Sunday, August 23, 2015

Guling Kerajaan



Baru-baru ini kita semua terdengar kononnya ada pihak yang sedang berusaha untuk menggulingkan kerajaan yang sedia ada. Berita berkenaan sedikit sebanyak telah menggemparkan sesetengah orang, tetapi bagi sesetengah orang pula ia tidak langsung memberi kesan. Jadi kita sama-sama tahulah siapa yang cepat melatah dan siapa yang lebih rasional bila menerima sesuatu berita.

Secara umumnya, adalah menjadi suatu perbuatan yang tidak bermoral sekiranya sesebuah kerajaan yang telah dipilih secara demokratik itu digulingkan secara yang tidak demokratik. Apatah lagi jika ada mana-mana pihak berusaha untuk menggulingkan kerajaan yang telah dipilih melalui pilihanraya dengan cara kekerasan dan dengan menggunakan senjata. Saya rasa, tiada siapa pun dalam kalangan rakyat negara ini dan yang ada hari ini boleh menerima perbuatan menggulingkan kerajaan secara kekerasan. Jika mana-mana pihak telah dikesan ada hasrat dan rancangan untuk melakukan perbuatan salah tersebut, maka tindakan segera harus diambil ke atas golongan berkenaan. Jangan tunggu hingga nasi sudah menjadi bubur baru hendak bertindak, ia mungkin sudah tidak berguna lagi.

Sekiranya tiada pihak yang sedang terlibat dengan mana-mana kumpulan atau rancangan untuk menggulingkan kerajaan, maka berita berkenaan lebih kepada khabar angin sahaja. Oleh itu, pihak yang berkuasa harus mencari pula siapa yang telah memulakan khabar angin berkenaan. Individu yang telah memulakan khabar angin sehingga menimbulkan keresahan awam juga turut melakukan kesalahan. Beliau juga harus dibawa ke muka pengadilan. Tindakan untuk membawa individu yang berkaitan ke muka pengadilan juga harus dilaksanakan tanpa memilih bulu. Itu barulah telus dan tulus namanya. Mereka yang dengan sengaja meniup khabar angin tanpa asas seperti ini merupakan antara puak pembohong nombor wahid. Sepatutnya kita sama-sama jangan percaya lagi dengan puak pembohong semacam ini!

Seperkara yang kita sama-sama harus faham ialah, di negara ini sesebuah kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri boleh ditukar tidak hanya melalui pilihanraya umum sahaja. Sejarah telah membuktikan iaitu pernah beberapa buah kerajaan negeri bertukar bukan melalui pilihanraya umum, tetapi melalui tindakan ahli-ahli dewan undangan negeri yang berkenaan yang telah hilang kepercayaan kepada kerajaan lama dan memberikan kepercayaan pula kepada kerajaan baru untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negeri berkenaan.

Pada tahun 1961, kerajaan PAS Terengganu telah tumbang melalui undi tidak percaya yang telah diusulkan dalam dewan undangan negeri. Dengan ini, kejatuhan kerajaan PAS Terengganu pada tahun berkenaan bukan melalui pilihanraya umum. Pada awal tahun 2009 pula, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak juga menerima nasib yang lebih kurang sama. Hasil lompatan 3 ADUN PR, iaitu 2 dari PKR dan 1 dari DAP, maka hasilnya tumbanglah kerajaan PR Perak yang tidak pun sempat untuk menyambut ulang tahun pemerintahannya yang pertama.

Sekiranya selama ini kita telah menghalalkan apa yang pernah berlaku di kedua-dua buah negeri berkenaan sebelum ini, jika sekiranya hal yang lebih kurang sama juga akan berlaku pada masa depan, sama ada dalam jangka pendek mahupun untuk jangka panjang, maka kita juga harus sama-sama menghalalkannya sebagaimana kita telah menghalalkan kejadian yang telah lepas. Adalah tidak sioman bilamana apa yang bakal terjadi akan mengenai batang hidung sendiri, maka kita mula meracau tak tentu hala sehingga racauan itu boleh menimbulkan keresahan awam pula.

Sebelum ini, pernah ada pihak-pihak tertentu mengusulkan agar undang-undang antilompat parti diperkenalkan di negara kita. Malangnya ia tidak diterima oleh pihak yang satu lagi. Mengapa? Kerana pihak yang belum bersedia untuk menerimanya merasakan mereka masih selamat. Mereka juga penuh yakin tiada ahli dari kumpulan siasah mereka yang akan melompat parti. Lagi pun, jika undang-undang antilompat parti diperkenalkan, maka lebih sukarlah untuk mengambil alih teraju kepimpinan sesebuah negeri yang tidak sehaluan dengan kumpulan siasahnya di luar daripada musim pilihanraya. Demikianlah.

Walau bagaimanapun, apabila wujud sebilangan ahli dari kumpulan siasah yang sama yang mula berubah angin, mula tidak setia dengan tampuk kepimpinan yang sedia ada, bahkan mula membuat rancangan untuk menjatuhkan kepimpinan yang ada melalui usulan undi tidak percaya di parlimen ataupun di DUN, maka ia bukanlah suatu kesalahan. Hal sebegini memang permah berlaku. Perbuatan seumpama ini sama sekali tidak boleh disifatkan perbuatan “menggulingkan kerajaan”. Di sisi undang-undang, usulan undi tidak percaya yang dilakukan dalam dewan (sama ada Dewan Rakyat mahupun di mana-mana DUN) masih halal dan dibenarkan. Ia bukan perbuatan subversif. Ia sama sekali tiada kena-mengena dengan apa yang disifatkan sebagai “perbuatan menentang yang Di-Pertuan Agong”.

Sekiranya undang-undang antilompat parti sudah berkuat kuasa, saya percaya keresahan dan racauan yang tak tentu hala seperti ini tidak akan berlaku. Pihak yang takut-takut seperti ini tidak perlu pening kepala memikirkan cara untuk menyelamatkan pemimpin yang mereka sayang atau kerajaan yang mereka sayang daripada tumbang gara-gara undi tidak percaya dalam dewan. Sekiranya undang-undang antilompat parti sudah pun berkuat kuasa, saya amat yakin sesebuah kerajaan itu boleh bertahan daripada satu musim pilihanraya ke musim pilihanraya yang selanjutnya. Walau bagaimana pun, undang-undang antilompat parti sama sekali tidak menjamin seseorang pemimpin itu boleh mempertahankan jawatannya sehingga ke akhir tempoh sesuatu penggal.

Malaysia sudah lama mengamalkan corak pemerintahan sedcara demokrasi berparlimen. Sistem ini digubal untuk kepentingan rakyat dan negara. Saya penuh yakin, ia bukan digubal hanya untuk keselesaan sesebuah kumpulan siasah tertentu semata-mata. Sekiranya ada rancangan untuk mengubah mana-mana elemen dalam sistem yang telah kita sama-sama ikut salama ini, biarlah ia dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negara juga. Sekiranya ada rancangan untuk memperkenalkan undang-undang antilompat parti selepas ini, biarlah ia bertujuan untuk kepentingan negara dan rakyat dan bukan untuk memanjangkan kuasa mana-mana kumpulan siasah sahaja.

Ramai pemimpin yang mengakui tugas selaku pemimpin merupakan suatu amanah dan tanggungjawab, tetapi tidak ramai dalam kalangan mereka yang benar-benar telah berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut.


1 comment:

puterimualim said...

(Perhatikanlah sejarahmu, untuk masa depanmu)( Surah Alhasyr :1 ayat 8).

"Those who cannot remember the past are condemned to repeat it." George Santayana