahaja dan tidak menerusi panggilan telefon. Mungkin masa sudah lewat malam dan mereka yang saya cuba hubungi sudah pun melelapkan mata, jadi tiada sebarang jawapan pengesahan yang saya terima. Pagi tadi barulah saya mendapat pengesahan daripada salah seorang rakan yang menetap di Kuala Terengganu yang mengesahkan berita tersebut. Menurut berita, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada awal malam tadi.

Ramiy, dalam kalangan rakan-rakan lebih dikenali sebagai Rahimi merupakan rakan satu sekolah semasa di peringkat rendah. Walau bagaimanapun, beliau junior sedikit daripada saya. Kebetulan pula, kami berasal dari negeri yang sama. Lebih tepat lagi, Ramiy berasal dari Merlimau.

Setelah beberapa tahun meninggalkan alam persekolahan, beliau kemudiannya telah menetap di Terengganu. Saya tidak ingat bila kali terakhir saya bertemu beliau. Namun begitu, yang pastinya kami sudah tidak bertemu lebih daripada 25 tahun. Kini kami tidak akan bertemu lagi buat selama-lamanya.

Marilah kita semua selaku rakan Allahyarham mendoakan semoga beliau akan mendapat keampunan Allah dan ditempatkan bersama-sama dengan mereka yang diredhai-Nya. Kepada ahli keluarga Allahyarham, saya ucapkan takziah dan bersabarlah menghadapi ujian ini.

Alfatihah ....


Wednesday, July 1, 2015

Selamat Bertugas Semula Di PERTIS




Hari ini, 1 Julai 2015, Tn Hj Muhammad Lee telah melapor diri untuk bertugas semula di Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Selaras dengan kebolehan dan minat beliau, Tn Hj Muhammad Lee telah ditempatkan di bahagian penerbitan, PERTIS. Kalau saya tidak silap, beliau akan mengendalikan bahagian penerbitan melalui pejabat di Brickfields.



Mungkin ramai sudah maklum, Tn Hj Muhammad Lee pernah bertugas di PERTIS dari tahun 2004 hinggalah ke pertengahan tahun 2012. Pada tahun 2012, beliau telah mengambil keputusan untuk meninggalkan PERTIS dan bertugas di sebuah organisasi lain. Namun demikian, setelah setahun beliau bersama organisasi tersebut, Tn Hj Muhammad Lee telah meletakkan jawatan dengan sebab tertentu. Setelah dua tahun selepas perletakan jawatan berkenaan, kini Tn Hj Muhammad Lee kembali bertugas semula di PERTIS. Beliau ditempatkan semula di portfolio lamanya, iaitu di bahagian penerbitan PERTIS.

Semoga pengalaman sebelum ini akan lebih mematangkan Tn Hj Muhammad Lee dalam mengambil apa jua keputusan pada masa hadapan. Mungkin benar kata orang bijak pandai, pengalaman silam akan lebih mematangkan kita pada masa akan datang.

Walaupun saya tidak lagi berada di barisan kepimpinan tertinggi PERTIS hari ini, namun begitu saya berpendapat kemasukan semula Tn Hj Muhammad Lee di PERTIS akan memberi manfaat yang besar kepada persatuan berkenaan. Pengalaman, minat, kemampuan serta komitmen beliau dalam tugas merupakan aset berharga yang akan mengungtungkan PERTIS sendiri. Semoga dengan kehadiran semula Tn Hj Muhammad Lee di PERTIS khususnya di bahagian penerbitan akan melonjakkan lagi aktiviti PERTIS pada masa hadapan.

Kepada Tn Hj Muhammad Lee diucapkan selamat bertugas semula di PERTIS.