Tuesday, December 31, 2013

PLSN Telah Dibubarkan




Pada 28 Disember 2013 (Sabtu) lalu, merupakan tarikh tamatnya riwayat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan masyarakat cacat penglihatan di negara kita. Badan yang dimaksudkan ialah Persatuan Lepasan St. Nicholas (PLSN) yang berpusat di Pulau Pinang. Saya dimaklumkan sebelum ini, pembubaran tersebut adalah atas arahan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menerusi surat yang bertarikh 11 November yang lalu. Perlu saya jelaskan di sini iaitu PLSN bukan badan yang mentadbir St. Nicholas Home yang ada di Pulau Pinang, tetapi ia merupakan badan yang menghimpunkan bekas-bekas pelatih dan pelajar institusi berkenaan.

Pembubaran berkenaan telah dilaksanakan menerusi satu mesyuarat agung khas persatuan berkenaan yang telah dilangsungkan di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Seramai 72 bekas pelatih/pelajar St. Nicholas telah menghadiri mesyuarat berkenaan. Ekoran daripada pembubaran berkenaan, satu cadangan telah diketengahkan iaitu untuk menubuhkan alumni St. Nicholas Home, tetapi cadangan berkenaan telah ditolak dengan 16 undi menyokong dan 19 undi menolak. Ini bermakna badan/persatuan yang dicadangkan untuk ditubuhkan bagi menggantikan PLSN tidak diterima.

Sebagaimana yang pernah saya nyatakan, pembubaran PLSN merupakan satu detik yang cukup pahit untuk ditelan oleh sebahagian ahlinya. Bertahun-tahun lamanya PLSN telah menjadi badan yang menghimpunkan bekas pelatih/pelajar ST. Nicholas Home dengan pelbagai kegiatan. Selain itu, di waktu kegemilangannya PLSN juga dikatakan turut berjaya mengumpul dana yang besar untuk manfaat para ahlinya.

Namun demikian, kegemilangan PLSN mula beransur suram bilamana teraju kepimpinannya mula diresapi oleh segelintir kecil pemimpin yang tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan berhati jahat. Bukan sahaja puluhan ribu wang persatuan lesap, tetapi dokumen yang berkaitan juga turut sama dilupuskan bagi melangsungkan tujuan jahat yang tersirat. Barisan kepimpinan yang mengambil alih kepimpinan kemudian daripada itu cuba bertindak bagi menyelamatkan keadaan, tetapi usaha mereka sudah terlambat kerana nasi sudah menjadi bubur. Aduan kepada pihak yang berkuasa juga kurang berkesan tanpa diketahui sebab sebenarnya. Mungkin bagi sebilangan orang yang berpenglihatan, bila si buta dengan si buta bermasalah, biarlah mereka yang selesaikan sendiri masalah yang mereka hadapi.

Walaupun PLSN telah dibubarkan, ia tidak bermakna segala-galanya sudah selesai. Ada hati yang akan terus luka, banyak parut yang akan terus kekal sampai bila-bila. Perbuatan jahat dan tidak amanah segelintir kecil bekas ahlinya sudah tentu akan menjadi sejarah hitam yang bakal disebut dan dikenang selagi ada bulan dan selagi ada matahari.

Banyak iktibar yang dapat kita sama-sama teladani daripada tragedi pembubaran PLSN baru-baru ini. Ahli-ahli sesebuah persatuan mesti sama-sama bertanggungjawab tatkala memilih orang yang akan meneraju sesebuah persatuan. Antara kriteria penting bagi seseorang yang boleh dipilih selaku pemimpin sesebuah persatuan termasuklah mempunyai sifat-sifat amanah, bertanggungjawab, mengutamakan persatuan dalam apa jua keputusan dan tindakan, tidak akan mengorbankan persatuan untuk peribadi dan kawan-kawan, rela dibenci untuk menjaga amanah, tidak akan melakukan apa jua tindakan bercorak populis hanya untuk mengekalkan kuasa dalam persatuan, tidak bersikap nepotisme dan kronisme, dan yang paling utama sentiasa berpihak kepada kebenaran dalam apa jua situasi dan kondisi. Biarlah kita dibenci kerana mendokong kebenaran daripada kita disukai kerana menegakkan kebatilan.

Selain itu, setiap ahli juga harus peka dengan apa yang sedang berlaku dalam persatuan. Sikap lepas tangan daripada ahli-ahli biasa terhadap hal ehwal persatuan hanya akan membuka lebih ruang kepada pemimpin tertentu untuk melakukan salah laku dan penyelewengan. Maknanya proses check and balance harus sentiasa berjalan supaya ketelusan dan ketulusan dalam sesebuah persatuan sentiasa subur sepanjang masa dan ketika. Para ahli harus menggunakan saluran yang betul dan sah untuk menyoal para pemimpin persatuan jika ada sesuatu yang meragukan.

Jika terbukti ada sesuatu yang tidak kena telah atau sedang dilakukan oleh pemimpin tertentu dalam persatuan, ia harus dicegah secepat yang boleh. Jangan tunggu nasi sudah menjadi bubur baru hendak bertindak. Tindakan sedemikian hanya sia-sia dan tidak berguna lagi. Inilah yang dibidalkan oleh orang tua-tua kita dahulukala, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Sesungguhnya apa yang sudah terjadi, kita terpaksa membiarkan ia terjadi. Namun begitu, selaku insan yang dikurniai akal dan fikiran, kita sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang telah terjadi. Ini kerana barangsiapa yang gagal mengambil iktibar daripada sejarah yang lepas, maka mungkin dia akan dihukum pula dengan mengalaminya sekali lagi.

Tulisan ini bukan berhasrat untuk menuding kepada mana-mana pihak atau individu. Hanya mereka yang pernah makan cili sahaja yang akan merasai pedasnya.

No comments: