Tuesday, December 31, 2013

PLSN Telah Dibubarkan




Pada 28 Disember 2013 (Sabtu) lalu, merupakan tarikh tamatnya riwayat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan masyarakat cacat penglihatan di negara kita. Badan yang dimaksudkan ialah Persatuan Lepasan St. Nicholas (PLSN) yang berpusat di Pulau Pinang. Saya dimaklumkan sebelum ini, pembubaran tersebut adalah atas arahan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menerusi surat yang bertarikh 11 November yang lalu. Perlu saya jelaskan di sini iaitu PLSN bukan badan yang mentadbir St. Nicholas Home yang ada di Pulau Pinang, tetapi ia merupakan badan yang menghimpunkan bekas-bekas pelatih dan pelajar institusi berkenaan.

Pembubaran berkenaan telah dilaksanakan menerusi satu mesyuarat agung khas persatuan berkenaan yang telah dilangsungkan di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Seramai 72 bekas pelatih/pelajar St. Nicholas telah menghadiri mesyuarat berkenaan. Ekoran daripada pembubaran berkenaan, satu cadangan telah diketengahkan iaitu untuk menubuhkan alumni St. Nicholas Home, tetapi cadangan berkenaan telah ditolak dengan 16 undi menyokong dan 19 undi menolak. Ini bermakna badan/persatuan yang dicadangkan untuk ditubuhkan bagi menggantikan PLSN tidak diterima.

Sebagaimana yang pernah saya nyatakan, pembubaran PLSN merupakan satu detik yang cukup pahit untuk ditelan oleh sebahagian ahlinya. Bertahun-tahun lamanya PLSN telah menjadi badan yang menghimpunkan bekas pelatih/pelajar ST. Nicholas Home dengan pelbagai kegiatan. Selain itu, di waktu kegemilangannya PLSN juga dikatakan turut berjaya mengumpul dana yang besar untuk manfaat para ahlinya.

Namun demikian, kegemilangan PLSN mula beransur suram bilamana teraju kepimpinannya mula diresapi oleh segelintir kecil pemimpin yang tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan berhati jahat. Bukan sahaja puluhan ribu wang persatuan lesap, tetapi dokumen yang berkaitan juga turut sama dilupuskan bagi melangsungkan tujuan jahat yang tersirat. Barisan kepimpinan yang mengambil alih kepimpinan kemudian daripada itu cuba bertindak bagi menyelamatkan keadaan, tetapi usaha mereka sudah terlambat kerana nasi sudah menjadi bubur. Aduan kepada pihak yang berkuasa juga kurang berkesan tanpa diketahui sebab sebenarnya. Mungkin bagi sebilangan orang yang berpenglihatan, bila si buta dengan si buta bermasalah, biarlah mereka yang selesaikan sendiri masalah yang mereka hadapi.

Walaupun PLSN telah dibubarkan, ia tidak bermakna segala-galanya sudah selesai. Ada hati yang akan terus luka, banyak parut yang akan terus kekal sampai bila-bila. Perbuatan jahat dan tidak amanah segelintir kecil bekas ahlinya sudah tentu akan menjadi sejarah hitam yang bakal disebut dan dikenang selagi ada bulan dan selagi ada matahari.

Banyak iktibar yang dapat kita sama-sama teladani daripada tragedi pembubaran PLSN baru-baru ini. Ahli-ahli sesebuah persatuan mesti sama-sama bertanggungjawab tatkala memilih orang yang akan meneraju sesebuah persatuan. Antara kriteria penting bagi seseorang yang boleh dipilih selaku pemimpin sesebuah persatuan termasuklah mempunyai sifat-sifat amanah, bertanggungjawab, mengutamakan persatuan dalam apa jua keputusan dan tindakan, tidak akan mengorbankan persatuan untuk peribadi dan kawan-kawan, rela dibenci untuk menjaga amanah, tidak akan melakukan apa jua tindakan bercorak populis hanya untuk mengekalkan kuasa dalam persatuan, tidak bersikap nepotisme dan kronisme, dan yang paling utama sentiasa berpihak kepada kebenaran dalam apa jua situasi dan kondisi. Biarlah kita dibenci kerana mendokong kebenaran daripada kita disukai kerana menegakkan kebatilan.

Selain itu, setiap ahli juga harus peka dengan apa yang sedang berlaku dalam persatuan. Sikap lepas tangan daripada ahli-ahli biasa terhadap hal ehwal persatuan hanya akan membuka lebih ruang kepada pemimpin tertentu untuk melakukan salah laku dan penyelewengan. Maknanya proses check and balance harus sentiasa berjalan supaya ketelusan dan ketulusan dalam sesebuah persatuan sentiasa subur sepanjang masa dan ketika. Para ahli harus menggunakan saluran yang betul dan sah untuk menyoal para pemimpin persatuan jika ada sesuatu yang meragukan.

Jika terbukti ada sesuatu yang tidak kena telah atau sedang dilakukan oleh pemimpin tertentu dalam persatuan, ia harus dicegah secepat yang boleh. Jangan tunggu nasi sudah menjadi bubur baru hendak bertindak. Tindakan sedemikian hanya sia-sia dan tidak berguna lagi. Inilah yang dibidalkan oleh orang tua-tua kita dahulukala, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Sesungguhnya apa yang sudah terjadi, kita terpaksa membiarkan ia terjadi. Namun begitu, selaku insan yang dikurniai akal dan fikiran, kita sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang telah terjadi. Ini kerana barangsiapa yang gagal mengambil iktibar daripada sejarah yang lepas, maka mungkin dia akan dihukum pula dengan mengalaminya sekali lagi.

Tulisan ini bukan berhasrat untuk menuding kepada mana-mana pihak atau individu. Hanya mereka yang pernah makan cili sahaja yang akan merasai pedasnya.

Tuesday, December 24, 2013

Abdul Wahid Jadi Kembali Ke Rahmatullah




Sekitar jam 3.49 petang tadi, saya menerima panggilan telefon dari En. Fauzi Mansor, Pengerusi PERTIS Terengganu, yang memaklumkan bahawa En. Abdul Wahid Jadi, salah seorang ahli bersekutu Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu baru sahaja menghembuskan nafas terakhirnya. Sayu sekali mendengar berita daripada En. Fauzi.

En. Wahid merupakan seorang ahli bersekutu PERTIS Terengganu yang cukup aktif dalam persatuan. Beliau juga pernah menjadi salah seorang AJK PERTIS Terengganu. Kalau tak silap, Allahyarham pernah menjawat jawatan bendahari PERTIS Terengganu.

Di samping itu, beliau sewaktu sihat merupakan orang yang sentiasa mengiringi En. Fauzi ke mesyuarat peringkat PERTIS Pusat yang diadakan di Kuala Lumpur. Selain itu, beliau juga beberapa kali turut menyertai rombongan ahli PERTIS Terengganu ke mesyuarat agung PERTIS di Kuala Lumpur. Beliau seorang yang ringan tulang dan sentiasa membantu ahli-ahli PERTIS bila diperlukan.

Allahyarham merupakan seorang yang periang, peramah dan mudah bergurau. Sebab itulah juga dalam masa yang singkat saya boleh mesra dengan beliau. Hubungan kami bukan setakat sama-sama ahli dalam sebuah persatuan, tetapi merupakan hubungan antara rakan yang baik. Justeru, bila saya ke Terengganu, saya pasti mencari beliau. Setidak-tidaknya untuk makan bersama.

(Allahyarham pada 25 Mac 2013)


Pada bulan Mac lalu, sewaktu saya ke Kuala Terengganu, saya turut menziarahi beliau di rumahnya. Waktu itu, kesihatannya sudah tidak begitu baik. Namun demikian, layanan mesra beliau kepada saya masih tidak berubah. Tatkala itu beliau bercerita panjang mengenai pelbagai perkara termasuklah penyakit yang sedang dihadapinya. Walaupun sudah berada di kerusi roda, tetapi sifat riang dan cerianya masih tidak berubah. Gelak tawanya masih seperti biasa.

Kali terakhir saya menziarahi Allahyarham ialah pada 18 Disember (Rabu) lalu. Waktu itu saya ke Kuala Terengganu untuk memghadiri dua program atas kapasiti saya selaku YDP PERTIS. Pada waktu yang terluang, saya berkesempatan untuk menziarahi beliau di rumahnya. Selain saya dan isteri, kami turut ditemani En. Fauzi Mansor. Rupa-rupanya itu merupakan pertemuan kami yang terakhir. Kami tidak akan bertemu lagi di gunia ini buat selama-lamanya.

Dalam pertemuan terakhir itu, Allahyarham masih boleh bercakap tetapi suaranya kedengaran sangat lemah. Beliau juga masih mengenali saya dengan baik. Walaupun Allahyarham seakan ingin bercerita panjang, tetapi kemampuannya untuk berbuat demikian ternyata amat terbatas. Bila saya tanyakan adakah beliau akan ke program PERTIS di KL lagi bila sihat nanti, beliau menjawab, tempat jatuh lagi dikenang. Kalimat itulah yang masih terngiang-ngiang di telinga saya hingga kini.

(Allahyarham pada 18 Disember 2013)


Untuk maklumat bersama, Allahyarham sebenarnya berasal dari Melaka. Setelah bersara dari tentera, beliau telah menetap terus di Kuala Terengganu. Oleh kerana telor Terengganunya sudah menebal, sewaktu peringkat awal perkenalan kami, saya langsung tidak menyangka Allahyarham berasal senegeri dengan saya. Walaupun beliau seorang yang berpenglihatan, keakraban beliau dengan PERTIS khasnya dan golongan cacat penglihatan umumnya memang sukar dicari ganti. Sepertimana yang telah saya nyatakan, beliau bukan sekadar tidak kekok untuk bergaul dengan golongan seperti saya, bahkan cukup ringan tulang untuk menghulurkan pertolongan dan bantuan kepada sesiapa sahaja.

Justeru pemergian Allahyarham menghadap Ilahi hari ini merupakan satu kehilangan bukan sahaja kepada PERTIS bahkan saya berkeyakinan ramai golongan cacat penglihatan khasnya di Terengganu turut merasi akan pemergian beliau. Namun demikian, kehendak Ilahi tiada siapa yang dapat menolaknya. Kita harus sama-sama redha di atas pemergian beliau menghadap Pencipta kita.

Kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, saya mengucapkan takziah. Bersabarlah menghadapi ujian ini. Bersama-samalah kita merafakkan doa ke hadhrat Allah semoga Allahyarham sentiasa dalam peliharaan-Nya sepanjang masa sehinggalah di hari kebangkitan nanti.

Alfatihah ....


Wednesday, December 11, 2013

Mad Darus Sulaiman Kembali Ke Rahmatullah




Sekitar jam 7.15 sebentar tadi, saya menerima berita daripada Saudara Rosmadi Ibrahim bahawa Saudara Mad Darus Sulaiman baru sahaja kembali ke rahmatullah. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di wad 10, tingkat 3, Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sekitar 15 minit sebelumnya, Saudara Rosmadi telah menghubungi saya dan memaklumkan bahawa Allahyarham sedang sakit di wat yang sama. Beliau (Rosmadi) turut berada di HKL tatkala menghubungi saya.

Sejurus menerima berita mengenai Allahyarham, saya telah memaklumkan berita tersebut kepada MSO (blogger tersohor) yang juga merupakan rakan akrab Allahyarham sejak kecil lagi. MSO pernah beritahu saya Allahyarham sebenarnya seorang yang cerdik, sekiranya beliau berpeluang ke sekolah dahulu tentunya dia sekrang sudah jadi somebody. Sesunggunya ketentuan Allah mengatasi segala-galanya. Hasrat MSO untuk menziarahinya tatkala hidup tidak kesampaian kerana Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya tatkala MSO baru hendak bertolak ke HKL. Inilah antara keunikan MSO kerana dia bergaul dengan semua jenis manusia.

Mad Darus Sulaiman tatkala hanyatnya pernah menjadi pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) bagi negeri Kelantan. Allahyarham juga aktif dengan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) dan merupakan pengerusi SBM Kelantan untuk beberapa ketika.

Kecerdikan Mad Darus sebenar terserlah pada bakatnya dalam bidang seni karya drama. Beliau terkenal dengan nama penanya M. Hayat. Walaupun beliau tidak pernah berpeluang ke sekolah, bakat besarnya dalam bidang seni karya drama telah membolehkan hasil karyanya diterima oleh RTM untuk disiarkan sama ada di televisyen ataupun di radio. Setakat yang saya tahu (bukan niat untuk merendahkannya), Allahyarham tidak boleh menulisatau membaca. Dalam keadaan sedemikian Allahyarham mampu untuk menghasilkan karya drama yang berkualiti sehingga boleh diterima dan disiarkan oleh RTM. Demikianlah besarnya bakat beliau dalam seni karya drama.

Di sini, saya juga memohon jutaan maaf kepada ahli keluarga Allahyarham kerana tidak dapat menziarahi jenazah Allahyarham kerana pada ketika ini saya berada di luar KL. Namun demikian, dari kejauhan saya mendoakan semoga Allahyarham sentiasa dalam rahmat Allah buat selama-lamanya. Saya juga tidak lupa mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Bersabarlah dan terimalah takdir Ilahi ini dengan seadanya.

Seorang demi seorang insan yang kita sama-sama kenali mengambil giliran untuk menghadap Ilahi. Hanya giliran kita sahaja yang masih dirahsiakan oleh Pencipta kita. Namun begitu, kita harus sentiasa bersedia kerana giliran untuk kita turut serta boleh datang pada bila-bila masa tanpa notis.

Selain itu, saya turut juga menerima maklumat daripada Saudara Mohd Bukhari dan Cikgu Mohd Fekkeri iaitu seorang lagi rakan senasib juga telah kembali ke rahmatullah petang tadi. Rakan yang saya maksudkan ialah Saudara Amran yang juga dikenali dengan Amran Bangsar.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga roh kedua-dua Allahyarham berada dalam peliharaan Allah setiap ketika sehingga ke waktu kita sama-sama dibangkitkan kelak.

Alfatihah ....


Thursday, December 5, 2013

Al-Tasneem: Pen Pembaca Kalkulator




Seperti yang kita sama-sama sudah maklum, syarikat Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd telah pun berjaya menghasilkan pen yang membolehkan golongan cacat penglihatan mendengar bacaan Alquran tanpa perlu lagi dibantu oleh orang lain. Berdasarkan maklum balas daripada mereka yang telah pun memiliki pen berkenaan, ia amat positif sekali. Di samping itu, beberapa cadangan turut diajukan khususnya kepada saya sendiri ke arah memperbaiki lagi kegunaan pen berkenaan dari pelbagai aspek.

Hasil daripada cadangan para pengguna, di samping kreativiti serta inovatif daripada pihak Al-Tasneem sendiri, kini kegunaan pen berkenaan telah ditambah kepada satu lagi aplikasi iaitu penggunaan kalkulator ringkas. Ini bermakna, pen berkenaan bukan sekadar digunakan untuk mendengar bacaan Alquran semata-mata.

Untuk membolehkan aplikasi kalkulator ringkas berfungsi, satu halaman bertulisan Braille akan ditambah. Halaman Braille ini mengandungi angka 1 hingga 0. Ia turut mempunyai tanda campur, tanda tolak, tanda kali, tanda bahagi serta tanda sama juga, kesemuanya ditulis dalam bentuk tulisan Braille. Selain itu, di bahagian atas halaman berkenaan ada ditulis “kalkulator” juga dalam bentuk tulisan Braille.

Untuk menggunakannya pula, pen berkenaan harus disentuh pada perkataan “kalkulator” dan kita akan mendengar pen berkenaan menyebut perkataan “kalkulator”. Ini merupakan proses pengaktifan. Setelah itu, kita boleh menggunakan pen dan halaman Braille berkenaan untuk tujuan pengiraan mudah dan ringkas. Sebagai contoh, bila kita sentuh hujung pen berkenaan ke angka 6, pen berkenaan akan berbunyi “enam”, kemudian kita sentuh pula pen berkenaan ke angka 0, pen berkenaan akan berbunyi “kosong”. Kemudian kita sentuh pula hujung pen ke tanda tolak, pen berkenaan akan berbunyi “tolak”. Kemudian kita sentuh lagi hujung pen ke angka 1, pen akan berbunyi “satu”, kita sentuh lagi hujung pen ke angka 0, pen akan berbunyi “kosong”. Setelah itu, kita sentuh hujung pen ke tanda sama juga, pen berkenaan akan berbunyi “sama dengan lima kosong”.

Menurut pihak Al-Tasneem, buat masa ini, aplikasi kalkulator yang disediakan hanya setakat 8 digit sahaja. Walau bagaimanapun, jumlah digitnya boleh ditambah lagi pada masa akan datang. Buat masa ini, keberkesanannya masih di peringkat ujian. Saya berkeyakinan penuh aplikasi ini akan dapat dibekalkan kepada pengguna sasarnya dalam masa yang terdekat, insha-Allah. Ia merupakan nilai tambah kepada halaman Alquran yang telah sedia ada.

Menurut pihak Al-Tasneem lagi, halaman dan aplikasi kalkulator ini akan disertakan bersama-sama dengan halaman untuk mendengar bacaan Alquran kepada pengguna yang membuat pembelian baru. Walau bagaimanapun, pihak Al-Tasneem sedia mempertimbangkan cadangan saya agar ia turut dibekalkan secara percuma kepada mereka yang telah pun membeli pen pembaca Alquran sebelum ini.

Untuk sesi promosi selanjutnya, setelah mengadakan perbincangan, PERTIS dan pihak Al-Tasneem bersetuju untuk mengadakan sesi promosi kali kedua di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini. Di samping itu, sesi promosi turut akan diadakan di pejabat PERTIS Terengganu pada pertengahan bulan ini. Untuk butiran lanjut mengenai sesi promosi ini, sila ikuti telemaklumat PERTIS pada minggu hadapan. Ia akan diperincikan termasuk lokasi serta tarikh sesi promosi berkenaan akan diadakan di kedua-dua lokasi tersebut.

Di sini, selaku golongan cacat penglihatan, kita seharusnya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah kerana telah menggerakkan hati antara hamba-Nya untuk melaksanakan R&D untuk kepentingan golongan seperti kita. Kita juga harus berterima kasih kepada syarikat Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd kerana tidak jemu melaksanakan penyelidikan dan pembangunan untuk keperluan dan kegunaan golongan yang cacat penglihatan. Mungkin sumbangan ini tidaklah sebesar mana, tetapi bagi saya ia sekurang-kurangnya telah membuka jalan kepada perkembangan penyelidikan dan pembangunan yang lebih besar lagi pada masa-masa yang akan datang.

Selain itu, saya juga suka menarik perhatian kepada individu atau pihak yang berkenaan, saya tidak ada apa-apa kepentingan peribadi dengan usaha yangh sedang dilaksanakan oleh syarikat Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd. Saya juga tidak menerima sebarang habuan daripada mereka atas apa yang sedang dilaksanakan. Justeru, tidak timbul sebarang penyelewengan wang kepunyaan mana-mana pihak sebagaimana yang pernah ditohmahkan kepada saya sebelum ini. Lain kali kalau hendak buat aduan kepada pihak yang berauthoriti siasat dahulu. Jangan ikutkan emosi membabi-buta semata-mata. Sekarang siapa yang malu? Atau, memang muka tak malu!!!


Sunday, December 1, 2013

Datuk Fauzi Shaari Kembali Ke Rahmatullah



Bekas calon PAS untuk parlimen Larut (P56), Datuk Fauzi Shaari (63), telah kembali ke rahmatullah pada jam 8.17 malam sebentar tadi. Menurut sumber berita, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang. Allahyarham Datuk Fauzi Shaari juga merupakan bekas pengarah jabatan siasatan jenayah, PDRM Bukit Aman.


Allahyarham Datuk Fauzi telah terjun ke kancah politik negara dengan menyertai PAS. Setelah bergiat dalam politik, beliau telah bergerak ke seluruh negara berkempen untuk PAS. Kemuncaknya ialah apabila beliau turut bertanding sebagai wakil PAS dalam pilihanraya umum pada bulan Mei lalu tetapi tewas di tangan Datuk Hamzah Zainuddin di parlimen Larut.

Takziah diucapkan khususnya kepada ahli keluarga Allahyarham. Sama-samalah kita berdoa semoga roh Allahyarham sentiasa dalam peliharaan Allah hendaknya setiap masa.

Alfatihah ....



Friday, November 22, 2013

Seminar Wahyu Asas Tamadun




Pada 21 November (Khamis), telah berlangsung Seminar Wahyu Asas Tamadun (SWAT) peringkat antarabangsa kali ketiga untuk hari kedua. Seminar ini berlangsung selama dua hari di dewan utama, Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Saya telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja khas dengan tajuk “Pendidikan Alquran Golongan Berkeperluan Khas Isu Dan Cabaran”. Selain warga USIM, para peserta seminar terdiri daripada ahli akademik daripada beberapa buah universiti tempatan dan juga luar negara.



Bagi tujuan pembentangan, saya telah menyediakan 60 slide untuk dikongsikan dengan para peserta seminar. Tumpuan kertas kerja saya sudah tentulah pendidikan Alquran untuk golongan cacat penglihatan. Antara kandungan kertas kerja saya termasuklah sejarah dan latar belakang pendidikan Alquran Braille, isu dan cabarang yang mendepani pendidikan Alquran untuk golongan cacat penglihatan serta saranan dan cadangan untuk menghadapi cabaran sedemikian. Di samping itu, saya juga tidak lupa menyelitkan peranan dan sumbangan besar yang telah dlakukan oleh Cikgu Sulaiman Shafie (Allahyarham) dalam memartabatkan pendidikan Alquran untuk golongan cacat penglihatan.



Antara cabaran dan isu yang sempat saya ketengahkan dalam seminar berkenaan termasuklah:

  1. Kekurangan tenaga pengajar terlatih dalam bidang berkaitan di peringkat sekolah;
  2. Kursus dan latihan berkaitan Alquran Braille dan jawi Braille masih tidak diperkenalkan di peringkat IPG dan IPT , kecuali di USIM;
  3. Secara umumnya sokongan daripada pihak tertentu terhadap pendidikan Alquran untuk golongan berkeperluan khas masih di tahap kurang memuaskan
  4. Di sesetengah tempat, golongan sasar (cacat penglihatan) juga kurang memberi sambutan terhadap program pendidikan Alquran yang dirancang untuk mereka

Antara saranan yang sempat saya utarakan termasuklah:

  1. Pihak yang berkenaan harus menyediakan latihan yang sewajarnya kepada tenaga pengajar di peringkat sekolah supaya mereka mahir dengan Alquran Braille dan jawi Braille
  2. Pihak yang berkepentingan di negara ini seharusnya terdedah dengan perkembangan Alquran Braille di peringkat antarabangsa
  3. R&D yang berkaitan dengan Alquran Braille harus diperhebatkan bagi membuat penambahbaikan dalam kaedah pengajaran dan pendidikan untuk Alquran Braille
  4. Pihak yang berwajib juga harus menyediakan peluang masa depan yang lebih baik khususnya kepada lulusan tahfiz dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan seperti memberi peluang mereka untuk menjadi imam, bilal atau pegawai di masjid-masjid



Setelah hampir 6 tahun FPQS memperkenalkan kursus yang berkaitan dengan Braille, saya dapat merasakan banyak kemajuan yang telah dicapai. Hasil daripada kajian yang telah dilaksanakan di fakulti ini, beberapa persoalan tentang perkembangan Alquran Braille di negara ini sudah pun terjawab. Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa beberapa orang yang pernah menuntut di fakulti ini telah pun ditempatkan di beberapa sekolah yang mempunyai program pendidikan khas selaku guru. Di samping itu, saya turut berdoa dan amat berharap semoga suatu hari nanti, fakulti ini juga akan dapat melahirkan insan persis seperti Cikgu Sulaiman bin Shafie (Allahyarham).



Di sini, saya tidak lupa untuk mengucapkan bertanyak terima kasih kepada pihak penganjur di atas kesudian mereka untuk mengundang saya untuk berkongsi sedikit maklumat yang saya ada. Mudah-mudahan apa yang telah saya kongsikan itu sedikit sebanyak ada manfaatnya, insha-Allah.


Monday, November 18, 2013

PLSN Akan Dibubarkan



Persatuan Lepasan St. Nicholas (PLSN) merupakan salah sebuah badan bukan kerajaan yang melibatkan golongan yang cacat penglihatan. Ahli-ahli pertubuhan ini terdiri daripada mereka yang pernah mendapat pendidikan atau latihan di St. Nicholas Home, Pulau Pinang. Seingat saya pertubuhan ini memang sudah lama ditubuhkan. Banyak aktiviti telah dianjurkan oleh pertubuhan ini yang telah memberi manfaat kepada ahli-ahlinya. Secara peribadi, saya sendiri kurang akrab dengan pertubuhan ini. Maklumlah saya tidak pernah mendapat pendidikan atau latihan di St. Nicholas.

Perlu saya tegaskan di sini, PLSN bukan badan yang mentadbir St. Nicholas Home. Ia hanya merupakan sebuah pertubuhan yang mana keahliannya terdiri daripada mereka yang pernah mendapat pendidikan atau latihan di St. Nicholas Home. Mungkin ia setara dengan persatuan alumni.

Setelah bergerak sekian lama, PLSN telah menerima surat daripada pendaftar pertubuhan (ROS) bertarikh 11 November 2013 yang mengarahkan supaya PLSN dibubarkan dalam tempoh 30 hari (mungkin dari tarikh notis berkenaan dikeluarkan). Bagi mematuhi arahan daripada ROS, saya turut dimaklumkan satu mesyuarat agung akan diadakan dalam masa terdekat. Tujuan mesyuarat agung tersebut adalah untuk mengambil apa jua langkah yang sesuai ke arah pembubaran PLSN.

Salah seorang ahli PLSN turut melahirkan rasa dukacitanya di atas arahan pembubaran ini. Namun demikian, menurut beliau lagi, pada masa yang sama PLSN harus mematuhi arahan pembubaran daripada ROS. Justeru, langkah-langkah pembubaran yang selaras dengan undang-undang pertubuhan dan perlembagaan PLSN harus dilaksanakan seberapa segera yang boleh.

Pada hemat saya, perasaan dukacita sebegini turut dikongsi oleh hampir semua ahli PLSN. Maklumlah untuk menguruskan sebuah badan sukarela seperti PLSN bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan komitmen yang cukup tinggi. Bagi ahli-ahli yang setia dan sayangkan organisasi seperti PLSN, hakikat pembubaran sebegini memang sukar untuk diterima dan amat pahit untuk ditelan.

Adalah dipercayai bahawa pembubaran PLSN berpunca gara-gara tindakan seorang dua ahlinya sendiri yang telah bertindak umpama marahkan nyamuk habis kelambu dibakar. Tindakan jahat seperti ini sebenarnya telah menghancurkan hati majoriti ahli PLSN. Orang seperti ini memang gemar bertepuk tangan bila melihat orang lain sedih dan pilu. Kesusahan orang lain adalah keseronokan baginya. Saya sendiri pernah terbaca salah satu surat yang dihantar oleh golongan seperti ini yang ditujukan kepada PLSN yang mana kandungannya bernada rasis dan cukup memalukan sebagai orang Islam. Orang yang mempunyai sifat-sifat jahat seperti ini bukannya orang lain, dalam kalangan orang buta juga.

Mungkin ada orang akan berkata, bila PLSN dibubarkan, tubuhkan sahaja pertubuhan yang baru. Namun demikian, ramai yang tidak faham hakikat iaitu yang tumbuh tidak sama dengan yang telah patah dan yang berganti mungkin tidak sama dengan yang telah hilang.

Kepada ahli-ahli PLSN yang masih setia dan sayangkan pertubuhan anda, mungkin tiada jalan lain lagi selain daripada menerima realiti yang ada. Jadikan ini sebagai satu pengajaran yang sangat berguna bagi menguruskan apa juga pertubuhan pada masa-masa yang akan datang. Manakala kepada yang lain pula, peristiwa ini juga merupakan suatu iktibar yang cukup berguna untuk kita sama-sama teladani dan sempadani. Bukan semua orang bersifat ikhlas tatkala menertai mana-mana pertubuhan. Sebagai ahli, kita sepatutnya sekadar menjauhkan diri sahaja daripada persatuan dan aktivitinya bila kita tidak lagi sehaluan dengan barisan kepimpinan yang ada. Tindakan menghancurkan keseluruhan entiti persatuan kerana tidak lagi sehaluan dengan seorang dua pemimpinnya merupakan tindakan yang amat jahat, keji dan sangat tidak bertanggungjawab.

Hari ini kita buat aniaya pada orang, esok lusa balasan Tuhan pula yang akan menimpa kita.

Wednesday, October 23, 2013

Pemilihan Pucuk Pimpinan Tertinggi UMNO: Sekadar Coretan



19 Oktober yang lalu merupakan hari kemuncak kepada rentetan proses memilih barisan pucuk pimpinan dalam UMNO. Ia merupakan detik penting dalam sejarah UMNO itu sendiri. Ini merupakan pemilihan pertama dalaman UMNO era pasca pilihanraya umum ke-13. Apa yang pasti ialah seolah-olahnya menunjukkan bahawa keputusan pilihanraya umum bulan Mei lalu tidak begitu mempengaruhi keputusan pemilihan dalam UMNO kali ini. Walaupun pencapaian UMNO dalam pilihanraya umum berkenaan tidaklah sebagus mana tetapi rata-rata barisan kepimpinannya masih mampu mengekalkan statusquo yang sedia ada. Di sam ping itu, ada calon tertentu yang tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu tetapi masih diberikan kepercayaan dan peluang untuk menerajui salah satu sayap dalam UMNO.

Untuk dua jawatan teratas (presiden dan timbaan presiden), ia telah dimenangi oleh penyandang masing-masing tanpa pertandingan. Sama ada ia bersifat demokratik atau tidak, itu bukan persoalannya. Ini kerana sebahagian ahli UMNO telah bersetuju supaya kedua-dua kedudukan paling atas tidak dipertandingkan. Almaklumlah kalau tak setuju nanti dianggap menentang pula. Berdasarkan keputusan semalam, saya yakin statusquo menang tanpa bertanding ini bukanlah bersifat selama-lamanya. Akan tiba masa dan ketikanya kedudukan dua tempat teratas berkenaan akan dicabar juga, sama ada kedua-dua kedudukan berkenaan atau salah satu daripadanya. Lagipun mencabar kedudukan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan seperti ini tidak bertentangan dengan perlembagaan UMNO.

Untuk tiga kerusi naib presiden pula, nampaknya ketiga-tiga penyandang sebelum ini turut berjaya mengekalkan kedudukan masing-masing. Ketiga-tiga mereka merupakan ahli parlimen dan ada kedudukan dalam kerajaan iaitu berstatus menteri. Ini mungkin merupakan isyarat daripada akar umbi bahawa hanya pemimpin yang sedia ada sahaja yang masih berkeupayaan dan yang harus diberikan kepercayaan untuk menerajui UMNO. Lebih jauh lagi, para pemilih juga menyandarkan harapan tinggi supaya ketiga-tiga naib presiden dapat memacu UMNO ke satu anjakan yang setara dengan tuntutan massa.



Manakala kekalahan Tan Sri Mohd Isa dan Datuk Seri Mohd Ali Rostam pula sudah dijangka lebih awal. Datuk Seri Mohd Ali baru sahaja kalah di parlimen Bukit Katil dan tiada pula jawatan dalam kerajaan. Apabila beliau tewas pula untuk merebut salah satu kerusi naib presiden, maka apa yang menimpa beliau bolehlah diibaratkan bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Hanya Datuk Seri Mohd Ali sahaja yang tahu sakit atau tidaknya. Adakalanya orang politik sukar untuk menokhtahkan kerjaya politiknya. Adakah laluan politik yang semakin menurun yang sedang dilalui oleh Datuk Seri Mohd Ali akan membuatkan beliau mula berfikir untuk bersara dari politik?



Manakala Tan Sri Mohd Isa pula walaupun merupakan ahli parlimen Jempul dan pengerusi FELDA, tetapi beliau juga tidak ada kedudukan dalam kerajaan. Lagipun, kesilapan lamanya dalam UMNO mungkin masih menjadi igauan kepada sebahagian pemilih. Ini mungkin juga isyarat daripada sebilangan ahli UMNO yang tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Percubaan kali pertama Datuk Mukhriz Tun Mahathir untuk menduduki salah satu kerusi naib presiden gagal mungkin disebabkan pengaruh ketiga-tiga penyandang kerusi naib presiden masih kuat. Lagipun masih ada yang mengemukakan teori bahawa populariti politik Datuk Mukhriz masih lagi dibayangi oleh nama dan pengaruh bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun begitu Datuk Mukhriz tidak seharusnya berputus asa kerana sekali gagal ia bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Lagipun, saya berkeyakinan bahawa beliau akan diberi tempat sebagai salah seorang daripada 10 (kalau saya tidak silap) tempat sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO yang akan dilantik oleh presiden nanti.



Selepas ini Datuk Mukhriz harus mencari identiti sendiri. Beliau tidak boleh lagi hanya bergantung kepada populariti pengaruh dan nama bapanya semata-mata. Oleh kerana pilihanraya kecil DUN Sungai Limau semakin hampir, maka tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa kegagalan Datuk Mukhriz untuk menduduki salah satu kerusi naib presiden UMNO boleh memberi kesan kepada jentera BN untuk pilihanraya kecil berkenaan.

Namun begitu kegagalan Datuk Mukhriz untuk merebut kerusi naib presiden perlu juga dilihat dari sudut yang lain. Mungkin orang yang paling kecewa di atas kegagalan Datuk Mukhriz ialah bapanya sendiri, Tun Mahathir. Kegagalan Datuk Mukhriz kali ini telah membantutkan usaha atau rancangan untuk melonjakkan kedudukan Datuk Mukhriz sendiri ke aras yang lebih tinggi. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa kegagalan Datuk Mukhriz kali ini merupakan kekalahan moral kali kedua kepada Tun Mahathir. Kalau kita masih ingat, beberapa tahun lalu Datuk Mukhriz juga gagal untuk menewaskan Khairy Jamaludin dalam perebutan kedudukan sebagai ketua sayap pemuda. Kali ini Datuk Mukhriz sekali lagi gagal untuk menempatkan dirinya pada salah satu kerusi naib presiden. Moralnya ialah, sebilangan ahli UMNO sendiri enggan menerima peralihan teraju kepimpinan dalam parti berkenaan yang bercorak warisan.

Dalam sejarah perjalanan UMNO kerusi naib presiden amat penting kerana ia merupakan kedudukan paling strategik untuk meninjau kerusi timbalan presiden dan kerusi presiden dengan lebih jelas lagi. Kepedihan gara-gara kekalahan moral kali ini semakin dirasai oleh Tun Mahathir bilamana Khairy Jamaludin berjaya pula untuk mempertahankan kedudukan selaku ketua pemuda UMNO dengan kemenangan yang cukup bergaya.

Untuk sayap pemuda UMNO pula, kemenangan Khairy Jamaludin turut sudah diramal lebih awal oleh sebilangan penganalisis politik. Ini memandangkan para pencabarnya tidak berkesempatan untuk menunjukkan bakat mereka khususnya dalam politik. Apatah lagi para pencabar beliau merupakan orang yang masih baru dalam politik. Mereka pula tiada jawatan dalam kerajaan. Sepatutnya para pencabar Khairy perlu mengambil iktibar daripada kekalahan Datuk Mukhriz beberapa tahun lalu dalam perebutan jawatan ketua pemuda UMNO.

Beberapa kelebihan yang sememangnya sudah dimiliki Khairy turut membantu kemenangan beliau untuk mempertahankan kerusi ketua pemuda UMNO. Beliau merupakan seorang menteri kabinet. Beliau juga telah membuktikan kesetiaannya yang tulen kepada UMNO. Beliau juga kini lebih bersikap terbuka sama ada kepada kawan mahupun kepada lawan. Inilah yang dikatakan kematangan dalam berpolitik. Keistimewaan seperti ini juga jarang dimiliki oleh sebilangan pemimpin dalam kalangan generasi tua dalam UMNO. Di samping itu, Khairy juga mula menunjukkan kemampuannya dalam mentadbir kementerian yang dikepalainya. Beliau dikatakan punya wawasan yang jelas dalam memacu golongan belia ke arah yang lebih berfokus. Selain itu, wawasannya dalam merancakkan program memajukan sukan juga semakin menyerlah. Saya berpendapat, untuk pemilihan yang akan datang (2016) Khairy sudah boleh membuat persediaan untuk menduduki salah satu kerusi naib presiden UMNO.



Dari aspek yang lain pula, kemenangan Khairy agaknya turut menceriakan bapa mertuanya. Maka berlakulah dua reaksi yang berbeza daripada dua orang mantan presiden UMNO, yang seorang marah-marah, manakala yang seorang lagi tersenyum-senyum.



Bagi sayap wanita UMNO pula, kemenangan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menunjukkan bahawa apa yang beliau alami selama ini langsung tidak mencacatcelakan sokongan golongan wanita dalam UMNO kepada beliau. Bahkan kelakuannya yang telah menyingsing lengan dalam mesyuarat perwakilan wanita UMNO beberapa tahun lalu mungkin dianggap suatu keberanian yang tiada taranya khasnya oleh golongan wanita dalam UMNO. Justeru tidak menghairankan bilamana golongan wanita dalam UMNO masih menaruh kepercayaan besar kepada Datuk Seri Shahrizat untuk memimpin sayap wanita bagi jangka masa beberapa tahun lagi. Beberapa isu yang terpalit kepada beliau selama ini sama sekali tidak mempengaruhi undi para pemilih UMNO. Kehebatan beliau dalam mempertahankan kerusi ketua wanita UMNO juga turut terserlah. Beliau sememangnya tiada sebarang jawatan dalam kerajaan. Hanya berstatus mantan menteri sahaja. Beliau juga tidak bertanding dalam pilihanraya umum yang lalu. Keupayaan beliau dalam mempertahankan kedudukannya selaku ketua wanita UMNO dalam situasi sedemikian cukup mengkagumkan.

Mungkin apa yang diharapkan oleh para ahli UMNO peringkat akar umbi ialah perubahan kepada UMNO itu sendiri. UMNO harus berubah agar sentiasa relevan dengan kehendak semasa. Para pemimpin atasan UMNO seharusnya lebih terbuka untuk mendengar pandangan golongan muda dalam UMNO. Itu yang sepatutnya berlaku dan dilakukan.

Walau bagaimanapun, berdasarkan barisan kepimpinan yang baru sahaja terpilih, sasaran perubahan yang diharapkan mungkin sukar untuk dicapai. Untuk menuju ke arah perubahan yang hakiki, beberapa masalah utama yang sedang menunjangi parti tersebut harus diselesaikan secara total. Amalan politik wang dikatakan masih belum reda. Perbuatan menikam dari belakang masih berleluasa. Penguasaan keturunan golongan bangsawan juga tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan. Kejayaan mengekalkan statusquo yang ada bermakna kesukaran melakukan anjakan perubahan yang lebih relevan.

Sama ada kita suka atau tidak, hakikatnya apa yang berlaku dalam UMNO tetap mempunyai implikasi terhadap negara kita secara keseluruhannya. Maka itulah tidak menghairankan bilamana pemilihan pucuk pimpinan UMNO baru-baru ini diperhatikan dari dalam dan diintai dari luar.

Thursday, October 17, 2013

PERTIS Dan Al-Tasneem


Pada 28 September yang lalu, pen pembaca Alquran untuk golongan cacat penglihatan telah diperkenalkan. Semenjak itu, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Di samping itu, pelbagai maklum balas turut diterima khususnya daripada mereka yang telah membeli set pen berkenaan. Secara umumnya, maklum balas berkenaan lebih tertumpu kepada saranan ke arah penambahbaikan penggunaan pen itu sendiri. Ada juga kalangan pengguna yang sanggup online menerusi telefon sekitar setengah jam lamanya hanya semata-mata untuk sesi pengajaran bagi kaedah penggunaan yang betul. Demikianlah antara rencah-rencah sambutan yang telah diterima daripada kalangan penggunanya setakat ini.



Oleh kerana hangatnya sambutan daripada golongan sasar, ada di antara mereka yang sanggup pergi sendiri ke pejabat Altasneem di Taman Melati Utama untuk pelbagai tujuan. Ada yang datang untuk menukar pen yang rosak. Ada yang datang untuk mengemukakan pelbagai saranan untuk memantapkan lagi aplikasi pada pen berkenaan. Ada juga yang datang dengan menyarankan supaya kegunaan pen berkenaan diperluaskan lagi dan tidak hanya terhad kepada sebagai pembaca alquran sahaja.

Untuk melancarkan lagi promosi pen berkenaan, maka baru-baru ini satu pertemuan telah diadakan di antara pihak PERTIS dan Altasneem. Tujuan utama perbincangan tersebut ialah untuk mencari kaedah bagi memenuhi saranan yang telah diutarakan oleh pengguna pen berkenaan. Ini membuktikan bahawa Altasneem tidak mendengar segala saranan yang diutarakan dengan sebelah telinga sahaja. Apabila sesuatu saranan dikemukakan, maka kesesuaian pelaksanaannya perlu dihalusi bagi kepentingan kedua-dua pihak, yang memberi saranan dan juga yang akan melaksanakan saranan berkenaan. Demikianlah.

Antara yang telah diputuskan menerusi perbincangan tersebut ialah, pihak Altasneem bersetuju untuk mengadakan satu lagi sesi sebagaimana yang telah dianjurkan pada 28 September yang lalu. Tujuan utama sesi kali ini ialah untuk mendengar sendiri maklum balas daripada mereka yang telah menggunakan pen berkenaan. Berdasarkan pengalaman pada sesi lepas, pihak Altasneem juga telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada tunjuk ajar bagi kaedah penggunaan yang betul khusus kepada mereka yang telah membeli set pen berkenaan.

Walau bagaimanapun, tarikh untuk sesi kali kedua ini belum ditetapkan lagi. Kedua-dua pihak (PERTIS dan Altasneem) bersetuju untuk menganjurkan sesi berkenaan secepat yang boleh. Kedua-dua pihak juga bersetuju iaitu jika segalanya berjalan lancar, sesi kedua kali ini juga akan diadakan di tempat yang sama sebagaimana sesi yang lepas.

Selain itu, kedua-dua pihak juga secara umumnya turut bersetuju untuk memilih Kuala Terengganu sebagai lokasi pertama untuk sesi promosi ini diadakan di luar Lembah Kelang. Ini memandangkan permintaan yang tinggi yang telah diterima khususnya daripada ahli-ahli PERTIS Terengganu. Menurut rancangan, sesi ini akan diadakan pada separuh kedua bulan November nanti, insha-Allah.

Di samping itu, pihak Altasneem juga bersetuju untuk mencari jalan dan kaedah bagi membolehkan mereka yang berpenglihatan terhad (rabun) untuk akses kepada Alquran bertulisan biasa yang disertai dengan pen pembaca Alquran. Antara cadangan yang telah diketengahkan ialah dengan membesarkan tulisan pada Alquran berkenaan. Ia mungkin akan menyebabkan berlaku sedikit kenaikan kos. Kepada mereka yang berkepentingan dengan kaedah ini juga boleh hadir pada sesi pertemuan kali kedua nanti dan seterusnya mengajukan sendiri cadangan sebegini kepada pihak Altasneem.

Perlu saya tegaskan di sini bahawa peranan saya dan juga PERTIS dalam mengenengahkan beberapa inovasi yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan seperti pen pembaca Alquran dan juga panel E-Braille Teaching Aid amatlah kecil. Kami tidak terlibat secara aktif sebagai kumpulan penyelidik. Apa yang kami buat hanya sekadar memberi nasihat dan pandangan khususnya yang berhubung dengan aspek Braille itu sendiri. Ia adalah untuk kepentingan kumpulan penggunanya iaitu golongan yang cacat penglihatan. Jadi tidak perlulah ada mana-mana pihak yang cuba menabur tohmah kononnya melalui projek-projek seperti ini saya telah mengaut keuntungan peribadi. Jika segala fakta dan data diketengahkan, kelak individu yang menabur tohmah itu juga yang menanggung malu.

Kalau tak mahu ingat pada Quran dan hadith, ingat-ingatlah pada pesan orang tua-tua, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan celaka!!!

Sunday, October 13, 2013

Salam Aidil Adha 1434 Hijrah



Jika diizinkan Allah, pada 15 Oktober 2013 ini (10 Zulhijjah), seluruh umat Islam di Malaysia akan menyambut hari raya aidil adha 1434 Hijrah. Selain di negara kita, kebanyakan umat Islam di negara-negara lain juga akan menyambut perayaan aidil adha pada tarikh yang sama. Sementelahan pula, hari wuquf (9 Zulhijjah) jatuh pada 14 Oktober.



Ibadah Haji merupakan rukun kelima dalam senarai rukun Islam. Mereka yang berkemampuan diwajibkan mengerjakan haji sekali seumur hidup. pada setiap musim haji, umat Islam dari seluruh pelusuk dunia akan berhimpun di Makkah untuk melaksanakan ibadah-ibadah tertentu. Ini merupakan perhimpunan terbesar manusia di peringkat antarabangsa. Kemuncak kepada perhimpunan tersebut ialah apabila para jemaah haji berhimpun di tempat yang sama iaitu di padang Arafah pada tarikh yang sama iaitu pada 9 Zulhijjah. Inilah yang dikatakan wuquf.



Wuquf di Arafah merupakan salah satu daripada rukun haji. Pada 9 zulhijjah, seluruh umat Islam yang sedang mengerjakan haji di Makkah akan bergerak ke Arafah untuk berwuquf. Mana-mana jemaah haji yang gagal berwuquf maka luputlah ibadah hajinya. Setelah selesai wuquf, para jemaah haji akan mula bergerak ke Muzdalifah dan seterusnya akan ke Mina untuk ibadah seterusnya. Kesemua peristiwa ini hanya berlaku di Makkah sahaja. Tidak mungkin akan berlaku di tempat lain.

Satu lagi ibadah yang punya kaitan rapat dengan musim haji ialah ibadah qurban. Ibadah ini boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja. Waktu untuk melaksanakan ibadah ini ialah bermula selepas solat sunat aidil adha hingga habis waktu asar hari tashrik ketiga (13 Zulhijjah). Sesiapa yang berkemampuan disunatkan untuk melaksanakan ibadah qurban. Fadhilatnya memang besar dan banyak. Tahukah kita bahawa Nabi Muhammad S.A.W. merupakan titisan zuriat yang diselamatkan Allah daripada dua peristiwa qurban?



Satu lagi kelebihan yang ada pada bulan Zulhijjah ialah di mana terdapat 4 hari berturut-turut di mana umat Islam diharamkan berpuasa pada hari-hari berkenaan. Hari-hari yang dimaksudkan ialah pada 10 Zulhijjah (hari raya aidil adha) dan diikuti 3 hari selepasnya yang juga dikenali sebagai hari tashrik.

Bersempena dengan perayaan aidil adha tahun 1434 ini, saya mengucapkan selamat menyambut hari raya aidil adha kepada seluruh umat Islam di mana jua anda berada. Ucapan yang sama juga saya tujukan kepada seluruh ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di seluruh negara. Pada masa sama, marilah kita sama-sama memanjatkan doa ke hadhrat Ilahi semoga semua umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah haji di Makkah akan selamat dan akan mendapat haji yang mabrur.


Monday, October 7, 2013

Menghadiri Ceramah Mengenai Ibadah Qurban Anjuran PERTIS



Pada 6 Oktober 2013 (Ahad) yang lalu, saya berkesempatan menghadiri majlis ceramah mengenai ibadah qurban. Ia adalah anjuran Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) pusat. Majlis berkenaan telah diadakan di dewan utama, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.



Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Zamzuri. Kemudian ia telah diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Alquran oleh Nurfarihan Ahmad Zaini.



Penceramah jemputan ialah Ustaz Mashadi. Beliau merupakan seorang penceramah bebas. Beliau pernah berkhidmat dalam pasukan polis Diraja Malaysia selama sekitar 15 tahun. Kini beliau merupakan pendakwah bebas sepenuh masa.



Banyak juga ilmu yang telah beliau kongsikan bersama-sama hadirin. Ia berkisar di sekitar ibadah qurban dan juga sambutan perayaan aidil adha. Selain itu, penceramah juga tidak keberatan untuk menjawab beberapa soalan yang telah ditanyakan oleh beberapa orang yang hadir. Rata-rata sambutan daripada hadirin memuaskan.



Setelah selesai ceramah, majlis telah disisipkan dengan penyampaian pen pembaca Alquran secara percuma kepada 5 orang penerima yang telah terpilih. Selain itu, sumbangan ini juga turut dipanjangkan kepada individu yang telah berjasa besar dalam memartabatkan Alquran Braille khususnya di peringkat PERTIS sendiri. Antara kriteria pemilihan penerima ialah mereka yang terlibat secara aktif dalam kelas Alquran Braille anjuran PERTIS sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri. Kelima-lima penerima berkenaan ialah:



1. Tn. Hj. Muhammad Lee bin Abdullah.



2. En. Mohd Amin bin Md Nor.
3. En. Mohd Khairi bin Sulaiman.



4. Ustaz Sharif bin Baharom.



5. En. Samsudin bin Abdul Wahab (PERTIS Terengganu).

Dalam majlis berkenaan juga, En. Khairi dan Ustaz Sharif telah diwakili oleh Saudara Akmal Azhar yang menerimanya bagi pihak kedua-dua penerima berkenaan. Manakala Cik Lele Suyarni pula telah menerima bagi pihak En. Samsudin Wahab.



Dari segi sambutan dan kehadiran pula, menurut anggaran saksi mata, sekitar 80 orang telah menghadiri majlis berkenaan. Mudah-mudahan apa yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan akan benar-benar memberi manfaat khususnya kepada yang hadir. Manakala mereka yang telah hadir pula, sebaik-baiknya hendaklah menyampaikan pula apa yang didengar kepada orang lain yang tidak hadir dalam majlis berkenaan. Barulah berpanjangan barakah ilmu yang kita dapat.



Bagi pihak PERTIS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras menjayakan majlis ceramah berkenaan. Ia termasuklah pengacara majlis, qariah, AJK yang hadir serta mereka yang telah menghulurkan bantuan secara sukarela dalam apa jua bentuk.

Terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada mereka yang telah melapangkan masa untuk hadir ke majlis berkenaan. Untuk ke sekian kalinya saya ingin nyatakan bahawa tanpa sokongan daripada kalian sudah tentulah majlis berkenaan tidak bermakna. Sesungguhnya keutuhan persatuan kita amat bergantung kepada kesepaduan di antara ahlinya dengan AJK yang sedang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan persatuan ini.

Tuesday, October 1, 2013

Selamat Menduduki PMR



Mulai 2 Oktober, semua murid tingkatan 3 seluruh negara akan mula menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Peperiksaan ini akan berlangsung sekitar dua minggu lamanya.



Kepada semua murid yang bakal terlibat dengan PMR di seluruh negara, khususnya murid di sekolah tempat saya sedang bertugas, saya ucapkan selamat menempuh peperiksaan tersebut. Saya yakin, semua murid sudah membuat persediaan rapi untuk menghadapi peperiksaan berkenaan. Pesanan dan taklimat daripada semua guru yang terbabit juga sudah dilaksanakan. Kini terserah sepenuhnya kepada murid itu sendiri untuk meraih bentuk kejayaan yang diidamkan. Saya juga yakin, para ibu bapa yang terlibat juga sudah membuat persediaan rapi bagi memastikan anak-anak mereka dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan bersemangat.



Kepada semua murid, saya mendoakan semoga kalian akan beroleh kejayaan yang cemerlang kelak.

Sunday, September 29, 2013

Berita Malam

Samsudin Wahab Masuk Hospital

Hari ini Samsudin Wahab telah masuk wad untuk kali kedua pada bulan ini (kalau saya tidak silap). Beliau telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu. Ada pun sebab beliau dimasukkan ke wad ialah untuk menjalani rawatan kimo gara-gara penyakit kanser yang dihadapinya.

(Samsudin dengan salah seorang anaknya)


Kepaada Samsudin, bersabarlah banyak-banyak di atas ujian Allah ini. Sesungguhnya penyakit itu dari Dia juga datangnya ia. Jadi Allah sahaja lah sebenarnya yang maha berkuasa untuk menyembuhkannya.

Saya juga amat berharap semoga isteri dan anak-anaknya juga akan tabah dan banyak bersabar. Kita semua sentiasa mendoakan agar Samsudin akan sihat seperti sediakala kelak.

Marilah kita bersama-sama berdoa semoga sahabat senasib kita ini akan sembuh daripada penyakit yang sedang beliau hidapi.



Sesi Promosi Pen Pembaca Alquran Untuk Golongan Cacat Penglihatan




Pada 28 September 2013 (Sabtu), satu sesi untuk mempromosikan pen yang boleh digunakan oleh mereka yang cacat penglihatan untuk mendengar bacaan Alquran telah diadakan. Sesi berkenaan telah berlangsung di Lecture Room, tingkat 2, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Sesi berkenaan telah berjalan sekitar 3 jam di sebelah petang. Sesi berkenaan telah dianjurkan oleh Syarikat Altasneem Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).



Saya telah tiba ke lokasi majlis agak lewat sedikit iaitu pada jam 3.15 petang. Ini adalah kerana sebelumnya saya berada di sekolah kerana ada sekolah ganti.



Pada pendengaran saya, bilangan pengunjung yang hadir untuk sesi berkenaan memang memuaskan. Menerusi sesi tersebut, golongan sasar telah didedahkan kegunaan pen pembaca Alquran yang dibuat khusus untuk mereka yang cacat penglihatan. Di samping itu, para pengunjung juga boleh membeli terus pen berkenaan. Menurut maklum balas yang saya perolehi, ramai juga pengunjung yang telah membeli atau menempah pen berkenaan.



Saya telah bertemu dengan sekurang-kurangnya dua pengunjung dari luar Kuala Lumpur yang datang semata-mata untuk menyaksikan dari dekat sesi promosi ini. Seorang dari Terengganu dan yang seorang lagi datang dari Kuantan. Kepada kedua-dua pengunjung berkenaan, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan.



Untuk menjayakan lagi majlis berkenaan, beberapa orang kakitangan Altasneem telah memberi penerangan serta tunjuk ajar kepada para hadirin secara individu. Maklumlah penerangan secara umum tidak mungkin memberi kesan yang sesuai khasnya kepada golongan sasar. Jika ada mana-mana pengunjung yang tidak sempat dilayan dengan sempurna, saya bagi pihak penganjur mohon berbanyak maaf.

Kepada mereka yang telah membeli pen berkenaan, kami juga amat mengharapkan maklum balas daripada anda semua mengenai penggunaan pen berkenaan. Kami juga amat mengharapkan saranan atau cadangan ke arah penambahbaikan pen berkenaan agar ia benar-benar dapat dimanfaatkan oleh golongan sasar. Semua pandangan boleh disalurkan terus kepada PERTIS atau kepada Altasneem.

Di sini juga, saya tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada individu yang telah menaja 3 set pen berkenaan untuk diagihkan kepada 3 ahli PERTIS yang difikirkan sesuai untuk menerimanya. Terima kasih juga saya tujukan kepada semua pengunjung yang telah sudi mengunjungi sesi promosi berkenaan dan menyaksikan sendiri kegunaan pen berkenaan. Mudah-mudahan ia akan menjadi salah satu saluran pilihan untuk kita mengakrabkan diri dengan Alquran.



Selepas ini, bagi mereka yang ingin mendapatkan pen berkenaan ia boleh ditempah sama ada menerusi PERTIS ataupun menerusi Altasneem Malaysia Sdn Bhd. Pada masa sama, Altasneem juga merancang untuk menganjurkan satu lagi sesi yang serupa dalam masa terdekat. Tarikh dan masa sesi berkenaan akan dimaklumkan nanti. Demikian saya dimaklumkan sendiri oleh pengarah urusan Altasneem Malaysia Sdn Bhd.



Sebenarnya, orang yang mula-mula telah memperkenalkan PERTIS kepada Altasneem Malaysia Sdn Bhd ialah Cikgu Ahmad Bustamam beberapa tahun yang lalu. Dari situlah terjalinnya kerjasama antara kedua-dua pihak hingga sekarang. Mudah-mudahan juga kerjasama seumpama ini akan berterusan selagi ada bulan dan matahari, insha-Allah.

Wednesday, September 25, 2013

Sejarah Alquran Braille Sudah Dibukukan



Selama ini, maklumat mengenai perkembangan Alquran Braille di negara kita hanya tersimpan dalam pengetahuan individu-individu tertentu. Ia juga tersimpan menerusi pengalaman murid cacat penglihatan yang pernah belajar Alquran Braille di SKPK Princess Elizabeth di Johor Baru. Manakala SKPK Princess Elizabeth pula merupakan sekolah dan tempat di mana pembelajaran mengenai Alquran Braille di negara kita telah bermula di peringkat awal. Pembelajaran Alquran Braille di sekolah tersebut terus berjalan hingga ke hari ini. Maknanya sudah 65 tahun pembelajaran Alquran Braille dilaksanakan di SKPK Princess Elizabeth.

Kalau ada pun tulisan mengenai sejarah dan perkembangan Alquran Braille di Malaysia, ia hanyalah penulisan kecil-kecilan sahaja. Antara persoalan yang sukar dijawab selama ini ialah bagaimana Alquran Braille boleh sampai ke Tanah Melayu pada dekad 50-an lalu. Jawapan yang dikemukakan selama ini hanya bersandarkan kepada teori semata-mata. Dengan erti kata lain, selama ini tiada sebarang usaha dibuat untuk mengkaji mengenai sejarah Alquran Braille di negara ini secara ilmiah.

(Dr. Mustaqim bersama bekas Naib Canselor USIM dalam satu majlis pada 12 Mac 2012)


Akhirnya, dengan izin dari Allah jua, dan dengan berkat usaha yang tidak mengenal jemu, sebuah buku mengenai sejarah dan kaedah Alquran Braille di Malaysia telah berjaya dihasilkan. Orang yang telah mengambil inisiatif untuk membuat kajian ilmiah mengenai Alquran Braille di Malaysia sehingga terhasilnya buku berkenaan ialah Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif. Beliau juga merupakan salah seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Antara Keistimewaan yang ada pada Prof. Madya Dr. Mustaqim ialah, beliau seorang yang berpenglihatan. Beliau sememangnya berkemahiran dalam membaca dan menulis tulisan Arab Braille dan Alquran Braille. Oleh kerana kagum dengan kemahiran beliau dalam membaca Alquran Braille, beliau telah diberikan senaskah Alquran Braille secara percuma (mungkin sebagai hadiah) sewaktu beliau berada di Jordan. Selain itu, beliau juga sememangnya berkemahiran dalam bahasa Arab dan Inggeris. Ini telah memberi kelebihan untuk beliau meluaskan lagi sumber untuk kajian beliau mengenai Alquran Braille. Beliau adalah orang yang telah memberi maklumat kepada saya mengenai fatwa tentang Alquran Braille yang dikeluarkan oleh beberapa negara Arab. Beliau juga seorang yang amat gigih ketika mendalami tulisan Arab Braille. Oleh kerana beliau juga mahir dengan bahasa Arab, maka beliaulah yang telah dapat membaca dan seterusnya meneliti fatwa mengenai Alquran Braille yang ditulis dalam tulisan Arab Braille tanpa baris sebagaimana yang terdapat dalam Alquran Braille keluaran negara Mesir yang ada dalam simpanan Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).



Secara ringkasnya, tajuk buku ini ialah “BRAILLE ALQURAN Sejarah dan Kaedah”. Ia mengandungi 176 halaman tidak termasuk indeks dan prakata. Buku ini telah diterbitkan oleh penerbit USIM tahun 2013. Buku ini terbahagi pula kepada 6 bab seperti berikut:

Bab 1: Tulisan Berasaskan Sentuhan: Sejarah Dan Perkembangannya.
Bab 2: Sistem Braille: Struktur, Pengelasan dan Transkripsi.
Bab 3: Sejarah Braille Alquran Di Malaysia.
Bab 4: Alquran Braille PERTIS: Struktur dan Metode.
Bab 5: Kod Braille Wasilah Bacaan Alquran: Struktur dan Metode.
Bab 6: Sejarah dan Metode Penulisan Alquran Braille Di Negara Islam Lain.

Dengan membaca buku ini, banyak maklumat penting dan menarik dapat kita perolehi. Antaranya, orang yang mula-mula memperkenalkan tulisan Arab Braille bernama Lovel, seorang Kristian. Ini bermakna, dalam konteks Braille, Bible Braille telah dihasilkan lebih dahulu daripada Alquran Braille. Semua perkembangan ini telah berlaku di timur tengah.

Di negara kita pula, Major D.R. Bridges pernah mewakili Tanah Melayu dalam persidangan mengenai Alquran Braille peringkat antarabangsa. Beliaulah yang telah membawa balik ke Tanah Melayu beberapa naskah Alquran Braille yang kemudiannya telah ditempatkan di beberapa institusi yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan seperti di Princess Elizabeth School (PES).

Sebenarnya banyak lagi fakta menarik yang dapat diperolehi jika kita membaca lebih lanjut buku ini. Oleh itu, selepas ini, marilah kita sama-sama dapatkan buku ini untuk menambah lagi khazanah maklumat mengenai perkembangan dan sejarah Alquran Braille di negara kita. Dengan mengetahui sejahnya kita tidak lagi membuat keputusan silap khasnya mengenai penulisan, penggunaan, pengajaran dan pembelajaran Alquran Braille.



Pada masa sama, saya juga tidak menafikan bahawa kandungan yang dipaparkan dalam buku ini bukanlah bersifat muktamad. Namun demikian, saya amat yakin buku ini berpotensi besar untuk merintis lebih banyak lagi kajian dan penyelidikan ilmiah mengenai Alquran Braille pada masa-masa yang akan datang.

Kepada Prof. Madya Dr. Mustaqim, setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih saya ucapkan. Walaupun Prof. seorang yang berpenglihatan, minat, kemahiran serta pengetahuan tinggi dan mendalam yang Prof. miliki mengenai Alquran Braille amat mengkagumkan saya. Saya dapat merasakan, apabila golongan yang cacat penglihatan membaca buku ini, mereka juga turut sama akan berterima kasih dan kagum dengan apa yang Prof. telah sumbangkan.

Semoga Allah memberkati dan merahmati penulis buku ini dari dunia sampai akhirat.


Saturday, September 21, 2013

Fountain Yang Sunyi



Antara isu yang hangat diperkatakan pada tahun lepas dalam kalangan golongan cacat penglihatan khususnya di sekitar Lembah Kelang ialah berkenaan projek pembinaan fountain di perkarangan hadapan kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB). Rata-rata golongan tersebut tidak bersetuju dengan pembinaan fountain tersebut. Pelbagai alasan dan sebab telah diutarakan bagi menyatakan bantahan terhadap projek pembinaan fountain berkenaan. Namun begitu, oleh kerana golongan cacat penglihatan bukannya pemilik dan pentadbir sebenar MAB, maka suara bantahan mereka tak ubah bagai anjing menyalak bukit sahaja. Salaklah sekuat mana pun, ia langsung tidak memberi bekas kepada bukit yang disalak.

(foto ini diambil pada 9 September 2012).


Hari ini, setelah sekitar setahun kisah pembinaan fountain berkenaan berlalu, keadaan sudah berubah. Ada kelainan pada fountain berkenaan. Terdapat perbezaan yang ketara pada fountain berkenaan antara tahun lepas dengan situasi terkininya sekarang.

Dalam bulan Ogos dan September tahun ini, saya telah beberapa kali ke bangunan Kompleks MAB di Brickfields, Kuala Lumpur. Satu kelainan yang saya terperasan jika dibandingkan dengan kunjungan saya sebelum ini ialah di mana air pancut yang terletak di halaman hadapan kompleks tersebut tidak lagi berbunyi. Ini bermakna ia tidak lagi berfungsi. Apa sudah jadi dengan air pancut tersebut? Nak kata musim kemarau, rasanya tidak. Lagi pun, hujan turun pada hari yang berselang. Hendak kata kompleks MAB tak ada air, tidak juga kerana di bilik airnya air akan membuak keluar bila paip dibuka. Pada hemat saya, kesunyian yang sedang melanda air pancut di perkarangan MAB bukan sahaja menimbulkan persoalan pada diri saya, sudah tentu ia turut menimbulkan persoalan yang sama kepada ramai golongan cacat penglihatan.



Mulanya saya sangka air pancut berkenaan dihentikan bila hari cuti. Ia mungkin dilaksanakan untuk tujuan penjimatan. Maklumlah minyak pun sudah naik 20 sen seliter. Menurut salah seorang kakitangan MAB sendiri, pada hari-hari bekerja pun ia tidak lagi berfungsi. Adakah air pancut berkenaan tidak lagi berfungsi untuk selama-lamanya? Sewaktu MAB menganjurkan jamuan besar pada 8 September 2013 yang lalu, air pancutnya berfungsi atau tidak? Ada ke yang tahu jawapannya? Yang Mulia Tengku Presiden tahu ke sejarah air pancut berkenaan?

Kalau diperhatikan pemandangan di sekitar air pancut berkenaan, seolah-olahnya ia tidak lagi dijaga dengan sempurna. Pemandangannya malap dan layu. Si buta tidak lagi dapat mendengar bunyi pancutan airnya. Manakala si celik pula tidak lagi dapat menikmati kecantikan pemandangan yang terhasil oleh pancutan air berkenaan. Dengan erti kata lain, tujuan asal pembinaan air pancut tersebut sudah tersasar berdarjah-darjah.



Masih segar dalam ingatan saya, tahun lepas air pancut berkenaan telah mendapat perhatian daripada ramai orang terutamanya daripada golongan cacat penglihatan sendiri. Rata-rata golongan tersebut tidak bersetuju dengan pembinaan air pancut berkenaan. Bagi golongan tersebut, pembinaannya tiada manfaat khususnya untuk mereka yang tidak berpenglihatan. Selanjutnya mereka mendakwa pembinaannya bersifat membazir sahaja. Hakikatnya bunyi air pancut berkenaan langsung tidak memberi sebarang makna dan tanda kepada golongan yang tidak berpenglihatan.

Manakala pihak yang berkaitan pula telah mengenengahkan beberapa alasan untuk memunasabahkan projek air pancut berkenaan. Kononnya bunyi air pancut berkenaan boleh dijadikan semacam mercu tanda kepada golongan yang cacat penglihatan untuk memudahkan mereka mengetahui lokasi kompleks MAB. Yang hairannya, pihak yang membuat dakwaan sedemikian ialah mereka yang berpenglihatan. Mengapa puak berkenaan suka memandai-mandai?

Pada masa yang sama, bunyi monorel dan hon kenderaan awam di sekitar kompleks MAB jauh lebih kuat daripada bunyi air pancut itu sendiri. Maknanya sejak dari awal lagi sudah dikenal pasti bahawa kehadiran serta bunyi air pancut berkenaan langsung tidak mendatangkan sebarang manfaat khususnya kepada golongan yang cacat penglihatan. Mengapa pembinaan projek yang tidak mendatangkan manfaat itu diteruskan di dalam kompleks yang menggunakan nama orang buta?

Apabila air pancut berkenaan tidak lagi berfungsi, ini bermakna pembinaannya sudah jadi projek gajah putih. Berapa banyak wang sudah dihabiskan oleh pihak yang berkenaan untuk membina air pancut berkenaan? Atas nama siapa wang itu dicari? Siapa pula yang beroleh laba daripada projek berkenaan? Benarkah projek berkenaan telah memberi manfaat kepada golongan cacat penglihatan sebagaimana tujuan asal pembinaannya? Antara persoalan lain yang timbul ialah, mengapa air pancut berkenaan tidak lagi berfungsi kini? Adakah pihak yang berkenaan tidak cukup wang untuk menampung kos pengendalian dan penyelenggaraannya?

Hendak dikatakan air pancut berkenaan sedang dinaik taraf atau sedang dibaik pulih, tiada pula sebarang tanda kerja-kerja sedemikian sedang dilakukan. Menurut saksi mata, pemandangan sekitarnya nampak kusam dan layu. Kalau saya tak silap, takungannya pun sudah tidak berair lagi.



Sebagaimana yang telah dinyatakan, antara tujuan pembinaan air pancut berkenaan ialah supaya ia menjadi mercu tanda kepada si buta bagi mengesan lokasi kompleks MAB dengan lebih mudah lagi. Walau bagaimanapun, apabila pembinaannya sudah menjadi projek gajah putih, agak-agaknyalah, sudah berapa ramai orang buta yang tersasar dan tersesat barat semasa menuju ke kompleks MAB? Agak-agaknya jugalah, sudah berapa ramai pula orang yang berpenglihatan yang turut sesat gara-gara tidak lagi dapat melihat kecantikan pancutan air dari halaman MAB?

Mungkin fountain itu tidak akan berbunyi lagi.

Wednesday, September 18, 2013

Chin Peng Sudah Mati





Akhirnya saat untuk Chin Peng mati tiba juga. Beliau diberitakan telah mati pada jam 6.20 pagi di salah sebuah hospital di Bangkok. Ironiknya beliau mati pada tarikh 16 September 2013 iaitu ketika kita dan seluruh negara Malaysia menyambut Hari Malaysia yang ke-50.



Bila kita baca, kaji dan teliti sejarah, tentu kita akan lebih mengenali Chin Peng serta ideologi perjuangannya. Beliau merupakan ketua besar kepada Parti Komunis Malaya (PKM), sebuah organisasi yang berjuang untuk merampas tampuk kekuasaan di Tanah Melayu menerusi kekerasan. PKM juga berusaha untuk menegakkan ideologi komunis yang menolak kewujudan Tuhan di tanah yang dihuni oleh majoriti penduduk yang beragama Islam.

Bagi saya, apabila pihak yang berwajib menolak untuk membawa pulang walaupun abu mayat Chin Peng ke Malaysia, ia adalah wajar, tepat dan betul. Chin Peng bukannya pejuang atau wira yang perlu dibangga-banggakan. Chin Peng juga bukannya pahlawan yang telah mempertahankan tanah air daripada penjajah.

Sebaliknya Chin Peng merupakan ketua besar gerombolan pengganas kejam yang tidak pernah punya hati dan perut. Chin Peng dan gerombolannya hanya menggunakan kehadiran puak penjajah untuk melancarkan pemberontakkan bukan untuk menghalau penjajah tetapi untuk menegakkan sebuah pemerintahan komunis di Tanah Melayu.



Justeru, dalam usaha gerombolan komunis untuk mencapai cita-citanya, pelbagai kekejaman, keganasan serta perlakuan yang tidak pernah ada perikemanusiaan telah dilakukan terhadap sesiapa sahaja yang enggan menyokong dan mendokong perjuangan sia-sia mereka. Mangsa mereka bukan sahaja dibunuh, tetapi pembunuhan yang dilakukan adalah secara kejam dan ganas. Bayangkanlah gerombolan komunis yang menyerang Bukit Kepong pada tahun 1950 bukan sahaja telah membunuh anggota polis yang telah mempertahankan balai polis Bukit Kepong, bahkan mayat anggota polis yang telah terkorban itu mereka campakkan pula ke dalam api. Inilah dia antara cebisan kekejaman dan keganasan puak gerombolan komunis.

Sampai bila-bila pun saya tetap berpendirian bahawa kematian anggota polis yang telah mempertahankan Bukit Kepong adalah kerana mempertahankan tanah air bukannya mempertahankan penjajah. Ini adalah kerana anggota polis berkenaan bukannya berjuang mempertahankan negara atau mahkota British yang sedang menjajah, sebaliknya mereka berjuang mempertahankan negara sendiri yang sedang dijajah oleh British. Ada juga puak berotak sempit berhujah kononnya ketua besar kepada anggota polis berkenaan ialah British. Dalam hal ini, kita harus faham, anggota polis berkenaan bukan berjuang mempertahankan negara ketua besar mereka (British), tetapi mereka berjuang untuk mempertahankan negara mereka yang sedang dijajah oleh ketua besar mereka. Berbelit ke penerangan ini?

Sesungguhnya kalau hendak diceritakan mengenai kekejaman dan keganasan pengganas komunis, sampai sudah pun ia tidak akan tamat. Hanya mereka yang pernah mengalami sendiri pahit getir tatkala dilanda musibah kekejaman gerombolan pengganas komunis yang lebih memahami betapa kejam dan dahsyatnya sikap tidak berperikemanusiaan oleh gerombolan jahat berkenaan.

Bagi saya, keputusan pihak berwajib dengan tidak membenarkan walaupun abu mayat Chin Peng untuk dibawa pulang ke Malaysia sama sekali tidak berbau rasis. Sebelum ini, sudah berlaku kematian beberapa orang tokoh bekas pemimpin PKM dan mereka telah dikebumikan di luar Malaysia. Tidak timbul pun bahawa kononnya pihak berwajib bersikap rasis. Apa istimewanya Chin Peng jika dibandingkan dengan tokoh bekas ketua PKM yang lain?



Bahkan jika abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia ia pasti akan melukakan hati ramai orang lain, sama ada bekas mangsa kekejaman komunis ataupun bekas dan anggota keselamatan kita. Jadi eloklah bila kerajaan menjaga hati rakyatnya yang selama ini setia kepada negara daripada untuk mengambil hati segelintir puak yang masih mengagung-agungkan ketua pengganas seperti Chin Peng. Sebenarnya sesiapa pun yang kejam, ganas serta melampau seperti Chin Peng patut ditolak jasad dan rohnya sebagaimana penolakan yang berlaku ke atas Chin Peng.

Sesungguhnya dosa, kesalahan, kerosakan, keganasan serta kekejaman yang pernah dilakukan oleh chin Peng dan gerombolannya tidak akan terhapus hanya dengan kalimah “maaf”. Jangan ada mana-mana pihak pula yang akan cuba menangguk di air keruh ekoran kematian Chin Peng.

Harimau mati meninggalkan belang,
Chin Peng mati meninggalkan dosa.

Tuesday, September 17, 2013

Sesi Promosi Dan Demonstrasi Pen Pembaca Alquran Untuk Golongan Cacat Penglihatan



Sebagaimana yang pernah saya tulis menerusi blog ini beberapa hari lalu, Syarikat Altasneem Malaysia Sdn Bhd telah berjaya menghasilkan pen pembaca Alquran untuk mereka yang cacat penglihatan. Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah turut sama memberikan pandangan serta nasihat kepada syarikat berkenaan dalam penghasilan pen berkenaan.

Untuk tujuan mengenengahkan pen pembaca Alquran berkenaan kepada pengguna sasarnya, maka satu sesi promosi dan demonstrasi penggunaan pen tersebut akan diadakan pada 28 September 2013 (Sabtu). Atas permintaan ramai, sesi berkenaan akan diadakan di Lecture Room, Tingkat 2, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Manakala waktu sesi pula adalah di antara jam 2.15 petang hingga jam 5.15 petang.

Di samping usaha promosi dan demonstrasi penggunaan, pen berkenaan juga boleh terus dibeli oleh sesiapa sahaja yang berminat. Seperti yang telah saya tulis sebelum ini, pen berkenaan didatangkan dalam dua bentuk pakej, iaitu yang berharga RM 150.00 dan juga RM 250.00. Para pengunjung yang datang boleh menyaksikan sendiri perbezaan antara kedua-dua pakej berkenaan. Di samping itu, pihak pengeluar juga bersedia dan berlapang dada untuk mendengar sebarang ulasan atau cadangan untuk menambah baik lagi pen berkenaan di masa-masa akan datang.

Marilah kita bersama-sama hadir ke sesi promosi dan demonstrasi pen pembaca Alquran untuk golongan yang cacat penglihatan yang akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat sebagaimana yang tertera di atas. Ia dibuka untuk semua sama ada yang tidak berpenglihatan mahupun yang berpenglihatan. Sesi ini dianjurkan oleh Syarikat Altasneem Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).