Tuesday, December 15, 2009

Bicara Blog Baru

Selamat Datang Ke Dunia Maya


Perkembangan dunia blog dalam kalangan golongan cacat penglihatan kian rancak. Kali ini, saya ingin mengenengahkan seorang lagi blogger cacat penglihatan yang saya kira mempunyai keistimewaan tersendiri. Blogger yang saya maksudkan ialah Teh Yong Shing.

Teh Yong Shing merupakan pelajar tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Seremban. Beliau merupakan seorang yang cacat penglihatan penuh dan pengguna Braille. Seperti kebanyakan blogger cacat penglihatan lain, beliau mengendalikan blognya menerusi keupayaannya menggunakan perisian pembaca skrin bersuara. Beliau baru memulakan blognya beberapa bulan yang lalu. Setakat yang saya maklum, sehingga kini beliau merupakan blogger termuda dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Saya sempat menghubungi beliau tadi dan menurutnya semua posting dalam blognya beliau sendiri yang menguruskannya. Keluarganya hanya membantu pada hal-hal yang teknikal sahaja.

Di sini, saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada adik Teh Yong Shing kerana berani meneroka kebebasan alam maya secara bebas. Kecacatan penglihatan bukan penghalang baginya untuk merasai dan menikmati kebebasan di alam maya selaku blogger. Melalui postingnya, kita semua akan dapat membaca isi hatinya dan buah fikirannya secara lebih terbuka dan telus sesuai dengan usianya. Sekaligus ia juga merupakan cabaran sihat kepada murid-murid saya sendiri di SMPK Setapak.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada beliau kerana dalam peperiksaan UPSR lalu, beliau telah mendapat keputusan 3 A dan 2 B. Besar kemungkinan tahun 2010 nanti kita akan sebumbung dan akan selalu berjumpa!

Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan selamat datang ke dunia maya kepada Teh Yong Shing. Kepada yang berminat untuk menjenguk ke blog Teh Yong Shing, sila layari http://www.tehyongshing.blogspot.com atau klik (enter bagi pengguna cacat penglihatan) pada teh yong shing di bawah Laman Sesawang Kendalian Blogger Cacat Penglihatan pada blog ini.

Saturday, December 12, 2009

Ucapan Tahniah

Tahniah Kepada En. Samat Lakai

Satu majlis penyampaian untuk Anugerah Tun Hussein Onn bagi tahun 2009 serta jamuan makan malam telah diadakan di Hotel Grand Season, Kuala lumpur yang bermula sekitar jam 8.00 malam ini tadi. Majlis ini telah dianjurkan oleh Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCBM). Saya turut diundang untuk menghadiri majlis ini.



Majlis telah dimulakan dengan ucapan oleh presiden NCBM, Datuk Kula Segaran. Ia diikuti oleh ucapan oleh Pn. Rozia Hanis binti Tun Hussein Onn yang juga merupakan tetamu kehormat, ucapan oleh Datuk S. Ambiga selaku ketua penal pemilih. Kemudian ia disusuli pula oleh upacara penyampaian Anugerah Tun Hussein Onn kepada penerima bagi tahun 2009, iaitu En. Samat Lakai dari Sabah.

Sesungguhnya kehadiran Pn. Rozia Hanis memberi makna yang cukup besar, bukan sahaja kepada NCBM tetapi kepada keseluruhan masyarakat cacat penglihatan. Kehadiran beliau membawa pengertian bahawa perjuangan dan sumbangan Allahyarham Tun Hussein Onn kepada golongan cacat penglihatan di negara ini terus berkesinambungan. Kini anak-anaknya pula yang terus bersama golongan cacat penglihatan dalam mengharungi hidup. Justeru, amat sesuai sekali anugerah tersebut dinamakan bersempena dengan nama Allahyarham Tun Hussein Onn.



Turut menyerikan majlis ini ialah persembahan choir daripada sekumpulan cacat penglihatan yang menamakan kumpulan mereka sebagai Joyful Choir of the Blind (JCB). Bagi saya, lagu-lagu yang mereka sampakan menarik dan merdu.



Dalam ucapannya, Datuk S. Ambiga telah menyenaraikan dengan panjang lebar sumbangan yang telah dilakukan oleh En. Samat Lakai sejak dari tahun1974 lagi. Berdasarkan sumbangan yang dilakukan, maka memang sesuailah En. Samat Lakai menjadi penerima Anugerah Tun Hussein Onn kali ini. Sekalung tahniah diucapkan kepada En. Samat Lakai kerana menjadi penerima Anugerah Tun hussein Onn bagi tahun 2009.

Antara hadirin lain yang turut saya temui termasuklah En. Kway Eng Hock dan isterinya; En. Aliodin Daud; Saudara Along Zahari; Cikgu Khoo Chee Tiong; Dr. Zakaria Osman; Cikgu Saifuddin Muhammad; dan turut saya temui ialah Cikgu John Cheah Kheng Ho.

Bicara Peristiwa

Selamat Pengantin Baru Kepada Nadia Dan Sulaiman



Sekitar jam 4.00 petang tadi, saya sempat ke Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields untuk menghadiri majlis perkahwinan 2 orang bekas anak murid saya. Kedua-dua bekas anak murid saya yang dimaksudkan ialah Sulaiman Syukur dan isterinya Noornadia Amran. Noornadia pernah menjadi murid saya ketika beliau di tingkatan 4 dan 5 di SMPK Setapak, Kuala Lumpur. Manakala Sulaiman pula ialah ketika saya mengajar di SMK Haji Zainul Abidin, Pulau Pinang sekitar 10 tahun lalu. Masa begitu cepat berlalu. Kalau dahulu kedua-dua mereka adalah murid-murid saya, kini mereka sudah berumah tangga dan berstatus suami dan isteri.



Majlis jamuan bersempena perkahwinan mereka telah diadakan di dewan kafetaria MAB. Walaupun majlis ini sederhana sahaja, tetapi ia tetap meriah. Ramai juga rakan-rakan Nadia dan Sulaiman yang hadir. Ramai juga di antara mereka merupakan bekas anak murid saya belaka.





Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian dari rakan-rakan Nadia sendiri. Antaranya ialah persembahan nyanyian daripada Khairul Azmi. Khairul Azmi juga merupakan bekas anak murid saya. Suaranya memang merdu bila menyanyi.



Kepada Sulaiman dan Nadia, cikgu ucapkan selamat pengantin baru. Rumah tangga yang bahagia adalah impian semua yang bergelar suami dan isteri. Suasana alam berumah tangga tidak sama dengan alam percintaan sewaktu di sekolah atau ketika sebelum diijabkabulkan. Kesabaran, saling faham-memahami serta bersyukur dengan apa yang ada amat penting untuk memngekalkan kebahagiaaan rumah tangga.



Kepada kedua-dua bekas anak murid, diucapkan selamat pengantin baru. Semoga sentiasa dalam keberkatan dan rahmat Allah hendaknya, dan semoga kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.

Friday, December 11, 2009

Bicara Jumaat

JANGAN BERBUAT DOSA BESAR



RASULULLAH SAW bersabda:
“Jauhi olehmu tujuh kejahatan yang membinasakan” Para sahabat bertanya : Apakah tujuh kejahatan yang membinasakan itu ya Rasulullah?” Rasulullah bersabda:”Mempersekutukan Allah, mengamalkan sihir, menghilangkan nyawa seseorang yang diharamkan Allah, kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, melarikan diri pada waktu dalam peperangan dan menuduh zina perempuan-perepuan mukminah yang suci dan terpelihara.”
(HR, Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain pula diterangkan:
“Mahukan aku khabarkan kepadamu tentang dosa yang paling besar diantara dosa besar?
Iaitu: Mempersekutukan Allah, durhaka kepada ibu bapa dan perkataan jahat atau keji.
(HR, Bukhari dan Muslim)

Dengan berdasarkan dua hadis di atas, dalam kitab Al-Kabir Ad-Dzahabi disebutkan bahawa diantara dosa-dosa besar itu ialah:

1. Mempersekutukan Allah
2. Menghilangkan nyawa orang mukmin dengan sengaja
3. Mengamalkan sihir
4. Meninggalkan solat
5. Tidak mengeluarkan zakat
6. Sengaja berbuka di siang hari pada bulan Ramadhan tanpa uzur
7. Tidak menunaikan ibadat haji, pada hal mempunyai kemampuan untuk menunaikannya
8. Durhaka kepada ibu bapa
9. Memutuskan hubungan silaturrahim
10. Melakukan homoseks
11. Makan riba
12. Memakan harta anak yatim secara zalim
13. Berdusta terhadap Allah dan RasulNya
14. Melarikan diri dari peperangan melawan orang kafir
15. Pemimpin yang menipu dan menganiaya rakyat
16. Takbur, bermegah-megah, sombong dan ujub
17. Menjadi saksi palsu
18. Minum mnuman yang memabukkan
19. Menuduh orang lain berzina
20. Khianat
21. Mencuri atau merompak
22. Sumpah palsu untuk mengambil hak orang lain
23. Menganiaya sesama manusia tanpa hak
24. Mencari dan memakan barang yang haram
25. Membunh diri
26. Berbohong dan berdusta
27. Memakan dan menerima rasuah
28. Tidak menghukum dengan hukum yang benar
29. Perempuan yang menyerupai lelaki dan sebaliknya
30. Tidak menjaga kehormatan diri dan keluarga
31. Berzina
32. Riya’
33. Menuntut ilmu semata –mata kerana dunia dan menymbunyikan ilmu pengetahuan
34. Tidak percaya kepada takdir Allah
35. Suka mengadu-ngadu, membawa fitnah untuk merosakkan hubungan orang lain
36. Membenarkan tukang sihir
37. Durhaka terhadap suami
38. Menampar-nampar pipi, mengoyakkan kain dan sebagainya pada waktu ditimpa musibah
39. Berlaku kasar terhadap fakir miskin
40. Menyakiti hati jiran atau tetangga
41. Menyembelih bukan atas nama Allah
42. Mengurangi timbangan
43. Tidak takut azab pada hari akhirat serta tidak mengharapkan keampunan Allah
44. Terus meninggalkan solat berjemaah tanpa uzur.

(Sumber: Drs Kasmuri Selamat: 111 Wasiat Rasulullah saw Untuk Wanita Solehah)

Thursday, December 10, 2009

Bicara Peristiwa

Di Taman Burung Kuala Lumpur

Semalam (9 Disember), sekembali daripada tugas di sekolah, sekitar jam 2.00 petang, kami sekeluarga telah ke Taman Burung Kuala Lumpur yang terletak di Tasik Perdana. Sudah lama Luqman berkeinginan hendak ke taman ini, namun kerana ketiadaan waktu yang sesuai maka niatnya itu terpaksa saya tangguhkan. Setelah mencongak waktu, maka saya rasa kali ini masa yang sesuai untuk saya dan isteri memenuhi permintaan Luqman. Luqman sudah semestinya begitu seronok sekali bila diberitahu bahawa kami semua akan ke Taman Burung KL.







Kami tiba di Taman Burung KL sekitar jam 2.45 petang. Isteri saya dikenakan bayaran RM15.00. Luqman pula RM6.00. Saya pula percuma. Terima kasih!







Bila kami masuk saja di kawasan taman burung, kegembiraan Luqman sudah tak terkawal lagi. Begitu seronoknya dia bila melihat pelbagai jenis burung yang sedang berterbangan memenuhi ruang persekitaran.











Kegembiraan Luqman kian terserlah bila melihat pelbagai aksi daripada burung-burung. Demikianlah nikmatnya jika ada penglihatan. Hanya mereka yang telah kehilangan nikmat penglihatan sahaja yang lebih tahu betapa mahalnya nikmat tersebut.







Kawasan taman burung ini dibahagikan kepada zon-zon tertentu. Selain itu, papan-papan tanda yang menyenaraikan nama burung tertentu juga ada. Saya menyuruh Luqman meneliti setiap senarai nama burung yang dipaparkan, manakala isteri saya pula akan menunjukkan kepada Luqman jenis burung yang disenaraikan itu. Dengan cara ini, Luqman diharap akan mendapat pendedahan mengenai spesis burung dengan lebih dekat dan jelas lagi.





Di satu zon, ada burung-burung jinak yang boleh diberi makan. Penjaganya ingin memberi saya peluang untuk memberi sendiri makan kepada burung, tetapi kerana kurang yakin, saya berterima kasih saja kepada beliau. Akhirnya isteri saya yang mencuba pengalaman tersebut.







Kami juga sempat singgah di tempat pertunjukan burung sedang diadakan. Ia dikendalikan oleh mereka yang memang mahir dengan burung. Memang ia amat menyeronokkan Luqman. Isteri saya juga tumpang seronok sama.



Saya juga turut teruja bila di akhir persembahan ada burung yang menunjukkan di mana sampah patut dibuang. Sempat juga diselitkan satu peringatan sinis kepada pengunjung!



Selain pengunjung tempatan, pelancong luar juga kelihatan di taman ini. Selain itu, sekumpulan kanak-kanak tadika juga kelihatan.



Setelah dua jamdi sini, sekitar jam 4.45 petang, kami pun meninggalkan taman burung ini untuk pulang. Luqman dan isteri saya sudah tentu dapat menikmati keindahan fenomena di persekitaran taman ini sepuasnya. Untuk Luqman pula, setidak-tidaknya dia telah mendapat sedikit sebanyak pendedahan mengenai burung. Walaupun saya sekadar mendengar kicauan burung dan menghidu najisnya sahaja, namun saya tetap puas bila mendapati kepuasan Luqman dan isteri begitu terserlah sekali.

Wednesday, December 9, 2009

Menungan Malam

Ulasan Isu

Beberapa hari yang lalu, saya terbaca tulisan oleh Cikgu Mohd Jais yang bertajuk “MALU MENGAKU SEBAGAI GURU YANG MENGAJAR PELAJAR CACAT”. Tulisan tersebut termuat dalam blognya Mesra Bicara pada posting yang bertarikh 6 Disember 2009 lalu. Pagi tadi, kketika bertemu dengan Cikgu Mohd Jais di sekolah, saya telah bertanya lebih lanjut mengenai apa yang beliau telah paparkan dalam blognya.

Bagi saya, adalah sesuatu yang amat mendukacitakan kerana mungkin setelah berpengalaman beberapa tahun mengajar murid-murid cacat, guru berkenaan masih gagal mencintai, apatah lagi untuk menjiwai golongan insan yang menjadi anak-anak muridnya. Bahkan yang lebih mendukacitakan ialah guru yang seperti ini pula yang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Beginikah jiwa dan persepsi seorang guru pendidikan khas yang telah mendapat APC terhadap golongan insan cacat?

Kalau guru yang berkenaan terasa malu mengajar murid-murid cacat, mengapa beliau tidak mohon untuk bertukar sahaja ke sekolah biasa? Mengapa Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia masih memeram guru-guru yang seperti ini di sekolah-sekolah pendidikan khas? Apa yang hendak ditetaskan daripada guru seperti ini? Adakah guru seperti ini hanya ingin kekal dalam bidang pendidikan khas semata-mata kerana lebih mudah untuk mendapatkan apa-apa anugerah seperti APC?

Sebenarnya, dalam bidang pendidikan khas, guru seperti ini tak berguna walau satu sen pun. Hampas kelapa mungkin lebih baik daripada orang seperti ini kerana ayam dan itik masih boleh mendapat manfaat daripadanya. Guru berkenaan masih berada dalam bidang pendidikan khas mungkin kerana berkepentingan atau kerana terpaksa semata-mata. Sepatutnya bidang pendidikan khas harus bersih daripada guru-guru seperti ini. Walau bagaimanapun, seribu tahun lagi pun, pembersihan seperti yang diharapkan tidak akan berlaku!

Namun demikian, saya masih berkeyakinan bilangan guru seperti ini dalam bidang pendidikan khas masih kecil. Setidak-tidaknya guru-guru saya pada masa lalu tidak seperti guru tadi. Guru-guru berkenaan bukan sahaja ikhlas dan tidak malu mengajar murid-murid cacat, bahkan mereka merasa bangga pula. Sebab itu, pada masa itu, ada guru-guru yang dengan bangga telah memperkenalkan anak-anak murid mereka kepada sanak saudara guru berkenaan.

Demikianlah guru-guru dalam pendidikan khas pada masa lalu. Rupa-rupanya tiada lagi pada zaman ini. Yang patah tak tumbuh lagi, yang hilang tak berganti, yang tetap malang golongan cacat juga. Saya dan kami semua tidak malu ditakdirkan cacat, tetapi kami terasa malu bila berdampingan dengan golongan hipokrit seperti ini.

Saturday, December 5, 2009

Bicara Peristiwa

Hasrat Yang Tak Kesampaian

Hari ini (5 Disember), satu karnival bersempena Hari OKU peringkat kebangsaan diadakan di sekitar Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia di Brickfields. Sewaktu ke Brickfields petang semalam, saya sempat juga meninjau-ninjau persiapan yang sedang dilakukan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai jenis OKU bagi tujuan karnival bersempena Hari OKU esok.

Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) turut dijemput untuk memeriahkan lagi karnival esok. Sebuah gerai telah diperuntukkan untuk PERTIS. Walau bagaimanapun, sewaktu meninjau-ninjau semalam, tak bertemu pula sama ada dengan gerai PERTIS ataupun para petugasnya. Sedangkan gerai-gerai lain sedang sibuk membuat persiapan terakhir.

Walaupun tiada jemputan rasmi untuk mana-mana AJK PERTIS, namun saya pasti akan datang esok untuk memeriahkan hari berkenaan. Walau bagaimanapun, saya telah merancang untuk ke satu majlis perkahwinan di Kelang terlebih dahulu. Selepas itu baru ke Brickfields. Begitulah rancangannya.



Sebenarnya saya telah kembali ke KL semalam dari Kuantan. Turut bersama kami ialah Kak Kamariah (biras saya) serta ipar saya, Abang Hussein (suaminya). Saya pernah menceritakan serba sedikit mengenai Kak Kamariah dalam posting yang bertajuk “Kunjungan Ke Pulau Ketam”. Pada 5 Disember, Kak Zaharah mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya di Kelang. Kak Zaharah dan Kak Kamariah merupakan anak-anak angkat yang telah dipelihara oleh kerabat diraja Selangor. Hubungan mereka tetap intim hingga kini. Oleh kerana kami akan ke Kelang terlebih dahulu, maka pada congakan saya, sekitar jam 4 petang baru saya akan berkesempatan untuk ke Brickfields.

Siang tadi, sekitar jam 12.15 tengah hari baru kami sekeluarga serta Kak Kamariah dan Abang Hussein bertolak ke Kelang. Kami ikut MRR 2 dan Lebuhraya KESAS. Jangkaan saya bahawa laluan ini tiada berlaku kesesakan nyata meleset. Sebaliknya jalan sesak terutamanya di MRR 2. Sekitar jam 1.45 tengah hari baru kami tiba di rumah Kak Zaharah. Saya memang sudah mengenali Kak Zaharah. Kalau tak salah ingatan, ini merupakan kali ke-4 atau ke-5 saya berkunjung ke rumahnya. Kak Zaharah juga pernah ke rumah saya sekali. Sewaktu kami tiba, Tengku Puan Terengganu baru hendak berangkat pulang. Maka berselisihlah kami di pintu pagar dan saling berkhabaranlah antara Kak Kamariah dengan Tengku Puan Terengganu. Tengku Puan Terengganu juga merupakan kerabat dekat keluarga diraja Selangor.





Pada perkiraan saya, majlis perkahwinan ini meriah. Oleh kerana tuan punya majlis ini anak angkat kepada kerabat diraja Selangor, maka tidak hairanlah ramai ahli kerabat berkenaan turut memeriahkan majlis ini.



tetamu yang bukan Melayu juga kelihatan turut sama memeriahkan majlis ini. Dalam majlis seperti ini juga, Kak Kamariah berpeluang untuk bertemu dengan adik-beradik angkatnya yang lain. Maklumlah setelah masing-masing berkeluarga, mereka tinggal di berlainan tempat. Biasalah, bila bertemu macam-macam cerita dan berita diperkatakan. Hanya saya sahaja yang tak henti-henti menelek waktu.



Sekitar jam 3 petang baru kami bergerak meninggalkan rumah Kak Zaharah. Saya kira kami akan terus sahaja ke Brickfields. Namun begitu, Kak Kamariah pujuk saya dan kami semua untuk menziarahi Ku Chik. Saya agak keberatan, tapi akhirnya kami ikut sahajalah. Dari rumah Kak Zaharah, kami berjalan kaki sahaja ke rumah Ku Chik.





Ku Chik merupakan anakanda kepada Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Syah. Sewaktu kami tiba di rumahnya, Tengku Besar juga turut ada. Tengku Besar (gelarannya) merupakan adinda kepada Ku Chik. Kak Kamariah memang biasa dan mesra dengan keluarga ini.

Lebih kurang jam 3 20 petang, kami pun bergerak pula ke rumah Tengku Bendahara Selangor (Tengku Azman Ibn Sultan Hishamuddin Alam Syah). Saya sendiri sudah entah berapa puluh kali menelek jam di tangan. Saya sudah mula terasa, Brickfields semakin jauh. Kak Kamariah kata, tak baik kalau tak pergi ke rumah Tengku Bendahara Selangor. Sekali lagi, kami ikut sahajalah.



Ketibaan kami disambut oleh isteri tengku Bendahara, anak perempuannya (Tengku Insani) serta seorang anak lelakinya (Tengku Bahari). Di rumah Tengku Bendahara Selangor, saya kerap mendengar bahasa istana dituturkan. Ini trmasuklah santap, beradu, ayahanda, bonda dan sebagainya. Kebetulan pula, sewaktu kami tiba, Tengku Bendahara sedang beradu. Lagipun baginda itu tidaklah berapa sihat. Setakat yang saya maklum, Tengku Bendahara ini merupakan seorang yang kuat beribadat. Sewaktu badannya sihat, baginda sering ke masjid.



Panjang Kak Kamariah bercerita dengan keluarga ini. Saya sengaja mendiamkan diri. Dari perbualan mereka, saya dapat menangkap iaitu keluarga ini ada terasa hati dengan seseorang kerana orang berkenaan jarang menziarahi mereka. Barulah saya faham mengapa Kak Kamariah beriya benar mengajak kami untuk singgah dan menziarahi keluarga ini.

Sekitar jam 4.15 petang baru kami bergerak meninggalkan rumah Tengku Bendahara Selangor. Isteri saya pula agak terkial-kial memandu di bandar Kelang. Sekitar jam 4.45 petang, kami masih berlegar-legar di bandar kelang lagi. Jadi hasrat untuk ke karnival bersempena hari OKU di Brickfields sudah boleh saya lupakan. Sekitar jam 6.00 petang kami pun tiba semula di rumah. Jauh di sudit hati, saya agak kecewa juga kerana tak berkesempatan untuk ke karnival di Brickfields. Namun begitu, saya harus akur dengan takdir.