Monday, April 6, 2009

Menungan Malam

Kasihan Laila Dan Suhaib

 

            Pada 3 April 2009 (Jumaat), dalam ucapan sulungnya, perdana menteri yang baru, YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak antara lain telah mengumumkan 13 orang tahanan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dibebaskan serta-merta.  Saya teruja dengan pengumuman tersebut kerana saya memang mengenali isteri salah seorang tahanan ISA tersebut.  Dalam hati tertanya-tanya, adakah suaminya akan termasuk dalam senarai 13 orang yang akan dibebaskan?

 

            Pada 4 April 2009 (Sabtu), setelah meneliti senarai 13 orang yang bakal dibebaskan, saya dapati nama suami (tahanan) tidak terdapat dalam senarai 13 tahanan ISA yang bakal dibebaskan.  Tiba-tiba sahaja saya merasa begitu kasihan dan simpati kepada Laila dan Suhaib, ibu dan anak yang terpaksa menjalani kehidupan tanpa suami dan ayah di sisi selama sekitar 7 tahun.

 

            Saya mula mengenali Pn. Laila (Norlaila Othman) sekitar setahun yang lalu.  Saya sendiri yang mengusahakan pertemuan tersebut kerana teringin benar mendengar sendiri mengenai kisah, penderitaan dan kekejaman satu undang-undang yang bernama ISA langsung dari sanubari mangsanya.  Pertemuan tersebut turut disertai isteri dan anak saya, biar mereka mengerti erti kefanakan dunia yang sebenar.

 

            Tidak cukup dengan pertemuan pertama, saya sekeluarga telah mengundang Pn Laila ke rumah kami.  Undangan kami tidak dihampakan.  Kedatangan beliau turut membawa buku yang ditulisnya sendiri berjudul "Dunia Tanpa Suami".

 

            Sehingga kini Pn Laila masih tertanya-tanya mengapa suaminya ditahan di bawah ISA.  Katanya, suaminya seorang yang penyayang, lemah-lembut dan sabar ketika menguruskan rumah tangga.  Katanya lagi, adalah menjadi kebiasaan kepada suaminya untuk membaca Alquran terutamanya selepas solat subuh.  Sebagai ayah, suaminya sentiasa memastikan agar Suhaib tidak meninggalkan solat.  Demikian antara apa yang diceritakan oleh Pn Laila kepada saya sekeluarga.

 

            Pn. Laila memberitahu, sehingga waktu ini pun, pihak berwajib masih gagal membuktikan kesalahan suaminya.  Apa yang lebih mendukacitakan beliau ialah apabila anak tunggal mereka, Suhaib, membesar tanpa kasih sayang dari seorang ayah.  Ayahnya sihat dan berupaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ayah, tetapi semuanya itu terhalang dek kerana undang-undang yang kononnya untuk menjaga keselamatan negara.  Ketika suaminya dikurung di bawah ISA, Suhaib baru berusia 8 tahun.  Kini dia meningkat remaja.  Hendak dikata dia anak banduan, bapanya tidak pernah didapati bersalah.  Sesungguhnya Pn Laila dan Suhaib adalah mangsa kepada kezaliman yang nyata.

 

            Lebih kurang jam 11.22 malam tadi (5 April), saya menghantar SMS kepada Pn. Laila dengan menyatakan rasa dukacita saya sekeluarga kerana nama suaminya tidak tersenarai antara 13 tahanan yang telah dibebaskan.  Jawapan SMS dari beliau ringkas sahaja, "Its OK, Allah Maha Mengetahui".

 

            Saya sekeluarga sentiasa berdoa semoga suatu hari nanti, suami Pn Laila akan dibebaskan juga.  Biar mereka dapat menikmati semula kebahagiaan kehidupan sebuah keluarga sebagaimana yang pernah mereka kecapi suatu waktu dahulu.  Insha Allah.

 

            Kesediaan YAB Dato' Seri Mohd Najib untuk mengkaji semula ISA mungkin merupakan satu harapan baru.  Walau bagaimanapun, sama-samalah kita nantikan bentuk dan bila perubahan itu akan dilakukan.

 

            Agaknya inilah yang dikatakan orang, banyak berjalan luas pengalaman, ramai berkawan banyak pengetahuan.

 

            Kepada yang berminat untuk membaca lebih lanjut mengenai kisah Pn. Laila, sila layari http://www.lailagmi.blogspot.com

 

No comments: