Thursday, October 15, 2009

Catatan

Corat-coret Di Langkawi

Tatkala ini saya sudah pun berada di Lapangan Terbang Langkawi.
Penerbangan yang sepatutnya pada jam 3.30 petang, telah ditunda ke jam
4 petang. Oleh kerana ada masa terluang, maka saya on laptop, sekadar
menulis hal ringan sahaja. Internet connection di sini pun sangat
baik.

Kalau tak silap perkiraan dan ingatan saya, ini merupakan kali
keempat saya ke Langkawi. Kali pertama ialah pada tahun 2005. Semua
kehadiran saya di Langkawi adalah atas urusan rasmi. Sebenarnya saya
terfikir juga untuk membawa keluarga melancong di sini, tapi masa dan
kesempatan yang saya kira masih belum sesuai, maka hasrat itu saya
tangguhkan dahulu.

Kalau nak cakap fasal tempat-tempat bersejarah, Langkawi memang ada
tempat-tempat yang dikira bersejarah. Kebiasaannya pun kalau saya ke
mana-mana tempat, saya akan cari tempat bersejarah dahulu. Walau
bagaimanapun, hal sedemikian hanya sesuai saya laksanakan jika saya ke
sesuatu tempat itu bersama keluarga. Kalau atas urusan rasmi
sebegini, rasanya ia tidak sesuai kerana masa yang tidak mengizinkan.
Lagipun, kalau bersama keluarga saya rasa lebih seronok dan lebih puas
kerana rancangan boleh diselaraskan mengikut kemahuan bersama. Dengan
erti kata yang lain, walaupun ini merupakan kali eempat saya ke sini,
namun kesempatan untuk mengunjungi tempat-tempat yang bersejarah masih
belum kesampaian.

Saya juga bersetuju bila orang kata, Langkawi merupakan syurga untuk
membeli-belah. Saya dapati, kalau ke sini, ramai juga rakan dan kawan
yang bertambah berat beg masing-masing bila pulang. Saya sendiri tak
berminat untuk membeli-belah di sini. Bukan kedekut, tapi saya rasa
tak ada keperluan. Saya hanya beli barangan yang saya kira perlu dan
yang saya suka sahaja. Sebab itulah, kebiasaannya kalau saya datang
dengan satu beg, saya juga akan pulang dengan satu beg yang itu
jugalah. Berat beg pun bertambah tak sebanyak mana. Antara barang
yang banyak ialah coklat. Barang lain pun banyak. Ada yang
mengirimkan minyak gamat, tapi saya tak sempat untuk belikan. Maaf
Kak Ila!

Semasa saya ke Langkawi dahulu, pernah juga saya membeli-belah di
sebuah pusat membeli-belah yang terkenal. Namun begitu, setelah
mendapat penerangan daripada seorang pemandu teksi mengenai pusat
membeli-belah tersebut tempoh hari, maka hasrat saya kali ini untuk
membeli-belah di tempat tersebut telah saya batalkan. Bukanlah saya
percaya seratus peratus dengan apa yang diperkatakan oleh pemandu
teksi berkenaan, tapi sekadar mengambil sikap berhati-hati. Itu
sahaja.

Saya sendiri tak pasti bila akan ke mari lagi. Kalau boleh biarlah
saya datang semula ke sini bersama keluarga, insha Allah.

Salam dari Lapangan Terbang Langkawi.

No comments: