Sunday, January 25, 2009

Catatan Dari KB

Sekilas Pandangan Mengenai Kelantan

 

            Syukur kepada Allah Yang Maha Besar kerana lebih kurang jam 6.00 petang semalam saya sekeluarga telah selamat tiba di Bandaraya Islam Kota Bharu.  Kawasan bandarnya memang sesak macam KL juga.  Saya pun tak berapa pasti ini kunjungan kali ke berapa ke negeri ini.  Kalau bukan kali kelima, mungkin kali ketujuhlah agaknya.  Lebih kurang jam 7.00 petang baru urusan check in kami selesai.  Hasrat untuk membuat catatan dan menulis yang begitu membuak terpaksa saya ketepikan kerana selepas solat maghrib kami terpaksa bergegas untuk memenuhi satu undangan.

 

            Sebaik sahaja saya menjejakkan kaki di bumi Cik Siti Wan Kembang, bermula dari Gua Musang lagi, berbagai perkara mengenai Kelantan melintas minda saya.  Perkara-perkara tersebut saya kutip dari pembacaan, pengajian di bilik kuliah, pengalaman, kunjungan serta persahabatan saya dengan rakan-rakan dari Kelantan sejak 34 tahun yang lalu.  Bagi saya, Kelantan mempunyai keunikannya yang tersendiri.  Keunikan itu merangkumi pelbagai aspek pula.

 

            Dari sudut keagamaan (Islam), peranan negeri Kelantan selaku peneraju tradisi keislaman di negara ini memang sudah tersohor.  Memang sejak dahulu lagi Kelantan terkenal dengan jolokan "Serambi Makkah".  Nilai-nilai hidup, budaya, politik, norma masyarakat dan sebagainya yang berteraskan Islam sememangnya telah lama berkembang, subur dan mekar di negeri ini.  Justeru tidak menghairankan jika negeri ini telah melahirkan ramai tokoh ulamak yang terkenal.  Antara mereka termasuklah Tok Kenali, Tuan Guru Haji Abdul Majid, Ahmad Maasum Pergau, Tuan Guru Haji Abdul Kadir, dan tidak ketinggalan Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nikmat.  Di negeri ini juga terdapat banyak pondok pengajian Islam yang terkenal seperti di Pasir Tumbuh, Dusun Raja, Wakaf Zain dan sebagainya.  Hari ini pun, kita dapat lihat betapa agama Islam dijadikan teras dan asas kepada pelbagai nilai kehidupan masyarakatnya.

 

            Dari sudut politik pula, Kelantan adalah negeri yang paling lama berada bukan di bawah pemerintahan parti Barisan Nasional (BN).  Dari tahun 1959 hingga tahun 1978 Kelantan diperintah oleh Parti Islam Semalaysia (PAS).  Pada tahun 1990 sekali lagi PAS berjaya menjadi parti pemerintah di Kelantan hinggalah ke hari ini.  Hanya pada tahun 1978 hingga tahun 1990 Kelantan telah diperintah oleh Barisan Nasional (BN).  Mungkin disebabkan kuatnya tautan antara Islam dan politik di negeri ini, maka boleh dikatakan setiap penceramah politik harus memetik satu atau dua ayat Alquran dalam ceramah mereka.

 

            Antara ahli politik Kelantan yang ternama termasuklah Dato' Haji Ishak Lutfi dan bapa saudaranya Dato' Haji Muhammad Asri Muda, Tan Sri Nik Ahmad Kamil, Dato' Haji Muhammad Nasir, Tengku Razaleigh Hamzah (seorang ahli politik yang belum dimamah zaman) dan sekali lagi tidak ketinggalan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nikmat.  Antara ahli politik Kelantan yang sedang meningkat naik termasuklah Dato' Usam Musa dan Dato' Alwi Che Ahmad.  Kelantan juga turut melahirkan seorang ahli politik yang tak tahu apa pendirian sebenarnya!

 

            Kelantan juga merupakan negeri yang kaya denga seni dan budaya.  Hasil seni pertukangannya memang tidak perlu diperkatakan lagi.  Ia merangkumi hasil pertukangan kayu, perak, seni ukiran, tenunan batik dan sebagainya.

 

            Acap kali juga saya mendengar orang berkata, Kelantan mempunyai keindahan alam semula jadi yang cukup menarik. Agaknya kata orang itu ada benarnya.  Sebab itulah kelantan menerima ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.  Bandaraya Kota Bharu sering sesak dengan pengunjung luar.

 

            Perjuangan Tok Janggut di Kelantan merupakan antara gerakan nasionalisme yang masyhur di negara kita.  Dalam perjuangan tersebut, Tok Janggut telah terkorban.  Mayatnya telah dibawa ke Kota Bharu dan digantung seperti orang tidak bertamadun oleh bangsa yang mengaku kononya mempunyai tamadun yang tinggi.

 

            Kelantan juga menjadi tempat pendaratan terawal tentera Jepun di Tanah Melayu dalam perang dunia kedua.  Tentera Jepun telah mendarat di Kampung Padang Pak Amat berhampiran Kota Bharu.  Peristiwa berkenaan telah berlaku pada awal Disember 1941.

 

            Kelantan Turut melahirkan golongan OKU yang ternama dan berwibawa.  YB Senator Prof. Dato' Dr. Haji Ismail Md Salleh adalah contoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi.  Beliau merupakan OKU yang pertama dalam banyak perkara di negara ini.  Beliau merupakan orang pertama yang memperolehi ijazah doktor falsafah (phD), OKU pertama yang menjawat jawatan pensyarah, oku pertama yang dilantik sebagai ahli Dewan Negara, OKU pertama yang menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah ISIS, dan mungkin juga OKU pertama yang bakal dilantik untuk menganggotai kabinet satu hari nanti.  Mungkin!

 

            Selain itu, Kelantan telah melahirkan ramai golongan hafiz dalam kalangan golongan cacat penglihatan.  Antara mereka termasuklah Rosli Md Dahan, Nazri Salleh, Zainuddin Mustafa, Mohd Zulkifli Mamat, Mohd Salleh Yaacob, Ahmad Hafizu Hassan dan lain-lain lagi.

 

            Sekali-sekala, kedengaran juga pandangan sebilangan orang dari tempat lain yang mengatakan orang Kelantan mendokong semangat kenegerian yang sangat kuat.  Bagi saya, bila dilihat dari aspek sejarah dan pengalaman sendiri, saya tidak dapat menemui sebarang fakta untuk menyokong pendapat sebegini.  Prof. Zulkifli Muhammad dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy bukan anak Kelantan tetapi telah mendapat tempat yang baik dan sanjungan yang tinggi di negeri ini.  Hari ini pun, sekurang-kurangnya 4 kawasan parlimen negeri ini diwakili oleh mereka yang bukan anak Kelantan.  Bersandarkan pengalaman sendiri yang telah bergaul selama 34 tahun dengan rakan-rakan dari Kelantan, saya tidak temui semangat sedemikian dipraktikkan di sepanjang pergaulan kami.  Bagi saya, tidak semestinya mereka mempunyai semangat kenegerian yang tebal hanya kerana mereka sering kecek Klate.

 

            Sebuah negeri lain pernah memulaukan negeri ini selama bertahun-tahun.  Akhirnya baru-baru ini pemulauan tersebut telah ditarik balik secara rasmi.  Penarikan balik pemulauan tersebut dilakukan mungkin kerana negeri tersebut terasa terpulau akibat pemulauan yang dilakukan!

 

            Demikianlah antara keunikan negeri Kelantan pada pandangan, pemerhatian dan pengalaman saya.

 

            Salam dari Kota Bharu.

 

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, teman-teman pengunjung sekalian.

Sekali lagi, syabas, saudara, kerana memaparkan kepada kami fakta benar lagi sahih mengenai "serambi Mekah" Malaysia ini. Malah, ia berlawanan sama sekali dengan Johor, negeri pengasas UMNO. Walaupun Kelantan pernah berada di bawah BN selama 12 tahun, namun, rasanya, kecenderungan warganya memilih sesuatu yang bercorak keIslaman tidak dapat dinafikan. Lalu, kini, kecemerlangannya sebagai negeri Malaysia yang "Islamic" sudah pun tertempias hebat dan dirasai pada PRU ke-12 lalu, dan insya Allah, akan lebih hebat lagi dirasai tak lama lagi. Sememangnya, tokoh-tokoh yang saudara sebutkan adalah tokoh-tokoh yang bersemangat kental dalam memartabatkan perjuangan suci mulia ini.

Memang, Kelantan adalah negeri yang sering dipermainkan pihak berkuasa pusat di bawah cengkaman BN sebagaimana permainan puak Al-Ahzab (persekutuan munafiqin Madinah&Yahudi Bani Quraidzah serta Musyrikin Mekah). Namun, kisah mengenai kesesakan Kota Baru itu sahaja pun sudah mampu menggambarkan pemulauan Al-Ahzab BN ini gagal sama sekali. Begitu juga ketokohan warga Kelantan itu sendiri dalam pelbagai arena hatta OKU sekalipun. Pada saya, kalau ada pendapat yang mengatakan orang Kelantan tebal semangat kenegerian, bagaimana pula dengan warga negeri lain? Kadang-kadang, yang bercakap sesedap rasa itulah yang lebih lagi melebih-lebih. Apa hal pun, bersamalah kita doakan Kelantan kekal di bawah kepimpinan ulama sepanjang masa lalu diikuti oleh seluruh negara Malaysia akhirnya. Marilah kita ambil iktibar ini: "Tiada lebihnya bangsa Arab atas bukan Arab, begitu juga sebaliknya, kecuali dengan taqwa."
(dipetik daripada sepotong hadith Nabi S.A.W.)