Pada 6 Januari (Isnin) yang lalu, ketika dalam kenderaan, saya terdengar istilah “judi haram” yang digunakan oleh sebuah stesen radio. Antara isi beritanya, sebuah agensi penguat kuasa akan menubuhkan satu skuad untuk membanteras aktiviti judi haram.
Saya terpinga-pinga seketika bila mendengar frasa “judi haram” tersebut. Kalau ada judi haram, tentulah ada judi halal. Benar ke ada judi halal? Setakat yang saya tahu, kalau namanya judi, hukumnya tetap haram tak kiralah sama ada aktiviti judi berkenaan berlesen atau sebaliknya. Hukumnya tetap tidak halal.
Satu lagi, saya rasa ada yang tidak kena tentang cadangan penubuhan skuad berkenaan kerana tujuannya untuk membanteras aktiviti judi haram. Bukankah lebih baik jika objektif skuad yang dicadangkan itu adalah bertujuan untuk membanteras semua bentuk perjudian? Oleh kerana semua bentuk judi haram hukumnya, maka tidak perlulah lagi diguna istilah judi haram. Lagipun, istilah judi haram hanya menambah kekeliruan sahaja kepada orang ramai.
Saya suka menyarankan kepada mana-mana pihak, lain kali jika hendak
memberikan istilah atau frasa kepada apa juga perkara, eloklah lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan. Apatah lagi jika ia melibatkan hukum-hakam. Silap istilah mungkin boleh menjejaskan akidah pula, “barang dijauhkan Allah hendaknya”.
Saya sekadar melontarkan pandangan sahaja.
No comments:
Post a Comment