Kangkung
Hari ini, perkataan “kangkung” merupakan kalimah paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Di mana-mana sahaja orang akan bercakap fasal kangkung dalam seribu satu makna. Bahkan media sosial kendalian orang Malaysia pada ketika ini memang meriah dengan kalimah “kangkung”. Golongan yang alah makan kangkung juga tidak terkecuali daripada bercakap fasal kangkung. Khabarnya juga, kangkung punya fasal, sudah ada kumpulan yang berdemo, demo aman katanya. Konon khabarnya juga, soal kangkung turut mendapat liputan media antarabangsa!
Bagi saya, soal kangkung semakin hangat dan hebat diperkatakan kerana ada pihak yang tukang sorong dan ada pihak yang tukang tarik. Kalau ada pihak yang tukang sorong sahaja tanpa ada pihak yang jadi tukang tarik, pastilah soal kangkung ini tidak akan berpanjangan. Bak kata orang tua-tua dahulukala, kalau bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi. Gara-gara bertepuk entah berapa tangan, maka bersemaraklah soal kangkung sekarang.
Saya masih ingat, istilah kangkung juga pernah hangat seketika pada hujung dekad 80-an lalu. Waktu itu saya baru sahaja menjejakkan kaki di institusi pengajian tinggi di Lembah Kelang. Di situlah mula bersemaraknya isu “profesor kangkung”. Ia mula dicetuskan oleh seorang pentadbir utama sebuah universiti berkaitan dengan pelantikan sebilangan profesor. Walau bagaimanapun, seingat saya isu berkenaan tidak berpanjangan. Ia mungkin berlegar di sekitar dunia menara gading sahaja.
Kini isu kangkung bersemarak lagi. Bagi saya, skopnya lebih luas dan sudah ke tahap antarabangsa pula bilamana ia mendapat perhatian media berstatus dunia. Inilah kelebihan orang Malaysia, soal dalam negeri dicanang jadi bahan lucu seantero dunia. Maklumlah Malaysia boleh!
Namun begitu, mungkin ada hikmah yang tersembunyi bilamana isu kangkung di Malaysia sudah merentas tujuh lautan dan tujuh benua. Ia mungkin boleh menberi kelebihan kepada Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini. Tentu orang di benua lain ingin tahu dengan lebih dekat lagi tentang kangkung di Malaysia. Mungkin ada yang berminat ingin tahu bentuk dan rupa kangkung Malaysia. Mungkin ada yang berminat untuk merasai kangkung Malaysia. Untuk itu, mungkin ada yang sanggup datang dan melancong di negara kita semata-mata kerana kangkung. Macam lawak, tapi tidak mustahil untuk terjadi.
Untuk meredakan soal kangkung ini, satu pihak tidak perlu beri apa-apa respons. Biarkan satu pihak sahaja yang bercakap tentang topik kangkung. Lama-lama bila tiada respons, mereka akan berhenti daripada bercakap fasal kangkung. Namun demikian, saya rasa hal sebegini mustahil akan berlaku. Sudah menjadi kebiasaan untuk kita memberikan tindak balas walaupun isunya remeh. Maklumlah semua hendak jadi juara!
Seperkara yang dikhuatiri akan berlaku ialah bilamana perkataan kangkung dianggap sensitif. Bila guna kalimah kangkung, ada pula yang akan terasa. Tidak cukup dengan itu, isu kangkung akan digunakan pula oleh segerombolan orang untuk dijadikan bahan mengangkat orang tertentu. Gerombolan inilah yang akan membuat laporan palsu kepada tuan-tuan di atas sana kononnya kalimah kangkung digunakan untuk menghina atau mensiniskan orang tertentu. Akhirnya nanti, perkataan kangkung diharamkan daripada disebut.
Bila orang tanya, “Awak suka makan sayur apa?” Kenalah jawab: “Saya suka makan sayur kungkang.”
No comments:
Post a Comment