Thursday, August 25, 2011

Kemalangan Akibat Mercun: Satu Tragedi Tahunan




Saluran darah terputus akibat mercun
Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my


Pergelangan Nik Shazreen yang cedera akibat terkena mercun bola.
________________________________________
KOTA BHARU 8 Ogos – Seorang pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini putus salah satu saluran darah di tangan kirinya selepas mercun bola yang dipasang remaja itu meletup sebelum sempat dibaling.
Dalam kejadian pukul 10 malam tadi, Nik Shazreen Nik Zaulaimi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas di sini mengalami kecederaan itu selepas terkena serpihan mercun.
Bapanya, Nik Zulaimi Mat Salleh, 45, ketika kejadian dia sedang minum di rumah selepas pulang menunaikan solat tarawih.
“Pada masa itu, anak saya sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya di padang permainan kira-kira 50 meter dari rumah kami di Taman Anggerik, Kok Lanas.
“Tiba-tiba, anak saya pulang ke rumah dengan tangan kirinya berlumuran darah dan memberitahu tangannya terkena serpihan mercun bola yang dipasang.
“Katanya, mercun itu meletup terlalu cepat kerana sumbunya pendek sehingga tidak sempat dibaling jauh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Melihat keadaan kecederaan yang dialami, Nik Zulaimi segera menghantar anaknya ke Klinik Pulai Chondong sebelum dirujuk ke Hospital Machang.
Bagaimanapun, kecederaan anak kedua daripada lima adik beradik itu serius menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.
“Saya pernah melarangnya bermain mercun sebelum ini tetapi tidak diendahkan, selepas apa yang berlaku, saya pasti dia sudah serik,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, mangsa dirujuk ke hospital kira-kira pukul 12.42 malam tadi sebelum menjalani pembedahan kira-kira pukul 9.30 pagi ini.



Petikan akhbar di atas merupakan antara beberapa petikan akhbar mengenai kemalangan akibat bermain mercun bagi tahun 2011 yang sempat saya kumpulkan.

Peribahasa Melayu ada berbunyi: “Malang tidak berbau”. Maksudnya lebih kurang, kejadian malang yang menimpa seseorang itu sukar hendak dikesan atau diramalkan. Walau bagaimanapun, dalam konteks malang akibat bermain mercun, peribahasa “malang tidak berbau” langsung tidak relevan. Semua orang mengetahui, bila bermain mercun, bukan sahaja ia membakar wang dan membazir masa, bahkan acapkali juga batang tubuh yang terlibat juga turut terbakar dan adakalanya sampai melecur dan ada juga yang sampai cacat. Justeru, agaknya antara peribahasa yang sesuai dikaitkan dengan kemalangan akibat mercun ialah sudah terantuk baru tengadah. Sudah terkena baru hendak menyesal, sayangnya penyesalan sedemikian sudah tidak berguna lagi.

Setiap tahun, khususnya semasa bulan Ramadhan dan tatkala menjelang hari raya aidil fitri, peristiwa kemalangan akibat mercun pasti akan terpampang di dada-dada akhbar. Peristiwa kemalangan serupa yang telah berlaku pada tahun-tahun lalu langsung tidak memberi kesan. Justeru kemalangan yang sama akan berulang untuk ke sekian kalinya pada tahun-tahun berikutnya. Mengapa fenomena sedemikian terus-terusan berlaku walaupun semua orang tahu (termasuk yang ditimpa malang) kesan dan akibat bermain mercun? Mengapa kemalangan bermain mercun yang berlaku sebelum ini masih gagal dijadikan iktibar?

Salah satu sebab berlakunya fenomena sedemikian ialah kerana bermain mercun sememangnya sesuatu yang menyeronokkan. Bukan sahaja golongan kanak-kanak yang merasai keseronokkannya, bahkan orang dewasa yang sepatutnya menjadi contoh dan ikutan juga turut teruja dengan keseronokan bermain mercun. Bila sudah terlalu seronok dan asyik, mereka yang terlibat dengan permainan mercun sengaja lupa akan kesan dan akibat yang akan ditanggung bila berlaku kemalangan. Bila sudah hilang sebatang dua jari, baru hendak insaf bahawa keseronokan sebelum ini hanya sekadar kegembiraan yang membawa padah.

Satu lagi sebabnya ialah di mana kita tidak dapat nafikan bahawa pada masa ini mercun masih mudah diperolehi. Memang benar bahawa pihak berkuasa telah pun mengharamkan penjualan dan bermain mercun. Penguatkuasaan peraturan juga terus dilaksanakan ke atas penjualan dan permainan mercun. Walau bagaimanapun, atas beberapa sebab, ia masih boleh didapati dengan agak mudah terutamanya di sesetengah tempat. Oleh kerana ia mudah diperolehi, maka tidak hairanlah jika bermain mercun masih aktif di tempat-tempat tertentu.

Di samping itu, kemahiran membuat mercun sendiri masih diwarisi oleh sebilangan orang. Ada orang yang memaklumkan kepada saya, bukannya susah sangat untuk buat mercun sendiri, ada belerang, minyak tanah, sumbu, buluh dan sebagainya dan dicampur sedikit kemahiran tertentu, mercun sendiri yang juga dikenali meriam buluh boleh dihasilkan. Waktu saya kecil dahulu, meriam buluh memang ada dimainkan di sekitar kampung saya. Walau bagaimanapun, pada masa ini saya jarang dengar lagi letupan meriam buluh di kampung saya kerana saya pun jarang berada di kampung dalam tempoh yang lama ketika bulan puasa.

Di samping itu juga, kesedaran yang maksimum mengenai akibat bermain mercun masih gagal dipupuk khususnya dalam kalangan kanak-kanak, golongan remaja atau dalam kalangan kanak-kanak berumur. Golongan sedemikian mungkin mengetahui kesan dan akibat buruk daripada bermain mercun, tetapi mereka masih tidak sedar kesan dan akibat buruk sedemikian juga berpotensi besar untuk menimpa diri mereka bila mereka bermain dengan mercun. Tanyalah kepada mangsa-mangsa kemalangan akibat mercun, mereka tahu akan kesan dan akibatnya, tetapi mereka tidak pernah menyangka yang mereka juga boleh ditimpa kemalangan sedemikian.

Adakalanya golongan kanak-kanak berumur turut sama menyertai kanak-kanak yang belum cukup umur bermain mercun. Bila kanak-kanak yang belum cukup umur mendapati golongan kanak-kanak berumur turut sama menyertai mereka, maka golongan kanak-kanak yang belum cukup umur tersebut akan merasakan apa yang sedang mereka lakukan bukanlah suatu kesalahan. Sebaliknya mereka akan merasakan ia merupakan suatu keseronokan pula. Tambahan lagi, sorakan daripada kanak-kanak yang berumur lebih gempita daripada kanak-kanak yang belum cukup umur terutamanya bila letupan berlaku bertalu-talu, maka bertalu-talu pulalah tempik sorak golongan kanak-kanak berumur.

Saya pasti, ramai yang mengetahui akibat dan kesan bila bermain mercun. Golongan kanak-kanak berumur tentu lebih arif mengenainya. Kalau sekadar melecur dan terbakar sikit-sikit, itu sudah jadi perkara biasa. Ada juga yang sampai hilang jari. Ada juga yang terpaksa pindah sekolah ke sekolah pendidikan khas seperti sekolah tempat saya bertugas kerana kehilangan deria penglihatan gara-gara terkena mercun. Ada juga yang terpaksa berhari raya di hospital. Kalau dia seorang saja yang terlibat tak mengapa juga, tapi bila seorang ahli keluarga yang degil masuk hospital gara-gara bermercun, ahli keluarga yang lain pun turut terbabit sama. Ada yang terpaksa bergilir-gilir menjaga mangsa mercun. Kalau bergilir-gilir menyambut tetamu yang berkunjung bersempena hari raya ada makna juga!

Bagi saya, selagi kesedaran maksimum mengenai akibat bermain mercun gagal dipupuk, maka selagi itulah tragedi tahunan seperti ini akan berulang setiap tahun.

Bila kanak-kanak belum cukup umur yang bermain mercun, kita boleh marah atau rotan mereka. Kalau kanak-kanak berumur pula yang galak bermain mercun, apa yang patut kita lakukan?

Wednesday, August 24, 2011

Bazar Ramadhan Danau Kota



Bila tiba bulan Ramadhan, antara yang mewarnainya ialah kewujudan tempat berniaga yang lebih dikenali sebagai bazar Ramadhan. Kalau di Kuala Lumpur, kewujudan bazar-bazar Ramadhan di sana sini merupakan fenomena biasa di bulan puasa. Pelbagai juadah ada dijual terutamanya untuk berbuka puasa. Jadi, bagi kumpulan bujang atau yang tidak sempat masak di rumah, bazar Ramadhan adalah tempat untuk mencari makanan bagi menjamu selera ketika berbuka. Ada juga yang membeli untuk keperluan sahur sekali.



Antara bazar Ramadhan yang agak kerap saya sekeluarga kunjungi ialah bazar Ramadhan di Danau Kota. Kebetulan, lokasinya pun tidaklah berapa jauh dari kediaman saya. Dari segi keistimewaan, bazar Ramadhan di sini sama sahaja dengan bazar-bazar Ramadhan di tempat lain. Mungkin, sedikit memudahkan ialah di bazar Ramadhan ini sedikit mudah untuk meletakkan kenderaan.



Beberapa tahun lalu, ada seorang artis terkenal turut berniaga di bazar Ramadhan ini. Kalau saya sebut namanya, tentu ramai yang mengenalinya. Artis berkenaan menjual beberapa jenis sup. Ada sup tulang; ada sup daging; ada sup ayam; mi sup dan mihun sup pun ada juga. Sup yang dijual oleh artis ini memang ada keistimewaannya yang tersendiri. Rasanya sungguh enak dan begitu menyelerakan. Waktu itu, setiap kali saya mengunjungi bazar Ramadhan Danau Kota, saya pasti membeli sup yang beliau jaja. Kata orang, kalau kita makan satu jenis makanan beberapa kali, kita akan jadi jemu, tetapi tidak pula dengan sup jajaan artis berkenaan.

Sekali peristiwa, semasa saya sedang membeli sup jualannya, tiba-tiba artis berkenaan bertanya saya: “Kerja di mana bang?” Saya menjawab: “Dulu ingat nak jadi pelakon, tapi apa nak buat, tak ada bakat.” Artis berkenaan berkata pula: “Perli ke!”



Hari ini, saya sekeluarga masih lagi mengunjungi bazar Ramadhan Danau Kota, tapi tidaklah sekerap seperti sebelumnya. Rasa ingin menjamu selera dengan sup bikinan artis berkenaan tetap segar, tapi artis berkenaan sudah dua tahun tidak lagi berniaga di bazar Ramadhan Danau Kota. Saya sendiri tak pasti di bazar Ramadhan mana beliau berniaga kali ini.


Sunday, August 21, 2011

Majlis Berbuka Puasa Anjuran PERTIS Pusat



Semalam (20 Ogos), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah menganjurkan majlis berbuka puasa. Ia juga merupakan sebahagian daripada program Ihya Ramadhan (menghidupkan bulan Ramadhan) yang juga merupakan program tahunan PERTIS. Program Ihya Ramadhan tahun ini turut mendapat sokongan padu daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan juga daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sekitar 200 tetamu jemputan, para pegawai JAWI serta ahli-ahli PERTIS telah menghadiri majlis berkenaan. Majlis telah berlangsung di sekitar Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.



Majlis semalam telah dimulakan dengan pertandingan kuiz agama. Selepas solat asar, ia diteruskan lagi dengan ceramah agama. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Zakaria Talib dari Negeri Sembilan.





Sekitar jam 6.00 petang, majlis perasmian telah dijalankan. Tetamu utama untuk majlis perasmian kali ini ialah Yang Berbahagia Datuk Haji Wan Muhammad bin Datuk Sheikh Abdul Aziz, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Turut sama hadir ialah Ustaz Haji Omar Said, Timbalan Pengarah Operasi JAWI.



Setelah selesai alu-aluan daripada pengerusi majlis, tampil pula Saudara Abdul Majid Mohd Yusuf untuk memperdengarkan alunan bacan ayat-ayat suci Alquran. Abdul Majid merupakan salah seorang pelajar yang sedang belajar di Darul Quran, JAKIM. Saya kira, tentunya Datuk Haji Wan Muhammad merasa gembira dengan penampilan Abdul Majid. Beliau (Datuk Wan) merupakan antara orang yang telah bekerja keras bagi memastikan golongan cacat penglihatan yang layak mendapat peluang untuk meneruskan pengajian di Darul Quran beberapa tahun lalu.



Dalam ucapan alu-aluan, saya selaku Yang Di-Pertua PERTIS telah mengutarakan sebab Datuk Haji Wan Muhammad diundang sebagai tetamu utama walaupun kini beliau hanyalah sekadar bekas Ketua Pengarah JAKIM. Bagi seluruh warga PERTIS, keprihatinan Datuk Haji Wan Muhammad kepada PERTIS terutamanya semasa berjawatan sebagai Ketua Pengarah di JAKIM tiada tolok bandingnya dan tidak mungkin dilupakan. Jasa beliau akan sentiasa tersemat utuh dan kekal dalam ingatan kami sampai bila-bila. Datuk Haji Wan Muhammad sentiasa mencarikan peluang supaya PERTIS berupaya bergerak maju untuk kepentingan para ahlinya. Setiap kali beliau diundang untuk menghadiri majlis-majlis anjuran PERTIS, selagi berkeupayaan beliau tidak pernah menghampakan persatuan ini. Oleh itu, sewajarnyalah Datuk Haji Wan Muhammad dikenang dan diingati walaupun kini beliau bukan lagi mempunyai apa-apa jawatan dalam perkhidmatan awam, khususnya di JAKIM. Bagi saya dan seluruh warga PERTIS, hubungan ukhwah dan silaturahim khususnya dengan beliau sama sekali tidak semata-mata hanya kerana beliau berjawatan. Demikianlah.



Dalam ucapan balasnya, Datuk Haji Wan Muhammad mengucapkan berbanyak terima kasih kepada PERTIS kerana masih mengingati beliau walaupun kini beliau bukan lagi berjawatan Ketua Pengarah. Beliau turut merasa terharu bila mendapat undangan untuk merasmikan majlis ini. Beliau juga turut berharap agar hubungan yang sedia ada akan dapat dikekalkan sampai bila-bila. Beliau juga turut berpesan kepada hadirin supaya jadilah insan yang sentiasa mencari peluang dan bukan sekadr menunggu peluang kalau hendak membuat kebajikan.







Setelah selesai Datuk Wan memberikan ucapan, upacara penyampaian hadiah dan cendera mata pula diadakan. Sekali lagi Datuk Wan telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan upacara berkenaan. Para penerima hadiah dan cendera mata terdiri daripada para pemenang pertandingan kuiz serta pegawai-pegawai pertandingan.



Setelah selesai, para tetamu jemputan serta hadirin mula bergerak ke kafetaria MAB bagi persediaan berbuka puasa. Saya duduk semeja dengan Datuk Wan dan Ustaz Omar Said. Selain itu, Cikgu Jais, Cikgu Radzali serta 3 orang penuntut dari Darul Quran turut semeja. Apa yang menarik perhatian saya ialah, ketika berbuka, Datuk Wan sendiri yang melayan 3 penuntut Darul Quran ketika makan. Ini termasuklah membubuhkan nasi, lauk, air minum serta sering bertanya apa yang mereka perlukan lagi secara berulang. Dalam diam, saya sangat mengagumi sifat rendah diri yang dipunyai Datuk Wan. Rasa-rasanya saya yang masih tak punya apa-apa jawatan ini pun masih jauh lagi untuk bersifat semulia itu sebagaimana beliau.



Bagi saya, menu yang dihidangkan amat memuaskan dan amat menyelerakan. Makanan yang dihidangkan pula amat mencukupi. Rasa-rasanya tiada siapa yang tak cukup makan! Terima kasih banyak-banyak kepada pihak JAWI yang sudi menaja makanan dalam majlis berbuka puasa kali ini.



Selesai berbuka, kami bergerak pula ke surau yang letaknya di tingkat 3. Datuk Wan dan saya berjalan bersama-sama ke lokasi solat. Selesai solat maghrib, barulah Datuk Wan serta Ustaz Haji Omar Said meminta diri. Mengikut jadual, mereka akan bersolat tarawih di tempat lain pula. Di sini, saya bagi pihak PERTIS sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Datuk Wan Muhammad serta Ustaz Haji Omar Said di atas kesudian menghadiri majlis berbuka puasa anjuran persatuan ini. Semoga kita akan dipertemukan Allah pada ketika yang lain pula, insha-Allah.





Acara diteruskan lagi dengan solat isya dan solat sunat tarawih secara berjemaah. Selesai solat sunat witir, tazkirah pula diadakan. Sebelum bersurai untuk sesi malam, moreh pula diadakan.



Di sini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras untuk menjayakan majlis pada kali ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada seluruh ahli PERTIS yang telah menghadiri program kali ini. Sokongan anda semua sebenarnya yang telah memeriahkan majlis ini.

Saya juga baru tahu, rupa-rupanya Datuk Haji Wan Muhammad juga turut pernah mengunjungi dan membaca blog ini! Alhamdulillah dan terima kasih.

Ramadhan Dan Kenangan



Kini dua pertiga daripada Ramadhan sudah bersama kita. Beruntunglah bagi mereka yang benar-benar sedang memanfaatkan kehadiran bulan yang penuh barakah ini. Masih tidak rugi bagi sesiapa yang baru hendak memulakan kayuhan ibadah bersempena dengan kedatangannya. Akan rugilah orang yang mensia-siakan ketibaan bulan yang sememangnya telah diperuntukkan untuk umat Nabi Muhammad.



Bagi saya, kehadiran Ramadhan setiap tahun tentunya mempunyai kenangan tersendiri yang telah berlaku dalam hidup saya pada masa lalu. Sebenarnya saya mula berpuasa dalam erti kata yang sebenar ketika saya berusia 7 tahun. Sebelum berusia sedemikian, saya berpuasa juga tapi kadang penuh, kebanyakannya setengah hari sahaja. Begitulah di zaman kanak-kanak. Namun demikian, ibadah berpuasa tetap menjadi latihan ketika datangnya bulan Ramadhan seawal saya berusia 5 tahun lagi. Demikianlah.

Walaupun saya mula berpuasa dalam keadaan sebenar ketika berusia 7 tahun, tetapi puasa saya pada tahun berkenaan tidak penuh. Masih segar dalam ingatan saya, pada tahun tersebut saya dapat berpuasa penuh sebanyak 23 hari sahaja. Selebihnya saya hanya berpuasa setengah hari sahaja. Ada sekali peristiwa, saya terpaksa membatalkan puasa saya di hadapan ibu saya kerana beliau menemui saya sedang makan biskut pada waktu tengah hari. Saya lupa, bukan sahaja Tuhan melihat perbuatan keji saya itu, bahkan Dia memperlihatkannya pula kepada ibu saya. Oleh kerana peristiwa tersebut mendatangkan kesan yang begitu mendalam pada diri saya, maka itulah juga sehingga ke hari ini pun peristiwa “malang” masih segar dalam ingatan.

Ketika saya di sekolah rendah (SKPK Princess Elizabeth, Johor Baru), puasa saya lebih teratur. Maklumlah, kesempatan untuk mencuri-curi makan boleh dikatakan tidak ada. Lagipun peristiwa saya ditangkap makan biskut oleh ibu saya sebelumnya sentiasa membentengi saya daripada cuba curi-curi makan ketika berpuasa. Demikianlah mendalamnya didikan yang telah ditarbiahkan oleh ibu saya kepada saya walaupun ketika itu saya masih kecil lagi. Satu keistimewaan bagi sesiapa di sekitar Bandaraya Johor Baru ketika itu ialah, setiap kali masuk waktu berbuka, sedas bedilan meriam akan dilepaskan. Bergema bunyinya dan boleh didengar dengan jelas di SKPK Princess Elizabeth.



Ketika saya di sekolah rendah juga, waktu untuk kami bersahur ialah pada sekitar jam 2 pagi. Selepas makan, kami akan tidur semula hingga pagi. Saya sedikit hairan, mengapa waktu sahur (ketika itu) jam 2 pagi? Mengapa tidak dilewatkan lagi, jam 4 pagi umpamanya? Daripada maklumat salah seorang guru ketika itu, saya dapat tahu, memang tahun-tahun sebelumnya waktu sahur ialah sekitar jam 4 pagi. Walau bagaimanapun, ada segelintir murid yang agak nakal sedikit waktu itu, bukan sahaja mereka tidak tidur semula selepas makan sahur, bahkan ada di antara mereka yang sampai main bola sepak selepas sahur. Perkara sebegini memanglah agak menyusahkan kakitangan sokongan sekolah yang bertugas. Akhirnya, untuk membendung masalah sedemikian, maka itulah waktu makan sahur ketika itu telah diubah kepada jam 2 pagi. Jadi, selepas sahur, memang kami tiada pilihan lain selain tidur semula. Saya tidak pastilah pula pada hari ini jam berapa pula waktu sahur bagi murid-murid di sekolah berkenaan. (Kisah mengenai bagaimana murid cacat penglihatan bermain bola sepak ada saya postingkan menerusi blog ini pada hujung tahun 2008).



Sewaktu di sekolah rendah juga, adakalanya bagi murid-murid yang dapat berpuasa penuh akan diberikan ganjaran. Pada masa itu, ganjaran yang popular ialah wang. Saya masih ingat lagi, Cikgu Salmah merupakan guru yang rajin memberikan ganjaran sedemikian. Bagi murid yang dapat berpuasa penuh akandapat 50 sen. Masa itu,jumlah wang sebanyak itu bagi peringkat kanak-kanak pula memang terasa besar. Saya pernah mendapat ganjaran sebanyak yang sepatutnya tapi bukan dalam semua tahun.

Semasa berbuka puasa pula, kami akan makan buah tamar dan kuih sekeping dua serta minum air manis sebaik sahaja masuk waktu berbuka. Setelah itu, kami akan solat maghrib. Selepas solat maghrib, baru dihidangkan nasi. Bagi saya, cara sebegini lebih teratur dan lebih mudah untuk mengerjakan solat maghrib.

Saya masih ingat lagi, adakalanya dalam bulan puasa, ramai juga yang sakit. Bila sakit, ada “lesen” untuk berbuka. Cakap sahaja pada kakitangan asrama: “Kak, saya sakit, rasanya tak larat nak puasa”. Kakitangan asrama akan menjawab: “Kalau tak larat, berbukalah”. Sebab itulah juga saya tidak pernah mendapat ganjaran kerana berpuasa penuh setiap tahun! Mama Haikal pun lebih kurang juga.

Saya serta rakan-rakan yang lain sudah pun didedahkan dengan ibadat solat sunat tarawih sejak di peringkat sekolah rendah lagi. Cikgu Sulaiman Shafie (Allahyarham) akan datang ke sekolah pada setiap malam Ramadhan dan seterusnya akan menjadi imam kepada kami bermula dengan solat isya hinggalah selesai solat sunat witir. Waktu itu, kami mengerjakan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat dan dicampur dengan witir 3 rakaat. Tiada rungutan kerana mengerjakan solat dengan rakaat yang sebanyak itu. Manakala bilal untuk tarawaih pula akan dipilih dalam kalangan murid-murid yang senior. Saya pernah diberi kepercayaan oleh Cikgu Sulaiman untuk menjadi bilal ketika saya di darjah 5. Sampai bila-bila pun, saya tetap mengakui bahawa suasana solat sunat tarawih semasa di sekolah rendah merupakan antara yang paling meriah dan merupakan sesuatu yang paling manis dan indah dalam hidup saya.

Untuk pendidikan menengah pula, saya telah berpindah ke KL. Waktu itu, saya bersekolah di St. John’s Institution, tetapi saya tinggal di asrama SMPK Setapak. Demikianlah yang saya lalui dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6 atas. Di peringkat sekolah menengah, rasanya ibadah puasa semakin mantap. Namun begitu, terdapat sedikit sebanyak perbezaan khususnya dari sudut suasana. Semasa saya di tingkatan 1 dan 2, saya bersekolah dalam sesi petang. Jadi, bila datang bulan puasa, terasa juga keletihannya. Keadaan lebih mencabar semasa saya di tingkatan 1. Sudahlah bersekolah sesi petang, kenderaan asrama (SMPK Setapak) pula rosak sampai hampir 10 bulan. Tempoh tersebut turut merangkumi bulan puasa. Dalam tempoh kenderaan rosak, saya serta rakan-rakan lain yang bersekolah luar, terpaksa pergi dan balik sekolah dengan menaiki kenderaan awam. Bayangkan, bila bulan puasa, sudahlah keletihan bila bersekolah petang, kena balik ke asrama pula dengan kenderaan awam. Bila balik dari sekolah pada waktu petang, saya terpaksa berebut dengan orang ramai untuk menaiki bas. Kalau penumpang bas yang lain kasihan, saya akan dapat tempat duduk. Kalau tidak, saya berdiri sahaja dari Lebuh Ampang sampai hentian bas berhampiran asrama tempat saya tinggal. Walaupun agak perit ketika itu, tapi kesannya tetap ada. Setidak-tidaknya, saya dan rakan-rakan senasib waktu itu telah melalui satu tarbiah bukan dalam keadaan dimanjakan.

Semasa di peringkat sekolah menengah, solat sunat tarawih turut dilaksanakan, tetapi kali ini ia dilaksanakan sepenuhnya oleh para penghuni asrama. Dari imam, bilal hinggalah maamum, semuanya penghuni asrama belaka. Kami mengerjakan solat sunat tarawih sebanyak 8 rakaat sahaja. Mulanya terasa ganjil juga, maklumlah dari 20 rakaat turun merudum kepada hanya 8 rakaat sahaja. Kata orang tua-tua, alah bisa tegal biasa. Hari ini, terasa pelik pula kalau buat solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat. Berbeza semasa di sekolah rendah, waktu sahur di SMPK Setapak ketika itu ialah pada jam 4.30 pagi.

Setiap kali bulan Ramadhan, Persatuan Pelajar Islam (PPI) St. John’s Institution sering menganjurkan majlis berbuka puasa di sekolah. Sekurang-kurangnya sehari dalam sebulan. Setelah saya memasuki sesi pagi waktu persekolahan iaitu di tingkatan 3 dan ke atas, boleh dikatakan hampir setiap tahun saya tidak melepaskan peluang untuk menghadiri majlis berkenaan. Untuk itu, Ustaz Haji Ahmad Hussein akan menulis surat kepada warden asrama dengan memaklumkan mengenai majlis berkenaan serta meminta pelepasan untuk saya serta beberapa orang rakan lain bagi menyertai majlis tersebut. Seingat saya, surat berkenaan tidak pernah menghampakan. Selepas menghadiri majlis berbuka di sekolah, saya serta beberapa rakan akan ke Masjid Jamik Jalan Tun Perak untuk solat isya dan seterusnya bersolat tarawih. Ketika inilah saya mula terdedah dengan solat tarawih di luar asrama serta majlis moreh yang diadakan selepas selesai solat tarawih. Saya akan tiba semula di asrama sekitar jam 11 malam. Bila warden asrama bertanya sebab lewat tiba semula di asrama, saya berterus-terang sahaja. Warden tidak berkata apa-apa. Tahun berikutnya bila surat yang sama ditulis, saya akan mendapat pelepasan seperti biasa. Begitulah.

Bila saya tamat pengajian dari Universiti Malaya (UM), perubahan telah mula berlaku dalam kehidupan saya. Sebelum ini, saya banyak menghabiskan masa dengan kehidupan di asrama (termasuklah semasa menuntut di UM). Setelah tamat pengajian tinggi, saya mula belajar hidup sendiri. Dengan hasrat untuk tidak mahu menyusahkan keluarga, saya telah memilih untuk terus tinggal di KL. Waktu itu, saya masih belum lagi bertugas selaku pendidik seperti hari ini. Oleh itu, makan, minum dan tempat tinggal kena uruskan sendiri.



Perubahan cara dan persekitaran hidup sedikit sebanyak turut membawa perubahan kepada bulan Ramadhan yang saya lalui. Pada bulan November 1992, saya mula menjadi warga Brickfields. Bila tiba waktu berbuka, saya serta rakan-rakan yang lain akan mencari gerai makan yang sesuai untuk berbuka. Antara gerai yang menjadi tumpuan waktu itu termasuklah gerai Hamid, gerai Kak Fauziah dan juga gerai Zul (gerai Mahmud). Ada ketikanya, gerai Hamid akan beroperasi selama 24 jam sehari dalam bulan Ramadhan. Gerai berkenaan hanya akan tutup pada hari Ahad sahaja. Jadi ia sedikit sebanyak telah mengurangkan masalah kami yang bujang khususnya untuk mencari tempat bersahur. Berbuka puasa dan bersahur dengan rakan-rakan ada kemeriahannya yang tersendiri. Masing-masing dengan cara mereka sendiri ketika berbuka mahupun bersahur. Ada yang makan sedikit, ada yang makan banyak, ada yang makan alah kadar. Oleh kerana makan di gerai, jenis makanannya pula beraneka. Hanya kemampuan duit dan nafsu makan yang akan menentukan jenis dan kuantiti makanan yang terhidang ketika berbuka dan juga bersahur.

Oleh kerana makan dan minum kena cari sendiri dan tidak lagi terhidang sebagaimana di asrama sewaktu zaman persekolahan dan di kolej kediaman semasa di UM, maka ada hari-harinya nasib saya tidaklah sebaik mana. Ada masanya, terutamanya hari minggu, boleh dikatakan semua gerai di sekitar Brickfields akan tutup. Kalau ada pun yang buka pasti cepat habis kerana lebih dahulu telah diserbu oleh pelanggan yang datang lebih awal. Untuk mengatasi masalah sedemikian dan sebagai persediaan sahur, saya akan membeli makanan setelah selesai solat sunat tarawih. Makanan tersebut akan saya simpan untuk dimakan sewaktu sahur. Jadi, bila tiba waktu sahur, makanan tersebut telah sejuk. Sejuk pun sejuklah. Saya makan dan telan juga sewaktu bersahur. Tatkala inilah saya akan teringat kembali sewaktu tinggal di asrama sebelumnya. Ada kalanya, bila tidak sempat membeli makanan, saya akan makan buah kurma sahaja untuk sahur. Jumlah buah kurma yang saya telan bukannya sebiji dua, ada kalanya sampai sekitar 30 biji. Rupa-rupanya ia lebih dari mencukupi daripada sekadar mengalas perut.

Solat tarawih pula dilakukan bersama jemaah lain di surau Kampung Katijah (waktu itu). Oleh kerana surau berkenaan diuruskan oleh golongan mamak, maka imamnya juga terdiri daripada golongan berkenaan. Bukanlah ada masalah apa pun, tapi kalau baca Alfatihah dan surah sewaktu solat, masha-Allah, laju macam kereta api ekspres.

Ada kalanya, saya dan seorang dua rakan lain akan berbuka puasa di masjid-masjid tertentu disekitar Kuala Lumpur. Waktu itu, saya agak arif masjid mana yang mewah ketika berbuka dan untuk moreh. Boleh dikatakan, bila tiba bulan Ramadhan, bagi golongan bujang dan musafir di sekitar KL, ia juga merupakan masa untuk berjimat cermat. Maklumlah, setiap hari boleh menikmati juadah berbuka dan moreh secara percuma. Pilih sahaja masjid yang mana satu.

Seperkara yang mungkin tidak luput dari ingatan saya ialah, suatu ketika beberapa rakan telah mencadangkan supaya rumah sewaan saya dijadikan tempat untuk solat isya dan solat sunat tarawih di sepanjang Ramadhan. Mulanya saya teragak-agak untuk menerima cadangan berkenaan. Namun begitu, setelah berfikir dan mendapat persetujuan daripada rakan-rakan serumah yang lain termasuklah Cikgu Jais, akhirnya saya bersetuju. Maka untuk sepanjang Ramadhan beberapa tahun, rumah sewaan kami jadi tempat saya serta beberapa rakan lain mengerjakan solat isya dan solat sunat tarawih. Antara jemaah yang paling setia termasuklah Saudara Zainal Abidin, Hafiz Chali, Muhammad Mahmud (Allahyarham), Kaspan Adnan, Jamil Bustam, Mohd Rosmadi serta beberapa rakan yang lain.

Bila saya memasuki alam berumah tangga, sekali lagi perubahan drastik berlaku dalam kehidupan yang saya jalani. Bulan Ramadhan yang saya lalui paling terurus, termasuklah waktu berbuka dan bersahur. Saya tidak lagi sekadar telan buah kurma atau makan sup sejuk. Maha benarlah sebagaimana sabda junjungan yang mulia, salah satu daripada saat yang menggembirakan bagi orang yang berpuasa ialah ketika waktu berbuka, selain daripada ketika bertemu dengan Tuhan di akhirat kelak. Bahkan kegembiraan sewaktu berbuka akan berganda-ganda bilamana ia turut disertai oleh isteri dan anak tersayang.

Setiap kali Ramadhan tiba, kenangan lalu pasti datang mengimbas. Sesungguhnya suka duka masa lampau banyak mempengaruhi cara dan corak kehidupan yang sedang saya jalani masa kini. Walaupun yang telah berlalu itu tidak akan kembali lagi, tetapi kita boleh jadikan apa yang telah berlaku sebagai pedoman tatkala meniti hari-hari yang mendatang.

Saturday, August 20, 2011

Larangan Membaca Alquran Dengan Pembesar Suara Sebelum Waktu Subuh



Baru-baru ini, negara telah dihangatkan dengan berita mengenai larangan membaca Alquran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang. Menurut sumber daripada kerajaan negeri Pulau Pinang, keputusan berkenaan tidak dipengeruhi oleh kepimpinan kerajaan negeri. Manakala pihak mufti Pulau Pinang pula ada mengeluarkan kenyataan beberapa hari lepas bahawa larangan berkenaan bukannya fatwa atau hukum, sebaliknya ia sekadar nasihat semata-mata.

Ekoran daripada itu, beberapa pihak telah mengeluarkan pelbagai kenyataan. Ada yang pro dan tidak kurang pula yang berpandangan kontra dengan isu berkenaan. Seperkara yang terserlah daripada lontaran pandangan berkenaan ialah kecenderungan memberikan pandangan yang dipengaruhi oleh elemen politik. Oleh kerana isu ini melibatkan kerajaan Pulau Pinang yang kebetulan diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR), maka pandangan daripada mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan Pulau Pinang sudah tentulah bersifat kontra. Begitulah sebaliknya, pandangan daripada golongan yang sehaluan dengan kerajaan negeri pula bersifat menyokong.

Membaca Alquran sebelum waktu subuh di masjid-masjid atau di surau-surau dengan pembesar suara di negara kita bukanlah satu perkara baru. Ia telah pun berakar tunjang sejak sekian lama dahulu. Di kebanyakan tempat di negara kita khasnya di Semenanjung, sejurus sebelum masuknya waktu subuh, akan berkumandanglah alunan bacaan Alquran atau tarhim dari corong-corong pembesar suara dari masjid atau surau yang berhampiran. Kalau qari yang mengalunkan bacaan berkenaan bersuara merdu, maka akan sayulah jadinya suasana pada subuh berkenaan. Saya masih ingat, sewaktu menuntut di sekolah rendah di Johor baru, mungkin kawasan sekolah dikelilingi masjid dan surau, maka apabila menjelang waktu subuh, bergemalah suara alunan bacaan Alquran atau tarhim. Sayu dibuatnya. Ia juga memberi tanda kepada kami bahawa waktu subuh sudah hampir tiba. Walaupun masih kecil, keadaan sedemikian tidak pernah dianggap mengganggu.

Seorang bekas guru saya iaitu Cikgu Khoo Peng Kui yang pernah mengajar di sekolah yang sama pada dekad 60-an lalu, pernah bercerita kepada saya, antara tempat yang paling beliau tidak akan lupakan ialah SKPK Princess Elizabeth. Katanya, ketika itu beliau tidak memakai jam. Walau bagaimanapun, beliau tidak pernah lewat bangun pagi kerana sering dikejutkan dengan alunan Alquran, bacaan tarhim dan juga azan pada waktu subuh. Walaupun beliau bukan beragama Islam, beliau tidak merasa terganggu dengan alunan bacaan Alquran atau tarhim menjelang masuknya waktu subuh. Mungkin ada pihak lain akan berkata, bukan semua orang macam Cikgu Khoo Peng Kui!

Setakat yang saya ingat, mungkin negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang cuba melarang (menasihati) tempat-tempat solat supaya tidak menggunakan pembesar suara untuk membaca Alquran sebelum waktu subuh. Kalau kita masih ingat, dalam dekad 80-an lalu, seorang ketua tertinggi agama Islam di sebuah negeri ada mengeluarkan arahan supaya pembesar suara di satu kawasan dalam negerinya diperlahankan ketika bacaan Alquran dialunkan sebelum waktu subuh. Walau bagaimanapun, arahan berkenaan tidak menjadi isu atau tidak diisukan mungkin kerana negeri berkenaan waktu itu dikuasai oleh puak dacing.

Ada tempat tertentu di negara kita, sebelum waktu subuh bukan alunan bacaan Alquran yang dikumandangkan menerusi pembesar suara, tetapi siaran daripada radio tertentu pula yang diperdengarkan dan ia bergema di segenap kampung. Sekali-sekala mungkin siaran berkenaan sayup-sayup di bawan angin pagi ke kampung lain pula. Setakat ini, ia masih belum lagi menjadi isu dan fatwa mengenai mengumandangkan siaran radio menerusi pembesar suara di masjid atau surau juga belum dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa agama. Mengapa?

Bagi saya, masalah yang timbul di sini ialah ada pihak yang merasa terganggu bilamana alunan bacaan Alquran atau tarhim dikumandangkan menerusi pembesar suara masjid atau surau terutamanya menjelang masuknya waktu subuh. Maklumlah tidur pada waktu sedemikian memang paling enak dan paling menyedapkan. Bukan sahaja mereka yang bukan beragama Islam yang merasainya, sebahagian umat Islam pun turut merasai sama keenakan tidur menjelang masuknya waktu subuh. Bila saat yang begitu mengasyikkan tidur itu diganggu memang tersentaklah jasad dan perasaan. Nasib baiklah azan pada waktu tengah malam sebagaimana yang pernah diamalkan dalam kerajaan Andalusia dahulu tidak dipraktikkan di negara kita pada hari ini.

Bagi saya, dalam konteks mengganggu, bukan sahaja alunan bacaan Alquran atau tarhim pada waktu subuh sahaja yang boleh mendatangkan gangguan. Ada kalanya, bunyi bising loceng dari tempat ibadat tertentu atau bau bahan-bahan yang digunakan untuk sembahan yang sangat kuat juga boleh mendatangkan gangguan. Namun begitu, setakat ini, tiada larangan daripada mana-mana pihak berkuasa tempatan supaya memperlahankan bunyi loceng atau mengurangkan bau-bauan yang digunakan. Walau bagaimanapun, bila satu pihak telah memulakannya, maka tidak mustahil untuk pihak lain pula yang akan mengikut langkah yang telah dilakukan.

Apa yang sepatutnya dilakukan khususnya di Pulau Pinang ialah, tempoh masa untuk mengumandangkan bacaan Alquran atau tarhim sebelum waktu subuh boleh dipendekkan. Kalau sebelum ini ia mungkin dilaksanakan sejam atau 45 minit sebelum azan subuh, mungkin ia boleh dipendekkan kepada setengah jam atau 15 minit sahaja. Langkah seterusnya, sekiranya pembesar suara itu terlalu kuat, maka berpatutanlah jika bunyinya diperlahankan sedikit. Lagi pun, pembesar suara yang dipasang terlalu kuat pun tidak akan menghasilkan bunyi yang baik. Kadangkala ia boleh menyebabkan bunyinya serak dan pecah.

Bagi saya, melarang terus bacaan Alquran atau tarhim dengan menggunakan pembesar suara sebelum masuk waktu subuh bukanlah satu langkah yang sesuai.

Sunday, August 14, 2011

Biara Buddha Anjurkan Majlis Buka Puasa



Rancangan sebuah biara Buddha di Brickfields yang akan menganjurkan majlis buka puasa pada 20 Ogos ini memang sudah diketahui oleh kebanyakan mereka yang cacat penglihatan. Ia turut dihebahkan menerusi talian maklumat Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) sejak seminggu dua yang lalu. Beberapa hari lalu, ia turut dimuatkan pula menerusi blog Merah Tinta (MSO) iaitu berdasarkan kiriman email daripada salah seorang penjenguk blog berkenaan.

Berdasarkan maklumat yang dihebahkan, makanan yang akan disediakan halal. Manakala waktunya pula semestinyalah waktu berbuka puasa bagi seluruh umat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pengangkutan untuk ke biara tersebut juga disediakan. Sesiapa sahaja yang cacat penglihatan memang diundang ke majlis berkenaan asalkan berdaftar terlebih dahulu dengan orang/pihak yang telah ditentukan. Menurut maklumat yang dihebahkan majlis berkenaan juga akan diserikan dengan cabutan nombor bertuah.

Pada masa (tarikh dan waktu) yang sama, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) juga turut menganjurkan majlis berbuka puasa khusus untuk para ahlinya. Majlis akan berlangsung di sekitar Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.

Di sini, saya bukan hendak membicarakan mengenai hukum berbuka puasa di tempat ibadat agama lain bagi penganut Islam. Lagi pun, ilmu agama yang ada pada saya masih dangkal dan ia sama sekali tidak melayakkan saya untuk menjatuhkan apa-apa fatwa mengenai hukum berbuka puasa di tempat ibadat agama lain. Lagi pun, kalau salah memberi pendapat, ia dianggap bertentangan pula dengan konsep 1Malaysia. Pernah ke Rasulullah mengutarakan konsep 1Madinah sewaktu baginda menjadi pemimpin di sana?

Berbalik kepada majlis berbuka puasa sebagaimana di atas, setakat yang saya maklum, berbuka puasa bukan setakat semata-mata makan dan minum bila masuk waktu maghrib. Pada saat itu, Allah menurunkan keberkatan bagi orang yang sedang berbuka puasa. Dalam satu hadith yang sahin, antara lain Rasulullah bersabda: “Bagi orang yang berpuasa, mereka akan mendapat dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka puasa dan ketika menemui Tuhannya di akhirat nanti.” Sesuaikah kita mendapat salah satu kegembiraan sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah sedangkan ketika itu kita berada di tempat ibadat agama lain?

Seperkara lagi, berbuka puasa berlaku serentak dengan waktu maghrib. Dengan pelbagai acara untuk satu-satu majlis berbuka puasa seperti cabutan nombor bertuah, selain daripada makan, minum, sembang dan lain-lain lagi, ada kemungkinan ruang untuk melaksanakan solat maghrib juga akan kian kesempitan. Selaku umat Islam, kita harus faham, kewajipan solat 5 waktu sama tarafnya dengan kewajipan berpuasa. Sebab itulah kedua-duanya (puasa dan solat 5 waktu) merupakan 2 perkara daripada 5 perkara dalam rukun Islam. Bolehkah pihak penganjur menyediakan waktu dan ruang untuk solat maghrib kepada jemputan yang beragama Islam sebagaimana sewajibnya? Saya tidak mengatakan solat di tempat ibadat orang lain hukumnya tidak sah!

Bagi pihak penganjur dan juga biara Buddha berkenaan, mereka mungkin tidak begitu memahami konsep berbuka puasa. Bagi mereka, berbuka puasa ialah makan bila tiba masanya. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita selaku umat Islam untuk memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya kepada pihak penganjur mengenai berbuka puasa menurut kaca mata Islam supaya pihak yang berkenaan lebih memahaminya. Di sini, saya berkeyakinan, sekiranya pihak penganjur diberikan penjelasan mengenai konsep berbuka puasa yang sebenar menurut Islam secara berhemah dan dengan tutur kata yang baik, mereka boleh menerimanya. Hasrat untuk memperluaskan pemahaman mengenai derma mata sememangnya baik. Justeru, ia harus dilaksanakan dengan cara yang baik juga yang sepatutnya tidak bercanggah dengan nilai-nilai agama semua pihak yang dijemput ke majlis berkenaan.

Kepada rakan-rakan senasib yang seakidah dan bercadang untuk menghadiri majlis berkenaan, tepuk dada tanyalah iman. Jangan kerana sepinggan makanan, secawan minuman dan sehelai nombor bertuah, akidah kita jadikan taruhan.

Harus difahami, saya bukan membincangkan isu ini dari sudut hukum, saya sekadar memperkatakannya dari sudut kesesuaian majlis itu sahaja.

Genap Dua Tahun Asri Rabbani Pergi Yang Takkan Kembali

Semalam (13 Ogos), genap sudah dua tahun Ustaz Asri meninggalkan dunia yang maha fana ini. Ustaz Asri yang juga turut dikenali sebagai Asri Rabbani telah pergi menghadap Ilahi pada hari Khamis 13 Ogos 2009. Ketika itu kita dan seluruh umat Islam sedang mengira hari untuk ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Walaupun sudah dua tahun Ustaz Asri menghadap Penciptanya, tetapi alunan nasyid dendangan beliau sentiasa menjadi halwa telinga kita hampir setiap ketika. Seolah-olahnya beliau masih lagi bersama kita. Alunan irama nasyidnya, bait-bait lagunya, kalimah zikir dan munajad beliau sentiasa segar membelah sunyi kerohanian insani. Namun begitu, hakikatnya, beliau kini sudah tiada lagi buat selama-lamanya.

Ada ketikanya, azan waktu solat alunan beliau turut dikumandangkan oleh sesetengah media penyiaran. Ia sekaligus mengingatkan insan yang masih meminjam nyawa daripada Yang Maha Esa seperti kita mengenai kewajipan menunaikan solat 5 waktu. Alangkah moleknya apa yang telah ditinggalkan oleh dia yang telah pergi kepada kita yang masih belum sampai masa untuk pergi seperti dia?

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Demikianlah Ustaz Asri, oleh kerana sewaktu hidupnya beliau telah melaksanakan usaha amar maaruf dan nahyi mungkar menerusi bakat seninya, maka setelah beliau meninggalkan kita, apa yang telah beliau usahakan masih terus dikumandangkan. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa mencucuri rahmat-Nya ke atas beliau sepanjang masa.

Sebenarnya banyak yang boleh sama-sama kita jadikan iktibar mengenai kisah Ustaz Asri. Sementara nyawa masih terpinjam, sama-samalah kita membuat bakti semoga ia akan mendapat keredhaan Allah. Sekiranya bakti yang kita buat baik, bermanfaat serta memberi impak yang baik kepada orang lain dan disisipkan pula dengan rasa keikhlasan yang tertinggi, insha-Allah ia akan dikenang sepanjang zaman. Sebaliknya, jika kita asyik mencuri sahaja untuk kepentingan peribadi, dan kita gunakan pula hasil curian itu kononnya untuk berbakti dan berdakwah, mungkin sementara hidup kita dipuji segelintir orang, tetapi ingatlah usia kita bukanlah sepanjang mana. Esok lusa kita akan mati jua. Setelah kita menghadap Ilahi dan apabila tembelang dan temberang kita pecah dipukul masa, nescaya curi dan bakti yang telah ditaburkan selama ini akan membusuk semesta maya. Tatkala itu, anak cucu kita pun akan malu untuk mengaku bahawa mereka adalah anak dan cucu kepada kita.

Sepatutnya tulisan ini saya postingkan semalam, tetapi oleh kerana sejak petang Jumaat hingga pagi tadi saya berada di lokasi yang tidak dapat akses kepada internet, maka lewat sedikit saya postingkan tulisan yang tak seberapa ini.