Sunday, May 31, 2009

Bicara Isu

Sesuaikah Chin Peng Kembali Ke Malaysia?

 

            Satu persoalan yang ditimbulkan sejak akhir-akhir ini ialah sama ada sesuai atau tidak bekas ketua pengganas komunis yang bertunjangkan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk kembali ke Malaysia.  Setelah melalui proses perundangan, usaha Chin Peng untuk kembali ke Malaysia nampaknya telah gagal.  YAB Dato' Seri Perdana Menteri juga telah menegaskan bahawa Chin Peng tidak mungkin dibenarkan untuk kembali semula ke Malaysia.  Pelbagai organisasi yang berkaitan dengan pasukan keselamatan juga senada dengan kedua-dua pihak tadi iaitu tidak rela melihat Chin Peng kembali ke Malaysia.

 

            Namun begitu, masih ada pihak-pihak tertentu di negara ini yang masih menyuarakan agar Chin Peng dibenarkan untuk kembali semula ke Malaysia atas dasar perikemanusiaan.  Menurut pihak berkenaan, Chin Peng sudah berusia lanjut dan tidak mempunyai kemampuan untuk membahayakan keselamatan tanah air.  Lagi pun, era komunisme telah pun berakhir.  PKM telah meletakkan senjata dan PKM sendiri telah pun dibubarkan.  Demikian pandangan pihak-pihak yang berkaitan.

 

            Dalam isu ini, saya amat menyokong penuh pendirian kerajaan sebagaimana yang telah ditegaskan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak iaitu Chin Peng tidak akan dibenarkan untuk pulang ke Malaysia.  Biarlah Chin Peng menghabiskan sisa-sisa hidupnya di tempat di mana dia berada sekarang.  Sekarang adalah masanya untuk beliau merasai hasil tuaian daripada benih busuk yang beliau sendiri telah tanam berpuluh-puluh tahun lalu.

 

            Sejarah kesangsaraan dan kekejaman Chin Peng dan Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap sebahagian besar rakyat Malaysia tidak mungkin akan terpadam walau sehuruf pun hanya kerana beliau (Chin Peng) telah tua, tidak berdaya atau sebagainya.  Sesungguhnya tidak ada bahasa dan tinta yang mampu untuk menjelaskan betapa sengsaranya rakyat Malaysia akibat kekejaman, kezaliman serta ketidakperimanusiaan yang telah dilakukan oleh Chin peng dan PKM selama bertahun-tahun gara-gara ingin mendirikan kerajaan komunis di Tanah Melayu secara paksaan.  Sebenarnya tidak ada statistik tepat mengenai jumlah penduduk Tanah Melayu yang telah terkorban dan menjadi mangsa akibat kekejaman dan kezaliman PKM dan Chin Peng.

 

            Ada juga orang yang cuba berhujah dengan saya dengan berkata, bukankah Tuhan itu maha menerima taubat, mengapa kita (kerajaan) enggan memberi dia (Chin Peng) peluang terakhir.  Lagipun, bukankah pintu taubat tetap terbuka selagi nyawa tidak sampai di ghargharah atau selagi matahari tidak terbit di sebelah barat.  Saya menjawab, Bagaimana Tuhan akan menerima taubat daripada orang seperti Chin Peng kerana dia dan ideologinya sendiri tidak percaya kepada kewujudan Tuhan.

 

            Saya merasa pelik dan hairan, kerana masih ada lagi dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih bersimpati dengan sipengganas tua itu.  Saya rasa, walaupun kita tidak merasai kekejaman dan kezaliman angkara PKM, tetapi kita harus menaruh simpati yang sedalam-dalamnya kepada mereka yang pernah merasai dan mengalami sendiri kekejaman dan kezaliman PKM dan Chin Peng.  Cari dan selongkarlah dalam lembaran sejarah, tiada sebesar zarrah pun kebaikan yang pernah dilakukan oleh komunisme di negara kita.  Bahkan yang terpapar dan terpamir hanya kekejaman dan kezaliman PKM dan kesangsaraan penduduk Tanah Melayu/Malaysia gara-gara ketidaktamadunan Chin Peng dan PKM.

 

            Dengan itu, sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa pendirian kerajaan tidak membenarkan Chin Peng untuk kembali ke Malaysia seharusnya disokong dan didokong oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.  Kita harus ingat, kekejaman komunis masa lampau juga tidak mengira bangsa, agama atau fahaman politik.  Bagi mereka (PKM), sesiapa yang bukan komunis adalah musuh yang perlu dihapuskan.

 

            Bersimpati dengan Chin Peng, bermakna bersimpati dengan ideologi komunis.  Membawa pulang Chin Peng bermakna kita membawa pulang bala dan petaka ke negara tercinta ini.

 

Salam dari Kuantan.

 

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Ya, benar. Tak perlulah atuk tua tu dibenarkan pulang. Mana tak? Kita lihat sendiri sejarah kekejaman komunis di negara-negara yang pernah ditadbir di bawah ideologi ciptaan Yahudi itu. Jangan kita lupa akan Revolusi Bolshevik (1917) yang menyaksikan, antara pemimpin terkejam dunia, Joseph Stalin!!! Begitu juga Mao Tse Tung (China), yang sehingga sekarang, China masih belum mampu bebas daripada komunis! Ya, mereka kini kelihatan agak liberal dan terbuka. Namun begitu, dasar mereka yang tiada bertuhan itulah yang "menghalalkan" 1001 macam kekejaman ke atas penentang mereka sebagaimana yang saudara sebutkan.

Justeru, marilah kita menolak pandangan kononnya mereka yang sebegitu "boleh diterima taubatnya". Secara peribadi, saya merasakan pandangan sebegitu adalah dangkal dan hanya menafsir agama secara semberono. Semoga dengan hidupnya lelaki tua la'nat itu dalam buangan, akan memberi i'tibar besar, terutamanya kepada kita, umat Islam, agar jangan sekali-kali melakukan fasad di bumi-Nya ini.