Saturday, June 4, 2011

Tahniah Kepada Barisan Pemimpin Baru PAS

Hari ini, keputusan pemilihan barisan pemimpin baru Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah diumumkan. Dari kejauhan, saya telah mengikuti pengumuman berkenaan menerusi internet. Itu pun pada sebelah malamnya. Maklumlah, sebelah siangnya sibuk dengan atur cara melancong yang telah dirancang.

Berdasarkan keputusan pemilihan yang telah diumumkan, Tuan Haji Muhammad Sabu telah terpilih sebagai Timbalan Presiden yang sekaligus menewaskan penyandang sebelumnya, Ustaz Nasharuddin Md Isa. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man turut kecundang sama untuk merebut jawatan ini.

Untuk tiga tempat naib presiden pula, ia telah dimenangi oleh Datuk Usham Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. 18 pemenang untuk AJK Pusat PAS juga turut diumumkan. Salah seorang daripada mereka adalah bekas pensyarah saya suatu ketika dahulu. Mereka inilah yang akan meneraju PAS sehingga tahun 2013. Kepada mereka yang telah terpilih, setinggi-tinggi tahniah diucapkan.

Sebenarnya, barisan pemimpin baru inilah yang akan mengemudi PAS untuk menempuh pilihanraya umum kali ke-13 nanti. Oleh itu, mereka sepatutnya sudah mula melaksanakan apa jua persediaan dan rancangan bagi mengharungi pilihanraya berkenaan. Khabarnya masih lagi bercita-cita untuk menawan Putrajaya!

Saya penuh yakin, mereka yang kalah tidak akan menjadi virus kepada kemenangan orang lain. Bahkan saya juga penuh yakin, tokoh-tokoh yang tewas sentiasa akan memberikan kerjasama kepada pemimpin yang menang bagi memastikan agar PAS terus relevan dan diterima rakyat. Hal inilah yang membezakan PAS dengan beberapa kumpulan siasah lain yang ada di negara kita.

Saya sekadar mengulas dari jauh sahaja.

Salam dari Kuching.

No comments: