Thursday, December 25, 2014

Pak Lang Yusuf




Saya ada seorang bapa saudara. Beliau tinggal di Johor Baru. Nama penuhnya ialah Tn. Hj. Yusuf. Dalam keluarga, kami selaku anak buah memanggilnya sebagai Pak Lang Usup. Kini beliau dan isterinya yang saya panggil Mak Lang merupakan seorang pesara kerajaan. Usianya baru mencecah 80 tahun. Saya pun tidak pasti sudah berapa lama beliau bermastautin di JB. Seingat saya, sewaktu saya belajar di SKPK Princess Elizabeth (PES) dahulu, beliau telah pun menetap dan bertugas di JB.



Bagi saya, Pak Lang Usup sangat istimewa dan sangat besar jasanya kepada saya. Sewaktu saya belajar di PES dahulu, seingat saya Pak Lang Usup merupakan waris keluarga terdekat saya yang ada di JB. Jadi beliau sering melawat saya di PES setiap bulan. Kebetulan saya merupakan dari keluarga yang tidak berada. Jadi ketika itu jarak kampung saya di Melaka dengan JB terasa jauhnya. Dalam sebulan sekali atau dua kali beliau akan datang melawat saya. Beliau tidak datang dengan tangan kosong. Sebelum pulang, RM5 atau RM10 akan dihulurkannya kepada saya. Itu sekali datang. Pada ketika itu (dekad 70-an) wang sebanyak itu sudah cukup besar. Begitulah yang Pak Lang Usup lakukan sehinggalah saya tamat pendidikan rendah di JB dan berpindah ke KL untuk pendidikan menengah pula.



Sewaktu saya belajar di PES juga, kebetulan hari raya puasa jatuh dalam musim persekolahan. Jadi tiada cuti panjang selain cuti hari raya sahaja. Maka itu, hampir seluruh murid PES ketika itu akan menyambut hari raya di PES sahaja. Maknanya berhari raya di tempat orang sudah menjadi lumrah bagi murid-murid PES ketika itu. Walau bagaimanapun, setiap kali menjelang hari raya Pak Lang Usup akan membawa saya pulang untuk menyambut hari raya di kampung. Realitinya, saya tidak pernah menyambut hari raya puasa di tempat orang sehinggalah saya berumah tangga. Demikianlah.

Satu lagi jasa Pak Lang Usup kepada saya ialah beliau telah membelikan mesin Braille (Perkin’s Brailler) untuk saya iaitu pada tahun 1977. Saya masih ingat lagi, harga sebuah mesin Braille ketika itu ialah RM450.63. Seingat saya juga, ketika itu, hanya tiga orang sahaja yang ada mesin Braille sendiri di PES termasuklah saya. Ketika itu, mesin Braille dianggap barangan mewah dan hampir semua murid termasuk saya tidak mampu memilikinya jika tidak dibelikan oleh Pak Lang Usup. Mesin Braille berkenaan terus saya jaga hingga ke hari ini.

Pak Lang Usup juga aktif dengan kerja-kerja sukarela di PES terutamanya sewaktu saya masih belajar di sana. Saya masih ingat dalam kejohanan sukan tahunan PES, beliau pasti datang untuk menjadi pelepas atau pengadil.

Dengan pertolongan Pak Lang Usup, saya tidak pernah mengalami kesempitan wang terutama semasa belajar di PES. Walhal saya bukannya dari keluarga yang senang. Mungkin kerana saya tidak perlu memikirkan tentang wang ketika di PES kerana ia cukup buat saya, maka itulah agaknya saya dapat lebih fokus kepada pelajaran.

Setelah saya berpindah ke KL untuk pendidikan menengah, pertemuan saya dengan Pak Lang Usup tidak lagi sekerap seperti sebelumnya. Maklumlah saya sudah di KL sedangkan beliau tetap bermastautin di JB. Walau bagaimanapun, kami pasti bertemu ketika hari raya puasa. Begitulah hubungan kami selepas itu.

Kini, setelah masa bersilih ganti beberapa musim, Pak Lang Usup masih menetap di JB. Secara umumnya beliau masih sihat tapi sihat orang berusia. Layanannya kepada saya tidak pernah berubah. Tetap seperti dahulu juga.

Petang tadi, saya berkesempatan melawat Pak Lang Usup di rumahnya. Bahkan setiap kali saya ke JB dan bila ada kesempatan saya pasti akan melawat beliau. Saya maklum jasanya tidak dapat saya balas dengan apa cara pun. Maka itu, sebagai tanda ingat, saya akan meluangkan masa untuk melawat beliau dam Mak Lang. Selain itu, saya sering beritahu kepada anak saya inilah antara orang yang telah berjasa kepada abahnya suatu ketika dahulu. Saya juga berpesan kepada anak saya agar ingat dan sentiasa hormat kepada orang-orang seperti ini.



Saya tidak lupa untuk mendoakan semoga Pak Lang Usup, Mak Lang serta keluarga sentiasa dalam rahmat dan pelihara Allah sepanjang masa, dunia dan akhirat. Jasa kalian sentiasa segar dalam ingatan saya buat selama-lamanya. Dengan adanya kasih sayang dan keprihatinan orang seperti Pak Lang Usup, ia membuatkan saya semakin redha dengan kecacatan yang saya alami.


Monday, December 22, 2014

Hajjah Nurasiah Jamil Kembali Ke Rahmatullah




Generasi lama seperti saya sudah pasti kenal dengan penasyid terkenal dari Indonesia, Hajjah Nurasiah Jamil. Menurut berita, beliau telah kembali ke rahmatullah dan jenazahnya telah selamat dikebumikan di Medan, Indonesia, petang semalam. Hajjah Nurasiah Jamil telah meninggal dunia dalam usia 70 tahun. Beliau meninggalkan 4 orang anak dan 10 orang cucu.

Allahyarhamha Hajjah Nurasiah Jamil telah merakamkan sekitar 500 buah lagu nasyid. Beliau amat terkenal terutamanya pada dekad 70-an dan 80-an. Lagu-lagu nasyid alunan Allahyarhamha sering berkumandang di corong-corong sama ada radio di Malaysia, Singapura, Indonesia dan juga di beberapa negara lain.

Bagi saya, suara Allahyarhamha sememangnya cukup merdu. Suaranya juga amat sesuai bila dikumandangkan dengan lagu-lagu nasyid. Antara lagunya yang popular termasuklah Panggilan Haji. Banyak lagi lagunya yang mana saya pun tidak pasti akan tajuknya.

Di samping bersuara merdu ketika bernasyid, Allahyarhamha juga turut bersuara merdu ketika mengalunkan ayat-ayat suci Alquran. Saya memang gemar mendengar beliau membaca ayat-ayat suci Alquran Alkarim.

Semoga roh Allahyarham berada dalam peliharaan Allah hendaknya dan ditempatkan dalam golongan para solihin.

Alfatihah ....


Hajjah Nurasiah Jamil Membaca Alquran

Muzium Seni Islam





Siang tadi, saya sekeluarga telah menghabiskan sekitar 3 jam dengan melawat Muzium Seni Islam Malaysia. Letaknya sangat berhampiran dengan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Untuk masuk ke muzium ini, setiap pengunjung dewasa akan dikenakan bayaran RN14,00. Manakala murid sekolah pula akan dikenakan separuh bayaran, iaitu RM7.00. Untuk pengunjung seperti saya pula, tiada bayaran dikenakan. Kalau saya tidak silap, muzium ini dibuka dari jam 10.00 pagi hingga jam 6.00 petang.



Bahan-bahan pamirannya merupakan koleksi daripada pelbagai negara dan tamadun. Antara bahan pamirannya termasuklah reflika pelbagai masjid utama dunia, reflika beberapa buah istana terkenal seperti Istana Alhamra’, pelbagai jenis Alquran dari peringkat awal, (Alquran Braille saya tak jumpa pula), Pelbagai jenis senjata seperti pedang, pisau, senapang dan sebagainya, pelbagai jenis pakaian, alat kebesaran diraja dari beberapa buah negara seperti singgahsana, kiswah (kelambu Kaabah), alat perhiasan, bahkan peti kayu kononnya untuk menyimpan musang berjanggut pun ada dipamirkan.

Boleh dikatakan, hampir kesemua bahan pamiran disimpan rapi dalam peti kaca. Oleh itu, peluang untuk menyentuhnya boleh dikatakan tiada. Walau bagaimanapun, maklumat mengenai bahan yang dipamirkan masih boleh diperolehi melalui pelbagai catatan. Oleh itu, bagi golongan senasib, kalau melawat tempat seperti ini pastikan anda ada bersama orang yang berpenglihatan dan rajin untuk membacakan setiap huruf catatan kepada anda. Kalau tak dapat semua, jangan tinggalkan semua.

Justeru, walaupun bahan-bahan yang dipamirkan tidak dapat saya sentuh, tetapi setidak-tidaknya saya dapat juga maklumat tentang bahan-bahan yang dipamirkan melalui catatan mengenai bahan berkenaan. Ini sekaligus dapat menambah maklumat dan pengetahuan saya mengenai pelbagai koleksi yang dipamirkan.

Ia memang berbeza semasa saya melawat Muzium Lombong Sungai Lembing, Kuantan beberapa kali. Saya dapat menyentuh bahan-bahan yang dipamirkan. Ini sudah tentulah memberi lebih kepuasan kepada orang seperti saya.

Memang benar, selain daripada melihat, menonton pelbagai bahan yang dipamirkan dan membaca pelbagai catatan mengenai bahan-bahan berkenaan, kita seharusnya mengambil iktibar daripada bahan-bahan yang dipamirkan. Suatu masa dahulu, bahan-bahan yang dipamirkan telah berperanan besar dalam mengangkat martabat Islam ke suatu puncak keagungan yang tiada duanya. Kini semuanya tinggal kenangan dan sekadar terperosok dalam muzium seperti ini semata-mata.

Istana Alhamra’ umpamanya, merupakan simbol kepada keagungan kerajaan Islam di bumi Andalus. Kini ia bukan sahaja tidak lagi berada dalam genggaman umat Islam, bahkan keagungan seni binanya kini menjadi sumber pendapatan pula kepada sebuah kerajaan lain. Demikianlah sejarah mengajar kita.



Tidak jauh dari muzium berkenaan, masih tersergam stesen kereta api lama. Ia satu lagi tinggalan sejarah yang cukup bermakna dan berharga. Saya pernah terbaca iaitu bumbung stesen kereta api berkenaan dibina untuk keperluan musim salji. Justeru, bumbungnya mampu menahan salji setebal 2 kaki. Mengapa ia terjadi sedemikian?



Atas sebab tertentu, kereta kami saya tinggalkan di Brickfields. Kami berteksi sahaja ke muzium berkenaan. Sewaktu hendak ke Brickfields semula, kami cuba menaiki sebuah teksi yang kebetulan ada di hadapan muzium berkenaan. Pemandunya memberitahu saya, kalau ke Brickfields tambangnya RM10.00. Saya terkejut kerana tambangnya mahal. Saya beritahu kepada pemandu berkenaan, daripada saya beri dia RM10.00, saya lebih rela jalan kaki sahaja.

Tidak jauh dari situ, kami dapat sebuah teksi lagi. Setelah saya memberitahu destinasi kami, pemandunya tidak cakap banyak, sekadar menyuruh kami naik sahaja. Setelah sampai ke lokasi, saya hanya perlu bayar RM3.20 sahaja. Kisah ini sekadar perkongsian untuk sama-sama kita teladani.


Sunday, December 21, 2014

Harimau Malaya Tewas




Sebentar tadi, pasukan Harimau Malaya secara agregatnya tewas kepada pasukan Thailand dengan 4 – 3. Walaupun pasukan Harimau Malaya menang di tempat sendiri dengan 3 – 2, tetapi ia tidak cukup modal untuk menjulang piala AFF Suzuki bagi tahun ini. Kita tetap berputih mata menyaksikan piala tersebut dijulang dan kemudiannya diarak ke Thailand.

Maklumlah, harimau dengan gajah, mestilah gajah yang menang. Sekuat mana pun ngauman sang harimau, trampet gajah juga yang lebih unggul. Antara gading gajah dengan taring harimau, tentulah orang pilih gading gajah kerana nilainya jauh lebih tinggi. Kalau taring harimau sekadar untuk buat pamiran di muzium sekali sekala bolehlah.

Kalau kalah di tempat lawan tempoh hari, ia mungkin satu lagi strategi, tetapi bila tidak mampu untuk menewaskan lawan dengan jumlah gol yang sepatutnya di tempat sendiri, itu namanya strategi yang tidak menjadi. Suka tidak suka, kita harus belajar untuk menerima realiti seperti ini.

Sebenarnya banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi mutu bola sepak negara kita. Kita masih berada di pangkal jalan bagi meningkatkan taraf bola sepak kita setidak-tidaknya sama unggulnya dengan zaman Allahyarham Mokhtar Dahari dahulu.

Biar apa pun, tahniah juga kepada pasukan negara kita walaupun sekadar selaku naib juara kali ini.


Friday, December 19, 2014

Mohd Fauzi Mansor




Baru-baru ini, ketika saya di Kuala Terngganu, saya telah berkesempatan mengunjungi pusat urut refleksologi MF Mekar Niaga di Kuala Terengganu. Secara spesifiknya, pusat urut ini terletak di A656, Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Terengganu. Rasanya kurang sempurna jika saya di Kuala Terengganu jika tidak mengunjungi pusat urut refleksologi ini. Untuk maklumat bersama, pusat urut ini dikendalikan oleh En. Mohd Fauzi Mansor. Beliau juga merupakan pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu sejak tahun 2007 hingga kini.




Sebenarnya inilah antara punca rezeki utama bagi En. Mohd Fauzi. Pendapatan daripada mengurut secara refleksologi digunakan untuk menyara keluaganya yang seramai 4 orang. Oleh kerana pusat refleksologi ini merupakan kendalian beliau secara berseorangan, maka waktu operasinya akan bergantung kepada permintaan daripada para pelanggannya. Lazimnya, di sebelah paginya pusat urut refleksologi ini akan beroperasi awal iaitu sebelum beliau ke pusat kegiatan PERTIS Terengganu yang kebetulan letaknya tidak jauh dari rumahnya. Manakala di sebelah petang dan malamnya, ia boleh bermula seawal jam 3 petang dan boleh berlarutan hingga sebelum jam 12.00 tengah malam.

Untuk maklumat bersama, En. Fauzi asalnya merupakan seorang yang berpenglihatan. Beliau merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan kepujian daripada Universiti Utara Malaysia (UUM). Tatkala itu, beliau masih merupakan seorang yang berpenglihatan. Memang tidak pernah terfikir sedikit pun bahawa suatu hari nanti beliau akan hilang penglihatannya. Mungkin inilah yang dikatakan takdir. Kebetulan beliau pula bukan seorang yang suka melawan takdir.

Beliau mula hilang penglihatannya ketika sedang bertugas sebagai juruaudit dalaman di Jabatan Canselori di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Apa yang lebih malang lagi, kehilangan penglihatan tersebut berlaku tatkala beliau belum lagi disahkan dalam jawatan. Setelah beliau disahkan tidak lagi mampu untuk meneruskan tugasnya, akhirnya beliau terpaksa meninggalkan kerjaya yang amat diminatinya dan cocok pula dengan kelulusan beliau.

Sewaktu En. Mohd Fauzi mula hilang penglihatannya, beliau sudah pun bertunang dengan salah seorang siswi di UUM juga. Di sini nasibnya agak baik kerana tunangnya yang juga seorang yang berpenglihatan tidak meninggalkan beliau walaupun amat menyedari bahawa bakal suaminya sedang mula hilang penglihatannya. Setelah En. Fauzi kian hilang penglihatannya, beliau telah mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah keluarganya kekal bahagia hingga ke hari ini dan insha-Allah akan berterusan dunia dan akhirat. Inilah barakah namanya.

Berbalik kepada En. Fauzi, setelah terpaksa meninggalkan kerjayanya di USM, beliau telah kembali semula ke Kuala Terenganu. Beliau mula membina penghidupan baru dalam keadaan penghilatannya yang sudah hilang. Beliau mula mengenali masyarakat cacat penglihatan khasnya di Kuala Terengganu melalui satu siaran radio yang menyiarkan kempen penambahan ahli oleh Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM). Melalui penyertannya dalam SBM beliau mula mengenali golongan cacat penglihatan secara lebih dekat lagi. Setelah menyertai SBM, beliau mula menyertai Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu pula. Dari sinilah bermulanya penglibatan beliau dalam PERTIS secara lelbih aktif lagi.

Bermula tahun 2002, sebagai usaha untuk mencari pendapatan untuk keluarganya, En. Mohd Fauzi telah mula mengusahakan urut refleksologi. Di pperingkat awal, beliau telah menyewa sedikit ruang di pejabat PERTIS Terengganu. Bermula dari situlah usaha yang beliau lakukan mula berkembang sedikit demi sedikit. Kini setelah hampir 12 tahun berkecimpung dalam bidang urut refleksologi, beliau sudah pun berjaya mempunyai ruangnya sendiri iaitu di bahagian hadapan rumah kediamannya. Beliau mengusahakan urut refleksologi secara bersendirian. Para pelanggannya pula terdiri dalam kalangan pelbagai ahli masyarakat sama ada yang tidak berpenglihatan mahupun yang berpenglihatan. Di samping itu, para pelanggannya juga terdiri daripada pelbagai latar belakang ekonomi. Kalau ke Kampung Baru Seberang Takir, tanya sahaja pusat urut tapak kaki, orang kampung akan menunjukkan kediaman En. Fauzi. Pada masa terluang, beliau akan menabur bakti pula untuk badan bukan kerajaan khasnya PERTIS Terengganu. Inilah untungnya kalau bertugas sebagai juruurut, dapat bergaul dengan ramai orang dan pelbagai jenis pula. Khabarnya juga, ada juga dalam kalangan juruurut cacat penglihatan yang lain, walaupun hanya sebagai juruurut tapi biasa keluar masuk istana raja. Moralnya, janganlah kita pandang orang lain dengan sebelah mata sahaja. Satu lagi, janganlah kita gemar sangat pandang orang lain dengan hanya memandang kepada matanya sahaja.



Latar belakang Fauzy yang pernah hidup sebagai seorang yang berpenglihatan penuh suatu ketika dahulu banyak mempengaruhi cara dan corak beliau berfikir, bertindak serta mengatur hidup dan organisasi yang sedang dipimpinnya. Ini ditambah lagi dengan latar belakang pendidikannya iaitu pemegang ijazah peringkat sarjana muda. Pandangan dan idea yang sering beliau utarakan lebih terbuka dan kebiasaannya akan mencakupi kedua-dua kelompok masyarakat, iaitu golongan yang berpenglihatan dan juga mereka yang tidak berpenglihatan. Beliau juga bijak berkomunikasi terutamanya dengan mereka yang berpenglihatan. Justeru, tidak menghairankan bilamana beliau berjaya membawa PERTIS Terengganu merentasi tema yang pernah saya ketengahkan ketika masih berkedudukan YDP PERTIS kebangsaan dahulu iaitu “memasyarakatkan PERTIS”.



Selaku pemimpin nombor wahid PERTIS Terengganu, Fauzi berjaya menjalinkan hubungan dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta. Beliau berjaya menjalinkan kerjasama yang baik dengan pelbagai badan bukan kerajaan di Terengganu. Selain itu, PERTIS Terengganu juga mempunyai reputasi yang baik dengan pelbagai agensi kerajaan di Terengganu. Selain itu, PERTIS Terengganu melalui gaya kepimpinan Fauzi juga berjaya menjalinkan hubungan mesra dengan beberapa institusi pengajian tinggi di sekitar Terengganu seperti UITM, UNIZA dan UMT. Menerusi hubungan erat ini, pelbagai kegiatan dapat dilaksanakan oleh PERTIS Terengganu. Antaranya termasuklah aktiviti memanah, silat, dan sebagainya.

Kalau ditanya kepada semua orang, hatta kepada mereka yang sudah hilang penglihatannya, rasanya tiada siapa pun yang mahu hidup dalam keadaan tiada penglihatan. Hanya mereka yang tidak berpenglihatan sahaja yang merasai adakalanya hidup seperti ini perit dan pahit. Namun demikian sesuatu yang dinamai takdir itu tiada siapa pun yang mampu mengubahnya walaupun sebesar zarrah. Apa yang lebih penting ialah kita redha dengan apa yang telah ditakdirkan untuk kita dengan sepenuhnya. Bagi saya, kunci utama Fauzi berjaya menjalani hidup seperti sediakala setelah hilang penglihatannya kerana beliau berjaya menerima realiti dan takdir yang telah ditentukan untuknya. Memanglah pada peringkat awalnya ia cukup perit dan pahit untuk diterima. Namun demikian, situasi sedemikian tidak boleh dibiarkan berterusan untuk selama-lamanya. Berbekalkan kekuatan diri serta sokongan daripada isteri, beliau berjaya bangkit semula untuk meneruskan hidup tanpa bergantung kepada simpati orang lain.

Kini Fauzi seharusnya banyak bersyukur kerana laluan hidupnya lebih sempurna. Beliau boleh berdikari. Gaya kepimpinannya pula bukan sahaja untuk diri dan keluarganya, tetapi turut mencakupi PERTIS Terengganu yang sedang dipimpinnya. Pada hemat saya, situasi yang dilalui oleh Fauzi pasti berbeza sekiranya beliau melawan takdir, gagal menerima realiti yang ada dan tidak cukup kuat untuk memulakan penghidupan yang baru.


Thursday, December 18, 2014

Samsudin Wahab Kembali Ke Rahmatullah







Dengan penuh dukacita dimaklumkan, Saudara Samsudin bin Wahab telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Menurut SMS yang saya terima daripada Cikgu Rubiah, Samsudin telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 3.30 pagi tadi. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Insha-Allah dalam kesempatan yang lain saya akan cuba menyorot kembali kenangan manis bersama Allahyarham.

Alfatihah.


Ke Arah Memperkasakan Kelas Alquran Braille Kendalian PERTIS Terengganu




Rasanya tidak keterlaluan jika saya nyatakan iaitu kelas pengajian Alquran Braille di bawah kendalian Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu merupakan antara kelas yang paling tersusun, sistematik serta berwawasan. Justeru bantuan serta kerjasama daripada pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu merupakan suatu kerjasam pintar yang memberi kelebihan serta manfaat bagi kedua-dua pihak, sama ada PERTIS Terengganu mahupun kepada pihak MAIDAM itu sendiri. Kelas pengajian berkenaan sentiasa dimantapkan dari masa ke masa bagi memastikan agar objektif utama kelas pengajian berkenaan iaitu untuk melahirkan individu cacat penglihatan yang berkeupayaan untuk membaca Alquran dengan kaedah sistem tulisan Braille akan tercapai.

(Kelas Alquran Braille PERTIS Terengganu pada 2013)



Sejak dari awal permulaan pengajiannya, para pelajar di kelas berkenaan sudah pun dibahagikan kepada kelas mengikut tahap masing-masing. Ada tahap asa, tahap pertengahan serta tahap yang lebih tinggi. Bahkan, kelas untuk menghafaz Alquran juga sudah pun dimulakan. Tujuannya ialah untuk melahirkan golongan hufaz yang terlatih dalam kalangan cacat penglihatan khususnya di Terengganu.

Kelas Alquran Braille kendalian PERTIS Terengganu berjalan tiga kali seminggu. Setiap sesi pula, kelas akan berlangsung selama sekitar 2 jam. Kelas Alquran akan diadakan pada setiap Ahad, Isnin dan Selasa iaitu bermula pada jam 10.00 pagi. Semua kelas dijalankan di pusat kegiatan PERTIS Terengganu.

(Kelas Alquran Braille PERTIS Terengganu 2013)


Para pelajar untuk kelas pengajian ini terdiri daripada ahli-ahli PERTIS Terengganu sendiri yang datangnya daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan usia. Ada juga dalam kalangan mereka yang sudah pun berusia melebihi 50 tahun. Namun begitu, oleh kerana keinginan mereka yang begitu mendalam untuk akrab dengan kitab suci Allah walaupun sudah berusia lewat, hasrat dan keinginan mereka sentiasa cuba dipenuhi oleh PERTIS Terengganu. Pelbagai usaha, kaedah serta galakan sentiasa diberikan asalkan niat dan hasrat para pelajar untuk terus mendampingi Alquran Braille sentiasa membara dan tidak padam di pertengahan jalan.

Kelas pengajian ini juga turut disertai oleh ahli-ahli PERTIS yang tidak pernah menerima pendidikan formal sebelumnya. Ini bermakna, mereka tidak pernah terdedah dengan kaedah membaca atau menulis dalam sistem tulisan Braille. Untuk maklumat bersama, bagi golongan yang cacat penglihatan, kami akan membaca tulisan Braille menerusi hujung jari. Hujung jari telunjuk dan jari hantu merupakan hujung jari yang paling sensitif dan sering digunakan untuk merasa titik-titik Braille. Kepekaan kepada titik-titik Braille lebih mudah untuk dilatih jika seseorang itu mendapat pendedahan lebih awal iaitu seusia kanak-kanak di peringkat sekolah rendah.

Sejak dari awal lagi, PERTIS Terengganu tidak pernah menolak keinginan ahli-ahlinya yang berminat untuk mempelajari Alquran dengan kaedah Braille walaupun ada dalam kalangan mereka yang sudah pun berusia lanjut. PERTIS Terengganu juga tidak pernah menjadikan latar belakang mereka yang tidak pernah menerima pendidikan formal dan juga ketidakmahiran mereka dalam sistem tulisan Braille untuk menolak hasrat dan niat golongan sedemikian untuk akrab dengan Alquran dengan kaedah Braille. Sebaliknya pelbagai kaedah dan cara sentiasa dicuba bagi membantu golongan berkenaan supaya sama-sama akan beroleh manfaat daripada mukjizat teragung ini menerusi kebolehan dan kemahiran membaca.



Untuk itu, selain daripada membahagikan kelas mengikut tahap, satu lagi kaedah yang digunakan ialah dengan memperkenalkan huruf-huruf Braille melalui alat paku dan kayu. Alat ini dicipta sendiri oleh ahli-ahli PERTIS Terengganu. Menerusi alat ini, pangkal-pangkal paku akan disusun di atas kayu yang dibuat khas dan susunannya adalah mengikut susunan bentuk titik-titik Braille. Kaedah ini telah pun digunakan seawal tahun 2009 lagi. Kaedah ini didapati berkesaan untuk melatih mereka yang sudah berusia dan tidak pernah mendapat pendedahan dengan huruf-huruf Braille sebelumnya. Melalui kaedah inilah PERTIS Terengganu berjaya memperkenalkan huruf-huruf Braille dan seterusnya Alquran Braille kepada ahli-ahlinya yang selama ini keciciran dalam aspek pendidikan.

Untuk memastikan objektif pelaksanaan pengajian Alquran Braille ini benar-benar tercapai, maka proses dokumentasi juga tidak pernah diabaikan. Saya difahamkan, setiap bulan, laporan prestasi akan disediakan. Ia bukan sahaja untuk rekod PERTIS Terengganu, bahkan laporan ini juga perlu dihantar kepada pihak MAIDAM selaku badan yang merupakan penaja utama kepada aktiviti pengajian ini. Setiap pelajar akan dicatatkan prestasi masing-masing sama ada secara harian mahupun secara mingguan. Manakala guru-guru yang mengajar pula bertanggungjawab untuk memastikan agar sebolehnya prestasi semua pelajar akan sentiasa dapat ditingkatkan.

Untuk memastikan keberkesanan pengajian benar-benar terlaksana, maka ujian untuk setiap pelajar mengikut tahap juga turut diperkenalkan. Untuk itu, pelaksanaan sesi ujian akan dilaksanakan pada setiap hujung sesi pembelajaran. Setakat yang saya maklum, hanya pelajar yang lulus ujian sahaja akan naik ke tahap seterusnya. Manakala bagi mereka yang gagal pula, peluang kedua akan diberikan. Walau bagaimanapun, peluang yang diberikan ada hadnya. Jika didapati gagal juga untuk tempoh tertentu, mereka terpaksa dialihkan pula ke tahap lain iaitu pengajaran melalui hafalan sahaja. Demikianlah.

Bagi memantapkan lagi kelas pengajian Alquran Braille, pihak PERTIS Terengganu turut memberi penekanan kepada tenaga pengajarnya. Untuk itu, semua tenaga pengajarnya sentiasa diberi kursus jangka pendek dalam bidang yang berkaitan. Antaranya, setiap tenaga pengajarnya pernah didedahkan dengan pengajian ilmu tajwid, tafsir dan sebagainya. Sesi ini diadakan secara berasingan daripada kelas pengajian untuk pelajar. Manakala guru yang bertanggungjawab untuk memberi latihan kepada tenaga pengajar pula merupakan individu yang berpenglihatan dan sememangnya mendapat tauliah daripada pihak MAIDAM.

Malahan salah seorang tenaga pengajar kelas Alquran Braille PERTIS Terengganu sudah pun pergi lebih jauh daripada itu atas inisiatif dan usaha sendiri. Cikgu Zaki, yang juga seorang yang cacat penglihatan sekarang sedang mengikuti pengajian lanjutan tentang Alquran di IQ Terengganu. Cikgu Zaki merupakan seorang pesara guru. Walaupun beliau seorang yang cacat penglihatan, di sepanjang perkhidmatannya sebagai seorang guru selama puluhan tahun, beliau tidak pernah berpengalaman berkhidmat di sekolah pendidikan khas untuk murid-murid yang senasib dengan beliau. Jika ada kesempatan lain, saya akan cuba mengenengahkan kisah mengenai beliau nanti, insha-Allah.

Setelah beberapa tahun kelas pengajian ini berjalan, hasilnya mula dapat dirasai. Antaranya, bilangan golongan cacat penglihatan khususnya di Terengganu yang berkemampuan untuk membaca Alquran Braille telah bertambah dengan pesat. Selain itu, ada dalam kalangan tenaga pengajarnya hari ini merupakan bekas pelajar kelas itu sendiri. Pengajian kelas Alquran Braille kendalian PERTIS Terengganu turut mendapat perhatian daripada pihak luar atas pelbagai tujuan. Ada pihak yang menjadikan pelaksanaan kelas pengajian ini sebagai model untuk menganjurkan kegiatan yang serupa di tempat lain. Ada juga pihak yang pernah menjadikan pelaksanaan kelas pengajian kelas ini sebagai bahan untuk penyelidikan. Kelas pengajian ini juga pernah digunakan untuk menguji keberkesanan teknologi E-Braille Quran Teaching Aid sekitar 3 tahun yang lalu.



Antara perkembangan terkini kelas pengajian ini ialah di mana usaha sedang dilakukan bagi membolehkan semua tenaga pengajar yang terlibat dalam kelas pengajian ini akan mendapat sijil dan tauliah daripada pihak MAIDAM. Untuk itu, saya dimaklumkan, satu temu duga akan diadakan oleh pihak MAIDAM untuk semua tenaga pengajar yang terlibat dengan kelas pengajian ini dalam masa yang terdekat. Maka itulah, pihak PERTIS Terengganu telah mengundang saya untuk mengendalikan satu bengkel khusus untuk mendedahkan kepada para tenaga pengajarnya mengenai beberapa kaedah lain penulisan Alquran Braille yang sedang digunakan oleh beberapa negara Islam yang lain. Saya juga turut memberi pendedahan mengenai sejarah ringkas tentang tulisan Arab Braille dan juga tulisan Alquran Braille. Di samping itu, saya juga turut berkongsi tentang kaedah Rasam Uthmani serta kaitannya dengan kaedah penulisan Alquran Braille. Respon daripada tenaga pengajar yang hadir cukup memberangsangkan. Di samping menerima input, mereka juga turut mengajukan pelbagai soalan yang berkaitan. Ada ketikanya soalan-soalan yang diajukan mencabar juga. Daripada soalan-soalan yang diajukan, ia telah menyerlahkan lagi minat dan kesungguhan para tenaga pengajarnya untuk berbakti kepada rakan-rakan yang senasib dengan penuh ikhlas dan secara amanah dan bertanggungjawab. Untuk maklumat bersama, bengkel berkenaan telah pun berlangsung pada 15 Disember lalu di pusat kegiatan PERTIS Terengganu. Bengkel telah berlangsung sekitar 3 jam lamamnya.

Usaha PERTIS Terengganu untuk mendapatkan sijil dan tauliah daripada pihak MAIDAM untuk tenaga pengajar kelas Alquran Braille kendaliannya merupakan suatu usaha yang cukup berwawasan dan amat berpandangan jauh. Usaha ini menunjukkan PERTIS Terengganu tidak mahu kelas pengajian Alquran Braille kendaliannya sekadar di tahap syok sendiri dan hanya terkurung dalam kepompong sendiri semata-mata. Dengan berhasilnya usaha ini nanti, bukan sahaja kelas pengajian Alquran Braille yang ada sekarang akan beroleh pengiktirafan daripada pihak luar, malahan saya optimis para pelajarnya nanti akan dapat melangkah dengan lebih jauh lagi pada masa akan datang. Setidak-tidaknya mereka akan dapat diterima sebagai bilal atau imam di masjid atau surau di sekitar negeri Terengganu. Di samping itu, pentauliahan daripada MAIDAM ini juga diharap akan lebih memudahkan lagi usaha-usaha untuk melahirkan generasi cacat penglihatan yang celik Alquran khususnya di Terengganu, insha-Allah.

Satu lagi perkembangan terkini mengenai kelas Alquran Braille kendalian PERTIS Terengganu yang harus saya ketengahkan ialah di mana salah seorang tenaga pengajarnya, iaitu Cikgu Hanafi, telah berjaya menghasilkan nota tajwid dalam bentuk audio format MP3. Kebetulan saya berkesempatan mendengar nota yang beliau hasilkan. Bagi saya ia merupakan suatu usaha dan kreativiti yang mengkagumkan. Cikgu Hanafi melakukan usaha sedemikian secara sukarela tanpa sebarang imbuhan pun. Menurut Cikgu Hanafi, beliaumelakukan usaha tersebut bagi memenuhi keperluan pelajarnya yang tidak begitu mahir dengan tulisan Braille. Oleh itu, salah satu kaedah untuk mendedahkan mereka dengan ilmu tajwid ialah menerusi pendengaran. Maka itulah beliau terfikir untuk menghasilkan nota berkenaan dalam bentuk audio format MP3.

Kalau sebelum ini ahli PERTIS Terengganu telah menggunakan kreativiti sendiri dengan menghasilkan alat paku dan kayu bagi menyelesaikan masalah mereka yang kurang mahir dengan titik-titik Braille, kali ini mereka telah mengusahakan nota tajwid format MP3 pula untuk membantu pelajar kelas Alquran Braille untuk mendalami ilmu tajwid. Usaha dan kreativiti mereka bukan sahaja tidak menerima sebarang imbuhan, bahkan apa yang mereka usahakan juga tidak pernah menerima apa jua bentuk geran penyelidikan.

Sewaktu saya masih sebagai YDP PERTIS dahulu, bila saya ke Terengganu, saya pasti akan melawat PERTIS Terengganu terutamanya kelas pengajian Alquran Braillenya. Tujuan saya bukan sahaja untuk melihat/mendengar sendiri perjalanan kelas berkenaan, tetapi saya juga turut meneliti perkembangan kelas berkenaan setiap tahun. Maka itulah saya sering ke Terengganu setiap tahun.



Saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh ahli PERTIS Terengganu yang telah memberikan sokongan jitu terhadap pengendalian kelas Alquran Braille. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua tenaga pengajarnya yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan sabar. Tanpa kalian sudah tentulah pengendalian kelas seumpama ini akan timbul pelbagai kecacatan di sana sini. Di samping itu, saya juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada pengerusi PERTIS Terengganu, En. Mohd Fauzi Mansor di atas pandangan jauhnya terutama dalam soal menentukan hala tuju kelas pengajian Alquran Braille berkenaan. Memang tidak dapat dinafikan iaitu kelas pengajian Alquran Braille PERTIS Terengganu dapat berada di tahapnya sekarang adalaah kerana pandangan jauh serta wawasan yang jelas mengenai masa hadapan kelas berkenaan.

Saya sentiasa berdoa semoga kelas pengajian Alquran Braille khususnya yang dikendalikan oleh PERTIS Terengganu akan sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah daripada Allah. Mudah-mudahan daripada kelas ini akan lahir golongan cacat penglihatan yang sentiasa akrabg dengan Alquran. Usaha untuk memperkasakan kelas Alquran Braille kendalian PERTIS Terengganu merupakan suatu usaha berterusan sepanjang masa. Ia juga merupakan suatu usaha yang tidak akan sunyi daripada cabaran dan dugaan. Dalam apa jua yang kita lakukan, apakah lagi jika ia adalah untuk kebaikan, cabaran dan dugaan pasti ada. Tempuhilah ia dengan tabah, sabar dan tawakal. Kepada pihak-pihak lain, kalian tidak perlu curiga dan ini dengan pelaksanaan dan perjalanan kelas pengajian Alquran Braille kendalian PERTIS Terengganu. Sepatutnya kita harus sama-sama sokong dan bantu setakat yang kita mampu. Dalam masyarakat cacat penglihatan yang serba kecil dan lemah ini, adalah amat merugikan bilamana satu aktiviti yang sama dari kepala hingga ke ekor tetapi dianjurkan oleh dua badan yang berbeza.