Saturday, August 16, 2014

Krisis Menteri Besar Selangor Kian Genting



Pada 14 Ogos lalu, dua ADUN PAS telah menyatakan secara terbuka untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor. Mereka ialah Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib). Tindakan kedua-dua ADUN berkenaan telah mendahului keputusan yang bakal dibuat oleh pimpinan tertinggi PAS pada hujung minggu ini mengenai isu yang sama. Setakat ini, PAS masih belum membuat apa-apa keputusan muktamad mengenai isu jawatan menteri besar Selangor. Tindakan kedua-dua ADUN berkenaan agak memeranjatkan. Dengan tindakan kedua-dua ADUN PAS berkenaan, kini PAS telah terjebak pula dengan masalah untuk menangani tindakan kedua-dua ADUN berkenaan. Asalnya keruh hanya di hulu, akhirnya mengalir juga hingga ke hilir. Nampaknya apa yang sedang berlaku di Selangor ada sedikit persamaan dengan apa yang pernah melanda di DUN Terengganu pada tahun 1961 lalu.



Keadaan akan bertambah rumit jika PAS mengambil tindakan disiplin ke atas kedua-dua ADUN berkenaan. Sebarang tindakan balas daripada kedua-dua ADUN berkenaan pasti akan menberi kesan besar kepada kedudukan PAS khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Ia juga akan menjadikan situasi semakin kusut. Kekusutan yang bakal melanda bukan sahaja terhadap PAS dan PKR, tetapi akan melibatkan kestabilan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Buat masa ini, kedua-dua pihak, sama ada Datuk Seri Dr. Wan Azizah mahupun Tan Sri Abdul Khalid, masing-masing mendakwa masih mendapat sokongan majoriti ADUN Selangor. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang pernah saya nyatakan, dakwaan kedua-dua pihak dibuat di luar dewan. Oleh itu kesahihannya masih lagi samar-samar dan boleh dipertikaikan. Walaupun dakwaan salah satu pihak kononnya mempunyai bukti akuan bersumpah, tetapi ia masih belum boleh menggugat kedudukan Tan Sri Abdul Khalid kerana ia belum diterjemahkan lagi dalam DUN. Dengan itu, bagi membuktikan dakwaan mana yang sahih, maka jalan terbaik mungkin dengan memberi laluan untuk dikemukakan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Abdul Khalid dalam persidangan DUN. Ini bermakna, proses dan prosedur untuk mengadakan persidangan DUN Selangor harus dimulakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Dalam situasi sekarang dan sekiranya jumlah ADUN yang sudah memihak kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah benar-benar sudah mencapai kepada 30 orang, jika undi tidak percaya dikemukakan di DUN Selangor terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sudah pastilah beliau akan tewas. Bagi sesetengah ahli politik, kekalahan disebabkan undi tidak percaya dalam DUN merupakan suatu tragedi yang cukup perit, amat memalukan dan boleh mencalar kredibiliti seseorang ahli politik. Seboleh-bolehnya mana-mana pemimpin politik yang berpotensi untuk dikenakan undi tidak percaya, akan mencuba sedaya-upaya untuk mengelakkannya daripada berlaku.

Nampaknya Tan Sri Abdul Khalid tidak lagi boleh berharap kepada PAS sebagai talian hayatnya. Jika kedua-dua ADUN berkenaan benar-benar istikamah dengan keputusan mereka dan sanggup pula menghadapi risiko apa jua tindakan daripada partinya, maka apa jua keputusan PAS hujung minggu ini sudah tidak bermakna lagi buat Tan Sri Abdul Khalid. Hendak diharap kepada layar, tiangnya sudah patah. Hendak diharap kepada bahtera, olengnya hampir kepada karam.



Pada hemat saya, Tan Sri Abdul Khalid hanya ada satu jalan sahaja lagi untuk menyelamatkan maruah politiknya iaitu dengan memberi nasihat kepada Tuanku Sultan Selangor supaya membubarkan DUN Selangor untuk membolehkan satu pilihanraya negeri diadakan. Pada hemat saya, buat masa ini hanya Tan Sri Abdul Khalid selaku menteri besar mempunyai posisi yang sesuai untuk memberi nasihat yang sedemikian kepada Tuanku Sultan Selangor. Biarlah kemelut yang sedang berlaku diselesaikan oleh para pengundi Selangor pula. Biarlah rakyat pula yang membuat keputusan muktamad terhadap kemelut yang berlaku. Biarkan rakyat yang menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman bagi menyelesaikan kekusutan yang sedang melanda politik Selangor. Kalau dibiarkan orang politik yang bercakap, mereka tidak akan berhenti bercakap. Mereka tidak akan beralah. Setiap orang politik hanya menganggap mereka sahaja yang benar. Sebahagian orang politik bukan fikirkan sangat tentang kesejahteraan rakyat dan negeri. Mereka lebih mengutamakan bagaimana untuk mengekalkan kuasa yang ada sahaja.

Mungkin bagi Tan Sri Abdul Khalid, hilang jawatan sebagai menteri besar menerusi pilihanraya lebih bermaruah daripada disebabkan undi tidak percaya. Jika pilihanraya negeri diadakan dalam masa terdekat, semua pihak mempunyai harapan dan potensi untuk dikecundangkan.

Menonton episod politik lebih mendebarkan daripada menonton filem hindustan.

No comments: