Siang tadi (26 Ogos), saya dan keluarga berkesempatan menghadiri majlis pertunangan dan pernikahan salah seorang anak jiran terdekat kami. Sepatutnya saya sekeluarga ke Temerloh kerana esok anak buah sebelah isteri saya akan melangsungkan pernikahannya. Namun demikian, setelah mengcongak masa yang ada, saya telah memutuskan untuk pergi ke Temerloh pada awal pagi 27 Ogos nanti.
(Pasangan mempelai)
Faiz adalah anak kepada jiran terdekat kami, Kak Ila dan Abang Adnin. Jiran ini cukup baik dengan kami. Sejak saya berjiran dengan keluarga mereka, boleh dikatakan tiada masalah langsung antara kami, alhamdulillah. Kalau ada perkara kecil yang berbangkit, cepat-cepat kami selesaikan menerusi perbincangan santai. Segalanya mudah diatasi. Lagi pun, Faiz pernah bersekolah di sekolah tempat isteri saya bertugas.
Jadi bila jiran yang cukup baik ini mengadakan majlis pernikahan anak mereka, rasanya kurang manis untuk saya meninggalkan majlis mereka begitu saja. Maka itulah juga saya telah menangguhkan pemergian kami ke Temerloh.
Majlis pertunangan dan akad nikah telah diadakan pada hari yang sama (26 Ogos). Saya telah hadir di kedua-dua majlis berkenaan. Kedua-dua majlis telah berlangsung di Setia Wangsa, iaitu hampir dengan kediaman keluarga pengantin perempuan.
Di sebelah paginya, kira-kira jam 11.00 pagi, majlis pertunangan telah dilangsungkan. Sebagaimana yang diharapkan, majlis pertunangan telah berjalan lancar.
Di bawah ini dikongsikan sebahagian foto semasa majlis pertunangan berlangsung.
(Majlis pertunangan di sebelah pagi)
Manakala majlis akad nikah pula telah diadakan di tempat yang sama iaitu sekitar jam 2.30 petang. Majlis juga telah berjalan dengan lancar. Dengan sekali lafaz sahaja, Faiz sudah pun bergelar suami.
(Majlis pernikahan di sebelah petang)
Majlis kenduri pula akan berlangsung pada 27 Ogos. Saya sekeluarga tidak dapat hadir untuk majlis kenduri ini kerana selepas subuh nanti saya dan keluarga akan bergegas ke Temerloh pula.
Kepada Kak Ila dan Abang Adnin, selamat menerima menantu sulung. Kepada pasangan mempelai, selamat pengantin baru diucapkan. Doa kami semoga kekal bahagia hingga ke syurga.
No comments:
Post a Comment