Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di Kinabalu
Harga barang naik melambung
Rakyat jelata yang kena dahulu.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung dimakan rusa
Bila harga barang melambung
Orang biasa yang jadi mangsa.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di atas gunung
Harga barang naik melambung
Entah siapa yang dapat untung.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di dalam raga
Orang ramai dah bising meraung
Harga barang tak turun juga.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung dalam bekas kaca
Harga barang kian melambung
Tiada kaitan dengan cuaca.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung tepi telaga
Siang malam orang menyokong
Harga barang naik juga.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di kebun atan
Harga ayam naik melambung
Disuruh pula makan ikan.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung dari Kelantan
Kalau harga ikan melambung
Apa lagi yang kita boleh makan.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di kampung cina
Nasib kita masih belum untung
Tuan besar pekakkan telinga.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di tepi huma
Bingka dan pau tidak lagi gelembung
Saiznya kecil harganya sama.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di bawah tudung
Harga barang semakin melambung
Siapa lagi yang boleh tolong.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung sudah tersaji
Walaupun harga naik melambung
Rakyat jelata disuruh memuji.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di atas tangga
Walaupun harga naik menggunung
Hidup kena teruskan juga.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di pulau sana
Kalau tahu cara makan kangkung
Dapat tengok wajah raja China.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di tanah rata
Kerana seorang tersilap pukul gong
Cerita kangkung sudah merata.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung mudah dibawa
Kerana tuan tersilap kelentong
Kangkung jadi bahan ketawa.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di Tanjung Tuan
Inilah padah kita menanggung
Bila salah buat perhitungan.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di tasik cini
Kalau stress tidak tertanggung
Mari menyanyi lagu ini.
Lenggang lenggang kangkung
Kangkung belacan sedap dirasa
Saya tidak berniat serong
Untuk hiburan sesama kita.
No comments:
Post a Comment