Saturday, January 23, 2010

Ucapan Takziah

Sembah Takziah



Sekitar jam 11.30 malam tadi (Jumaat), saya mendengar pengumuman dari siaran TV yang mengumumkan bahawa ke bawah duli Tuanku Sultan Iskandar (sultan Johor) telah mangkat, berpindah dari alam fana ke alam baqa. Sebelumnya, pada jam 11.00 malam berita dari siaran radio masih memaklumkan bahawa DYTM Tengku Ibrahim Ismail telah dilantik sebagai pemangku raja kerana Tuanku Sultan gering. Menurut berita ke bawah duli Tuanku Sultan Iskandar telah pun mangkat di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru pada jam 7.15 malam (Jumaat).



Di sini, saya sekeluarga ingin merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat diraja Johor kerana telah berpulangnya ke bawah duli Tuanku itu. Memang sudah menjadi ketetapan daripada Yang Maha Esa bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui-Nya pada saat yang telah ditentukan.

Saya suka mengingatkan kepada diri saya dan kepada yang gemar mendengar peringatan, buat waktu ini elakkanlah daripada mengungkit dan mengorek cerita dan kisah kurang baik oleh Tuanku itu. Hal ini saya ketengahkan kerana sudah ada blogger yang mula memaki-hamun antara satu sama lain gara-gara mangkatnya ke bawah duli Tuanku itu. Baginda yang mangkat, mengapa pula orang lain yang harus bermaki-hamun antara satu sama lain? Sepatutnya kematian akan membuatkan kita lebih insaf, bukannya sebaliknya.

Pun begitu, saya sama sekali bukanlah bertujuan untuk menolak hakikat bahawa "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama". Oleh itu, sementara nyawa masih terpinjam, sama-samalah kita berdoa agar kita semua akan mati dalam kebaikan dan akan meninggalkan nama yang baik pula.

Monday, January 18, 2010

Bicara Isu

Itu Perkara Biasa Dalam Masyarakat Kita

Saya tertarik ketika membaca satu laporan dalam Harakah Daily hari ini. Dalam laporannya yang bertajuk “Hina OKU: Pesuruhjaya SPRM didesak letak jawatan” beberapa pihak menyatakan kekesalanya terhadap sikap dua orang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Karpal Singh yang kini merupakan salah seorang warga OKU di negara kita. Berikut diperturunkan laporan penuh seperti berikut:


Hina OKU: Pesuruhjaya SPRM didesak letak jawatan

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Beberapa pemimpin bagi pertubuhan orang kurang upaya (OKU) melancarkan demonstrasi aman menuntut Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kasim Mohamed supaya meletakkan jawatan.
Desakan tersebut ekoran peguam yang mewakili SPRM, Datuk Abdul Razak Musa telah menghina peguam OKU yang mewakili mendiang Teoh Beng Hock, Karpal Singh di kamar perbicaraan minggu lalu.
"Dia (Abu Kassim) perlu letak jawatan, dia tidak layak memimpin SPRM. (Abdul) Razak perlu diambil tindakan kerana menghina seorang OKU.
"Penghinaan dia (Abdul Razak) ‘saya boleh duduk, tetapi kamu (Karpal) tidak boleh bangun’ ini suatu penghinaan kepada seluruh OKU di Malaysia," kata Setiausaha Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC), Gurdip Kaur @ Rina pagi tadi.
Bercakap di depan Rumah Persekutuan yang menempatkan pejabat SPRM, beliau menganggap Abu Kasim dan Abdul Razak sendiri tidak menghormati hak asasi seluruh OKU di Malaysia.
"Sebagai penjawat kerajaan, sepatutnya beliau boleh menerima kunjungan kami. Kami sudah hantar surat (janji temu), tetapi mereka langsung tidak layan, seolah-olah tidak hormati hak kami" jelasnya.
Beliau turut berdoa supaya Tuhan membalas penghinaan terbabit.
"Suatu hari nanti, saya berdoa kepada Tuhan supaya mereka berdua (Abu Kassim dan Abdul Razak) duduk di atas kerusi ini kerana mereka tak tahu menghormati sensitiviti kami semua," katanya.
Turut mempertikai tindakan menghina oleh Abdul Razak dan Abu Kassim adalah Presiden Persatuan Terapi Bantuan Haiwan Untuk Warga Kurang Upaya dan Warga Emas, Malaysia (Perpositive).
"Mengapa begitu susah (Pengarah SPRM) turun (bertemu kami) di sini, mereka bukannya OKU.
"Dia (Abdul Razak) dan Abu Kassim begitu mudah menghina OKU di dalam mahkamah, mengapa begitu susah bersemuka dengan kami memohon maaf," katanya.
Beliau turut menuntut suatu tindakan disiplin dikenakan ke atas Abdul Razak.
Manakala, SPRM pula diminta memohon maaf secara terbuka kepada seluruh OKU serta berjanji tidak mengulangi diskriminasi tersebut.
Penasihat undang-Undang dan bagi badan Rakyat Anti-Diskriminasi ke atas OKU Malaysia (MADD), N. Surendran yang ditemui kemudian mengutuk layanan SPRM ke atas beberapa tuntutan para pemimpin OKU terbabit.
Sebelum pada itu, lebih sejam para pemimpin tersebut terpaksa melaung 'SPRM perlu minta maaf' dan 'jangan hina kami' sambil mengangkat beberapa kad protes.
Bagaimanapun, Pengarah SPRM, Hajah Azni Hamzah yang pada awalnya dilaporkan enggan melayan para pemimpin terbabit, akhirnya terpaksa menurut kehendak mereka.




Memang tidak dinafikan kata-kata “saya boleh duduk, tetapi kamu (Karpal) tidak boleh bangun” merupakan suatu penghinaan yang serius kepada mana-mana OKU. Walau apa pun maksud tersirat yang terselit di sebalik kata-kata tersebut, unsur-unsur penghinaan terhadap golongan OKU tetap terserlah dengan begitu nyata. Sama ada penghinaan sedemikian disengajakan atau tidak, itu bukan lagi persoalannya. Apa yang jelas di sini, itulah hakikat dan tanggapan sebenar yang selama ini tersembunyi daripada sebahagian mereka yang masih berupaya terhadap golongan OKU khususnya di tempat kita.

Tokoh seperti Karpal Singh yang baru beberapa tahun menjadi warga OKU mungkin baru melalui beberapa pengalaman pahit seperti ini. Kalau orang seperti Karpal Singh boleh dihina seperti itu, apatah lagi golongan OKU marhaen lain yang sudah lama menjadi warga dunia OKU. Penghinaan itu pula datangnya dari pelbagai jenis manusia. Penghinaan itu juga dilontarkan dalam pelbagai bentuk, cara dan kata-kata.

Saya masih ingat lagi, ketika di zaman sekolah dahulu, ada seorang dua guru yang gemar melontarkan kata-kata seperti “Sudahlah buta, pekak pulak”. Sebagai murid, saya dan kami semua tidak akan berkecil hati jika kami kena marah sebab memang ada kalanya kami memang patut dimarahi lantaran kesalahan yang mungkin telah kami lakukan. Namun begitu, lontaran kata-kata hina dan memedihkan seumpama itu membuatkan saya terus mengingati kata-kata dan sipenuturnya sampai bila-bila.

Saya dan kami juga turut rasa terhina apabila ada seorang dua golongan tertentu yang gemar datang menghampiri kami secara senyap-senyap, kononnya ingin mendengar apa yang kami perbualkan. Orang seperti itu menyangka kehadiran mereka tidak kami sedari. Bukankah Tuhan itu Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Tidak semestinya kehadiran orang tertentu hanya dapat dikesan melalui deria penglihatan semata-mata. Adakalanya bau ketiaknya yang busuk itu pun sudah memberi petunjuk yang jelas kepada kami bahawa si anu atau si fulan sedang berada tidak jauh dari kami. Kalaulah kami ini berpenglihatan, saya yakin golongan berkenaan tidak akan melakukan perbuatan seumpama itu.

Kalaulah hendak diceritakan semua penghinaan yang pernah saya dan rakan-rakan saya terima sejak dulu, saya pun tak pasti entah berapa banyak tinta dan naskah buku yang diperlukan untuk dicatatkan semuanya itu. Bukanlah niat saya untuk mengungkap atau mengungkit, tetapi sejarah semalam mesti dijadikan panduan supaya mudah untuk kita bezakan antara gurau dan nesta, antara puji dan keji, antara hinaan dan kebiasaan.

Setakat ini, saya belum lagi sampai ke tahap mendoakan orang yang menghina saya supaya jadi macam saya. Lagi pun, saya percaya, jika mereka yang masih berupaya jadi seperti saya, mereka mungkin tidak mampu untuk menanggung pelbagai cabaran, dugaan, penghinaan, susah-payah, kata-kata nesta dan sebagainya yang mana ada ketikanya suka tidak suka orang seperti saya harus menanggungnya.

Oleh itu, saya berharap agar mereka yang berdoa supaya kedua-dua pegawai tinggi SPRM tersebut akan duduk di atas kerusi roda suatu hari nanti, akan menarik balik doa mereka. Saya bimbang, kalau doa tersebut dimakbulkan Tuhan, kedua-dua pegawai tersebut mungkin tidak dapat lagi meneruskan tugas-tugas mereka di SPRM. Masih tidak salah jika kita masih ada sifat kasihan kepada kedua-dua pegawai tinggi tersebut walaupun mereka berdua tidak langsung mengasihani orang seperti kita.



Oleh itu, saya suka memaklumkan kepada tokoh seperti YB Karpal Singh, bahawa sudah menjadi lumrah dan perkara biasa dalam masyarakat kita golongan OKU diperlakukan seperti itu. Jika pegawai tinggi kerajaan boleh bersikap sedemikian, sementelahan pula bagi pegawai yang sedang meningkat tinggi. Selama ini pun, saya beranggapan istilah seperti “golongan istimewa” bukan sahaja menggelikan gegendang telinga dan memualkan isi perut, bahkan ia tak ubah umpama sebiji gula-gula beracun, hanya manisnya di bibir, tapi penuh racun di hati.

Sunday, January 17, 2010

Bicara Umum

Blogger Cacat Penglihatan: Sekadar Ulasan

Rasanya sudah seminggu saya tidak kemas kini blog saya. Bukannya apa, agak sibuk sedikit, sama ada sibuk dengan tugasan di sekolah, ataupun tugasan di luar sekolah. Walau bagaimanapun, sekali-sekala, saya sempat juga menjenguk beberapa blog termasuklah kendalian rakan-rakan yang cacat penglihatan. Bagi saya, ada sesuatu yang menarik dan istimewa dalam tulisan mereka.

Bagi saya, perkembangan dunia siber dalam kalangan golongan cacat penglihatan kian rancak bilamana ia turut disertai oleh murid-murid sekolah. Setakat yang saya ketahui, pada masa ini ada 2 blog yang dikendalikan oleh murid sekolah, iaitu Lok weng Hang (murid tingkatan 5) dan Teh Yong Shing (murid tingkatan 1). Pada masa ini, kedua-duanya sedang menuntut di SMPK Setapak. Penglibatan kedua-dua murid cacat penglihatan tersebut dalam dunia siber bagi saya penting kerana ia memberi petunjuk bahawa kepentingan dan manfaat bidang ICT dan dunia siber semakin tidak mengenal usia. Walaupun demikian, bagi saya, angka 2 murid masih sedikit. Sepatutnya pada hari ini berpuluh pelajar sekolah pendidikan khas (termasuk di rancangan integrasi) sudah mahir dengan ICT dan berkemampuan mempunyai dan mengendalikan laman blog sendiri. Sekiranya kemahiran sebegini ada pada murid-murid pendidikan khas, maka pengajaran dan pembelajaran pasti akan dapat dilaksanakan dengan lebih menarik, berkesan serta memudahkan semua pihak. Selain itu, pengajaran dan pembelajaran secara interaktif juga boleh dilaksanakan dengan mudah dan berkesan. Saya sendiri kurang pasti, tahun bila atau abad bila hasrat saya ini akan menjadi realiti.

Dari aspek hasil tulisan pula, ia juga telah menyerlahkan sesuatu yang menarik. Hasil tulisan pelbagai, dan yang lebih penting ia ditulis berdasarkan sudut pandangan mereka yang tidak dapat melihat. Ada yang menulis mengenai kunjungan mereka di pelbagai tempat, seperti ke Singapura, Sabah, sekitar Kuala Lumpur dan sebagainya. Tulisan-tulisan sebegini membuktikan bahawa golongan cacat penglihatan tidak semestinya akan terperuk sahaja di rumah. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa kita mempunyai cara tersendiri untuk merasai, menghayati dan menilai persekitaran tempat yang dikunjungi mengikut sudut pandangan kita sendiri. Akhirnya nanti, setidak-tidaknya ia akan memberi kefahaman kepada mereka yang berpenglihatan bahawa buta mata tidak semestinya buta segala-galanya.

Selain itu, saya juga tertarik dengan tulisan-tulisan yang berkaitan dengan pengalaman. Antaranya tulisan mengenai pengalaman pergi ke sebuah kem untuk menghadiri satu kursus. Ia menyerlahkan bagaimana seorang yang cacat penglihatannya bersendirian dan berusaha untuk tiba ke tempat destinasi yang belum pernah dikunjunginya. Pengalaman-pengalaman sebegini tidak akan dirasai dan tidak mungkin dialami oleh mereka yang masih berpenglihatan. Setidak-tidaknya mereka (golongan yang berpenglihatan) akan tahu susah-payah dan pahit getir bagi seorang yang tidak berpenglihatan secara bersendirian untuk tiba ke satu destinasi yang tidak pernah dikunjunginya sebelum ini.

Di samping itu, ada juga blogger cacat penglihatan yang berupaya mengolah isu-isu semasa. Ini termasuklah isu mengenai pembakaran gereja, isu-isu politik, perundangan, ekonomi, agama dan sebagainya.

Kehangatan dunia siber dalam kalangan golongan cacat penglihatan dirancakkan lagi dengan pelbagai bahan, gaya penulisan serta bakat olahan yang ditonjolkan. Ada yang suka menulis sajak. Ada juga yang suka menulis pantun. Ada pula yang suka mengolah isu-isu semasa. Ada juga yang suka mencuba-cuba. Tidak kurang juga yang sekadar menyisipkan tulisan orang lain. Bagi saya, menyisipkan hasil tulisan orang lain masih tidak menjadi kesalahan jika mendapat keizinan daripada penulis asalnya, atau setidak-tidaknya pada hujung sisipan itu dituliskan sumber dari mana hasil penulisan itu diambil. Barulah beretika namanya.

Dari sudut kemas kini (update) blog pula, ia juga menampakkan kepelbagaian tempoh masa. Ada yang mengemas kini hampir setiap minggu. Ada yang akan mengemas kini bila ada isu. Ada yang akan mengemas kini bila ada pengalaman baru. Ada juga yang sudah berbulan-bulan tidak dikemas kini.

Warna-warni dunia siber golongan cacat penglihatan turut dipengaruhi oleh latar belakang kelulusan akademik, persekitaran kehidupan serta profesion yang pelbagai. Ada yang beertugas sebagai peguam. Ada yang bertugas sebagai pendidik seperti saya. Ada yang bertugas di bank dan bursa saham. Ada juga yang masih belum ada apa-apa tugas. Kesemuanya ini turut mempengaruhi bahan, isu, corak dan gaya penulisan masing-masing. Ini membuktikan dunia kita tidak gelap sebagaimana yang disangka oleh sebilangan orang yang berpenglihatan.

Selain itu, ada juga blogger cacat penglihatan yang masih belum bersedia untuk blognya dipautkan kepada blog saya. Saya hormati dan akur dengan keputusan mereka. Saya berharap sifat malu-malu sebegini tidak berpanjangan. Jangan takut untuk serlahkan bakat, suara dan apa yang kita fikirkan ke dunia siber, kerana kita adalah kita.

Kepada blogger cacat penglihatan, marilah sama-sama kita terus menyuarakan isi hati kita melalui penulisan secara beretika dan dengan penuh tanggungjawab. Seperkara yang kita harus sama-sama ingat ialah, kesan penulisan kita kebiasaannya akan dirasai secara evolusi. Oleh itu, jika pada masa ini ia tidak menampakkan kesan apa-apa, jangan berputus asa. Marilah sama-sama kita teruskan perjuangan, jihad atau dakwah kita menerusi tulisan.

Sunday, January 10, 2010

Menungan Malam

Bualan Daripada Kawan Sebelah

Petang semalam, saya telah ke sebuah kedai komputer di Plaza imbi. Oleh kerana barangan yang saya beli itu agak besar, pemilik kedai berkenaan bersetuju untuk menghantar barang tersebut terus ke rumah saya. Ini bermakna, saya akan pulang ke rumah bersama-sama beliau. Lebih kurang jam 7.15, saya dan pemilik kedai berkenaan pun meninggalkan Plaza Imbi untuk menuju ke rumah saya.

Dalam perjalanan, beliau yang banyak bercerita. Katanya, untuk sambutan tahun baru Cina tahun ini, beliau akan ke Bandung sahaja. Katanya lagi, beliau dan keluarganya sering menyambut tahun baru Cina di luar negara. Menurutnya lagi, beliau pernah ke Bangkok, Bali, Jakarta, Hanoi serta beberapa tempat lain.

Menurut kawan saya itu, di kebanyakan tempat yang beliau kunjungi, beliau temui ramai orang berbangsa Cina. Walau bagaimanapun, katanya, ramai juga di antara mereka yang tidak lagi fasih berbahasa Cina. Ada juga di antara mereka yang tahu bahawa mereka berbangsa Cina, tetapi dari segi bahasa dan adat resam, golongan tersebut sudah banyak dipengaruhi dengan adat setempat. Ramai juga di antara orang Cina di negara lain yang tidak lagi mahir menulis dan membaca tulisan Cina.

Kawan saya itu meneruskan, setelah beliau menyaksikan sendiri mengenai orang Cina di luar negara, baginya, Malaysia adalah tempat terbaik dari aspek mengamalkan kepercayaan, bahasa serta adat ibunda masing-masing. Katanya lagi, di sesetengah negara, penduduk Cina dipaksa untuk menukar nama masing-masing supaya selaras dengan nama yang digunakan oleh masyarakat setempat. Katanya, hal sedemikian tidak pernah terjadi di Malaysia.

Akhirnya, tanpa diminta, beliau membuat kesimpulan sendiri. Katanya, Malaysia adalah negara paling baik sebagai tempat tinggal. Di sini, semua orang masih bebas untuk mengamalkan kepercayaan, bahasa serta adat warisan bangsa masing-masing. Katanya lagi, di sini dia sendiri tidak perlu menukar namanya kepada “Ahmad” atau “Ali”. Mendengarkan itu, saya tertawa sedikit.

Demikianlah antara bualan kawan saya yang mungkin ada sesuatu yang boleh kita fikir dan renungkan. Ada kalanya kita tidak dapat merasai kemanisan sesuatu nikmat itu sehinggalah nikmat itu hilang dari kita.

Saturday, January 9, 2010

Bicara Peristiwa

Majlis Sambutan Maal Hijrah PERTIS Pahang

Pagi tadi, Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) negeri Pahang telah mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat PERTIS negeri Pahang. Selaku NYDP peringkat PERTIS Pusat dan penyelaras PERTIS Pahang, maka saya telah dijemput untuk turut hadir dalam majlis berkenaan. Selain itu, kehadiran saya juga bertujuan untuk mendapatkan info terkini mengenai aktiviti PERTIS Pahang serta permasalahan/cabaran yang sedang dihadapi.





Sekitar jam 10.00 pagi saya serta keluarga tiba di pejabat PERTIS Pahang. Di sinilah majlis akan diadakan. Bahkan di pejabat ini juga pelbagai aktiviti anjuran PERTIS Pahang sering diadakan. Untuk pengetahuan bersama, pejabat PERTIS Pahang terletak di Kampung Mambang Berulang, Mentakab.





Pada pendengaran saya, kehadiran para ahli untuk majlis pagi ini menggalakkan. Dalam hal ini, saya memang kagum dengan semangat ahli-ahli PERTIS Pahanh. Setiap kali PERTIS Pahang menganjurkan majlis, sambutan yang mereka berikan memang menggalakkan. Kekaguman saya berasaskan kepada beberapa faktor. Kebanyakan ahli tinggal di tempat yang jauh dari pejabat PERTIS Pahang. Bahkan ada yang datang dari Maran dan Kuantan. Selain itu, pihak PERTIS tidak menyediakan pengangkutan khusus untuk membawa para ahli tersebut datang dan balik ke majlis seumpama ini. Mereka datang atas kerelaan sendiri, dengan wang saku sendiri dan dengan susah payah tanggungan sendiri. Walhal pengangkutan di Pahang tidaklah sebaik dan secanggih seperti di KL. Namun demikian, semuanya itu tidak menghalang para ahli PERTIS Pahang untuk hadir dalam majlis-majlis seperti ini.



Antara tetamu lain yang turut hadir termasuklah Ustaz Hamdan Yusi Yusuf (Qadhi daerah Kuantan) yang juga merupakan penceramah jemputan, Ustaz Azahari Daud, Timbalan Qadhi Daerah Temerloh, Penghulu mukim setempat, serta barisan kepimpinan PERTIS Pahang.



Sekitar jam 10.5 pagi majlis pun dimulakan. Ia dimulakan dengan bacaan doa. Setelah itu, ia diteruskan dengan bacaan Alquran yang disampaikan oleh Siti Norafizah binti Burhanuldin. Beliau merupakan bekas murid saya beberapa tahun lalu. Kini Siti Norafizah sedang mengikuti latihan di Taman Harapan, Temerloh, Pahang.



Setelah itu, saya pula diminta untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Mulanya saya menolak. Lagi pun, bagi saya, sebaiknya pengerusi PERTIS Pahang yang patut memberikan ucapan alu-aluan kerana mereka yang jadi tuan rumah. Namun begitu, setelah menimbangkan beberapa perkara, akhirnya saya bersetuju juga untuk mengisi slot ucapan bagi mewakili PERTIS Pusat dan PERTIS Pahang.



Selepas itu, giliran Ustaz Azahari Daud pula untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis pagi ini. Ucapannya ringkas sahaja. Beliau menyampaikan salam daripada Tuan qadhi Daerah Temerloh yang tidak dapat hadir kerana terpaksa menyertai satu lagi program.





Majlis diserikan lagi dengan persembahan oleh kumpulan nasyid daripada para pelatih dari Taman Harapan, Temerloh. Mereka menyampaikan 2 buah lagu. Seperti biasalah, kalau menyanyi atau bernasyid, suara orang buta memang merdu dan ada kalanya mempesonakan. Sayangnya bakat seumpama ini masih lagi belum mampu untuk menjamin masa depan mereka.



Setelah itu, majlis diteruskan dengan ceramah bersempena hijrah yang disampaikan oleh Ustaz Hamdan YusiYusuf. Beliau berceramah selama sekitar sejam dan 15 minit. Bagus ceramahnya. Cara dan gaya Ustaz Hamdan berceramah di hadapan para hadirin pagi ini patut dipuji. Beliau tidak menggunakan bahasa yang tinggi, tidak menggunakan istilah akademik yang sukar untuk difahami dan disertai pula dengan unsur kecindan yang sederhana. Maknanya, beliau peka dengan jenis hadirin yang menjadi pendengar ceramahnya.



Sebenarnya Ustaz Hamdan bukanlah penceramah asing di sekitar Pahang. Ceramah-ceramah beliau sering berkumandang di Radio Malaysia Pahang FM. Ini bukan kali pertama Ustaz Hamdan menyertai program anjuran PERTIS Pahang. Ustaz Hamdan juga merupakan Ahli Bersekutu PERTIS dan merupakan Ahli Seumur Hidup PERTIS sejak beberapa tahun lalu.



Slot ceramah diakhiri dengan sesi soal jawab. Walaupun soalan-soalan yang diutarakan terkeluar daripada tema ceramahnya, Ustaz Hamdan tidak menolaknya bahkan telah memberikan jawapan yang memuaskan terutama kepada yang bertanya. Macam itulah tuan qadhi, mampu menjawab walau apa jua soalan yang diutarakan.

Sekitar jam 1.00 tengah hari majlis berakhir. Ia diakhiri dengan jamuan makan tengah hari. Selepas itu diadakan pula perbincangan ringkas antara barisan kepimpinan PERTIS Pahang, saya dengan Ustaz Hamdan. Perbincangan berkisar pada kegiatan PERTIS Pahang untuk tahun 2010. Daripada perbincangan tersebut, saya dapati sokongan, pertolongan serta komitmen yang ditunjukkan oleh Ustaz Hamdan kepada PERTIS Pahang amat tinggi sekali. Mudah-mudahan Allah merahmati beliau sekeluarga.

Sekitar jam 3.00 petang saya sudah pun berada di rumah di KL. Selepas asar nanti, satu lagi urusan yang perlu saya selesaikan.

Friday, January 8, 2010

Bicara Jumaat

KISAH BANJIR BESAR NABI NUH A.S



Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya, maka ia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka ditimpa banjir nesar, dan mereka adalah orang-orang yang zalim.
(Surah Al-Ankabut:14)

Kisah banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s telah diceritakan oleh banyak masyarakat di dunia. Ia juga mendapat tempat yang meluas di dalam al-Quran. Banyak ayat menerangkan sikap tidak ambil berat di kalangan kaum Nabi Nuh terhadap amaran dan nasihatnya; reaksi mereka dan bagaimana kejadian itu berlaku.

Nabi Nuh telah diutuskan kepada kaumnya sebagai peringatan tetapi mereka telah membelakangi seran ayat-ayat Allah SWT dan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain. Nabi Nuh a.s juga menggesa umatnya agar menyembah Allah Yang Esa dan menyahkan segala penentangan terhadapNya. Walaupun baginda bersungguh-sungguh mengajak umatnya agar menyembah Allah dan mengingatkan mereka betapa hebatnya balasanNya, mereka tidak memperdulikannya dan terus mempersekutukan Allah. Peristiwa ini diterangkan dalam surah Al-Mukminun seperti berikut:

Dan demi sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, (Sebenarnya) tidak ada Tuhan yang lain bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?”

Maka ketua kafir dari kaum-kaumnya berkata (sesama sendiri): orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah ia menurunkan malaikat menjadi rasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.”

“Ia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang mengidap penyakit gila. Oleh itu tunggulah akan perubahan keadaannya hingga ke suatu masa.”

Nabi Nuh a.s berdoa dan berkata: “ Wahai Tuhanku,tolonglah daku, kerana mereka mendustakan seruanku.” (Surah Al-Mukminun:23-26)

Seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas, ketua-ketua masyarakat kaumnya telah berusaha menuduh Nabi Nuh a.s menggunakan kekuasaannya demi untuk menaungi mereka, dengan tujuan untuk memperolehi kepentingan sendiri seperti status, kepimpinan dan kekayaan. Mereka juga telah menuduh Nabi Nuh a.s telah “dirasuk”. Mereka juga membuat keputusan untuk membiarkan baginda dalam keadaan seperti itu untuk seketika sambil mengenakan pelbagai tekanan.


Allah SWT telah memberitahu Nabi Nuh a.s bahawa golongan yang menentang kebenaran dan melakukan kezaliman akan ditenggelamkan dan mereka yang beriman akan diselamatkan.
Apabila tiba masa hukuman tersebut, air dari mata air membuak-buak keluar dari bumi dan disambut pula oleh hujan yang turun dengan lebatnya tidak berhenti-henti menyebabkan berlakunya banjir besar. Allah telah mengarahkan nabi Nuh a.s agar “membawa masuk ke dalam Bahtera setiap spesis haiwan, jantan dan betina, lelaki dan perempuan, semuanya berpasangan termasuk keluarganya – kecuali mereka yang menafikan ayat-ayat Allah”. Semua manusia yang berada di bumi itu telah mati lemas – termasuk “anak lelaki” Nabi Nuh a.s sendiri yang menyangkakan beliau akan selamat dengan berlindung di pergunungan yang berhampiran. Semuanya telah mati lemas kecuali mereka yang berada di dalam Bahtera bersama-sama Nabi nuh a.s.. Apabila air surut pada penghujung kejadian banjir itu, “masalah telah selesai”, Bahtera tersebut terdampar di Judi – iaitu pada sebuah tempat tinggi - menurut al-Quran.



(Dipetik daripada: Kisah Kaum-kaum Yang Pupus, oleh Harun Yahya).

Thursday, January 7, 2010

Bicara Blog Baru

Selamat Datang Ke Dunia Siber

Nampaknya perkembangan dunia siber dalam kalangan golongan cacat penglihatan semakin rancak. Suatu ketika dahulu, kita mungkin merasakan hanya golongan cacat penglihatan terpilih sahaja yang mampu untuk menjadi warga dunia siber. Kini persepsi sedemikian kian terhapus. Sesiapa sahaja dalam kalangan golongan cacat penglihatan mampu untuk menakluk dunia siber asalkan ada kemahuan, kesungguhan, kesabaran, keinginan serta sifat tidak malu untuk belajar, berani meneroka, sanggup menanggung risiko dan tidak riak, sombong dan bangga diri.



Kali ini, saya ingin mengenengahkan seorang lagi blogger baru dalam kalangan golongan cacat penglihatan yang punya bakat dan potensi yang tersendiri, khususnya dalam dunia penulisan. Blogger baru yang saya maksudkan ialah Lok Weng Hang. Beliau merupakan anak murid saya tahun lepas dan tahun ini. Murid tingkatan 5 ini telah pun memulakan penulisannya dalam blog sejak akhir tahun lalu. Saya memang sudah mengesan minat beliau yang mendalam dalam dunia ICT. Namun begitu, penampilan dan kemunculan beliau selaku blogger pada hari ini di luar jangkaan saya.

Dari sudut pelajaran, Lok Weng Hang merupakan antara pelajar terbaik dalam seluruh tingkatannya. Kini beliau juga merupakan antara pelajar harapan untuk peperiksaan SPM untuk tahun 2010. Beliau antara pelajar yang telah dan sedang merasai nikmat serta keseronokan selaku warga dunia siber.

Saya sempat meneliti isi penulisan dalam blognya. Isi dan gaya penulisannya baik, sesuai dengan usia serta pengetahuan yang dimiliki dalam isu yang beliau ketengahkan. Bagi saya, melalui tulisanya, kita akan dapat mendalami bagaimana beliau memerhatikan alam dan persekitaran di sekelilingnya walaupun tanpa penglihatan.

Kepada Lok Weng Hang, cikgu ucapkan selamat datang ke dunia siber yang tanpa sempadan. Manfaatkanlah kemahiran yang ada untuk kebaikan bersama. Pun begitu, jangan terlalu asyik dan leka hingga anda alpa dengan tanggungjawab dan tugas utama anda, terutama untuk menghadapi sat yang paling penting pada hujung tahun ini.

Kepada mereka yang berkesempatan, anda dipersilakan untuk mengunjungi blog Lok Weng Hang di www.yujin9091.blogspot.com

Kepada pengunjung blog ini, anda boleh terus ke blog beliau dengan klik (enter untuk pengunjung cacat penglihatan) pada lok weng hang di bawah tajuk Laman Sesawang Kendalian Blogger Cacat Penglihatan.