Wednesday, February 4, 2009

Bicara Politik

Lompat Parti: Hanya Sekadar Ulasan

 

            Isu lompat parti kini semakin hangat. Episodnya kali ini telah bermula apabila Datuk Nasaruddin Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota mengisytiharkan keluar dari UMNO/BN dan menyertai Pakatan Rakyat menerusi PKR pada 26 Januari lalu.

 

            Tepuk gemuruh PKR/PR dan para penyokongnya rupa-rupanya tidak lama.  Pada tarikh yang sama (26 Januari) dua ADUN PKR dalam DUN Perak telah dikatakan "hilang".  Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Jailu dikatakan tidak dapat dihubungi sejak tarikh itu.  Sejak itu, pelbagai spekulasi timbul mengenai kedua-dua ADUN tersebut.  Ada yang mengatakan kedua-dua mereka berada di bawah kawalan Timbalan Perdana Menteri.  Ada yang mengatakan mereka telah pun melompat parti.  Ada juga yang berani mendakwa kedua-dua mereka telah menerima habuan.  Setakat ini, kesemua kenyataan tersebut dibuat tanpa mengenengahkan bukti kukuh.  Kemuncaknya setakat ini ialah apabila mereka dikatakan telah meletakkan jawatan sebagai ADUN dan ia disahkan pula oleh speaker DUN Perak.  Sehingga artikel ini ditulis, masih tiada kepastian yang jelas sama ada kedua-dua ADUN tersebut benar-benar telah hilang, telah keluar parti atau telah melompat parti.

 

            Walau bagaimanapun, tengahari semalam, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah pun membuat ketetapan iaitu pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.  Keputusan SPR itu disandarkan kepada wujudnya keraguan terhadap surat perletakan jawatan sebagai ADUN yang telah dihantar oleh speaker DUN Perak kepada pihak SPR.  Keraguan ini timbul apabila kedua-dua ADUN berkenaan dikatakan telah menghantar surat kepada SPR yang menafikan bahawa mereka telah melepaskan jawatan mereka selaku ADUN.

 

            Persoalan sama ada lompat parti merupakan satu tindakan bermoral atau tidak adalah sesuatu yang bersifat subjektif.  Hal ini telah pun saya huraikan secara ringkas dalam tulisan saya beberapa hari yang lalu.  Isu Datuk Nasaruddin Hashim dan Jamaluddin Mohd Radzi serta Mohd Osman Jailu yang berlaku hampir serentak telah memberikan keesahan kepada apa yang telah saya nyatakan.

 

            Apabila Datuk Nasaruddin Hashim diumumkan keluar dari UMNO dan menyertai PKR, para penyokong PKR dan PR mengalu-alukan beliau.  Tiada langsung cerita mengenai moral mereka yang menjadi pelompat parti.  Sebaliknya, UMNO dan penyokongnya yang hingar mempersoalkan etika dan moral politik Datuk Nasaruddin.  Bahkan ada pula gerakan dan usaha yang ingin mendesak supaya Datuk Nasaruddin meletakkan jawatannya selaku ADUN untuk membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan.

 

            Pada masa yang hampir sama, apabila Jamaluddin dan Osman Jailu yang dikatakan "hilang" yang kemudiannya telah menimbulkan pula pelbagai spekulasi yang antaranya mengatakan bahawa kedua-duanya telah melompat parti.  Dalam hal ini, Pengerusi DAP Perak telah membuat kenyataan supaya undang-undang antilompat parti segera diluluskan.  Ini dengan jelas menunjukkan bahawa persepsi dan penerimaan ahli politik serta masyarakat terhadap peristiwa lompat parti sangat bergantung kepada keuntungan politik pihak-pihak yang berkaitan.

 

            Dalam hal ini, bagi saya, kita sepatutnya menjadikan undang-undang yang sedia ada sebagai asas rujukan dan pegangan.  Menurut peraturan yang ada, melompat parti bukan suatu kesalahan, seseorang pelompat parti tidak dianggap salah, tidak dianggap tidak beretika atau tidak bermoral.  Justeru, sejak tahun 1961 lagi, peristiwa lompat parti sebenarnya telah pun mewarnai politik negara kita.  Dua kerajaan negeri pernah tumbang gara-gara si pelompat parti.  Hanya golongan yang berkepentingan politik sahaja yang masih ingin mempersoalkan insiden lompat parti.  Jika kita benar-benar ingin meletakkan status, etika dan moral kepada si pelompat parti, maka satu undang-undang yang jelas hendaklah digubal dan diluluskan dengan apa cara sekalipun.  Barulah persepsi dan tanggapan kita terhadap golongan si pelompat ada asasnya dari aspek perundangan.

 

            Perkara seterusnya yang ingin saya perkatakan ialah, adakah perlu si pelompat parti itu mengosongkan kerusinya bagi membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan?  Setakat ini memang undang-undang tidak menghendaki seseorang ahli parlimen atau ADUN yang melompat parti mengosongkan kerusinya untuk satu pilihanraya kecil.  Hal ini timbul kerana ada pihak yang mendakwa kemenangan ahli parlimen atau ADUN berkenaan dalam pilihanraya lepas kerana kekuatan parti.  Ada juga yang mendakwa kemenangan ahli parlimen atau ADUN tersebut dalam pilihanraya lepas kerana kekuatan peribadinya.

 

            Dalam pilihanraya umum 1986, Dato' Shahril Samad telah menang di kerusi parlimen Johor Bharu atas tiket UMNO/BN.  Walau bagaimanapun, perkembangan politik selanjutnya telah menyaksikan beliau (Dato' Shahril Samad) telah tidak menyertai UMNO Baru ketika itu.  Pada awal tahun 1988, pelbagai pihak khususnya dalam UMNO telah mencabar supaya Dato' Shahril mengosongkan kerusinya di Johor Baru untuk membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan.  Secara gentleman, Dato' Shahril telah menyahut cabaran berkenaan.  Beliau telah mengosongkan kerusi berkenaan dan satu pilihanraya kecil telah diadakan pada tahun 1988.  Dalam pilihanraya tersebut, Dato' Shahril telah bertanding semula atas tiket calon bebas.  Manakala UMNO pula telah diwakili oleh Tuan Haji Masud Abdul Rahman.  Dato' Shahril telah memperoleh kemenangan besar dalam pilihanraya kecil tersebut.  Bagi saya, sikap Dato' Shahril benar-benar membuktikan beliau seorang yang beretika, bermoral dan juga berpenderian dalam politik.  Bahkan, kemenangan Dato' Shahril bagi saya, amat luar biasa.  Ini kerana, beliau telah menang bukan atas tiket UMNO.  Sejarah sebelumnya menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang bertanding di Johor Baru bukan atas tiket UMNO pasti menempah kecundang.  Dato' Onn Jaafar pernah tewas di Johor Baru dalam pilihanraya pada dekad 50-an lalu kerana beliau bertanding bukan atas tiket UMNO.  Ini menunjukkan, kemenangan Dato' Shahril ketika itu bukan kerana kekuatan UMNO tetapi kerana kekuatan peribadi yang ada pada beliau.

 

            Malangnya, selepas pilihanraya kecil itu, ada pihak-pihak tertentu dalam UMNO yang menganggap pilihanraya kecil di Johor Baru tersebut hanya membazirkan wang rakyat sahaja.  Bagi saya, kenyataan seumpama ini dibuat atas dasar emosi kerana mereka telah tewas.  Tidak cukup dengan itu, beberapa tahun kemudian, satu undang-undang telah diluluskan yang melarang mana-mana ahli parlimen atau DUN melepaskan kerusinya tanpa sebab.  Jika berlaku juga, maka ahli parlimen atau DUN yang berkenaan dilarang untuk bertanding semula selama sekurang-kurangnya 5 tahun.  Undang-undang tersebut masih terpakai hingga hari ini.

 

            Dalam pilihanraya umum pada tahun 1986 juga, Dato' Seri Dr. Rais Yatim telah menang sebagai ahli parlimen di kerusi Jelebu atas tiket UMNO.  Perkembangan politik negara berikutnya telah menyaksikan Dr. Rais telah keluar dari UMNO dan menyertai Parti Melayu Semangat 46.  Berbeza dengan Dato' Shahril, Dr. Rais tidak meletakkan jawatanya selaku ahli parlimen sehinggalah pilihanraya umum berikutnya.  Dalam pilihanraya umum 1990, Dr. Rais telah bertanding sebagai ahli parlimen bagi kerusi yang sama iaitu Jelebu atas tiket Semangat 46.  Dalam pilihanraya 1990, Dr. Rais Yatim telah tewas kepada Ibrahim Sarih yang bertanding atas tiket UMNO.

 

            Dalam pilihanraya umum 1995, sekali lagi Dr. Rais Yatim bertanding di kerusi parlimen Jelebu atas tiket Semangat 46.  Lawannya kali ini ialah Yunus Rahmat dari UMNO.  Sekali lagi Dr. Rais Yatim tewas dan kali ini dengan jumlah undi yang lebih banyak lagi.  Hanya dalam pilihanraya umum 1999 barulah Dr. Rais Yatim berjaya menang di kerusi Jelebu atas tiket UMNO.  Oleh itu, bagi kerusi parlimen Jelebu ini, ia dengan jelas menunjukkan kekuatan UMNO akan menentukan kemenangan seseorang calon dan bukanya kekuatan peribadi atau ketokohan seseorang calon semata-mata.

 

            Sebenarnya, dalam kebanyakan kes lompat parti, ahli parlimen adau DUN yang menang itu sendiri kurang pasti sama ada kemenangan mereka disebabkan kekuatan parti atau kekuatan peribadi.  Mungkin ramai yang merasakan kemenangan mereka dalam pilihanraya sebelumnya adalah kerana kekuatan parti dan bukanya kekuatan peribadi.  Sebab itulah tidak ramai yang berani melepaskan kerusi masing-masing selepas mereka melompat parti sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Dato' Shahril Samad bagi kerusi parlimen Johor Baru pada tahun 1988 lalu.

 

 

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Nampak gayanya, suasana lompat-melompat ini sudah menjadi semacam bahan mainan pula, ya? Sebab itu, memang elok sangat satu undang-undang khusus digubal menghalang kegiatan sebegini. Dari sini, dapatlah kita melihat akan hikmah penentangan terhadap golongan riddah (murtad). Bukan saya bermaksud membuat perbandingan atau menyamatarafkan kedua-dua isu yang sama sekali berlainan ini. Cuma, apa yang ingin saya maksudkan, sekiranya kegiatan sebegini tidak dibendung, pasti akan berlaku pengeksploitasian melampau. Maklumlah, lumrah manusia, nak untung sahaja, kalau boleh, tak mahu rugi langsung, kan?

Fenomena sebegini juga, jika tidak dibendung, pasti akan menimbulkan fitnah besar dalam masyarakat kerana seseorang wakil rakyat dipilih adalah untuk berkhidmat terhadap ahli masyarakat yang memilihnya. Jangan nanti ia jadi ibarat "kerana seekor lembu bawa lumpur, semuanya terpalit". Dengan terjadinya keadaan sedemikian, kestabilan politik akan terjejas, dan tentu boleh membunuh sumber kekayaan, terutamanya jika kebergantungan terhadap pelabur luar begitu tinggi. Justeru, sampailah masanya pihak kerajaan dan pembangkang sepakat mencari jalan mengatasi masalah, namun bukan atas faktor emosi dan kepentingan parti semata-mata. Mereka sewajarnya menghentikan sama sekali bentuk permainan kotor ini dan lebih menumpukan kepada pembangunan dan kemajuan agama, negara, bangsa dan diri.

Terima kasih.