Wednesday, January 1, 2014

Menziarahi Makam Penghulu Dol Said



Tengah hari tadi, dalam perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur, saya sekeluarga sempat menziarahi makam Penghulu Dol Said. Kawasan perkuburan yang menempatkan makam Penghulu Dol Said terletak dalam kawasan Masjid Taboh Naning. Lokasinya di tepi jalan besar yang menjadi laluan kenderaan sibuk. Sebab itu saya dapat mendengar bunyi kenderaan yang bertali-arus.



Penghulu Dol Said merupakan Orang Kaya Naning yang ke-9. Beliau menjadi penghulu Naning pada tahun 1802 iaitu selepas kematian Orang Kaya Naning yang ke-8, Penghulu Anjak. Nama sebenarnya ialah Abdul Said, tetapi lebih dikenali sebagai Penghulu Dol Said.



Pada tahun 1824, Perjanjian Inggeris-Belanda telah termetrai. Dengan termaktubnya perjanjian ini, seluruh Melaka menjadi kawasan lingkungan pengaruh Inggeris. Sebelumnya, Melaka merupakan tanah jajahan Belanda sejak tahun 1641.

Perselisihan di antara Penghulu Dol Said dan Inggeris bermula apabila pihak Inggeris yang berkuasa di Melaka memaksa Penghulu Dol Said supaya menbayar 10% daripada hasil padi dari Naning ke Melaka. Arahan ini mendapat bantahan keras daripada Penghulu Dol Said. Baginya, Naning bukan sebahagian daripada Melaka sebagaimana didakwa oleh Inggeris. Manakala pihak Inggeris pula mendakwa bahawa Naning merupakan sebahagian daripada Melaka. Keengganan Penghulu Dol Said membayar cukai sebagaimana diarahkan Inggeris berterusan.



Kemuncak kepada perselisihan ini ialah bilamana pada tahun 1831 pihak Inggeris telah menghantar tenteranya untuk menguasai Naning. Penghulu Dol Said tidak berdiam diri. Beliau serta dengan penduduk Naning telah memberi tentangan hebat terhadap tentera Inggeris. Penghulu Dol Said turut dibantu oleh beberapa pembesar dan penghulu Melayu dari kawasan sekitar termasuklah dari Rembau, Rechat, Remai dan Gemencheh. Tentangan hebat daripada Penghulu Dol Said dan para pengikutnya telah mengakibatkan pihak Inggeris kalah dan terpaksa berundur semula ke Melaka.

Pihak Inggeris yang merasa aib dengan kekalahan tersebut, telah membuat persediaan lebih rapi untuk melakukan serangan kali kedua. Di samping mendapat bantuan tentera daripada Singapura, pihak Inggeris di Melaka turut memastikan supaya para pembesar dan pemimpin dari kawasan sekitar tidak memberikan bantuan lagi kepada Penghulu Dol Said. Selain itu, peruntukan kewangan juga telah ditambah bagi memastikan segala kelengkapan perang yang diperlukan dapat disediakan.

Pada tahun 1832, sekali lagi pihak Inggeris telah menyerang Naning. Kali ini Penghulu Dol Said telah mempertahankan Naning hanya dkisertai oleh para penduduk Naning sahaja. Beliau tidak lagi mendapat bantuan daripada rakan-rakan yang sebangsa dengannya sebagaimana sebelumnya. Para pembesar dan pemimpin Melayu yang berada di sekitar Naning hanya melihat sahaja peperangan di antara Penghulu Dol Said melawan pihak berkuasa Inggeris. Adalah dimaklumkan pertempuran berlangsung hampir 5 bulan lamanya.

(inilah makam Penghulu Dol Said)


Akhirnya setelah diasak oleh pihak Inggeris dan dengan kemampuan yang semakin terbatas, Penghulu Dol Said terpaksa mengaku kalah. Beliau dapat meloloskan diri daripada dibunuh atau ditangkap oleh tentera Inggeris. Namun begitu, pada tahun 1834, Penghulu Dol Said telah menyerah diri kepada pihak Inggeris di Melaka. Penghulu Dol Said tidak dipengapakan oleh pihak Inggeris. Sebaliknya beliau telah diberi pencen sebanyak 100 ringgit sebulan hingga ke akhir hayat beliau. Penghulu Dol Said telah meninggal dunia pada tahun 1849 dan telah dikebumikan di makam sebagaimana yang ada pada hari ini.

(papan tanda melarang perbuatan syirik)


Berdasarkan keadaan makamnya, Penghulu Dol Said merupakan tokoh dan pemimpin yang sentiasa dihormati di sepanjang zaman. Beliau tetap menjadi inspirasi dan kebanggaan orang Naning dan seluruh rakyat Malaysia umumnya.



Saya berkeyakinan sekiranya para pembesar dan pemimpin Melayu yang ada di sekitar Naning pada ketika itu terus memberikan bantuan kepada Penghulu Dol Said dalam serangan kedua oleh pihak Inggeris, ada kemungkinan Penghulu Dol Said akan dapat mempertahankan Naning. Ini kerana walaupun tanpa bantuan, Penghulu Dol Said dan para pengikut setianya berjaya mempertahankan Naning selama lima bulan sebelum ia benar-benar jatuh ke tangan Inggeris. Agaknya inilah yang sering dibidalkan oleh orang tua-tua dahulukala, bersatu teguh, bercerai roboh. Naning roboh kerana orang Melayu ketika itu sudah bercerai setia kawannya.



Sepatutnya kita menjadikan kisah perjuangan Penghulu Dol Said sebagai teladan berguna dalam hidup kita hari ini. Kekalahan Dol Said bukan kerana beliau dan para pengikutnya lemah, tetapi kerana bangsanya berpecah. Jika pada masa lalu perpecahan bangsa mengakibatkan Naning jatuh ke tangan Inggeris, hari ini pula jika kita terus berpecah kita akan kehilangan lebih besar dari itu.


No comments: