Friday, January 16, 2009

Bicara Antarabangsa

Yahudi Tak Pernah Peduli

 

            Hari ini, Yahudi semakin mengganas di bumi Gaza.  Setakat yang saya maklum, angka korban kematian akibat serangan ganas bangsa terkutuk tersebut sudah pun melebihi seribu dan seratus orang.  Bahkan saya percaya mangsa korban akibat kekejaman Israel mungkin lebih banyak daripada itu.

 

            Seperkara yang masih belum berubah sejak Israel memulakan kempen serangan mereka pada 27 Disember 2008 lalu ialah nampaknya secara military Hamas masih tetap berjuang seorang diri.  Tiada sebuah pun negara Islam yang berani secara terbuka menghantar pasukan bantuan untuk membantu Hamas.  Adakah waktu untuk berjihad dan syahid masih belum tiba lagi?  Sedangkan pada masa yang sama, bantuan Amerika Syarikat kepada Israel bukan satu rahsia lagi.  Walaupun setakat ini Amerika Syarikat belum lagi menghantar tenteranya, tetapi bantuan lain seperti wang dan peralatan ketenteraan sudah memadai untuk Yahudi meneruskan serangan sehalanya terhadap pasukan Hamas.  Pada masa yang sama, Israel telah pun mengambil setiap langkah untuk memastikan Hamas akan terputus hubungan dan bantuan dari mana-mana pihak.  Nampaknya segala senjata canggih dan mahal yang ada pada negara-negara Islam bukan untuk berjihad tetapi hanya untuk perhiasan semata-mata.

 

            Hari ini, Yahudi sudah mula menyerang bangunan dan gudang milik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula.  Mungkin tujuan serangan tersebut bukan untuk membunuh mana-mana kakitangan PBB, sebaliknya ia lebih bertujuan untuk memusnahkan sebarang bekalan bantuan yang disimpan oleh PBB untuk keperluan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.  Begitulah kejam dan buruknya perangai Yahudi.  Bukan sekadar manusia Palestin yang menjadi mangsanya, tetapi apa sahaja yang berbau dan berwarna Palestin pasti akan menjadi sasaran kegilaannya.

 

            Walaupun angka korban rakyat Palestin akibat kekejaman Yahudi sudah melebihi seribu orang, tetapi negara-negara Islam nampaknya masih menikus dan tidak mampu berbuat apa-apa.  Nampaknya kita hanya mampu untuk mengumpul dan mencatat statistiknya sahaja.  Usaha untuk ke meja rundingan sudah lama gagal.  Resolusi 1860 Majlis Keselamatan PBB langsung tidak memberi kesan kepada Israel.  Gesaan pelbagai pihak supaya Israel menghentikan serangan langsung tidak diendahkan.  Bagi saya, gesaan Persatuan Parlimen Asia (APA) agar pemimpin tertentu Israel dibawa ke muka pengadilan melalui mahkamah jenayah antarabangsa tak ubah seperti anjing menyalak bukit semata-mata.  Bahkan menteri luar Israel dengan angkuhnya mengatakan bahawa Israel mempunyai budi bicaranya sendiri dan hanya akan menghentikan serangan bila tiba masanya.  Setakat ini, tiada sebarang tekanan diplomatik yang telah diusahakan atau pun yang telah dikenakan sama ada ke atas Israel itu sendiri, mahupun ke atas mana-mana sekutu kuat Yahudi, terutamanya Amerika Syarikat. 

 

            Mungkinkah umat Islam hari ini tak ubah seperti buih di laut sahaja?  Walaupun bilangannya ramai tapi tidak mampu untuk berbuat apa-apa bagi menghentikan keganasan Israel terhadap saudara sendiri.  Israel yang sememangnya menyedari hakikat dan realiti begini memang tidak melepaskan peluang yang ada dengan terus melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat Palestin.

 

            Apakah kita masih tidak percaya dengan ayat 120 dari Surah Albaqarah, khususnya dalam menguruskan masalah yang ditimbulkan oleh Yahudi dan para sekutunya?  Tentu kita masih ingat bagaimana golongan Yahudi telah mengkhianati Rasulullah S.A.W. dan kaum Muslimin dalam Peperangan Khandaq.  Sedangkan Rasulullah mereka (Yahudi) sanggup khianati, inikan pula umatnya.  Jadi, hentikanlah berdiplomasi dengan bangsa terkutuk tersebut.  Saya tidaklah bermaksud supaya kita ganyang sahaja bangsa Yahudi secara tak tentu hala, tetapi adakah kita masih mahu berdiam diri sedangkan semakin ramai saudara kita yang telah terkorban akibat kebuasan mereka?

 

            Memang saya penuh yakin dan percaya bahawa suatu hari nanti bangsa Yahudi akan kecundang juga sebagaimana yang pernah dikhabarkan melalui satu hadith Rasulullah.  Namun begitu, kita tidak boleh membiarkan keadaan yang ada semata-mata kerana adanya hadith sedemikian.  Kita pun tidak tahu bilakah masa sebagaimana yang telah dijanjikan itu akan tiba.  Walaupun umat Islam akhir zaman digambarkan seperti buih di laut, kita harus pastikan bahawa kita bukan sebahagian daripada buih itu.  Saya juga penuh yakin dan percaya setiap titik darah syahid yang mengalir di bumi Gaza, ia adalah penyubur jihad generasi akan datang.

 

Thursday, January 15, 2009

Menungan Malam

Cerita Seorang Bekas Pengarah

 

            Tatkala sunyi malam seperti ini, macam-macam kenangan silam datang melintas ingatan.  Ada yang mencuit memori.  Ada yang sekadar melambainya sahaja.  Kata orang, malam sunyi begini adalah dunia para pujangga kerana tatkala waktu beginilah berbagai ilham datang menerpa.  Sebenarnya, segala pengalaman lalu jika dijadikan sebagai iktibar, sudah pasti kita akan insaf bahawa kehidupan ini sesungguhnya tidak lebih daripada suatu mimpi atau lakonan semata-mata.  Salah satu ingatan yang sering bermain di kotak minda ini ialah berkenaan cerita seorang bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan kepada saya tidak berapa lama dahulu.

 

            Sebenarnya saya sendiri tidak kenal rapat dengan bekas pengarah tersebut.  Pertemuan saya dengan beliau berlaku secara kebetulan dalam satu majlis tidak berapa lama dahulu.  Beliau yang duduk di sebelah saya telah memulakan dahulu bual bicara dengan bertanyakan khabar dan nama saya.  Pertanyaan beliau saya jawab dengan penuh sopan.  Setelah itu, beliau bertanya lagi mengenai tempat tinggal dan kerjaya saya pula.  Sekali lagi, pertanyaan beliau saya jawab dengan penuh ikhlas dan rela.  Selanjutnya beliau bertanya pula mengenai punca kecacatan yang saya alami.  Sambil menjawab segala persoalan yang beliau timbulkan, saya membuat kesimpulan awal bahawa beliau merupakan seorang yang peramah, mudah mesra dan bersedia untuk berbual lebih panjang.  Kesempatan itu tidak saya lepaskan.

 

            Kali ini, tiba pula giliran saya untuk bertanya kepada beliau.  Mulanya saya mengulangi soalan-soalan yang telah beliau tanyakan kepada saya.  Setelah mendapat respon yang baik, saya mula bertanya tentang kerjaya beliau pula.  Menurutnya, beliau merupakan seorang pesara kakitangan awam.  Jawatan terakhir beliau ialah pengarah di salah sebuah jabatan kerajaan.  Katanya lagi, beliau sudah hampir 4 tahun bersara.  Selanjutnya, saya bertanya pula tentang aktiviti beliau selepas persaraan.  Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang aktiviti khusus.

 

            Selanjutnya, saya bertanya lagi sama ada wujud perbezaan antara masa masih menjadi kakitangan awam dengan selepas persaraan.  Beliau dengan nada berbunyi kesal antara lain berkata, adakalanya apabila kita sudah di bawah dan tidak lagi berada di atas, barulah kita tahu bagaimana sebenarnya penerimaan orang bawah terhadap kita selama ini.  Selagi kita masih berada di atas, kebanyakan orang tidak akan mempamerkan sikap dan penerimaan sebenar mereka terhadap kita.  Kebiasaannya yang sering dipamerkan hanyalah kepura-puraan.  Mereka hanya hormat kepada kita bukan kerana mereka benar-benar menghormati kita, tetapi mereka hanya menghormati pangkat kita semata-mata. 

 

            Dengan suara yang agak perlahan, beliau meneruskan bercerita mengenai kisah hidupnya.  Menurutnya lagi, sewaktu masih menjawat jawatan sebagai pengarah, beliau mempunyai ramai kenalan, kawan dan rakan.  Mereka memanggil beliau "tuan" atau "boss".  Katanya lagi, beliau sering diundang ke pelbagai majlis, sama ada majlis rasmi mahupun majlis anjuran individu seperti majlis perkahwinan, sambutan pelbagai ulang tahun, dan berbagai lagi.  Menurutnya lagi, bila beliau bercakap, kebiasaannya orang lain hanya akan mendengar sambil mengangguk tanda mengiyakan.  Jarang beliau mendengar orang secara berterus-terang menidakkan apa yang beliau perkatakan.  Oleh kerana situasi sebegitu jarang berlaku, kata nya, beliau berpendapat apa yang beliau cakapkan atau lakukan semuanya betul belaka.

 

            Kini, setelah beliau bersara, keadaan mula berubah.  Mereka yang dahulunya begitu menyanjung beliau, kini sudah menjauhkan diri daripada beliau.  Beliau tidak mendengar lagi panggilan "tuan" atau "boss" untuknya.  Kalau berselisih di jalan dengan bekas kakitangannya, mereka hanya mengangkat tangan sahaja.  Katanya lagi, selepas lebih 4 tahun bersara, tak sampai pun 5 kali beliau diundang menghadiri sebarang majlis.  Katanya lagi, beliau sedar kini, selama ini orang menghormati beliau hanya kerana pangkat, jawatan dan kedudukan semata-mata dan bukannya atas dasar kemanusiaan.

 

            Dalam hati, saya mula membuat kesimpulan sendiri.  Mungkin bekas pengarah yang ada  di hadapan saya seorang yang tegas ketika menjalankan tugas.  Mungkin beliau seorang yang sangat cerewet.  Atau, mungkin beliau seorang yang suka dibodek.  Segalanya mungkin.

 

Walau bagaimanapun, kisah beliau memang mempunyai sesuatu yang perlu kita teladani.  Selain dari cerita di atas, mungkin banyak lagi cerita yang hampir sama pernah kita dengar.  Persoalannya, sejauh manakah cerita dan pengalaman sedemikian benar-benar mampu untuk menginsafkan kita?  Kita mesti sentiasa ingat, apa yang ada pada kita seperti jawatan, pangkat, kedudukan dalam masyarakat, wang ringgit dan sebagainya, semuanya bersifat sementara dan suatu hari kelak akan terlepas dari genggaman kita.  Sebaik-baiknya kita merasa insaf semasa kedudukan, jawatan dan pangkat masih dalam genggaman kita.  Janganlah hendaknya kita hanya insaf dan sedar setelah segalanya tidak lagi kita miliki.

 

Salam dinihari.

 

Monday, January 12, 2009

Bicara Antarabangsa

Gaza Bermandi Darah Lagi

 

            Sejak hujung tahun 2008, setiap hari Semenanjung Gaza bermandi darah rakyat Palastin.  Tentera rejim Yahudi tidak henti-henti menggunakan hampir setiap jenis senjata yang dimilikinya untukmemastikan supaya bumi Gaza sentiasa disirami dengan darah rakyat Palastin.  Tidak cukup dengan itu, mereka juga turut melaksanakan resolusi sendiri di bumi Palastin.  Ini termasuklah menyekat pelbagai bantuan untuk rakyat palastin, menutup sempadan utara dan selatan Gaza agar terputus daripada masyarakat antarabangsa, membunuh tanpa mengira siapa asalkan Palastin, memusnahkan harta benda awam dan sebagainya.

 

            Antara mangsa utama keganasan Yahudi kali ini ialah golongan wanita dan kanak-kanak.  Pada hemat saya, golongan wanita dijadikan mangsa supaya tiada lagi perempuan Palastin yang akan melahirkan generasi Palastin yang akan datang bagi meneruskan perjuangan bangsa tersebut.  Golongan kanak-kanak pula menjadi mangsa agar pelapis pejuang Palastin yang ada juga akan terhapus.  Demikianlah licik dan halusnya perancangan puak Yahudi.  Mereka lupa jika mereka ada rancangan, Allah juga ada rancangan, dan apa yang telah dirancangan oleh Allah adalah yang terbaik.

 

            Apa yang kita saksikan hari ini, seolah-olahnya golongan Hamas berjuang bersendirian tanpa bantuan dari mana-mana pihak, khususnya daripada saudara yang seakidah dengan mereka.  Hal ini amat menyedihkan.  Namun bagi pejuang Hamas perkara tersebut sama sekali tidak melemahkan semangat perjuangan mereka.  Justeru, walaupun mereka digesa supaya ke meja rundingan, tetapi sejak awal-awal lagi semua syarat yang bakal merugikan mereka ditolak mentah-mentah.  Nampaknya mereka lebih suka untuk berjuang walaupun tanpa senjata canggih sebagaimana yang dimiliki oleh musuh yang sedang menyerang mereka.

 

            Dalam hal ini, saya merasa begitu tertarik, terpesona dan terharu  dengan semangat perjuangan serta keberanian yang dimiliki oleh puak Hamas dalam mempertahankan hak mereka.  Mereka seolah-olah benar-benar menghayati peribahasa Melayu yang antara lain berbunyi biar putih tulang, jangan putih mata.  Saya yakin yang menjadi pembakar semangat juang mereka adalah ayat Alquran yang antara lain mafhumnya "Dan barang siapa yang terbunuh pada jalan Allah, mereka itu (golongan syahid) sebenarnya hidup dan mendapat rezki pula di sisi Allah".  Demikianlah maha benarnya akan janji Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.  Seorang pemimpin Hamas antara lain pernah berkata iaitu mereka (rakyat Palastin) memang dilahirkan untuk memikul amanah mempertahankan Baitul Maqdith dan syahid di bumi Palastin.

 

            Saya merasa amat kecewa dengan reaksi dan respon yang ditunjukkan setakat ini khasnya oleh negara-negara Arab terhadap konflik di Gaza.  Setakat ini, tiada satu pun negara Arab yang berani menunjukkan sokongan terbuka kepada Hamas dalam mempertahankan haknya.  Bahkan negara-negara berkenaan seakan bersekongkol pula dengan Yahudi dengan turut sama mengenakan sekatan terhadap Hamas.  Tindakan Mesir yang tidak membuka sempadannya di Rafah adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

 

            Dari sudut material, kekayaan melimpah-ruah yang dimiliki oleh negara-negara Arab dan islam tidak perlu dipertikaikan lagi.  Ada yang mampu membeli kelab bola sepak Liga Inggeris, membina istana-istana yang mengkagumkan pandangan, dan berbagai lagi.  Negara-negara Arab juga merupakan pengeluar minyak utama dunia, tetapi setakat hari ini mereka masih tidak mampu untuk menguruskan sepenuhnya hasil keluaran bumi mereka yang sangat berharga itu dan ia terpaksa diurus pula oleh Amerika Syarikat dan Barat. Bagi mereka, setiap hari, mereka hanya mengira jumlah wang yang masuk hasil minyak bumi sendiri.  Sebab itulah mereka gagal menjadikan minyak sebagai senjata ekonomi yang berkesan, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

 

            Jika Amerika Syarikat dan sesetengah negara Eropah secara berterusan telah memberikan sokongan kewangan dan ketenteraan kepada Yahudi, mengapa semangat dan kerjasama yang serupa gagal ditonjolkan oleh negara-negara Arab dan Islam?  Kita seakan rela dan sampai hati melihat para pejuang Hamas berjuang secara bersendirian dan tanpa senjata yang cukup untuk mempertahankan hak dan bumi mereka.  Setiap hari kita hanya mampu membaca, mengira dan mengumpul statistik puak Hamas yang cedera dan terkorban.  Adakah itu sahaja kemampuan kita?  Pada masa yang sama, Amerika Syarikat dan Barat sedang bekerjasama erat untuk memastikan kejayaan missi dan visi rejim Tel Aviv.  Rejim tersebut dibekalkan dengan senjata yang canggih serta bantuan lain.  Hal ini bukan rahsia lagi.  Di sini, saya teringat satu hadith Nabi yang antara lain mafhumnya, umat Islam di akhir zaman nanti banyak tetapi mereka tak ubah seperti buih di laut.  Adakah kita sebahagian daripada buih di laut seperti yang dimaksudkan oleh hadith Nabi itu?

 

            Baru-baru ini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan satu resolusi yang menggesa gencatan senjata segera antara kedua belah pihak.  Bagi saya, resolusi ini sebenarnya telah gagal.  Amerika Syarikat telah bersikap berkecuali yang sekaligus merupakan sokongan terbuka kepada Israel.  Amerika Syarikat sengaja mengambil sikap berkecuali sebagai satu strategi untuk mengambil hati sekutu kuatnya dalam kalangan negara Arab dan islam.  Pada masa yang sama, resolusi tersebut juga tidak langsung mengecam Israel sebagai pihak yang telah memulakan konflik bersenjata di Gaza.

 

            Di satu pihak pula, Israel sebagaimana biasa dan dengan penuh sombong, bongkak dan angkuhnya tidak mempedulikan resolusi PBB tersebut.  Tindakan sebegini memang telah dijangkakan.  Bahkan ini bukan pertama kali tindakan seperti ini dilakukan oleh Israel.  Justeru, saya menyokong penuh kenyataan yang dibuat oleh sebuah NGO yang mengatakan bahawa tindakan kita melobi sokongan Barat merupakan satu tindakan basi dan sia-sia sahaja.  Kebiasaannya Israel akan bertindak mengikut pertimbangannya sendiri dan amat jarang sekali ia tunduk kepada tekanan antarabangsa.  Sebab itulah juga sehingga hari ini pun Israel tidak pernah patuh dan tunduk kepada Resolusi 338 dan 442 yang telah diluluskan oleh PBB sejak sekian lama.  kegagalan israel mematuhi resolusi ini juga tidak memberi sebarang kesan kepada rejim berkenaan.  Ini berbeza dengan Iraq satu ketika dahulu.  Iraq telah dikenakan pelbagai sekatan apabila gagal mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan 660 – 676 PBB ketika Perang Teluk lalu.

 

            Keakraban Israel dan Amerika Syarikat bukan satu rahsia lagi.  Seluruh dunia tahu bahawa sebarang tindakan Yahudi khususnya di Asia Barat sentiasa didalangi oleh negara Uncle Sam tersebut.  Setiap tahun, Amerika Syarikat akan meluluskan bantuan kewangan untuk rejim Tel Aviv yang jumlahnya mencecah berbilion dollar.  Amat mendukacitakan apabila sehingga hari ini negara-negara Islam pula masih gagal melepaskan diri daripada kongkongan dan cengkaman Amerika Syarikat dalam pelbagai aspek.  Inilah masalah utama yang dihadapi oleh negara Arab dan Islam hari ini ketika berhadapan provokasi daripada negara Yahudi.

 

            Oleh itu, tidak keterlaluan jika saya berpendapat bahawa dalam menghadapi konflik di antara negara-negara Arab dan islam dengan israel, adalah amat sia-sia sekali jika kita masih mengharapkan sokongan, dokongan atau simpati daripada Amerika Syarikat dan Eropah.  Sejarah secara jelas dan terang telah membuktikan bahawa Amerika Syarikat dan Eropah sama sekali tidak pernah menyebelahi pihak Arab dan Islam walaupun ternyata Israel berada di pihak yang salah.  Mereka sentiasa mencipta pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan mereka menyokong rejim Zionis.  Dalam hal ini, teringat saya kepada sepotong ayat Alquran yang antara lain mafhumnya: "Orang-orang Yahudi dan Nasara tidak akan sekali-kali bersetuju dengan kamu sehinggalah kamu (umat Islam) mengikut mereka (Yahudi dan Nasara) .... ".  (Albaqarah, ayat 120).

 

            Saya rasa, semua bersetuju iaitu apa yang dilakukan oleh Israel di Gaza hari ini merupakan jenayah kemanusiaan yang tidak terampun lagi.  Ini bukan kali pertama jenayah seumpama ini dilakukan oleh Israel.  Tentu kita masih ingat tragedi Sabra Dan Chatila yang telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat palastin.  Israel telah memberi sokongan terbuka terhadap puak yang telah melakukan pembunuhan kejam tersebut.  Banyak lagi jenayah kemanusiaan seperti ini yang telah dilakukan oleh Israel.  Namun begitu, setakat pengetahuan saya, sehingga hari ini tiada seorang pemimpin Israel pun yang telah didakwa di mahkamah jenayah Antarabangsa sebagaimana yang telah dilakukan kepada para penjenayah perang lain seperti Slobodan Milosavic dan lain-lain lagi.

 

            Sesungguhnya hanya berbekalkan semangat jihad dan keredhaan untuk syahid membolehkan para pejuang Hamas terus berjuang mempertahankan agama dan tanah air mereka.  Ingatlah firman Allah yang antara lain mafhumnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela agama Allah, nescaya Allah akan membela kamu dan akan menetapkan kamu".  (Surah Muhammad, ayat 7).

 

Saturday, January 10, 2009

Renungan Dinihari

Pulau Barangan Amerika Dan Yahudi: Berkesankah?

 

            Rasanya tidak salah jika saya menganggap hari Jumaat 9 Januari 2009 merupakan Hari Perpaduan Palastin di Malaysia.  Anggapan ini saya dasarkan kepada beberapa peristiwa dan fenomena yang berlaku hampir serentak di seluruh negara.  Di kebanyakan masjid diadakan solat hajat selepas solat Jumaat.  Demonstrasi aman turut berlangsung di ibu negara.  Khabarnya ribuan orang telah menyertai demonstrasi berkenaan yang turut diwarnai dengan pelbagai sepanduk dengan beraneka slogan pula.  Ada juga yang turut membakar bendera Amerika dan Israel.  Saya sendiri telah menghadiri satu program atas tujuan yang sama pada sebelah malamnya.

 

            Salah satu tindakan yang disarankan ialah supaya kita semua memulaukan barangan keluaran Amerika Syarikat dan Yahudi.  Ada pula yang telah menghantar SMS dengan menyenaraikan beberapa barangan yang patut dipulaukan.  Saranan sebegini sememangnya baik.  Persoalannya, Sejauh manakah dan selama manakah kita mampu untuk memulaukan barangan keluaran Amerika dan Yahudi?  Mengapakah tindakan sebegini hanya dilakukan secara bermusim dan tidak secara berterusan?  Adakah kita benar-benar telah bersedia untuk memulaukan barangan keluaran Amerika dan Yahudi dari segenap aspek dan dalam tempoh yang lama?

 

            Pada hemat saya, Amerika Syarikat amat menyedari bahawa kebanyakan negara dunia ketiga khususnya negara-negara Islam tidak akan dapat lari daripada terus bergantung kepadanya khususnya dari aspek ekonomi, ketenteraan mahupun dari aspek politik.  Hal ini diperkukuhkan lagi apabila tiada sebuah pun negara setakat ini yang benar-benar mempunyai rancangan jangka panjang dan tersusun untuk melepaskan diri daripada pergantungan dan cengkaman Amerika Syarikat.

 

            Lihat sahaja dari sudut ekonomi di mana Amerika Syarikat merupakan antara rakan dagang negara kita yang amat penting.  Dollar Amerika pula masih mempunyai pengaruh yang besar terhadap kestabilan Ringgit kita.  Bilamana Amerika Syarikat merendah atau meningkatkan kadar faedahnya, ia turut memberi kesan kepada ekonomi kita.  Percubaan untuk menggunakan dinar emas bagi menggantikan dollar Amerika Syarikat setakat ini masih belum membuahkan hasil yang diharapkan.  Tidak boleh dinafikan kita akan merasa gentar jika Amerika Syarikat pula yang mengugut untuk memulaukan mana-mana syarikat dari Malaysia.  Bahkan Amerika Syarikat merupakan antara destinasi popular bagi kebanyakan missi perdagangan negara yang dihantar ke luar negara.  Hakikatnya, dari aspek ekonomi pun kita masih tidak mampu untuk menyisihkan diri daripada Amerika Syarikat.  Fenomena yang serupa turut dirasai dan mewarnai kebanyakan negara Islam yang lain.

 

            Dari sudut ICT pula, pergantungan kita kepada Amerika Syarikat lebih ketara.  Banyak jenama komputer yang ada di negara kita adalah buatan Amerika.  Begitu juga dengan kebanyakan perisian utama yang kita gunakan merupakan barangan keluaran negara Polis Dunia itu.  Sama ada sedar atau tidak, apabila kita link sahaja kepada internet, kita sebenarnya telah mengikat diri kita kepada Amerika Syarikat.  Hal ini diperkukuhkan lagi bilamana kemas kini perisian berkenaan hanya boleh dilakukan secara online sahaja.  Ini bermakna, mereka (Amerika Syarikat) mengas dan mengal sepenuhnya barangan keluaran mereka dari awal hingga akhir.  Bahkan jaringan internet itu sendiri telah diperkenalkan oleh Amerika Syarikat.

 

            Bagi golongan cacat penglihatan pula, pergantungan kita kepada Amerika Syarikat semacam sesuatu yang wajib.  Lihat sahajalah pelbagai barangan yang kita gunakan seperti mesin Braille, braillon, perisian JAWS dan Duxbury serta lain-lainnya, kesemuanya datang dari Amerika Syarikat.  Bayangkan apa yang bakal terjadi kepada golongan cacat penglihatan jika peralatan dan perisian tersebut kita pulaukan?  Justeru, saya berpendapat dalam konteks ini dan untuk jangka masa beberapa dekad mendatang, pergantungan golongan cacat penglihatan kepada Amerika Syarikat adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan.  Hal ini disandarkan kepada ketidakmampuan negara kita untuk menghasilkan walaupun Cuma sebatang tongkat putih atau seunit pocket frame.

 

            Dalam hal ini, saya tertarik dengan apa yang telah dilakukan oleh Republik Islam Iran.  Sebaik sahaja Ayatullah Khomeini (Almarhum) berjaya menggulingkan rejim Shah Iran pada tahun 1978, antara langkah pertama yang telah dilaksanakannya ialah memutuskan semua bentuk hubungan dengan Amerika Syarikat dan Israel.  Menerusi wadah yang betul dan akidah yang kukuh, Iran mula merangka strategi untuk survival jangka panjangnya tanpa peranan Amerika Syarikat lagi.  Memang tidak dinafikan dalam melaksanakan semuanya itu, Iran telah berhadapan dengan pelbagai masalah, ujian dan cabaran, khasnya yang dipuncakan oleh Amerika Syarikat dan para sekutunya.  Ini termasuklah Perang Iran – Iraq (1980-1988 dan sekatan di bawah Resolusi 598 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).  Namun semuanya itu telah dihadapi oleh Iran dengan tabah dan jayanya.

 

            Hari ini, setelah lebih 30 tahun Revolusi Iran berlaku, negara tersebut telah membuktikan bahawa ekonominya tidak pernah jatuh, lumpuh dan rapuh walaupun tanpa peranan Amerika Syarikat.  Dari sudut ketenteraan pula, tidak keterlaluan jika saya katakan Iran merupakan satu-satunya negara Islam yang digeruni oleh Amerika Syarikat, Israel dan para sekutunya.  Hari ini, mahu tidak mahu, Amerika Syarikat dan para sekutunya terpaksa mengakui bahawa Iran merupakan kuasa nukliur utama dunia.  Kekuatan dan kemampuan Iran telah dibuktikan lagi apabila negara tersebut berjaya mencipta peluru berpandu anti radar yang amat ditakuti oleh Amerika Syarikat.  Bahkan Iran telah membuktikan kecanggihan teknologi ketenteraannya apabila berjaya menang dalam perang proksi dengan Amerika Syarikat menerusi perang antara puak Hizbullah dengan Israel di Lubnan pada hujung tahun 2007 lalu.  Kesemuanya ini merupakan bukti bahawa Iran melalui rancangan strategikal dan operasional jangka panjangnya yang penuh tektikal itu bukan sekadar berjaya melepaskannya daripada kongkongan dan cengkaman Amerika Syarikat, bahkan berjaya pula membina kekuatan sendiri yang digeruni lawan dan disegani kawan.

 

            Saya tidak sekali-kali mengatakan apa yang kita lakukan hari ini di negara kita bagi menentang dasar-dasar tertentu oleh Amerika Syarikat seperti memulaukan barangan, berdemonstrasi, membakar bendera  dan yang seumpamanya tidak boleh atau tidak baik.  Bagi saya, tindakan kita selama ini lebih bersifat bermusim dan kadangkala bercorak emosi.  Kita baru bercadang untuk memulaukan barangan keluaran Amerika Syarikat dan Yahudi setelah rejim Zionis tersebut membunuh ratusan nyawa rakyat Palastin di Gaza.  Kita mungkin tidak sedar bahawa peluru yang digunakan oleh Israel untuk melakukan kekejaman pada hari ini sebenarnya merupakan hasil sumbangan kita yang telah membeli barangan keluaran Amerika dan Yahudi pada masa lalu.  Kita juga tidak sedar, setelah berlaku gencatan senjata dan keadaan mula nampak aman, kita seakan lupa untuk terus memulaukan barangan Amerika Syarikat.  Mungkin tanpa kita sedari, dalam masa aman inilah Yahudi dan Amerika Syarikat mengumpul dana semula untuk membuat peluru baru untuk program kekejaman selanjutnya hasil daripada sumbangan kita juga.

 

            Oleh itu, pada hemat saya, tindakan penentangan secara bermusim dan bersifat emosi semata-mata mesti dihentikan segera.  Marilah kita bersatu dalam akidah yang satu.  Kita harus bersatu dan merangka rancangan jangka panjang yang benar-benar berkesan yang perlu disertai oleh semua.  Jika situasi umat Islam hari ini masih tidak berubah, berkelahi sesama sendiri, bertelagah tanpa henti, berbunuhan di sana sini, amat tebal dengan sikap penting diri, maka kemenangan dan kejayaan yang kita harapkan tak ubah umpama mimpi dalam lena yang masih panjang.

 

Thursday, January 8, 2009

Kisah Dan Teladan

Penghisap Darah

 

            Jam 11.00 Malam pada 7 Januari 2009 (Rabu), setelah menyelesaikan satu tugasan di Nilai, Negeri Sembilan, saya pun bertolak balik ke KL dengan menggunakan perkhidmatan KTM-komuter.  Seperti yang saya jangka, tepat jam 12.00 tengah malam, baru saya tiba di stesen KL Sentral.  Ketika itu, perkhidmatan LRT baru sahaja berakhir.  Jadi, saya tiada pilihan untuk pulang ke rumah selain menggunakan perkhidmatan teksi.

 

            Mulanya, saya cuba cari teksi di atas.  Seorang lelaki memberitahu saya supaya jangan cari teksi di atas kerana ia tidak sesuai untuk saya.  Saya faham, maksud beliau teksi di atas mahal daripada harga biasa.  Lalu saya pun ke bawah yang menghala ke Jalan Tun Sambanthan.  Seorang pemandu teksi menawarkan harga RM 40.00 bagi destinasi yang saya ingin tuju.  Sudah tentu saya tidak bersetuju.  Pada jangkaan saya, harga sebenar dicampur midnight Charge hanyalah sekitar RM 15 – 20 sahaja.

 

            Seorang lagi pemandu teksi datang kepada saya dan menawarkan harga RM 23.00.  Katanya dia tidak ambil untung langsung.  Walaupun harga yang ditawarkan hampir kepada harga jangkaan saya, namun saya tetap menolaknya.  Pemandu berkenaan cuba memujuk tapi saya tetap menolaknya.  Kalau dia berunding untuk mengurangkan harga mungkin saya boleh pertimbangkan.  Sebenarnya saya memang nekad dan bertekad tidak akan memberi muka kepada pemandu teksi yang seperti itu.

 

            Setelah lebih kurang 15 minit, lalu saya pun berjalan sendirian menuju ke stesen monorel di seberang jalan Tun Sambanthan.  Setelah tiba di situ, saya memang pasti ada beberapa buah teksi sedang menunggu penumpang.  Lalu saya pun cuba bertanya kalau-kalau ada yang ingin pergi ke destinasi yang saya ingini.  Semua teksi yang saya tanya hanya meletakkan harga di atas RM 25.00.  Semakin kuat tekad saya untuk tidak memberi muka kepada golongan berkenaan.  Ada juga yang pada asalnya menawarkan harga RM 35 kemudiannya menurunkannya kepada RM 30, itu juga saya tolak.  Saya memang pasti, tatkala itu orang di sekitar tempat itu masih ramai walaupun sudah jam 12.30 tengah malam.  Kebetulan 2 restoran mamak berhampiran sedang rancak dengan perniagaan masing-masing.

 

            Setelah merasakan usaha saya di situ sia-sia sahaja, lalu saya pun secara bersendirian beredar menghala ke pejabat NCBM.  Setelah mengagak tempat yang lebih strategik untuk menahan teksi, lalu saya berhenti dan berdiri di tepi jalan sambil menahan setiap bunyi teksi yang saya dengar.  Setelah lebih kurang 10 minit, akhirnya berhentilah sebuah teksi.  Setelah saya memberitahu pemandunya destinasi yang saya ingin tuju, beliau terus bersetuju.  Saya sendiri mendengar pemandu berkenaan menekan meter teksinya.  Saya merasa lega dan puas.  Setidak-tidaknya saya sudah berjaya "menewaskan" golongan penghisap darah tadi.

 

            Lebih kurang jam 1.00 pagi saya pun tiba di rumah dengan selamat.  Saya hanya perlu membayar RM 15.00 sahaja setelah dicampur dengan midnight charge.  Jumlah tersebut memang berada dalam lingkungan jangkaan saya.  Sebagai meraikan "kemenangan" saya, saya beri pula kepada pemandu teksi berkenaan tambahan RM 2.00.  Memang pemandu teksi tadi tidak mengerti apa-apa pun.  Namun saya tetap puas dan lega.

 

            Sebenarnya ini bukan pertama kali saya menghadapi peristiwa seperti ini.  Entah sudah berapa kali saya pun tidak pasti.  Saya juga yakin, para pengunjung blog ini juga pasti pernah mengalami peristiwa yang sama.  Persoalannya, apakah tindakan kita ketika menghadapi situasi seperti ini.  Bagi saya, selagi kita masih mengalah dan memberi muka, maka selagi itulah golongan penghisap darah ini akan sentiasa bermaharajalela.  Mereka seakan bersatu sesama mereka untuk terus menghisap para pengguna seperti kita.  Oleh itu, kita juga seharusnya bersatu untuk menekan golongan penghisap darah tersebut.  Saya yakin, ramai lagi pemandu teksi yang baik dan menggunakan cara yang betul demi mencari rezki yang halal.  Salah satu contohnya ialah pemandu teksi yang telah membawa saya pulang hingga selamat sampai ke rumah.  Biar buta mata, tapi jangan gelap pendirian.

 

            Kepada pemandu teksi yang tidak pun saya kenali, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.  Hanya Allah sahajalah yang membalas kebaikan anda.

 

Pembetulan

Pembetulan Maklumat

 

            Dalam tulisan saya yang disiarkan pada blog ini bertarikh 6 Januari lalu, saya mengatakanbahawa Saudara Mohd Ghazali Tocheh telah meninggal dunia pada awal pagi (6 Januari).  Sebenarnya beliau telah meninggal dunia antara jam 1 tengahari – 2 petang pada hari yang sama.  Jadi, pada awal pagi berkenaan beliau masih hidup lagi.  Kesalahan pada Maklumat tersebut disedari oleh seorang rakan dan telah memberitahu saya maklumat yang betul pada pagi keesokan harinya.  Namun begitu, disebabkan kesibukan tugas yang begitu memuncak ketika ini, maka saya gagal membetulkan maklumat tersebut hinggalah ke saat ini.  Segala kesilapan amat saya kesali dan saya memohon maaf.  Terima kasih.

 

Tuesday, January 6, 2009

Takziah

Takziah Kepada Keluarga Mohd Ghazali Tocheh

 

            Lebih kurang jam 3.00 petang tadi, iaitu sebaik sahaja saya selesai mengahdiri satu mesyuarat di sekolah, seorang rakan menghantar sms dengan memberitahu bahawa Saudara Mohd Ghazali Tocheh telah meninggal dunia awal pagi tadi.  Saya terkejut mendapat berita tersebut,  Untuk pengesahan lanjut, saya menelefon sendiri rakan saya itu dan beliau mengesahkan berita yang dihantarnya dan memberitahu dari mana sumber berita tersebut beliau perolehi.  Saya berpuas hati dengan kesahihan maklumat yang disampaikannya.

 

            Dalam beberapa tulisan saya melalui blog ini, memang saya ada menyentuh mengenai kematian.  Nah, sekarang berita yang ditakuti ramai itu menimpa salah seorang rakan saya dan mungkin rakan kita juga.

 

            Bagi saya, pemergian Saudara Mohd Ghazali Tocheh bukan sahaja kehilangan buat warga OKU penglihatan, bahkan ia turut merupakan kehilangan juga buat dunia sastera negara.  Beliau merupakan seorang novelis yang dikenali ramai.  Salah sebuah novel tulisan beliau menjadi salah sebuah teks bacaan untuk Komponen Kesusasteraan Melayu Bahasa Melayu peringkat menengah rendah.  Saya sendiri tidak pasti sudah berapa buah novel yang telah beliau hasilkan, tetapi yang pastinya memang agak banyak juga.

 

            Beliau juga merupakan pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan KL/Selangor.  Bakat kepimpinan beliau memang begitu terserlah dan menyerlah sekali.

 

            Sesungguhnya tempoh yang telah ditetapkan untuk Saudara Mohd Ghazali Tocheh di alam maya ini telah pun berakhir.  Hanya kita sahaja yang tetap tidak akan tahu bila pula tempoh untuk kita pula akan berakhir.  Marilah sama-sama kita banyakkan bekalan untuk menghadapi saat dan ketika yang penuh rahsia itu.  Hentikan segala dosa, fitnah, umpat, keji, busuk hati dan yang seumpamanya kerana semuanya itu hanya akan menjejaskan persediaan kita untuk menghadapi saat yang ramai tidak ingini.

 

            Kepada keluarga Saudara Mohd Ghazali Tocheh, saya ucapkan takziah dan rasa simpati yang mendalam.  Bersabarlah menghadapi ujian ini. Sesungguhnya kita ini dari Allah, dan kepada-Nyalah kita akan kembali.

 

Takziah daripada saya dan keluarga.