Monday, October 12, 2009

Bicara Politik

Bagan Pinang: UMNO/BN Belum Runtuh

Semalam, 11 Oktober, telah berlangsung pilihanraya kecil bagi DUN
Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Menurut keputusan rasmi yang telah
diumumkan pada sekitar jam 8 malam semalam, Tan Sri Mohd Isa Abdul
Samad dari UMNO/BN memperolehi 8,013 undi. Manakala calon PAS yang
juga merupakan sekutu Pakatan Rakyat (PR), Zulkefli Mohd Omar pula
memperoleh 2,578 undi. Majoriti yang diperolehi oleh Tan Sri Isa
ialah sebanyak 5,435 undi. Nampaknya majoriti yang diperolehi oleh
Tan Sri Mohd Isa jauh lebih besar jika dibandingkan dengan Majoriti
yang telah diperolehi oleh calon UMNO/BN sebelumnya, Allahyarham Azman
Mohd Noor dalam pilihanraya umum lalu yang memperolehi majoriti
sebanyak 2,333 undi. Calon PAS telah kalah di kesemua 18 saluran
undi. Peratusan pengundi yang keluar pula ialah 81.65% iaitu tinggi
sedikit jika dibandingkan dengan peratusan pengundi dalam pilihanraya
umum tahun lalu iaitu sebanyak 81.59%.

Berdasarkan keputusan pilihanraya kecil di DUN Bagan Pinang semalam,
beberapa perkara dapat diperkatakan. Yang paling ketara di sini
ialah, nampaknya UMNO/BN di sebelah selatan Semenanjung masih belum
diambang keruntuhannya. Ini dibuktikan dengan majoriti besar yang
diperolehi oleh Tan Sri Mohd Isa dalam pilihanraya kecil semalam.
Majoritinya jauh lebih besar daripada majoriti yang pernah diraih oleh
UMNO/BN dalam pilihanraya umum pada 8 Mac tahun lalu. Kalau pun
ditolak undi pos yang dianggarkan sebanyak 4,500, UMNO/BN masih punya
majoriti sebanyak 935 undi. Ini bermakna, dalam memperkatakan
kemenangan Tan Sri Isa semalam, undi pos bukan lagi faktor penentu
yang domenan. Sokongan khususnya daripada orang Melayu di bahagian
selatan Semenanjung terhadap UMNO/BN masih kuat dan utuh. Mereka
tetap memilih calon yang mewakili UMNO/BN walaupun calon berkenaan
pernah digantung selama tiga tahun oleh partinya sendiri gara-gara
dikaitkan dengan politik wang. Nampaknya jolokan The Heartland Of
UMNO masih lagi relevan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

Selain itu, pada perkiraan saya juga, dua insiden yang berlaku di
awal kempen dan juga tatkala kempen hampir di penghujungnya juga turut
memberi kesan kepada pengundi. Semasa di awal kempen, Datuk Abdul
Aziz Abdul Rahim dikatakan telah diserang oleh beberapa orang
penyokong PR. Media pendokong UMNO/BN tanpa membuang masa telah
mengeksploitasi dan memanipulasikan berita tersebut secara
besar-besaran. Soal betul atau tidak bukan lagi dijadikan ukuran.
Insiden seperti ini telah memberi peluang dan ruang yang cukup baik
kepada UMNO/BN untuk meraih undi simpati khususnya daripada pengundi
atas pagar.

Ia disusuli pula oleh insiden kononnya penyokong UMNO/BN dikatakan
telah menyerang dan telah mencederakan seorang penyokong PR. Sekali
lagi media pendokong UMNO/BN telah memainkan peranannya dengan baik.
Kesahihan insiden tersebut telah dipertikaikan secara besar-besaran.
Oleh kerana PR gagal mengemukakan bukti kukuh dalam masa singkat, maka
kesempatan itu telah dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh UMNO/BN dengan
mendakwa insiden tersebut merupakan rekaan PR semata-mata untuk meraih
undi simpati.

Selain itu, poster yang menunjukkan Datuk Seri Mohd Najib sedang
berdiri tatkala menziarahi Tuan Guru Nik Aziz yang sedang terbaring
juga memberi kesan psykologi yang besar kepada para pengundi. Ia
menunjukkan seolah-olah Datuk Seri Mohd Najib lebih prihatin dan
keprihatinanya pula tanpa mengira sempadan dan fahaman politik. Bukan
tak ada orang/pemimpin PAS yang pernah menziarahi pemimpin UMNO yang
sedang sakit, tetapi mereka ini (orang/pemimpin PAS) tidak selicik
orang UMNO/BN dalam mengeksploitasi setiap kesempatan yang ada.

Di samping itu, pengaruh besar yang masih dipunyai oleh tan Sri Mohd
Isa khususnya di Bagan Pinang turut menyumbang kepada kemenangan besar
beliau semalam. Keakraban Tan Sri Mohd Isa dengan penduduk setempat
telah memberi kelebihan tersendiri kepadanya dalam meraih undi yang
lebih besar. Walaupun pihak lawan cuba mengaitkan Tan Sri Mohd Isa
dengan kesalahan politik wang, namun bagi penduduk setempat budi dan
jasa Tan Sri Mohd Isa kepada mereka lebih besar nilainya dari itu.
Justeru bagi mereka tiada sebab untuk menolak Tan Sri Mohd Isa begitu
sahaja. Kelebihan yang meyakinkan semakin dirasai oleh Tan Sri Mohd
Isa bilamana calon lawan, Zulkefli Mohd Omar, bukan orang Bagan
Pinang.

Dari segi isu yang berbangkit dalam kempen pilihanraya kecil itu
pula, pada perkiraan saya, tiada isu setempat yang benar-benar boleh
memberi kelebihan kepada PR. Mungkin orang Bagan Pinang telah cukup
selesa dengan apa yang ada pada mereka hari ini. Justeru apa sahaja
isu nasional yang diketengahkan oleh PAS/PR nampaknya tidak memberi
bekas dan tidak menggugat sokongan dan dokongan mereka kepada Tan Sri
Mohd Isa Abdul Samad.

Seperkara yang telah saya jangka dari awal ialah, kemenangan UMNO/BN
di Bagan Pinang pasti bakal mendapat liputan khasnya daripada media
arus perdana secara meluas, besar-besaran dan secara berlebihan. Hari
ini, pelbagai ulasan daripada pelbagai pihak mengenai kemenangan
tersebut terus menjadi jajaan media berkenaan. Daripada kalangan
menteri, sehinggalah kepada golongan mereka yang tidak dikenali,
semuanya diberi ruang untuk mengulas secara ampu puji mengenai
kemenangan semalam. Mungkin oleh kerana seronok sangat dengan
kemenangan semalam, pihak berkenaan lupa pada angka 7 – 2, 7 kali
kemenangan untuk PR dan baru 2 kemenangan kepada UMNO/BN.

Walau bagaimanapun, dengan kemenangan besar semalam, UMNO/BN masih
belum boleh lagi mendakwa bahawa ia merupakan parti yang kukuh atau
mula diterima rakyat. Ini kerana, setelah berlalu 8 pilihanraya kecil
di Semenanjung Malaysia, UMNO/BN baru menang sekali berbanding 7 kali
kemenangan oleh Pakatan Rakyat. Lagipun kemenangan UMNO/BN adalah di
kawasan yang dianggap kubu kuatnya. Selain itu, kemenangan UMNO/BN
semalam bukanlah kejayaan merampas kerusi pihak lawan, sebagaimana
yang telah dilakukan oleh PAS dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala
Terengganu awal tahun ini, sebaliknya kejayaannya semalam lebih
merupakan mengekalkan kerusi yang sudah sedia jadi miliknya sebelum
ini.

Sama ada rakyat sudah mula menerima atau tidak UMNO/BN, ia harus
diuji melalui beberapa pilihanraya kecil lagi. Seandainya UMNO/BN
berjaya memenangi beberapa pilihanraya kecil selanjutnya (jika ada),
barulah UMNO/BN boleh mendakwa bahawa ia sudah mula diterima rakyat.
Atau setidak-tidaknya UMNO/BN boleh menganggap bahawa UMNO/BN sedang
melalui zaman kebangkitannya.

Namun begitu, seperkara yang tidak boleh dinafikan, mungkin usia
UMNO/BN masih panjang lagi. Berasaskan keputusan pilihanraya kecil di
Bagan Pinang semalam, mungkin masanya belum tiba untuk meramalkan
bahawa UMNO/BN bakal kecundang pada pilihanraya umum yang akan datang.
Walaupun saya ada juga mendengar pendapat sesetengah orang yang
mengatakan kemenangan Tan Sri Mohd Isa merupakan titik tolak kepada
konflik yang lebih besar dalam kalangan ahli UMNO khususnya di Negeri
Sembilan. Pendapat sedemikian bersandarkan kepada teori bahawa
kemenangan Tan Sri Mohd Isa semalam bakal membuka satu lembaran
konflik baru antara kem Isa dengan kem Mohamad Hassan, Menteri Besar
Negeri Sembilan sekarang. Itu Cuma teori sahaja.

Sebagai warganegara Malaysia, saya juga wajar menilai politik negara
saya menurut kaca mata saya.

Salam dari Langkawi.

Bicara Basri

Bantulah Basri

Pagi tadi, saya menerima SMS daripada Cikgu Mohamad Rizal tan,
seorang rakan sejawat dan satu sekolah yang mana isi SMS tersebut
ialah nombor akaun untuk membantu Basri. Terima kasih saya ucapkan
kepada Cikgu Mohamad Rizal Tan!

Waktu ini, sementara menanti penerbangan saya ke Langkawi nanti jam
12 tengah hari, saya sempat menghubungi Basri. Beliau memaklumkan
kepada saya ketika ini beliau terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda
untuk bergerak. Ini kerana kakinya tidak dapat memijak yang sekaligus
menyukarkannya untuk bergerak. Kata Basri lagi, setakat ini, beliau
mendapat bantuan kerusi roda secara pinjaman daripada pihak Pusat
Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Terima kasih PPUM! Kasihan
Basri, sudahlah cacat penglihatan, kini ttrpaksa bergerak dengan
menggunakan kerusi roda pula. Kata Basri lagi, satu lagi pembedahan
akan dilakukan ke atasnya untuk menggantikan kulit pada kakinya. Kata
Basri lagi, beliau akan terus berada di PPUM sekurang-kurangnya
sehingga hujung bulan ini.

Apa yang agak mendukacitakan saya ialah, anaknya kadangkala harus
mengorbankan waktu persekolahannya demi untuk membantu Basri. Ini
sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sepatutnya, anaknya pada ketika
ini harus berada di sekolah di sepanjang waktu persekolahan dan
memberi perhatian kepada pelajarannya. Hujung tahun ini anaknya akan
menduduki peperiksan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Demikianlah Basri mengharungi hari-harinya kini.

Apa yang sedang menimpa ke atas Basri sepatutnya dijadikan teladan
oleh semua pihak. Kini mungkin Basri lebih memahami erti
persahabatan. Basri juga tentunya lebih memahami mengerti siapa rakan
ketawa dan siapa pula rakan menangis.

Kepada pihak-pihak yang berkaitan, hentikanlah mengeksploitasi bakat
orang buta. Usaha perlu dilakukan dengan sesegera mungkin untuk
memastikan agar bakat muzik yang ada pada golongan cacat penglihatan
tidak sia-sia dan tidak dipersiakan. .... Cukuplah!!!

Kepada yang sudi menyumbang, sila masukkan wang sumbangan anda ke
akaun BSN atas nama isterinya Jamilah Mat, di nombor
14110-29-82069389-4 . Saya bagi pihak Basri dan keluarganya
mengucapkan jutaan terima kasih di atas setiap sumbangan yang anda
hulurkan. Hanya Allah sahaja yang akan memberi balasan yang
sebaiknya.

Salam dari LCCT.

Wednesday, October 7, 2009

Bicara Umum

Selamat Menduduki Peperiksaan PMR

Bermula hari ini, sehingga 13 Oktober, lebih kurang 475 ribu murid
akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah di seluruh
negara. Di sini, saya suka mengambil peluang dan kesempatan yang ada
untuk mengucapkan kepada semua murid yang terlibat dengan peperiksaan
berkenaan, selamat menduduki peperiksaan PMR.

Kepada semua murid yang terlibat, antara perkara yang perlu dijaga
dan diamalkan khususnya tatkala sedang dalam musim peperiksaan
sebegini termasuklah, tidur hendaklah cukup. Tidur hendaklah awal
supaya dapat bangun awal. Sentiasa pastikan supaya anda mengetahui
jadual peperiksaan dengan tepat. Untuk mata pelajaran yang memerlukan
banyak membaca seperti Sejarah, Komponen Kesusasteraan, Pendidikan
Islam, Geografi dan sebagainya, gunakan nota dan segala cataan yang
ada untuk membuat ulangkaji. Buku teks hanya digunakan jika fakta
tertentu benar-benar lupa atau tiada dalam catatan. Seterusnya,
jangan lupa untuk berdoa, solat hajat serta memohon halal ilmu
daripada guru dan juga mohon restu daripada ibu bapa atau penjaga
masing-masing. Sebelum ke pusat peperiksaan, jangan lupa untuk
menjamah makanan supaya perut tidak kosong. Sebelum ke pusat
peperiksaan, seboleh-bolehnya cuba elakkan daripada mengambil ubat
yang boleh menyebabkan rasa mengantuk kerana ia akan mengganggu
penumpuan minda.

Kerjasama daripada para ibu bapa dan penjaga amat-amat diperlukan
agar situasi yang benar-benar kondusif dapat diwujudkan di rumah untuk
membolehkan anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan benar-benar
mendapat kerehatan dan ketenangan yang secukupnya ketika di rumah.
Para ibu bapa dan penjaga juga jangan lupa untuk berpesan kepada
anak-anak yang terlibat supaya menjawab dengan berhati-hati dan jangan
gopoh. Pesanan sedemikian merupakan sokongan moral yang sangat
berguna dan bermakna kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan.
Seterusnya, para ibu bapa juga jangan lupa untuk mendoakan yang
terbaik untuk anak-anak yang akan menduduki peperiksaan.

Langkah yang diambil oleh kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran
dan Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk membendung virus Influenza A H
1 N 1 khususnya kepada murid yang terlibat dengan PMR amat dipuji.
Langkah sebegini akan membolehkan semua murid menduduki peperiksaan
dengan lebih tenang, terjamin kesihatan dan ia juga memberi peluang
kepada semua untuk menduduki peperiksaan, walaupun yang terpaksa
berada di hospital.

Saya juga mempunyai beberapa orang anak buah yang mengambil peperiksaan PMR.

Saya berdoa agar semua yang menduduki peperiksaan ini akan beroleh
kejayaan seperti yang dihajatkan.

Kepada semua yang terlibat, selamat menduduki peperiksaan PMR.

Tuesday, October 6, 2009

Selamat Pergi Tok Ning

Pagi semalam (5 Oktober), tatkala saya sedang mengajar mata pelajaran
Sejarah di tingkatan 4D, tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon
dari isteri dan memaklumkan bahawa Tok Ning baru sahaja kembali ke
rahmatullah. Saya terus bergegas ke pejabat sekolah dan telah
dibenarkan untuk bercuti bagi menziarahi almarhumah buat kali
terakhir.

Lebih kurang jam 9.50 kami tiga beranak pun bertolaklah ke Kuantan.
Seperti biasa, isteri saya yang memandu kereta. Dalam keadaan begini,
saya wajib berada di sisi beliau, takut-takut dia memandu dengan
emosi. Lebih kurang jam 12.20 tengah hari, kami pun tiba di bandar
Kuantan. Kami terus ke rumah almarhumah. Seperti yang saya jangka,
memang orang sudah ramai.

Dalam keluarga kami (keluarga sebelah isteri saya), almarhumah Tok
Ning (nama sebenarnya Sharifah Zubaidah) merupakan orang yang paling
tua. Mengikut surat mati, usia beliau ketika meninggal dunia ialah 96
tahun. Namun begitu, saya berpendapat, usia beliau lebih tua dari
itu. Semasa hayatnya, saya pernah bertanya berapakah usia beliau?
Tok Ning tidak dapat mengingati berapa usia beliau yang sebenar. Lalu
saya bertanya lagi, di antara raja-raja Pahang, raja mana yang
mula-mula beliau ingat? Jawab Tok Ning, Sultan Mahmud. Sultan Mahmud
memerintah pahang antara tahun 1913-1917. Katanya lagi, memang beliau
pernah melihat sendiri Sultan Mahmud. Oleh itu, tatkala pemerintahan
Sultan Mahmud, usia tok Ning mungkin sekitar 7 atau 8 tahun. Ini
bermakna, mungkin Tok Ning telah lahir sekitar tahun 1907 atau 1908.
Itu sekadar jangkaan saya sahaja.

Tok Ning juga pernah bercerita kepada saya mengenai perihal
pemerintahan Sultan Mahmud. Mungkin apa yang pernah beliau ceritakan
kepada saya tidak tercatat dalam buku sejarah. Namun demikian,
biarlah saya simpan sahaja cerita Tok Ning tersebut.

Oleh kerana umur Tok Ning yang sudah begitu berusia, maka pada hari
seperti ini sudah tentulah ramai yang datang untuk menziarah buat kali
terakhir. Tok Ning mempunyai 14 orang anak. Beliau juga turut
mempunyai sebilangan cicit dan piut. Salah seorang kerabat Tok Ning
ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang. Saya memang kenal dan
rapat dengan ADUN berkenaan. Bila kami bertemu, tentunya hal dan
cerita politik tak lepas dari perbualan kami.

Setiap kali kami pulang ke Kuantan, kami sekeluarga pasti akan
menziarahi Tok Ning. Bila bertemu, tangannya akan saya cium. Saya
pasti tak akan melepaskan peluang untuk bertanya pelbagai kisah
terutamanya yang berlaku di Pahang ketika Tok Ning masih muda remaja.
Menurut ipar-ipar saya, ada kalanya bila lama kami tak pulang, Tok
Ning akan bertanyakan saya, isteri saya serta Luqman.

Selepas solat zohor, jenazah Tok Ning dibawa turun dari rumahnya.
Saya turut mengiringi jenazah beliau hingga ke perkuburan di Jalan
Bukit Ubi. Hanya sampai di sini sahaja saya dan kami mampu menghantar
Tok Ning. Di perkuburan inilah Tok Ning disemadikan dan akan terus
bersemadi sehingga hari kebangkitan nanti.

"Selamat pergi Tok Ning! Kami juga akan menyusul Tok suatu hari nanti".

Monday, October 5, 2009

Bicara Blog Baru

Selamat Datang Ke Dunia Maya

Awal petang tadi, tatkala saya di Kuantan, seorang lagi sahabat cacat
penglihatan telah menghantar SMS kepada saya dan memaklumkan bahawa
beliau telah pun mempunyai blog sendiri. Rakan yang saya maksudkan
ialah Cikgu wan Mohd Suhaimi bin Wan Mohd Zawil Abidin.

Sebenarnya, saya sudah beberapa kali mengusulkan kepada beliau supaya
wujudkan blog sendiri untuk berkongsi pandangan, pendapat serta ilmu
yang beliau ada kepada orang lain. Maklumlah cikgu lah katakan!
Tentulah beliau sarat dengan pelbagai pengetahuan, pengalaman serta
pandangan yang boleh dikongsi dan dimanfaatkan oleh orang lain.
Akhirnya, mungkin beliau terima juga apa yang telah saya sarankan
kepada beliau.

Sebentar tadi, sekembali sahaja saya dari Kuantan, saya sempat juga
menjenguk ke blog beliau. Menarik apa yang beliau kongsikan untuk
kita semua. Harapan saya, beliau akan terus mengisi blognya dengan
perkara-perkara yang benar dan berguna. Teruskan menulis demi
mengangkat martabat rakan-rakan senasib.

Dengan ini, saya ingin mengucapkan selamat datang ke dunia maya
kepada Cikgu Wan Mohd Suhaimi. Kepada yang sudi, sila ziarahi blog
beliau di www.nadimelor.blogspot.com

Kepada pengunjung blog ini, blog beliau ada saya senarai dalam Laman
Sesawang kendalian Blogger Cacat Penglihatan, sila klik (enter untuk
pengguna cacat penglihatan) pada nadi melor.

Selamat berjaya kepada nadi melor!

Saturday, October 3, 2009

Bicara Untuk Basri

Menziarahi Basri

Alhamdulillah .... setelah mengatur rancangan, akhirnya pada petang
semalam saya sekeluarga telah memperoleh kesempatan untuk menziarahi
Basri yang kini sedang terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM). Saya dimaklumkan oleh pihak PPUM iaitu masa lawatan dihadkan
hanya dari jam 6.00 petang hingga 7.00 malam sahaja. Di sebelah
tengah harinya pula, waktu lawatan hanya dari jam 1.00 tengah hari
hingga jam 2.00 petang sahaja. Menurut pihak PPUM lagi, masa lawatan
dipendekkan daripada biasa bertujuan untuk mengawal penularan virus
Influensa A H 1 N 1. Oleh itu, saya akur dengan masa lawatan yang
telah ditetapkan.

Sekitar jam 6.20 petang, saya sudah berada di sebelah katil di mana
Basri sedang terlantar. Ternyata beliau begitu gembira dengan
kehadiran saya sekeluarga. Petang semalam, hanya saya dan keluarga
sahaja yang datang menziarahi beliau. Kami berbual mesra seperti
biasa. Kata Basri, beliau telah ke PPUM pada awal September lalu
kerana bengkak di kakinya tak surut-surut. Beliau terus ditahan
semasa beliau datang untuk mendapatkan rawatan kali kedua iaitu pada 9
September lalu. Kata Basri lagi, ketika aidil fitri lalu, hanya anak
dan isterinya sahaja yang datang berhari raya bersama-sama beliau di
wad.

Kemudian saya beralih pula kepada topik semasa beliau di zaman
keagungannya terutama dengan bakatnya dalam bidang muzik. Ingatan
beliau pada waktu itu masih segar lagi. Dengan merendah diri, beliau
mengakui bahawa beliau belajar gambus daripada Allahyarham En. Mohd
Fadhil Ahmad hanya sekitar 5 hari sahaja. Bila saya bertanya, adakah
beliau masih ingat lagi bermain gambus? Beliau menjawab, sudah tentu.
Bila saya bertanya lagi, dengan bakat besar selaku pemain muzik,
apakah perasaan beliau jika pendapatan atau gaji beliau
setidak-tidaknya sama dengan gaji saya selaku guru? Beliau menjawab,
kalau ia benar-benar terjadi itu sudah cukup bagus, tapi itu Cuma
khayalan sahaja.

Mungkin Basri tidak sedar, ia bukan khayalan jika bakat besar dan
kebolehan bermain muzik dalam kalangan orang cacat penglihatan seperti
beliau diletakkan pada landasan yang betul. Jika di sekolah, mata
pelajaran muzik diajar selaras dengan kehendak dan keperluan
kurikulum, saya amat yakin golongan cacat penglihatan akan mampu pergi
lebih jauh lagi dalam bidang berkenaan. Jika perkara seumpama ini
telah lama dilaksanakan, saya juga yakin mungkin pada hari ini sudah
berpuluh orang cacat penglihatan yang berjaya memperoleh sijil atau
mungkin juga ijazah dalam bidang muzik. Fenomena pemuzik jalanan yang
cacat penglihatan sebagaimana yang dapat kita saksikan hari ini
mungkin dapat diminimumkan. Hakikatnya, bakat tanpa sijil/ijazah, ia
hanya sia-sia, terbuang dan terpinggir .... Sebagaimana liku-liku
nasib yang sedang dialami oleh Basri hari ini.

Daripada pengamatan saya, memang kesunyian dan kesepian sangat-sangat
membelenggu Basri. Walau bagaimanapun, beliau amat berterima kasih
kerana sejak 2 3 hari yang lalu, sudah ada beberapa rakan yang datang
menziarahi beliau. Ada juga rakan-rakan yang tidak berkesempatan
untuk datang menziarah, telah menelefon beliau.

Apa yang mendukacitakan saya ialah, sebuah institusi yang pernah
harum namanya suatu ketika dahulu kerana bakat yang ada pada Basri,
sehingga ke saat ini pun masih tak berbuat apa-apa untuk membantu
Basri. Bertanya khabar pun tidak! Sesetengah pentadbir institusi
berkenaan yang ada hari ini bukan sahaja buta sistem tulisan Braille,
rupa-rupanya mereka juga buta pada sejarah institusi yang mereka
tadbir. Hal ini diburukkan lagi bilamana hubungan dan pengetahuan
mereka terhadap golongan cacat penglihatan hanya terbatas dalam
lingkungan sekolah semata-mata. Itu pun mungkin kerana terpaksa!

Bagi saya, dulu, kini dan selama-lamanya saya tetap percaya bahawa
jika bakat besar dan kebolehan dalam bidang muzik murid-murid cacat
penglihatan di sekolah hanya digunakan untuk mengadakan persembahan
semata-mata dan tanpa kurikulum muzik, maka pengeksploitasian bakat
golongan tersebut akan berterusan. Yang dapat nama hanya sekolah!
Yang dapat cemerlang hanya pengetua! Bila murid-murid berbakat
tersebut meninggalkan bangku sekolah, mereka bukan sahaja akan gagal
menggunakan bakat yang dikurniakan kepada mereka untuk berdikari,
bahkan bila mereka menggunakan bakat mereka sebagai pemuzik jalanan,
mereka dipandang tak ubah umpama pengemis, hina, sampah dan hampas.
Teladanilah apa yang sedang dialami oleh Basri hari ini!

Sekitar jam 6.50 saya sekeluarga meninggalkan Basri yang terus
terlantar di katilnya. Kesepian kembali menyelubungi beliau. Saya
pun tak sempat nak kira, entah berapa kali Basri melontarkan ucapan
terima kasihnya kepada saya dan keluarga. Ucapan yang bertalu-talu
itu melambangkan betapa beliau menghargai kehadiran kami. Walaupun
kehadiran kami sekadar "kehadiran kosong", namun saya yakin ia cukup
bererti kepada Basri.

Selain Basri, ramai lagi yang sedang mengharungi nasib seperti
beliau. Jika kita tidak membantu golongan cacat penglihatan yang
berbakat dalam bidang muzik bermula dari sekarang, maka lebih ramai
lagi golongan cacat penglihatan yang akan mengharungi nasib seperti
mereka pada masa depan.

Thursday, October 1, 2009

Bicara Dari Basri

Terima Kasih Dari Basri

"Terima kasih, trima kasih, terima kasih".

Demikianlah ungkapan yang keluar dari mulut Basri ketika saya
menghubungi beliau semalam. Menurutnya lagi, sudah ada beberapa orang
rakan yang menziarahi beliau. Antaranya termasuklah Jamal, Adam,
Zahari Hashim dan isteri dan beberapa orang lagi. Basri turut
mengucapkan terima kasih kerana saya telah memuatkan kisahnya dalam
blog ini. Sedikit sebanyak ia telah memberi kesan, demikian kata
Basri kepada saya.

Dari nada suaranya, saya dapat rasakan beliau sudah lebih ceria jika
dibandingkan tatkala saya menelefonnya untuk pertama kali beberapa
hari yang lalu. Saya sendiri belum berkesempatan untuk menziarahi
beliau. Namun begitu, rancangan sudah diatur, hanya menanti saat
sahaja.

Di sini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada
sahabat dan rakan yang telah sudi menziarahi Basri yang kini masih
terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Ucapan terima
kasih juga saya tujukan kepada sahabat, rakan dan pihak-pihak lain
yang sudi menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk sekali pun. Saya
turut menerima khabar gembira, ada pihak yang sedang mengumpulkan wang
untuk diserahkan kepada beliau sedikit masa lagi. Setidak-tidaknya,
ia dapat mengurangkan sedikit bebanan yang sedang ditanggung oleh
Basri dan keluarganya.

Setakat ini, Basri sendiri masih tidak pasti bila beliau akan
dibenarkan keluar hospital. Rawatan masih berjalan seperti biasa.

Hari ini kita menggembirakan orang lain, insha-Allah bila tiba
waktunya Allah pula akan menceriakan kita dengan cara yang kita
sendiri tidak sangka dan tidak jangka.