Thursday, September 6, 2012

Coretan Ringkas Tentang Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir



Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir di atas pulangnya Allahyarham ke rahmatullah petang semalam. Selaku salah seorang bekas murid beliau, tentunya saya turut merasai kehilangan dengan kembalinya Allahyarham kepada Penciptanya buat selama-lamanya.

Malam tadi, baru saya mendapat berita mengenai pulangnya Allahyrham Datuk Mahadzir Mohd Khir ke rahmatullah. Oleh kerana waktu itu saya agak kesibukan dan keletihan, maka saya pendamkan dahulu sedikit nukilan yang seharusnya saya kongsikan untuk kita bersama menerusi blog ini.

Menurut sumber berita, Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.30 petang semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Manakala jenazah beliau telah selamat dikebumikan sekitar jam 11.30 pagi tadi. Penyakit jantung dikatakan menjadi asbab kepada kematian beliau.

Saya mula mengenali Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir semasa menuntut di Universiti Malaya (UM) pada akhir dekad 80-an lalu. Pada ketika itu, Allahyarham Datuk Mahadzir merupakan salah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah, UM. Sewaktu saya di tahun akhir pengajian, saya telah mengambil kertas kendalian beliau iaitu AE344 mengenai perkembangan politik Semenanjung Malaysia sehingga terkini (1990).

Bagi saya, cara beliau mengendalikan kuliahnya biasa sahaja. Namun begitu, ketokohan beliau sebagai seoran ahli dan tokoh akademik terserlah bilamana saya mengikuti kelas tutorial kendalian Allahyarham. Saya masih ingat lagi, kumpulan tutorial yang mana saya adalah salah seorang ahlinya akan mengikuti kelas berkenaan dalam bilik Allayarham sendiri. Manakala Allahyarham pula akan sentiasa memastikan saya duduk betul-betul di hadapan beliau. Pernah juga saya cuba duduk di belakang sedikit, beliau pasti akan menyuruh saya menukar tempat dan duduk semula di hadapan beliau sebagaimana biasa. Begitulah.

Dalam kelas tutorial, semua penuntut akan diberi peluang untuk meluahkan pandangan dan pendapat masing-masing secara bebas asalkan ia berasaskan fakta. Allahyarham pasti akan seronok apabila mana-mana penuntutnya dapat menganalisis sesuatu isu politik secara ilmiah.

Seperkara yang semestina membuatkan saya tidak akan melupakan beliau untuk selama-lamanya ialah sikap beliau yang menghormati pendapat dan pandangan orang lain walaupun pendapat atau pandangan tersebut tidak sealiran dengan beliau. Hal sedemikian pernah saya alami sendiri. Suatu ketika, tatkala saya sedang melalui di hadapan biliknya di Jabatan Sejarah, Allahyarham telah menegur saya. Mugkin pada ketika itu beliau mempunyai sedikit waktu, lalu beliau terus bertanya pandangan saya mengenai isu politik yang hangat ketika itu iaitu mengenai pilihanraya ke-8 (1990) serta peluang UMNO untuk mengekalkan kuasanya. Maklumlah waktu itu UMNO sudah pun berpecah dengan kemunculan Parti Melayu Semangat 46. Saya pun terus melontarkan idea spontan yang terfikir oleh saya. Setelah mendengar lontaran buah fikiran saya, beliau terus berkata, “Menarik”, lalu mengajak saya masuk ke dalam biliknya. Di sini kami bercakap lebih panjang lagi mengenai isu politik yang dibincangkan. Apa yang nyata ialah lontaran buah fikiran saya tidak sealiran dengan pendapat beliau. Namun demikian beliau sama sekali tidak mengatakan bahawa pegangan dan pandangan saya salah sama sekali. Sebaliknya beliau hanya berkata, “saya menghormati pandangan Zakaria.”

Suatu ketika, sewaktu saya masuk ke dewan kuliah untuk mengikuti kuliah beliau, Allahyarham telah datang menghampiri saya dan bertanya: “Ada reader tak?” Saya menjawab: “belum cukup lagi.” Lalu Allahyarham pun segera membuat permohonan kepada seisi kuliah agar ada yang sudi untuk menjadi pembaca sukarela untuk saya. Oleh kerana yang buat permohonan adalah pensyarah, maka ramai juga yang segera menawarkan diri untuk membantu saya.

Sikap prihatin Allahyarham tidak terhenti setakat itu sahaja. Selang seminggu beliau datang berjumpa saya sebelum kuliah bermula dan bertanya sama ada mereka yang telah menawarkan diri sebagai pembaca sebelumnya benar-benar telah melaksanakan apa yang dipersetujui. Saya sekadar menjawab: “Semua OK.” Walhal tidak semua yang benar-benar datang membantu sebagaimana yang mereka telah maklumkan kepada Allahyarham. Namun begitu, saya rasa jawapan saya adil. Selang seminggu kemudiannya, beliau bertanya soalan yang sama juga dan saya tetap memberikan jawapan yang serupa juga. Sebenarnya ada dalam kalangan rakan sekuliah saya ketika itu yang benar-benar telah membantu saya hasil daripada permohonan Allahyarham. Begitulah prihatinya Allahyarham terhadap penuntut seperti saya. Ia akan saya kenang buat salama-lamanya.

Antara kenangan paling manis tentang Allahyarham ialah apabila saya mendapat A dalam peperiksaan untuk kertas kendalian beliau. Saya yakin apa yang saya perolehi itu bukan kerana simpati tetapi mungkin disebabkan saya ada sedikit bakat dalam menganalisis isu-isu yang berkaitan dengan politik. Lagipun, bukan semua penuntut buta yang pernah mengambil kertas kendalian beliau mendapat A.

Pada tahun 1999 menerusi pilihanraya ke-10, Allahyarham Datuk Mahadzir telah memenangi kerusi parlimen Sungai Petani dan seterusnya beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran. Penglibatan beliau dalam politik menerusi UMNO telah saya jangka. Ini berdasarkan pendapat beliau mengenai politik yang pernah beliau utarakan. Manakala pada tahun 2004 pula, menerusi pilihanraya ke-11 beliau telah berjaya mengekalkan kemenangannya untuk kerusi parlimen Sungai Petani untuk penggal kedua berturut-turut.

Bagi saya, Allahyarham Datuk Mahadzir merupakan seorang penganalisis politik yang sentiasa berterus-terang. Saya juga dapat merasakan betapa semangat untuk melihat bangsa Melayu ke hadapan sentiasa berkobar dalam sanubarinya. Beliau pernah berkata kepada saya, kalau orang Melayu lupa pada sejaranya, mereka akan hanyut.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham Datuk Mahadzir amat saya rasai. Beliau adalah guru politik saya. Maka itulah, walaupun saya bukan seorang ahli politik, tetapi berkat tunjuk ajarnya, sekali-sekala terlontar juga pandangan saya mengenai sesuatu isu politik.

Mudah-mudahan roh Allahyarham akan sentiasa dalam peliharaan Allah hendaknya. Lagipun salah satu daripada 3 amalan yang tidak akan putus walaupun setelah seseorang anak Adam (manusia) itu meninggal dunia ialah ilmu bermanfaat yang telah diajarkannya kepada orang lain. Itulah yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham kepada saya dan murid-muridnya.

Alfatihah ....

Maklumat Tambahan:

1. Reader ialah pembaca sukarela dalam kalangan penuntut yang berpenglihatan yang akan membacakan pelbagai bahan yang diperlukan kepada penuntut cacat penglihatan secara sukarela. Mereka tidak dibayar dalam apa bentuk sekalipun. Khidmat mereka amat diperlukan kerana bahan-bahan bacaan dan rujukan tidak terdapat dalam tulisan Braille.



No comments: