Wednesday, January 1, 2014

Selamat Menyambut Tahun Masihi 2014




Detik 12 tengah malam 1 Januari merupakan saat di mana kita semua melangkah ke ambang tahun Masihi yang baru iaitu 2014. Tatkala perubahan detik berkenaan berlaku, pelbagai gelagat, acara, stail, dan pelbagai macam dan ragam dilakukan oleh pelbagai jenis manusia bagi meraikan kehadiran tahun baru Masihi berkenaan. Antara keunikan yang sempat menarik perhatian saya kali ini ialah di mana pihak berkuasa Provinsi Istimewa Acheh telah mengharamkan sebarang acara untuk sambutan tahun baru Masihi 2014. Pihak berkuasa di sana khabarnya telah menggerakkan pasukan polisi syariahnya untuk mengekang sebarang acara sedemikian daripada dilaksanakan. Demikianlah.

Manakala di negara kita pula, pelbagai acara telah dianjurkan bagi menyambut kehadiran tahun baru berkenaan di pelbagai tempat pula. Khabarnya ada perhimpunan Turun yang turut dianjurkan di ibu kota. Menurut satu sumber, tujuan perhimpunan berkenaan adalah untuk mendesak kerajaan agar menurunkan harga barangan dan kos hidup penduduk. Ada juga sumber lain yang kononnya mendakwa perhimpunan tersebut adalah untuk menurunkan kerajaan. Benar ke? Macam tak percaya pula!

Ssemalam, pihak kerajaan turut mengumumkan 11 langkah ke arah belanjawan berhemah yang akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan pada tahun 2014. Elaun tertentu yang selama ini dinikmati oleh para menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan mula dikurangkan. Rasanya jika keadaan ekonomi semakin merudum, maka tidak mustahil semua kakitangan kerajaan turut sama akan terlibat dalam langkah penguarangan elaun tertentu sebagaimana yang pernah dilaksanakan pada separuh kedua dekad 90-an yang lalu. Seolah-olahnya laungan yang mengatakan tahun 2014 merupakan tahun naik harga barang macam akan jadi kenyataan. Takutnya!

Saya optimis langkah penjimatan yang mula diambil oleh pihak kerajaan akan turut dilaksanakan pula oleh pihak-pihak lain. Sektor swasta juga mungkin akan menuruti langkah serupa. Bahkan langkah penjimatan sektor swasta kebiasaannya lebih drastik sifatnya.

Begitu juga dengan badan-badan sukarela yang mana sumber kewangan mereka amat terhad dan kebiasaannya amat bergantung kepada sumbangan kerajaan dan badan-badan korporat. Jika sumber induk sudah terjejas maka amat tidak mustahil perbelanjaan badan-badan berkenaan juga akan turut sama terjejas. Justeru, pengurangan pelbagai jenis bantuan daripada badan-badan sedemikian khususnya kepada ahli masing-masing mungkin akan turut sama berlaku penurunan. Ahli-ahli yang terkena jangan melenting pula!

Manakala satu sumber berita lain pula mengatakan pihak kerajaan jika perlu akan mengkaji semula rasionalisasi pengurangan subsidi yang telah dilaksanakan. Rasanya bukan “jika perlu” tetapi memang perlu. Pelbagai keluhan dan rungutan sering kedengaran mengenai kenaikan harga pelbagai barang keperluan yang semakin tidak terkawal. Kalau harganya tidak dinaikkan, saiz dan kuantitinya pula yang akan dikurangkan. Ia berlaku khususnya pada pelbagai jenis makanan yang dijual. Boleh ke kita mengadu kepada KPDNKK iaitu saiz sebiji karipap sudah mengecil atau kuantiti sepinggan mi goreng sudah berkurangan sedangkan harganya masih sama lagi?

Manakala saya dan keluarga pula, sebagaimana biasa menjelang tahun baru Masihi akan meninggalkan ibu kota untuk merehatkan fikiran di tempat lain. Pada awal malam semalam kami telah menikmati makanan laut di tepi pantai dengan begitu berselera sekali. Sambil menikmati makanan yang sungguh enak, telinga saya tidak putus-putus menangkap bunyi desiran ombak yang memukul pantai. Nyaman dan tenang sekali suasananya. Maaf fotonya tidak dapat dipaparkan di sini kerana kamera buat hal.

Menjelang detik 12 tengah malam, tiba-tiba saya terdengar dentuman bunga api. Dentumannya bersahut-sahutan pula untuk beberapa ketika. Suasana tenang yang saya sedang nikmati di bilik penginapan kami kini cukup mengganggu. Agaknya kami tersalah pilih hotel!

Demikian situasi yang melingkari kita tatkala kita semua mula melangkah ke tahun baru Masihi 2014. Sama ada kita suka atau tidak, bersedia atau sebaliknya, fajar tahun 2014 alhamdulillah telah pun menyingsing. Biar apa pun keadaannya kita tetap berdoa dan menaruh harapan tinggi semoga tahun 2014 kali ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Namun demikian, kita juga harus sama-sama berusaha agar tahun ini akan lebih baik daripada tahun lepas. Kita tidak boleh bergantungt kepada takdir semata-mata tanpa sebarang usaha.

Kepada semua, selamat menyambut tahun baru Masihi 2014.


No comments: