Wednesday, September 19, 2012

Berita Petang

Cikgu Raja Azidin Kembali Ke Rahmatullah

Pagi tadi, saya menerima berita daripada Ustaz Zulkifli Mamat bahawa Cikgu Raja Azidin bin Raja Anor Syah telah kembali ke rahmatullah. Saya ucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham di atas pulangnya beliau.

Cikgu Raja Azidin merupakan seorang guru yang cukup dikenali khususnya dalam kalangan generasi lama golongan cacat penglihatan. Beliau telah pun terlibat selaku guru dalam bidang pendidikan khas untuk murid-murid cacat penglihatan sejak awal tahun 60-an lagi. Beliau pernah berkhidmat di SKPK Princess Elizabeth, Johor Baru sejak awal tahun 60-an hingga pertengahan tahun 70-an. Setelah itu, beliau telah berpindah dan pernah bertugas di SMPK Setapak, Kuala Lumpur. Beliau juga pernah bertugas selaku guru resos di SMK Tinggi Setapak sebelum kembali mengajar semula di SKPK Princess Elizabeth pada tahun 1981. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara ialah sebagai guru besar SKPK Princess Elizabeth juga. Beliau telah bersara pada tahun 1992.

Walaupun saya sendiri tidak pernah berada di bawah didikan beliau secara langsung, hubungan saya dengan Allahyarham mula terjalin erat sewaktu saya sedang menyempurnakan latihan ilmiah di SKPK Princess Elizabeth sekitar 21 tahun lalu. Bahkan beliau telah memberikan kerjasama yang begitu erat kepada saya bagi memudahkan saya untuk mencari dan mengumpul bahan. Maka itulah juga, sehingga kini suara Allahyarham masih ada dalam simpanan saya.

Bagi saya, Allahyarham mempunyai tiga keistimewaan yang tersendiri. Beliau merupakan antara yang mahir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran untuk murid cacat penglihatan. Beliau juga amat aktif dalam bidang sukan dan merupakan antara jurulatih terbaik ketika itu dalam melatih murid-murid dalam bidang tersebut. Allahyarham juga merupakan seorang yang mempunyai kemahiran tinggi dalam membaiki mesin taip Braille, satu kemahiran yang tidak ramai memilikinya sehingga ke hari ini.

Kepada semua, khususnya bekas murid Allahyarham, marilah kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarham sentiasa dalam peliharaan Allah hendaknya. Biar apa pun bentuk pengalaman yang pernah kita lalui bersama Allahyarham, beliau tetap guru dan kita tetap muridnya. Jika ada sebarang kesalahannya kepada kita, sebaiknya kita ampunkanlah. Mudah-mudahan kebaikan yang kita lakukan hari ini akan dibalas dengan kebaikan juga pada esok dan lusa. Kepada ahli keluarga Allahyarham, sekali lagi takziah saya ucapkan.

Alfatihah ....


Monday, September 10, 2012

Berita Malam

Seorang Lagi Ahli PERTIS Kembali Ke Rahmatullah

Petang tadi, saya mendapat maklumat iaitu seorang lagi ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah kembali ke rahmatullah. Beliau ialah Md Atan bin Muhammad, ahli PERTIS Terengganu.

Menurut maklumat, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 2 atau 3 petang tadi. Allahyarham ttelah dimasukkan ke hospital sejak sebelum hari raya lagi. Alahyarham juga dikatakan telah diserang angin ahmar. Di sepanjang beliau berada di hospital, dua kali pembedahan telah dijalankan ke atas beliau. Allaharham dijangka akan dikebumikan di Pulau Kerengga, Marang, Terengganu lewat hari ini.

Kepada ahli keluarga Allahyarham, takziah diucapkan. Bersabarlah menghadapi kehilangan orang yang disayang. Kita juga sama-sama akan menyusuli Allahyarham. Hanya masa dan tempatnya sahaja yang tetap menjadi rahsia.

Di sini, saya tidak lupa untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan-rakan dari Terengganu yang telah sudi untuk berkongsi maklumat sebegini dengan saya dan dengan kita semua. Mudah-mudahan perkongsian berita sebegini akan membuka hati kita untuk sama-sama mendoakan yang terbaik untuk saudara kita yang telah dijemput Ilahi seperti ini. Bersamalah kita berdoa semoga Allahyarham ditempatkan bersama-sama dengan golongan solihin.

Alfatihah ....


Sunday, September 9, 2012

MAB Dan Fountain






Antara isu yang telah menimbulkan kontroversi yang melibatkan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) sejak akhir-akhir ini ialah pembinaan sebuah fountain di perkarangan MAB. Menerusi sumber maklumat yang telah saya terima, ramai juga individu cacat penglihatan yang telah melontarkan pelbagai komen khususnya mengenai pembinaan fountain berkenaan. Ada juga rakan-rakan senasib yang telah melontarkan pandangan masing-masing walaupun hakikatnya mereka sendiri belum lagi berkesempatan untuk melihat sendiri .... maaf salah istilah .... mendengar sendiri bunyi percikan atau desiran air fountain berkenaan.



Alhamdulillah, petang tadi, kebetulan saya ada urusan di Brickfields, maka kesempatan yang ada telah saya gunakan dengan pergi sendiri ke MAB. Saya turut meluangkan masa untuk mendengar sendiri bunyi percikan dan desiran fountain berkenaan. Saya turut mengelilingi kawasan fountain berkenaan. Di samping itu, saya turut menyentuh dengan tangan saya sendiri beberapa bahagian yang sesuai untuk disentuh. Tidak cukup dengan itu, saya turut bertanya sendiri kepada saksi mata berkenaan situasi fountain berkenaan. Maklumlah, tanpa saksi mata apa yang diperkatakan oleh golongan cacat penglihatan sering dipertikaikan! Demikianlah.



Bagi mereka yang berpenglihatan, tidak dinafikan bahawa kewujudan fountain berkenaan sedikit sebanyak turut mempengaruhi perubahan pemandangan lanskap dan persekitaran perkarangan kompleks MAB. Ia lebih cantik sedikit jika dibandingkan sebelum wujudnya fountain tersebut. Dari aspek yang lain pula, setakat ini saya tidak nampak lagi .... maaf salah istilah lagi .... saya tidak terfikir lagi adanya manfaan lain dengan kewujudan fountain berkenaan khususnya kepada golongan yang cacat penglihatannya. Justeru, tidak keterlaluan jika saya berpandangan, kewujudan fountain berkenaan lebih menguntungkan penglihatan si celik daripada pendengaran si buta. Ia lebih sesuai jadi perhiasan penglihatan kepada mereka yang masih berpenglihatan.



Dahulunya kawasan fountain ini merupakan sebahagian daripada tempat meletak kenderaan. Kesan awalnya ialah, ia telah mengurangkan jumlah kereta yang boleh diletakkan di kawasan berkenaan. Dahulu pun, sebelum pembinaan fountain berkenaan, adakalanya tempat meletak kenderaan yang sedia ada tidak mencukupi. Sudah tentulah bilamana adanya fountain di situ, jumlah kereta yang boleh diletak di situ semakin berkurangan. Ini juga bermakna, bila ada apa-apa kegiatan di kompleks MAB, sudah pastilah sebahagian besar kenderaan pengunjung yang terlibat akan terpaksa diletakkan di luar kawasan kompleks.



Saya juga mendapat khabar kononnya setelah kewujudan fountain berkenaan, kebanyakan kakitangan MAB terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di luar kawasan kompleks MAB sendiri. Betul ke? Kalau benar, kasihan mereka. Nama sahaja kakitangan, tetapi kemudahan untuk mereka menerusi MAB semakin disempitkan. Ini semua gara-gara kewujudan fountain.

Jadi, kenderaan siapa yang masih boleh diletakkan dalam kawasan meletak kenderaan kompleks MAB? Mungkin fountain itu sendiri ada jawapannya!

Selain itu, saya berpendapat, dengan wujudnya fountain ini, kita tidak berpeluang lagi untuk menganjurkan pelbagai majlis keramaian di perkarangan hadapan kompleks MAB. Dahulu, sebelum adanya fountain ini, pelbagai majlis boleh dianjurkan di kawasan letak kereta di hadapan kompleks MAB. Ini termasuklah majlis perkahwinan beberapa pasangan cacat penglihatan, majlis jamuan hari raya, majlis hari terbuka dan sebagainya. Kalau pun hendak dianjurkan juga majlis sedemikian di persekitaran letak kereta, majlisnya pasti tidak semeriah dan sebesar sebagaimana sebelumnya. Kini, penganjuran majlis-majlis keramaian seperti itu sudah tinggal sejarah sahaja. Ini semua gara-gara kewujudan fountain.

Ada yang berpendapat, kononnya pembinaan fountain berkenaan turut memberi manfaat kepada golongan yang cacat penglihatan. Kononnya bunyi percikan atau desiran air fountain berkenaan boleh memberi tunjuk arah kepada golongan cacat penglihatan. Kononnya juga, bunyi percikan itu juga boleh dijadikan sebagai landmark kepada golongan cacat penglihatan yang ingin datang ke MAB. Betul ke? Yang cakap macam tu si buta atau si celik? Setakat yang saya maklum, lama sebelum adanya fountain berkenaan, orang buta tidak pernah sesat kalau hendak ke MAB. Orang buta juga tidak pernah hilang arah selagi mereka berada dalam kawasan kompleks MAB. Maknanya, dalam konteks untuk mengenal arah, mencari arah atau sebagai mercu tanda, pembinaan fountain berkenaan tiada kena-mengena langsung.

Berdasarkan pemerhatian saya petang tadi, bunyi percikan dan desiran air fountain berkenaan tidak jelas kedengaran jika berada di luar kawasan kompleks MAB. Ini kerana bunyi percikan dan desirannya perlahan. Bahkan had sebaran bunyi percikan dan desiran fountain berkenaan semakin terhalang oleh kerana adanya tembok batu yang mengelilingi kawasan kompleks MAB. Ini ditambah lagi dengan bunyi pelbagai kenderaan lain serta bunyi tren monorel yang lalu di kawasan kompleks MAB. Bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan bunyi tren monorel itu sebenarnya yang lebih sesuai untuk dijadikan sebagai penunjuk arah bagi golongan cacat penglihatan yang hendak menuju ke kompleks MAB.



Mengapa dapatan mudah sebegini tidak ada dalam pertimbangan ahli Council MAB ketika memutuskan untuk membina fountain berkenaan? Mungkin jawapannya mudah sahaja, kerana mereka belum jadi buta lagi!!!

Dari manakah MAB dapat wang untuk membina fountain berkenaan? Dari orang ramai. Nama siapakah yang telahdijaja oleh pihak MAB untuk mendapatkan wang berkenaan? Nama masyarakat orang buta. Siapakah yang dapat faedah dan manfaat daripada pembinaan fountain berkenaan? Orang celik, terutamanya ahli Council MAB. Apa yang orang buta dapat daripada pembinaan fountain berkenaan? Habut pun tak dapat.



Untuk ke sekian kalinya, perlu saya tegaskan di sini bahawa saya dan masyarakat cacat penglihatan umumnya sama sekali tidak menolak sebarang pembangunan yang ingin dilaksanakan apatah lagi jika kalau ia atas nama orang buta. Walau bagaimanapun, pembangunan itu hendaklah dan semestinya dapat memberi faedah dan manfaat kepada masyarakat orang buta itu sendiri. Adalah tidak wajar sama sekali bila cari wang guna nama orang buta, tapi bila gbuna wang pandangan orang buta diketepikan.

Apa yang berlaku dalam isu pembinaan fountain ini ialah kegagalan pihak pengurusan tertinggi MAB untuk melihat sesuatu itu dari kaca mata golongan cacat penglihatan. Mereka hanya mampu melihat sesuatu isu hanya dari kaca mata mereka yang berpenglihatan semata-mata. Amat malanglah bagi masyarakat cacat penglihatan kerana setelah berusia 61 tahun, MAB masih gagal melihat orang buta dari perspektif yang betul. Sedangkan MAB merupakan badan bukan kerajaan yang paling dipercayai oleh masyarakat umum untuk membela dan memperjuangkan nasib orang buta di negara ini.



Selepas meneliti sendiri dari jarak dekat mengenai isu fountain ini, maka dapatlah saya rumuskan bahawa pandangan dan pendapat yang telah dilontarkan oleh beberapa orang rakansenasib sama ada yang dekat mahupun yang jauh banyak kebenarannya. Bagi golongan cacat penglihatan, pembinaan dan kewujudan fountain berkenaan tiada manfaatnya. Justeru, adalah lebih bermanfaat jika wang yang telah digunakan untuk membina fountain berkenaan disalurkan kepada perkara-perkara lain yang lebih berfaedah dan bermanfaat kepada masyarakat cacat penglihatan itu sendiri. Saya dan kita semua faham, hampir mustahil bagi pihak MAB untuk mengubah semula kewujudan fountain yang telah sedia ada kerana ia bakal menelan kos perbelanjaan lagi. Maklumlah pihak pengurusan MAB bukanlah dari jenis yang boleh mendengar pandangan orang lain khususnya orang buta. Rasanya, selagi fountain itu masih wujud di situ, maka selagi itulah ia akan menjadi mercu tanda kepada apa yang tidak disenangi dan tidak disukai oleh masyarakat cacat penglihatan.

Barang diingat, saya sama sekali tidak berniat dan bukan berhasrat untuk menceroboh kawasan orang lain. Oleh kerana MAB adalah badan yang dipercayai oleh masyarakat umum untuk membela dan memperjuangkan nasib orang buta dan sebagai salah seorang yang berkecacatan sedemikian maka saya merasakan bahawa saya juga mempunyai kepentingan ke atas isu yang sedang melanda MAB. Tujuan utama saya ialah untuk memperolehi first hand knowledge terhadap isu yang sedang membelenggu MAB dan masyarakat cacat penglihatan. Apa yang saya ketengahkan menerusi blog ini ialah dapatan hasil pemerhatian saya petang tadi. Itu sahaja.

MAB ialah Malaysian Association For The Blind dan bukannya Mengenepikan Agenda Buta.


Buang Bayi Lagi




SemasaMesir diperintah oleh firaun dahulu, kes bunuh bayi telah pun terjadi. Walau bagaimanapun, bukan semua bayi akan dibunuh. Pada masa itu hanya bayi lelaki Bani Israel sahaja yang akan terlibat dengan titah sang firaun. Itu pun, bukan setiap tahun titah tersebut akan dilaksanakan. Pembunuhan bayi lelaki Bani Israel akan dilaksanakan secara tahun berselang. Maknanya, pembunuhan berkenaan akan dilaksanakan dua tahun sekali. Ia bertujuan untuk mengelakkan daripada pupusnya golongan lelaki di Mesir. Sudah ditakdirkan bahawa Nabi Allah Musa lahir dalam tahun di mana perintah bunuh bayi lelaki dalam kalangan Bani Israel dilaksanakan. Namun begitu, tiada siapa yang dapat menolak ketentuan Allah. Walaupun Nabi Allah Musa lahir pada tahun di mana bayi lelaki diperintah bunuh, tetapi baginda telah diselamatkan oleh Allah. Itulah yang telah berlaku dalam zaman pemerintahan sang firaun ketika itu.

Semasa zaman Jahiliyah, berlaku juga kes buang bayi. Ketika itu, apa yang terjadi sebenarnya ialah kes tanam bayi. Bukan semua bayi akan ditanam. Orang Jahiliyah akan menanam hanya bayi perempuan sahaja secara hidup-hidup. Maknanya, walaupun golongan tersebut digelar Jahiliyah, mereka masih memilih jantina bayi untuk ditanam secara hidup-hidup.

Hari ini, di bumi yang tercinta ini, kes buang bayi seolah-olahnya berlaku tanpa perikemanusiaan langsung. Bayi dibuang dengan pelbagai cara. Ada yang didera. Ada yang dibunuh begitu sahaja. Ada yang ditinggalkan dalam tong sampah, longkang atau di tempat-tempat yang tidak selayaknya. Ada juga mayat bayi yang dihanyutkan sahaja di sungai. Nasib baik tak ada buaya. Kalau tidak, tentu makan free sahaja sang reptilia berkenaan. Macam-macam kaedah digunakan untuk membuang bayi yang tidak berdosa itu. Mangsa pula tidak mengira jantina lagi. Sama ada lelaki atau perempuan nasib mereka sama sahaja. Selain itu, kes pembuangan bayi ini pula tidak mengira masa. Maka itu, kita dapat menatap berita dan cerita mengenai pembuangan bayi ini dengan kerap. Ini bermakna pembuangan bayi ini berlaku tanpa mengira musim. Tiada tahun berselang untuknya. Demikianlah.

Kes buang bayi terbaru berlaku di sebuah surau yang terletak di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Lokasinya pula tidak berapa jauh dari rumah kediaman saya sekeluarga. Pada mayat bayi itu ada sekeping nota yang ditulis dalam tulisan rumi dan jawi. Maknanya si fulan yang terlibat itu pandai baca dan tulis dalam rumi dan jawi agaknya. Kalau tak silap, antara lain isi nota berkenaan minta kepada yang menemui bayi berkenaan supaya tolong uruskan. Bunuh pandai, urus tak tahu! Orang yang telah meninggalkan mayat bayi berkenaan mungkin tidak dapat bezakan antara surau dengan rumah mayat?

Sebelum ini pun, ramai pihak yang berwibawa telah mengemukakan sebab-musabab yang menjadi punca berlakunya kes buang dan bunuh bayi seperti ini. Kalau dikumpulkan dalam bentuk tulisan, agaknya sudah berjilid buku tebalnya. Selain itu juga, pelbagai pihak yang berwibawa juga telah pun mengutarakan pelbagai kaedahbagi mengatasi masalah yang amat memalukan ini. Kalau dikumpulkan dalam bentuk tulisan, mungkin sudah berjilid juga tebalnya.

Persoalannya, mengapakah kes buang dan bunuh bayi ini masih tetap berlaku juga? Adakah sebab-musabab serta kaedah mengatasi masalah ini sebagaimana yang telah diutarakan tidak berhasil untuk mengatasi masalah yang kian kronik ini? Adakah pihak yang berkuasa tidak berkesempatan untuk membaca dan mengkaji sebab-musabab serta cadangan untuk mengatasi masalah ini sebagaimana yang telah diketengahkan itu secara terperinci?

Oleh itu, di ruang ini, saya tidak berhasrat untuk mengutarakan perkara yang serupa. Apa yang saya fikirkan dan ketengahkan nanti mungkin sama sahaja dengan apa yang telah dikemukakan sebelum ini.

Apa yang nyata menerusi kes-kes bunu dan buang bayi ini ialah, gejala tidak sihat dalam kalangan masyarakat kita semakin berleluasa. Kejahatan dan kekejaman ke atas bayi tersebut berlaku dan dilakukan sebelum dan selepas bayi itu lahir. Bayi yang tidak berdosa itu tidak akan lahir jika tiada sekurang-kurangnya dua manusia durjana yang menjadi penyebabnya. Bayi yang tidak berdosa itu juga tidak akan dibunuh dan tidak akan dibuang melainkan ia tergamak dilakukan oleh manusia yang bentuk fizikalnya sahaja macam orang tapi hati dan nalurinya lebih binatang daripada sang haiwan. Segarang-garang harimau dan singa, ia tetap menyayangi anak yang baru dilahirkannya.

Pastikan diri kita bukan salah seorang yang terlibat dengan jegala bunuh dan buang bayi seperti ini!!!


Saturday, September 8, 2012

Atlet OKU Dilanda Diskriminasi




Nampaknya sejak dua tiga hari kebelakangan, isu atlet OKU diiskriminasikan kian hangat. Kerajaan tidak bersedia untuk mengiktiraf pencapaian atlet OKU setara dan setaraf dengan atlet yang tidak OKU. Ini bermakna, kerajaan juga sama sekali tidak bersedia untuk menganugerahkan insentif serupa yang telah dianugerahkan kepada atlet yang tidak OKU kepada atlet yang OKU. Apatah lagi bilamana atlet OKU itu sendiri terkategori pula kepada beberapakategori seperti buta, anggota dan sebagainya. Sudah tentulah dari kaca mata kerajaan ia semakin tidak setara dengan atlet yang bukanOKU. Tidak kiralah apa jenis sukan dan taraf mana sukan itu sekalipun, persoalan besar yang membuatkan pihak kerajaan tidak bersedia untuk melayan atlet OKU sama rata dengan atlet yang tidak OKU ialah kerana adanya kalimah OKU di situ.

Sebenarnya pengkategorian golongan OKU kepadabeberapa kategori merupakan sesuatu yang biasa. Kalau dahulu kelazimannya golongan OKU ini terbahagi kepada 3 golongan yang utama, iaitu buta, pekak dan anggota. Hari ini, kategorinya pula semakin bertambah. Kaegori golongan OKU turut merangkumi kecacatan otak dan juga pelbagai kecacatan. Pelbagai kecacatan bermaksud seseorang itu mengalami lebih daripada satu kecacatan. Sebagai contoh, seseorang itu pada masa yang sama mungkin menghadapi masalah penglihatan dan bermasalah pendengaran. Dengan erti kata lain, selagi namanya OKU, maka ia akan terbahagi kepada beberapa kategori. Shabery mungkin tak mengetahui atau tidak diberi taklimat mengenai hal ini.

Konon khabarnya, kalau seseorang itu mengalami masalah penglihatan sebelah mata pun boleh dikategorikan sebagai OKU dan berhak menikmati apa yang boleh dinikmati oleh golongan OKU yang berkaitan. Agaknya esok atau lusa, kalau tercabut bulu roma sehelai pun sudah boleh dikategorikan sebagai OKU?

Dalam konteks negara kita pada masa ini, sikap diskriminasi terhadap golongan OKU sebenarnya sudah merupakan asam garam dalam masyarakat. Di mana sahaja dan pada bila masa sahaja golongan OKU amat terdedah dengan pendisriminasian oleh pelbagai pihak dan dalam pelbagai bentuk. Jadi, apabila sikap sedemikian melanda pula golongan atlet OKU, maka sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang menghairankan. Maknanya, kalau OKU, OKUlah juga.

Dalam konteks apa yang sedang terjadi, apa yang diperkatakan oleh sang menteri ataupun MSN, ia jelas menunjukkan betapa tidak fahamnya golongan yang masih belum jadi OKU ini dengan golongan yang OKU. Mereka gagal melihat sesuatu itu dari kaca mata OKU sendiri. Mengapa? Jawapannya mudah sahaja, kerana mereka ini masih lagi belum jadi OKU?

Kalau selama ini kita ada mendengar orang-orang besar tertentu memekik, melolong dan melaung agar layanan yang sama hendaklah diberikan kepada golongan OKU, dengan apa yang sedang melanda atlet OKU ini maka fahamlah kita semua bahawa pekikan, laungan dan lolongan mereka selama ini tidak ikhlas, tidak jujur, sekadar ingin ambil hati sahaja dan tidak keterlaluan kalau saya sifatkan ia tak ubah bagai gula-gula beracun semata-mata. Kalau hal mudah semacam ini pun kita masih tak faham, bengap sangatlah golongan OKU.

Apabila hal pendiskriminasian seperti ini berlaku, duka dan belas saya tertumpah juga kepada para guru dan murid di sekolah-sekolah khas dan juga di program pendidikan khas di sekolah-sekolah tertentu. Selama ini para guru dan murid yang berkaitan telah berhempas-pulas dan sudah bertungkus-lumus untuk berlatih dalam bidang sukan. Ada yang sampai sanggup tinggalkan kelas pada masa-masa tertentu demi untuk menjalani latihan atau untuk terlibat dalam pelbagai kejohanan di pelbagai peringkat dan di pelbagai lokasi pula. Wwalaupun kejayaan atlet OKU ini sudah sampai ke peringkat antarabangsa sekalipun, akirnya mereka tetap tidak akan dilayan sebagaimana atlet biasa. Jadi, seakan sia-sialah pengorbanan yang selama ini telah dilakukan sama ada oleh guru mahupun oleh murid sendiri. Walau setinggi mana sekalipun kejayaan bakal digapai, mereka tetap akan didiskriminasikan juga. Demikianlah malangnya rakyat Malaysia yang berstatus OKU. Agaknya dalam diam adakah kita dikategorikan sebagai warganegara kelas kedua?

Ada segelintir murid-murid khas ini memang berbakat besar dalam sukan. Ada yang sampai bertanding di luar negara dan dapat bawa pulang emas atau perak. Jika bakat mereka ini digilap lagi, saya amat yakin murid yang berbakat ini akan mampu untuk pergi lebih jauh lagi. Tidak keterlaluan jika dikatakan murid seperti ini berpotensi besar untuk menggondol emas atau perak waema di peringkat paralimpik sekalipun. Besarlah harapan mereka untuk memperolehi anugerah setara dengan atlet biasa yang lain. Alangkah malangnya bilamana pihak yang berkuasa tidak bersedia untuk mengiktiraf kejayaan mereka ini kelak? Sialnya jadi cacat???

Kalau saya tidak silap, dalam kalangan OKU sendiri ada pertubuhan atau badan bukan kerajaan yang mengkhusus dalam bidang sukan. Ada juga pertubuhan di mana dalamnya ada jawatankuasa yang mengkhusus kepada aktiviti sukan. Apa yang mereka dapat lakukan bila isu pendiskriminasian melanda atlet sukan OKU negara? Adakah hendak didiamkan sahaja hal semacam ini macam tikus jatuh ke beras?

Agaknya, pada waktu ini pun pihak kementerian yang berkaitan atau majlis yang berkenaan sedang bekerja ligat untuk menambah alasan demi alasan bagi merasionalkan keputusan mereka untuk meneruskan pendiskriminasian mereka terhadap golongan atlet OKU. Walhal, sepatutnya usaha harus digerakkan untuk mencari jalan agar atlet OKU ini diberikan layanan yang sama rata dengan atlet yang tidak OKU.

Saya amat yakin bahawa isu ini tidak akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Sedangkan isu 1% tempat untuk golongan OKU dalam sektor awam pun masih belum dapat diselesaikan walaupun ia sudah melangkaui sekitar suku abad. Rata-rata golongan OKU pula bukanlah merupakan kumpulan masyarakat yang mempunyai kroni dengan golongan ahli politik berpengaruh, apatah lagi dengan golongan orang besar negara. Golongan OKU juga bukanlah terdiri daripada golongan pendesak yang mempunyai apa-apa kekuatan dan kepentingan. Antara yang mampu kita lakukan setakat ini ialah dengan menyuarakannya seperti ini. Itu pun entah sampai bila. Silap hari bulan, esok lusa kena gam pula?


Friday, September 7, 2012

Hotel De Palma Ampang



Sejak 3 September (Isnin sebelah malam) lagi, saya mula menghadiri satu mesyuarat di bawah anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia. Mengikut surat panggilan, mesyuarat berkenaan dijangka tamat pada 8 September (Sabtu). Mesyuarat sedang berlangsung di Hotel De Palma, Ampang.



Satu keistimewaan yang ada pada hotel ini ialah di mana pada setiap waktu solat kita akan dapat mendengar seruan azan yang begitu jelas dan nyata. Justeru tentulah saya mengandaikan bahawa hotel ini berdekatan sangat dengan masjid. Satu ketika, saya ada meminta rakan sebilik menjenguk ke luar kalau-kalau dia ternampak ada masjid yang berhampiran. Katanya, dia tidak nampak pun masjid tetapi masjid yang dimaksudkan mungkin ada di sebalik bangunan yang mengelilingi hotel penginapan kami. Demikianlah pandangan mata kasar beliau.

Pada satu malam, setelah mesyuarat berakhir, saya telah turun ke lobi hotel. Seorang kakitangan hotel menyapa saya dengan begitu mesra sekali. Kami berkenalan dan terus rancak berbual. Dalam perbualan itu, saya bertanya kepada kakitangan berkenaan, dari masjid mana seruan azan yang sering saya dengar? Kakitangan berkenaan menjawab, seruan azan berkenaan dikumandangkan dari hotel ini sendiri. Saya sedikit terkejut. Kata kakitangan itu lagi, di hotel ini (De Palma Ampang), ada sebuah surau yang setaraf dengan masjid. Ia terletak di tingkat tiga. Katanya lagi, memang setiap waktu azan akan dikumandangkan. Selain itu, solat berjemaah memang dilaksanakan pada setiap waktu. Bahkan katanya lagi, solat Jumaat juga memang diadakan di surau berkenaan pada setiap Jumaat. Menurut kakitangan itu lagi, sewaktu hari raya baru-baru ini, takbir turut diadakan dan solat sunat aidil fitri juga turut diadakan di surau berkenaan.

Menurut kakitangan berkenaan lagi, memang ada kakitangan tetap hotel yang bertugas sebagai imam dan bilal di surau berkenaan. Untuk solat Jumaat pula, selain kakitangan hotel dan mereka yang sedang berurusan yang menjadi jemaahnya, orang yang tinggal di sekitar juga boleh datang untuk sama-sama mengerjakan solat Jumaat di situ. Bagi saya, maklumat yang saya perolehi daripada kakitangan berkenaan sungguh mengujakan. Setakat yang saya ketahui, jarang sangat sebuah hotel menyediakan kemudahan solat kepada pengunjung Islam sebegitu rupa.



Alhamdulillah, tengah hari tadi saya berkesempatan untuk mengerjakan solat Jumaat di Hotel De Palma Ampang. Nama suraunya ialah Surau Jumaat Nurul Hikmah. Sebagaimana yang saya nyatakan, ia terletak di tingkat 3 hotel berkenaan. Inilah kali pertama saya berpengalaman engerjakan solat Jumaat dalam sebuah hotel. Mengikut saksi mata, para jemaah yang hadir memang ramai. Tempat solatnya juga selesa dan berhawa dingin. Berdasarkan beberapa pengumuman yang telah disampaikan oleh pihak pentadbir surau sebelum bermulanya solat Jumaat tadi, selain daripada mengadakan solat secara berjemaah 5 waktu, surau ini juga aktif dalam menganjurkan siri kuliah dan ceramah sama ada dalam bahasa Melayu mahupun dalam bahasa Inggeris. Manakala audiennya pula terdiri daripada kakitangan hotel dan juga mereka yang menginap di hotel ini. Di samping itu, surau ini juga turut menganjurkan majlis qurban bersempena dengan hari raya haji yang akan datang.



Inilah antara keunikan yang ada pada Hotel De Palma Ampang. Semoga perkara yang baik ini akan sentiasa berlanjutan sampai bila-bila. Manakala kita pula selaku umat Muhammad, sepatutnya mendoakan agar kebakan yang sedang dilakukan oleh pihak hotel De Palma akan berkekalan dan sentiasa dalam rahmat Allah hendaknya.



Saya sekadar berkongsi perkara menarik yang saya alami sendiri.

Thursday, September 6, 2012

Selamat Berblog Kepada Blaise Yong


Sekitar dua hari lalu, saya dapat maklumat bahawa salah seorang bekas anak murid saya baru sahaja mempunyai blog sendiri. Bekas murid yang saya maksudkan ialah Blaise Yong Jih Jee.



Minat Blaise Yong terhadap ICT memang tiada taranya. Adakalanya minatnya yang tinggi sedikit membuatkan beliau teralpa dengan pelajarannya, tapi ia tidaklah kritikal.

Saya tidak boleh ucapkan “Selamat datang ke alam maya sebagaimana biasa” kerana Blaise Yong sudah pun berada di alam maya menerusi kaedah lain. Apa yang belum beliau ada selama ini ialah blog. Jadi, kepada Blaise Yong, saya ucapkanselamat berblog. Bersama-samalah kita semarakkan dunia maya ini menerusi kaedah blog.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada Mohamad Razlan kerana sudi berkongsi maklumat di atas dengan kita semua.

Sesiapa yang berkesudian, silalah lawati www.kenatembak.blogspot.com


Coretan Ringkas Tentang Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir



Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir di atas pulangnya Allahyarham ke rahmatullah petang semalam. Selaku salah seorang bekas murid beliau, tentunya saya turut merasai kehilangan dengan kembalinya Allahyarham kepada Penciptanya buat selama-lamanya.

Malam tadi, baru saya mendapat berita mengenai pulangnya Allahyrham Datuk Mahadzir Mohd Khir ke rahmatullah. Oleh kerana waktu itu saya agak kesibukan dan keletihan, maka saya pendamkan dahulu sedikit nukilan yang seharusnya saya kongsikan untuk kita bersama menerusi blog ini.

Menurut sumber berita, Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.30 petang semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Manakala jenazah beliau telah selamat dikebumikan sekitar jam 11.30 pagi tadi. Penyakit jantung dikatakan menjadi asbab kepada kematian beliau.

Saya mula mengenali Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir semasa menuntut di Universiti Malaya (UM) pada akhir dekad 80-an lalu. Pada ketika itu, Allahyarham Datuk Mahadzir merupakan salah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah, UM. Sewaktu saya di tahun akhir pengajian, saya telah mengambil kertas kendalian beliau iaitu AE344 mengenai perkembangan politik Semenanjung Malaysia sehingga terkini (1990).

Bagi saya, cara beliau mengendalikan kuliahnya biasa sahaja. Namun begitu, ketokohan beliau sebagai seoran ahli dan tokoh akademik terserlah bilamana saya mengikuti kelas tutorial kendalian Allahyarham. Saya masih ingat lagi, kumpulan tutorial yang mana saya adalah salah seorang ahlinya akan mengikuti kelas berkenaan dalam bilik Allayarham sendiri. Manakala Allahyarham pula akan sentiasa memastikan saya duduk betul-betul di hadapan beliau. Pernah juga saya cuba duduk di belakang sedikit, beliau pasti akan menyuruh saya menukar tempat dan duduk semula di hadapan beliau sebagaimana biasa. Begitulah.

Dalam kelas tutorial, semua penuntut akan diberi peluang untuk meluahkan pandangan dan pendapat masing-masing secara bebas asalkan ia berasaskan fakta. Allahyarham pasti akan seronok apabila mana-mana penuntutnya dapat menganalisis sesuatu isu politik secara ilmiah.

Seperkara yang semestina membuatkan saya tidak akan melupakan beliau untuk selama-lamanya ialah sikap beliau yang menghormati pendapat dan pandangan orang lain walaupun pendapat atau pandangan tersebut tidak sealiran dengan beliau. Hal sedemikian pernah saya alami sendiri. Suatu ketika, tatkala saya sedang melalui di hadapan biliknya di Jabatan Sejarah, Allahyarham telah menegur saya. Mugkin pada ketika itu beliau mempunyai sedikit waktu, lalu beliau terus bertanya pandangan saya mengenai isu politik yang hangat ketika itu iaitu mengenai pilihanraya ke-8 (1990) serta peluang UMNO untuk mengekalkan kuasanya. Maklumlah waktu itu UMNO sudah pun berpecah dengan kemunculan Parti Melayu Semangat 46. Saya pun terus melontarkan idea spontan yang terfikir oleh saya. Setelah mendengar lontaran buah fikiran saya, beliau terus berkata, “Menarik”, lalu mengajak saya masuk ke dalam biliknya. Di sini kami bercakap lebih panjang lagi mengenai isu politik yang dibincangkan. Apa yang nyata ialah lontaran buah fikiran saya tidak sealiran dengan pendapat beliau. Namun demikian beliau sama sekali tidak mengatakan bahawa pegangan dan pandangan saya salah sama sekali. Sebaliknya beliau hanya berkata, “saya menghormati pandangan Zakaria.”

Suatu ketika, sewaktu saya masuk ke dewan kuliah untuk mengikuti kuliah beliau, Allahyarham telah datang menghampiri saya dan bertanya: “Ada reader tak?” Saya menjawab: “belum cukup lagi.” Lalu Allahyarham pun segera membuat permohonan kepada seisi kuliah agar ada yang sudi untuk menjadi pembaca sukarela untuk saya. Oleh kerana yang buat permohonan adalah pensyarah, maka ramai juga yang segera menawarkan diri untuk membantu saya.

Sikap prihatin Allahyarham tidak terhenti setakat itu sahaja. Selang seminggu beliau datang berjumpa saya sebelum kuliah bermula dan bertanya sama ada mereka yang telah menawarkan diri sebagai pembaca sebelumnya benar-benar telah melaksanakan apa yang dipersetujui. Saya sekadar menjawab: “Semua OK.” Walhal tidak semua yang benar-benar datang membantu sebagaimana yang mereka telah maklumkan kepada Allahyarham. Namun begitu, saya rasa jawapan saya adil. Selang seminggu kemudiannya, beliau bertanya soalan yang sama juga dan saya tetap memberikan jawapan yang serupa juga. Sebenarnya ada dalam kalangan rakan sekuliah saya ketika itu yang benar-benar telah membantu saya hasil daripada permohonan Allahyarham. Begitulah prihatinya Allahyarham terhadap penuntut seperti saya. Ia akan saya kenang buat salama-lamanya.

Antara kenangan paling manis tentang Allahyarham ialah apabila saya mendapat A dalam peperiksaan untuk kertas kendalian beliau. Saya yakin apa yang saya perolehi itu bukan kerana simpati tetapi mungkin disebabkan saya ada sedikit bakat dalam menganalisis isu-isu yang berkaitan dengan politik. Lagipun, bukan semua penuntut buta yang pernah mengambil kertas kendalian beliau mendapat A.

Pada tahun 1999 menerusi pilihanraya ke-10, Allahyarham Datuk Mahadzir telah memenangi kerusi parlimen Sungai Petani dan seterusnya beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran. Penglibatan beliau dalam politik menerusi UMNO telah saya jangka. Ini berdasarkan pendapat beliau mengenai politik yang pernah beliau utarakan. Manakala pada tahun 2004 pula, menerusi pilihanraya ke-11 beliau telah berjaya mengekalkan kemenangannya untuk kerusi parlimen Sungai Petani untuk penggal kedua berturut-turut.

Bagi saya, Allahyarham Datuk Mahadzir merupakan seorang penganalisis politik yang sentiasa berterus-terang. Saya juga dapat merasakan betapa semangat untuk melihat bangsa Melayu ke hadapan sentiasa berkobar dalam sanubarinya. Beliau pernah berkata kepada saya, kalau orang Melayu lupa pada sejaranya, mereka akan hanyut.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham Datuk Mahadzir amat saya rasai. Beliau adalah guru politik saya. Maka itulah, walaupun saya bukan seorang ahli politik, tetapi berkat tunjuk ajarnya, sekali-sekala terlontar juga pandangan saya mengenai sesuatu isu politik.

Mudah-mudahan roh Allahyarham akan sentiasa dalam peliharaan Allah hendaknya. Lagipun salah satu daripada 3 amalan yang tidak akan putus walaupun setelah seseorang anak Adam (manusia) itu meninggal dunia ialah ilmu bermanfaat yang telah diajarkannya kepada orang lain. Itulah yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham kepada saya dan murid-muridnya.

Alfatihah ....

Maklumat Tambahan:

1. Reader ialah pembaca sukarela dalam kalangan penuntut yang berpenglihatan yang akan membacakan pelbagai bahan yang diperlukan kepada penuntut cacat penglihatan secara sukarela. Mereka tidak dibayar dalam apa bentuk sekalipun. Khidmat mereka amat diperlukan kerana bahan-bahan bacaan dan rujukan tidak terdapat dalam tulisan Braille.



Monday, September 3, 2012

Berita Malam

Norazman Sukerman Masuk Hospital

Adalah dimaklumkan bahawa salah seorang sahabat kita (cacat penglihatan), Saudara Norazman bin Sukerman telah dimasukkan ke Hospital Selayang sehari dua yang lalu. Menurut balasan SMS beliau kepada saya awal malam ini, beliau dimasukkan ke hospital kerana diserang sakit jantung.

Kepada Saudara Norazman dan keluarga, harap bersabar menerima ujian dari Allah ini. Banyakkan rehat dan semoga cepat sembuh.

Kepada rakan-rakan yang lain, marilah bersama-sama kita mendoakan semoga Saudara Norazman akan cepat sembuh supaya beliau boleh menjalani kehidupan seperti sediakala. Kepada yang berkesempatan, bolehlah menziarahi beliau.

Sunday, September 2, 2012

Berita Petang

Ahli PERTIS Terengganu Kembali Ke Rahmatullah

Seorang ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu, Pn. Imbab Ahmad telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi tadi. Imbab merupakan salah seorang penuntut kelas Alquran (Alquran Braille) anjuran PERTIS Terengganu. Menurut sumber berita, beliau sebelum ini ada menghidapi penyakit asma tetapi mungkin penyakitnya tidak begitu serius, maka itu beliau masih lagi mengikut kelas yang dianjurkan.

Kepada ahli keluarga allahyarhamha, seluruh warga PERTIS mengucapkan takziah di atas kembalinya beliau ke rahmatullah. Sama-samalah kita berdoa semoga rohnya sentiasa dalam peliharaan Allah hendaknya.

Alfatihah ....

Salam dari Jasin.

Saturday, September 1, 2012

Bertandang Ke JB Lagi




Sekitar jam 2.45 petang sebentar tadi, saya sekeluarga telah selamat tiba di Bandaraya Johor Baru. Kami turut disertai oleh ibu saya serta seorang anak saudara kami. Insha-Allah, kami sekeluarga akan berada di sini sehinggalah pagi esok. Kami menginap di hotel yang sama ketika saya menghadiri mesyuarat dwitahunan SBM pada bulan Jun lalu. Semasa check in tadi, salah seorang kakitangan di kaunter hotel masih mengingati saya, begitulah katanya.

Kalau hendak ikutkan jemputan, pada hari ini(Sabtu) sahaja saya telah menerima sekitar 5 jemputan ke rumah terbuka serta ke majlis lain. Ini termasuklah jemputan ke majlis perkahwinan anak seorang ADUN. Namun demikian, semua jemputan tersebut terpaksa saya ketepikan dahulu untuk memberi ruang dan laluan bagi saya sekeluarga untuk menziarahi salah seorang bapa saudara saya yang bermastautin di JB. Tentulah bapa saudara saya yang ini mempunyai keistimewaan tersendiri dalam hidup saya terutamanya semasa saya menuntut di SKPK Princess Elizabeth dahulu. Maka itulah juga, beberapa orang rakan yang seangkatan dengan saya ketika itu masih mengingati beliau hingga ke hari ini.

Semasa cuti hari raya puasa lalu, saya mendengar khabar bahawa bapa saudara saya yang ini tidak sihat. Namun begitu saya tidak pasti sejauh mana tahap kesihatannya. Pagi semalam (Jumaat) saya telah menghubungi beliau dan bila ditanya khabar, beliau hanya menjawab, “Tidak sihat”. Setakat yang saya tahu, sebelum ini, selagi beliau merasakan dirinya sihat, beliau akan menjawab “sihat” bila ditanya khabar walaupun mungkin ketika itu beliau sebenarnya tidak sihat. Jadi bila bapa saudara saya yang ini menjawab “tidak sihat” bila saya bertanya khabar, maka tentulah beliau benar-benar berada dalam keadaan yang tidak sihat. Maka itu, saya merasakan amat wajarlah bila saya memutuskan untuk menziarahi beliau hari ini. Justeru, saya terpaksa mengenepikan dahulu semua jemputan lain.

Kepada mereka yang telah sudi menjemput saya, berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan. Sesungguhnya saya terpaksa membuat pilihan untuk menziarahi bapa saudara sendiri yang sedang sakit daripada menghadiri majlis yang bersifat sukaria. Berbanyak-banyak maaf saya pohonkan kerana kali ini saya tidak dapat memenuhi jemputan kalian.

Salam dari JB.