Friday, August 18, 2017

PERTIS Negeri Sembilan Sudah Dibubarkan




Baru-baru ini saya mendapat khabar iaitu Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Negeri Sembilan telah dibubarkan. Saya terkejut dengan berita tersebut. Akhirnya salah seorang AJK kanan PERTIS Pusat telah mengesahkan berita berkenaan kepada saya. Beliau turut memberikan beberapa sebab mengapa PERTIS Negeri Sembilan terpaksa dibubarkan. Pejabat PERTIS Negeri Sembilan juga sudah ditutup dan bangunannya pun sudah diserahkan kembali kepada pemilik asalnya.

(Majlis Aidil Fitri di Pejabat PERTIS Negeri Sembilan pada 1 September 2013)


Seingat saya, PERTIS Negeri Sembilan telah dilancarkan penubuhannya pada tahun 2009. Ia menjadikan PERTIS Negeri Sembilan sebagai cawangan keempat PERTIS di peringkat negeri ketika itu. Pelancaran PERTIS Kedah sebagai cawangan PERTIS yang kelima telah menyusul kemudiannya.

Sejak itu, PERTIS mempunyai 5 cawangan di peringkat negeri yang turut merangkumi Pahang, Kelantan dan Terengganu. Ia tidak termasuk ibu pejabat PERTIS Pusat di Kuala Lumpur yang turut menguruskan ahli di Kuala Lumpur, Selangor serta di negeri-negeri yang mana PERTIS masih belum mempunyai cawangan. Saya rasa sudah menjadi cita-cita sebahagian besar ahli PERTIS agar suatu hari nanti PERTIS akan mempunyai cawangannya di setiap negeri di Malaysia.

Bagi saya, pembubaran PERTIS Negeri Sembilan merupakan satu langkah ke belakang. Ia telah membantutkan cita-cita sebilangan ahli PERTIS lain untuk melihat cawangan PERTIS ada di setiap negeri. Adalah juga dibimbangi pembubaran PERTIS Negeri Sembilan akan dituruti oleh PERTIS cawangan di negeri lain pula kerana cawangan PERTIS yang “sakit” bukannya satu. Mudah-mudahan khabar yang menggerunkan ini tidak menjadi realiti.

Sebenarnya kedudukan PERTIS Negeri Sembilan sebagai sebuah cawangan yang tidak aktif bukanlah perkara baru. Sejak dari dahulu lagi PERTIS Negeri Sembilan merupakan antara cawangan PERTIS yang kurang aktif. Namun demikian, pada masa lalu, PERTIS Pusat sentiasa memberi sokongan padu terhadap mana-mana cawangannya yang kurang aktif termasuklah PERTIS Negeri Sembilan. Bila PERTIS Negeri Sembilang menganjurkan sebarang aktiviti, lazimnya kehadiran ahli PERTIS dari KL lebih ramai daripada ahli di Negeri Sembilan sendiri. Di samping itu, PERTIS Negeri Sembilan juga pernah muncul antara cawangan PERTIS yang mempunyai dana yang agak besar.

(Bengkel Alquran Braille anjuran bersama Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan pada Jun 2011)


Selain itu, pihak berkuasa agama di Negeri Sembilan juga mempunyai hubungan yang baik dengan PERTIS Negeri Sembilan. Bahkan para pegawai daripada jabatan yang berkaitan pernah memberi jaminan kepada saya (waktu itu saya masih lagi selaku YDP Pusat) bahawa mereka sentiasa bersedia untuk bekerjasama bagi menganjurkan sebarang aktiviti yang bermanfaat kepada ahli-ahli PERTIS Negeri Sembilan.

Di samping itu, pada hemat saya, jika pertolongan dan bantuan mereka diperlukan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terutamanya menerusi FPQS juga tidak akan keberatan untuk menghulurkan sebarang bentuk kerjasama. Lagipun sememangnya sudah ada MOU kerjasama antara PERTIS Pusat dan USIM yang sepatutnya sudah lama dimanfaatkan oleh PERTIS Negeri Sembilan.

Berdasarkan sokongan daripada dua pihak di atas, sepatutnya PERTIS Negeri Sembilan tiada masalah untuk melaksanakan aktiviti yang bersesuaian dan bermanfaat terutamanya kepada ahli-ahli PERTIS Negeri Sembilan sendiri. PERTIS Negeri Sembilan sepatutnya sudah lama mengambil peluang untuk terus maju dan benar-benar berfungsi hasil jalinan hubungan yang rapat serta kerjasama erat daripada pihak-pihak berkenaan.

Seperkara lagi, sudah tentulah para ahli bawahan seperti saya akan tertanya-tanya, bagaimana PERTIS Negeri Sembilan harus dibubarkan sedangkan pada masa sama ada sebuah lagi cawangan badan bukan kerajaan lain yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan di Negeri Sembilan yang masih hidup dan tidak dibubarkan? Dari sudut tempoh masa pula, cawangan badan bukan kerajaan tersebut lebih awal ditubuhkan daripada PERTIS dan ia masih lagi berfungsi hingga sekarang. Adakah PERTIS Pusat sudah membuat sedikit kajian bagaimana cawangan badan bukan kerajaan yang berkenaan masih terus berfungsi biar pun mereka juga turut sama dilanda pelbagai masalah? Adakah keputusan membubarkan PERTIS Negeri Sembilan diambil bertujuan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang ada secara singkat dan mudah?

Besarlah harapan saya dan juga mungkin sebilangan besar ahli PERTIS yang lain supaya pembubaran yang telah berlaku merupakan pembubaran terakhir dalam PERTIS. Selepas ini amatlah diharapkan agar tiada lagi berlaku pembubaran mana-mana cawangan PERTIS yang masih ada. Kita juga sama-sama berdoa agar PERTIS Negeri Sembilan dapat dihidupkan semula dengan iltizam dan semangat baru yang lebih padu.


No comments: