Friday, December 12, 2008

Terima Kasih Dato' Ahmad Zahid, Terima Kasih JAKIM.

Terima Kasih Dato' Ahmad Zahid, Terima Kasih JAKIM

 

            Jika tiada aral melintang, insha Allah, pada hujung bulan ini, sekumpulan golongan yang cacat penglihatan akan memulakan pengajian mereka di Darul Quran yang terletak di Kuala Kubu Baru, Selangor, dan terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).  Mereka akan mengikuti pengajian yang berkaitan dengan tahfiz Alquran selama 6 bulan di peringkat sijil sebelum meneruskan pengajian ke peringkat diploma.  Demikianlah saya difahamkan.

 

Bagi saya dan bagi golongan cacat penglihatan Islam yang lain, ini merupakan satu lembaran baru dalam kehidupan kami semua.  Apatah lagi, peristiwa seumpama ini telah sekian lama dinanti-nantikan.  Selama ini pun, ramai yang mengakui bahkan mengkagumi bakat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang cacat penglihatan khasnya dalam bidang yang berkaitan dengan Alquran.  Namun ia hanya terhenti setakat itu sahaja.  Apa yang belum ada sebelum ini ialah peluang dan kesempatan yang masih belum menjengok bagi golongan cacat penglihatan berkenaan untuk mengasah dan mengembangkan bakat yang telah dikurniakan itu ke tahap yang lebih jauh lagi sehingga ia boleh memberi manfaat kepada diri dan masyarakat umum.

 

            Selama ini, saya memang banyak mendengar khabar iaitu di negara-negara timur tengah golongan cacat penglihatan sememangnya telah diberi ruang dan peluang yang secukupnya untuk mereka mengasah dan mengembangkan bakat mereka dalam bidang Alquran dan keagamaan (Islam) ke tahap yang tertinggi yang termampu oleh mereka.  Justeru telah lahir tokoh-tokoh seperti Dr. Taha Hussein, seorang buta yang pernah menjadi menteri Hal Ehwal Sosial di Mesir pada dekad 50-an lalu.  Selain itu, Prof. Ali Al-Jumu'ah merupakan seorang ahli akademik yang unggul di Universiti Al-Azhar.  Di Arab Saudi pula, telah muncul tokoh seperti Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah Al-Bas, seorang mufti yang sangat masyhur bukan sahaja di negaranya tetapi melewati seluruh dunia Islam.  Kesemua mereka telah berjaya mencapai kejayaan yang sangat cemerlang bukan sahaja kerana mereka telah dikurniakan bakat yang besar, tetapi kejayaan mereka juga disebabkan peluang dan kesempatan yang telah diberikan kepada mereka untuk mendaki tangga kecemerlangan sehingga ke tahap yang termampu oleh mereka dan mereka pula tidak mensia-siakannya.

 

            Di negara kita pula, usaha untuk memperoleh peluang kepada golongan cacat penglihatan untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang yang berkaitan dengan Alquran dan keislaman telah lama dilakukan terutama oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan islam Malaysia (PERTIS).  Pelbagai per bincangan, mesyuarat, dan seumpamanya pernah diadakan untuk ke sekian lamanya.  Usaha berkenaan sampai ke kemuncaknya pada 26 April 2008 yang lalu apabila dalam satu jamuan makan malam anjuran PERTIS, YB Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan JAKIM melalui Darul Quran akan mengambil seramai 30 orang cacat penglihatan sebagai kumpulan perintis untuk mengikuti kursus peringkat sijil dan seterusnya ke tahap diploma pada penghujung tahun ini.

 

            Kini, saya dan kita semua sedang menunggu-nunggu saat-saat yang dinanti-nantikan itu dengan penuh debaran dan kesyukuran bilamana kumpulan perintis berkenaan akan melangkah masuk ke Darul Quran untuk mendaftar dan seterusnya mengikuti kursus yang ditawarkan.  Marilah kita sama-sama berdoa ke hadhrat Allah mudah-mudahan kumpulan perintis ini akan dapat mengikuti kursus yang ditawarkan dan akan beroleh kejayaan gemilang.  Bukan itu sahaja, saya juga turut berdoa dan berharap semoga kejayaan mereka kelak akan menjadi inspirasi pula kepada generasi cacat penglihatan berikutnya.  Selain itu, saya juga suka mengingatkan kepada kumpulan perintis berkaitan iaitu kejayaan mereka juga bakal mencorakkan bentuk peluang yang bakal diperoleh oleh golongan cacat penglihatan berikutnya.

 

            Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih khasnya kepada YB Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, dan juga seluruh kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah sudi memberikan peluang keemasan ini kepada golongan cacat penglihatan.  Walau sebesar mana sekali pun bakat yang dimiliki oleh mereka yang cacat penglihatan tetapi tanpa bantuan, pemahaman dan kerjasama erat sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Dato' Seri Ahmad Zahid dan JAKIM sudah tentulah bakat besar yang ada itu akan sia-sia belaka.

 

No comments: