Sunday, July 26, 2015

Macam-macam Hal Sekarang





Sejak kebelakangan ini, negara kita sudah mula dilanda satu situasi yang semakin sukar untuk diistilahkan. Saya pun tak pasti istilah mana yang paling tepat untuk digunakan bagi menggambarkan situasi yang sedang melanda tanah air tercinta ini. Hendak guna istilah itu pun tak kena, hendak guna istilah yang ini pun rasanya tak tepat. Apa yang lebih merumitkan ialah situasi yang sedang melanda pula mencakupi pelbagai aspek, daripada ekonomi, sosial hinggalah ke politik. Mereka yang terkena landaan situasi ini setidak-tidaknya akan jadi pening-pening lalat dibuatnya.

Sejak sebelum kedatangan bulan puasa lagi, harga pelbagai jenis barang sudah pun naik. Pada masa yang sama, pihak berkuasa sering berkata apa yang berlaku tidak membebankan rakyat. Hakikatnya rakyat bawahan seperti saya semakin merasai bebanan akibat kos hidup yang semakin meningkat setiap hari. Jadinya, apa yang sedang dialami dengan apa yang sedang dilaungkan oleh pihak berkuasa sama sekali tidak sehaluan. Ini mengakibatkan orang bawahan semakin pening. Kalau komplen banyak nanti ada yang kena gam pula.

Baru-baru ini sewaktu bulan puasa, amat sukar untuk mencari kuih dengan harga 5 biji RM2. Hampir kebanyakan peniaga di bazar-bazar Ramadhan menjual dengan harga RM2 untuk 4 biji. Di sebuah bazar Ramadhan di ibu kota, saya hanya bertemu dengan sebuah gerai sahaja yang masih menjual kuih dengan harga RM2 5 biji, itu pun kerana saiznya kecil luar biasa. Itu baru harga kuih, belum lagi harga makanan yang lain. Kalau komplen banyak, nanti ada pula orang besar negara akan cakap, kalau rasa mahal tak payah beli, masak sendiri. Harap CGPA saja tinggi, tapi sifat tak cerdiknya melampau sangat. Pengalaman lalu mengajar kita, iaitu kalau harga sesuatu barangan sudah naik, hampir mustahil untuk ia turun kembali.

Setiap hari saya akan meneliti secara rambang nilai tukaran ringgit dengan wang asing terutamanya baidingan dengan Sing Dollar. Apa yang nyata ialah secara umumnya kedudukan ringgit semakin lemah jika dibandingkan dengan mata wang negara seberang tambak tersebut. Walhal negara berkenaan tiada apa pun hasil buninya. Hanya mengharapkan pelabuhan dan kekuatan industrinya sahaja. Namun demikian, oleh kerana ia diperintah oleh mereka yang bijak mengambil kesempatan, maka itulah ekonominya jauh lebih kukuh dan mantap daripada Tanah Melayu, bekas ibu kandungnya. Justeru, golongan pemimpin dan rakyatnya benar-benar mempunyai dan mengamalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Berbeza dengan apa yang sedang berlaku di tanah air sendiri, hanya rakyat kulian sahaja yang diarahkan supaya mempunyai dan mengamalkan KBAT.

Tidak berapa lama dahulu, pihak yang berkuasa telah menaikkan kadar tambang teksi dengan kadar yang tinggi. Beberapa rakan saya yang senasib merupakan antara pengguna teksi secara harian. Mereka menggunakan perkhidmatan teksi setiap hari bukan kerana mereka ada wang yang banyak, tetapi kerana terpaksa. Sejak kadar tambang teksi naik, boleh dikatakan saya akan mendengar rakan-rakan saya yang berkenaan akan menghamburkan rungutan setiap kali selepas menggunakan perkhidmatan teksi. Mereka tidak menyalahkan pemandu teksi, sebaliknya mereka menyalahkan pihak yang berkuasa yang telah menaikkan kadar tambang dengan kadar yang kurang munasabah. Bagi saya, rungutan pengguna teksi yang kurang bernasib baik ini ada benarnya. Mereka ini saya katakan kurang bernasib baik bukan kerana mereka cacat, tetapi mereka tidak ada pilihan pengangkutan lain untuk digunakan selain teksi. Amat tidak wajar jika pihak berkuasa berkata, kalau rasa tambang teksi mahal, guna sahaja perkhidmatan lain. Seperti saya katakan tadi, mereka menggunakan perkhidmatan teksi kerana terpaksa dan bukan kerana mereka daripada golongan yang ada wang. Hal sebeginilah yang tidak pernah difahami oleh pihak yang berkuasa. Apa yang pihak berkuasa tahu, sekadar naikkan kadar tambang, jika ada masalah berbangkit daripada pengguna, tanggunglah sendiri. Kononnya tidak membebankan rakyat. Kalau rakyat tidak terbeban, mereka tidak akan merungut. Kalau merungut banyak-banyak nanti kena tempelak pula. Bila orang besar-besar tempelak orang lain, tempelakan mereka akan masuk media perdana, tapi bila orang bawahan merungut, rungutan mereka jarang diberi perhatian oleh media yang berkenaan.

Sejak kebelakangan ini, saya sering mendengar rakan-rakan senasib terutamanya yang sering berkelana di sekitar Brickfields kena rompak. Bukan sahaja wang yang dirompak, tetapi barangan lain terutamanya telefon bimbit juga sering kena curi. Ada beberapa rakan senasib yang sedang menggunakan telefon bimbit, tiba-tiba bedesup telefon berkenaan pergi tanpa kembali lagi. Di samping itu, beberapa rakan senasib yang lain pula kena rompak wang mereka. Jumlah yang dirompak pula bukannya seringgit dua, tetapi mencecah beratus ringgit banyaknya. Sudahlah nak cari wang semakin sukar, bila sekali kena rompak jumlahnya boleh guna untuk sebulan. Saya pernah bertanya kepada salah seorang mangsa rompakan, mengapa tidak buat aduan kepada pihak polis. Beliau mengatakan, kalau buat laporan pun tak ada gunanya. Ia sekadar untuk mengumpul koleksi statistik polis semata-mata.

Kepada rakan-rakan senasib terutamanya yang sering berkelana di sekitar Brickfields, kalau sudah maklum kawasan berkenaan kawasan tidak selamat, beberapa langkah untuk keselamatan sendiri harus diambil. Kalau pihak lain sudah tidak boleh diharap lagi untuk menjaga keselamatan kita, maka kitalah yang harus mengambil langkah tertentu untuk menjaga keselamatan diri sendiri. Antara langkah yang boleh saya sarankan di sini ialah, jika sedang berjalan di sekitar Brickfields dan tiba-tiba ada panggilan telefon, sebaiknya jangan jawab. Bila sudah berada di tempat yang selamat baru keluarkan telefon tadi dan buat panggilan semula. Selain itu, jangan terlalu lama mempamirkan telefon terutamanya yang terkini dan canggih di khalayak ramai kerana ia mungkin akan menjadi intaian individu tertentu yang berniat tidak baik. Di samping itu, elakkan sama sekali mengira wang pendapatan di khalayak ramai. Walau apa pun alasannya, wang pendapatan hendaklah dikira di tempat tertutup dan tersembunyi.

Politik negara juga tidak kurang cerca merbanya. Sebelum ini pihak-pihak tertentu hanya pandai menuding jari terhadap masalah “rumah tangga” yang sering melanda parti-parti dalam koalisi kerajaan. Memang sampai sekrang pun, UMNO masih terpalit dengan masalah 1MDB, situasi ekonomi yang tidak stabil, serangan bertubi oleh Tun Mahathir, dan sebagainya. Manakala MIC pula masih tercari-cari teori dan formula untuk memulihkan masalah dalaman parti berkenaan.

Bak kata orang tua-tua, kalau selalu sangat meludah ke langit, sekali-sekala terkena juga ke muka sendiri. Ketidakstabilan politik yang sedang dihadapi oleh parti pemerintah gagal dimanfaatkan oleh Pakatan Rakyat (PR) untuk mengambil alih kuasa secara demokratik dengan lebih cepat lagi. Sebaliknya kini PR pula yang dilanda masalah “rumah tangga”. Masalah yang dihadapi bukan kecil budak, tapi sampai memutuskan hubungan antara satu sama lain. Tidak cukup dengan itu, masalah dalaman yang memalukan turut melanda PAS sehingga menghasilkan kumpulan serpihan yang mereka namakan sebagai GHB (Gerakan Hancur Bersama). Maaflah kalau saya tersilap mentafsirkan makna akronimnya, tapi itulah apa yang saya faham.

Ia bermula dengan situasi label-melabel antara kumpulan ulamak dengan kumpulan profesional. Kemudian ia terbawa-bawa pula kepada pengasingan dan penyesihan sewaktu pemilihan dalam muktamar yang berlangsung sebulan dua yang lalu. Walaupun muktamar sudah berlalu, rupa-rupanya ia tidak seumpama biduk berlalu kiambang bertaut. Walaupun biduk sudah berlalu, nampaknya kiambang seakan tidak akan bertaut kembali.

Antara hasil daripada muktamar yang lalu ialah munculnya golongan yang kecewa dalam PAS. Golongan ini pula walaupun tewas tetapi pengaruh mereka khususnya dalam kalangan ahli bawahan agak besar dan adakalanya menggerunkan. Kini golongan serpihan yang kecewa berkenaan sudah mula mengorak langkah untuk bermufaraqah dengan PAS pula. Maka itulah mereka telah menubuhkan GHB (Gerakan Hancur Bersama). Kalau silap percaturan, bukan sahaja GHB akan hancur, bahkan masa depan politik PAS juga boleh turut hancur sama. Bila situasi ini terjadi, siapakah yang akan bertepuk tangan? Puak yang paling awal yang akan bertepuk riang ialah mereka yang membenci dan menolak hukum hudud.

Oleh yang demikian, buat masa ini, PR boleh melupakan sahaja niat dan hasrat untuk menawan Putrajaya. Dalam ketidakstabilan yang sedang melanda PR masa kini, Putrajaya akan terus kukuh dalam genggaman Barisan Nasional (BN). Hasrat untuk menguasai Putrajaya tak ubah bagai mimpi sewaktu jaga sahaja. Silap percaturan, kerajaan negeri yang masih dikuasai PR masa ini pun boleh terlepas semula ke tangan BN. Padan muka!

Jadi, dalam soal politik, bila dicampur, ditolak, didarab dan dibahagi, orang politik tanpa mengira dari firqah mana, semuanya sama sahaja. Kalau mengata lawan bukan main lagi lantangnya, tapi bila urus rumah tangga sendiri, sama sahaja tahap kejahilannya. Sama ada yang berkopiah dan berserban hinggalah yang bersongkok tinggi, dua kali lima sahaja. Apa yang ada dalam benak mereka bukannya soal negara dan rakyat, tetapi bagaimana untuk mengekalkan kuasa yang ada atau bagaimana untuk meemperolehi kuasa daripada lawan-lawan politiknya dengan apa cara sekali pun.

Oleh kerana orang-orang politik semakin jarang memikirkan masalah rakyat dan negara, maka masalah yang ada semakin terbengkalai macam projek mega yang terbengkalai kelihatannya. Masalah kesesakan lalu lintas di kota-kota besar, masalah kenaikan harga barangan keperluan, masalah ekonomi, masalah mencari kerja dalam kalangan generasi muda, dan macam-macam hal lagi, semuanya seakan ditanggung oleh sekalian hamba rakyat secara sendirian. Orang-orang politik semakin tiada kepedulian pada masalah dan hal sebegini.

Kalau hendak berpolitik biarlah bertempat, bermusim dan bersebab. Kalau berpolitik sepanjang masa, inilah antara kesan dan akibatnya.


No comments: