Petang semalam (3 Januari), dalam perjalanan saya menghala ke selatan menerusi lebuhraya utara selatan, kami sekeluarga telah singgah di hentian rehat Seremban. Kebetulan waktu itu hujan lebat. Setelah menunaikan solat asar dan sementara menanti hujan reda sedikit, kami mengisi perut dengan alah kadar sahaja di ruang yang sesuai.
Tatkala kami sedang asyik menjamu selera, tiba-tiba saya mendengar suara seorang budak perempuan, memberi salam dan terus memperkenalkan produk yang sedang dibawanya. Katanya untuk jualan amal bagi pihak sebuah pusat tahfiz yang terletak di Alor Setar, Kedah. Kalau saya tidak silap, ada dua produk yang dipromosikannya, iaitu madu dengan harga RM50 dan satu lagi produk yang saya lupa namanya dengan harga RM30. Menurut keterangan saksi mata kemudiannya, budak perempuan yang saya maksudkan mungkin seorang murid yang sedang belajar di pusat tahfiz berkenaan dalam lingkungan usia belasan tahun. Kami tidak membeli produk yang dijualnya. Bagi saya harganya agak mahal. Sebaliknya kami hanya memberikan sedikit wang sahaja sebagai sumbangan. Sebelum budak perempuan itu berlalu, saya sempat mendapatkan maklumat nama pusat tahfiz di mana beliau sedang belajar.
Oleh kerana mereka merupakan golongan yang berpenglihatan terang, jadi mereka terselamat daripada dikategorikan sebagai pengemis. Lazimnya, Kalau orang buta yang berbuat sedemikian, orang ramai sangat mudah untuk mengkategorikannya sebagai pengemis atau meminta sedekah. Waema kalau orang buta menjual emas sekalipun, sebahagian orang ramai tetap menganggapnya sebagai perbuatan meminta sedekah. Demikianlah.
Bagi pihak yang menjalankan aktiviti sebegini mungkin ada alasan tersendiri untuk “menghalalkan” aktivitinya. Mungkin bagi pihak yang menganjurkan kegiatan seperti ini boleh mendakwa ia bukan paksaan. Terpulang kepada orang ramai sama ada untuk membeli/menyumbang atau sebaliknya. Tiada sebarang bentuk paksaan kepada orang ramai. Mungkin pihak penganjur juga boleh mendakwa kegiatan seperti ini merupakan satu bentuk latihan untuk berdikari atau seumpamanya khususnya kepada penuntut di pusat-pusat tahfiz yang berkaitan.
Walau bagaimanapun, kegiatan seumpama ini perlu juga dilihat dari sudut yang lain. Selaku ibu atau bapa, saya sendiri tidak mungkin sanggup melihat anak saya sendiri yang dihantar untuk menuntut ilmu tiba-tiba digunakan untuk mencari wang bagi pihak pusat di mana dia sedang menuntut. Apatah lagi dalam usianya yang masih awal belasan tahun. Sepatutnya tumpuan, masa dan tenaga murid itu seratus peratus difokuskan kepada pelajaran. Sama ada suka apatah lagi jika dipaksa, murid yang masih berusia awal belasan tahun seperti ini tidak seharus dilibatkan sama sekali dalam kegiatan seumpama ini. Mereka sepatutnya berada di sekolah atau pusat tahfiz dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada menuntut ilmu. Soal mencari dana untuk pusat tahfiz bukan urusan mereka, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab pihak yang mentadbir pusat tahfiz berkenaan. Kekurangan dana tidak seharusnya menjadi beban pula kepada penuntut. Bagi kes semalam, budak perempuan tersebut mendakwa beliau sedang belajar di sebuah pusat tahfiz di Alor Setar, tetapi dihantar hingga ke Seremban untuk mengutip wang atas nama melaksanakan jualan amal.
Ini bukan kali pertama saya terserempak dengan fenomena sebegini. Saya sendiri tidak dapat mengingati sudah berapa kali saya temui golongan seperti ini sama ada di kawasan hentian rehat lebuhraya utara selatan, lebuhraya pantai timur, di tempat-tempat makan sekitar KL, di stesen-stesen minyak dan juga di tempat-tempat lain.
Sebelum ini, saya pernah terbaca melalui media bahawa kerajaan Kedah telah memberi amaran kepada sebuah pusat tahfiz yang didapati telah melakukan kegiatan yang hampir serupa dengan menggunakan murid-muridnya. Amaran yang diberi termasuklah akan menutup pusat tahfiz berkenaan jika kegiatan seumpama itu tidak dihentikan segera.
Apabila fenomena sebegini kian berleluasa berlaku, maka sudah tentulah ia menimbulkan pelbagai persoalan dalam hati sanubari kita. Adakah pusat-pusat tahfiz yang ditubuhkan tidak mempunyai cukup wang untuk mentadbir dan menguruskan pusat berkenaan? Adakah peruntukan yang dihulurkan oleh mana-mana pihak berkuasa tidak mencukupi untuk menampung kos operasi pusat-pusat berkenaan hingga terpaksa menggunakan tenaga penuntutnya bagi mencari peruntukan tambahan? Adakah pusat-pusat tahfiz berkenaan ditubuhkan semata-mata untuk dijadikan sebagai “periuk nasi” kepada orang tertentu?
Sekiranya sesebuah pusat tahfiz itu masih tidak berkemampuan untuk mengadakan peruntukan kewangan yang secukupnya untuk membolehkannya beroperasi tanpa melibatkan tumpuan, masa dan tenaga para penuntutnya bagi memperoleh dana tambahan, maka pada saya pusat tahfiz sedemikian belum sesuai untuk ditubuhkan. Bagi saya adalah tidak menjadi kesalahan jika pusat-pusat tahfiz berkenaan mengenakan yuran tertentu yang berpatutan, tetapi amat tidak bersesuaian jika masa dan tenaga penuntutnya digunakan untuk mencari dana tambahan untuk pusat-pusat tahfiz berkenaan. Bahkan jika tenaga penuntutnya dieksploitasi secara berterusan, maka sudah tentu ia akan mendatangkan nama yang buruk pula buka sahaja kepada pusat tahfiz yang berkaitan tetapi juga kepada masyarakat Islam secara keseluruhannya.
Justeru, para ibu bapa sepatutnya mendapatkan maklumat yang terperinci tentang pelbagai aspek Sesebuah pusat tahfiz sebelum memutuskan untuk menghantar anak-anak mereka bagi menuntut ilmu. Antaranya termasuklah sumber kewangannya, kurikulum dan aktiviti kokurikulumnya, jalinan kerjasamanya dengan pihak berkuasa negeri atau persekutuan, hubungannya dengan masyarakat setempat, kemampuan kewangannya, dan yang lebih penting ialah aktiviti untuk murid-muridnya. Maklumlah kebanyak pusat tahfiz bukan berada di bawah seliaan kerajaan, jadi kebiasaannya aktiviti luar bilik darjah yang dilaksanakan sukar dipantau oleh mana-mana pihak. Selain itu, para ibu bapa juga seharusnya sentiasa mengambil tahu tentang aktiviti yang dilaksanakan oleh pusat-pusat tahfiz berkenaan dari masa ke masa. Perancangan di atas kertas mungkin berbeza daripada aktiviti sebenar yang dilakukan. Bagi saya, adalah tidak keterlaluan bilamana para ibu bapa sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan dan kegiatan semasa yang dilaksanakan oleh pusat-pusat tahfiz di mana anak-anak mereka sedang menuntut. Sebaliknya adalah tidak kena jika para ibu bapa bersikap lepas tangan setelah menghantar anak-anak mereka di pusat tahfiz tanpa mengambil tahu walau sedikit pun.
Pada pemerhatian saya, keingininan para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah yang melaksanakan dua aliran serentak, iaitu aliran akademik perdana dan aliran agama amat tinggi sekali. Mereka tidak kisah sangat bilamana sesi persekolaha tamat pada jam 4 atau 5 petang asalkan kedua-dua aliran ini dapat dilaksanakan secara serentak. Namun demikian, setakat ini pihak berkuasa masih belum mampu untuk mengadakan sekolah-sekolah sedemikian. Maka itulah para ibu bapa tiada pilihan selain menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah sedemikian yang dikendalikan oleh badan-badan tertentu walaupun mereka mungkin akan dikenakan sejumlah bayaran.
Oleh yang demikian, adalah disarankan kepada mana-mana pusat tahfiz yang berkaitan supaya memberhentikan dengan serta-merta pengeksploitasian tenaga dan masa penuntut untuk tujuan mencari dana. Sebagaimana yang telah saya nyatakan, soal memenuhi keperluan kewangan merupakan urusan pihak yang mentadbir pusat berkenaan. Para penuntut seharusnya diberikan ruang dan penumpuan yang sepenuhnya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di pusat-pusat berkenaan. Sekiranya ada mana-mana pusat tahfiz yang benar-benar tidak berkemampuan lagi, maka jalan terbaik adalah dengan menghentikan operasi supaya para penuntutnya boleh mencari tempat lain yang lebih selesa dan lebih sesuai untuk mereka meneruskan pelajaran.
Saya bukan anti kepada golongan yang memohon sumbangan.
No comments:
Post a Comment