Pada 2 Jun (Selasa) yang lalu, saya berkesempatan mengunjungi Yayasan Alfitrah. Ia terletak di sekitar Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Ini merupakan kunjungan saya kali kedua ke sini. Pada 15 November 2014 yang lalu, saya bersama Cikgu Mohd Jais pernah ke sini untuk menghadiri majlis doa selamat bersempena pembukaan pejabat yayasan berkenaan. Lebih jauh lagi, sewaktu cadangan untuk membuka yayasan ini, pandangan saya juga pernah ditanya mengenai masa hadapan yayasan ini oleh salah seorang pengasasnya jika cadangan untuk mewujudkannya menjadi realiti.
Kunjungan saya kali ini juga atas jemputan pengurusnya, En. Mohd Rafi. Selain beliau, terdapat 2 lagi kakitangan di yayasan ini. Mereka ialah En. Mohd Firdaus Khairi selaku kakitangan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal percetakan dan juga Cik Azimah kakitangan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perkeranian. Selain daripada peralatan komputer, yayasan ini juga turut mempunyai 3 unit embosser (printer untuk mencetak bahan Braille).
Antara fungsi utama yayasan ini ialah untuk menghasilkan bahan-bahan bacaan yang bertemakan Islam dalam bentuk Braille. Ia juga bertujuan untuk berfungsi sebagai pusat sumber bagi bahan-bahan bercetak Braille yang bertemakan Islam pada masa hadapan. Dengan erti kata lain, penubuhan yayasan ini adalah bertujuan untuk menghasilkan koleksi bahan bacaan yang berorientasikan Islam dalam bentuk Braille bagi memenuhi kekurangan yang ada ketika ini.
Setelah beroperasi beberapa bulan, beberapa bahan bacaan sudah berjaya dihasilkan oleh yayasan ini. Antaranya termasuklah kitab surah Yasin dan tahlil, kitab yang mengandungi surah-surah terpilih, kitab solat jenazah, Muqaddam dan beberapa judul lagi. Selain itu, yayasan ini juga turut menghasilkan Alquran Braille yang lengkap jilid dan juzuknya. Alquran Braille yang dicetak di sini mengandungi 6 jilid dan dicetak dalam bentuk double sided.
En. Mohd Rafi merupakan seorang yang berpengalaman dalam menguruskan institusi seperti ini. Pengalaman luas yang pernah ditimba di tempat lain kini dicurahkan pula dalam menguruskan Yayasan Alfitrah. Berdasarkan perbualan saya dengan beliau, sememangnya En. Mohd Rafi mempunyai visi yang jelas bagi memajukan lagi yayasan ini. Beliau juga turut bersetuju dengan pandangan saya iaitu kewujudan yayasan ini semoleknya akan dapat bekerjasama dengan lain-lain pihak yang mempunyai matlamat dan objektif yang sama. Sekiranya hasrat sebegini dapat dicapai, yang akan untung nanti masyarakat orang buta juga. Sikap cantas-mencantas, persaingan yang tidak sihat serta saling menjatuhkan antara satu sama lain hanya akan merugikan masyarakat kita juga.
Setelah sekitar satu jam, saya pun meminta diri. Sebelum pulang, En. Mohd Rafi turut membekalkan kepada saya beberapa bahan bacaan yang sudah dihasilkan oleh Yayasan Alfitrah. Terima kasih daun keladi saya ucapkan kepada En. Rafi dan Yayasan Alfitrah atas layanan yang mesra di sepanjang kunjungan saya. Mudah-mudahan hasrat baik yayasan ini akan tercapai suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment