Friday, September 12, 2014

Aktiviti Sekolah: Pameran Bersempena Minggu Sains Kemanusiaan



Dari 8 September hingga 12 September 2014, Sekolah tempat saya bertugas telah menganjurkan Minggu Sains Kemanusiaan peringkat sekolah. Untuk itu, beberapa aktiviti telahdianjurkan. Setiap panitia dalam bidang Sains Kemanusiaan melaksanakan sekurang-kurangnya satu aktiviti.



Panitia Sejarah telah mengadakan pameran barang-barang lama. Ia telah berlangsung di Pusat Sumber Sekolah (PSS). Selain itu, wang lama daripada shiling dan kertas juga turut dipamerkan. Antara shiling yang dipamerkan terdapat sekeping duit yang bertarikh 1883.




Antara barangan lama yang dipamerkan termasuklah telefon lama, radio lama, alat pemain piring hitam, beliung, seterika yang menggunakan arang, alat untuk menoreh getah, beberapa alat daripada tembaga, mesin jahit lama dan sebagainya.

Barangan Lain yang turut sama dipamerkan termasuklah topi mengkuang, bubu, kipas sate, labu sayong, alat untuk mengupas kelapa dan sebagainya.

Menerusi aktiviti seumpama ini, murid-murid yang cacat penglihatannya akan berpeluang untuk menyentuh barang-barang lama berkenaan. Selain itu, guru yang bertugas juga akan memberi penerangan ringkas tentang kegunaan dan fungsi barangan yang dipamerkan. Dengan itu, mereka akan beroleh informasi serta gambaran yang lebih tepat tentang barang-barang lama yang selama ini mungkin hanya diketahui namanya sahaja.



Ada dalam kalangan murid-murid saya yang teruja dengan telefon lama yang mana penggunanya harus memusing nombor yang hendak didial. Ia jauh berbeza dengan telefon hari ini yang serba canggih. Mereka tidak dapat gambarkan bagaimana masa yang lebih lama harus digunakan untuk mendial 7 angka. Ada antara murid saya berkata: “Kalau kita dial 999, belum sempat habis dial api dah menjulang!”



Bagi murid-murid yang cacat penglihatannya, peluang dapat menyentuh barangan lama merupakan sesuatu yang cukup berharga. Dengan itu, barulah mereka akan beroleh maklumat yang lebih tepat mengenai pelbagai aspek barangan berkenaan. Informasi bukan sahaja kepada kegunannya, tetapi ia turut mencakupi bentuknya, bahan asas untuk menghasilkannya, ringan atau berat barangan tersebut, besar atau kecil saiznya dan sebagainya. Bagi mereka yang berpenglihatan, dengan melihatnya sekali hampir semua informasi berkenaan sudah boleh diperolehi dengan cepat.

Justeru, bilamana pameran seperti ini dianjurkan dan jika ada pengunjungnya dalam kalangan mereka yang cacat penglihatannya, mereka hendaklah diberi kesempatan untuk menyentuhnya selagi ia tidak membahaya atau tidak merosakkan barangan berkenaan. Barulah kepuasan maksimum akan diperolehi.




Mudah-mudahan pameran kecil yang telah diadakan akan benar-benar bermanfaat kepada golongan sasar.




Tuesday, September 9, 2014

Hormatilah Titah Sultan


Semalam (8 September), istana Selangor telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung dengan kemelut jawatan menteri besar Selangor. Kenyataan berkenaan telah dikeluarkan oleh Datuk Mohamad Munir Bani, Setiausaha Sulit kepada Tuanku Sultan Selangor. Ia adalah sebagai rentetan daripada titah Tuanku Sultan Selangor sebelum ini agar parti-parti dalam Pakatan Rakyat mempersembahkan kepada baginda lebih daripada 2 nama yang memenuhi kriteria untuk mengisi jawatan menteri besar yang mungkin akan dikosongkan oleh penyandang sekarang bila tiba masanya nanti.

Sebagai menjunjung titah berkenaan, PAS diberitakan telah mempersembahkan lebih daripada dua nama kepada Tuanku Sultan Selangor untuk pertimbangan baginda. Manakala PKR dan DAP pula telah menghantar satu nama yang sama sahaja. Dari awal lagi saya telah mengatakan perlakuan menghantar satu nama merupakan perlakuan dan tindakan tidak molek yang tidak memenuhi apa yang telah dititahkan oleh Tuanku Sultan Selangor. Perlakuan menghantar satu nama kurang bijak kerana ia seolahnya tidak menghormati titah raja. Walaupun dalam sistem raja berperlembagaan kuasa raja adalah setakat mana yang termaktub dalam perlembagaan, tetapi dalam mendepani kemelut yang sedang berlaku, baginda mempunyai kuasa budi bicara yang harus dihormati dan sepatutnya diberi perhatian yang cukup serius. Sebagai seorang ketua negeri, sudah tentulah baginda Tuanku Sultan ingin membuat pertimbangan yang seadilnya demi kesejahteraan rakyat dan negeri baginda. Justeru, baginda memerlukan ruang yang cukup untuk membuat pertimbangan dan keputusan yang benar-benar saksama dan adil.

Antara lain, kenyataan berkenaan telah menyifatkan tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu nama sahaja sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu sebagai mengingkari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Tegas Datuk Mohamad Munir, tindakan itu adalah perbuatan biadap dan merupakan satu penderhakaan kepada Sultan Selangor. Menurut Datuk Mohamad Munir hanya parti PAS yang akur dengan titah Sultan Sharafuddin dengan menyenaraikan tiga nama calon Menteri Besar Selangor. Tambah Datuk Mohamad Munir, titah Sultan Selangor supaya pakatan rakyat mengemukakan senarai lebih daripada dua calon Menteri Besar adalah satu amalan atau konvensi bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal Menteri Besar Selangor. Tambah Datuk Mohamad Munir lagi, pilihan akan dibuat dari segi kemahiran, pengalaman, integriti serta kebolehan seseorang calon dan sokongan majoriti yang diterimanya daripada anggota Dewan Undangan Negeri, ADUN.

Penzahiran rasa dukacita daripada istana Selangor merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi. Ini adalah kerana semua pihak yang sedang terlibat secara langsung dalam kemelut yang sedang berlaku sama-sama mengakui menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan raja berperlembagaan. Semua pihak yang berkenaan juga turut melahirkan penghormatan yang tinggi terhadap institusi raja di negara kita. Justeru, bilamana istana Selangor menitahkan agar pihak-pihak yang terlibat mempersembahkan lebih daripada dua nama, sepatutnya ia harus ditaati tanpa berhelah lagi. Barulah pengakuan kononnya menjunjung tinggi institusi raja benar-benar fasih di lidah dan ikhlas di hati.

Hakikat yang perlu diakui ialah sebahagian besar orang Melayu masih memandang tinggi terhadap institusi raja. Ketaatan dan kesetiaan mereka terhadap raja masih di tahap tidak berbelah bagi. Penghormatan mereka terhadap raja masih kuat dan utuh tanpa mempersoalkan apa fiil raja itu. Sesungguhnya dokongan dan pegangan sebahagian besar orang Melayu terhadap konsep daulat dan derhaka masih kuat dan utuh, tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.

Amat malang sekali bila ada mana-mana individu atau pihak jika sudah dicap sebagai ingkar atau derhaka oleh seseorang raja. Silap hari bulan, individu atau pihak yang berkenaan turut sama akan dipandang negatif oleh golongan yang benar-benar masih menjunjung tinggi institusi raja. Situasi ini mungkin akan memberi kesempatan kepada pihak lain untuk memijak kepala individu atau pihak yang telah dicap sebagai ingkar atau derhaka itu untuk membolehkannya melonjak dan menggapai semula puncak kekuasaan yang pernah terlepas daripada genggaman mereka beberapa musim yang lalu.

Oleh itu, kalau urusan dengan raja hendak berjalan lancar, kena khatam dahulu isi tersurat dan maksud tersirat beberapa kitab Melayu lama seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai, Tuhfat An-Nafis, Silsilah Melayu Dan Bugis dan sebagainya. Oleh kerana teliti dan halusnya diplomasi Tun Perak dengan raja, maka penolakan beliau terhadap Raja Muhammad untuk menjadi sultan Melaka tidak dianggap derhaka oleh ayahandanya, Sultan Mansur Shah.

Untuk menjernihkan semula keadaan yang ada, saya rasa selepas ini semua pihak harus akur dengan mana-mana calon yang ditunjuk oleh Tuanku Sultan sebagai menteri besar yang baru. Jangan keruhkan lagi ssuasana dengan membuat onak baru pula. Barulah ungkapan menjunjung tinggi prinsip raja berperlembagaan benar-benar ikhlas di hati dan tidak sekadar fasih di lidah sahaja.


Saturday, September 6, 2014

Kemelut Politik Selangor: Imbasan Semalam



Sehingga ke hari ini, kemelut politik di Selangor masih belum ada penghujungnya. Kesediaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk berundur daripada kerusi menteri besar masih belum berupaya menyelesaikan masalah yang sedang berkocak. Pencalonan Datuk Seri Dr. Wan Azizah selaku calon menteri besar yang baru juga masih jauh daripada menyelesaikan masalah. Ketidakupayaan parti-parti dalam Pakatan Rakyat untuk menampilkan calon menteri besar yang berpotensi untuk memperoleh restu dan perkenan istana merupakan kegagalan berpanjangan Pakatan Rakyat yang sukar untuk difahami.



Pada hemat saya, kemelut ini berpanjangan kerana rendahnya kebijaksanaan pihak-pihak yang terlibat dalam menguruskan isu yang sedang berbangkit. Ia juga menunjukkan pihak-pihak yang terlibat juga tidak peka kepada denyut nadi para pengundi dan rakyat Selangor. Bahkan jika ada yang mengatakan kemelut ini berpanjangan kerana ada agenda tersembunyi yang sedang cuba direalisasikan oleh puak-puak tertentu juga tidak boleh ditolak. Sesungguhnya kegagalan menyelesaikan kemelut ini dengan segera amat tidak disenangi oleh pengundi dan rakyat Selangor. Maka itulah tidak menghairankan apabila kaedah pembubaran DUN merupakan sesuatu yang amat tidak digemari oleh parti-parti siasah yang terbabit.

Puak-puak tertentu dalam PKR telah menuding kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai punca kepada tercetusnya kemelut yang sedang berlaku. Keengganan Tan Sri Abdul Khalid mematuhi arahan parti khasnya agar meletakkan jawatan selaku menteri besar didakwa merupakan punca utama kepada kemelut yang sedang berlaku.

Dalam hal ini, orang bijak pandai dalam PKR mungkin kurang memahami iaitu jawatan menteri besar bukan jawatan peringkat parti politik. Ia merupakan jawatan tertinggi dalam sesebuah kerajaan peringkat negeri. Justeru, menukar seorang menteri besar sama sekali tidak sama dengan menukar seorang presiden parti politik. Apabila pelantikan seseorang menteri besar (khasnya di Selangor) perlu mendapat perkenan daripada istana, maka penukaran atau perlucutan jawatan seseorang menteri besar juga seharusnya melalui proses yang serupa. Adalah amat dangkal sekali bilamana seseorang menteri besar diarah meletakkan jawatannya tanpa terlebih dahulu merujuk atau memperoleh perkenan daripada istana. Penukaran menteri besar sebagaimana yang berlaku di Perak pada tahun 2009 dan di Terengganu pada tahun ini telah terlebih dahulu mendapat perkenan daripada raja-raja di negeri yang berkenaan. Bagaimana UMNO/BN memperoleh restu dan perkenan daripada raja-raja, yang itu PKR boleh belajar sendiri daripada UMNO/BN.

PKR juga kurang memahami apa yang disebut sebagai “kuasa budi bicara sultan”. Walaupun PKR telah menampilkan tokoh tertentu sebagai calon untuk jawatan menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid, tetapi sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara baginda sama ada untuk menerima atau sebaliknya calon yang dikemukakan. Maka itulah baru-baru ini ke bawah duli Tuanku Sultan Selangor telah menitahkan agar setiap parti dalam PR mengemukakan 2 nama untuk mengisi jawatan menteri besar. Tujuannya ialah untuk memudahkan baginda menggunakan kuasa budi bacara baginda bagi melantik menteri besar yang baru. Titah berkenaan juga boleh difahami iaitu calon menteri besar yang telah dikemukakan sebelumnya mungkin tidak mendapat restu daripada istana. Kriteria calon yang dikemukakan pula hendaklah selari dengan Perkara 51 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor. Percubaan untuk menghantar hanya satu nama merupakan perlakuan tidak molek kerana seolah-olah cuba membelakangkan titah raja. Datuk Harun Idris (Allahyarham) dapat meneruskan jawatannya selaku menteri besar Selangor selepas pilihanraya umum tahun 1969 adalah atas kuasa budi bicara sultan Selangor ketika itu (Sila baca buku Politik Dan Kerajaan Di Malaysia oleh Andaya dan D. K. Mauzy).

Apa yang pernah berlaku di Terengganu dan Perlis selepas pilihanraya umum 2008 harus benar-benar dijadikan iktibar. Walaupun BN mempunyai kedudukan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) kedua-dua negeri berkenaan, dengan kuasa budi bicara yang ada, raja-raja di kedua-dua negeri berkenaan telah menolak tokoh yang telah dicalonkan sebagai menteri besar. Adalah kurang tepat bila dirumuskan apa yang berlaku di Selangor adalah kerana ia melibatkan parti-parti pembangkang kerana UMNO/BN juga pernah mengalami liku yang hampir serupa.



Puak-puak tertentu dalam PKR juga mendakwa bahawa Tan Sri Abdul Khalid merupakan orang yang bermasalah. Dengan itu, beliau tidak berkelayakan lagi untuk meneruskan jawatannya selaku menteri besar. Sebenarnya dakwaan bahawa Tan Sri Abdul Khalid ada masalah tertentu telah mula kedengaran sejak sebelum pilihanraya umum tahun lepas lagi. Kesilapan PKR di sini ialah apabila Tan Sri Abdul Khalid terus dicalonkan bertanding di peringkat DUN dan parlimen untuk mewakili parti. Tidak cukup di situ, Tan Sri Abdul Khalid juga turut dicalonkan untuk jawatan menteri besar Selangor selepas pilihanraya umum tahun lalu. Jika sudah diketahui dengan pasti Tan Sri Abdul Khalid ada masalah, mengapa beliau terus dicalonkan di kedua-dua posisi berkenaan? Sepatutnya bila sudah diketahui dengan pasti Tan Sri Abdul Khalid orang yang bermasalah, beliau seharusnya digugurkan sahaja daripada mewakili PKR dalam pilihanraya umum tahun lalu. Kalau pun pengaruh Tan Sri Abdul Khalid masih kuat ketika itu, PKR hanya akan kehilangan satu kerusi sahaja. Oleh kerana isu ini gagal ditangani sejak awal, maka kini PKR/PR hampir kehilangan negeri pula.

Walaupun mungkin ada persetujuan supaya Tan Sri Abdul Khalid akan memegang jawatan menteri besar untuk tempoh setahun sahaja selepas pilihanraya umum tahun 2013, tetapi orang politik harus faham iaitu janji orang politik merupakan antara perkara yang paling sukar untuk dipercayai. Pelantikan dan pelucutan jawatan seseorang menteri besar seharusnya mendapat restu daripada istana. Janji sedemikian juga mungkin sukar untuk dipenuhi jika sultan dengan kuasa budi bacara yang ada pada baginda tidak merestui calon penggantinya.

Selanjutnya, bagi menyelesaikan isu yang mula menjadi kemelut, maka kerusi DUN Kajang terpaksa dikosongkan bagi memberi laluan kepada tokoh lain untuk mengisinya. Sekali lagi pengundi DUN Kajang telah memberi kepercayaan tidak berbelah bagi kepada PKR untuk terus bertapak di DUN Kajang. Namun demikian, kepercayaan yang diberi sia-sia sahaja bilamana strategi yang dihasratkan menerusi pilihanraya kecil Kajang gagal mencapai objektifnya. Kemelut politik Selangor semakin membuak. Pengorbanan Lee Chin Cheh amat tidak berbaloi. Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang menang di Kajang masih kempunan untuk menduduki kerusi menteri besar Selangor. Datin Paduka Chu Mei Fun yang kalah di Kajang sudah pun dilantik sebagai timbalan menteri.

Pemecatan Tan Sri Abdul Khalid sebagai ahli PKR pada 9 Ogos lalu juga masih tidak berupaya menyelesaikan kemelut yang ada. Sebaliknya kemelut semakin rumit. Dengan kuasa budi bicara yang ada pada sultan, Tan Sri Abdul Khalid masih menduduki kerusi menteri besar hingga kini. Walaupun Tan Sri Abdul Khalid akan mengosongkan kerusi menteri besar, tetapi PKR gagal untuk mengemukakan calon yang boleh mendapat restu selaku menteri besar. Maka itulah kemelut yang ada masih berpanjangan hingga kini.

Selepas pilihanraya umum 2008, jawatan menteri besar Selangor telah diberikan kepada wakil daripada PKR. Sebabnya mudah sahaja kerana ketika itu PKR memperoleh kerusi terbanyak iaitu 15 kerusi di DUN Selangor berbanding dengan DAP (13 kerusi) dan PAS (8 kerusi). Kesilapan yang berlaku di sini ialah bilamana puak-puak tertentu berpersepsi jawatan menteri besar di Selangor adalah hanya untuk PKR sahaja. Sepatutnya jawatan menteri besar diberikan kepada wakil parti yang memperoleh kerusi terbanyak dan bukan hak mutlak satu pihak semata-mata. Dengan itu, jika pelantikan menteri besar di Selangor didasarkan kepada parti mana yang beroleh kerusi terbanyak, maka selepas pilihanraya umum 2013 yang lalu, wakil dari PAS sepatutnya diberi peluang untuk menduduki kerusi menteri besar Selangor. Seandainya prinsip ini dikuti selepas pilihanraya umum lalu, saya penuh yakin kemelut yang ada mungkin tidak berlaku.

Walaupun selepas pilihanraya umum 2008 DAP memperoleh kerusi terbanyak dalam DUN Perak, oleh kerana dalam kalangan ADUN Perak daripada DAP ketika itu tiada seorang pun yang memenuhi kriteria calon menteri besar sebagaimana yang diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak, maka itulah DAP melopong dan kempunan untuk mendapatkan jawatan tersebut. Justeru, prinsip pelantikan menteri besar berdasarkan parti yang beroleh kerusi terbanyak tidak relevan di Perak ketika itu.



Pencalonan Datuk Seri Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid juga merupakan satu tindakan yang tidak berpandangan jauh. Dr. Wan Azizah mungkin mendapat sokongan hampir sebulat suara dalam kalangan ahli parti, tetapi ia tidak bermakna beliau juga akan mendapat sokongan daripada rakyat Selangor secara keseluruhannya. Selain itu, Dr. Wan Azizah juga harus melepasi satu lagi tapisan, iaitu perkenan daripada sultan. Apa yang sedang berlaku sekarang menyerlahkan lagi kebenaran apa yang saya nyatakan. PKR sepatutnya mengemukakan calon yang memiliki 3 kriteria penting, mendapat sokongan daripada parti, mendapat sokongan daripada keseluruhan rakyat Selangor dan berpotensi mendapat perkenan daripada istana.

Dalam kemelut di Selangor sekarang, jika PR masih gagal untuk memberi sokongan kepada calon menteri besar yang akan diperkenankan oleh istana, maka satu pilihanraya negeri mungkin tidak dapat dielakkan. Semua orang politik PR di Selangor rasanya gusar dan gementar untuk menghadapi pilihanraya negeri jika diadakan. Maklumlah jika pilihanraya negeri dilaksanakan, pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Perubahan yang pernah dibuat oleh para pengundi Selangor pada tahun 2008 mungkin akan berlaku semula jika pilihanraya negeri diadakan dalam masa terdekat. Silap hari bulan, yang ada di Kajang pun terpaksa balik semula ke Pulau Pinang.

Implikasi daripada kemelut yang sedang berlaku boleh dilihat daripada pelbagai dimensi. Bilamana PR gagal mengurus dan mengendalikan kemelut yang berstatus negeri dengan baik dan berkesan, maka kemampuannya untuk mengurus dan mengendalikan isu-isu nasional (jika diberi peluang memerintah) secara efektif turut sama boleh diragui. Rasanya PR perlu belajar lebih banyak lagi bagaimana untuk berhadapan dan menangani isu dan krisis yang berlaku secara lebih berkesan.

Di samping itu, anggapan bahawa PR merupakan suatu gabungan kumpulan siasah yang amat longgar ada benarnya. Dalam kemelut jawatan menteri besar Selangor, nampaknya tiada kesepakatan yang jitu di antara parti-parti dalam PR. Tindak-tanduk masing-masing lebih menjurus kepada bak enau dalam belukar yang sekadar melepaskan pucuknya sahaja. Walaupun boleh duduk semeja, tetapi kerusi tetap masing-masing yang punya.

Hasrat dan rancangan untuk menuju ke Putrajaya bermula dari Shah Alam, hanya sekadar retorik semata-mata. Bagaimana mungkin dapat mara ke Putrajaya kerana belum pun sempat memulakan langkah, kaki sudah tersandung manakala badan pula kian tersungkur.

Ada kemungkinan rakyat dan para pengundi di Selangor sudah mula jelak dan muak dengan kemelut yang sedang melanda negeri mereka. Pada hemat saya, sebahagian besar pengundi Selangor bukanlah golongan penyokong tegar kepada mana-mana parti siasah. Justeru, jika pilihanraya negeri diadakan, tidak mustahil untuk mereka menukar semula kerajaan kepada yang lama.

Semua pihak yang berkepentingan di Selangor harus berusaha sekeras mungkin untuk mengakhiri kemelut yang sedang berlaku. Semakin lama kemelut ini berpanjangan maka semakin jelak dan muak rakyat jelata memerhatikannya. Orang politik harus peka dengan denyut nadi dan suara hati para pengundi yang telah memangkah mereka dalam pilihanraya.


Musim Haji Tiba Lagi



Kini musim haji tiba lagi. Umat Islam yang terpilih sedang berbondong-bondong menuju ke satu arah, iaitu tanah suci. Tujuan mereka juga satu iaitu untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Mereka adalah tetamu Allah pada tahun ini. Mereka telah dipilih oleh Allah untuk datang bagi melaksanakan ibadah yang telah difardhukan (bagi yang berkemampuan) sekurang-kurangnya sekali untuk seumur hidup.

Bagi mereka yang masih belum berkemampuan untuk sampai ke tanah suci atas tujuan serupa, setidak-tidaknya akan berazam dan berdoa semoga suatu hari nanti Allah akan sampaikan juga kita ke sana, insha-Allah. Inilah doa dan harapan kita, terutamanya yang masih lagi belum berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke tanah yang penuh barakah itu.

Bagi mereka yang pernah sampai ke tanah suci, mungkin bila tiba sahaja musim haji seperti ini, rindu dan hasrat untuk datang semula ke tanah suci pastinya bersemarak kembali. Inilah antara keunikan dan keistimewaan dua kota tanah suci, Makkah dan Madinah.



Pada tahun ini, antara bakal haji yang akan berlepas ke tanah suci ialah En. Jalaluddin Yuson, pengetua sekolah tempat saya bertugas. Kalau saya tidak silap, beliau dan isteri akan berlepas pada 7 September ini.



Seorang lagi bakal haji ialah En. Anuar Mohamed, bekas pensyarah saya ketika saya menuntut di MPRM. Beliau baru sahaja berlepas pada 5 September.

Doa saya, semoga mereka dan seluruh jemaah haji akan beroleh haji yang mabrurah. Mudah-mudahan juga mereka semua akan sentiasa berada dalam keadaan selamat, sihat dan sentiasa dipermudahkan terutama dalam urusan mengerjakan haji.

Tahun ini giliran mereka menjadi tetamu Allah. Manalah tahu tahun hadapan, giliran kita pula.


Saturday, August 16, 2014

Krisis Menteri Besar Selangor Kian Genting



Pada 14 Ogos lalu, dua ADUN PAS telah menyatakan secara terbuka untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor. Mereka ialah Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib). Tindakan kedua-dua ADUN berkenaan telah mendahului keputusan yang bakal dibuat oleh pimpinan tertinggi PAS pada hujung minggu ini mengenai isu yang sama. Setakat ini, PAS masih belum membuat apa-apa keputusan muktamad mengenai isu jawatan menteri besar Selangor. Tindakan kedua-dua ADUN berkenaan agak memeranjatkan. Dengan tindakan kedua-dua ADUN PAS berkenaan, kini PAS telah terjebak pula dengan masalah untuk menangani tindakan kedua-dua ADUN berkenaan. Asalnya keruh hanya di hulu, akhirnya mengalir juga hingga ke hilir. Nampaknya apa yang sedang berlaku di Selangor ada sedikit persamaan dengan apa yang pernah melanda di DUN Terengganu pada tahun 1961 lalu.



Keadaan akan bertambah rumit jika PAS mengambil tindakan disiplin ke atas kedua-dua ADUN berkenaan. Sebarang tindakan balas daripada kedua-dua ADUN berkenaan pasti akan menberi kesan besar kepada kedudukan PAS khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Ia juga akan menjadikan situasi semakin kusut. Kekusutan yang bakal melanda bukan sahaja terhadap PAS dan PKR, tetapi akan melibatkan kestabilan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Buat masa ini, kedua-dua pihak, sama ada Datuk Seri Dr. Wan Azizah mahupun Tan Sri Abdul Khalid, masing-masing mendakwa masih mendapat sokongan majoriti ADUN Selangor. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang pernah saya nyatakan, dakwaan kedua-dua pihak dibuat di luar dewan. Oleh itu kesahihannya masih lagi samar-samar dan boleh dipertikaikan. Walaupun dakwaan salah satu pihak kononnya mempunyai bukti akuan bersumpah, tetapi ia masih belum boleh menggugat kedudukan Tan Sri Abdul Khalid kerana ia belum diterjemahkan lagi dalam DUN. Dengan itu, bagi membuktikan dakwaan mana yang sahih, maka jalan terbaik mungkin dengan memberi laluan untuk dikemukakan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Abdul Khalid dalam persidangan DUN. Ini bermakna, proses dan prosedur untuk mengadakan persidangan DUN Selangor harus dimulakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Dalam situasi sekarang dan sekiranya jumlah ADUN yang sudah memihak kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah benar-benar sudah mencapai kepada 30 orang, jika undi tidak percaya dikemukakan di DUN Selangor terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sudah pastilah beliau akan tewas. Bagi sesetengah ahli politik, kekalahan disebabkan undi tidak percaya dalam DUN merupakan suatu tragedi yang cukup perit, amat memalukan dan boleh mencalar kredibiliti seseorang ahli politik. Seboleh-bolehnya mana-mana pemimpin politik yang berpotensi untuk dikenakan undi tidak percaya, akan mencuba sedaya-upaya untuk mengelakkannya daripada berlaku.

Nampaknya Tan Sri Abdul Khalid tidak lagi boleh berharap kepada PAS sebagai talian hayatnya. Jika kedua-dua ADUN berkenaan benar-benar istikamah dengan keputusan mereka dan sanggup pula menghadapi risiko apa jua tindakan daripada partinya, maka apa jua keputusan PAS hujung minggu ini sudah tidak bermakna lagi buat Tan Sri Abdul Khalid. Hendak diharap kepada layar, tiangnya sudah patah. Hendak diharap kepada bahtera, olengnya hampir kepada karam.



Pada hemat saya, Tan Sri Abdul Khalid hanya ada satu jalan sahaja lagi untuk menyelamatkan maruah politiknya iaitu dengan memberi nasihat kepada Tuanku Sultan Selangor supaya membubarkan DUN Selangor untuk membolehkan satu pilihanraya negeri diadakan. Pada hemat saya, buat masa ini hanya Tan Sri Abdul Khalid selaku menteri besar mempunyai posisi yang sesuai untuk memberi nasihat yang sedemikian kepada Tuanku Sultan Selangor. Biarlah kemelut yang sedang berlaku diselesaikan oleh para pengundi Selangor pula. Biarlah rakyat pula yang membuat keputusan muktamad terhadap kemelut yang berlaku. Biarkan rakyat yang menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman bagi menyelesaikan kekusutan yang sedang melanda politik Selangor. Kalau dibiarkan orang politik yang bercakap, mereka tidak akan berhenti bercakap. Mereka tidak akan beralah. Setiap orang politik hanya menganggap mereka sahaja yang benar. Sebahagian orang politik bukan fikirkan sangat tentang kesejahteraan rakyat dan negeri. Mereka lebih mengutamakan bagaimana untuk mengekalkan kuasa yang ada sahaja.

Mungkin bagi Tan Sri Abdul Khalid, hilang jawatan sebagai menteri besar menerusi pilihanraya lebih bermaruah daripada disebabkan undi tidak percaya. Jika pilihanraya negeri diadakan dalam masa terdekat, semua pihak mempunyai harapan dan potensi untuk dikecundangkan.

Menonton episod politik lebih mendebarkan daripada menonton filem hindustan.

Thursday, August 14, 2014

Implikasi Krisis Menteri Besar Selangor



Dalam pilihanraya umum tahun 2008, gabungan Pakatan Rakyat (PR) telah mencipta sejarahnya yang tersendiri khususnya di Selangor. Menerusi pilihanraya berkenaan, PR telah berjaya memenangi 36 daripada 56 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Manakala Barisan Nasional yang selama ini cukup selesa sebagai parti pemerintah amat terkejut bilamana sekadar memperolehi 20 kerusi sahaja. Ini sekaligus menamatkan penguasaan BN selaku parti pemerintah di Selangor sejak selepas negara mencapai kemerdekaan.

Dalam pilihanraya umum tahun 2013 pula, penguasaan PR di DUN Selangor kian kukuh bilamana berjaya memperolehi 44 kerusi iaitu bertambah 8 kerusi lagi. Ini bermakna BN bukan sahaja gagal merampas kembali Selangor, bahkan saiz wakilnya di DUN Selangor semakin mengecil daripada 20 orang kepada 12 orang sahaja. Semua usaha UMNO dan BN untuk merampas semula Selangor sejak tahun 2008 hancur berkecai semula pada tahun 2013.

Walau bagaimanapun, berdasarkan sejarah parti tersebut, UMNO dan BN bukanlah mudah berputus asa. Cubaan selanjutnya pasti akan dilaksanakan untuk merealisasikan hasrat mereka merampas semula Selangor. Peluang yang sesuai sentiasa dinanti tanpa jemu. Perkara inilah yang perlu diinsafi oleh parti yang sedang menjadi kerajaan di Selangor. Kelemahan UMNO dan BN di Selangor pada masa ini ialah jumlah kerusi mereka yang kecil di DUN Selangor. Jadi buat masa ini parti berkenaan tidak cukup modal untuk main tarik tali dalam kemelut yang sedang berlaku.

Keberanian pengundi Selangor menukar kerajaan pada tahun 2008 dan seterusnya mengekalkan kerajaan negeri yang sedia ada pada tahun 2013 dengan jumlah kerusi yang semakin bertambah merupakan sesuatu yang unik dan kadangkala menakjubkan. Bagi mereka, kemajuan sesebuah negeri itu tidak semestinya hanya mampu dibangunkan oleh satu pihak sahaja. Pertambahan kerusi yang diperolehi PR dalam pilihanraya umum 2013 menunjukkan para pengundi di Selangor cukup selesa dengan pencapaian negeri berkenaan di bawah pentadbiran yang telah ditukar pada tahun 2008. Ia juga merupakan isyarat bahawa para pengundi dan rakyat Selangor menaruh harapan yang cukup tinggi kepada PR untuk membawa Selangor ke aras kemajuan yang lebih tinggi lagi. Dari sudut yang lain pula, rakyat Selangor turut berpuas hati dengan stail pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid selaku menteri besar. Setakat ini tiada desakan daripada golongan rakyat jelata agar Tan Sri Khalid berundur.

Kusangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Harapan dan keyakinan rakyat Selangor yang disandarkan terhadap kerajaan yang sedia ada rupa-rupanya terhalang di pertengahan masa. Kerajaan negeri yang selama ini diharap akan menjadi model serta perintis kepada kemajuan dan pembangunan fizikal dan spiritual tiba-tiba reput dan retak di pertengahan musim. Masalah dalaman yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu salah sebuah parti gabungan yang membentuk Pakatan Rakyat (PR) akhirnya sedang mengheret PR di Selangor ke arah kehancuran.

Sudah tentulah krisis yang sedang melanda kerajaan Selangor mempunyai implikasi dan kesan khususnya ke atas negeri dan rakyat Selangor. Sekiranya krisis ini dibiarkan berpanjangan, ia pasti akan memberi kesan tidak baik ke atas ekonomi negeri. Iklim pelaburan akan menjadi tidak mesra kepada pelabur. Para pelabur akan lari ke tempat lain. Maklumlah siapa yang hendak tanggung rugi. Kesan jangka panjangnya ialah ia mungkin boleh meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Selangor sendiri.

Krisis yang sedang berlaku turut akan memberi modal politik kepada lawan-lawan PR. Mereka sudah mempunyai hujah iaitu pakatan yang distrukturkan oleh PR sememangnya rapuh, reput dan mudah hancur. Mereka juga boleh mendakwa corak pakatan seperti PR hanya untuk menang dalam pilihanraya semata-mata. Selepas itu setiap parti akan mula mencari haluan masing-masing bagi kepentingan survival politik masing-masing. Walaupun parti-parti dalam PR “boleh tidur sebantal, tetapi mimpi mereka tetap berbeza”.

Orang UMNO juga sudah boleh membuat perbandingan iaitu kaedah mereka menukar menteri besar di Terengganu lebih bagus, lebih bijaksana dan lebih berhemah. Justeru, bila timbul sahaja isu berbangkit mengenai pertukaran menteri besar di Terengganu, UMNO dapat menyelesaikannya dengan cepat dan mudah. Bagaimana cara ia diselesaikan tidak lagi menjadi persoalan. Janji ia sudah selesai. Walaupun timbul pelbagai dakwaan negatif mengenai cara penyelesaian yang diguna pakai, tetapi ia tidak ada bukti dan sekadar andaian semata-mata.

Berbeza dengan kaedah yang digunakan oleh PKR untuk menukar menteri besar di Selangor, ia penuh dengan mehnah dan masalah. Oleh kerana kaedah yang digunakan tidak betul, tidak bijaksana dan kurang teliti, maka ia sekarang sudah menjadi barah pula kepada survival kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Kedua-dua peristiwa penukaran menteri besar di Terengganu dan Selangor juga merupakan terjemahan kepada kebijaksanaan bersiasah di antara Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Percaturan yang digunakan oleh kedua-dua pemimpin nombor wahid dalam parti politik masing-masing setakat ini menunjukkan bahawa Datuk Seri Najib lebih bijaksana dan lebih pintar dalam mengatur strategi ketika menguruskan sesuatu isu rumit. Justeru, penukaran menteri besar di terengganu dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat. Sebaliknya penukaran menteri besar di Selangor pula berliku, berpanjangan dan kalau silap langkah boleh memusnahkan kerajaan negeri yang sedia ada.

Seperkara yang kita harus faham ialah para pengundi di Selangor bukan tergolong dalam kalangan penyokong tegar mana-mana parti politik. Pada pemerhatian saya, sejak tahun 2008, kriteria calon ADUN yang dipilih tidak hanya bergantung kepada parti mana yang mereka wakili. Orang Selangor juga nampaknya tidak terikat dengan sentimen satu media semata-mata. Ini terbukti apabila majoriti pengundi di Selangor tetap memberi kepercayaan kepada PR dalam pilihanraya 2013 walaupun calon-calon PR ketika itu diasak teruk oleh media arus perdana negara.

Justeru, krisis yang melibatkan jawatan menteri besar yang sedang berlaku sedikit sebanyak akan menghancurkan kepercayaan rakyat Selangor yang selama ini begitu tinggi disandarkan terhadap kerajaan PR. Kemelut yang sedang berlaku pasti memberi kesan kepada kepercayaan dan keyakinan para pengundi terhadap PR. Justeru, tidak menghairankan jika sekiranya diadakan pilihanraya masa ini, ada kemungkinan sokongan terhadap PR akan jatuh merudum. Dengan erti kata lain, kerajaan yang dibentuk oleh PR akan musnah gara-gara salah sendiri.

Pada masa yang sama, ia akan memberi peluang terbaik kepada UMNO dan BN untuk merampas kembali Selangor yang telah terlepas daripada genggaman mereka sejak tahun 2008. Semuanya ini tidak mustahil boleh berlaku jika pilihanraya negeri diadakan dalam masa terdekat. Hanya menerusi pilihanraya sahaja UMNO dan BN mempunyai peluang terbaik untuk memerintah semula Selangor. Hal ini tidak mustahil untuk berlaku kerana sebagaimana yang saya katakan para pengundi di Selangor bukanlah pengundi tegar sesebuah parti siasah. Jika pada tahun 2008 mereka telah menukar kerajaan daripada UMNO/BN kepada PR, maka tidak mustahil bagi pengundi Selangor untuk menukar semula kerajaan negeri kepada UMNO/BN daripada PR jika pilihanraya negeri diadakan dalam masa terdekat.

Krisis yang sedang berlaku juga turut mencalarkan kemampuan khususnya PKR untuk memacu PR menguasai Putrajaya. Bagaimana untuk menawan Putrajaya sedangkan krisis dalaman parti pun gagal ditangani dengan penuh berhemah! Orang akan menganggap usaha untuk menawan Putrajaya hanya sekadar retorik tokoh yang petah bercakap semata-mata. Ini sekaligus akan mengembalikan ingatan kita kepada usaha yang begitu diwar-warkan untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2008 yang lalu. Perkhabaran tersebut turut meremangkan bulu roma sesetengah pemimpin UMNO/BN. Walau bagaimanapun, 16 September 2008 telah berlalu dengan tenang dan aman. Putrajaya tetap kukuh dalam genggaman UMNO/BN hingga ke hari ini.

Sekiranya Tan Sri Abdul Khalid dapat mengekalkan kedudukannya selaku menteri besar Selangor dengan sokongan ADUN PAS dan UMNO, kedudukan beliau amat lemah. UMNO tidak akan memberikan sokongan secara percuma. Mungkin mereka tidak meminta jawatan Exco, tetapi ada kemungkinan mereka akan membuat tuntutan lain yang lebih tinggi harganya daripada jawatan Exco. Tan Sri Abdul Khalid pula harus akur dengan tuntutan sedemikian (jika ada) bagi meneruskan survival kedudukannya selaku menteri besar.

Pada masa sama, bukan semua tuntutan yang mungkin akan dibuat oleh UMNO akan disetujui oleh ADUN PAS. Jika situasi ini berlaku, Tan Sri Abdul Khalid akan berada dalam keadaan “ditelan mati bapak, diluah mati emak”. Akhirnya jika tiada penyelesaian, maka pilihanraya negeri merupakan langkah yang tidak dapat dielakkan. Di peringkat inilah UMNO/BN akan berusaha keras untuk merampas kembali Selangor daripada PR. Mereka sudah pun ada hujah dan bukti bagi menonjolkan bahawa UMNO/BN adalah yang terbaik untuk Selangor.

Sekiranya PAS memberi sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid di Selangor, PKR tidak berupaya untuk mengambil tindakan balas dengan menarik sokongan kepada kerajaan PAS di Kelantan. Ini kerana tanpa sokongan PKR, kerajaan PAS di Kelantan masih berupaya untuk mengekalkan survivalnya di negeri tersebut. Inilah kelemahan yang dimiliki oleh PKR. Mereka tidak cukup modal untuk main tarik tali politik di peringkat negeri.

Namun begitu, apa yang lebih serius lagi ialah kemelut menteri besar di Selangor yang bermula sebagai isu dalaman dalam PKR, kini sudah berupaya untuk menggugat perpaduan dan kesatuan dalam gabungan PR. Sekiranya PAS memberi sokongan terhadap Tan Sri Abdul Khalid, ada kemungkinan parti berkenaan akan dikeluarkan daripada Pakatan Rakyat. Sekiranya PAS tidak lagi bersama-sama dalam PR, maka parti politik yang mula-mula akan jatuh tersungkur ialah PKR sendiri. Selepas ini tiada lagi negeri yang diperintah oleh PKR. Usaha untuk mara dan menawan Putrajaya yang diterajui oleh PKR sudah boleh dilupakan untuk selama-lamanya. Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sudah boleh mencari tarikh yang sesuai untuk bersara sepenuhnya daripada politik.

Implikasi tersirat di sebalik kemelut yang berlaku ialah kedudukan orang Islam dan Melayu dalam siasah negara sendiri kian lemah. Mungkin ada pihak lain yang sedang tersenyum lebar dengan apa yang sedang berlaku. Orang Melayu terlalu banyak membuang masa untuk berpolitik. Orang Melayu juga didapati terlalu dangkal untuk mengambil iktibar daripada sejarah silam bangsanya sendiri. Secara evolusinya, tragedi orang Melayu merempat di bumi sendiri mungkin akan berulang semula. Kasihan anak cucu kita nanti. Gara-gara kesilapan kali kedua nenek moyangnya, mereka pula yang menjadi asing di tanah air sendiri.

Saya bukan ahli politik, sekadar memerhati sahaja dari jauh.

Tuesday, August 12, 2014

Isu MB Selangor: Sekadar Pandangan



Hari ini, politik Selangor menggelegak lagi. Bahang panasnya bukan setakat dirasai di Selangor, bahkan ia semakin meruap ke seluruh negara. Pelbagai pihak sedang fokus terhadap apa yang sedang berlaku di Selangor dengan persepsi dan harapan yang berbeza.

Pada 11 Ogos (Isnin), Dewan Diraja Selangor telah memutuskan untuk memberi perkenan kepada YAB Tan Sri Abdul Khalid untuk terus menjalankan tugasnya selaku menteri besar Selangor. Perkenan dan keputusan yang diberi bukanlah bersifat muktamad kerana ia Cuma diberi sehinggalah ada perkembangan terbaru. Ini bermakna, Tan Sri Abdul Khalid boleh meneruskan tugasnya selaku ketua eksekutif negeri Selangor untuk tempoh tertentu. Ia amat bergantung kepada perkembangan yang akan berlaku dalam tempoh beberapa hari mendatang. Keputusan Dewan Diraja Selangor berkenaan ada kewajarannya. Badan berkenaan sama sekali tidak terikat kepada perlembagaan atau keputusan sesebuah parti politik, sebaliknya ia tertakluk kepada undang-undang tubuh negeri Selangor itu sendiri.



Pemecatan Tan Sri Abdul Khalid daripada PKR yang telah diputuskan pada Sabtu lalu belum berupaya untuk menggugat kedudukan beliau selaku menteri besar Selangor buat ketika ini. Tan Sri Abdul Khalid masih ada talian hayat lagi. Buat masa ini, ada dua faktor penting yang masih menyelamatkan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid selaku menteri besar, iaitu keputusan daripada Dewan Diraja Selangor dan juga undi tidak percaya masih belum dikemukakan terhadap beliau melalui persidangan DUN Selangor.

Sokongan dan tentangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor terhadap kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid masih belum diterjemahkan lagi dalam bentuk undi dalam dewan. Setakat ini sokongan atau tentangan terhadap beliau hanya disuarakan di luar dewan. Oleh itu, jumlah sebenar yang menyokong dan yang menentang Tan Sri Abdul Khalid dalam kalangan ADUN Selangor masih samar-samar dan tidak jelas. Ini bermakna, belum ada kepastian mutlak mengenai kedudukan dan masa depan Tan Sri Abdul Khalid selaku menteri besar Selangor.

Kini semua perhatian akan tertumpu pula kepada keputusan PAS sama ada untuk memberi sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid atau sebaliknya. Keputusan yang bakal dibuat oleh PAS dalam masa beberapa hari lagi merupakan penentu sebenar hidup mati kedudukan Tan Sri Abdul Khalid selaku menteri besar.

Secara dasarnya, krisis yang berlaku di Selangor sekarang bukanlah berstatus krisis negeri. Ia sekadar krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), salah sebuah parti politik yang bergabung atas nama Pakatan Rakyat yang diberi peluang oleh rakyat untuk memerintah Selangor sejak 2008. Kebetulan pula, jawatan menteri besar di Selangor disandang oleh Tan Sri Abdul Khalid yang sebelum ini merupakan ahli seumur hidup PKR. Andainya jawatan menteri besar bukan disandang oleh ahli PKR, krisis yang berlaku pasti tidak akan sampai melibatkan kedudukan jawatan nombor satu dalam kerajaan Selangor seperti sekarang.

PKR sebelum ini sudah mencuba untuk menyelesaikan kemelut dalaman yang berlaku dengan beberapa pendekatan tetapi ia masih gagal. Pilihanraya kecil Kajang yang diadakan beberapa bulan lalu juga merupakan salah satu usaha ke arah itu. Bagi saya, pilihanraya kecil Kajang bukan sahaja gagal menyelesaikan kemelut yang berlaku, bahkan ia juga memperlihatkan kegagalan kepimpinan PKR untuk meneropong kilat dalam kilau.



Selanjutnya, PKR telah mencadangkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah sebagai calon menteri besar untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid. Cadangan ini sekali lagi menunjukkan kegagalan kepimpinan PKR untuk meneliti halangan-halangan yang mungkin timbul ekoran mencadangkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid.

Kepimpinan PKR seharusnya memahami iaitu Dr. Wan Azizah bukannya anak jati Selangor. Walaupun dari sudut Perlembagaan Selangor tiada halangan untuk Dr. Wan Azizah untuk memegang jawatan menteri besar, namun demikian ada kemungkinan ia tidak semudah yang disangka untuk Dr. Wan Azizah diperkenankan untuk memegang jawatan berkenaan di Selangor. Dari sudut mengutamakan anak jati sesebuah negeri dalam kepimpinan, Selangor dan Pulau Pinang ada perbezaan yang nyata. Hal ini akan lebih mudah difahami bilamana kita mempunyai sedikit pengetahuan sejarah antara Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Negeri-negeri Selat.

Sepatutnya sebelum mencadangkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah selaku calon menteri besar Selangor, kepimpinan PKR seharusnya mendapat maklumat terlebih dahulu sama ada pencalonan beliau akan mendapat perkenaan atau sebaliknya daripada istana. Sekiranya istana tidak memberi perkenan, calon lain harus dicari terlebih dahulu. Setelah semua halangan dapat diatasi dan calon yang dicadangkan akan direstui, barulah sesuai untuk PKR membuat pengumuman nama calon yang akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid. Apa yang pernah berlaku di Terengganu dan Perlis selepas pilihanraya umum 2008 harus benar-benar dijadikan iktibar.

Seperkara yang mungkin gagal diselami oleh kepimpinan PKR ialah kelebihan yang sedang dimiliki oleh Tan Sri Abdul Khalid. Selain seorang menteri besar, beliau juga merupakan salah seorang ahli dalam Dewan Diraja Selangor. Justeru, beliau mempunyai posisi yang cukup strategik untuk memudahkannya akses kepada pihak istana. Oleh yang demikian, bukanlah sesuatu yang menghairankan bilamana Tan Sri Abdul Khalid berjaya meyakinkan pihak istana mengenai majoriti sokongan yang masih beliau perolehi daripada ADUN Selangor. Hakikatnya pada masa ini masih tiada sokongan secara bertulis yang telah diajukan kepada beliau oleh mana-mana ADUN Selangor.

Dari kaca mata rakyat Selangor pula, rata-rata mereka tiada masalah dengan gaya dan corak kepimpinan tan Sri Abdul Khalid selaku menteri besar. Sejak menerajui Selangor, pelbagai faedah dan manfaat diperolehi oleh orang Selangor. Kebijaksanaan Tan Sri Abdul Khalid dalam mengeksploitasi kelebihan dan kekuatan ekonomi Selangor untuk kemajuan negeri tersebut disenangi rakyat. Sebab itulah sehingga sekarang tiada sebarang bentuk bantahan atau tunjuk perasaan oleh rakyat Selangor terhadap Tan Sri Abdul Khalid selaku menteri besar. Bantahan dan penolakan hanya datang daripada kepimpinan PKR semata-mata. Oleh itu, usaha untuk mendesak Tan Sri Abdul Khalid supaya berundur daripada jawatannya lebih bersifat politik sahaja. Selama ini pun, rakyat Selangor tidak pernah tahu dan tidak pernah diberitahu masalah sebenar yang ditimbulkan oleh Tan Sri Abdul Khalid. Maka itu, seperti yang saya nyatakan, majoriti rakyat Selangor masih menyenangi corak dan gaya pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid.

Mungkin bagi Tan Sri Abdul Khalid, memenuhi kehendak rakyat merupakan agenda yang perlu diutamakan daripada memenuhi tuntutan orang politik. Maka itulah beliau disenangi oleh rakyat tetapi kurang disenangi oleh orang politik yang pernah separti dengan beliau.

Secara spontan, krisis kepimpinan PKR Selangor hanya menyerlahkan kelemahan pucuk pimpinan PKR khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menguruskan hal ehwal parti. Ia sekaligus menyukarkan lagi hasrat untuk mara ke Putrajaya melalui Shah Alam. Bagaimana untuk menawan Putrajaya jika pada masa yang sama Shah Alam pula yang dilanda gempa?

Sekiranya krisis ini tidak ditangani secara berhemah dan dengan bijaksana, peristiwa yang pernah berlaku di Terengganu pada tahun 1961 atau di Perak pada tahun 2009 mungkin akan terjadi pula di Selangor. Hanya kerana jawatan menteri besar, kelak nanti PR hilang sebuah negeri lagi.